Yang Ikut

Thursday, 17 September 2009

Apa yang seronoknya raya?

Reactions: 
Hangat kekalutan musim raya sudah tiba. Ini waktu yang ditunggu. Orang bandar dan orang kampung sama sahaja kalutnya. Tidak ada yang beza. Yang tidak sama mungkin kuasa beli dan jenis barang. Nafsu berahinya tetap sama sahaja. Tidak ada beza antara pengguna Viagra dan peminum kopi Tongkat Ali! Ini musim perayaan kita bersama.

Segala yang bernama jalan - jalanraya dan lebuhraya sudah jadi medan perang. Orang tua, orang muda, anak-anak kecil, anak-anak dara dan anak-anak bujang - semuanya ada - memenuhi bas, kereta, van dan lori. Mereka bergerak ke satu arah yang sama, sama ada ke utara atau selatan. Di celah-celahnya - ada berita kematian motorsikal terlanggar lori, van terjatuh gaung atau bas ekpress jatuh longkang. Yang mati akan diuruskan van jenazah, yang hidup perlu terus berfikir soal kegembiraan raya.

Raya hanya sekali. Itu ungkapan yang kita dengar setiap tahun. Itu ungkapan motivasi. Itu ungkapan penuh keramat. Itu ungkapan yang lahir dari hati - bukan dipaksa-paksa oleh salur tv dan media massa. Ini kata bistari, kata falsafah. Plato, Socrates, Ibn Khaldun, Marco Polo semua tidak tahu ungkapan ini.

Di tengah bandar besar seperti Kuala Lumpur - Jalan Chow Kit, Jalan Masjid India dan Jalan Tunku Abdul Rahman, anda akan melihat begitu banyak manusia. Orang Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Nepal pun ada sama di celah keriuhan itu. Yang kudung, yang buta, yang berkudis, semuanya ada. Menteri, pegawai bank, supir, office boy, pelacur, tokan ganja semuanya ada di sana. Tapi ingat jangan tanya mereka apa-apa, atau ceritakan mereka itu dan ini. Ini musim raya. Semua orang hanya ingin dengar cerita raya. Bukan hal kerja.

Mat pau, mat ragut, orang jahil - tiba-tiba berlagak warak, berkopiah putih duduk di depan stesen LRT Masjid Jamek - sambil di depannya ada sekampit beras dan sekalung tasbih. Dia sangat mengharapkan akan ada wang fitrah yang masuk. Dia mungkin tidak berpuasa seumur hidupnya. Tetapi - dosa pahala, syurga neraka itu milik Tuhan. Sekarang ini yang dia mahu ialah wang. Ini musim raya. Jangan bersirah soal dosa pahala. Kalau mahu bersyarah, tunggu nanti ketika di atas tebing kubur. Pergilah bacakan talkin.

Ini juga musim fesyen baru muncul. Ada akan juga melihat tudung fesyen baru sudah muncul. Kain baju yang berwarna warni akan membeliakkan mata isteri - dan menakutkan sang suami yang gajinya tidak naik sepanjang setahun yang lalu. Kuih raya tiba-tiba jadi seperti candu yang dibualkan orang di mana-mana. Ia dicari dan direbut. Kalau tidak ada tudung baru, baju baru, kuih raya yang mengiurkan - itu kenduri arwah. Bukan raya namanya.

Orang yang berkerja pejabat - sudah mula menghilangkan diri sejak tengah hari. Yang biasanya berkerja di luar, mungkin tidak akan masuk lagi. Yang dulunya rajin berkerja, kini kehilangan mood. Semua tugasan baru ditunda sehingga selepas raya. Sekarang ini, kepala sedang sibuk berfikir raya nanti mahu ke mana, berapa wang hendak diguna, hutang lama hendak dikorek di mana. Ini semua adalah mood raya. Mood ini hanya datang setahun sekali. Kalau ada apa-apa fasal kerja, jangan emel sekarang. Tunggu habis raya.

Hah. Semua ini memenatkan.

Manusia tiba-tiba bertukar jadi sangat sibuk. Sibuk dengan banyak hal yang tidak terduga. Perlu kelam kabut ke bank menukarkan siling dan mencari sarung angpau raya. Karpet baru, langsir baru, kereta baru dan tentunya hutang baru. Ke hulu ke hilir ke sana sini. Petrol terasa lebih murah dari air telaga. Walaupun penat, inilah kemeriahan. Inilah keseronokan.

Di kampung juga tidak jauh bezanya. Yang menoreh - berdoa agar tidak ada hujan sehari dua ini. Sekerap perlu terus dikutip dan dijual - kalau tidak para penyamun akan beraya. Penyeludup lembu, kerbau, beras, mercun dan bunga api juga begitu sibuk bermain mata dan lari-sembunyi dengan para penguatkuasa. Kalau terlepas, beraya sakan. Kalau gagal, nanti kita bincang-bincang. Ini musim raya. Ini musim bermaaf-maafan. Semua orang boleh berdiplomasi. Semua orang mencari wang raya.

Kalau tidak ada wang, raya ini akan kacau bilau. Rumahtangga boleh bersepai. Ayah dan ibu mertua tidak boleh dibodek lagi. Anak-anak pula terus memaksa - seperti along dengan peminjam. Mereka terus bertanya baju baru, stokin baru, kopiah baru, kasut baru. Mereka terus bercerita anak jiran telah membeli itu dan ini. Isteri juga terus bertanya langsir baru, cat rumah baru dan meja makan yang baru. Cuma para suami sahaja yang tersipu-sipu malu - tidak berani bertanya - tentang isteri baru. Kalau boleh dia pun hendak juga.

Untuk seketika, Pekan Rabu di Alor Star lebih popular dari Hard Rock Cafe atau Planet Hollywood. Pekan Changlun sudah seperti New York bagi orang kampung. Siang dan malam, bunyi bising deru kereta - letup mercun dan bunga api - dan hoo haa anak-anak muda merempit menjadikan suasana hari raya memang sangat kita nantikan.

Inilah seronoknya raya di Malaysia. Anda mungkin tidak akan bertemu di dunia yang lain. Jadi - teruslah tersenyum panjang untuk seminggu ini.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails