Yang Ikut

Tuesday, 1 June 2010

Kisah mengacau ikan

Reactions: 
Tidak ada perkara hendak ditulis. Maka aku tuliskan cerita ketika aku masih budak-budak. Aku pasti kehidupan budak-budak sekarang tidak akan lagi sama dengan kehidupan kami lebih 30 tahun dulu.

Seingat aku - semasa aku di sekolah rendah lagi, antara kegiatan utama aku ialah 'mengacau ikan'. Aku tidak pasti apa istilah yang tepat bagi menerangkan aktiviti petang Jumaat di musim kemarau sekitar tahun 1980-an itu. 'Mengacau ikan' atau 'kuan pla' dalam bahasa Siam ialah aktiviti orang kampung turun ke dalam sungai menyelongkar segala tempat persembunyian ikan di dalam sungai. Musim kemarau biasanya air telah mula mengering. Alir sungai dari hulu juga telah putus, dan tidak bersambung lagi.

Jadi biasanya, selepas habis sembahyang Jumaat - orang kampung akan mula bergerak ke sungai-sungai yang masyur dengan ikan air tawar. Bukan seorang dua, tetapi mungkin 30-40 orang turun ke dalam sungai. Setiap orang membawa peralatan menangkap ikan masing-masing. Peralatan itu ialah senjata masing-masing. Ada yang membawa pukat, ada pula yang membawa tangkul. Sebahagian yang lain membawa serkap dan tiruk. Orang yang ada modal membawa jala. Yang kurang, atau kanak-kanak seperti kami hanya membawa penjuk. Yang paling susah mungkin tidak membawa apa-apa, sekadar menggagau ikan yang bersembunyi di dalam lubang kayu atau di bawah rumpun rumbia.

Kerana rombongan manusia yang ramai - maka ikan akan menjadi kacau bilau. Air menjadi keruh. Yang lari terlekat pukat, yang bersembunyi ditikam tiruk. Waktu itu, ikan masih banyak. Belum ada racun dan tuba. Belum ada bom ikan dan perencat elektrik. Aku tahu banyak ikan air tawar - selar, haruan, keli, baung, puyu,lampam, sepat dan bermacam lagi. Ikan yang kecil seperti seluang akan timbul begitu sahaja kerana pening. Ikan puyu pula boleh ditangkap dengan mudah kerana ia akan bersembunyi di dalam tapak kaki.

Emak aku terkenal dengan tangkul. Sampai sekarang emak aku masih menggunakan tangkul. Aku pula - biasanya membawa serkap atau penjuk.

Selalu juga aku mendapat ikan haruan besar dengan serkap itu. Penjuk biasanya hanya mampu menangkap ikan kecil sahaja. Ia hanya digunakan bagi menangkap ikan di bawah akar kayu atau dalam perdu pohon bemban.

Sekali itu - aku tertikam sengat ikan keli di tangan. Bisanya tidak membawa ke mati - tetapi kalau tersalah gaya, bisanya boleh sampai ke bawah ketiak. Orang yang tertikam sengat keli biasanya tidak akan menggagau lagi. Mereka akan naik ke atas. Kalau ikan keli yang menikam itu dapat ditangkap - ia akan dibakar. Asapnya itu dibuat ubat. Entahlah betul atau tidak.

Proses mengacau ikan ini akan berlangsung dari jam 2 petang sehingga menjelang maghrib.

Banyak lubuk ikan di kampung aku. Antara sungai yang masyur - ialah Lubuk Batu, Sungai Mali, Sungai Tok Ngor dan Wang Lok Men (aku tidak tahu hendak terjemahkan ke dalam bahasa Melayu lubuk ini. Mungkin Lubuk Anak Men).

Wang Lok Men ini ada mitosnya sendiri. Kononnya ada seorang gadis cantik yang menjadi mangsa cemburu telah dibunuh di sini. Jadi - kami akan berasa sedikit seram di lubuk ini.

Sekarang ini - semua tradisi mengacau ikan ini adalah cerita nolstalgia. Ini adalah cerita tradisi yang pupus.

Setiap kali aku balik - aku pasti akan menaiki motor melawat sungai itu. Sekadar mengimbau nolstalgia lama. Sesekali aku pasangkan tangkul dan mencuba mengharap ikan yang datang. Aku tahu - ia tidak akan berlaku lagi. Dunia tradisi sudah lama mati oleh nafsu tamak dan deru pembangunan.

1 comment:

ajaq said...

orang gombau pangil 'ngoca' jang oi...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails