Yang Ikut

Wednesday, 30 September 2009

Apa khabar kawan?

Reactions: 
Tiga belas tahun dulu, aku kerja kilang. Itulah kerja pertama aku selepas keluar universiti. Aku terasa baru beberapa bulan lalu aku di situ. Aku masih dapat membayangkan hari temuduga dengan baiknya. Penemuduga - En Mukhtar cuma bertanya soalan yang mudah sahaja. "Apa kamu buat di waktu lapang?". Aku dengan penuh keyakinan memberikan jawapan penuh skema, kononnya aku minat membaca dan bermain komputer. Dia membalas, "Tak payahlah. benda-benda lainlah'. Akhirnya aku beri jawapan paling jujur, "Memancing". Rupanya itulah jawapan yang sangat digemarinya. Bertanyalah lagi sang penemuduga tentang ikan, lubuk dan umpan. Aku ingat tidaklah merasa aku dengan kerja itu. Rupanya tidak. Sang penemuduga adalah pemancing tegar.

Jadi bermulalah aku dengan kesibukan hidup manusia kilang. Manusia robot. Pergi sebelum subuh, pulang sesudah isyak. Keluar selepas zuhur, balik selepas subuh. Berlegar-legar dalam kilang melihat anak-anak dara lepasan SPM memasang pelbagai skru dan gris. Setiap saat menanam propaganda kualiti dan kuantiti. Itulah rumus yang diulang-ulang. Setiap waktu setiap saat. Lebih banyak dari jumlah kita berdoa kepada Tuhan.

Tapi - dari sisi yang lain, kerja kilang itu juga mendedahkan aku sebagai manusia pasca-universiti. Tidak ada lagi teori. Tidak ada lagi assignment. Tidak ada lagi exam. Masih lagi jelas di ingatan aku membonceng Rx-Z merah aku ke sana ke sini, pergi kerja pulang kerja. Dapat gaji, bayar hutang.

Tiga belas tahun yang dulu itu juga aku masih lagi muda. Baru 24 tahun. Masih tenggelam dalam keasyikan hidup orang bujang. Tetapi tidaklah pula aku termasuk dalam kategori orang yang buas, walaupun kadang-kadang aku merempit juga dengan kelajuan 140-150 km/jam dengan motosikal merah itu dari Sungai Dua ke Changloon. Malam kadang-kadang singgah juga di karaoke Seberang Jaya. Waktu itu masih lagi layan lagu Manowar - Courage. Kadang-kadang cuba melayan lagu Michael Jackson - You Are Not Alone. Waktu itu lagu Awie - Tragedi Oktober tengah hot.

Ah, tiga belas tahun bukanlah tempoh yang pendek. Sekarang aku sudah 37 tahun. Sudah tua. Bila jumpa budak-budak, mereka panggil aku pakcik walaupun siang malam aku berdoa agar aku dipanggil abang. Tapi itulah hakikatnya. Tahun berubah, usia berubah. Wajah dan rambut juga berubah. Yang boleh kita simpan hanya kenangan. Yang boleh kita imbau hanyalah nolstalgia. Ia tak akan berulang lagi. Ia menjadi sejarah.

Sesudah tiga belas tahun - tadi -aku terserempak dengan seorang kawan baik yang sama-sama kerja dengan aku di kilang dulu dalam ruang internet. Seperti aku -umurnya juga tidak akan kembali muda. Hidupnya pula tentu sibuk dengan rumahtangga, kerja dan anak-anak. Cuma aku harap dia tidak punya banyak hutang seperti aku!

Apa khabar kawan! Selamat berjumpa lagi pada usia yang lain di ruang hidup yang lain.

4 comments:

Mazwati said...

aku tak pandai berceloteh .. dan berjiwang bunga bungaan mcm hang .. tapi it's such a small world awang ....
it's good to hear u are doing great out there . aku still di Malaysia, Penang .. tempat kita mula berjumpa , reside in Seberang Jaya, still in factory lines though, in US multinational , of course more dynamic than being a management trainee in Sony.. tak taula sampai bila aku nak keja .. dah letih actually.

FakirFikir said...

Selamat berjumpa lagi. Moga satu hari nanti boleh buka kilang sendiri!

azharjaafar said...

Salam...

Akhir Ramadhan baru ni, aku keluar bertabligh 10 hari.. ada beberapa pelajar madrasah belasan tahun dalam jemaah.. mereka panggil aku PAKCIK.. oh..

Tadi.. aku & isteri bawa anak perempuan untuk temuduga masuk madrasah.. ustazah kat situ panggil isteri aku MAKCIK.. oh sekali lagi..

FakirFikir said...

Mungkin kena bagitau dulu kot...panggil saya abang chik...jadi tak nampaklah umur kita ni gayut sangat

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails