Yang Ikut

Saturday, 31 October 2009

Rumah belakang perdu pisang

Reactions: 
Teja menulis sesuatu di laman blognya. Tentulah itu bukan terakhir oleh beliau, kerana beliau akan menyambung lagi tulisannya itu dalam memperkatakan Melayu dan Islam, khususnya dalam hal berkaitan dengan proses menimba ilmu agama.

Sebenarnya aku pun tidak mempunyai autoriti bagi mengulas hal-hal keagamaan. Kerana aku tidak terdidik dalam bidang itu. Jadi aku hanya sekadar berkongsi pengalaman sahaja. Selepas tamat darjah 6, aku ditawarkan ke Sekolah Menengah Allawiyah, di Kangar. Sekolah agama. Pada masa yang sama, aku juga ditawarkan ke Sekolah Menengah Jitra. Kedua-duanya sekolah yang baik, dan kedua-duanya perlu tinggal di asrama.

Kerana pada waktu itu bapa aku sudah tiada, jadi abang aku memberi peluang membuat keputusan sendiri. Tahun 1985 itu - pengaruh rock kapak sudah mula berkembang. Walaupun masih budak lagi, tetapi aku sudah terpengaruh. Aku jangkakan, kalau aku ke sekolah agama, maka tidak ada harapanlah aku tersongsang dengan budaya rock kapak itu. Jadi, aku pilih Sekolah Menengah Jitra. Aku tidak tahu itu keputusan yang betul atau salah.

Tetapi aku bernasib baik. Sekitar Changlun waktu itu masih ada beberapa orang guru agama besar. Mereka mungkin tidak dikenali kerana jarang masuk TV dan tidak ada gelar PhD. Mereka pula cuma kerja menoreh atau menanam padi. Jadi, tidak popular seperti banyak ulama moden. Hidup mereka pula simple sahaja.

Jadi - aku berkesempatan sekali sekala singgah untuk belajar dengan mereka kerana abang aku aktif dalam hal itu, khususnya ketika cuti hujung minggu atau cuti sekolah. Antara yang terkenal ialah Lebai Pa dan Tok Haji Hassan (yang kemudiannya menjadi bapa mertua abang aku). Waktu itu masih budak-budak lagi aku kalau dibandingkan dengan kawan abangku yang lain.

Walaupun ilmu nahu mereka ini tinggi dan keupayaan bahasa Arab yang mengagumkan, mereka ini biasa sahaja rentaknya. Tidaklah mereka ini mempunyai pengikut atau sebagainya. Yang ada hanya orang yang datang belajar, dan kemudiannya pulang. Kalau rajin, besok sambung belajar lagi. Begitulah.

Di kalangan yang mengajar ini, yang paling tersohor dan dihormati di kalangan kebanyakan orang berguru aliran pondok dan 'kitab tadah' ini ialah Tuan Guru Haji Chik. Beliau ialah anak murid Tok Kenali di Kelantan. Beliau juga menulis kita fekahnya sendiri, selain mengajar beberapa kitab yang lain. Pernah berguru dan mengajar di Mekah. Ulama fekah di Mekah pada masa lalu kenal dan tahu akan ilmu Tuan Guru Haji Chik. Pada masa sekarang pun, kebanyakan pelajar aliran pondok sepatutnya tahu akan beliau. Beliau telah pulang ke Rahmatullah sekitar tahun 2002 atau 2003 lalu ketika di umur 103 tahun (kalau tidak silap).

Tetapi hidup mereka ini biasa-biasa sahaja. Cuma dalam hidup dalam beragama mereka luarbiasa. Mereka tegas dalam memperkatakan sesuatu.

Selain, Tuan Guru Haji Chik - ialah Haji Umar. Beliau beberapa tahun lalu pulang ke Rahmatullah sekitar umur 70-an. Walaupun beliau juga alim, tetapi beliau tidak mengajar. Beliau juga masih terus berulang alik ke rumah Haji Chik untuk belajar. Beliau juga belajar dan mendengar bacaan kitab di rumah teman-teman sebayanya yang lain. Cuma setelah hampir kesemua orang alim meninggal dunia, barulah dia membuka kitabnya dan menyambung tradisi mengajar.

Kita mungkin sering menganggap orang alim ini tidak tahu teknologi IT atau tidak belajar di universiti, maka mereka mungkin tidak setanding dengan graduan universiti. Realitinya tidak. Mereka tahu semuanya. Mereka boleh bersyarah hal Jamaluddin Al-Afghan, boleh memberitahu kita siapa Ibn Khaldun. Apatah lagi untuk berbahas tentang siapa Ibn Timmiyah atau Muhammad bin Abdul Wahab. Bahkan, apabila sampai kepada topik berkaitan muamalat misalnya, mereka boleh bersyarah sejarah penubuhan bank di Malaysia.

Beza aliran pengajian ini dengan pendidikan moden sangatlah banyak. Salah satunya ialah menceritakan salasilah guru. Itulah yang akan dimulai bagi setiap pengajian kitab apa pun. Aku belajar dari guru ini, dan guru ini belajar dari guru ini, dan guru ini pula belajar dari guru ini. Apa perlunya semua ini?

Inilah yang bakal mengelakkan manusia dari kesesatan. Tanpa sanad guru, kita tidak tahu dari mana sumber ilmu itu diambil. Tanpa sanad guru, kita tidak tahu apa aliran yang kita pegang dalam membahaskan fatwa agama. Maka kerana itu, janganlah hairan kalau sekarang ini kita dengar macam-macam. Kita tidak tahu sama ada ia disebabkan pekongsian maklumat, atau ketidaktahuan asas aliran yang mereka pegang.

Dalam hal yang lain - guru-guru ini tidak akan menjawab kalau mereka tidak tahu. Mereka akan berkata, tangguh dulu. Maksudnya, mereka akan cuba bertanya dengan tokoh lain yang tahu, atau merujuk kepada sumber dalam kitab yang muktabar.

Mereka mungkin tidak ada Ijazah dari Al-Azhar. Tetapi mereka belajar lebih dalam. Setiap kali membuka kitab, yang dimulai dengan Bismillah - mereka mungkin mengambil masa 2 jam untuk bersyarah akan ayat itu sahaja.

Sebenarnya itulah bezanya di antara maklumat dan ilmu. Maklumat kita boleh cetak dari internet, dan kemudiannya sebarkan. Tetapi keupayaan menafsir itu memerlukan ilmu. Keupayaan memperkatakan sesuatu perlu bersandarkan sesuatu. Misalnya, dikatakan orang yang membunuh diri akan jadi kafir. Itu maklumat yang kita perolehi. Tanpa ilmu, kita menghukum begitu. Dengan ada ilmu kita mungkin akan memberikan pertimbangan kepada faktor lain juga. Biasanya tidak semua orang mudah membunuh diri jika tidak hilang akal. Orang yang hilang akal tidak tertakluk hukum ke atasnya. Itulah yang membezakan di antara pentafsiran berdasarkan maklumat dan penafsiran berdasarkan ilmu.

Walaupun mereka ini mengajar dan juga belajar, tetapi mereka ini ikhlas dalam hal pengajaran mereka. Ini hal yang bagus. Pernah satu pelajar cuba memberikan wang selesai sahaja majlis pengajian. Maka salah seorang guru yang aku nyatakan di atas berkata - jangan buat begitu lagi. Ambil balik wang ini. Jangan kerana wang ini yang mengajar tidak mendapat pahala, yang diajar juga tidak mendapat apa-apa.

Sayangnya, mereka ini tidak ada lagi. Sekarang ini aliran pengajian ini masih diteruskan. Ia diteruskan oleh anak-anak murid mereka yang lain. Tentunya usia mereka tidaklah terlalu tua seperti mereka. Tetapi mereka tetap tegas dalam memperkatakan sesuatu. Sumber mereka juga sama. Mereka juga akan menceritakan sanad guru mereka setiap kali memulakan satu-satu kitab.

Kalau satu hari nanti anda mempunyai peluang, mungkin boleh mendalami sesuatu. Aku tahu, seperti aku juga - kita kini semuanya sibuk. Walaupun kita tahu hidup kita tidak lama, dan jahil dalam banyak perkara. Moga-moga kita diberikan pertolongan Allah bagi memudahkan kita terus menimba ilmu.

Kita mungkin sedang berada di menara gading atau ada lulusan besar. Ingat, universiti bukan segala-galanya. Universiti mungkin tidak menjawab semuanya. Mungkin jawapannya ada di rumah di belakang perdu pisang di kampung kita. Waktu itu, terasa sangat kerdilnya diri kita.

4 comments:

speedrider said...

salam,

terima kasih kerana mengingatkan kami semua, tuan.

Hasni Bin Hashim said...

so sapa lagi la ni dok ngajaq
Hasni

FakirFikir said...

Ust Azizan. Muda lagi.

Anonymous said...

Sayang dulu semasa Tn Guru Hj Chik Ada , saya tak bersungguh-sungguh menjana ilmu darinya, kini semuanya dah berlalu, menyesal yang tak kesudah

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails