Yang Ikut

Sunday, 16 May 2010

Jalan Anwar ke Putrajaya kian jauh

Reactions: 
Sepatutnya kita masih berbincang hal dadah - tetapi hari ini aku ingin mengulas hal politik. Kita semua perlu membacanya dari atas persepsi neutral dan tidak memihak.

***********************
Lama dahulu, aku telah ulas hal politik Perak - siapa yang bakal checkmate. Aku juga ada ulas hal permainan politik di sini. Anda yang belum membacanya, perlu membacanya dahulu. Sekurang-sekurangnya anda mendapat pengetahuan baru.

PKR kini telah menjadi batas untuk orang melompat parti. Yang terbaru ialah Wong Cho Keong, MP Wangsa Maju kini menjadi wakil rakyat Bebas. Mereka boleh memberikan alasan bagi mewajarkan perbuatan mereka itu. Sebenarnya, tidak memberikan alasan pun tidak mengapa. Untuk melompat, tidak diwajibkan ada alasan.

Apakah ini? Inilah yang akan aku cuba ramalkan. Ia mungkin tidak betul.

Bagi aku - inilah sebahagian dari permainan politik. Sekalipun Putrajaya itu dekat, tetapi jalan untuk Anwar Ibrahim ke Putrajaya semakin jauh.

Dalam senario politik tanahair yang masih bersifat perkauman - mustahil bagi PAS dan DAP menguasai kawasan tertentu. PAS mungkin tidak akan diterima di kawasan bukan Melayu, dan DAP tidak pula diterima di kawasan Melayu.

Hanya PKR - yang mungkin agak liberal boleh diterima di kawasan Cina, India atau Melayu. Itulah rasional kepada andaian aku. Orang Melayu secara umumnya menerima Pakatan kerana mereka ada tokoh Melayu di situ - iaitu Anwar Ibrahim. Orang Melayu mungkin tidak teruja dengan Pakatan kalau tokoh utamanya ialah orang lain. Meletakkan Lim Kit Siang sebagai bakal Perdana Menteri misalnya, mungkin menjadikan gabungan Pakatan tidak sedap dilihat orang Melayu.

Tetapi ini berbeza dengan Anwar Ibrahim. Anwar diterima Melayu dan diterima juga kaum lain. Inilah kelebihan Anwar dalam konteks gabungan Pakatan Rakyat.

Jadi - untuk menjatuhkan Pakatan - paling utama ialah melemahkan PKR. Melemahkan PKR bermakna akan melemahkan persepsi masyarakat terhadap Anwar.

Dengan keluarnya begitu ramai wakil rakyat dari PKR sejak pilihanraya umum 2008 dahulu, ini menjadikan orang mula bimbang untuk menyokong PKR pada masa hadapan. Orang mungkin menyokong Pakatan, tetapi orang ragu-ragu dengan PKR. Ini secara tidak langsung, melemahkan gabungan parti itu.

Menyokong PKR - bermakna menyokong calon Bebas.

Semata-mata PAS dan DAP dalam gabungan Pakatan, ia tidak begitu mantap. Ia gabungan dari dua aliran berbeza. Perlu ada PKR di situ. Bagaimana pun, PKR pula kini menjadi liabiliti dalam gabungan Pakatan. Mungkin banyak orang menyukai Anwar, tetapi Anwar tidak boleh bertanding di semua kawasan. Adakah jaminan bahawa calon PKR yang bertanding tidak akan melompat parti lagi pada masa hadapan?

Itu yang persepsi baru yang bakal dijadikan modal kempen pada pilihanraya akan datang. Semakin banyaknya wakil rakyat PKR melompat parti - walaupun dari satu segi membersihkan partinya - tetapi pada masa yang sama ia bakal menjatuhkan kepercayaan orang.

Barang tentu pihak Pakatan perlu berkempen lebih keras bagi membuktikan bahawa calon yang mereka pilih ialah orang yang berprinsip. Kali ini, bola di tangan Pakatan. Mereka yang perlu lebih terus membuktikannya. Barisan Nasional mungkin perlu menjadi penontonnya sahaja.

Pakatan mungkin akan mendakwa bahawa wakil rakyat mereka dibeli. Tetapi, dakwaan semata-mata tanpa ada bukti adalah sukar. Orang awam tidak faham akan hal ini.

Lagi pula - melompat parti bukan hal yang salah. Ia pernah diwar-warkan oleh Pakatan sendiri sebelum ini, yang akhirnya bertukar menjadi krisis politik Perak.

Untuk orang awam seperti kita - lihatlah ini sebagai sebahagian permainan politik. Adakah permainan politik ini sudah tamat?

Belum tentu lagi. Banyak lagi step yang tidak kita tahu. Ia ada dalam kepala pemain utama kedua-dua parti.

Siapa yang bakal menang.

1 comment:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails