Yang Ikut

Thursday, 22 October 2009

Siapa kata menjadi pintar menguntungkan?

Reactions: 
Setiap daripada kita - selalu bercita-cita ingin menjadi orang yang pintar. Kita juga kalau boleh semua anak-anak kita mendapat nombor satu dalam kelasnya. Kalau boleh juga, mereka menjadi yang paling baik dalam negara.

Adakah orang pintar selalu untung? Kita selalu melihat sisi baiknya sahaja. Orang pintar dihargai dan disayangi. Orang pintar mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke universiti, dan kemungkinan mendapat pekerjaan yang baik. Orang pintar jarang menjadi pekerja bawahan. Mereka juga dihormati orang lain. Pandangan mereka didengar.

Itu adalah antara sisi baik orang pintar. Sebenarnya banyak sisi buruk orang pintar yang kita tidak tahu.

Orang pintar biasanya adalah mereka yang terpilih. Dengan kedudukan yang baik dalam peperiksaan, mereka biasanya terpilih untuk memasuki sekolah asrama. Hidup mereka cuma bergaul dengan manusia yang baik seperti mereka. Mereka jarang berpeluang untuk menikmati makna hidup yang sebenarnya seperti orang lain.

Tamat sekolah, sekali lagi mereka terpilih mengikuti pengajian ke universiti. Sekali lagi hidup dalam kelompok orang seperti mereka. Mereka hanya kenal dunia buku, teori dan formula.

Jika pulang kampung bercuti sekalipun, bagi menjaga prestasi mereka, mereka lebih banyak berkurung di rumah. Mereka menghabiskan masa membaca buku atau menonton televisyen. Mereka juga takut untuk didekati oleh rakan-rakan sebaya mereka yang 'biasa-biasa' sahaja. Hasilnya, mereka tidak mampu mengadaptasi diri dengan realiti tipu daya kehidupan manusia.

Inilah sisi buruk mereka. Mereka mungkin tidak tahu berapa harga sekilo ikan yang dijual di pasar. Mereka juga mungkin tidak tahu bagaimana proses orang menanam pokok padi. Sepintar mereka pun, juga tidak mustahil kalau mereka tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan rebung dari pohon buluh. Atau ada yang mungkin tidak tahu bahawa rebung itu berasal dari buluh.

Orang pintar juga tentu tidak tahu bagaimana menahan jerat pelanduk, atau menggunakan 'getah tikus' untuk menjerat burung yang mandi di lopak air di musim kemarau.

Kerana pergaulan yang terbatas, orang pintar juga tidak didedahkan dengan kejahatan manusia. Mereka mungkin tidak tahu ada juga orang bertukar beli dadah ketika membeli burger. Orang pintar juga mungkin tidak tahu puluhan nama dadah yang ada dalam pasaran.

Sulit juga untuk mereka tahu bahawa ada cara-cara lain orang membalas jasa orang berkedudukan yang memberi projek dengan cara yang sangat halus - misalnya menjemput orang tersebut memberikan ceramah. Ceramah ini pula dibayar dengan upah yang besar. Ia tidak kelihatan sebagai rasuah, kerana cara pemberian itu berbentuk upah.

Banyak lagi perkara yang orang pintar tidak tahu. Mereka juga mungkin tidak tahu bagaimana untuk memulakan perbualan dengan masyarakat luar. Mereka mungkin tidak tahu bahawa orang kampung tidak suka bercakap hal-hal yang bersifat 'belia' atau 'skema' yang sukar difahami. Mereka juga mungkin tidak kenal pun siapa wakil rakyat di tempat mereka.

Mereka mungkin tidak tahu untuk ke Thailand, mereka tidak semestinya memiliki pasport. Dengan membayar RM 15 kepada ulat motor, dan mereka akan dihantar masuk ke Thailand dengan selamat. Tetapi, mereka perlu tahu hal ini. Ulat-ulat motor ini biasanya menggelarkan pelanggan mereka ini sebagai 'lembu' (istilah ini digunapakai di pintu masuk Bukit Kayu Hitam).

Orang pintar memanglah pintar. Tetapi ada hal-hal tertentu yang orang pintar juga tidak tahu. Siapa kata menjadi orang pintar selalu menguntungkan?

Apa sekalipun, menjadi orang bodoh yang menguntungkan tidak akan lebih baik dari menjadi orang pintar yang merugikan.

Tetapi, yang pasti orang pintar tahu bahawa ada undi di blog ini!

3 comments:

ihsan_huhu said...

terase mcm aku nih pintar plak

Abang Ben said...

tu pasal kita kena selalu ada benchmark. Kalau tak, tak tau siapa sebenarnya yang pintar (kalau dia menang Nobel pun, dia masih bodoh dalam banyak hal lagi - termasuklah SV ko dan aku).

Benchmarknya ialah agama. Nabi s.a.w. kata orang yang paling pintar/cerdik ialah orang yang selalu ingat mati dan bersedia untuk menghadapinya.

Atas benchmark itu, aku mengaku, aku masih bodoh bangang.

mala said...

ramai jugak orang pintar yang ngok! :)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails