Yang Ikut

Monday, 16 March 2009

Kalau belum, baik jangan

Reactions: 
SIRI KEMPEN ANTI DADAH

Aku dilahir dan dibesar di Changlun - kira-kira 8 km dari sempadan Thailand. Jadi, jangan hairan kalau banyak budak-budak muda senang sangat nak dapat dadah. Mungkin untuk dapatkan dadah lebih mudah daripada nak beli gula.

Aku nak cerita satu cerita betul. Cerita ini bukan cerita aku, tetapi cerita kawan baik aku. Aku namakan dia dalam cerita ini Bento sahaja (bukan nama sebenar). Kami berkawan dari sejak mula kenal bahasa. Bermain sekali, berlari pun sekali. Cuma kami hidup dalam dua alam yang berlainan. Aku masuk universiti, dia bawa haluan lain. Dia jadi penagih, aku jadi orang. Tetapi, kemana-mana pun kami tetap juga bersama. Sampai sekarang kami tetap menghirup teh tarik kedai mamak sampai pagi.

Selepas Sijil Rendah Pelajaran tahun 1988, dia tak mahu sambung belajar. Dia mula kerja macam-macam. Dari situlah dia mula berjinak-jinak dengan ganja. Aku duduk di asrama, dia duduk di kampung. Sebab dia kerja awal, jadi belanja sekolah kadang-kadang aku minta dari dia. Itu tak ada hal.

Selepas aku tamat STPM tahun 1991, kami berdua memulakan langkah pertama kami ke Kuala Lumpur. Kami berdua kerja di Selayang Baru, kilang sebelah menyebelah. Tapi kami tinggal di rumah yang berlainan. Dari situ dia mula mengembangkan bakat menagih apabila banyak berjumpa dengan rakan-rakan baru di kawasan rumah setinggan.

Tahun 1992 aku masuk universiti. Dia pula mula berpindah randah kerja sekitar Kuala Lumpur. Dari situ dia berkenalan pula dengan rakan-rakan baru. Seingat aku, tahun 1994 dia mula hisap heroin pula. Aku ingat - sebab waktu itu ada Piala Dunia. Setiap hujung minggu, dia datang ke rumah aku di Kajang.

Satu hari aku terserempak dia sedang menghisap dalam bilik aku. Dia kata 'ini bukan apa-apa, ini cuma rose'. Aku pula jahil, aku ingat apalah benda 'rose' yang dia cakapkan itu. Jadi aku buat tak tahu sahaja. Tapi bila setiap kali datang rumah aku dia bawa rose dalam poket, aku mula curiga. Waktu itu dia cuma chest sahaja. Maksudnya disalurkan api di bawah sudu, kemudian hidu asapnya. Lama-lama baru aku tahu. Rose itu heroin juga. Tetapi warnanya merah mawar.

Tetapi aku dengan dia tetaplah berkawan baik sekalipun hidup dalam dunia masing-masing. Dia pun tidaklah berperwatakan seperti penagih. Dia cool sahaja. Kawan-kawan serumah aku tak tahu pun yang dia ini penagih. Setiap hujung bulan bila dapat gaji, dia akan bagi aku sebahagian duit gajinya. Dia kata, dia tak boleh simpan duit. Daripada habis dia belikan dadah, lebih baik bagi aku belajar. Aku okay bab-bab orang bagi duit ini!

Sejak bila dia mula guna jarum aku tidak berapa pasti. Mungkin sekitar tahun 1996. Bila aku jumpa dia, dia selalu cuba tutup lengan dia. Pernah dia cuba tipu aku, lengan dia luka sebab terjatuh lori. Tapi aku tahu dia tipu. Sebab tangan dia ada bintik dan calar. Itu bukan luka. Kadang-kadang aku buka beg dia, aku nampak alat-alat menghisap. Pernah sekali aku ambil dan buang dalam sungai. Aku buat tak tahu. Dia pun tak berani tanya.

Cuma tahun 2001 - dia ada perubahan besar. Dia di Ipoh waktu itu. Dia datang rumah aku di Kuala Lumpur. Masa itu aku dah berkahwin dah. Dia kata nak tinggal rumah aku sebulan dua sebab nak berhenti hisap. Dia kata, tak guna dia kerja. Semakin banyak dia dapat duit, semakin lagi dia banyak hisap. Jadi lebih baik dia berhenti kerja, jadi dia boleh stop. Aku setuju. Isteri aku pun setuju. Jadi semua duit dia aku simpan. Dia cuma diberikan RM5 sehari apabila aku dan isteri keluar ke tempat kerja. Sebenarnya itu cadangan dia juga. Dia kata, kalau dia ada RM10, dia boleh beli dadah.

Dalam minggu pertama itu, rumah aku dah jadi semacam tempat detox macam di pusat serenti. Kadang-kadang dia cirit birit, hingus-meleleh dan tak tentu arah. Muntah hijau pun pernah (memang warna hijau muda). Selama ini aku cuma belajar fasal dadah dalam kelas. Sekarang ini baru real. Pernah waktu itu kami berjumpa doktor. Kami tanya apa lagi yang boleh buat. Doktor itu cakap, tak ada ubat. Tapi dia boleh buat surat untuk masuk pusat serenti. Hah. Itu yang kawan aku tak mahu. Sebab di sana lebih banyak para penagih.

Tiga bulan tinggal di rumah aku dia berhenti. Kerjanya cuma ke surau dan bagi ikan dalam akuarium aku makan. Aku balik kampung pun, dia tak balik. Rumah aku dah jadi pusat waktu itu.

Jadi, bila dia dah sembuh, dia keluar dari rumah aku dan kerja lagi. Dalam tempoh itu, kadang-kadang dia kembali hisap, kadang-kadang berhenti. Cuma bagusnya dia, dia tak berkawan dengan budak-budak dadah. Dia berkawan dengan orang yang tak menagih. Dia juga tidak bersikap positif dengan dadah. Dia tahu menghisap dadah ini kerja yang tak berguna. Pernah sekali dia beritahu aku: "Hang ingat senang ka? Hang hisap rokok pun susah nak tinggal". Cuma dia tak boleh nak berhenti senang-senang sebab bila berhenti mendadak, dia akan 'gian'. Gian itu sakit. Hidung meleleh dengan hingus. Ciri birit. Berpeluh.

Pernah satu hari - di tempat kerjanya ada satu budak muda. Baru sahaja berjinak-jinak dengan heroin. Kawan aku ini tahu yang budak itu sudah mula hisap dadah. Tapi budak itu yang tak tahu yang kawan aku ini dah jadi 'otai".
Jadi, satu hari kawan aku tanya: "Hang hisap apa, aku tengok macam best ja?"
Budak itu jawab: "Hang tau, aku bukan hisap ganja. Aku hisap benda ini (sambil tunjukkan straw beriisi heroin). Best hang tau'.
Kawan aku sekadar menduga: "Dah lama ka hang hisap?".
Budak itu jawab: "Taklah, baru sebulan ini".
Kawan aku tanya balik: "Hang dah beli apa dah kat mak hang?"
Budak itu jawab: "Aku dah beli tv, Honda EX-5 sebiji..."
Kawan aku jawab: "Hang tengok aku. Aku cuma ada baju t-shirt ni ja. Hang baru hisap sebulan. Aku dah 10 tahun dah (sambil tunjukkan heroin dia yang ada dalam botol kapur). Kalau hang nak terus hisap, nanti apa satu pun hang tak beli. Jadi kalau nak berhenti, berhentilah sekarang".
Budak itu diam.

Satu lagi - ada bisikan psikologi yang lebih kuat lagi. Misalnya dia pernah menghisap di bawah perdu kelapa sawit. Jadi, apabila melihat pohon kelapa sawit - keiinginan hendak menghisap datang semula. Ini kita namakan association. Macam orang gagal bercinta. Bila nampak bumbung rumah bekas kekasih, sudah mula terasa sebak.

Sekarang ini - setelah beberapa kali melawan - gagal dan berjaya - dia berhenti terus. Sudah 3 tahun lebih.

12 comments:

Abang Ben said...

Gua pun ramai kawan yang jadi penagih ni. Tapi alhamdulillah gua tak terjerumus.

Bagus cerita macam ni. Bagi iktibar.

niesa.imana said...

salam wbt..

waaaooowww.. kagum dengan Bento ini.. moga dia istiqamah & moga usahanya dipermudahkan-NYA.. ameen..

FakirFikir said...

Aku pun Alhamdullilah juga. Aku dan member ini pernah ada merancang untuk bagi ceramah anti dadah. Tajuk "Kenapa Saya Gagal". Selalu orang jemput orang-orang hebat, bagi motivasi. Aku ingat nak buat reverse psychology sikit la. Tapi tunggu habis PhD dulu la kot

n said...

alhamdulillah

butterflytwinlove said...

pada saya..bento ini sgt kuat nekad dan semangatnya..walau ambil masa untuk berhenti tapi dia berjaya..

FakirFikir said...

Biar lambat, asal dapat. Menjadi masalah bagi kebanyakan penagih untuk berhenti ialah - mereka tetap tinggal dalam kelompok mereka sendiri. Kelompok ini biasanya akan terus positif dengan dadah. Bayangkan, kalau seorang perokok tinggal di sebuah kawasan yang tidak ada seorang pun perokok, tidak dapat tidak - dia akan berhenti :))

muhriz rahmat said...

Ya..Ini satu kisah motivasi untuk penagih yang mula nak hentikan ketagihan. Masyarakat sekitar memang ada hubungan besar dalam diri seseorang untuk berubah. Duduk dalam masjid untuk satu waktu saja pun hati boleh jadi sedap untuk terus beribadah.

mangkuk statik said...

1. Yg aku peliknya, kau kata kau ni bukan penagih, tapi badan kau memenang sebijik macam penagih.

2. Aku suspect, biler mat2 penagih tenggok badan kau, mesti depa inggat kau ni penagih tegar jadi tak yah ajak, nanti kau pau dadah dieorang,

3.tokan2/pusher plak tenggok mesti bajet kau ni dah cukup supply ni.

4. Jadi kalau ikut pschology, itulah yg dinamakan "association". Org associate badan kau sebagai penagih dadah tegar yg cukup supply!

5. Seriously, bagus cerita kau ni. Sedih aku baca. Uhukss. Bento tu mcm name siam jer. Kantoi!

FakirFikir said...

Bento tu nama dalam lagu Iwan Falls. Aku saja letak nama itu agar tidak berkaitan dengan nama orang di Malaysia. Kan, aku dah bagitau tu nama samaran. Lain kali aku letak nama samaran Azam Tauke SB (bukan nama sebenar)

isuzu_aizu said...

"Bayangkan, kalau seorang perokok tinggal di sebuah kawasan yang tidak ada seorang pun perokok, tidak dapat tidak - dia akan berhenti :))"

ehem, abg awang sile jgn lepak2 dgn azam sb, cd , dll abg2 perokok tegar, duk rumah je ngan kak aishah & luqman ye :D

FakirFikir said...

Intan. Syhhhh. Hanya org tua boleh komplen budak2, budak2 tak boleh komplin org tua. :))))

eira eixora said...

sy risau adik saya tak mahu smbung belajar. sekarang duk kwn ngan bdk2 entah apa2. kami nasihat tak nak dengar. mintak jauh bnda2 yang tak elok. tp skrg dia da isap rokok.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails