Yang Ikut

Showing posts with label selamat tinggal rokok; cerita abang. Show all posts
Showing posts with label selamat tinggal rokok; cerita abang. Show all posts

Friday, 7 May 2010

Surat buat kekasih

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kekasih,
Maafkan aku. Aku tak akan mampu melamarmu. Sungguh aku juga tak mampu melupaimu. Bukan kelmarin. Bukan setahun hubungan kita. Aku mengenalimu sejak dunia remaja lagi. Aku dan engkau membesar bersama-sama. Biarlah kata nista dan fitnah hina mereka campakkan ke atas dirimu. Aku tak akan percaya. Kerana engkau adalah kekasihku.

Kekasih. Setiap tahun ada sahaja cerita buruk tentang dirimu. Kononnya engkau selalu memusnahkan hidup manusia yang engkau dampingi. Kononnya engkau adalah racun pahit. Aku tidak pernah mendengarnya. Kerana kalau aku mendengarnya pun, aku tidak juga mungkin percaya. Kerana engkau adalah kekasihku.

Kekasih. Lama dahulu, isteriku seolah tidak mahukan hubungan kita berpanjangan. Telah dia cuba segalanya. Tetapi, aku mengenali engkau terlebih dahulu. Engkau adalah kekasih yang tak mampu aku lupakan. Setiap saat dirimu ada dalam diriku. Ingatanku tak akan pudar. Engkau adalah teman sekolahku. Kemudian bersama-sama di universiti. Engkau juga mendampingiku ketika aku melangkah ke dunia pekerjaan. Malah, pada saat hari persandinganku pun - engkau tetap ada menjeling ke arahku.

Setahun yang lalu - aku mencuba sedayaku melupakan engkau. Selama 5 hari - aku kemurungan. Jiwaku kacau. Hidupku kosong. Aku resah. Begitulah hebatnya hubungan kita. Hingga akhirnya - aku tahu kita tak akan dapat berpisah. Biarlah ada badai dan ribut. Biar bumi terbelah dua. Dirimu tetap kan ku cari.

Kekasih. Hari ini mereka mencuba lagi. Mereka cuba memisahkan kita lagi. Aku memang tidak terdaya lagi dengan cubaan kali ini. Memang, aku tak mampu melamarmu sekarang ini. Hargamu terlalu tinggi. Tetapi mungkinkah aku akan mampu melupaimu. Tolonglah kekasih. Khabarkan padaku. Khabarkan bahawa apa yang aku dengar ini tidak benar. Katakan yang sesungguhnya apa yang aku dengar ini dusta.

Aku tidak sesekali akan berpisah denganmu. Tolonglah. Tetapi, aku juga tidak mampu melamarmu. Katakan apa harus aku lakukan?

Nota:
Ini bukan surat cinta. Ini nota bantahan keras kerana Kerajaan Australia telah menaikkan harga rokok sebanyak 25%. Sesiapa yang akan datang dari Malaysia, tolong belikan aku rokok.

Tuesday, 31 March 2009

Selamat tinggal rokok

11 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Aku ada berita terkini.

Aku dah berjaya berhenti merokok sejak 24 jam yang lalu tanpa sebatang rokok pun. Aku akan cuba untuk bertahan 24 jam lagi. Semalam Prof Tony tanya aku, 'bila kali terakhir aku hisap rokok?". Aku jawab "Dah berhenti". Dia tengok atas bawah. Macam tak percaya. Setiap kali jumpa aku, itulah soalan pertamanya. Dalam emel pun dia akan mula dengan ayat itu juga. Tapi bila aku jawab dah berhenti, dia jadi ragu-ragu.

Sebab utama aku berhenti merokok dalam 24 jam yang lalu, dan 24 jam yang akan datang bukanlah kerana pertanyaan Prof Tony itu. Aku tak ada masalah pun. Aku mula berfikir untuk berhenti bila aku kenang-kenang, abang aku tinggalkan 5 orang anak. Tentu susah kakak ipar aku nak besarkan anak-anak dia. Aku sedikit sebanyak kena tolong juga. Yang paling besar pun baru nak masuk universiti tahun ini.

Walaupun hidup di sini sekadar cukup-cukup makan, tetapi bila hitung balik perbelanjaan rokok Marlboro aku AUD10 sehari, maksudnya AUD300 sebulan. Kalau ditukar dalam ringgit, sudah jadi hampir RM1000. Daripada aku habiskan dengan rokok, lebih baik aku guna duit itu untuk tolong anak-anak saudara aku. Walaupun tak mungkin semua wang itu pergi ke sana, tetapi sekurang-kurangnya aku ada lebihan wang untuk bantu mereka.

Jadi itulah punca aku berhenti rokok dalam 24 jam ini, dan 24 jam akan datang. Aku akan cuba lagi untuk 24 hari ke depan, dan mungkin 240 hari selanjutnya.

Lagi pula, bila aku ingat balik aku dah mula merokok tahun 1986 sembunyi-sembunyi. Tahun 1989 bila habis SPM dah ada lesen penuh. Masa tingkatan 6, aku dah ada kotak Dunhill 20 dalam beg sekolah tanpa ragu-ragu. Jadi hitung-hitung balik, dah hampir 23 tahun aku merokok ini. Jadi baik aku mula belajar untuk berhenti pula. Mana tahu hidup aku pun ada 23 tahun lagi. Itupun kalau cukup panjang.

Apa aku rasa? Sedikit perit bila setiap saat nikotin dalam badan aku cuba memujuk aku kembali merokok, terutamanya waktu pagi dan malam. Dalam psikologi, kita namakan ini sebagai 'terikan psikologi". Inilah antara kekacauan yang selalu menghalang kita berhenti.

Tapi aku dah cuba reverse psychology. Aku cuba menikmati 'kegelisahan' tidak merokok. Aku cuba berkata inilah yang aku inginkan. Cabaran itulah yang aku mahu.

Sudah lama aku menikmati keseronokan merokok, kali ini aku cuba menikmati sesuatu yang terbalik pula.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails