Yang Ikut

Tuesday, 13 October 2009

Ini kempen bahasa

Reactions: 
Aku sedang sibuk menulis jurnal. Aku menulis dalam bahasa Inggeris. Ia bukan bahasa besar. Ia cuma bahasa ketiga besar dunia selepas Mandarin dan Sepanyol. Aku tidak marahkan sesiapa jika perlu menulis dalam bahasa Inggeris, kerana aku tahu aku kini sedang berada di bumi penutur bahasa Inggeris.

Aku juga tidak marah untuk menulis dalam bahasa ini kerana aku perlu menghantarkan artikel ini ke jurnal yang berpangkalan di Amerika, juga bumi penutur bahasa Inggeris. Bagi aku, itu hal yang tidak pelik. Profesor aku - anak jati Australia yang nenek moyangnya berasal dari Ireland juga tidak pernah membuangkan manuskrip aku ke dalam tong sampah kalau ada kesalahan bahasa.

Malah, seumur hidup aku di sinilah aku mula menulis tulisan akademik dalam bahasa Inggeris. Tulisan sulung aku itu - diterima masuk ke satu jurnal antarabangsa.

Teman-teman sebilik aku tidak ada lagi berbangsa Melayu. Semuanya orang yang berbahasa Inggeris. Mereka selalu berkata, aku lebih baik daripada mereka kerana aku tahu dua bahasa, sedangkan mereka cuma tahu satu bahasa.

Mereka salah.

Aku juga boleh bertutur 3 bahasa (mungkin 4 kalau dihitung bahasa Indonesia). Aku boleh bertutur bahasa Siam dengan baik, walaupun mungkin tidak cemerlang. Di sini aku ada 3 orang anak dara Siam yang akan bercakap dengan ramahnya apabila mereka terserempak dengan aku. Mereka baik dengan aku bukan kerana aku satu fakulti dengan mereka. Aku baik dengan mereka kerana mereka tahu aku boleh berbahasa mereka.

Aku juga boleh menukarkan loghat bahasa Indonesia secara automatik apabila berjumpa dengan pelajar Indonesia. Mawar, seorang pelukis - wanita Sunda - adalah seorang kawan baik aku. Pak Adie - seorang Jawa - juga kawan baik aku.

Tetapi, aku marah kalau di negara aku ada orang memandang kerdil bahasa Melayu. Aku sebak kalau ada yang berkata bahasa ibunda aku ini cuma untuk orang kelas bawahan. Aku gelisah kalau ada sesiapa yang tanpa apa-apa sebab menukarkan polisi bahasa yang dirancang dengan sebegitu elok oleh mereka yang terdahulu.

Aku akan lebih marah kalau yang berkata itu pula - sedari kecilnya terdidik di negara luar yang tidak tahu pun perit jerihnya kita mengekalkan bahasa ibunda.

Bagaimana orang-orang ini boleh mengkerdilkan bahasa Melayu sedangkan mereka lahir di London, bersekolah di Leeds, dan kemudiannya belajar di Cambridge. Hanya kerana ibunya orang Melayu, dan bapanya orang Melayu - maka dia seolah-olah mahu bercakap mewakili orang Melayu. Berdarahkan Melayu belum tentu menjiwainya Melayu.

Bagaimana mereka boleh bercakap hal yang mereka tidak tahu. Seperti orang yang tidak pernah ke laut cuba mengajar nelayan menangkap ikan.

Aku juga marah kalau orang memandang rendah lulusan UKM yang terdidik dengan bahasa Melayu. Jangan hanya kerana kebolehan bahasa Inggeris anda, anda lebih pandai dari orang lain. Tatkala mereka sakit dan dirawat oleh doktor di HUKM, tidak pernah pula mereka bertanya "Adakah anda belajar perubatan dalam bahasa Melayu?"

Bagi aku - belajar bahasa tempatnya bukan di sekolah. Bahasa perlu dipelajari dari persekitaran. Aku boleh bercakap bahasa Siam kerana aku membesar di sempadan. Aku boleh faham bahasa Indonesia kerana aku pernah tinggal di Jakarta. Aku baik sedikit bahasa Inggeris kerana aku terpaksa singgah kedai membeli rokok Dunhill di Foodland, atau terpaksa berborak-borak dengan kawan-kawan aku yang berbahasa Inggeris.

Jadi, jangan ada sesiapa menghina bahasa ibunda aku. Jangan ada sesiapa cuba berlakon kononnya cintakan bahasa Melayu dengan hanya menggantungkan kain rentang atau menganjurkan kempen itu dan ini. Walaupun retorik itu sebahagian sifat bahasa, tetapi kita tidak bermain retorik dalam hal-hal yang berkaitan hala tuju bahasa.

Mencintai bahasa Melayu - bermakna kita perlu tegas dalam segala hal berkaitan dasar bahasa. Jangan sampai ada memperkecilkannya, apatah lagi menghinanya. Jika ada yang tersilap, maka kita kembalikannya kepada yang asal.

Itulah maknanya kita mencintai bahasa.


4 comments:

Muhammad Teja said...

agaknya, mungkin penutur Bahasa Melayu sahaja yang menubuhkan institusi bahasanya iaitu DBP. Agak-agak abang, ada tak Bahasa lain dalam dunia ini, menubuhkan institusi yang sama?

Walaupun Bahasa Melayu berinstitusi, bertaraf akademik dan lingua franca (di wilayah Nusantara), namun saya sering mendengar dialog berikut:

"ah, buat apa aku tulis betul-betul. bukan orang nak baca pun."

"skema. kau tulis skema sangat. siapa nak baca."

"bahasa kita mana ada standard."

bahasa sifatnya berpasangan. kalau tak ada orang nak bercakap (dan juga mengarang dengan betul) dalam BM, dengan siapa kita nak bercakap dan mengarang (sebab tak ada orang nak dengar dan baca).

Bolehkah kain rentang, 'Cintai Bahasa Melayu' berbahasa dengan kita? Bolehkah bangunan 60 tingkat DBP bercakap Bahasa Melayu piawai dengan kita?

saya sedih. bahasa suatu nikmat yang saya benar-benar syukuri (rujuk ar-rum: 22). tapi, ramai memperlecehkan, mengabaikan dan menulikan telinga. sedih amat.

sedih. sebab ada kawan-kawan yang berblog pun, bila ajak tulis dalam bahasa yang baik dan betul, depa gelak.

Hahaha!

Hahaha pada Bahasa Melayu!

ihsan_huhu said...

sng r ko nk kawen kat siam kang

xpon jadik translator utk azam kang

oryza sativa said...

Sy suka post ni. Menarik2..
Bahasa jiwa bangsa.. (^_^)

Al-Guz said...

nasib baik tak boleh berbahasa alam. Kalau tidak awak mungkin the next king Solomon.. Hihihi.

Teruskan berbahasa melayu demi kesejahteraan kita bersama

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails