Yang Ikut

Friday, 7 May 2010

Surat buat kekasih

Reactions: 
Kekasih,
Maafkan aku. Aku tak akan mampu melamarmu. Sungguh aku juga tak mampu melupaimu. Bukan kelmarin. Bukan setahun hubungan kita. Aku mengenalimu sejak dunia remaja lagi. Aku dan engkau membesar bersama-sama. Biarlah kata nista dan fitnah hina mereka campakkan ke atas dirimu. Aku tak akan percaya. Kerana engkau adalah kekasihku.

Kekasih. Setiap tahun ada sahaja cerita buruk tentang dirimu. Kononnya engkau selalu memusnahkan hidup manusia yang engkau dampingi. Kononnya engkau adalah racun pahit. Aku tidak pernah mendengarnya. Kerana kalau aku mendengarnya pun, aku tidak juga mungkin percaya. Kerana engkau adalah kekasihku.

Kekasih. Lama dahulu, isteriku seolah tidak mahukan hubungan kita berpanjangan. Telah dia cuba segalanya. Tetapi, aku mengenali engkau terlebih dahulu. Engkau adalah kekasih yang tak mampu aku lupakan. Setiap saat dirimu ada dalam diriku. Ingatanku tak akan pudar. Engkau adalah teman sekolahku. Kemudian bersama-sama di universiti. Engkau juga mendampingiku ketika aku melangkah ke dunia pekerjaan. Malah, pada saat hari persandinganku pun - engkau tetap ada menjeling ke arahku.

Setahun yang lalu - aku mencuba sedayaku melupakan engkau. Selama 5 hari - aku kemurungan. Jiwaku kacau. Hidupku kosong. Aku resah. Begitulah hebatnya hubungan kita. Hingga akhirnya - aku tahu kita tak akan dapat berpisah. Biarlah ada badai dan ribut. Biar bumi terbelah dua. Dirimu tetap kan ku cari.

Kekasih. Hari ini mereka mencuba lagi. Mereka cuba memisahkan kita lagi. Aku memang tidak terdaya lagi dengan cubaan kali ini. Memang, aku tak mampu melamarmu sekarang ini. Hargamu terlalu tinggi. Tetapi mungkinkah aku akan mampu melupaimu. Tolonglah kekasih. Khabarkan padaku. Khabarkan bahawa apa yang aku dengar ini tidak benar. Katakan yang sesungguhnya apa yang aku dengar ini dusta.

Aku tidak sesekali akan berpisah denganmu. Tolonglah. Tetapi, aku juga tidak mampu melamarmu. Katakan apa harus aku lakukan?

Nota:
Ini bukan surat cinta. Ini nota bantahan keras kerana Kerajaan Australia telah menaikkan harga rokok sebanyak 25%. Sesiapa yang akan datang dari Malaysia, tolong belikan aku rokok.

2 comments:

ihsan_huhu said...

hahahaha gle syahdu

ainishamsi said...

dah boleh agak rokok dr 1st paragraph lg.

all teh best. semoga mahal dan terus mahal dan takkan turun2 lagi.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails