Yang Ikut

Monday, 3 May 2010

Ini cerita hidup

Reactions: 
Hidup kita mungkin susah. Kita mungkin juga pernah susah. Tapi kita mungkin tidak sesusah orang lain.

Ketika di Jakarta, aku berpeluang melihat banyak orang susah. Ia peluang yang mungkin jarang dilihat di negara kita. Kita mungkin tidak akan melihatnya di Australia.

Anak-anak pengamen hidupnya atas belas ehsan orang lain. Pekerjaan mereka mungkin senang, tetapi hidup mereka susah. Dahulu ada seorang budak lelaki - dia selalu singgah ke pejabat aku. Kerjanya mengilat kasut. Aku berikan dia sepatu agar dapat dikilatkan. Budak ini akan selalu singgah dari satu pejabat ke satu pejabat. Aku tidak mengilatkan kasut kerana ingin melihat ia kilat. Aku mengilat kasut kerana budak itu. Sekali kilat dalam sekitar 1,000 rupiah.

Ada pula yang mencari makan dengan cara lain. Mereka memainkan muzik yang dibuat dari tin susu. Mengetuk-mengetuknya seperti bermain dram dan berjalan-jalan. Ada pula yang memainkan gitar tong yang entah apa bunyinya. Siapa simpati, siapa memberi. Mereka ini selalu datang bermain di sebelah kita ketika kita sedang menjamu selera di kedai makan. Kita memberi bukan kerana alunan muzik. Kita memberi kerana bunyi bising. Setelah memberi satu ribu rupiah atau 500 perak (25 sen) - mereka pergi.

Yang lain pula mungkin datang ke pejabat bertanyakan siapa yang mahu khidmat mengurut. Aku pernah menggunakan khidmat ini. Aku ingat, hanya sekali sahaja aku mencubanya. Mereka mengurut mengguna batang kayu sebesar jari. Sakitnya sampai ke tulang. Setelah beberapa hari - kesakitan tidak juga hilang. Rupanya mereka ini bukanlah tukang urut profesional. Mereka hanya mencari wang.

Sekali itu, aku menaiki teksi dari Cijantung, bandar kecil arah ke Bogor untuk ke kota Jakarta. Teksinya hoyong hayang. Aku perhatikan drivernya. Dia tidak memakai kasut. Semua kereta yang melihat teksi tadi memberikan hon. Aku sudah kepucatan. Akhirnya aku minta dia berhentikan aku di tepi jalan. Bayar wang, dan mencari teksi lain. Mereka ini pula ialah 'supir terbang'. Maksudnya, mereka mungkin meminjamkan teksi orang lain sejam dua untuk mencari makan. Mungkin juga mereka mencuri teksi orang lain.

Kerana miskin - mereka sanggup berbuat apa sahaja. Sekiranya anda malas membawa barang yang dibeli di kedai - ada orang yang sedia menanti untuk menggendong barang anda. Bayar mereka 1,000 atau 2,000 rupiah. Itu sudah cukup.

Begitulah payahnya hidup. Manusia mencuba seribu cara untuk mendapatkan wang. Kita tidak tahu berapa banyak anak-anak mereka yang sedang menanti di rumah. Kita juga tidak tahu adakah mereka masih mempunyai mimpi waktu tidur. Mereka mungkin tidak pernah mengimpikan untuk rumah besar atau kereta mewah. Mereka hanya berdoa agar mampu melihat matahari besok pagi - dan masih ada udara yang masuk melalui hidung mereka.

Jumlah wang yang mereka dapatkan mungkin sangat kecil. Tetapi, nilainya lebih suci dari jutaan wang rasuah.

2 comments:

zarzh said...

Terimakasih, terkesan juga hati dibuatnya. Membaca akan adanya insan lain yang lebih payah hidup mereka membuat merasa simpati dan mensyukuri bahawa hidup kita ni sebenarnya begitu banyak nikmat yang dilimpahkan.

ismadiyusuf said...

kenikmatan itu hadir dalam kepayahan dan penderitaan..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails