Yang Ikut

Friday, 9 October 2009

Mencari warna sebenar politik Melayu

Reactions: 
Sejak era reformasi politik tahun 1998-1999, lanskap politik Melayu telah mengalami perubahan besar. Pengundi Melayu yang selama ini taat kepada UMNO dan Barisan Nasional berpecah kepada dua. Satunya menyokong PAS, dan satu lagi menubuhkan Parti Keadlilan Rakyat (PKR). Jika selama ini parti DAP dianggap sebagai sangat memusuhi Melayu dan Islam, kini ia dijadikan rakan kongsi bagi menjatuhkan Barisan Nasional.

Pengundi Melayu yang selama ini begitu setia dengan UMNO, kini melihat PAS dan PKR sebagai parti alternatif baru yang mampu memberikan harapan kepada mereka, walaupun kadang-kadang mereka berasa curiga juga. Ini khususnya apabila ada kepentingan Melayu yang dirasakan bakal terhakis.

Jadi - jangan berasa terkejut jika sekiranya ada sesekali perkahwinan PAS, PKR dan DAP itu dipukul gelombang, misalnya seperti kritikan Ronnie Lim terhadap tindakan PAS di Selangor dalam cadangan menghapuskan penjualan arak. Begitu juga tindakan Datuk Hassan Ali mempertikaikan perjalanan SELCAT di Selangor.

Sebenarnya bukan hanya di Selangor - perkahwinan di antara ketiga-tiga parti ini mengalami masalah. Tindakan lompat parti 2 Adun PKR, dan satu Adun DAP di Perak misalnya telah melenyapkan harapan Pakatan Rakyat untuk menguasai Perak. Hanya disebabkan dominasi PAS di Kedah dan Kelantan, tidak terlihat sebarang halangan besar untuk Pakatan Rakyat menunjukkan keupayaan mereka memerintah negeri.

Namun - satu persoalan yang berbangkit kini - apakah warna sebenar politik Melayu? Adakah mereka benar-benar begitu marahkan UMNO sehingga tidak ada peluang untuk mereka memaafkan kesalahan UMNO? Bagaimana pula dengan persepsi mereka dengan kepincangan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat, khususnya kecurigaan terhadap sentimen kurang taat di kalangan ahli politik PKR?

PAS walaupun dari segi kredibilitinya, lebih diyakini - melihat kepada perjalanan perjuangannya yang panjang - ahli-ahli yang tidak memandang kepada pulangan wang ringgit dan peluang perniagaan, tetapi dilihat seolah-olah 'adik kecil' berbanding PKR dan DAP, walaupun mereka adalah di antara parti tua dan dominan dalam percaturan politik negara. Tidak semua ahli PAS sendiri yang senang melihat keadaan ini.

Semua ini adalah antara dilema baru politik Melayu. Krisis politik di Perak misalnya, dengan kritikan terhadap institusi istana, sedikit sebanyak menyentuh hati orang Melayu. Raja bukan sahaja institusi penting perlembagaan negara, tetapi ia juga antara simbol kekuatan Melayu yang tetap kekal walaupun dari segi sejarahnya negara telah dijajah oleh pelbagai kuasa. Tidak ada sesiapa pun boleh menafikan peranan Istana sebagai manifestasi ketuanan Melayu.

Kesilapan besar UMNO ialah membiarkan budaya politik wang, kuasa dan kekayaan menguasai parti. Mereka yang ingin memiliki kekayaan dan kuasa perlu menjadi ahli UMNO. Maka, mereka yang mungkin tidak pun memiliki sentimen cintakan bangsa dan agama - asalkan berhasrat untuk kekayaan dan kuasa, telah mula menghimpit parti.

Mereka ini adalah kelompok baru yang menguasai parti - ahli-ahli perniagaan dan broker projek, dan bukan lagi kakitangan kerajaan dan para pendidik seperti mana di awal perjuangan UMNO. Ini menjadikan UMNO dilihat parti elit. Ia menjadikan UMNO dilihat sarang para pencari wang, dan bukannya pejuang atau nasionalis bangsa. Setiap kali menjelangnya Perhimpunan Agung UMNO, orang akan mula bercakap yang pemimpin bertanding memberikan 'wang kopi' sebanyak itu dan ini bagi meraih undi. Semua ini bukan lagi rahsia. Walaupun apa alasan yang diberikan, tetapi inilah persepsi para pengundi.

Ini ditambah, ada tindakan yang dilakukan oleh UMNO yang mungkin menjadikan ia tidak disenangi. Isu bahasa Melayu misalnya, menjadikan UMNO tidak dilihat sebagai memperjuangkan hak istimewa orang Melayu. Semua ini telah membuka ruang untuk parti terus diserang oleh Pakatan Rakyat - yang kemudiannya berjaya memanipulasi isu ini begitu berkesan.

Dalam keadaan sekarang, apakah parti yang benar relevan bagi orang Melayu? PAS yang dahulunya menyalahkan UMNO kerana bersekongkol dengan parti bukan Islam, kini tidak jauh bezanya juga kerana mereka juga kini bersahabat baik dengan DAP. PKR mungkin diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim, tokoh yang dianggap pemimpin karismatik Melayu. Tetapi ia bukanlah parti yang menjadi milik mutlak orang Melayu.

Ada yang mungkin berkata, dalam era moden ini - persoalan ketuanan dan hak istimewa Melayu tidak lagi isu yang penting. Mungkin benar jika pandangan itu dicetuskan masyarakat kota, ahli korporat dan profesional yang mungkin tidak bergantung kepada parti politik dalam meneruskan kehidupan mereka.

Bagaimana pula halnya dengan masyarakat luar bandar yang masih miskin. Politik yang dianggap sebagai 'apa, siapa dan bagaimana?" oleh H.D Laswell itu adalah manifestasi kewujudan politik dalam memenuhi kehendak manusia. Politik tetap diperlukan bagi menunaikan harapan mereka. Politik tetap dianggap satu-satunya jalan yang boleh mengubah nasib mereka.

Apatah lagi dalam situasi pelbagai isu yang melibatkan orang Melayu yang masih belum selesai, bahkan ada yang bertambah rumit. Isu ekonomi orang Melayu misalnya, masih dalam keadaan yang sangat lemah. Tatkala bangsa lain sudah memiliki aset dan harta yang melimpah ruah, orang Melayu masih kelam kabut memohon rumah PPRT.

Begitu juga dalam hal yang melibatkan pendidikan. Tanpa biasiswa kerajaan, berapa ramai orang Melayu yang mampu menyambung pengajian di luar negara seperti bangsa lain? Malah, tanpa adanya pinjaman PTPTN misalnya, mungkin hanya beberapa kerat sahaja anak Melayu yang mampu ke menara gading. Semua ini menunjukkan betapa kusutnya persoalan orang Melayu.

Ini belum termasuk isu-isu sosial lain. Penagihan dadah, gejala sosial, keciciran pengajian dan sebagainya.

Jadi - manakah parti Melayu yang mampu merungkaikan semua ini jika tidak ada satu pun yang dominan, atau mempunyai wadah perjuangan yang sama? Semua ini mencetuskan dilema baru orang Melayu.

Kita mungkin tidak sebijak orang lain yang berpecah untuk bersatu, tetapi kita bersatu untuk berpecah.

Untuk semua ahli politik Melayu - jangan hanya sibuk berpilihanraya. Sesekali fikirkanlah apa yang terbaik untuk bangsa ini.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails