Yang Ikut

Sunday, 30 May 2010

Menafsir mimpi

Reactions: 
Seorang kawan dari Melbourne ada menceritakan bahawa dia bermimpi bahawa aku diterkam harimau putih. Dia ingin tahu, sama ada aku boleh menafsir mimpi. Aku menjawab bahawa aku akan mendapat duit.

Sebenarnya apakah yang dikatakan mimpi. Kalau kita membaca buku mengenai rawatan Islam oleh Dr Harun Din & Amran Kasimin, ada juga dibincangkan sedikit mengenai hal mimpi. Biasanya orang yang sakit akan bermimpi hal binatang hitam seperti anjing dan sebagainya.

Aku boleh terima pendapat itu. Lama dahulu, tahun 2000 beberapa hari sebelum aku jatuh sakit, aku bermimpikan monyet hitam. Malam berikutnya, aku bermimpikan hal menakutkan yang lain. Aku mati dan cuba ditanam oleh beberapa orang sami Buddha. Mereka sedang memegang obor. Melihat aku ditanam mengikut upacara orang Siam - aku meronta - lalu menendang tanah yang sedang ditimbun ke atas tubuh aku. Aku tahu aku orang Islam - tidak boleh ditanam dengan cara pelik sebegitu. Aku berjaya meloloskan diri dari mereka - dan terjaga.

Apakah sebenarnya mimpi?

Mengapa ada mimpi yang kita ingat, dan ada yang tidak. Mengapa ada mimpi yang menyeronokkan, dan adakalanya menakutkan. Mengapa kadang-kadang kita terasa kita ada bermimpi sesuatu, tetapi apabila terbangun kita gagal mengingati jalan ceritanya.

Dalam bidang psikologi - ada dua tokoh utama yang selalu dikaitkan dengan hal mimpi - Sigmund Frued dan Carl Jung. Kedua-dua ini dari aliran psikoanalisis. Mereka ini selalu cuba menerokai pesakit dengan apa yang mereka alami ketika mimpi.

Bagi kedua-dua tokoh ini - walaupun berbeza - mimpi itu dijelmakan dari alam tidak sedar. Ada juga hal-hal yang berlaku ketika siangnya, lalu dibawa ke alam tidur. Ia mungkin berlaku secara kita sedar, dan ada yang tidak. Misalnya, ketika memandu kenderaan kita melihat banyak perkara secara sekali imbas sahaja. Ada maklumat yang kita simpan misalnya nama jalan. Ada pula maklumat yang kita anggap tidak penting - tetapi ia disimpan di alam tidak sedar, misalnya orang sedang berkerja membaiki jalan.

Ada pula maklumat yang mungkin kita dengar ketika berbual-bual dengan sahabat kita. Mungkin juga kenangan lampau kita.

Maklumat-maklumat tidak sedar inilah yang kadang-kadang muncul kembali.

Seorang teman, setahun lalu bertanyakan aku tentang mimpinya dikejar ular. Lelaki Melayu biasanya sangat suka dengan mimpi ular - kononnya akan mendapat pasangan. Ini adalah mitos yang sudah lama berlegar.

Aku bertanya sama ada dia melihat ular, atau benda-benda yang mirip dengan ular. Dia katakan tidak. Lama kemudiannya baru dia sedar, dia menonton filem Kung Fu Panda. Ada ular di dalam cerita itu.

Ada hal-hal tidak sedar yang tidak mampu diterangkan itulah yang biasanya ujud dalam diri pesakit. Dalam bidang psikologi - hal-hal seperti kekecewaan, bimbang, kisah derita lama dan sebagainya mungkin akan menyebabkan seseorang itu sakit mental. Kisah-kisah ini mungkin tidak diceritakan kepada orang. Tetapi kerana kisah ini - yang diberikan begitu banyak tumpuan - ia muncul semula di alam mimpi. "Isi cerita' mimpi inilah yang diminati oleh ahli psikologi aliran psikoanalisis.

Itulah sebahagian hakikat mimpi yang cuba diterangkan dalam bidang psikologi. Kajian dalam hal mimpi ini biasanya dilakukan oleh mereka yang ditempatkan di Centre of Sleep Research.

Bagaimana pun - dalam agama kita - ada juga disebutkan tentang mimpi. Ada mimpi yang benar, dan ada yang palsu. Banyak yang kita mimpikan setiap hari mungkin hanya bersifat igauan sahaja.

Lebih dua puluh tahun dahulu, di tempat aku - aku masih ingat lagi satu cerita. Seorang kontraktor membersihkan kebun getah Felda, bermimpi didatangi seseorang memberitahunya bahawa ada tersimpan emas di satu tempat di dalam kawasan kebun itu. Aku kenal dengan kontraktor ini, dia lelaki baik. Kebesokan harinya, dia pergi ke tempat itu. Memang benar apa yang disampaikan dalam mimpi itu. Kalaulah ceritanya benar, tentulah mimpi itu benar. Melainkan ceritanya itu tidak benar, maka mimpi tadi juga tidak benar lagi.

Nanti - kalau ada masa kita cuba selidiki sedikit berkaitan hal mimpi.

1 comment:

isuzu_aizu said...

malam sebelum dpt result matrik aust di uitm saya bermimpi dpt result markah 89. dan benarlah saya dapat result TER score 89.2 keesokan harinya. sejak hari tu saya doa2 jgn mimpi result sbb takut ape yg dimimpikan tu betul/ tak betul. huhu

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails