Yang Ikut

Friday, 7 May 2010

Tips temuduga - bab jujur

Reactions: 
Beberapa orang anak muda seperti Aini - dan tentu puluhan ribu graduan muda lain sedang berasak-asak menulis surat memohon kerja. Sesuai dengan musim orang mencari kerja, kali ini aku tuliskan hal temuduga.

Temuduga pada asasnya menilai 3 hal utama - afektif (komponen sikap), kognitif (pengetahuan dan pemikiran) dan tingkahlaku (keupayaan berkerja etc). Ini yang diberitahu dalam buku. Mungkin Cik Nona boleh betulkan kalau aku salah.

Tapi - aku tidak mahu bercakap hal temuduga itu. Aku tidak mahu bercerita hal-hal yang ditulis buku. Aku mahu bercakap hal realiti temuduga.


I
Memohon kerja
Sebenarnya - memohon kerja adalah hal paling sukar. Tidak berguna sedikit pun ayat yang berbunga-bunga, atau CV yang rapi - kalau tidak ada orang yang membacanya. Tidak berguna juga kalau surat kita dibaca, tetapi kita tidak dipanggil temuduga. Jadi pintu segala memohon kerja ialah dipanggil temuduga.

Hakikatnya - sekiranya anda mengenali sesiapa yang ada dalam sesebuah organisasi, mintalah bantuan mereka. Istilah mudah - gunalah kabel. Kalau ada mempunyai kabel - ia lebih mudah untuk dipanggil temuduga. Jangan terlalu jujur. Dalam dunia realiti - tidak ada sesiapa yang bertindak jujur. Semua orang mengguna jalan pintas.

II
Sewaktu temuduga
Pada waktu temuduga - jadilah pelakon sebaik mungkin. Walaupun keputusan pengajian anda cukup makan sahaja. Tinggalkan kebodohan anda di rumah. Pakailah pakaian yang cantik. Pinjamlah 'blazer' bakal bapa mertua anda. Biar kita kelihatan segak. Manusia tidak begitu menilai orang lain dengan kebijaksanaan. Orang menilai gaya kita. Banyak sebab. Orang yang menemuduga juga belum tentu pandai. Sebab itu juga penyanyi program realiti - yang menjadi juara selalunya berwajah tampan atau bermuka cantik. Orang menilai tampan dahulu, sebelum merdu.

Semasa bercakap dengan penemuduga - jangan terlalu jujur dengan semua hal. Ada hal kita tidak patut bercakap jujur. Sekiranya dia bertanya: "Adakah anda meminta kerja di tempat lain?" Jangan jawab 'Ya'. Jawablah: 'Buat masa ini tidak'. Kita tidak berbohong. Sebab "buat masa ini", kita berada dalam bilik temuduga. Kita memang tidak meminta kerja lain.

Sekiranya anda menjawab ya, penemuduga bimbang anda akan melarikan diri. Sekiranya ada calon lain yang sama keupayaannya dengan anda, anda akan gagal. Sebabnya anda ada potensi untuk ke tempat lain, sedangkan calon yang seorang lagi tidak. Kecuali yang menemuduga anda ialah bakal bapa mertua anda. Itu cerita lain.

Lainlah - kalau ditanya hal akademik, status perkahwinan dan sebagainya. Itu cerita lain. Itu perlu jujur. Kalau dalam keluarga anda, ramai adik beradik yang masuk universiti - carilah peluang menceritakannya. Ini akan menaikkan lagi saham anda sebagai kononnya datang dari keluarga yang baik-baik. Melainkan kalau anda rasa ada hal yang patut disebunyikan. Misalnya hanya anda yang masuk Cambridge University - dan 5 lagi adik beradik anda masuk pusat serenti - rahsiakan hal itu.

Apa lagi? Jangan sesekali bercakap 'bolehlah" - kalau anda ditanya bolehkah awak buat kerja ini. Jawab dengan yakin - "Boleh. Saya pasti boleh'. Kemudian sambung dengan alasan lain yang direka. Orang mengharapkan kesungguhan dan keyakinan anda. Itu sahaja.

Aku dulu - ada satu penemuduga cuba mempertikai hipotesis kajian aku. "Eh, boleh ke ni. Hipotesis ni nampak macam sikit je ni". Mungkin sebab umur aku - aku pintas bangun lalu menyeluk marker pen dalam poket aku. "Siapa kata sikit. Mari saya tunjukkan". Sambil bingkas bangun, aku bertanya:"Ada tak white board". Aku ingin menunjukkan kepada penemuduga - apa sebenarnya. Dia pun menjawabnya: "Oo..ok. Saja je nak test". Aku pun tak faham kenapa aku bawa market pen dalam poket aku hari itu.

III
Selepas temuduga
Setelah habis temuduga - jangan berangan-angan yang anda akan dapat kerja. Itu sama seperti orang yang berjumpa dengan anak raja, lalu berangan-angan mengahwininya. Lupakan hal temuduga tadi. Tutup buku.

Kita pohon lagi di tempat lain. Setelah dipanggil temuduga lagi, dan ditanya 'ada pohon kerja tempat lain"" - Jawablah lagi "Buat masa ini, saya rasa hanya ini organisasi yang sesuai dengan saya. Saya belum lagi bercadang memohon ditempat lain, melainkan tuan tidak berhasrat menggajikan saya".

Itulah hakikat temuduga. Jangan jujur dengan semua hal. Ada hal patut kita yakinkan, ada hal patut kita diamkan. Sekiranya anda beritahu dengan jawapan tadi pun - hakikatnya penemuduga tahu bahawa anda memang memohon pekerjaan lain. Bodohlah anda graduan muda tidak mencari kerja.

Bagaimana aku tahu? - Satu waktu dulu - akulah penemuduga itu!

3 comments:

ismadiyusuf said...

boleh digunapakai tapi..tak berkat

ihsan_huhu said...

aku ade phone interview dlm mggu nih or mggu depan, utk kje kat country victoria.

aku still tgh pk nk ke x, sbb aku xtau availablity keje kat sini or tpt lain.

argh!

Othman Juliana said...

FF, nothing to be corrected. Btoi2. Interview is all about how you sell yourself. DAN, kabel besau mana hang ada~ haha.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails