Yang Ikut

Wednesday, 19 May 2010

Siri Akhir Kempen Benci Dadah - Jijik

Reactions: 
Ini tulisan akhir siri ini.

Kerana ingin menjaga air muka - kerana ingin menghindar konflik - akhirnya kita tidak mampu berbuat apa-apa apabila ada anak jiran menagih dadah. Kita lebih sanggup kecurian getah sekerap berbanding dengan putus saudara. Kita lebih sanggup ada warga tua diragut rantai emasnya berbanding bersama-sama berbincang sesama kita bagaimana mengembalikan anak yang ketagihan.

Ini sebahagian dari budaya kita yang tidak dapat kita hindarkan lagi. Kalaulah kita sedikit berani, memberitahu ibu bapa bahawa ada anaknya sudah terjebak, mungkin kita akan dapat mengurangkan sedikit masalah dadah. Kalaulah ibu bapa itu pula sedikit terbuka menerima pandangan orang, kita mungkin boleh mengurangkan sedikit masalah dadah.

Itulah cara yang terbaik. Berbanding dengan hanya diam dan mengeji di belakang.

Mengapa dadah tidak pernah dilihat sejijik babi?

Sejak kecil, setiap hari kita diberitahu bahawa babi itu benda kotor, binatang yang haram disentuh. Tetapi tidak dadah. Kita seboleh-bolehnya tidak mahu menyebut benda itu. Kita juga sebenarnya mungkin tidak tahu apa itu dadah.

Di kaca televisyen - yang selalu dilaporkan ialah berita penangkapan penagih atau pengedar dadah. Berapa kali kita diberi maklumat apa itu dadah?

Adakah orang kampung tahu apa itu ice, pil kuda atau heroin? Orang tua yang baik mungkin boleh ditipu bahawa daun ganja itu sebenarnya daun betik, cuma saiznya sedikit kecil.

Tidak ada. Sebenarnya yang tahu ice, pil kuda atau syabu hanyalah penagih sahaja. Orang lain tidak pernah melihatnya. Mengapa televisyen kita tidak menyediakan slot 15 minit sehari sebelum berita perdana menunjukkan apakah itu ice atau syabu. Apakah kesannya. Bagaimana orang membuatnya. Kalau anak kita menghisapnya, apakah tandanya. Adakah berkurung tidur di dalam bilik selama 24 jam itu tanda orang sedang berkhayal ice? Adakah mata merah, sedikit dan bercakap sambil ketawa itu tanda orang khayal ganja. Adakah mata sedikit mengecil, bercakap tersengguk-sengguk itu tanda orang ketagihan ubat batuk?

Inilah maklumat yang perlu diulang sebut setiap hari. Pagi dan petang. Jadikan ia slot wajib. Inilah tanda kita memerangi dadah.

Kalau tidak - anak-anak kita boleh terus menagih tanpa diketahui ibu bapanya. Dia boleh menipu emak ayahnya bahawa dia sedang mengunyah gula-gula sahaja. Tidur sepanjang hari kerana sedang disampuk hantu. Dan orang tua yang baik - tidak tahu semua ini.

Para pendakwah dan tabligh juga perlu membawa mesej dadah dalam setiap siri pendakwahan mereka. Ini juga mesej penting. Kerana dadah itu mampu mengeluarkan iman dari dalam diri - maka setiap orang Islam perlu tahu apa itu dadah. Ia sama dahsyatnya dengan murtad juga. Murtad mengistiharkan diri. Menghisap dadah secara perlahan-lahan menjauhkan diri dengan agama, dengan syahadat. Ia berlaku secara diam.

Sampai masanya juga - golongan pendakwah, guru dan mereka yang berkaitan dibenarkan membawa dadah bagi tujuan kebaikan. Mereka ini perlu dibekalkan dengan 'objek' dadah secara fizikal jika itu diperlukan bagi menunjukkan kepada masyarakat bahawa ini adalah najis. Orang tidak mudah percaya dengan gambar dan kata-kata semata-mata. Adakalanya orang perlukan 'objek' itu ditunjukkan di depan mata. Sampel dadah bagi tujuan kebaikan ini boleh ditempatkan di setiap balai polis. Apabila selesai berdakwah/berkempen, dadah ini disimpan kembali di balai polis.

Pindaan undang-undang perlu dilakukan bagi hal ini seperti yang disarankan Ziarah76.

Kalau tidak - sampai bila pun kita tidak mampu memerangi dadah kalau masyarakat terbanyak tidak tahu apakah benda itu. Yang tahu hanya penagih, tetapi orang yang ingin membuat kebaikan pula jahil dengan hakikat sebenar dadah.

Tanyalah kebanyakan orang baik - berapa kali mereka melihat dadah? Tidak. Mereka tidak mahu melihatnya. Mereka tidak ingin melihatnya. Mereka takut memegangnya. Ia jijik.

Kerana itulah - anak-anak muda kita pandai menggunakan kelemahan ini. Ia boleh diletakkan di atas peti televisyen sahaja. Kita tidak tahu apakah bendanya. Kita mungkin ingat ia serbuk kapur atau gula-gula kristal sahaja.

Marilah kita semua - dengan cara kita masing-masing - memerangi dadah. Kalaupun kita tidak mampu mengubah dunia, semoga ia mengelak kita dari terjebak dengan dadah.

3 comments:

ziarah76 said...

betul jugak tu, sbb kalau tak tahu siapa/apa musuhnya macam mana hendak dilawan musuh itu.
misalnya, masa diajar hendak solat kena tahu juga perkara yg membatalkan solat, supaya jangan dibuat perkara yg membatalkan solat semasa solat.
Saya rasa idea tuan amat baik dlm hal ini.
Tapi dlm soal hendak membawa dadah oleh orang kebanyakan seperti pendakwah dan sebagainya, ia tak boleh dilakukan pada waktu ini.
Sebab tiada peruntukan undang-undang untuk perkara itu. Kalau orang awam membawa, memiliki, mengedar atau menggunakan dadah maka ia salah di sisi undang-undang.
Jadi kalau cadangan begini hendak dilaksanakan maka perlu pindaan undang-undang.
Dlm hal legalistik pula, implementation juga perlu diambil kira bagi elak salah guna pula peruntukan undang-undang yg ada.
waallahualam.

FakirFikir said...

Ziarah - ya memang perlu ada pindaan undang-undang dalam hal ini. Mekanismenya perlu dikaji. Sebab ini hanya cadangan. Sebab itu juga, dadah sampel ini perlu diletakkan di balai polis. Siapa yang mengambilnya perlu ada surat atau lesen tertentu dengan temuduga tertent. Sekiranya tidak dipulangkan, mereka yang mengambil ini akan didakwa.

Ia tidak mungkin berlaku sekarang. ia sekadar cetusan pandangan.

ziarah76 said...

cetusan yg amat baik...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails