Yang Ikut

Tuesday, 18 May 2010

Siri Kempen Benci Dadah - IV - Mengapa kita?

Reactions: 
Mengapa banyak orang Melayu menagih dadah?

Adakah orang Melayu yang menagih air ketum juga kita kategorikan sebagai penagih dadah.

Tidakkah kita boleh lakukan sesuatu agar dadah dilihat sejijik babi bagi orang Melayu. Jika melihatnya jijik, memegangnya tentu tidak.

Ini adalah soalan yang susah untuk kita rungkaikan.

Banyak sebab. Seperti yang kita sebutkan di awal perbincangan, personaliti Melayu itu sendiri tidak begitu terbuka, tidak kreatif dan tidak suka berkonflik. Orang Melayu juga ditandai sifat malu - begitu sensitif dengan apa yang bakal dikatakan orang.

Itu mungkin satu faktornya. Kerana sensitif dengan apa yang bakal dikatakan orang, anak-anak Melayu ini ingin mencari sesuatu untuk menambah keyakinan diri. Sudah lama tertanam mitos bahawa dadah boleh membina keyakinan diri, menghilangkan rasa malu dan menjadikan mereka yakin menghadapi manusia lain.

Itulah persepsi awal para penagih dadah. Ini biasanya berlaku di peringkat remaja. Hal ini ditambah pula dengan banyak 'idola' mereka - biasanya artis yang juga merupakan penagih. Idola orang Melayu bukan Imam Ghazali atau Imam Shafie. Idola orang Melayu juga bukan Noam Chomsky atau Albert Enstein. Orang Melayu tidak tahu semua tokoh itu. Mereka tahu Imam Ghazali atau Imam Shafie kerana mereka selalu mendengar orang menyebutnya. Hakikatnya mereka tidak tahu siapa pun tokoh itu. Apatah lagi kalau disebutkan tokoh pemikir atau ahli sains ternama. Lagi mereka tidak tahu.

Tetapi jangan terkejut - kalau mereka tahu Kurt Corbain dari kumpulan Nirwana. Banyak yang terikut-ikut dengan idola muzik ini bukanlah pemain muzik. Mereka hanya mengambil contoh buruk sahaja. Mereka kononnya percaya bahawa dadah itulah membuatkan penyanyi atau pemuzik itu ternama. Mereka hanya terikut-ikut dengan cerita dadah itu sahaja, tetapi mereka mungkin tidak tahu langsung memetik gitar. Ditanya apa lagu yang dinyanyikan Nirwana pun mereka tidak tahu.

Pembaca blog ini mungkin tidak bersetuju kalau dikatakan bahawa orang kita kurang mengambil berat hal yang besar. Itu mungkin benar - kerana pembaca blog ini mungkin orang yang terdidik.

Tetapi - cubalah masuk ke kampung-kampung. Duduk dan berboraklah dengan anak muda di kedai kopi. Kadang-kadang, kita jadi keliru betulkah apa yang mereka ini sedang bualkan. Mereka masih lagi sibuk dengan empat nombor ekor. Juga sibuk dengan cerita lucah masakini. Mereka tahu segala lubuk anak dara yang tiada dara. Mereka tahu di mana tempat boleh dicari dan dibawa pergi. Mereka juga masih sibuk dengan enjin jaguh rempit yang paling hebat.

Mereka inilah yang selalunya lebih cepat menagih dadah. Mereka ini tidak tahu realiti sebenar dunia. Mereka hanya tahu apa yang berkisar dalam dunia sekeliling mereka. Kasihan mereka.

Sebab itu - apabila segala jenis dadah baru yang keluar ke pasaran, mereka inilah yang terlebih dahulu menjadi subjek ujikaji. Penjual dadah tahu inilah 'pasaran' besar mereka. Mereka tidak akan berfikir panjang.

Banyak bangsa yang menagih dadah atau mabuk di dunia ini - ialah bangsa yang lemah atau malas berfikir. Lihat sahaja orang Aborigin di Australia atau Red Indian di Amerika. Adakalanya kita bukanlah bangsa tertindas. Tetapi kita adakalanya menindas diri sendiri.

Sama ada meminum air biak itu boleh dikategorikan sebagai dadah - atau tidak - sebenarnya tidak penting lagi. Apa kategori minuman, herba atau bahan kimia yang digunakan - yang tujuan menggunakannya semata-mata untuk bersukaria, untuk berkhayal - akan tetap merosakkan. Besar atau kecil kerosakan itulah yang berbeza. Tetapi sifat penggunanya tetap sama. Kurang berfikir dan hanya ingin berseronok.

Apa lagi kemungkinan sebab orang kita menagih dadah?

Kita sambung lagi. Kita juga mungkin boleh membincangkan mengapa tidak kita boleh propagandakan dadah itu najis yang lebih jijik dari babi.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails