Yang Ikut

Thursday, 27 May 2010

Yang terindah ialah yang tertinggal

Reactions: 
Apakah yang paling indah dalam hidup anda sekarang ini?

Sebenarnya, banyak perkara indah tidak ada pada saat kita memilikinya. Itulah sebab yang memungkinkan kita mula berasa sayu apabila melihat anak-anak sedang tidur lena. Sedangkan pada saat jaganya, kita berasa begitu penat dan tak berhenti memarahi mereka.

Masa indah zaman persekolahan hanya kita sedari pada hari terakhir kita perlu meninggalkan bilik darjah. Hari terakhir itulah kita berasa betapa sayangnya kita dengan sekolah kita - kenangan yang tak mungkin dialami lagi. Hari terakhir itulah kita mula tahu bahawa kita mula kehilangan segala-galanya. Teman-teman berlari atau kekasih cinta 'monyet' yang saling berbalas surat dengan kita. Kita juga akhirnya mula sedar bahawa ada yang tidak kita temui lagi buat selama-lamanya.

Kita merasa sayu apabila kita kehilangan seseorang. Baik ia sahabat akrab kita yang pulang buat selama-lamanya, atau kekasih kita yang pergi mengahwini orang lain. Masa indah bukanlah pada saat mereka bersama kita. Masa indah ialah kenangan lampau kita bersama mereka. Semasa kita masih bersama - kita melihat semuanya biasa sahaja. Bahkan, kita mungkin banyak bergaduh dan bermasam muka. Rupanya keindahan itu hanya kita dapatkan setelah kita tahu bahawa semua itu telah tidak ada lagi.

Ketika di universiti - kita berasa bosan dengan begitu banyak tugasan. Kita berasa marah dengan jadual kelas pada awal pagi, atau yang dijadualkan pada pagi Sabtu. Kita berasa gusar dengan beberapa hal yang tidak kita suka -- pensyarah yang cerewet, teman yang malas, atau subjek yang sukar. Kita berasa ingin lari dari semuanya. Sebaik sahaja kita meninggalkan alam universiti dan melangkah ke alam kerja, kita berasa alangkah indahnya kembali muda dan duduk di bilik kuliah. Itulah masa terbaik kita sebagai manusia.

Sampai saatnya nanti - kita akan melangkah ke alam pencen. Saat itu juga kita tahu bahawa dunia pekerjaan yang penuh tipu daya, hipokrit dan caca-merba itu bukanlah yang terburuk. Kita tahu bahawa kita akan melangkah ke alam sepi - persekitaran hidup yang kian membosankan.

Pasti juga - pada saat kita sakit tua nanti - kita tahu bahawa masa muda dan saat sihat itulah usia terindah kita. Kita tidak akan mampu mengulanginya lagi.

Sesiapa pun kita - nikmatilah saat indah ketika kita masih memiliki sesuatu. Bunga yang gugur tak akan tumbuh lagi. Usia yang menyusur tak akan berpatah balik. Waktu yang berdetik akan melupakan kita. Yang terindah ialah yang tertinggal di belakang kita.

1 comment:

ismadiyusuf said...

ya..itulah masa..yang sering mebelakangi, bersama dan medepani kita..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails