Yang Ikut

Friday, 28 May 2010

Apa itu Pygmalion dan Galatea?

Reactions: 
Anda yang bukan terdidik dalam bidang psikologi, mungkin jarang mendengar kedua-dua hal ini. Bagaiamana pun, kedua-dua hal ini selalu ada dalam hidup kita. Apa itu pygmalion? Apa pula galatea?

Pygmalion - ialah apabila seseorang lain - misalnya orang atasan, guru dan sebagainya menjangka anda akan berjaya, maka besar kemungkinan anda akan berjaya. Mengapa begitu? Sebabnya dengan jangkaan tadi, mereka akan cuba memenuhi jangkaan tadi. Orang atasan yang melihat anda ada potensi untuk berjaya, mereka akan cuba sebaik mungkin memberi sokongan bagi membolehkan anda berjaya. Akhirnya, jangkaan yang anda berjaya betul-betul terjadi.

Galatea pula merujuk kepada jangkaan anda sendiri. Sekiranya anda menjangka anda boleh berjaya, anda akan cuba melakukan yang terbaik bagi membolehkan kejayaan dicapai. Begitu pula kalau anda merasakan anda akan gagal. Anda akan berasa lemah dan malas, akhirnya apa yang anda harapkan akan berlaku.

Pernahkah kedua-dua hal ini berlaku dalam hidup anda? Tentu selalu. Pelajar yang bertungkus lumus berusaha kerana mereka mungkin didorong oleh 'galatea' atau jangkaan ini. Kita menjangka kita akan berjaya, sebab itu kita rajin membaca buku dan begitu bersemangat. Begitu juga dengan pygmalion. Penyelia kita yang bersikap positif dengan kita mungkin kerana dia juga terpengaruh dengan kesan pygmalion ini. Kalau dia menganggap kita akan gagal - besar kemungkinan kita akan bermasalah untuk berinteraksi dengan penyelia kita.

Mana lebih kuat, pygmalion atau galatea? Aku tak ulas kerana ia akan menjadi hal akademik yang sulit pula.

Kita bincang hal lain.

***************

Sekarang ini, banyak desas desus bahawa akan ada lagi calon dari sebuah parti akan lompat parti. Desas desus ini pula disuarakan oleh mereka dari parti yang lain.

Apakah ini? Inilah yang dikatakan pygmalion. Dengan memberikan begitu banyak liputan kepada hal ini, akhirnya orang terpengaruh juga. Para pemimpin parti merasa akan ada lagi orang yang bakal lompat parti. Jadi - secara tidak langsung - pada akhirnya mereka memberikan layanan kepada sesetengah orang yang dijangka akan melompat parti sesuai dengan perilaku mereka. Orang yang dijangka tadi juga tidak senang duduk. Mereka pada mulanya mungkin tidak ada niat pun. Tetapi, kerana banyak sangat jangkaan yang mereka akan melompat parti - akhirnya mereka merasa resah. Mereka rasa seperti sudah tidak dipercayai. Akhirnya orang tadi betul-betul melompat parti.

Kejayaan Jose Mourinho yang memenangi 3 piala sekaligus bersama Inter Milan mungkin juga kerana komen-komennya yang sangat positif. Dia menganggap dirinya sebagai 'Special One'. Caranya dengan penuh yakin ini ialah 'galatea". Dia menjadi orang yang berpengaruh dan berjaya dalam melatih pasukan bola kerana semangatnya yang tinggi. Pemainnya pula mungkin terkesan oleh 'pygmalion'. Mereka perlu bermain bersunguh-sungguh kerana merasakan mereka diberikan harapan dan jangkaan tinggi.

Anda faham sekarang?

Cubalah bermain dengan jangkaan ini dalam hidup anda. Boleh juga mencubanya dengan anak-anak dalam memenuhi harapan pendidikan mereka. Jangan berikan komen negatif, sekalipun mereka gagal. Ia mungkin dapat membantu.

Para pendakwah yang berkunjung ke rumah orang - perlu selalu ada perasaan 'pigmalion' ini. Kita perlu bersangka baik bahawa orang yang kita dakwah itu akan melakukan perubahan dalam hidupnya. Mereka akan menjadi lebih baik. Dengan cara ini - barulah kita mudah untuk berinteraksi dengan mereka. Cuba bayangkan, ketika berkunjung ke rumah orang - kita sudah menjangkakan hal negatif. Kita tentu akan sukar memulakan perbualan.

2 comments:

ismadiyusuf said...

psikologi bermula bila kita buat dakwah...

ajaq said...

ahli psikologi tidak sebumbung dengan ahli kounselor bagaimana dengan pakar motivasi.

aku kata kan pakar motivasi lebih bersifat pygmalion dan memotivasikan orang ke arah galatea......

boleh gitu

ahli psikologi tidak banyak membawa masyakat berbanding ahli konselor dan ahli motivasi

pakar motivai lebih kaya...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails