Yang Ikut

Showing posts with label leadership training. Show all posts
Showing posts with label leadership training. Show all posts

Friday, 7 May 2010

Tips temuduga - bab jujur

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Beberapa orang anak muda seperti Aini - dan tentu puluhan ribu graduan muda lain sedang berasak-asak menulis surat memohon kerja. Sesuai dengan musim orang mencari kerja, kali ini aku tuliskan hal temuduga.

Temuduga pada asasnya menilai 3 hal utama - afektif (komponen sikap), kognitif (pengetahuan dan pemikiran) dan tingkahlaku (keupayaan berkerja etc). Ini yang diberitahu dalam buku. Mungkin Cik Nona boleh betulkan kalau aku salah.

Tapi - aku tidak mahu bercakap hal temuduga itu. Aku tidak mahu bercerita hal-hal yang ditulis buku. Aku mahu bercakap hal realiti temuduga.


I
Memohon kerja
Sebenarnya - memohon kerja adalah hal paling sukar. Tidak berguna sedikit pun ayat yang berbunga-bunga, atau CV yang rapi - kalau tidak ada orang yang membacanya. Tidak berguna juga kalau surat kita dibaca, tetapi kita tidak dipanggil temuduga. Jadi pintu segala memohon kerja ialah dipanggil temuduga.

Hakikatnya - sekiranya anda mengenali sesiapa yang ada dalam sesebuah organisasi, mintalah bantuan mereka. Istilah mudah - gunalah kabel. Kalau ada mempunyai kabel - ia lebih mudah untuk dipanggil temuduga. Jangan terlalu jujur. Dalam dunia realiti - tidak ada sesiapa yang bertindak jujur. Semua orang mengguna jalan pintas.

II
Sewaktu temuduga
Pada waktu temuduga - jadilah pelakon sebaik mungkin. Walaupun keputusan pengajian anda cukup makan sahaja. Tinggalkan kebodohan anda di rumah. Pakailah pakaian yang cantik. Pinjamlah 'blazer' bakal bapa mertua anda. Biar kita kelihatan segak. Manusia tidak begitu menilai orang lain dengan kebijaksanaan. Orang menilai gaya kita. Banyak sebab. Orang yang menemuduga juga belum tentu pandai. Sebab itu juga penyanyi program realiti - yang menjadi juara selalunya berwajah tampan atau bermuka cantik. Orang menilai tampan dahulu, sebelum merdu.

Semasa bercakap dengan penemuduga - jangan terlalu jujur dengan semua hal. Ada hal kita tidak patut bercakap jujur. Sekiranya dia bertanya: "Adakah anda meminta kerja di tempat lain?" Jangan jawab 'Ya'. Jawablah: 'Buat masa ini tidak'. Kita tidak berbohong. Sebab "buat masa ini", kita berada dalam bilik temuduga. Kita memang tidak meminta kerja lain.

Sekiranya anda menjawab ya, penemuduga bimbang anda akan melarikan diri. Sekiranya ada calon lain yang sama keupayaannya dengan anda, anda akan gagal. Sebabnya anda ada potensi untuk ke tempat lain, sedangkan calon yang seorang lagi tidak. Kecuali yang menemuduga anda ialah bakal bapa mertua anda. Itu cerita lain.

Lainlah - kalau ditanya hal akademik, status perkahwinan dan sebagainya. Itu cerita lain. Itu perlu jujur. Kalau dalam keluarga anda, ramai adik beradik yang masuk universiti - carilah peluang menceritakannya. Ini akan menaikkan lagi saham anda sebagai kononnya datang dari keluarga yang baik-baik. Melainkan kalau anda rasa ada hal yang patut disebunyikan. Misalnya hanya anda yang masuk Cambridge University - dan 5 lagi adik beradik anda masuk pusat serenti - rahsiakan hal itu.

Apa lagi? Jangan sesekali bercakap 'bolehlah" - kalau anda ditanya bolehkah awak buat kerja ini. Jawab dengan yakin - "Boleh. Saya pasti boleh'. Kemudian sambung dengan alasan lain yang direka. Orang mengharapkan kesungguhan dan keyakinan anda. Itu sahaja.

Aku dulu - ada satu penemuduga cuba mempertikai hipotesis kajian aku. "Eh, boleh ke ni. Hipotesis ni nampak macam sikit je ni". Mungkin sebab umur aku - aku pintas bangun lalu menyeluk marker pen dalam poket aku. "Siapa kata sikit. Mari saya tunjukkan". Sambil bingkas bangun, aku bertanya:"Ada tak white board". Aku ingin menunjukkan kepada penemuduga - apa sebenarnya. Dia pun menjawabnya: "Oo..ok. Saja je nak test". Aku pun tak faham kenapa aku bawa market pen dalam poket aku hari itu.

III
Selepas temuduga
Setelah habis temuduga - jangan berangan-angan yang anda akan dapat kerja. Itu sama seperti orang yang berjumpa dengan anak raja, lalu berangan-angan mengahwininya. Lupakan hal temuduga tadi. Tutup buku.

Kita pohon lagi di tempat lain. Setelah dipanggil temuduga lagi, dan ditanya 'ada pohon kerja tempat lain"" - Jawablah lagi "Buat masa ini, saya rasa hanya ini organisasi yang sesuai dengan saya. Saya belum lagi bercadang memohon ditempat lain, melainkan tuan tidak berhasrat menggajikan saya".

Itulah hakikat temuduga. Jangan jujur dengan semua hal. Ada hal patut kita yakinkan, ada hal patut kita diamkan. Sekiranya anda beritahu dengan jawapan tadi pun - hakikatnya penemuduga tahu bahawa anda memang memohon pekerjaan lain. Bodohlah anda graduan muda tidak mencari kerja.

Bagaimana aku tahu? - Satu waktu dulu - akulah penemuduga itu!

Saturday, 24 October 2009

Nik Aziz, Tian Chua dan politik Malaysia

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Nota: Ini bukan perbincangan politik.

Ada dua berita besar yang sedang berlegar dalam senario politik Malaysia saat ini. Anda yang meminati politik sudah tentu membacanya. Bagi yang tidak berminat dengan politik, jangan hiraukannya. Teruskanlah dengan pekerjaan anda.

Nik Aziz dianggap tokoh ulama penting dalam PAS. Ia bukan sahaja pemimpin yang deihormati dalam partinya, tetapi juga di antara Menteri Besar yang bertahan lama. Ketika semua negeri dipimpin oleh Barisan Nasional, hanya Nik Aziz seorang sahaja mampu membuktikan bahawa dia mampu melakukan sesuatu yang terbaik untuk partinya.

Nik Aziz - dia bersuara sejujurnya. Mungkin, tidak ada pemimpin politik yang sehebat beliau dalam hal menyuarakan pandangan. Beliau tidak menyembunyikan apa-apa. Dia menyuarakan apa sahaja yang pada pandangannya adalah betul, walaupun ia mungkin memberikan kesan tidak baik terhadap partinya. Tetapi itulah Nik Aziz. Bukan sekali atau dua kali dia mengeluarkan pandangan yang dianggap kontroversi, bahkan berkali-kali.

Terbaru - kritikan beliau terhadap beberapa pemimpin dalam PAS yang dianggap beliau sebagai sedang menjadi duri dalam daging dalam isu kerajaan perpaduan. Mereka yang dikritik ini bukanlah ahli biasa, atau pemimpin peringkat bahagian. Mereka yang dikritik ini termasuklah presiden parti dan naib presiden. Ini hal luar biasa. Tidak ramai manusia yang berani mengkritik orang atasannya. Apatah lagi dalam konteks budaya Asia dan 'jarak kuasa' yang tinggi seperti Malaysia.

Tetapi itulah yang menjadi seseorang itu dianggap pemimpin. Sifat utama pemimpin ialah prinsip. Ingat - prinsip. Tanpa prinsip, lebih baik anda menjadi pengemis sahaja.

Pemimpin mesti ada ciri uniknya. Pemimpin mesti berani menanggung risiko. Pemimpin sentiasa lain dari orang bawah. Anda boleh membezakan di antara pemimpin dan pengikut dalam konteks apa pun, sekalipun anda tidak kenal mereka. Kalau anda seorang yang berminat membaca buku, carilah buku Gary Yukl.

Tian Chua - mungkin bukan sesiapa kalau dibandingkan dengan Nik Aziz. Dia hanya pemuda Cina biasa sahaja. Bekas penyelidik bagi sebuah NGO di Hong Kong.

Tetapi itu dahulu. Dia juga dilihat pemimpin bagi yang meminati cara beliau menempuh gelojak politik tanahair. Pada era reformasi tahun 1990-an, dari seorang yang bukan sesiapa - beliau tiba-tiba muncul karektor pejuang anak muda. Beliau berani tidur di hadapan trak polis yang sedang bergerak, dan tentulah berkali-kali juga disembur dengan gas pemedih mata.

Apabila beliau dikatakan menggigit telinga seorang anggota keselamatan, itu bukanlah hal yang pelik bagi anak muda sepertinya. Tetapi itulah ciri uniknya. Ciri uniknya ialah keberaniannya dalam hal-hal seperti itu. Dia mungkin bukan pemidato hebat, bukan juga seorang yang hebat berkata-kata. Cuma kerana keberaniannya, beliau dianggap sebagai memiliki sifat pemimpin.

Bekas Perdana Menteri kita - Tun Mahathir juga ada sifat uniknya. Tidak ada orang yang berani dan sekerasnya dalam mengambil tindakan politik. Tentu tidak ada pemimpin lain dari negara Asia yang berani mengambil tindakan memboikot produk Britain - apatah pada waktu itu dipimpin oleh orang yang besar juga - Margaret Tatcher. Tun Mahathir jugalah yang mengkritik Tunku Abdul Rahman sehingga beliau dipecat dari parti.

Tetapi itulah pemimpin. Pemimpin mesti berani dan ada prinsip.

Sekarang ini berapa banyak pemimpin seperti ini? Banyaknya yang hanya baling batu sembunyi tangan, atau sekadar bersembunyi di tabir poket si anu itu dan ini. Kalau anda berminat dengan filem, tontonlah Scent of a Woman, lakonan Al-Pacino. Lihatlah bagaimana sifat pemimpin itu dibentuk dan dibina.

Tentulah, dari zaman ke zaman - pemimpin akan datang dan pergi. Pemimpin baru akan juga dilahirkan. Bagaimana pun, setiap pemimpin mesti ada sifat uniknya yang tersendiri. Jika tidak, pemimpin itu hanya mampu bersifat sebagai pemimpin di atas kertas.

Dipuja semasa berkuasa, dicerca semasa kuasa mula meninggalkan dia. Inilah yang membezakan di antara pemimpin dan pengurus.

Nota: jika ada masa, nanti kita kendalikan program kepimpinan lagi. Kita lihat apa ciri yang perlu pemimpin miliki.

Saturday, 10 October 2009

Mahu jadi pemimpin?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Mereka sedang berbincang. Mereka tidak tahu apa yang aku sedang perhatikan.
 
Tengahari tadi, berakhirlah Siri 1: Sanggar Karya - Program Bengkel Kepimpinan anjuran Lingkaran Sahabat Sastera. Nampaknya, menarik juga diadakan program seumpama ini untuk mendedahkan anak-anak muda dengan banyak hal dalam menguruskan manusia dan organisasi. Aku tidak tahu keberkesanan dan kefahaman mereka dalam memahami konsep yang cuba aku terapkan dalam latihan tadi. Itu kena tunggu komen peserta.


 Mereka sedang membincangkan projek perumahan terbengkalai!
Cuma yang pasti - pemimpin tidak boleh beraksi dengan cara yang sama dengan pengikut, dan mesti tahu cara bermain psikologi dengan orang bawah. Pemimpin mesti tahu cara berkomunikasi dalam kumpulan, mesti tahu helah apabila berinteraksi dengan individu yang berbeza. Sebab tidak semua individu sama tret personalitinya, dan tidak pula sama kehendaknya.


Apa yang sedang mereka fikirkan
 
Dalam apa keadaan sekalipun, pemimpin mesti sanggup berkorban demi orang bawahnya. Ingatan aku untuk mereka - jangan sewenang-wenangnya menjual syarikat! Bagaimana pun, jika mereka adalah peniaga tulen, jangan pedulikan orang bawah. Itu terlebih baik dalam iklim perniagaan dunia moden. Semuanya tergantung dalam situasi apa mereka berada.

Terima kasih untuk semua anak muda. Aku sekadar menjalankan tugas. Nanti kita bermain-main lagi. Game yang lain pula tentunya.

Semua gambar adalah sumbangan Saudara Teja - http://janjilaxamana.blogspot.com/

Next:
Bagaimana memanipulasi bos dan orang bawah anda!
Tunggu iklan yang bakal disiarkan. Jumlah peserta tetap sama, jangan lebih 10 orang.

Thursday, 1 October 2009

Last Call!

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ini last call yang tak begitu penting untuk sesiapa yang tak berminat.

Sabtu (10 Oct 2009) - Lingkaran Sahabat Sastera bercadang untuk mengadakan bengkel untuk kumpulan pelajar undergraduate (bukan underground!). Seperti biasa, ia free. Seperti biasa, pengendalinya (yakni aku) kalau boleh tak mahu ramai orang. 10 orang kira maksimum!

Antara skop utama yang akan diberikan tumpuan:

Apa yang beza pemimpin dan bukan pemimpin?
Mengapa kadang-kadang komunikasi tak tercapai?
dan banyak lagi benda-benda lain.

Tapi aku taklah bercadang nak berkuliah dalam kelas nanti. Aku tak berminat hal kuliah menguliah ni. Aku ingat nak buat praktikal . Ingat nak bermain-main dengan game organisasi. Jadi, program ini akan dikendalikan dalam bilik dan luar bilik. Mungkin kena ronda-ronda satu Adelaide. Tengok pemandangan? Taklah. Ada hal-hal yang patut kita teliti bersama.

Ada sijil? Orang besar LSS kata ada. Dah design? Kalau belum, boleh bincang dengan pakcik ye.

Apa sebab aku berminat nak terlibat dalam program ini. Banyak sebab. Salah satunya, aku perhatikan pelajar luar negara ini banyak dengan aktiviti agama. Ia bukan sekadar di sini, di UK pun sama. Tidaklah aku nak komplain dengan hal itu. Itu benda baik. Tetapi, rasanya ada hal-hal lain yang patut ada juga.

Jadi bila orang ajak aku, aku rasa tak kena pula, kalau aku tak bantu. Aku banyak kutuk sana, kutuk sini dalam blog. Tapi aku sendiri pun tak buat apa pun. Jadi sebab itu aku nak terlibat. Bukanlah maknanya aku ini pandai sangat. Cuma aku sekadar nak tolong apa yang boleh ditolong. Ingat nak ajak Krenmaut join juga tolong aku. Bro, nak ke? Nanti kita boleh buat projek joint venture FakirFikir dan Krenmaut. SwingingBowl patut sponsor makan! Baru boleh tajuk "Bila 3 Blogger Bersatu Hati' nanti.

Next program:
1. Bengkel Kaedah Menghafal Untuk Moderator
2. Bengkel "Bagaimana Memanipulasi Bos dan Orang Bawah Anda?"

Nanti kita bincang kemudian.

Thursday, 12 March 2009

Kursus kepimpinan orang muda: siri 3

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sila baca Siri 1 dan 2 dahulu sebelum baca bahagian ini.

Situasi 3: Group Cohesiveness

Melihat kepada kedudukan pekerja sekarang, anda melihat betapa perlunya kejelekitan kumpulan (group cohesiveness) perlu diperkuatkan. Syarikat tidak akan mampu menyempurnakan misi sekiranya setiap ahli kumpulan bergerak sendirian. Sebagai pengurus baru, apa yang perlu anda lakukan. Bagaimana boleh anda buktikan kepada para pekerja menunjukkan betapa kejelekitan kumpulan itu sangat utama?

Step 1: Anda memanggil satu lagi mesyuarat. Mesyuarat ini akan membincangkan beberapa agenda dan polisi. Bagaimana pun sebelum memulakan mesyuarat, anda seperti biasa akan berperanan sebagai pemimpin psikologi yang cuba mengubah minda pekerja.

Step 2: Di dalam bilik mesyuarat, anda bertanya kepada pekerja anda* "Bolehkah kita mengangkat seorang daripada anda dengan hanya satu jari?". Para pekerja akan menggeleng-gelengkan kepala. Mustahil boleh mengangkat seorang individu dengan satu jari sahaja.

Step 3: Anda mintalah seorang daripada ahli mesyuarat tidur terlentang. Anda kemudiannya meminta semua ahli mesyuarat (misalnya 12 orang) untuk meletakkan jari telunjuk mereka di bawah badan ahli yang tidur tadi. Kemudiannya minta mereka angkat. Ia pasti boleh diangkat kerana walaupun dengan satu jari, tetapi disebabkan tenaga 12 orang berhimpun, ia tidak seberat mana lagi.

Kesimpulannya:
Dengan hanya kerja secara berkumpulan, semua masalah dapat diselesaikan. Yang berat menjadi ringan.

*Kaedah ini diambil dari satu siri latihan di Port Dickson sekitar 1999. Tetapi kaedah ini banyak digunapakai oleh kebanyakan pengendali latihan lain juga.

TAMAT KURSUS

NOTA: KAEDAH MENGHAFAL
Sekitar Jun 2009, aku akan ada di Malaysia. Sekiranya anda merupakan guru sejarah atau geografi atau subjek-subjek yang memerlukan daya hafalan, aku bercadang untuk mengadakan bengkel menghafal secara percuma (sekadar memenuhi masa lapang) kepada pelajar sekolah kategori SPM.

Bagaimana pun jumlah pelajar haruslah tidak begitu ramai, maksimum dalam 30 orang. Keutamaan hanya kepada sekolah luar bandar sekitar Changlun, Jitra, Taiping, sekitar Perlis dan jarak perjalanan di antara keduanya. Ini kerana itu jalannya aku selalu berulang alik nanti. Ia dilakukan secara informal sahaja. Sekiranya dirasakan perlu, hubungi fakirfikir@hotmail.com. Bagaimana pun mungkin tak banyak tempatlah boleh pergi. Bergantung kepada masa.

Wednesday, 11 March 2009

Kursus kepimpinan orang muda: siri 2

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sebelum baca bahagian ini, rujuk dahulu perbincangan sebelumnya di sini
Jangan juga lupa klik IKLAN ini kalau ini kali pertama anda mengunjungi blog ini.

Situasi 2:
Syarikat tempat anda berkerja masih lagi kucar-kacir. Setelah tamat mesyuarat, pekerja masih bising-bising. Ketika dalam perjalanan dari bilik mesyuarat, anda melihat ada seorang pekerja yang sedang tidur sambil berdengkur. Dia sepatutnya berjaga, kerana jawatan hakikinya ialah jaga. Sebelum ini, beberapa kali surat amaran diberikan. Tetapi dia tidak layan pun. Sebagai pengurus, anda perlu berfikir apa yang harus dilakukan. Mustahil anda perlu memecatnya, sedangkan anda baru sahaja ditugaskan sebagai pengurus. Lagi pula, jaga itu mempunyai 7 anak dan 2 isteri. Anda perlu menjadi manusia juga, bukan sekadar sebagai pengurus.

Step 1: Anda jangan menegur jaga yang sedang tidur tadi. Itu bukan kerja seorang pengurus untuk berfikir. Sebaliknya, anda harus memanggil seorang eksekutif sumber manusia yang bertanggungjawab dalam hal-hal disiplin pekerja. Anda menyuruh pegawai tadi menjenguk perilaku jaga tadi. Jangan minta dia kejutkan jaga. Nanti terganggu pula mimpinya.

Step 2: Apabila pegawai tadi menemui semula anda, tanyalah dia apa yang harus dia lakukan. Dia akan memberikan beberapa cadangan yang bernas. Sebenarnya dia hanya berlakon di depan anda untuk menunjukkan ketegasan sahaja. Setelah dia selesai memberi cadangan, anda berikan cadangan anda pula. Cadangan anda itu akan diterima kerana anda ialah seorang pengurus. Kalau tidak diterima, anda bukan pengurus!

Step 3: Cadangan anda ialah berikan cuti rehat 2 hari bergaji penuh tanpa menolak jumlah cuti sedia ada kepada jaga tadi. Minta pegawai tadi memberitahu bahawa anda yang mengurniakan cuti tadi kerana anda memang seorang yang baik hati.

Step 4: Setelah jaga tadi masuk semula bekerja, minta pegawai sumber manusia tadi memanggil jaga tadi mengadapnya. Minta pegawai tadi tanyakan soalan-soalan ini: a) Bagaimana cuti rehat anda? b)Adakah sekarang keletihan anda sudah hilang? c)Bagaimana pula dengan syarikat ini. Tidakkah anda melihat bahawa ia masih beroperasi seperti biasa tanpa anda? Lihatlah, tanpa kehadiran saudara sekalipun, syarikat masih beroperasi. Ini bermaksud, bahawa sekiranya syarikat membuang saudara sekalipun, kami akan tetap beroperasi. Sekiranya anda ingin terus berkerja, anda dipersilakan. Sekiranya tidak, ia tidak menghilang apa-apa pun kepada kami.

Soalan-soalan a) dan b) hanyalah pembuka bicara. Soalan c) itulah yang akan menghukum jaga tadi. Jaga tadi terasa terpukul kerana dia sudah terlebih dahulu menerima anugerah cuti. Dia tentu menyangka cuti yang diberikan tadi ialah kerana kebaikan. Tetapi rupanya cuti tersebut ialah satu hukuman. Dia tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Dia sudah termakan budi dengan cuti tadi. Apatah pula, sebelum ini pada soalan a) dan b) dia tentu akan memberikan jawapan yang baik-baik belaka.

Implikasi
Kaedah ini boleh digunakan kepada mana-mana sahaja kakitangan yang bermasalah. Ia akan menyebabkan pekerja bermasalah ini 'malu muka' setiap kali bertemu dengan anda. Dia tidak marahkan anda, sebab bukan anda yang berkomunikasi dengan pekerja bermasalah tadi. Dia juga tidak marahkan pegawai sumber manusia, kerana dia tahu pegawai tadi hanya menerima arahan. Ia juga boleh dilakukan kepada anak-anak. Misalnya memberikan hadiah kalau mereka gagal. Semua ini adalah hukuman bersifat psikologi.

Nanti kita sambung.

Kursus kepimpinan orang muda: siri 1

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sebelum baca, klik IKLAN dahulu.

Banyak yang baca blog ini ialah orang muda. Yang aku tahu ialah Intan, Aini, Butterflywinlove Imanina, Ihsan dan beberapa orang lagi. Kategori veteran seperti Bentara, Zainol dan Azam tidak termasuk dalam kategori orang muda. Yang lain aku tidak kenal. Mungkin ada yang sedang menggelepar sibuk di universiti, dan ada juga terkejut dengan gaji bulan pertama.

Sebahagian daripada mereka telah menghadiri bermacam-macam kursus dan bengkel. Tujuannya untuk membolehkan mereka jadi pengurus atau pemimpin yang baik (nota: seorang pemimpin tidak semestinya pengurus, yang jadi pengurus kadang-kadang tidak bersifat pemimpin). Banyak juga yang bertujuan memenuhkan koleksi sijil yang entah siapa mahu melihatnya.

Jadi hari ini, aku terasa ingin memberikan kursus kepimpinan secara online. Ia tidak diajar di bilik kuliah atau dalam teks. Tidak juga mungkin ditemui dalam mana-mana kursus sebelum ini.

*************
Situasi 1
*************
Anda baru dilantik sebagai seorang pengurus di tempat yang penuh bermasalah. Kakitangannya tidak bersatu, berkonflik dan tidak percaya di antara satu sama lain. Pihak syarikat merasakan perlu diadakan sesuatu dengan melantik anda sebagai pengurus. Sebagai pengurus, bagaimana anda menanganinya?

Step 1: Hari pertama anda masuk pejabat. Anda jangan lakukan apa-apa. Jangan sesekali tunjukkan taring pengurus anda. Biarkan pekerja anda dengan hal masing-masing. Perhatikan gelagat mereka. Ingat, secara psikologinya mereka juga memerhatikan anda. Tetapi jangan pula berbual-bual atau menunjuk baik dengan mereka pada tahap ini.

Step 2: Hari ke 4 atau 5, panggil satu mesyuarat. Inilah waktunya anda menunjukkan taring anda. Ingat, ini bukan mesyuarat seperti biasanya. Tidak perlu ada minit. Tidak perlu ada nota. Anda perlu berwaspada dengan tempat duduk anda. Anda perlu duduk pada kerusi yang paling besar, duduk di sudut tengah lebar meja dan mesti sentiasa lain dari yang lain (Nota: pemimpin secara prinsipnya berbeza dengan orang bawah).

Jadi anda mulakan mesyuarat pertama anda bukan memperkenalkan siapa anda, sebaliknya meminta setiap pekerja memperkenalkan diri mereka, jawatan, kelebihan dan kekurangan. Minta mereka bercerita dengan jujur apa yang boleh mereka lakukan untuk kejayaan organisasi. Anda adalah orang yang paling akhir memperkenalkan diri (secara psikologinya, mesyuarat anda sudah terbalik dari kebiasaannya).

Mulakan dari kiri ke kanan, atau dari kanan ke kiri.

Apabila tiba giliran anda, anda ceritakan pula diri anda. Tetapi pada bahagian kelebihan dan kekurangan diri, anda bermain dengan ayat psikologi: "Saya tidak mempunyai kelebihan atau kekurangan. Kelebihan dan kekurangan saya ada pada anda semua. Kalau anda semua kuat, saya pun kuat. Kalau anda semua lemah, saya pun lemah. Hadirnya saya di sini ialah kerana adanya anda semua".

Mesyuarat bersurai. Jangan berbincang apa-apa agenda lagi. Itu perlu dilakukan setelah anda menyelesaikan beberapa step lagi. Peringkat ini ialah untuk mengembalikan moral pekerja, bukan bercakap hal agenda.

Sekiranya anda dilantik sebagai pengerusi kelab di universiti misalnya, anda boleh terus memulakan cara ini sebagai satu cara memulakan mesyuarat. Kemudiannya terus membincangkan agenda. Begitu juga kalau anda hanya dilantik sebagai ketua di satu jabatan yang tiada masalah.

Bagaimana pun, dalam konteks tempat kerja yang lebih kompleks dan bermasalah, mesyuarat sepatutnya bersurai selepas sesi ini. Anda boleh menyambung mesyuarat pada waktu yang lain. Ini bagi membolehkan pekerja anda akan bercakap-cakap mengenai anda, dan mula meneka apa akan berlaku selanjutnya (Ini juga sebahagian permainan psikologi).

Bersambung untuk kes 2: Group Cohesiveness

Nota: Anda juga patut rajin-rajin membelek buku apa yang dikatakan pemimpin. Boleh baca buku Gary Yukl atau K.H Blanchard. Yang pertamanya lebih conceptual, keduanya lebih praktik. Training provider yang bersifat komersil juga tidak digalakkan menceduk kaedah ini tanpa pemberitahuan terlebih dahulu.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails