Yang Ikut

Wednesday, 21 October 2009

Sejadah berdiri - Apa yang pelik?

Reactions: 
Anda mungkin telah membaca berita ini.

Orang kita sangat suka dengan perkara yang pelik. Orang kita jadi hairan melihat ada sejadah berdiri. Orang juga jadi teruja kalau ada objek terbang di atas bumbung rumah mereka. Kita juga sangat suka mendengar ada 'wanita berbaju kebaya' melintas pantas di hadapan kereta tidak jauh dari perhentian R & R Gurun.

Orang kita juga sangat cepat membuat pelbagai teori kalau ada batu berkilat ditemui dalam buah delima, atau batu yang keluar dari pokok serai. Kononnya ia boleh menyembuh pelbagai jenis penyakit. Kalaulah benar begitu, sudah lama hospital ditutup dan doktor kehilangan pekerjaan. Kalaulah betul, sudah lama saintis barat menghasilkan kajian bagiamana untuk menghasilkan buah delima atau pokok serai yang boleh mengeluarkan batu.

Semua ini adalah hal kecil sahaja yang sepatutnya tidak diberikan tumpuan. Tetapi sebab kita suka hal kecil, maka tukang jual ubat di pasar malam mampu memperbodohkan kita kononnya api boleh disembur dari mulut mereka, atau berupaya melarutkan logam dengan air ubat ajaib. Sebab kita sangat asyik mendengar hal-hal pelik, maka warga kulit hitam mampu menipu kita dengan menjual 'black money'.

Sebab kita jahil dalam banyak hal, kita juga mudah dipengaruhi dengan banyak hal pelik lain. Ada orang yang terpengaruh dengan rahsia pulangan wang lumayan hanya kerana membaca emel berantai. Semua ini menunjukkan betapa ceteknya akal kita dalam menaakul peristiwa pelik dan tidak logik.

Di kampung aku, ada busut yang berbentuk buaya yang timbul di tengah-tengah sebuah kedai runcit. Tuan kedai itu percaya bahawa busut itu membawa tuah. Jadi, sampai sekarang busut itu tetap disimpan setelah puluhan tahun. Kalau betul busut itu membawa tuah, sudah lama kedainya bertukar menjadi pasaraya. Dia terlupa tuah kedainya bukan kerana busut buaya tadi, tetapi tuah kedainya kerana strategi pemasarannya. Sekarang, kedai itu sudah menjadi 'hidup segan mati tak mahu' kerana banyak lagi kedai runcit lain yang muncul, lebih besar dan lebih baik. Busut buaya tidak mampu membantunya.

Di Kepala Batas, Pulau Pinang beberapa tahun lalu orang jadi terkejut kerana ada pelepah pokok pinang berupa topeng wajah manusia. Maka setiap hari ratusan orang singgah untuk melihat pohon tadi. Banyaknya orang kita, orang Islam. Yang untungnya orang lain. Mereka membuka kaunter menjual makanan dan minuman. Mereka juga menjual foto pelepah aneh tadi. Apa yang kita dapat? Kita cuma dapat cerita pelik dan kemudiannya diwariskan dari satu generasi ke satu generasi.

Jadi - apabila sejadah berdiri - apa masalahnya? Kalau pun benar ia bukan perbuatan manusia, tentu kita juga tahu bahawa dunia ini bukan hanya didiami manusia. Ada juga jin. Tetapi, tentulah jin tidak sebodoh itu untuk bermain-main dengan manusia sekadar hanya mengangkat sejadah. Ia sepatutnya memindahkan surau itu ke tempat lain. Itu baru betul berita ajaib.

Orang Islam - khususnya - sangat percaya dengan berita aneh seumpama ini. Kononnya ini adalah peringatan untuk mereka. Kononnya ini adalah amaran agar kita kembali bertaubat. Sebaliknya, kita tidak pula mahu percaya dengan apa yang diajarkan oleh orang alim. Ada jutaan kitab. Ada jutaan ayat yang mengingatkan manusia agar sentiasa patuh dan taat dengan agama. Ada ratusan orang alim yang saban hari memberikan kita peringatan. Malangnya, tidak ada siapa mahu mendengarnya.

Kita lebih suka mendengar dakwah dari sejadah yang berdiri. Itulah kita. Kita mungkin terlupa, bahawa sejadah itu juga sedang menyaksikan keanehan perangai kita!

3 comments:

ihsan_huhu said...

tuh r. makin lame makin byk plak kes sejadah berdiri nih

mcm xberkat plak kalau surau tu xdek sejadah berdiri.

adoi r

Abang Ben said...

Kita mencari2 miracle.

Allah s.w.t. kata Al-Quran itu miracle. Depan mata dah ada dah.

Anonymous said...

itu baru sejadah berdiri..apa pula nasib orang melayu Islam yang asyik dengan pameran hantu setahun lepas. Di pameran itu ada pula kononnya suara siksaan kubur..Yang paling melucukan ialah orang kita juga yang masuk..dan yang menganjur tu pun apa kurang hebatnya.Bak kata bukan calang calang orang yang menganjur".

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails