Yang Ikut

Saturday, 15 May 2010

Siri Kempen Benci Dadah - III - Dadah dan seks

Reactions: 
Di Malaysia - sehingga tahun 2004, dianggarkan jumlah penagih dadah jenis heroin yang direkodkan ialah 234,000 orang. Bagaimana pun, jumlahnya dikatakan lebih lagi dengan andaian ada mereka yang tidak pernah ditangkap, atau dirawat - jumlahnya ialah 500,000 orang.

Sesuai dengan perkembangan teknologi - dan tidak berubahnya minda kita - kini penagihan dadah kategori amphetamine-type pula kian meningkat. Ada dua kategori dadah jenis ini - dalam bentuk tablet - dinamakan juga sebagai pil kuda atau 'wy'. Dalam bentuk kristal - syabu dan ice. Pengguna dadah ini bertambah dengan mendadaknya sejak akhir-akhir ini.

Daripada jumlah penagih dadah yang dilaporkan, lebih 60 peratus adalah Melayu, kebanyakannya pula lelaki.

60 peratus dari setengah juta orang bukan sedikit. Ia kira-kira 300,000 orang. Kalaulah semuanya menjadi pendakwah, guru, atau ahli tabligh - setidak-tidaknya akan ada orang baik dilahirkan setiap hari. Kalau semuanya menjadi pekerja sukarela mengutip sampah, kita akan menjadi negara paling bersih di dunia. Kalau setiap orang ini mendermakan RM1 setahun sekali, kita akan ada RM 300,000 setiap tahun untuk membantu orang susah.

Sejarah dadah

Walaupun dadah mula dihisap sejak ribuan tahun dahulu - di China dalam bentuk herba, tetapi dadah bentuk moden khususnya heroin direkodkan di Malaysia dalam tahun 70-an. Heroin ini pada mulanya dihisap dengan cara 'chasing the dragon" - seperti yang aku cerita dalam siri dadah sebelum ini. Ia bermula di Hongkong tahun 1950-an. Kemudian dalam era 60-an, ia mula merebak ke Thailand. Sejarah perkembangan dadah heroin di negara kita serentak dengan Belanda. Hanya dekad 80-an, baru ia berkembang ke UK dan India, dan tahun 90-an ke Switzerland dan Spain.

Ini bukti kita hebat kerana kita mendahului negara maju dalam hal tidak maju ini.

Apa lagi kehebatan anak Melayu kita? Sehingga pertengahan dekad ini, kita ada 60,000 pengidap HIV, kedua terbesar di rantau Asia selepas Vietnam. Kita juga adalah negara terbesar yang menetaskan HIV melalui jarum suntikan dadah (76.3%). 12-56% penularan dadah berkaitan dadah ini pula banyak berlaku di negeri utara yang bersempadan dengan Thailand - yang kebanyakannya melalui seks.

Apa yang dapat kita faham. Selain menagih dadah, mereka juga melanggan wanita jalang di sempadan. Keduanya-duanya hal seronok. Kedua-duanya juga hal tidak berguna. Kemudiannnya mereka ini membiakkan pula dadah ke kampung halaman kita. Jadi sesiapa yang ada anak dara untuk dikahwinkan - harus berhati-hati pada masa depan.

Bagaimana pun, ada mitos bahawa dadah akan meningkatkan lagi nikmat seks. Itu mitos yang selalu diulang oleh para penagih. Mungkin mitos inilah yang membawa mereka mencubanya di negara jiran.

Logiknya juga - banyak para bohsia dan bohjan ini juga selalunya ditangkap dengan ada dadah dalam poket. Kita tidak perlu mencubanya.

Kita tidak tahu mitos itu. Yang kita tahu, dadah membunuh anak bangsa kita melalui seks.

Dosa yang dibawakan dadah ini bukan sekadar merosakkan generasi kita - ia menghilangkan agama dari dalam diri. Dadah menyebabkan orang berzina. Dadah menyebabkan orang lupa ibu bapa. Bahkan, kalau terpaksa membunuh ibu bapa sekalipun tidak mengapa asalkan didapatkan wang membeli dadah. Dadah juga menyebabkan orang bercerai berai.

Satu waktu dahulu - sekitar tahun 90-an, di bulan puasa aku di rumah Brader U seperti yang aku ceritakan sebelum ini. Waktu itu, abang kandung Brader U (Jo, nama samaran) juga penagih, juga seorang 'tokan' (tokan - pusher dadah untuk mat skema yang tak tahu istilah dunia kejahatan). Aku rasa, waktu itu Brader U masih belum menagih heroin lagi.

Datang serang rakan Jo ingin membeli heroin - dia meminta tawar. Perbualannya lebih kurang begini. Perbualan ini aku ingat, sebab ia sangat sentimental. "Jo, kau berilah aku murah sikit. Aku nak pakai duit ni. Zakat fitrah pun aku tak bayar lagi ni". Kata kawan yang membeli itu.

Jo menjawab mudah: "Beginilah. Tak payah tunjuk baik la. Kita puasa pun tak. Sembahyang pun tidak. Kenapa pula hang nak kelam kabut pula nak bayar fitrah ini".

Logik juga kenyataan seperti itu. Tetapi itulah hakikat dunia para penagih. Dadah akan menjadi tuhan untuk segala yang bernama keseronokan. Dadah akan mendahului segala-galanya.

Brader U, dan Jo kini telah tiada lagi di dunia ini. Aku tidak pasti rakan yang membeli tadi. Aku jarang ternampaknya lagi di kampung.

Siapa orang Melayu pertama menagih dadah? Aku gagal menemuinya.

Mengapa anak Melayu kita yang banyak menagih dadah? Nanti kita cuba selidiki lagi.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails