Yang Ikut

Showing posts with label budak-budak. Show all posts
Showing posts with label budak-budak. Show all posts

Thursday, 18 February 2010

Old School - part 2

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ini gambar tahun 1991. Cepat sungguh masa berlalu. Diam tak diam ia 19 tahun yang lalu.

Gambar ini dirakamkan ketika kami duduk di rumah sewa di Jitra. Masa itu dunia berfoya-foya. Dunia budak sekolah. Semua perkara adalah mudah. Cukup senang. Beberapa orang dalam gambar itu sudah jadi perokok tegar. Gambar putih di tepi dinding itu ialah daun rokok kami. Waktu itu kami tidak masak sendiri. Kami mengupah seorang jiran - namanya aku lupa, mungkin Mak Cik Siti memasak untuk kami. Ia mengisi lauk dalam bekas 'sia' bertingkat itu.

Kebanyakan orang dalam gambar itu ialah mereka yang gagal ketika SPM. Kami tak dapat masuk universiti. Jadi kami semua masuk Tingkatan 6.

Amran (berdiri di tengah) masuk UKM bersama aku. Sekarang ini entah hilang ke mana. Selain kawan aku yang berkaca mata itu yang sering berangan-angan untuk menjadi Aris Ariwatan - yang lainnya telah kehilangan jejak.

19 tahun lagi dari sekarang - gambar ini akan jadi barang berharga dalam muzium hidup kami. Kami semua tentu sudah memasuki dunia sepi - dunia orang tua - dunia pencen.

Cepat sungguh perjalanan masa.

Wednesday, 4 November 2009

Nasihat untuk seorang kawan

8 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
**Untuk seorang sahabat, yang hanya dia yang tahu. Sahabat ini, yang aku pun tak tahu siapa dia**


Dalam hidup - kita selalu berangan-angan untuk mendapatkan apa yang tidak kita miliki. Kita selalu membandingkan diri kita dengan orang lain. Kita selalu melihat sisi baik teman-teman lain. Ini menjadikan kita merasa sangat tertekan. Kita berasa kerdil kerana kita tidak menikmati kehidupan yang indah seperti mereka. Kita berasa putus asa. Berasa sepi dan sesekali begitu hampa.

Hakikatnya, kita hanya melihat sisi indah orang lain. Kita tidak tahu sisi buruk mereka. Kita tidak tahu keperitan yang dialami orang lain. Kerana, orang jarang bercerita hal yang buruk. Menceritakan hal buruk akan memadamkan reputasi mereka. Jadi mereka terus bercerita sisi indah sahaja.

Kita juga jarang melihat kelebihan diri kita, dibandingkan orang lain. Tatkala orang lain mungkin hanya lulus PMR, kita pula sedang berada pada tahap paling tinggi dunia akademik. Tatkala orang lain sedang berhempas pulas mendapatkan pekerjaan, kita sudah mempunyai kerjaya yang baik. Kita juga mempunyai ramai teman-teman yang baik, yang sanggup berkongsi cerita kita. Orang lain mungkin hanya mempunyai teman-teman yang sedang cuba memanipulasi diri mereka.

Kita juga mungkin tidak pernah berfikir pun, yang ada juga orang lain yang sedang memerhatikan kita. Mereka menjadikan kita idola. Mereka melihat kehidupan orang seperti kita sebagai sangat mengagumkan. Belajar di luar negara, setiap hari berbincang tentang hal keilmuan, menjadikan mereka merasakan kita sebagai manusia yang patut dicontohi. Orang yang sedang memerhatikan kita ini merasakan mereka tidak akan menikmati pengalaman seindah kita, bahkan mungkin hingga ke akhir usianya.

Sebab itu - apabila kita pulang ke kampung, ada orang yang sanggup mendengar cerita kita berjam-jam lamanya. Bagi mereka hidup di luar negara satu keajaiban, sedangkan mereka tidak pernah menaiki pesawat pun, apatah memijak bumi asing. Semua ini adalah kelebihan diri kita yang tidak semua manusia mampu mencapainya.

Mendengar cerita teman aku itu - yang merasa begitu gelisah, kerana kononnya masih hidup membujang, sebenarnya tidaklah merupakan satu petaka pun. Yang dia tidak tahu, dalam dunia ini, jutaan orang sebenarnya sedang mengharapkan agar sesekali mereka akan kembali menikmati zaman bujang. Mereka berasa gembira kalau ada pasangan yang balik kampung, kerana inilah antara waktunya mereka cuba menghirup kembali usia bujang untuk beberapa detik. Melupakan resah dan gusar rumahtangga yang banyak ceritanya.

Itulah hakikat hidup. Ketika bujang, kita merasa sangat derita tanpa pasangan. Ketika berkahwin, kita merasa sangat bahagia menjadi orang bujang. Kerana hidup ini - makna kebahagiaan - itu hanyalah penafsiran minda kita semata-mata.

Seperti mana ketika anak-anak kita mengimpikan alam dewasa, bila dewasa kita berasa alangkah baiknya untuk kembali ke alam kita bermain layang-layang.

Realitnya, bila sampai waktunya, bila sampai saatnya - sama ada kita mengimpikan atau tidak - waktu itu akan datang juga. Hidup ini bukan hanya sekadar usaha manusia. Hidup ini hakikatnya adalah pekerjaan Tuhan. Dia yang tahu proses kehidupan sejak sebelum kita hadir ke dunia ini lagi.

Jadi untuk sahabat aku - lupakanlah keresahan itu. Sampai waktunya, mimpi itu akan datang jua. Ia adalah proses cerita manusia. Cepat atau lambat, bukanlah pekerjaan kita. Cepat atau lambat, tentu ada rahmat di sebaliknya. Ia adalah rahsia Tuhan yang tidak ada siapa pun mampu menekanya.

Usah dibimbangkan pertanyaan orang. Ia tidak akan ada akhirnya. Ketika bujang, mereka akan bertanya bila akan berumahtangga. Bila berumahtangga, mereka akan bertanya bila akan mempunyai anak. Setelah anak kita dewasa, mereka bertanya bila akan mendapat cucu. Kemudian soalan yang sama akan ditanya lagi kepada anak-anak kita. Soalan yang sama, puluhan tahun kemudiannya akan ditanya pula kepada cucu kita.

Ini - adalah kitar hidup manusia. Manusia akan terus bertanya. Mereka terus bertanya dengan soalan yang kita tidak mampu menjawabnya.

Untuk dia - teruskanlah dengan apa yang ditakdirkan. Teruskanlah meneroka dunia akademiknya. Lupakanlah kegelisahan yang tidak sewajarnya itu. Bukan pekerjaan kita untuk merancang ketentuan Tuhan. Kita hanya perlu berdoa. Itu sahaja.

Kalaulah kita boleh menentukan takdir hidup, semua orang pastinya akan memilih untuk menjadi putera raja!

Monday, 26 October 2009

Pesan untuk budak-budak

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ketika aku di bangku sekolah lagi, aku sudah melihat kelibat anak-anak saudaraku. Pada tahun 1988, aku melihat anak kakakku yang pertama. Ketika itu baru lahir. Kemudiannya, aku melihat munculnya beberapa orang lagi anak-anak kecil yang lain dari kakak dan abang-abangku yang lain.

Sekarang ini jumlah mereka sudah banyak. Aku tidak boleh menjawabnya secara spontan kalau ditanya secara mengejut. Aku perlu membilangnya satu persatu. Itu pun belum tentu betul.

Sebenarnya, aku mengharungi usia ini bersama-sama dengan proses pembesaran dan pendewasaan mereka. Aku boleh mengingati banyak detik hidup mereka.

Aku juga selalu bergusti dengan mereka, khususnya anak-anak saudara lelaki. Mereka meminati Stone Cold. Aku tidak tahu ejaan itu betul atau tidak. Aku tidak berminat dengan gusti. Aku hanya menontonnya pada zaman sebelum ada VCD lagi. Itu zaman Hulk Hogan. Itu zaman Mancho Man. Itu zaman Superfly.

Sedari kecil, aku memerhatikan mereka. Setiap kali bersalam dengan mereka, mereka pasti akan diketuk di bahagian umbun-umbun kepala. Itulah adalah trademark aku. Tujuan aku mengetuknya ialah agar mereka tahu bahawa mereka itu sebenarnya hanyalah 'budak' dari kacamata aku. Sampai sekarang, sebesar mana pun mereka, mereka akan juga diketuk umbun-umbunnya.

Sekarang ini mereka sudah membesar panjang. Yang kecil hanya beberapa orang sahaja lagi. Hanya dengan kumpulan ini aku masih boleh bergusti.

Yang lainnya, sudah besar panjang. Ada yang bersekolah menengah. Ada yang di universiti. Ada yang di matrikulasi. Usia emas seperti mana aku mula mengenal mereka dahulu.

Tetapi - sekalipun aku tidaklah lagi memerhatikan mereka secara dekat lagi - tetapi aku memerhatikan mereka dari jauh. Aku tahu sifat mereka. Ada yang baran. Ada yang pendiam dan memendam rasa. Ada yang riang. Ada yang pemalas. Ada semuanya. Aku tahu walaupun mungkin mereka tidak tahu. Tetapi tidak kisahlah, setiap manusia ada personaliti masing-masing.

Ada juga yang mungkin sedang merokok di sekolah. Mereka ini patut berhenti. Melainkan kalau mereka sering dapat nombor satu dalam kelas. Kalau selalu dapat nombor corot, merokok pula, tidak ada satu perkara pun yang boleh dibanggakan.

Bagaimana pun, ada satu ingatan aku untuk mereka. Jadilah diri sendiri di mana pun anda berada. Jangan sesekali berhasrat menjadi orang lain. Biarlah orang lain punk, tetapi kita biarlah dengan cara kita. Biarlah orang lain berfoya-foya kerana ada banyak duit, kita mesti tetap dengan diri kita - kerana itulah kita sebenar. Usah menyusahkan diri untuk menjadi orang lain.

Salah satu perkara lagi untuk menjadi diri sendiri - pastikan kita sentiasa ada kelas tersendiri dalam pelajaran. Itulah yang akan menentukan siapa kita.

Saturday, 1 November 2008

Cerita budak-budak

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Menjadi budak-budak tidak sama seperti menjadi orang tua. Budak-budak banyak permintaanya. Sama ada apa yang diinginkan itu ada atau tidak, boleh atau tidak boleh, ia bukan perkara utama. Yang utama ialah apa yang dihajati akan dicapai. Dalam istilah psikologi oleh pendokong Sigmund Frued, dalam diri manusia ada naluri 'Id'. Bagi 'Id' - apa sahaja yang diinginkan mesti dipenuhi sama ada ia bertentangan dengan norma atau tidak. Keinginan budak-budak sama dengan 'Id'. Kalau ingin mendapatkan wang - ia perlu didapatkan. Mencuri, menyamun, atau apa sahaja yang boleh memungkinkan wang diperolehi. Yang utama hajat dicapai. Begitulah pertimbangan kanak-kanak. Mereka tidak ambil tahu apa yang orang tuanya fikirkan. Ia tidak pernah ambil tahu harga minyak naik turun di stesen Shell, atau bilangan letrik musim sejuk yang tiba-tiba naik. Tidak juga dia ambil tahu berapa banyak hutang kredit kad HSBC bapanya yang masih tertunggak. Itu bukan hal penting bagi mana kanak-kanak pun.

Orang dewasa seperti kita - banyak hal yang kita fikirkan. Sejak terbangun dari tidur di waktu pagi - minda kita telah menimbang banyak perkara. Hutang lama dan hutang baru, surat cinta yang belum diletakkan minyak wangi, stokin berlubang yang perlu ditukar, merancang janji palsu yang baru untuk isteri tua, sampailah kepada membelek berus gigi yang sudah tercabut bulunya. Kanak-kanak lain. Dia tidak berfikir banyak hal. Sebab itu mereka mudah untuk lena - dan susah untuk terjaga.

Sampai saatnya nanti - kanak-kanak ini akan menjadi dewasa seperti kita. Dan kita pula mungkin sudah terlalu tua. Tatkala kanak-kanak yang berubah dewasa tadi mengidamkan untuk menjadi kanak-kanak semula, kita yang tua akan mengimpikan agar sentiasa muda. Apa tidaknya.

Anak-anak kita akhirnya akan takut berhadapan dengan hutang PTPTN, bunga bank yang tinggi, sewa rumah yang mahal, dan leter isteri atau baran suami yang tak mahu berhenti. Itu belum termasuk dengan tekanannya menghadapi persaingan dengan 25 juta penduduk Malaysia untuk mendapatkan kerja yang baik. Waktu itu dia dia tahu betapa hidup kanak-kanak sangat istimewa. Dengan menangis dan merajuk semuanya didapatkan.

Kita pula, yang sudah tua - mulai takut untuk menghampiri hujung usia. Takut mati. Maka pilihan terbaik ialah kembali menjadi orang muda. Sekurang-kurangnya kita tahu itulah saatnya kita dihargai dan diperlukan.

Ah, kalaulah hidup ini kita yang tentukan!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails