Yang Ikut

Sunday, 7 November 2010

Waktu berlalu manusia berubah

Reactions: 
Tidak ada cerita hendak ditulis petang ini. Jadi aku tuliskan semula keindahan orang muda. Hidup ketika bujang. Satu masa tanpa tanggungjawab dan mimpi juga tidak kelihatan.

Ini cerita 18 tahun dulu. Umur aku baru 20 tahun. Satu petang itu - tanpa ada apa-apa tujuan, aku dan seorang teman merancang untuk pergi tidur di bandar Alor Setar. Kami mahu mengisi hidup sebagai orang muda, menikmati kehidupan malam di bandar kecil itu.

Menaiki bas dari Changlun petang itu. Sampai di Alor Setar, seperti biasa berjalan di sana sini. Pekan Rabu mesti disinggah. Duduk di bawah tangga melintas di depan Pekan Rabu memerhatikan manusia. Sebenarnya, bukanlah itu tujuan kami hari itu. Kami sebenarnya menantikan malam tiba.

Bila malam mula singgah - aku dan kawan aku itu pergi ke stesen keretapi Alor Setar. Itulah tujuan kami. Bukanlah pula kami mahu menaiki keretapi ke Butterworth. Kami hanya ingin berjalan-jalan melihat apa yang 'indah' di sebalik tabir stesen keretapi itu. Di sebelah stesen itu - ada juga satu lorong yang terkenal di kalangan orang yang jauh dengan masjid dan dekat dengan api neraka - Lorong Petani.

Apa ada di lorong itu? Di situlah letaknya para pondan dan pelacur kelas bawah. Mereka berjual beli di celah-celah bangunan dan perdu pisang. Siapa yang melanggan mereka aku tidak pasti. Mungkin manusia kelas bawah juga. Mustahil orang yang ada banyak wang akan melanggan pondan dan pelacur di situ.

Kami berjalan-jalan di atas rel keretapi. Sebaik sahaja kami melewati sekumpulan pondan, mereka beralih pergi. Rambut kawan aku yang gondol - yang baru sahaja habis kursus tentera laut waktu itu - menyebabkan para pondan itu menyangka kami polis. Mereka tidak tahu kami sebenarnya hanya ingin melihat mereka. Kami ingin memerhatikan gelagat mereka. Itu sahaja. Tapi kami bukanlah pelanggan. Itu hobi pelik waktu aku muda.

Jam dua belas malam kami masih merayau-rayau di atas rel itu. Beberapa kali singgah kedai kopi dan makan nasi lemak di warung berdekatan.

Malam kian larut. Kami mencari tempat tidur. Untuk balik ke Changlun, tidak ada bas lagi. Untuk tidur di hotel, kami anak muda yang susah, yang datang sengaja mencari susah. Akhirnya kami ke satu bangunan kecil di belakang bangunan Balai Rong Seri. Kami tidur di situ malam itu. Tapi nyamuk yang banyak, menyebabkan kami tidak boleh tidur. Akhirnya kami bersembang sampai ke pagi.

Besoknya - awal-awal lagi sesudah Subuh, kami balik.

Itulah aktiviti pengembaraan aku ketika muda. Di Kuala Lumpur, dua kali juga pernah tidur di kaki lima seperti itu.

Sekarang ini - kalau diupah pun, aku belum tentu akan tidur di belakang bangunan lagi. Waktu berlalu, manusia berubah. Cuma aku tidak pasti sama ada imej stesen keretapi itu sudah berubah atau tidak. Aku juga tidak tahu sama ada Lorong Petani masih terkenal dengan kehidupan para pelacur yang sedang mencari makan.

Nanti - kalau aku ada peluang, mungkin aku akan cuba ulang lagi pengembaraan ke sana. Barang tentu ia tidak lagi seindah saatnya seperti kita muda. Kerana yang indah itu bukan kerana peristiwanya. Yang menjadikan sesuatu itu indah ialah kerana usia kita.

1 comment:

Ibnu Mutalib said...

best..
tapi nak cari kawan yang nak jalan2 sekali macam tu bukan senang,heh.

selalu jalan2 tempat orang sorang2,tapi siang saja

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails