Yang Ikut

Wednesday, 17 November 2010

Edisi cerita orang kahwin

Reactions: 
Musim cuti sekolah bakal tiba. Ia musim kenduri kahwin. Ia musim pesta.

Bagaimana pun, ada banyak hal berkaitan kenduri kahwin yang kini sudah luput ditelan masa. Bagi mereka yang lahir tahun 1990-an, aku pasti mereka tidak sempat melihat banyak perkara indah dalam pesta kenduri kahwin masyarakat kita. Begitu juga yang lahir di bandar. Kenduri kahwin hari ini tidak ubah seperti singgah makan di kedai, sambil tangan kita berkira-kira berapa banyak wang patut dihulur.

Kampung aku mungkin antara kampung yang masih tidak menggunakan khidmat 'catering'. Proses menyediakan kenduri kahwin masih dikawal sepenuhnya oleh budaya gotong royong. Bagaimana pun, kini banyak 'proses' yang hilang.

Sekitar 1990-an, masih ada di kampung kami dua 'balai' makan setiap kali kenduri kahwin. Balai ini saiznya agak besar. Ia seperti rumah kayu di zaman silam, tertegak di atas 6 batang tiang. Lantainya dibina dari papan, setinggi aras lutut. Ia berbumbung, tetapi tidak berdinding. Setiap kali kenduri kahwin, tetamu perlu naik ke atas balai itu untuk makan bersila. Tetamu lelaki dan wanita akan duduk di balai yang berasingan.

Ketika aku kahwin tahun 1999 - cuma tinggal satu balai sahaja lagi. Tempat makan sudah berganti dengan khemah moden. Tidak ada lagi duduk bersila. Ia bertukar dengan kerusi dan meja makan.

Sekarang ini - balai ini sudah pupus sepenuhnya. Tidak ada lagi kerja berat mengangkut semua tiang, lantai dan bumbung balai. Ia semakin mudah, tetapi keindahan makan bersila sudah tiada.

Proses mendirikan balai ini biasanya 2 atau 3 hari sebelum hari kenduri bermula. Dahulu, kami mengangkut semua kayu, tiang dan bumbung ini ke rumah kenduri secara berjalan kaki dari stor yang terletak di sebuah madrasah. Kalau rumah kenduri ini jaraknya 1 kilometer, bermakna kami akan berjalan sejauh 1 kilometer juga. Berulang alik mengangkut semua peralatan ini beberapa kali.

Antara yang paling berat ialah lantai kayu. Entah kayu apa dan sejak bila ia ujud. Keras lagi berat.

Balai akan dibubarkan sehari setelah majlis kenduri selesai.

Walaupun bersifat gotong royong - tetapi kehadiran sejak proses mendiri balai, hari kenduri dan memunggah (membubar) balai adalah wajib. Ada seorang ketua yang mengambil kedatangan. Setiap keluarga mesti menghantar seorang ahli. Mereka yang tidak datang akan didenda sebanyak RM 3. Bagi mengelak denda, kita boleh mengupah orang lain menggantikan pekerjaan kita. RM3 memang sedikit, tetapi hukuman moral itulah yang sangat besar.

Kini lori menjadi pengganti kerja mengangkut. Balai yang berat itu pula tiada lagi. Ia berganti khemah yang lebih cepat dipasang. Bagaimana pun, kehadiran masih tetap wajib. Denda juga tetap ada.

Ketika hari kenduri - setiap orang ada tugasnya. Ada yang kerjanya membancuh air sirap, membasuh pinggan, menjadi bentara, sehinggalah tukang eksklusif sebagai tukang masak. Setiap orang perlu berkerja dari jam 7 pagi hingga 6 petang, tidak kira sama ada tetamu masih ada atau tidak. Ia seolah-olah jabatan di organisasi besar. Setiap 'jabatan' ini pula ada ketuanya, dan ada beberapa orang ahli. Ketua inilah yang akan memberitahu kita itu dan ini. Rokok juga ada dibekalkan untuk setiap jabatan. Biasanya, aku antara orang yang paling gembira hari itu. Itulah harinya aku hisap rokok secara percuma.

Pemodenan memang menyenangkan. Tetapi ia menghilangkan keindahan.

Dahulu, sekitar tahun 80-an, kami masih menggunakan air telaga. Keluarga aku adalah pekerja sektor penyedia air sirap. Sepatutnya abang aku, tetapi selalunya dia hilang. Jadi, aku yang mengganti kerjanya itu. Air diambil dari telaga tertentu. Ia kemudian diisi dalam sebuah tong besar. Ia perlu dibawa ke rumah kenduri. Kalau jarak rumah kenduri jauh, ia menjadi satu pekerjaan yang berat. Apa pun berlaku, air minuman tidak boleh terputus. Begitu juga air membasuh pinggan mangkuk.

Paip datang bukan sekadar mencuci banyak perkara, ia turut mencuci semangat kerjasama. Tidak ada lagi air telaga. Telaga juga mungkin sudah tidak ada. Sebab itu banyak anak remaja kini tidak tahu bagaimana hendak mencedok air dari telaga. Mereka terasa pelik dan aneh. Di rumah aku masih ada lagi telaga. Boleh jadi bahan kajian sejarah.

Beberapa hari sebelum kenduri - ada seorang tua yang datang bermesyurat di rumah. Dialah yang menjadi 'estimator' bahan-bahan keperluan masakan. Dia perlu tahu berapa jumlah jemputan. Jadi dia tahu apa yang akan dimasak. Biasanya, sekurang-kurangnya perlu ada 3 lauk pada setiap majlis kenduri. Beberapa tahun lalu, beliau meninggal dunia. Aku tidak pasti siapa yang bertugas sebagai estimator sekarang ini.

Di kampung - banyak benda yang masih percuma. Kami mendapatkan rebung atau umbut pucuk pisang dari hutan. Dulu, semasa aku masih budak kampung - rajin juga aku dengan kerja ini. Kayu api juga didapatkan dari kebun getah atau batang kayu dari hutan. Kalau kita tidak boleh ambil sendiri, kita boleh meminta tolong orang lain.

Itulah hebatnya kampung aku. Sampai sekarang pun, gulai daging kawah dengan umbut pisang itu antara resipi yang hebat di kampung aku. Sesekali ada juga ikan talang masak kari. Sup perut dicicah dengan air asam juga ada. Rombongan pengantin dari kampung isteri aku masih lagi bercerita lagi hal masakan ini. Sebab itu, orang yang berkahwin dengan anak dara kampung aku selalu bercita-cita ingin berkahwin lagi. Mereka inginkan gulai daging dan umbut pisang hutan itu!

Tuan rumah biasanya tidak perlu membuat apa-apa sepanjang hari kenduri. Tidak juga perlu membasah tangan membasuh kawah dan kuali. Dia hanya perlu bersalam dan melayan tetamu. Semua pekerja adalah orang kampung. Sesekali, mungkin ada orang luar datang bersalam dengan sekeping sampul surat. Orang kampung aku pasti tidak menghulur sampul. Ia bukan budaya kami.

Tidak ada juga majlis sanding di kampung kami. Kalau ada pun, mungkin sangat ringkas. Tidak ada perhiasan indah dalam bab itu. Persandingan semacam hal yang pelik.

Malam setelah hari kenduri - antara malam yang paling meriah. Tahun 80-an, anak-anak muda akan berkumpul. Ada yang membuka daun pakau. Ada yang menonton video gusti Hulk Hogan. Waktu itu jangankan blu-ray, vcd pun belum wujud lagi. Larut malam kami budak-budak akan dihalau pulang. Mereka akan membuka tayangan lain. Jangan ditanya cerita apa. Ia cerita orang dewasa.

Sekarang ini - aku pasti tidak ada lagi tayangan seperti itu. Semua orang sudah ada tv. Boleh download dari internet. Cuma kalau ada pun, mereka yang duduk-duduk sambil minum air daun ketum.

Itulah cerita kampung aku. Banyak yang berubah. Tetapi, banyak lagi yang masih kekal.

Aku tidak pasti berapa lama lagi ia akan kekal. Dengan semakin berkurangnya banyak orang tua, dan banyak anak muda yang hidup di bandar, pastinya lama-kelamaan tidak ada sesiapa yang mampu mempertahankannya lagi. Tauke catering pasti akan singgah bertanya khabar.

Waktu itu, pasti tidak ada lagi daging gulai umbut pisang. Semuanya bertukar ayam masak merah dan pajeri nenas. Semuanya bertukar layan diri.

Kalaulah aku...

3 comments:

Ibnu Mutalib said...

MasyaAllah bestnya.
sekarang jarang dah orang2 kampung buat gotong royong.
tapi kalau YB datang rajin pulak depa,heh

ajaq said...

akhirnya aku ..ter created blog, nak tulis pe ye huhuhuhuhu

fitri zuberi said...

di Felda saya ade lagi gotong royong macam ni, tapi yang ramai orang2 tua lah, anak2 muda datang waktu makan besar je. Kalau waktu cuti dan ada kenduri kahwin, orang tua saya wajibkan datang, tolong jage air.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails