Yang Ikut

Thursday, 6 May 2010

Loji nuklear. Apa benar kita perlu?

Reactions: 
Sebagai warganegara - aku menulis hal ini. Pendapat aku mungkin tidak betul. Pandangan aku juga mungkin salah. Tetapi, aku rasa aku mahu menulis juga.

Sekarang ini - negara kita sedang dihangatkan dengan pelbagai pandangan bagi mewajarkan pembangunan teknologi nuklear. Bagi aku - pandangan itu tidak salah. Loji nuklear dianggap sebagai sumber tenaga yang lebih efisien. Ia mungkin diperlukan dalam usaha kita ingin menjadi negara maju.

Tetapi ada satu hal lain yang patut kita majukan dulu. Kita masih lagi tidak sampai ke tahap 'safety culture' dan 'safety climate' yang membanggakan. Bahkan kita masih lagi teruk. Inilah yang patut didahulukan sebelum mengambil risiko yang lebih besar.

Apa safety culture? Setiap kali anda terserempak dengan orang yang sedang membaiki jalan di waktu malam, berapa kali anda melihat mereka memagari kawasan kerja mereka. Juga berapa kali anda melihat mereka memasang papantanda yang sempurna, jelas kelihatan dan lampu yang terang. Aku banyak kali terserempak dengan hal ini. Ada yang langsung tidak memasang apa-apa. Cuma ada lori dan orang sedang berkerja.

Kalau ada jalan berlubang - berapa cepat pihak yang berkenaan memasang kon bagi menghindar orang mendekatinya?

Ini adalah bukti bahawa kita belum ada safety culture yang sempurna.

Kita juga selalu makan di warung-warung di ibukota Kuala Lumpur. Warung itu dipacak di atas jalanraya. Juga ada kerusi kedai mamak di atas ruang pejalan kaki. Semua ini adalah tanda betapa tidak orang ambil tahu pun kalau-kalau ada kereta terbabas dan orang mati dilanggar.

Kita juga mungkin selalu sahaja melihat orang membersihkan lantai dengan air sabun. Berapa kerap anda melihat mereka tidak memasang papan tanda lantai licin. Ia membahayakan. Selagi tidak terjatuh, kita tidak tahu bahaya.

Lihat juga orang berkerja membina bangunan. Mereka hanya berselipar dan tidak memakai topi. Mereka hanya menolak simen di celah dua batang kayu. Tidak juga memakai tali keselamatan. Tidak ada juga penyelia keselamatan tempat kerja. Kalau mereka jatuh dan mati, kita akan berkata itu kemalangan. Itu takdir. Maka kita tanam mereka ke liang lahat.

Apa lagi? Baru-baru ini sebuah jambatan runtuh. Pelajar sekolah hanyut. Mengapa? Adakah kerana faktor aliran sungai? Jangan guna alasan tanah lembut dan hujan lebat. Jambatan memang dibina di tempat sebegitu. Alasan terbaik ialah kita hanya pandai membina. Tetapi kita tidak ambil tahu pun hal keselamatan orang awam.

Stadium juga runtuh terbarai. Lebuhraya juga retak. Semuanya adalah hal-hal yang berisiko. Mengapa terjadi begitu? Sebab - dalam budaya kita, kita cenderung dengan sistem Jepun. Semuanya mahu cepat. Tetapi kita tidak pula membudayakan nilai kerja selamat. Kita tidak memberi keutamaan hal keselamatan.

Ini bukan salah sesiapa.

Salah kita semua. Memang kita dididik untuk hidup dalam risiko. Kita boleh meletak kenderaan di mana sahaja. Kita juga boleh berbual dan berfacebook ketika memandu. Tali pinggang keledar hanya berguna ketika ada 'roadblock'. Kita juga boleh membesarkan rumah kita tanpa perlu ada plan. Bahkan, rumah pangsa pun kita tambahkan dengan 'rennovation' baru - yang kita mungkin tak sedar ia akan menambah beban yang memungkinkan rumah runtuh.

Inilah budaya kita. Kita memang selalu menonton Jackie Chan dan Jet Li. Kita memang kuat. Sebab itu dulu Kondo Bukit Antarabangsa runtuh. Kita juga tarah bukit sesuka hati untuk bangunkan banglo. Kita memang tidak takut mati.

Tetapi untuk loji nuklear ini - bagi aku - bukan sekarang patut kita bangunkan.

Kalau negara Barat yang begitu terdidik dengan safety culture pun boleh tersilap, inikan kita yang selalu terjatuh ke dalam lubang di jalanraya.

Tidak perlulah aku ulas hal Chernobyl atau Chalengger. Tiada siapa mahu mendengarnya.

2 comments:

fitri said...

Chernobyl atau Chalengger?
cerita apa tuh?

ismadiyusuf said...

cerita orang makan orang secara moden yang dibuat oleh orang yang otaknya bergeliga..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails