Yang Ikut

Showing posts with label rokok. Show all posts
Showing posts with label rokok. Show all posts

Friday, 7 May 2010

Surat buat kekasih

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kekasih,
Maafkan aku. Aku tak akan mampu melamarmu. Sungguh aku juga tak mampu melupaimu. Bukan kelmarin. Bukan setahun hubungan kita. Aku mengenalimu sejak dunia remaja lagi. Aku dan engkau membesar bersama-sama. Biarlah kata nista dan fitnah hina mereka campakkan ke atas dirimu. Aku tak akan percaya. Kerana engkau adalah kekasihku.

Kekasih. Setiap tahun ada sahaja cerita buruk tentang dirimu. Kononnya engkau selalu memusnahkan hidup manusia yang engkau dampingi. Kononnya engkau adalah racun pahit. Aku tidak pernah mendengarnya. Kerana kalau aku mendengarnya pun, aku tidak juga mungkin percaya. Kerana engkau adalah kekasihku.

Kekasih. Lama dahulu, isteriku seolah tidak mahukan hubungan kita berpanjangan. Telah dia cuba segalanya. Tetapi, aku mengenali engkau terlebih dahulu. Engkau adalah kekasih yang tak mampu aku lupakan. Setiap saat dirimu ada dalam diriku. Ingatanku tak akan pudar. Engkau adalah teman sekolahku. Kemudian bersama-sama di universiti. Engkau juga mendampingiku ketika aku melangkah ke dunia pekerjaan. Malah, pada saat hari persandinganku pun - engkau tetap ada menjeling ke arahku.

Setahun yang lalu - aku mencuba sedayaku melupakan engkau. Selama 5 hari - aku kemurungan. Jiwaku kacau. Hidupku kosong. Aku resah. Begitulah hebatnya hubungan kita. Hingga akhirnya - aku tahu kita tak akan dapat berpisah. Biarlah ada badai dan ribut. Biar bumi terbelah dua. Dirimu tetap kan ku cari.

Kekasih. Hari ini mereka mencuba lagi. Mereka cuba memisahkan kita lagi. Aku memang tidak terdaya lagi dengan cubaan kali ini. Memang, aku tak mampu melamarmu sekarang ini. Hargamu terlalu tinggi. Tetapi mungkinkah aku akan mampu melupaimu. Tolonglah kekasih. Khabarkan padaku. Khabarkan bahawa apa yang aku dengar ini tidak benar. Katakan yang sesungguhnya apa yang aku dengar ini dusta.

Aku tidak sesekali akan berpisah denganmu. Tolonglah. Tetapi, aku juga tidak mampu melamarmu. Katakan apa harus aku lakukan?

Nota:
Ini bukan surat cinta. Ini nota bantahan keras kerana Kerajaan Australia telah menaikkan harga rokok sebanyak 25%. Sesiapa yang akan datang dari Malaysia, tolong belikan aku rokok.

Wednesday, 3 December 2008

Merokok hanya merosakkan telinga?

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Bekalan sudah sampai! Jika anda mahu ke Adelaide, sila bawa sekartun rokok Marlboro atau Dunhill. Sediakan payung sebelum hujan.

Mengapa ni? Adakah rokok di Adelaide ini tiada kualiti? Atau rokok tidak dijual di kedai-kedai?

Sebenarnya bekalan rokok di Adelaide jauh dari cukup. Belum lagi terdengar ada kedai yang mogok atau kehabisan stok. Berlambak-lambak rokok yang ada. Selain jenama yang biasa kita dengar, ada juga Holiday, Winfield, King, Peter Jackson dan macam-macam. Ada juga kedai yang hanya menjual rokok seperti SmokeMart. Lighter termurah seperti Cricket sampailah kepada Zippo yang paling mahal. Semuanya ada di sini.

Tapi - itulah perokok. Mereka cuma bising bila harga petrol naik. Mereka diam, kelu dan bisu bila harga rokok naik. Dengan harga AUD10 sebungkus bagi jenama seperti Dunhill, Marlboro atau Benson & Hedges, anda sebenarnya boleh memasukkan 10 liter petrol ke dalam kereta. Ia boleh membawa anda turun naik Adelaide Hill bagi memetik cherry beberapa kali. Malah, mungkin anda boleh memandu sampai ke Monarto Zoo di Murray Bridge bagi melihat cheetah dan unta.

Dengan nilai AUD10 bagi sekotak rokok sehari, maknanya kita boleh menabung sebanyak RM30 sehari menjadikan jumlah terkumpul sebanyak RM900 sebulan. Ini membolehkan anda membeli seekor anak lembu sebulan. Kalau setahun, anda akan mempunyai 12 ekor lembu. Kaya bukan?

Walau apa pun - bagi perokok sejati - hanya ada satu bahaya. Merokok hanya merosakkan telinga. Ia tidak menjejaskan organ lain seperti banyak diperkatakan. Apa tidaknya - isteri anda akan terus berleter sepanjang hari!

Kami juga tidak pernah melihat orang yang tidak merokok membeli seekor anak lembu setiap bulan, atau turun naik ke Adelaide Hill berkali-kali.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails