Yang Ikut

Showing posts with label kawan baik. Show all posts
Showing posts with label kawan baik. Show all posts

Thursday, 26 January 2012

Apa khabar kawan?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sudah beberapa hari saya tidak menulis. Saya bercuti dan pulang ke kampung.

Tidak ada apa-apa juga yang bermakna untuk saya tulis.

Cuma di kampung, saya sempat bertemu dengan seorang teman lama yang dulunya bersekolah dengan saya. Sudah beberapa kali beliau menghubungi saya melalui emel, tetapi kerana kesibukan saya tidak sempat menemuinya.

Teman saya ini berbangsa Thai. Mungkin beliau satu-satunya pelajar berbangsa Siam di sekolah kami ketika itu. Saya tidak begitu pasti. Bagaimana pun, sejak dari sekolah sehingga sekarang, beliau tidak kami lihat sebagai berbangsa yang berbeza dengan kami. Ini kerana beliau memang mendapat pendidikan di sekolah aliran Melayu, dan tinggal pula di kampung Melayu. Beliau mungkin sudah sebati dengan jiwa Melayu.

Saya pula, tinggal di kampung Melayu tetapi bertutur dalam bahasa Siam. Jadi, saya pula mungkin membawa identiti Siam dalam diri orang Melayu. Beliau pula mungkin membawa identiti Melayu dalam diri orang Siam.

Kali terakhir saya bertemunya ialah 23 tahun dulu. Itu tahun 1989. Itu tahun ketika kami semua mengambil SPM.

Saya mengikuti Tingkatan 6 tahun kemudiannya, dan beliau saya tidak tahu hilang ke mana.

23 tahun dulu, kami masih remaja. Umur baru 17 tahun. Masih belum ada misai dan janggut. Perut masih menipis. Kami juga tentunya masih kelihatan muda. Tidak seperti sekarang. Kini, kami sudah berusia 40 tahun, walaupun jiwa kami sebenarnya masih muda lagi.

Kami bersembang panjang di kedai kopi. Bersembang tentang masa silam. Bersembang hal keluarga dan kerja. Bersembang macam-macam. Sesekali mencarut dalam bahasa Siam. Tidak mengapa, bukan orang lain boleh faham.

Kini, apabila sesekali mengimbau masa silam - tahu benarlah kita bahawa dunia ini sebenarnya singkat sahaja. Masih terasa benar zaman sekolah dulu. Masih ingat semua wajah-wajah yang pernah menjadi teman kami semua.

23 tahun lagi mungkin kami sempat bertemu lagi. Itu pun, kalau kami semua masih dipanjangkan usia.

Apa khabar kawan?

Saturday, 9 October 2010

Rakaman sebuah perjalanan

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Rakaman Sebuah Perjalanan

I
Sahabat kami,
Tentu payah cerita hidupmu,
Menongkah ombak resah di bumi asing,
Dari satu musim ke satu musim,
Menyusur jalan yang penuh liku,
Tidak seperti yang kita jangkakan.

Sahabat kami,
Tetapi itulah coretan pengalaman,
Setiap orang ada ceritanya,
Kalau hidup ini selalu indah,
Tentu kita berada di syurga,
Kalau tidak ada air mata yang tumpah,
Tentu kita bukan manusia.

Sabahat kami,
Sepertinya baru semalam kita bertemu,
Hari ini kalian melangkah pulang.

II
Terima kasih kerana singgah,
Dalam diari perjalanan kami,
Sesekali kita ketawa,
Ada masanya kita berduka,
Kerana engkau adalah sahabat,
Kita harungi semuanya bersama,
Dalam ikatan sebuah keluarga.

Musim-musim yang bakal mendatang,
Tiada lagi gambarmu di kebun epal,
Bersama memerhati daun yang luruh,
Menghidu wangi bunga di perbukitan.
Mengisi jalan cerita sebuah persahabatan.

Tetapi kenangan bersama kalian,
Telah kami simpan di hati kami,
Ia lebih indah dari sejuta potret,
Yang kita warnakan di lensa kamera,
Adalah lukisan tak tergambarkan,
dengan sejuta kata-kata.

III
Jangan diucap selamat jalan,
Pasti kita bertemu lagi,
Jangan hilangkan kami dalam ceritamu,
Sahabat setia yang tiada galang ganti,
Seperti kami semua juga,
Di dalam mimpi pun,
kamulah teman.

IV
Bila kita bertemu lagi,
Jangan lupa menyapa kami,
How are you mate!”,
pasti kita akan ketawa lagi,
Dalam gema cerita Garage Sales dan Corelle,
Gepp Cross dan Brighton,
Menjaring ketam di Grange,
Menyusur Great Ocean Road hingga ke Melbourne,
Strawberry picking di Handorf,
Musim bercuti di Moonta Bays,
Sibuknya berniaga di Malaysia Carnival,

Oh, jangan juga engkau terlupa,
Rumah usang di 12 A Rose Street itu,
Tempat segala ibu menceritakan,
Ragam suami yang berjuta cerita.
Ada yang lucu, ada yang menyakitkan.

V
Sajak ini mungkin terlalu pendek,
Untuk kami merakam segala cerita,
Cukuplah kami hanya berkata,
Terima kasih teman atas segala,
Kalau ada sumur di ladang,
Boleh kami menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.

VI
Sahabat kami,
Tiada apa yang dapat kami persembahkan,
Membekal jalan untukmu pulang,
Kami cuma dapat mendoakan,
Moga Allah permudahkan jalan,
Atas setiap yang kalian impikan.
Moga cahaya terang menunjuk jalan,
Lorong depan sebuah kebahagiaan,

Thursday, 18 February 2010

Old School - part 2

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ini gambar tahun 1991. Cepat sungguh masa berlalu. Diam tak diam ia 19 tahun yang lalu.

Gambar ini dirakamkan ketika kami duduk di rumah sewa di Jitra. Masa itu dunia berfoya-foya. Dunia budak sekolah. Semua perkara adalah mudah. Cukup senang. Beberapa orang dalam gambar itu sudah jadi perokok tegar. Gambar putih di tepi dinding itu ialah daun rokok kami. Waktu itu kami tidak masak sendiri. Kami mengupah seorang jiran - namanya aku lupa, mungkin Mak Cik Siti memasak untuk kami. Ia mengisi lauk dalam bekas 'sia' bertingkat itu.

Kebanyakan orang dalam gambar itu ialah mereka yang gagal ketika SPM. Kami tak dapat masuk universiti. Jadi kami semua masuk Tingkatan 6.

Amran (berdiri di tengah) masuk UKM bersama aku. Sekarang ini entah hilang ke mana. Selain kawan aku yang berkaca mata itu yang sering berangan-angan untuk menjadi Aris Ariwatan - yang lainnya telah kehilangan jejak.

19 tahun lagi dari sekarang - gambar ini akan jadi barang berharga dalam muzium hidup kami. Kami semua tentu sudah memasuki dunia sepi - dunia orang tua - dunia pencen.

Cepat sungguh perjalanan masa.

Sunday, 8 November 2009

Selamat menempuh alam perkahwinan Bento!

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Selamat menempuh alam perkahwinan buat kawan baik aku - yang namanya aku samarkan sebagai Bento dalam blog ini. Kawan-kawan baik aku Chah, Hasni dan Din Rawang tentu tahu siapa kawan aku ini (Chah, nanti minta Mat Yee call dia - marah dia sikit!).

Ketika aku menulis ini, Bento dan rombongannya sedang menuju ke Patani, Thailand untuk melangsungkan majlis pernikahannya. Bukan sebab orang yang dikahwininya itu ialah orang Patani. Juga bukan kerana ada hal buruk sedang dilakukannya, atau cuba melarikan anak gadis orang. Semua itu tidak berkaitan.

Sebenarnya, dia cuba mengelak dari banyak prosedur perkahwinan di negara kita. Dia juga cuba mengelak untuk berkursus. Jadi - dengan cara itu urusan perkahwinannya akan menjadi lebih mudah. Walaupun pernikahan itu berlaku di luar negara, dan jaraknya pula lebih dari 2 marhalah, dia sudah boleh menggunakan wali hakim. Tetapi tidak dalam kes pernikahan kawan baik aku ini. Dia membawa bersama walinya.

Mungkin kerana umur sudah 36 tahun, bujang dan hanya baru ingin berkahwin - jadi dia tidak boleh tangguh lagi! Aku tak tahu hal itu. Itu kena tanya dia.

Selama ini - dia takut untuk mendekati wanita kerana banyak sebab. Salah satunya ialah kebimbangannya sebagai bekas penagih - yang memungkinkan dia membawa virus HIV. Dia berasa bimbang kalau perkahwinannya itu akan merosakkan orang lain.

Beberapa minggu lalu - dia sms aku, 'Aku dah check. Negatif". Itulah berita kegembiraannya. Aku juga tumpang gembira. Kerana dia tidak sepatutnya berada dalam kategori manusia tidak berguna pun. Dia orang baik. Lebih baik dari kebanyakan orang. Dia juga tahu selok belok agama. Lebih tahu dari kebanyakan orang. Cuma takdirnya dia terjerumus. Tuhan menguji imannya. Tuhan juga sedang menguji kita. Sejauh mana kita menerima mereka, dan sejauh mana kita memahami hakikat takdir.

Beberapa minggu yang lalu juga - kami saling menelefon di antara satu sama lain. Kami berbincang tentang banyak hal. Aku orang pertama yang tahu hal perkahwinannya. Dia tidak mahu memberitahu sesiapa sehinggalah pada saat perkara itu akan berlaku. Dia bimbang akan tidak berlaku. Jadi hanya kami berdua tahu perancangannya pada saat itu. Sehinggalah kemudiannya dia membincangkannya dengan ahli keluarganya dan ahli keluarga aku.

Untuk kawan baik aku - sahabat sejati - aku ucapkan selamat menempuh dunia perkahwinan. Aku tidak perlu menasihatkan dia apa-apa. Dia sudah melalui hampir semua perkara buruk sepanjang usianya. Jadi perkahwinan ini adalah berita gembira untuknya. Aku percaya, dia boleh menguruskannya.

Aku harap - kami akan masih mempunyai waktu untuk terus menikmati teh tarik sehingga lewat pagi selepas ini.

Update jam 10.07 pm: Patani sedang dilanda banjir, pernikahan itu telah diubah ke Chenak, satu wilayah di Siam, tidak jauh dari Changlun.

Wednesday, 7 October 2009

Catatan 2 tahun

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
2 Oktober 2007 - aku menjejak kaki ke Adelaide. Itu dua tahun dulu. Hari ini 7 Oktober 2009. Masa begitu cepat meninggalkan kita. Sudah 2 tahun aku di sini. Terasa seperti aku baru sampai sahaja ke sini. Waktu itu, Luqman Hakiem masih kecil.

Dalam tempoh 2 tahun itu, sudah 3 kali kajian aku lakukan di Malaysia. Ada hal-hal yang baik untuk pengajian aku sepanjang tempoh itu. Kertas aku diterima jurnal. Aku pernah juga membentangkan kertas di Sabah. Pernah juga di Sydney. Juga di Kuala Lumpur.

Kenangan di Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Kali pertama memijak kaki ke Sabah. Satu-satunya negeri yang tidak pernah aku jejak sebelum ini.

Aku juga pernah dua kali ke Victoria. Pernah juga dua kali singgah di Perth dalam perjalanan pulang ke Malaysia. Juga pernah ke beberapa tempat sekitar South Australia.
Posing serius di Perth Airport.

Bagusnya, di Adelaide ini banyak teman-teman yang baik. Aku perlu rakamkan nama mereka - Nizam & Liza (bekas kelasi, ex-nurse), Abang Zul & Kak Ros (seangkatan dengan group Cromox di Brisbane dulu), Fahmi & Zara (foreman amatur), Lokman & Ida (foreman,sudah balik ke Malaysia), Sidi & Salina, Dr Kamarul & Kak Nana (doktor pakar tangan, ex-staff nurse), Nizam dan Mashitah. Terbaru datang Zainol & Miza dan Azam & Naila. Banyak lagi sahabat lain yang tidak dapat aku senaraikan. Semua mereka telah menjadi sebahagian dari keluarga kami.

3 hari lagi, teman baik aku di Centre for Applied Psychological Research selama 2 tahun ini, Kak Ton akan balik Malaysia setelah tamat pengajian PhD. Dia seorang yang baik. Pensyarah yang cerdik. Dia banyak mengajar aku hal-hal penulisan dan statistik. Hebatnya Kak Ton, dia boleh menulis satu-satu artikel dalam masa 1 minggu sahaja, dan biasanya diterima untuk penerbitan jurnal. Aku cuba menjadi dia, tetapi gagal.

Apa yang hendak aku ceritakan?

Masa adalah teman dan musuh diam dalam kehidupan kita. Ia sering mengekori kita, dan kemudian meninggalkan kita dengan begitu cepat. Ia memaksa kita untuk mengejar sesuatu, ia juga melalaikan kita. Jadi, sebelum sampai kepada sesuatu, lebih baik bersedia dengan sesuatu. Ia lebih baik dari bila sampai waktunya, kita sangat keliru.

Selamat pulang Kak Ton. Moga-moga bertemu lagi di ruang yang lain. Terima kasih.

Wednesday, 30 September 2009

Apa khabar kawan?

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tiga belas tahun dulu, aku kerja kilang. Itulah kerja pertama aku selepas keluar universiti. Aku terasa baru beberapa bulan lalu aku di situ. Aku masih dapat membayangkan hari temuduga dengan baiknya. Penemuduga - En Mukhtar cuma bertanya soalan yang mudah sahaja. "Apa kamu buat di waktu lapang?". Aku dengan penuh keyakinan memberikan jawapan penuh skema, kononnya aku minat membaca dan bermain komputer. Dia membalas, "Tak payahlah. benda-benda lainlah'. Akhirnya aku beri jawapan paling jujur, "Memancing". Rupanya itulah jawapan yang sangat digemarinya. Bertanyalah lagi sang penemuduga tentang ikan, lubuk dan umpan. Aku ingat tidaklah merasa aku dengan kerja itu. Rupanya tidak. Sang penemuduga adalah pemancing tegar.

Jadi bermulalah aku dengan kesibukan hidup manusia kilang. Manusia robot. Pergi sebelum subuh, pulang sesudah isyak. Keluar selepas zuhur, balik selepas subuh. Berlegar-legar dalam kilang melihat anak-anak dara lepasan SPM memasang pelbagai skru dan gris. Setiap saat menanam propaganda kualiti dan kuantiti. Itulah rumus yang diulang-ulang. Setiap waktu setiap saat. Lebih banyak dari jumlah kita berdoa kepada Tuhan.

Tapi - dari sisi yang lain, kerja kilang itu juga mendedahkan aku sebagai manusia pasca-universiti. Tidak ada lagi teori. Tidak ada lagi assignment. Tidak ada lagi exam. Masih lagi jelas di ingatan aku membonceng Rx-Z merah aku ke sana ke sini, pergi kerja pulang kerja. Dapat gaji, bayar hutang.

Tiga belas tahun yang dulu itu juga aku masih lagi muda. Baru 24 tahun. Masih tenggelam dalam keasyikan hidup orang bujang. Tetapi tidaklah pula aku termasuk dalam kategori orang yang buas, walaupun kadang-kadang aku merempit juga dengan kelajuan 140-150 km/jam dengan motosikal merah itu dari Sungai Dua ke Changloon. Malam kadang-kadang singgah juga di karaoke Seberang Jaya. Waktu itu masih lagi layan lagu Manowar - Courage. Kadang-kadang cuba melayan lagu Michael Jackson - You Are Not Alone. Waktu itu lagu Awie - Tragedi Oktober tengah hot.

Ah, tiga belas tahun bukanlah tempoh yang pendek. Sekarang aku sudah 37 tahun. Sudah tua. Bila jumpa budak-budak, mereka panggil aku pakcik walaupun siang malam aku berdoa agar aku dipanggil abang. Tapi itulah hakikatnya. Tahun berubah, usia berubah. Wajah dan rambut juga berubah. Yang boleh kita simpan hanya kenangan. Yang boleh kita imbau hanyalah nolstalgia. Ia tak akan berulang lagi. Ia menjadi sejarah.

Sesudah tiga belas tahun - tadi -aku terserempak dengan seorang kawan baik yang sama-sama kerja dengan aku di kilang dulu dalam ruang internet. Seperti aku -umurnya juga tidak akan kembali muda. Hidupnya pula tentu sibuk dengan rumahtangga, kerja dan anak-anak. Cuma aku harap dia tidak punya banyak hutang seperti aku!

Apa khabar kawan! Selamat berjumpa lagi pada usia yang lain di ruang hidup yang lain.

Monday, 27 April 2009

Siapa kawan baik anda

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Siapakah kawan baik anda?

Cuba sesekali anda selidik. Kawan baik tidak semestinya orang yang selalu ada di hadapan atau di tepi anda. Kawan baik anda mungkin tidak pernah pun anda lihat dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Anda juga mungkin jarang bertemu dan berbual dengan mereka.

Banyak kawan baik ialah mereka yang pernah berada dalam sejarah lama anda. Kawan baik tidak semestinya orang kaya atau orang miskin. Mereka mungkin sedikit nakal di masa silam, tetapi mereka boleh dipercayai.

Dalam hidup aku - aku ada banyak kawan. Ada yang boleh kita cerita semua rahsia, ada yang sedikit-sedikit, ada yang sekadar kita cerita yang permukaannya sahaja. Ada yang sanggup berhutang dari orang lain untuk memberikan kita pinjam. Ada yang boleh membantu kita tanpa banyak soal jawab pun. Ada yang tidak kisah pun walaupun dia seorang yang susah, berhempas pulas mencari jalan membantu.

Kawan baik seumpama ini tidak banyak dalam dunia ini. Tetapi aku terkesan satu perkara. Di masa silam, mereka bukanlah dikategorikan orang yang baik dan alim. Mereka kebanyakannya adalah manusia kutu yang blues hidupnya. Bila semakin berumur, yang merubah mereka hanyalah latar fizikalnya sahaja. Jiwa mereka masih sama - 'kutu' dan 'blues' - menjadikan mereka manusia yang mudah.

Kawan-kawan lain - mereka mungkin akan menggunakan kita ketika kita senang, atau kita menggunakan mereka untuk tujuan tertentu. Mereka ini boleh kita jadikan kawan untuk berbual-bual kosong - tapi jangan harapkan apa-apa. Mereka mungkin punya segalanya - tetapi ia bukan untuk dikongsi bersama. Ada saatnya, mereka mungkin meratah hidup anda.

Salam untuk semua yang bernama kawan. Mari kita dengarkan lagu ini.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails