Yang Ikut

Showing posts with label penagihan dadah. Show all posts
Showing posts with label penagihan dadah. Show all posts

Saturday, 15 May 2010

Siri Kempen Benci Dadah - III - Dadah dan seks

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Di Malaysia - sehingga tahun 2004, dianggarkan jumlah penagih dadah jenis heroin yang direkodkan ialah 234,000 orang. Bagaimana pun, jumlahnya dikatakan lebih lagi dengan andaian ada mereka yang tidak pernah ditangkap, atau dirawat - jumlahnya ialah 500,000 orang.

Sesuai dengan perkembangan teknologi - dan tidak berubahnya minda kita - kini penagihan dadah kategori amphetamine-type pula kian meningkat. Ada dua kategori dadah jenis ini - dalam bentuk tablet - dinamakan juga sebagai pil kuda atau 'wy'. Dalam bentuk kristal - syabu dan ice. Pengguna dadah ini bertambah dengan mendadaknya sejak akhir-akhir ini.

Daripada jumlah penagih dadah yang dilaporkan, lebih 60 peratus adalah Melayu, kebanyakannya pula lelaki.

60 peratus dari setengah juta orang bukan sedikit. Ia kira-kira 300,000 orang. Kalaulah semuanya menjadi pendakwah, guru, atau ahli tabligh - setidak-tidaknya akan ada orang baik dilahirkan setiap hari. Kalau semuanya menjadi pekerja sukarela mengutip sampah, kita akan menjadi negara paling bersih di dunia. Kalau setiap orang ini mendermakan RM1 setahun sekali, kita akan ada RM 300,000 setiap tahun untuk membantu orang susah.

Sejarah dadah

Walaupun dadah mula dihisap sejak ribuan tahun dahulu - di China dalam bentuk herba, tetapi dadah bentuk moden khususnya heroin direkodkan di Malaysia dalam tahun 70-an. Heroin ini pada mulanya dihisap dengan cara 'chasing the dragon" - seperti yang aku cerita dalam siri dadah sebelum ini. Ia bermula di Hongkong tahun 1950-an. Kemudian dalam era 60-an, ia mula merebak ke Thailand. Sejarah perkembangan dadah heroin di negara kita serentak dengan Belanda. Hanya dekad 80-an, baru ia berkembang ke UK dan India, dan tahun 90-an ke Switzerland dan Spain.

Ini bukti kita hebat kerana kita mendahului negara maju dalam hal tidak maju ini.

Apa lagi kehebatan anak Melayu kita? Sehingga pertengahan dekad ini, kita ada 60,000 pengidap HIV, kedua terbesar di rantau Asia selepas Vietnam. Kita juga adalah negara terbesar yang menetaskan HIV melalui jarum suntikan dadah (76.3%). 12-56% penularan dadah berkaitan dadah ini pula banyak berlaku di negeri utara yang bersempadan dengan Thailand - yang kebanyakannya melalui seks.

Apa yang dapat kita faham. Selain menagih dadah, mereka juga melanggan wanita jalang di sempadan. Keduanya-duanya hal seronok. Kedua-duanya juga hal tidak berguna. Kemudiannnya mereka ini membiakkan pula dadah ke kampung halaman kita. Jadi sesiapa yang ada anak dara untuk dikahwinkan - harus berhati-hati pada masa depan.

Bagaimana pun, ada mitos bahawa dadah akan meningkatkan lagi nikmat seks. Itu mitos yang selalu diulang oleh para penagih. Mungkin mitos inilah yang membawa mereka mencubanya di negara jiran.

Logiknya juga - banyak para bohsia dan bohjan ini juga selalunya ditangkap dengan ada dadah dalam poket. Kita tidak perlu mencubanya.

Kita tidak tahu mitos itu. Yang kita tahu, dadah membunuh anak bangsa kita melalui seks.

Dosa yang dibawakan dadah ini bukan sekadar merosakkan generasi kita - ia menghilangkan agama dari dalam diri. Dadah menyebabkan orang berzina. Dadah menyebabkan orang lupa ibu bapa. Bahkan, kalau terpaksa membunuh ibu bapa sekalipun tidak mengapa asalkan didapatkan wang membeli dadah. Dadah juga menyebabkan orang bercerai berai.

Satu waktu dahulu - sekitar tahun 90-an, di bulan puasa aku di rumah Brader U seperti yang aku ceritakan sebelum ini. Waktu itu, abang kandung Brader U (Jo, nama samaran) juga penagih, juga seorang 'tokan' (tokan - pusher dadah untuk mat skema yang tak tahu istilah dunia kejahatan). Aku rasa, waktu itu Brader U masih belum menagih heroin lagi.

Datang serang rakan Jo ingin membeli heroin - dia meminta tawar. Perbualannya lebih kurang begini. Perbualan ini aku ingat, sebab ia sangat sentimental. "Jo, kau berilah aku murah sikit. Aku nak pakai duit ni. Zakat fitrah pun aku tak bayar lagi ni". Kata kawan yang membeli itu.

Jo menjawab mudah: "Beginilah. Tak payah tunjuk baik la. Kita puasa pun tak. Sembahyang pun tidak. Kenapa pula hang nak kelam kabut pula nak bayar fitrah ini".

Logik juga kenyataan seperti itu. Tetapi itulah hakikat dunia para penagih. Dadah akan menjadi tuhan untuk segala yang bernama keseronokan. Dadah akan mendahului segala-galanya.

Brader U, dan Jo kini telah tiada lagi di dunia ini. Aku tidak pasti rakan yang membeli tadi. Aku jarang ternampaknya lagi di kampung.

Siapa orang Melayu pertama menagih dadah? Aku gagal menemuinya.

Mengapa anak Melayu kita yang banyak menagih dadah? Nanti kita cuba selidiki lagi.

Friday, 14 May 2010

Siri Kempen Benci Dadah - II - Sifat Melayu

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Nota: tulisan ini tidak semestinya betul dan wajar pada pandangan anda.

Sebelum kita mulakan perbincangan mengenai ketagihan dadah di kalangan orang kita, ada baiknya kita tahu sedikit sebanyak mengenai diri kita, Melayu.

Apa itu Melayu?

Melayu itu pada asasnya bersandar hidup dengan satu karektor atau watak - malu. Tidak banyak bangsa di dunia yang ada sifat ini. Sebab itu, jangan hairan kalau kita boleh meramal seseorang itu sebagai Melayu atau tidak - sekalipun dengan hanya melihat cara mereka berjalan di tengah bandar Adelaide. Kerana sifat malu - kita jalan sedikit menunduk, agak tersipu dan tidak berjalan dengan cara yang angkuh. Itu sifat Melayu.

Mengapa kita berperilaku begitu. Sebabnya kita malu - atau dalam bahasa Inggerisnya "hypersensitiveness to what other people are thinking about oneself' . Kita sangat pentingkan apa yang orang lain kata mengenai kita. Sebab itu apabila kita berjalan, kita selalu berfikir sama ada orang lain di sekeliling kita melihat kita atau tidak.

Adakalanya ini menjadikan kita bangsa yang rendah diri dan tidak yakin.

Sebab itu jangan hairan - kita sangat hormat dengan orang luar. Banyak Melayu yang begitu hormat dan teruja apabila melihat orang kulit putih masuk kampung. Kita ingat mereka ini sangat besar, walaupun kita mungkin tidak sedar mereka itu mungkin lebih teruk dari kita. Kita juga berasa gerun kalau masuk ke pejabat yang kaunter depannya dijaga oleh gadis mat salleh, sedangkan mereka itu mungkin hanya berkerja sebagai operator telefon. Kita juga cenderung memberi kontrak kepada orang Barat sebagai kononnya mereka ini hebat.

Apa lagi sifat Melayu? Melayu juga dikatakan sebagai bangsa yang patuh. Maksudnya, kita tidak begitu membantah. Kita lebih cenderung untuk menurut. Sebab itu - kita lihat dalam banyak hal - bagi perkara yang tidak betul pun, kita diam. Kita taat. Kita tidak mahu banyak bersoal jawab. Kita tidak bersuara. Habis kuat, kita berkata: "Ala, biar pi lah".

Ini berkait juga dengan sifat kita yang lain - kita bangsa yang seboleh-bolehnya ingin menghindar konflik. Kita sangat menjaga hal ini. Kita seboleh-bolehnya akan menjaga hati orang lain, sebagai mana kita mengharap orang menjaga hati kita. Jangan hairan, kalau kita melihat ada anak jiran yang berkelakuan sumbang - kita berkata : "Ala, biar pi la kat depa. Jangan dok jaga tepi kain orang". Tapi, di belakangnya kita mengumpat pula.

Kita juga bukanlah bangsa yang bersifat terbuka jika dikutkan kepada kajian personaliti. Kita mungkin tidak mahu membuka ruang berfikir, tidak juga mahu terlibat dengan perdebatan isu. Kita mungkin kurang innovatif. Atau dalam kata lain, kita tidak begitu berminat mengenai hal berkaitan idea.

Bagi hidup seorang Melayu - kita sudah berasa puas dengan kehidupan seadanya sahaja - selagi ia tidak bercanggah dengan ajaran agama.

Bersambung.

Monday, 16 March 2009

Kalau belum, baik jangan

13 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
SIRI KEMPEN ANTI DADAH

Aku dilahir dan dibesar di Changlun - kira-kira 8 km dari sempadan Thailand. Jadi, jangan hairan kalau banyak budak-budak muda senang sangat nak dapat dadah. Mungkin untuk dapatkan dadah lebih mudah daripada nak beli gula.

Aku nak cerita satu cerita betul. Cerita ini bukan cerita aku, tetapi cerita kawan baik aku. Aku namakan dia dalam cerita ini Bento sahaja (bukan nama sebenar). Kami berkawan dari sejak mula kenal bahasa. Bermain sekali, berlari pun sekali. Cuma kami hidup dalam dua alam yang berlainan. Aku masuk universiti, dia bawa haluan lain. Dia jadi penagih, aku jadi orang. Tetapi, kemana-mana pun kami tetap juga bersama. Sampai sekarang kami tetap menghirup teh tarik kedai mamak sampai pagi.

Selepas Sijil Rendah Pelajaran tahun 1988, dia tak mahu sambung belajar. Dia mula kerja macam-macam. Dari situlah dia mula berjinak-jinak dengan ganja. Aku duduk di asrama, dia duduk di kampung. Sebab dia kerja awal, jadi belanja sekolah kadang-kadang aku minta dari dia. Itu tak ada hal.

Selepas aku tamat STPM tahun 1991, kami berdua memulakan langkah pertama kami ke Kuala Lumpur. Kami berdua kerja di Selayang Baru, kilang sebelah menyebelah. Tapi kami tinggal di rumah yang berlainan. Dari situ dia mula mengembangkan bakat menagih apabila banyak berjumpa dengan rakan-rakan baru di kawasan rumah setinggan.

Tahun 1992 aku masuk universiti. Dia pula mula berpindah randah kerja sekitar Kuala Lumpur. Dari situ dia berkenalan pula dengan rakan-rakan baru. Seingat aku, tahun 1994 dia mula hisap heroin pula. Aku ingat - sebab waktu itu ada Piala Dunia. Setiap hujung minggu, dia datang ke rumah aku di Kajang.

Satu hari aku terserempak dia sedang menghisap dalam bilik aku. Dia kata 'ini bukan apa-apa, ini cuma rose'. Aku pula jahil, aku ingat apalah benda 'rose' yang dia cakapkan itu. Jadi aku buat tak tahu sahaja. Tapi bila setiap kali datang rumah aku dia bawa rose dalam poket, aku mula curiga. Waktu itu dia cuma chest sahaja. Maksudnya disalurkan api di bawah sudu, kemudian hidu asapnya. Lama-lama baru aku tahu. Rose itu heroin juga. Tetapi warnanya merah mawar.

Tetapi aku dengan dia tetaplah berkawan baik sekalipun hidup dalam dunia masing-masing. Dia pun tidaklah berperwatakan seperti penagih. Dia cool sahaja. Kawan-kawan serumah aku tak tahu pun yang dia ini penagih. Setiap hujung bulan bila dapat gaji, dia akan bagi aku sebahagian duit gajinya. Dia kata, dia tak boleh simpan duit. Daripada habis dia belikan dadah, lebih baik bagi aku belajar. Aku okay bab-bab orang bagi duit ini!

Sejak bila dia mula guna jarum aku tidak berapa pasti. Mungkin sekitar tahun 1996. Bila aku jumpa dia, dia selalu cuba tutup lengan dia. Pernah dia cuba tipu aku, lengan dia luka sebab terjatuh lori. Tapi aku tahu dia tipu. Sebab tangan dia ada bintik dan calar. Itu bukan luka. Kadang-kadang aku buka beg dia, aku nampak alat-alat menghisap. Pernah sekali aku ambil dan buang dalam sungai. Aku buat tak tahu. Dia pun tak berani tanya.

Cuma tahun 2001 - dia ada perubahan besar. Dia di Ipoh waktu itu. Dia datang rumah aku di Kuala Lumpur. Masa itu aku dah berkahwin dah. Dia kata nak tinggal rumah aku sebulan dua sebab nak berhenti hisap. Dia kata, tak guna dia kerja. Semakin banyak dia dapat duit, semakin lagi dia banyak hisap. Jadi lebih baik dia berhenti kerja, jadi dia boleh stop. Aku setuju. Isteri aku pun setuju. Jadi semua duit dia aku simpan. Dia cuma diberikan RM5 sehari apabila aku dan isteri keluar ke tempat kerja. Sebenarnya itu cadangan dia juga. Dia kata, kalau dia ada RM10, dia boleh beli dadah.

Dalam minggu pertama itu, rumah aku dah jadi semacam tempat detox macam di pusat serenti. Kadang-kadang dia cirit birit, hingus-meleleh dan tak tentu arah. Muntah hijau pun pernah (memang warna hijau muda). Selama ini aku cuma belajar fasal dadah dalam kelas. Sekarang ini baru real. Pernah waktu itu kami berjumpa doktor. Kami tanya apa lagi yang boleh buat. Doktor itu cakap, tak ada ubat. Tapi dia boleh buat surat untuk masuk pusat serenti. Hah. Itu yang kawan aku tak mahu. Sebab di sana lebih banyak para penagih.

Tiga bulan tinggal di rumah aku dia berhenti. Kerjanya cuma ke surau dan bagi ikan dalam akuarium aku makan. Aku balik kampung pun, dia tak balik. Rumah aku dah jadi pusat waktu itu.

Jadi, bila dia dah sembuh, dia keluar dari rumah aku dan kerja lagi. Dalam tempoh itu, kadang-kadang dia kembali hisap, kadang-kadang berhenti. Cuma bagusnya dia, dia tak berkawan dengan budak-budak dadah. Dia berkawan dengan orang yang tak menagih. Dia juga tidak bersikap positif dengan dadah. Dia tahu menghisap dadah ini kerja yang tak berguna. Pernah sekali dia beritahu aku: "Hang ingat senang ka? Hang hisap rokok pun susah nak tinggal". Cuma dia tak boleh nak berhenti senang-senang sebab bila berhenti mendadak, dia akan 'gian'. Gian itu sakit. Hidung meleleh dengan hingus. Ciri birit. Berpeluh.

Pernah satu hari - di tempat kerjanya ada satu budak muda. Baru sahaja berjinak-jinak dengan heroin. Kawan aku ini tahu yang budak itu sudah mula hisap dadah. Tapi budak itu yang tak tahu yang kawan aku ini dah jadi 'otai".
Jadi, satu hari kawan aku tanya: "Hang hisap apa, aku tengok macam best ja?"
Budak itu jawab: "Hang tau, aku bukan hisap ganja. Aku hisap benda ini (sambil tunjukkan straw beriisi heroin). Best hang tau'.
Kawan aku sekadar menduga: "Dah lama ka hang hisap?".
Budak itu jawab: "Taklah, baru sebulan ini".
Kawan aku tanya balik: "Hang dah beli apa dah kat mak hang?"
Budak itu jawab: "Aku dah beli tv, Honda EX-5 sebiji..."
Kawan aku jawab: "Hang tengok aku. Aku cuma ada baju t-shirt ni ja. Hang baru hisap sebulan. Aku dah 10 tahun dah (sambil tunjukkan heroin dia yang ada dalam botol kapur). Kalau hang nak terus hisap, nanti apa satu pun hang tak beli. Jadi kalau nak berhenti, berhentilah sekarang".
Budak itu diam.

Satu lagi - ada bisikan psikologi yang lebih kuat lagi. Misalnya dia pernah menghisap di bawah perdu kelapa sawit. Jadi, apabila melihat pohon kelapa sawit - keiinginan hendak menghisap datang semula. Ini kita namakan association. Macam orang gagal bercinta. Bila nampak bumbung rumah bekas kekasih, sudah mula terasa sebak.

Sekarang ini - setelah beberapa kali melawan - gagal dan berjaya - dia berhenti terus. Sudah 3 tahun lebih.

Sunday, 15 March 2009

Ice and speed can kill you!

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kalau anda berpeluang memandu di satu jalan berliku dari Melbourne ke Mount Buller, destinasi bermain salji, anda akan melihat papantanda yang tertulis ingatan itu. Ia mengingatkan kita betapa jalan yang licin dan kelajuan akan membunuh.

Sebenarnya tidak. Ia bukan ingatan untuk anda memperlahankan kenderaan. Ia adalah ingatan mengenai bahaya dadah.

Ice dan speed mungkin istilah asing untuk kebanyakan kita yang tidak pernah menagih. Ia mungkin tidak diketahui pakcik dan makcik di Felda Trolak Tiga atau di Seberang Takir bahawa kedua-duanya adalah dadah sintetik baru kegilaan umat manusia.

Apabila ada anak remaja berbual-bual mengenai kedua-duanya, kita mungkin membayangkan bahawa perbualan itu lebih menjurus perbualan biasa - misalnya makan ais kacang atau merancang berlumba motor di waktu malam. Sedangkan tidak. Mereka ada agenda yang lebih besar.

Kejahilan itu jugalah membuatkan kita tidak mampu untuk berperang dengan gejala penagihan dadah. Bagaimana pun, untuk menyalahkan pakcik dan makcik di kampung ini juga tidak betul. Teknologi dadah berkembang lebih cepat dari pengetahuan kita. Bukanlah tugas orang kampung ini untuk menyelidikinya. Ia tugas pihak yang berkaitan dengannya - memberikan ceramah di kampung-kampung.

Banyak daripada kita mungkin selalu membayangkan penagih dadah mestilah berpakaian selekeh, tidak terurus, kurus dan bersembunyi di belakang bangunan. Itu mungkin betul bagi kategori penagih dadah 'otai' heroin di lorong belakang Chow Kit Road.

Penagih dadah 'moden' berpakaian lebih kemas. Penagih dadah ectasy misalnya boleh menggunakan dadah sambil membonceng motosikal sahaja. Ia tidak memerlukan kelengkapan seperti jarum, lilin, lighter atau benang. Tidak juga perlu membawa tembakau dan batang rokok. Ia sama mudahnya seperti menelan pil panadol sahaja.

Jangan disangka anak remaja yang berkurung di dalam bilik sebagai sedang belajar. Apabila mereka tidak keluar dari bilik dalam tempoh yang lama, jangan disangka yang mereka kuat belajar. Walaupun kita perlu bersangka baik, sesekali kita juga patut bersangka buruk. Jangan kerana mereka tidak merokok atau berkumpul di belakang semak, "tidak ada apa-apa' yang sedang berlaku ke atas mereka.

Nanti kita kongsi cerita bagaimana ada orang boleh berhenti.

Untuk pengetahuan dadah berkaitan, boleh baca di sini

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails