Yang Ikut

Thursday, 11 November 2010

Rasuah dan kita

Reactions: 
Kedudukan Malaysia dalam kedudukan Corruption Perceptions Index seperti yang dikeluarkan oleh Transparency International tidaklah begitu baik. Mungkin masih lambat untuk kita setaraf dengan Denmark, New Zealand atau Australia. Lambat juga untuk kita sampai ke tahap Singapura. Semakin dekat pula kita dengan banyak negara Afrika yang lain.

Sebenarnya sejak bila kita diajar untuk pandai rasuah? Atau rasuah itu sebahagian cara hidup kita?

Ketika kita masih kecil - kita akan cuba dimotivasikan dengan ais krim atau gula-gula untuk lebih rajin belajar. Semakin besar sedikit, kita pula cuba merasuah guru dengan cuba berbuat baik dengan harapan akan diberikan soalan 'ramalan' peperiksaan. Di universiti - setiap kali hari terakhir kuliah - kita cuba membodek pensyarah dengan banyak kerja baik atas harapan akan diberikan sedikit isyarat soalan yang akan keluar.

Walaupun itu bukanlah rasuah dalam erti kata sebenarnya, tetapi ia adalah bunga-bunga bagaimana kita diajar merasuah atau sedang dirasuah.

Budaya kita juga - adalah budaya yang mementingkan perasaan orang lain. Kita juga sebenarnya orang yang baik hati dan sangat mulia.

Sebab itu - setiap kali ditahan polis - kita akan cuba bawa berbincang. Sama ada kita yang memulakan duru isyarat untuk berbincang, atau polis yang memberikan petanda boleh berbincang. Semua ini adalah bersifat perasaan. Kita kalau boleh tidak mahu dikenakan hukuman yang berat, begitu juga pihak yang menguatkuasa undang-undang. Ia sebahagian budaya kita - memahami manusia lain.

Hasilnya - kerana boleh berbincang - kita cuba pula memberikan sedikit saguhati.

Di banyak negara yang index rasuahnya baik - jarang amalan boleh berbincang ini boleh dilakukan. Kalau ditahan polis, tangan kita hanya diminta diletakkan di atas stereng kereta dan diam. Itu sahaja. Jangan melebih-lebihkan pergerakan - atau merayu merintih. Jadi - kita tidak ada banyak peluang berbincang, apatah lagi memberikan tawaran.

Bagaimana pun - tidak dalam budaya kita. Kita boleh berbincang dalam semua perkara. Bagi membolehkan anak masuk asrama penuh - kita mencari kenalan yang boleh melayan kerenah kita. Bagi menyelesaikan hal geran tanah, kita perlu mencari seseorang yang berkerja di pejabat berkaitan. Semuanya ialah kerana budaya kita membenarkan hal sebegitu. Budaya kita adalah budaya berbudi.

Jadi mengapa rasuah?

Puncanya ialah kerana kita perlu tolong menolong. Sebab itu selalu wujud ayat - saya tolong awak, awak tolong saya. Ia berlaku di mana-mana sahaja. Guru menolong murid, kalau pelajarnya membantu guru. Apatah lagi dalam hal politik. Saya memberikan awak sesuatu kalau awak memberikan saya kuasa. Ini bukan sebab kita ingin merasuah - ini budaya kita.

Sebaliknya - kalau awak tidak tolong saya, saya mungkin tidak tolong awak di kemudian hari.

Dunia semakin moden. Istilah tolong menolong ini akhirnya muncul dalam bentuk yang lebih kompleks sifatnya - kita menolong untuk mendapatkan sesuatu - atau melepaskan diri dari jerat hukuman.

Sebenarnya rasuah bukanlah apa-apa. Ia adalah diri kita.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails