Yang Ikut

Saturday, 21 November 2009

Cerita aku - part IV

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sambungan Part III.

Aku ke Jakarta bersama isteri dan seorang lagi rakan lain (kini bertugas sebagai wartawan akhbar).

Misi aku ke Jakarta sebagai kononnya memulihkan syarikat. Itulah yang diberitahu oleh organisasi aku. Misi aku yang lain ialah untuk melatih kakitangan di sana untuk menjadi pengurus atau pentadbir yang baik. Jadi itulah dua misi utama aku di Jakarta.

Rakan aku yang seorang lagi itu ialah salah seorang kakitangan kami di jabatan pemasaran dahulu. Dia salah seorang pekerja komited yang kami miliki. Ketika dia mula masuk kerja dahulu, aku menemuduga beliau. Dia dahulunya penjual kek yang berjalan kaki dari satu rumah ke satu rumah. Aku ingat, itulah antara sebab dia bagus. Sebab lain - dia lulusan UiTM. Banyak lulusan UiTM yang bagus berdasarkan pengamatan aku.

Sebulan pertama di Jakarta, aku cuma duduk dan membuat pemerhatian sahaja. Tidak banyak perkara yang aku lakukan.

Waktu itu - kebanyakan pekerja masih datang lambat dan semua keputusan perlu dibuat oleh bos semata-mata. Kakitangan hanya berfungsi untuk mengikut arahan. Dalam erti kata lain - jadi robot.

Aku juga terkesan, ada simptom yang tidak betul dalam pengurusan - apabila ada kakitangan yang tidak diberikan jawatan yang sesuai dengan kelayakan. Misalnya, ada pekerja yang ada kelulusan ekonomi, tetapi cuma menjadi penghantar surat sahaja. Ada pula timbalan ketua - yang datang jam 11 pagi balik jam 1 tengah hari. Semua ini penyakit organisasi.

Jadi - akhirnya aku buat keputusan. Aku menyusun semula jawatan. Beberapa jawatan baru dibentuk. Ada yang menjaga bahagian kewangan, sumber manusia, pemasaran dan sebagainya. Tidak ada lagi pembuatan keputusan berasaskan hierarki atas. Semua jabatan ada kuasanya yang tersendiri.

Bagaimana pun - penstrukturan semata-mata tidak bermakna. Ia tidak mampu membangkitkan motivasi. Gaji mereka perlu dinaikkan sedikit. Selain gaji mereka juga boleh membuat tuntutan telefon bimbit. Aku rasa ini langkah permulaan. Cara aku seperti juga ahli politik masuk kampung. Mungkin sebab aku datang dari jabatan pemasaran. Jadi cara aku, cara menghabiskan wang!

Mulai waktu itu - aku membeli mesin punch card baru. Setiap kakitangan perlu memakai tali leher - walaupun dalam kehidupan sebenar aku pun tidak berahi untuk memakainya. Dengan adanya mesin itu, tidak ada lagi pekerja yang datang lambat. Lebih teruk, mesin itu aku letak tepat di pintu bilik aku. Jadi, kalau yang datang lambat, mereka akan malu muka dengan aku. Aku kononnya menyemak kad kedatangan pekerja setiap hari. Realitinya tidak.

Setiap ketua di jabatan itu pula perlu membentangkan perancangan masing-masing. Apa yang patut aku ajar, aku ajar. Apa yang mereka sudah pandai, aku ikut sahaja. Sebenarnya aku pun tidaklah pandai. Sebenarnya pengurusan adalah satu seni. Ia bukan perlu pandai atau tidak pandai. Yang utama ialah seni mempengaruhi.

Setiap kali Pengarah dari Kuala Lumpur datang, merekalah yang membentangkan kertas perancangan dan bajet masing-masing. Aku cuma lepak sebelah bos. Aku sebenarnya lebih menggunakan gaya pengurusan Management By Objective. Maksudnya mereka yang merancang, mereka yang melaksanakan. Dengan cara itu - pekerja akan lebih bermotivasi. Sebabnya sama ada berjaya atau gagal satu-satu pekerjaan, merekalah yang sebenarnya merancangnya. Gaya ini lebih demokratik - berbanding Balanced Score Card yang lebih autokratik dan menjadikan manusia seperti robot.

Jadi - dengan cara ini, aku akan banyak berehat. Pekerjaan ditentukan oleh orang bawah sendiri. Kalau dikatakan tugas pengurus itu sibuk - itu bohong belaka. Pengurus tidak boleh sibuk, sebab kalau dia sibuk dia tidak ada masa untuk memantau kerja orang lain. Kerja pengurus hanya menyelesaikan masalah organisasi. Kerja aku hanya membuat keputusan teras. Itu sahaja.

Jangan mencuri kerja orang bawah. Sebab itu - kedai kopi Dunkin Donut di Jalan Melawai Raya sudah menjadi 'port' aku minum kopi. Kadang-kadang seorang diri, kadang-kadang aku ajak teman aku dari Malaysia. Kadang-kadang aku bawa semua orang yang ada dalam pejabat itu.

Apa tugas rakan yang aku bawa dari Kuala Lumpur itu? Dia aku tugaskan di jabatan pemasaran. Sebenarnya dia bukanlah berfungsi sebagai pekerja pemasaran sangat. Tetapi dia telah menjadi 'mata dan telinga' aku pada peringkat bawahan. Jadi aku tahu apa yang sedang berlaku. Aku tahu kalau ada hal-hal yang pekerja tidak puashati. Atau ada hal-hal yang pekerja tidak boleh beritahu aku secara langsung.

Jadi - berasaskan maklumat itu - aku dapat membuat keputusan yang relevan dengan kehendak orang bawah. Misalnya hal gaji yang tidak cukup. Atau hal pekerja tidak 'ngam' di antara satu sama lain. Jadi mudahlah aku merangka strategi yang sesuai.
Italic
Kecuali timbalan ketua yang susah sedikit, sebab dia orang veteran dan dianggap ketua oleh kakitangan di situ. Bagaimana pun, sebab dia selalu datang lambat dan balik awal, aku rasa itu hal tidak betul. Ia merosakkan disiplin orang lain.

Apa yang aku buat? Aku rasa aku telah menggunakan pengetahuan psikologi dalam hal ini. Timbalan ketua yang dahulunya menyemak semua permohonan kewangan, sumber manusia dan sebagainya - kini tidak lagi diberi kuasa itu. Semua permohonan kewangan perlu melalui seorang staf kewangan. Dia juga dikurangkan kuasa dalam hal pemasaran. Dalam erti kata yang lain - dia tidak diberikan kuasa, dan tidak diberikan kerja. Semua pekerja melaporkan tugasan kepada ketua masing-masing. Bagaimana pun dia boleh terus datang berkerja.

Beberapa lama kemudiannya, dia berhenti.

Aku juga mengendalikan kuliah kepada kakitangan di situ. Seminggu sekali. Aku mengajar hal-hal psikologi pengurusan. Aku ajar hal persepsi, pemimpin, Johary Window dan banyak lagi. Aku pun tidak ingat apa yang aku ajar. Silibusnya bergantung kepada apa yang aku rasa sesuai pada saat itu - dan sesuai dengan diri mereka. Jadi itulah pekerjaan aku di sana.

Lama aku di Indonesia. Sekitar 2 tahun lebih sedikit aku rasa. Aku pun tidak berapa pasti.

Tetapi sampai sekarang pun - aku masih baik dengan mereka semua. Pak Jamil, Pak Donny, Evi dan Asri adalah antara mereka yang masih berkomunikasi dengan aku. Sesekali melalui sms, biasanya melalui yahoo mesengger. Mereka ini semua juga menjadi teman baik aku memancing di Kepulauan Seribu.

Nanti kita sambung kenapa aku kemudiannya berhenti kerja.

Cerita aku - Part III

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
sambungan dari Part I dan Part II

Dengan syarikat yang baru ditubuhkan itu - aku mendapat pengalaman baru lagi. Kadang-kadang aku diajak untuk menemuduga pekerja yang baru memohon. Waktu itu aku tiba-tiba sudah terseret dengan kerja pemasaran pula, walaupun aku juga masih terlibat dengan kerja lain juga. Antara kerja lain yang aku buat termasuklah merangka Standard Operation Procedure (SOP).

Banyak juga aku ingat orang baru yang ditemuduga. Antara orang awal ialah Din Rawang. Dia seorang grafik. Aku ingat lagi - waktu dia datang - dengan tangannya pakai gelang getah, aku ingat brother ini rock ka apa? Tetapi sebab dia orang grafik, aku tak kisah sangat, aku tahu memang trend para seniman ini pelik sikit. Tapi dia bawa banyak lukisan dan hasil seninya. Memang bagus. Jadi bermulalah dia kerja dengan kami sehingga akhirnya dia terbungkus dengan aku di sebuah syarikat lain (akan diceritakan nanti).

Banyak juga orang lain yang aku temuduga. Aku tidak berapa ingat. Ada yang aku temuduga khusus untuk bantu aku buat SOP, tetapi akhirnya dicuri jabatan lain. Ada yang ditemuduga untuk hal-hal pemasaran. Banyak mereka kini yang berada di luar, di banyak tempat. Aku hampir kenal semua mereka - ada yang jadi PTD, jadi wartawan, pegawai Risda, guru dan macam-macam lagi. Ada yang datang temuduga dengan jalan depan, ada yang datang temuduga ikut jalan belakang. Ah biasalah. Itu adat pencari kerja di zaman gawat!

Waktu itu - syarikat membangun dengan cepat. Maka dibukalah cawangan baru di Johor Bahru dan Sungai Petani. Aku antara orang yang merisik tempat di Sungai Petani, menghubungi landlord dan kemudiannya kerja-kerja selanjutnya diteruskan orang lain. Sebenarnya kerja mencari lokasi ini tidaklah mudah. Beberapa pemerhatian psikologi perlu dibuat. Jarang orang membuka perniagaan baru di dalam hutan.

Lama selepas itu - kerana polisi berubah - zaman berubah - dua cawangan ini ditutup. Tetapi ia tidak memberikan kesan dengan pekerjaan aku - kerana aku di Kuala Lumpur. Kerja aku bermula di cawangan - kemudiannya diminta menjaga pemasaran. Besar sedikit tanggungjawabnya.

Aku dibantu oleh banyak pekerja lain. Banyak juga perangai budak-budak ini. Tetapi aku rasa itulah pasukan terhebat yang aku ada waktu itu. Kami memang bersatu hati. Aku pula tidak ingat aku pernah berlaku formal dengan mereka. Aku ini memang bercakap hoi hoi sahaja.

Aku juga banyak berurusan dengan pihak media. Sebab aku jaga pemasaran, maka aku juga jaga pengiklanan radio dan suratkhabar. TV pun kadang-kadang aku masuk juga iklan itu.

Tetapi seperti biasa - kerana pasukan aku besar - maka tugasan itu telah dipecahkan. Ada yang jaga media, ada yang jaga printing dan sebagainya. Aku buat semua itu untuk melatih mereka, dan menyenangkan kerja aku juga. Falsafah kerja aku ini mudah sahaja - aku percaya mereka tidak akan berkerja di situ sampai kiamat. Jadi mereka perlu belajar jadi sesuatu - dalam erti kata yang lain - belajar untuk jadi pengurus. Aku harap mereka sudah belajar dengan baik.

Sebab itu - walaupun mereka eksekutif - tugas pertama yang mereka lakukan ialah mengedar flyers dari rumah ke rumah, dari supermarket ke supermarket. Tugas ini memang nampak hina sedikit untuk lulusan universiti. Tetapi sebenarnya itulah ujian untuk mereka. Kalau mereka melaluinya dengan baik - mereka mampu untuk membuat kerja-kerja lain. Ia bakal menghilangkan rasa malu mereka. Lagi pula, kerja ini hanya sekejap sahaja. Sekadar ujian untuk melihat ketahanan diri mereka. Itu hal yang aku tidak beritahu mereka awalnya.

Kerana terlibat dalam hal pemasaran - aku banyak kenal dengan orang Utusan, Berita Harian, TV3 dan RTM. Seingat aku, ada 4 kali aku masuk conti radio RTM. Sampai sekarang pun, ada di antara mereka yang masih aku hubungi untuk bertanya khabar.

Aku juga terdedah dengan duit rasuah. Ada yang tanya direct berapa aku nak. Dia tersalah orang! Biasanya aku jawab, bukan aku yang tentukan mana-mana supplier yang dapat kontrak percetakan. Tetapi, kawan aku - Din Rawang itulah yang buat keputusan. Dan biasanya aku akan bagitau dia agar reject terus supplier seperti ini. Sebab aku tahu - duit syarikat bukan duit aku. Dan seperti biasa - Din Rawang telah melakonkan wataknya dengan baik.

Aku juga agak perkauman. Supplier bukan Islam biasanya aku tidak terima. Sebelum ini - ada dua orang budak perempuan Cina yang selalu buat kerja-kerja percetakan untuk kami. Aku kemudiannya mengubah sistem itu. Hingga akhirnya dia cuba menelefon dan mengadu masalahnya kepada ketua pemasaran terdahulu. Aku sebenarnya bukanlah anti mana-mana kaum. Cuma aku rasa - kalau orang kita tidak diberi peluang, bila lagi mereka akan ada peluang.

Seperti biasa - orang pemasaran juga tidak pernah bersatu hati dengan orang kewangan. Kami mahu boroskan duit - orang kewangan pula akan buat sekatan! Itu sebenarnya hal biasa sahaja. Orang pemasaran tidak pernah tahu duit ada atau tidak, dan tidak akan ambil tahu pun. Yang penting - ada duit dan kerja jalan. Tetapi, bila kami request of payment selalunya dalam keadaan urgent. Itu yang buat orang yang menjaga kewangan tidak berapa happy.

Tetapi itu realiti pekerjaan. Ada cerita dongeng menarik bagi menggambarkan marketing vs. accountant. Cerita ini aku dapat ketika mengikuti satu kursus. Aku tak mahu cerita hal ini.

Ada satu hari - salah seorang pengarah syarikat mengajak aku ke Jakarta. Aku pun pergi ke sana dua atau tiga hari. Kami bermesyuarat dengan pekerja di sebuah anak syarikat di sana. Waktu itu - melihat Jakarta pun aku sudah penat. Bayangkan di tengah jalanraya yang sesak di depan Ibis Hotel, ada orang yang menjualkan ikan flower horn yang siap dimasukkan ke dalam plastik. Nasib baik ikan, kalaulah dia jual kambing tentu lebih pening.

Dalam penerbangan balik ke Kuala Lumpur - pengarah tanya aku apa yang patut dibuat untuk selesaikan masalah. Aku pun bagilah input yang berguna dan tidak berguna. Beberapa hari selepas itu - tuan punya syarikat - bos aku yang paling besar - datang ke bilik aku. Dia berjalan-jalan dan berlegar-legar ke dalam bilik aku. Dia kata nak berbincang sesuatu. Aku ingat apakah bendanya. Rupanya dia minta aku bertugas di Jakarta.

Hah. Ini barulah dikatakan kerja!

Kita sambung lagi.

Friday, 20 November 2009

Cerita aku - Part II

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sambungan Part 1.

Sebelum aku diberi cuti sebulan, bos syarikat tanya aku sama ada aku nak buat kerja-kerja lain. Misalnya jadi pensyarah atau sebagainya. Jadi beliau boleh pindahkan aku ke syarikat lain. Itu tak ada hal bagi beliau. Beliau memang orang baik. Tetapi aku bagitau, beri aku masa sehari untuk berfikir. Esoknya, aku jumpa dia - aku kata lebih baik aku cuti panjang. Cuti rehat. Jadi dua tiga hari lepas itu, aku pun balik Changlun.

Sehabisnya cuti - aku datang balik. Tapi realitinya aku masih sakit, cuma tidak peringkat teruk lagi. Fikiran kacau bilau ada lagi, cuma mimpi seram waktu malam tidak berapa datang lagi. Cuma fikiran was-was tetap ada. Sebenarnya, banyak orang yang sakit mental ini - kebanyakannya memang was-was, ragu-ragu dan tak percaya diri. Sebutlah apa pun cadangan, kami tak akan percaya. Kami ingat apa yang kami buat selalu betul.

Dulu - aku selalu baca buku Plato, Aristotle dan al-Ghazali. Aku rasa itu hal baik tetapi salah yang telah aku buat. Aku baca buku falsafah tanpa guru. Buku falsafah sains pun aku baca. Aku baca dan berfikir sendiri. Sebab itu syaitan datang bisik-bisik di hati dengan kata dongeng yang tak terjangkau akal. Selepas ditimpa sakit, semua buku yang bersifat falsafah aku beri kepada seorang kawan baik aku di kampung. Aku tidak fikir dia akan jatuh sakit, sebab beberapa tahun sebelum aku sakit - dia juga pernah dilanda masalah yang sama. Dialah yang banyak bantu aku semasa aku sakit. Sekarang ini, kalau balik kampung dialah antara orang yang boleh aku berbual-bual hal falsafah ini sambil memancing ikan haruan di dalam hutan.

Setelah kembali kerja - aku masuk ofis - nampaknya sudah banyak muka baru yang aku tak kenal pun. Rupanya mereka itu pekerja untuk syarikat yang baru ditubuh, Sekolah.com yang baru ditubuh. Awalnya aku tak kerja dengan mereka. Tetapi entah macam mana, tiba-tiba aku terseret sama kerja dengan Sekolah.com. Bos aku kata, biar aku sibuk sikit, jadi aku tak fikir sangat benda-benda pelik. Memang betul, sebab kerja aku kian sibuk.

Tetapi - kerja berfikir aku teruskan juga.

Bila aku diminta menulis di kolum bila pena diasah itulah, aku mula berfikir yang aku ini kurang daya fikir. Sebab itu aku sakit. Sebab itu aku guna nama pena FakirFikir. Jadi aku mula daftar hotmail aku guna nama itu. Masa itu, netscape masih ujud. Akaun email netscape pun guna nama yang sama. Jadi bermulalah nama rasmi FakirFikir dalam urusan internet sampai sekarang.

Aku tidak berapa ingat berapa lama selepas itu - bos aku mula mengembangkan perniagaannya. Dia buka syarikat baru lagi - yang berkaitan dengan pendidikan. Aku antara orang awal yang duduk dalam mesyuarat bersama dengan beberapa rakan lain - dari kewangan, operasi, IT dan sebagainya untuk berbincang-bincang hal logo, konsep dan warna korporat syarikat baru ini. Kami berbincang dari hari ke sehari. Macam-macam brainstorm yang dibuat.

Tetapi - kerja berfikir aku tetap berjalan seperti biasa.

Bila syarikat ditubuh kami mula mengambil pekerja baru. Ada yang telah sedia ditemuduga di pejabat Sekolah.com. Ada yang ditemuduga di tempat baru di Kuala Lumpur. Aku sempat melihat beberapa muka budak baru yang datang temuduga. Kemas, lawa dan bergaya. Ada yang bila berkerja itu - sempat kutuk aku tak ada kerja kepada kawan-kawan mereka yang lain. Dia lupa, dia budak baru. Dia tak tahu bahawa warna syarikat itu pun aku tahu sebelum mungkin dia tak graduate lagi. Tetapi - satu hal yang dia tak akan tahu sampai dia berhenti pun - kerja fikir yang aku buat. Ia hanya rahsia kerja aku seorang!

Sebab itu - untuk lulusan universiti yang baru lulus - berhati-hati dengan kata-kata anda. Anda jangan dahulu menembak dalam gelap pada tempat yang anda baru singgah. Anda kena tahu banyak perkara dulu. Mustahil ada orang yang diupah untuk duduk sahaja dalam organisasi. Tentu dia ada kerjanya.

Orang seperti Ann, Intan, Aini, Ihsan, Syukri - akan bertemu situasi ini sampai saatnya nanti.

Kemudiannya aku menapak dari satu kerja ke satu kerja lain dalam syarikat itu.

Nanti kita sambung.

Cerita aku - Part I

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Seorang kawan lama aku minta aku ceritakan kenangan lama berkaitan kerja-kerja pejabat pula. Sebenarnya inilah antara cerita yang jarang aku masukkan ke dalam blog ini. Nanti orang tahu pula apa pekerjaan aku!

Sebenarnya selepas habis kontrak di Sony Mechatronic seperti yang pernah aku sebut sekilas lalu, aku berangkat semula ke Bangi. Aku merentas lebuhraya sejauh 550km dengan motosikal RX-Z dari Changlun. Aku sambung balik pekerjaan aku sebagai pembancuh teh tarik. Sebenarnya bukanlah tujuan aku untuk membuat teh tarik itu, tetapi sebenarnya aku menyambung pengajian.

Seperti biasa, aku hidup di rumah sewa sekitar Sungai Tangkas, rumah sebelah jalan keretapi. Bolehlah dibayangkan bagaimana taraf hidup aku. Jangan susah-susahkan diri menggogle taraf masyarakat sebelah jalan keretapi di mana-mana dunia pun. Sama sahaja.

Aku duduk bersama beberapa orang kawan lain. Banyak daripada mereka yang duduk di rumah itu sedang mengikuti diploma pendidikan. Yang lainnya banyak kerja sebagai jurutera. Antaranya Mat Yee suami kepada Aeskah. Tetapi mereka ini tidaklah ada setiap hari, kadang-kadang ada, selalunya hilang.

Tetapi mereka ini juga termasuk dalam kategori penaja tidak rasmi pengajian aku waktu itu. Mereka selalu juga hulur-hulur duit, kadang-kadang letak atas meja, kadang-kadang letak atas almari. Dari segi persahabatan, aku rasa banyak daripada sahabat dalam rumah itu tip-top. Walaupun kebanyakannya mungkin jurutera, tetapi dari segi pakaian aku rasa mereka ini selekeh - tak jauh beza dengan aku. Aku tak pasti mereka sekarang. Banyak yang aku tak pernah jumpa lagi selepas kami semua sibuk dengan isteri (yang semakin) tua dan anak-anak.

Waktu itu - aku belajar dengan guna duit sendiri. Duit yang aku simpan semasa kerja Sony dulu. Tetapi, bila kian lama kian sesak, aku rasa aku patut kerja. Kebetulan seorang kawan baik aku memberitahu ada kerja kosong di tempat kerjanya. Kerja sebagai pegawai penyelidik. Tetapi ada juga ada kerja-kerja lain - yang boleh aku ringkaskan 'kerja berfikir'. Kerja berfikir ini banyak skopnya. Ia tak tertulis dalam deskripsi pekerjaan.

Ia boleh jadi menulis, boleh jadi merancang, dan boleh jadi apa sahaja. Ia kerja pelik, tapi ada. Aku pun tidak ingat semua kawan-kawan lama aku tahu apa yang aku buat. Melainkan kalau mereka itu memang benar orang lama.


Kerja ini pula tidak ada yang boleh membantu - melainkan aku sendiri. Dalam erti kata yang lain - hanya aku seorang yang tahu apa yang patut aku buat dan bagaimana mengendalikannya. Orang lain tidak ambil tahu apa pun. Jumlah pekerjaan juga tidak diketahui pun oleh sesiapa, melainkan aku sendiri. Kadang-kadang mungkin aku melepak di kedai mamak sepanjang hari kerana tidak ada kerja. Kadang-kadang aku bermalam di ofis dua atau tiga hari berturut-turut kerana banyak sangat kerja. Jadi kerja ini simple. Tiada gangguan dari atasan, atau bawahan. Hanya aku yang berfikir dan menyelesaikannya. Cuma masalahnya, kerana hanya aku seorang - maka semuanya perlu aku laksanakan sendiri.

Sebenarnya itulah kerja berfikir.

Sebab kerja aku tidak melibatkan aku perlu berurusan dengan manusia lain, melainkan dengan dunia aku sendiri - maka sebab itulah aku kadang-kadang akhirnya jadi manusia tidak betul. Kalau aku ada masalah pun, tak ada siapa yang boleh aku ceritakan. Aku rasa itulah puncanya aku sakit seperti yang pernah aku ceritakan di sini. Tetapi tak mengapalah, itu takdir hidup aku sebagai manusia. Kalau aku jadi orang lain pun, tentu akan ditimpa musibah dalam bentuk lain atau lebih teruk lagi.

Kerana sakit itu, aku diberi cuti selama sebulan bergaji penuh. Aku balik kampung. Kadang-kadang masuk hutan cari rebung, kadang-kadang korek pokok sinai buat bonsai. Kadang-kadang mengaji kitab. Banyak benda yang aku buat waktu itu. Tetapi realitinya otak aku kacau bilau. Setiap kali tibanya maghrib atau subuh, aku akan menangis. Itulah realiti orang sakit mental.

Selepas sebulan cuti, aku menerima panggilan telefon. Majikan aku minta aku balik. Dah cukup 30 hari!

Nanti aku sambung bagaimana nama FakirFikir itu wujud. Ia bermula selepas cuti panjang itu.

Tazkirah Jumaat - Riak

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kita sering diajar tentang hal riak.

Riak ialah satu penyakit hati. Manusia melakukan ibadat kerana ada hasrat untuk menunjuk-menunjuk kepada manusia, walaupun sepatutnya ibadat itu ialah kerana Allah S.W.T, bukan makhluk. Kerana ia melibatkan hal hati, tentulah objek yang hendak kita tunjukan itu ialah manusia, bukan binatang atau benda. Mustahil orang berhasrat melakukan ibadat kerana ingin menunjuk kepada kambing misalnya. Sebab kalau ditunjukkan sekalipun, kita tahu kambing tidak mampu memuji atau menunjukkan reaksi hatinya.

Tetapi ada juga sifat riak yang lain. Yakni, kita tidak melakukan satu-satu ibadat kerana manusia juga. Ini terbalik dari yang di atas tadi. Tetapi, tetap juga melibatkan manusia. Misalnya, setiap hari kita beribadat. Ia menjadi satu kebiasaan yang tidak pernah ditinggalkan. Satu hari, datang tetamu ke rumah kita. Jadi, kita pun tidak melakukan ibadat tadi kerana ada orang tadi. Ini pun riak juga. Sebabnya kita tidak membuat ibadat tadi kerana manusia. Hati kita sepatutnya berpaut dengan Allah, bukan dengan makhluk. Jadi, dalam sesetengah kes, apabila kita tidak beribadat kerana orang pun dikategorikan sebagai riak.

Tetapi, kalau kita tidak pernah beribadat - tiba-tiba ada manusia yang datang ke rumah, kita terasa ingin menunjuk-nunjuk, ia menjadi riak kategori pertama tadi.

Tetapi dalam hal wajib, sama ada kita hendak riak atau tidak, kena buat juga. Misalnya, kita tak pernah pun solat fardhu. Tiba-tiba keluarga kita datang ke rumah. Jadi kita diajak sembahyang. Kita terasa, kalau kita buat nanti riak pula. Sebab tak pernah buat pun. Ini pandangan salah terhadap konsep riak. Jadi, dalam hal semacam ini kena buat juga. Sebab itu benda wajib.

Itulah taskirah ringkas pagi ini. Hal ini boleh dirujuk dari kitab Penawar Bagi Hati.

Keterangan lanjut, bertanyalah tok guru di tempat anda. Aku hanya nak cerita ringkas bab riak hati.

Thursday, 19 November 2009

Bahayanya ilmu

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ilmu memang merupakan sesuatu yang diperlukan. Dengan ilmu, ia dapat membezakan di antara yang baik dengan yang buruk. Ilmu juga mampu meningkatkan darjat manusia.

Tetapi ilmu juga adakalanya membahayakan. Ia membahayakan apabila disalahguna. Orang menciptakan senjata memusnah kehidupan manusia. Orang memanipulasi sitem untuk keuntungan sendiri.

Tetapi ada satu hal lagi - yang menjadikan ilmu lebih merosakkan. Ini terjadi dalam hal ilmu itu menjadikan manusia itu terlupa asal usulnya, menjadi riak dan bongkak. Adakalanya ia juga menjadikan manusia syirik dengan Tuhannya.

Pernah aku mendengar cerita ini. Tetapi aku terlupa keterangannya. Harap ada orang lain yang tahu cerita ini dapat membantu. Cerita akan hal orang alim yang didatangi syaitan dalam bentuk warna warni yang mempesonakan. Begitu indah. Syaitan itu berkata, "Akulah Tuhanmu". Orang alim yang bijak itu tahu bahawa Tuhan tidak menyerupai sesuatu. Dia lalu menjawab: "Tidak, engkau adalah syaitan. Tuhan tidak menyerupai sesuatu'. Syaitan juga bijak. Lantas dia mencuba lagi agar dapat menyesatkan orang alim tadi: "Ilmumu telah menyelamatkanmu". Tetapi orang alim itu tahu bahawa itu juga bentuk godaan. Lalu dia menjawab: "Tidak, yang menyelamatkan aku ialah Rahmat Tuhan". Terselamatlah orang alim tadi dari menjadi syirik dengan ilmunya dan godaan syaitan.

Dalam dunia kini, banyak sangat orang yang mendakwa mereka bijaksana. Semakin tinggi belajarnya, semakin besarlah bangganya. Orang yang ada ijazah sarjana muda, akan berkira-kira mereka akan lebih pandai dari orang yang tidak masuk universiti. Orang yang ada PhD lagilah besar egonya. Mereka menyangka mereka tahu segala dan pakar serba serbi. Menjadikan orang lain dipandang rendah dan kecil sahaja.

Menjadi lebih bahaya kalau kepakaran itu dalam hal agama. Ketinggian ilmu agama sewajarnya menjadikan seseorang itu semakin rendah diri dan dekat dengan Tuhan. Tetapi apabila berlaku sebaliknya, ilmu yang dikuasai itu tidak memberikan manfaat lagi. Membandingkan ketinggian ilmu kita yang belajar di universiti dengan guru-guru agama silam yang mungkin hanya belajar di atas rumah tidak akan menjadikan kita lebih pandai. Kita mungkin tahu, tetapi bukan tahu semua.

Orang yang belajar PhD juga hanya tahu batas ilmunya sahaja. Itu pun sedikit sangat. Ilmu ibarat air laut, yang kita tahu mungkin tak sampai setitik embun pun.

Jadi - berhati-hatilah dengan ilmu. Jangan biarkan ilmu menjadikan kita manusia yang lupa akar diri dan hilang pedoman. Mendapat gelar daripada bentuk apa pun dalam pengajian moden kini, hanyalah sekadar untuk membezakan kita dengan mereka yang tidak. Tetapi bukanlah bermakna kita akan lebih pandai dan tahu berbanding orang lain.

Wednesday, 18 November 2009

Update petang Rabu

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Rabu di Adelaide tidaklah seghairah di Changloon. Di sini tidak ada pasar malam. Tidak ada air tebu. Tidak ada char koew teau. Tidak ada laksa timbang. Tidak ada durian. Tidak ada tukang jual ubat. Tidak ada bee hun sup. Tidak ada apa-apa yang indah.

Hidup di Adelaide petang Rabu di musim bunga menuju ke panas ini biasa sahaja. Duduk rumah, dengar radio sinar, hisap rokok dan kalau rajin, bancuh teh tarik. Minum sambil berangan-angan seperti lepak di kedai mamak. Kalau tidak ada kerja, buka segala portal berita, segala jenis blog, baca sana baca sini.

Sesekali sms kawan-kawan lama di kampung bertanya khabar. Menoreh atau tidak? Sekarang ini di Kedah, hujan turun pagi petang. Orang menoreh jadi gusar. Rajin pun tidak berguna, kalau hari hujan. Jadi jangan senang-senang fitnah orang Melayu malas.

Di Kedah, sekarang ahli politik sedang berkira-kira strategi kalau-kalau berlaku pilihanraya kecil di Kota Seputeh. Oh, ini kota yang bersejarah. Kalau anda rajin membelek sirah, ia merupakan kawasan laut yang bertukar menjadi darat. Seorang kawan baik aku ada di sana. Dia orang politik. Amacam?

Tapi - tadi supervisor aku emel. Seorang kawan dia, profesor besar di Belanda menjemput beliau untuk menghantarkan artikel untuk edisi khas sebuah jurnal antarabangsa. Buat masa ini, di pusat aku, hanya aku yang menulis topik yang berkaitan dengan edisi khas itu. Kebetulan aku sudah siap menulisnya beberapa minggu lalu, tetapi masih tidak tahu ke mana hendak dihantar. Jadi, ini peluang paling baik. Ini lampu hijau untuk orang seperti aku.

Minggu ini juga aku hantar. Aku harap mereka terima artikel aku tanpa banyak sangat pembetulan.

Itu cerita petang Rabu yang membosankan ini.

Sekadar cerita biasa

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ini adalah entri aku yang ke-290. Sejak aku mula menulis di blog ini, aku tidak tahu siapa yang telah membacanya. Asalnya aku hanya sekadar suka-suka menulis bagi mengemaskini kehidupan aku di Adelaide - dengan harapan saudara mara dan kawan-kawan lama aku membacanya. Tetapi aku pasti - mereka semua tidak ada masa untuk membacanya. Juga tidak semua kawan-kawan aku yang tahu hal-hal berkaitan internet.

Aku kadang-kadang cuba menulis hal separa-akademik, kadang-kadang isu yang mungkin tidak ada maknanya. Akhirnya, aku berfikir lebih baik aku menulis hal-hal yang bermanfaat sedikit, untuk berkongsi pengetahuan dengan orang lain. Aku sebenarnya bukanlah orang pandai, bukan juga ahli akademik sebenarnya. Aku seperti orang kebanyakan yang lain juga. Cuma takdir Tuhan menyebabkan aku terlantar di sini - mengunyah kehidupan bersama para ahli akademik lain.

Dulu - ketika menunggu keputusan SRP, aku kerja menebas kebun Felda tidak jauh dari kampung aku. Ketika menunggu keputusan SPM, aku kerja di ladang tembakau di Bukit Kayu Hitam. Aku juga pernah kerja kontrak ketika menunggu keputusan STPM, dan kemudiannya kerja menanam rumput di UUM sebelum kemudiannya aku kerja kilang di Selayang Baru. Sepanjang cuti panjang semester universiti, aku banyak berkerja sebagai pembancuh simen. Pernah di Melaka, pernah juga di tempat lain. Dulu-dulu aku masih kuat untuk mengangkat sekampit simen. Kerja sebagai pembancuh teh telah aku ceritakan sebelum ini.

Habis universiti aku kerja swasta.

Jadi - aku sebenarnya bukanlah orang yang bersifat akademik. Cuma takdir aku baik sedikit dari kebanyakan orang lain. Itulah pekerjaan Tuhan. Di sekolah dulu pun, aku tidak ingat cikgu yang mengajar mengharapkan aku masuk universiti. Keputusan di universiti pun bukanlah baik sangat, baik sedikit dari kebanyakan orang lain. Itu sahaja. Tidak pernah pun aku mendapat Anugerah Dekan atau apa-apa sijil kebanggaan lain. Persatuan pun aku tak masuk. Aku juga tidak pernah mengundi di kampus. Jadi, aku bukan kategori manusia belia sangat.

Cuma ada hal-hal yang aku rasa aku bagus. Aku boleh mengingat dan menghafal. Dalam hal-hal psikologi, aku boleh tahu siapa yang menulis sesuatu perkara. Jadi, aku boleh terus membuka buku kalau timbul satu-satu isu. Itu kelebihan yang Tuhan beri.

Bila aku buat tinjauan siapa yang membaca blog ini, dan apa yang mereka harapkan aku tulis, tujuan aku sebenarnya ingin menulis sesuatu yang sesuai dengan khalayak pembaca. 57% pembaca blog ini ialah pelajar universiti, dan 83% mengharapkan aku menulis apa sahaja seperti sekarang.

Tentu juga ada pembaca lain. Mereka mungkin merupakan pembaca Krenmaut atau SwingingBowl yang kontroversi itu. Dari blog ini juga, aku berjumpa dengan teman-teman baru yang aku tak kenal pun mereka. Mereka juga tentunya tidak kenal aku pun. Seperti Zarzh, Ziarah76, CucuHipnie dan beberapa lagi.

Aku harap akan dapat terus menulis dan menyumbangkan sesuatu.

Tuesday, 17 November 2009

Poligami - Final Part - Adakah ini jawapannya?

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Anda mungkin telah membaca beberapa perbincangan sebelum ini. Ada hal yang mungkin anda fahami, ada hal yang tidak. Ada hal yang sepertinya tidak logik, ada hal yang mungkin berasas.

Mengapa orang berpoligami? Kita cuba cari jawapannya.

Kita ada membincangkan yang manusia ini sebenarnya tertarik dengan pasangannya disebabkan oleh beberapa faktor. Hal ini kita pernah bincangkan di sini. Manusia mencari pasangannya dengan melihat kepada faktor usia dan ketarikan fizikal. Lelaki - semakin berumur, maka semakin ia ingin mencari wanita yang muda. Lebih baik kalau perbezaan usia itu semakin besar. Wanita pula sebaliknya. Mereka mencari pasangan yang lebih berusia berbanding diri mereka.

Jadi apa implikasinya. Lelaki yang berkahwin dengan pasangannya - akan mendapati bahawa pasangannya semakin tua. Ini membuatkan mereka mula berfikir untuk mendapatkan wanita lain yang lebih muda. Lelaki ini mungkin jarang berfikir bahawa mereka juga tidaklah lagi muda. Wanita baru yang dicari pula, tentulah lebih muda. Jarang-jarang orang membawa pulang madu yang usianya lebih tua dari isteri tua. Wanita muda yang digoda itu pula - tentulah tidak begitu pelik mengahwini suami yang lebih berumur. Ini sudah menjadi sebahagian dari fikrah manusia - lelaki mencari wanita muda, wanita muda mencari lelaki berusia.

Kita juga sedikit sebanyak membincangkan bagaimana lelaki terus berangan-angan untuk terus mempunyai zuriat di sini. Lelaki akan terus mempunyai jiwa memburu wanita. Wanita mungkin mempunyai fikrah sebaliknya. Semakin berusia, maka semakin berkuranglah potensi mereka untuk menghasilkan zuriat bagi suaminya. Ia tidak pula berlaku dalam konteks lelaki. Maka lelaki terus bercita-cita besar untuk memiliki wanita lain - yakni bermadu. Ini hal bukan pelik. Ini hal normal bagi kebanyakan lelaki.

Anda bertanyalah kepada mana-mana lelaki pun. Pasti mereka ada cita-cita untuk bermadu, walaupun jalan bertongkat sekalipun. Ada yang mungkin berkata tidak, tetapi hati kecilnya mungkin lain. Anda juga bertanyalah mana-mana wanita sekalipun. Mereka akan lebih garang dari jeneral perang dalam hal bermadu ini. Menemui wanita yang ingin mengizinkan suaminya bermadu ibarat mencari madu lebah di dasar lautan. Sukar untuk kita temui. Ini juga perkara normal.

Wanita - dengan fikrahnya untuk terus menjaga hubungan juga kita bincangkan di sini. Mereka sangat emosi bagi memastikan lelaki mereka tidak menjalinkan hubungan dengan wanita lain. Mereka melihat hubungan jangka panjang. Melihat nasib anak-anak. Melihat masa depan dan nasib mereka. Inilah kehebatan wanita.

Lelaki pula mungkin lebih cenderung dengan hal-hal yang berkait dengan libido. Ia bukan hal yang mudah diterangkan. Ia hal yang berada di alam tidak sedar. Ia hal yang ada dalam diri manusia tetapi tidak boleh ditunjukkan. Sebab itu lelaki begitu trauma kalau tahu teman wanitanya ada hubungan seks dengan lelaki lain seperti yang dibuktikan dalam kajian. Sebab itu banyak lelaki yang sangat mementingkan betapa gadis yang dikahwininya masih mempunyai kehormatan diri, walaupun mereka tidak pula membincangkan betapa mereka juga harus mempunyai teruna.

Ada orang yang mungkin tidak setuju dengan hal libido. Itu tidak mengapa. Cuma, pernah anda lihat kucing yang dikembiri. Lihat bagaiaman perilakunya berbanding kucing-kucing normal lain. Kucing ini jadi malas, tiada motivasi dan gelagatnya tidak seperti kucing. Ia seperti anak patung yang bernyawa.

Itu kucing, bukan manusia. Walaupun tidak semua betul, diandaikan bahawa manusia juga begitu. Banyak manusia yang bertingkahlaku - misalnya memakai baju cantik, mengenakan minyak wangi, menyikat rambut dengan rapi - ialah kerana ingin menjadikan diri mereka menarik - khususnya bagi pandangan jantina yang bertentangan. Bayangkan jika lelaki itu dikembiri. Masihkan dia bermotivasi untuk hidup. Masihkah dia ingin berpakaian menarik. Belum tentu. Motivasinya sudah tiada lagi. Tidak ada apa lagi yang boleh dia lakukan. Baginya, hidupnya telah musnah.

Jadi kenapa lelaki sangat teringin berpoligami? Sebahagiannya telah kita jawab. Kita tidak menyalahkan lelaki atau wanita. Ia menjadi fikrah manusia. Ia bukan hal salah atau betul, hal baik atau buruk. Tetapi itulah sebahagian dari naluri normal manusia.

Anda ingin berpoligami? Atau anda tidak sama sekali membenarkan pasangan anda memiliki orang baru?

Jangan beritahu sesiapa jawapan anda. Jawapan yang sedang anda fikirkan itu sebahagian dari psikologi manusia. Ia membuktikan bahawa anda masih manusia.

Monday, 16 November 2009

Poligami - Part IV - Siapa lebih cemburu?

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tulisan ini mungkin mengandungi istilah yang tidak sesuai dengan norma hidup anda. Anggap ia perbincangan akademik sahaja. Ia mungkin juga tidak relevan dengan kehidupan sebenar budaya Melayu Islam.

Sambungan Part III

Anda yang tidak tinggal di kawasan sempadan mungkin jarang terbiasa dengan cerita-cerita ini. Cerita bagaimana kaum wanita tidak begitu terkejut pun kalau tahu suaminya sering ke Thailand untuk melanggan wanita jalang. Tetapi mereka seolah-olahnya dilanda histeria kalau tahu suaminya berkahwin lagi satu di negara seberang itu.

Adakah ini hal yang janggal? Orang tidak marah kalau suaminya berbuat dosa, tetapi jadi kelam kabut pula kalau suaminya membuat perkara baik - yakni poligami. Adakah hal seumpama ini tidak pernah cuba disingkap ahli psikologi?

Sebenarnya ada. Walaupun bukanlah kajian berkaitan poligami.

Kajian ke atas 202 orang manusia di US - ditanyakan dua soalan ini. Pertamanya - Bayangkan kalau pasangan anda menjalin ikatan dengan orang lain? Keduanya - Bayangkan kalau pasangan anda melakukan hubungan seks dengan orang lain?

Hasil kajian mendapati 83% wanita sangat tertekan emosi kalau tahu pasangan lelaki mereka ada hubungan percintaan dengan wanita lain, sebaliknya hal ini tidak pula berlaku keatas pihak lelaki. Kaum lelaki pula nampaknya sangat tertekan kalau pasangan wanitanya melakukan hubungan seks dengan lelaki lain.

Mengapa jadi begini? Sebabnya wanita cenderung bimbang sekiranya pasangan lelakinya ada hubungan emosi dengan wanita lain (misalnya bercinta), ia akan menyebabkan mereka kehilangan separuh daripada komitmen dan pengorbanan yang telah mereka korbankan. Apa yang telah mereka laburkan selama ini bakal sia-sia. Lebih teruk, mereka berkemungkinan hilang keseluruhannya kalau lelaki tadi meninggalkan mereka dan memiliki wanita yang 'baru' tadi. Ini lebih menyakitkan.

Jadi inilah punca mereka cemburu. Sebaliknya, kalau sekadar melakukan hubungan seks tanpa ada sebarang emosi, ia mungkin tidak akan menghilangkan teman lelaki mereka. Ia mungkin hanya sekadar suka-suka sahaja. Seperti orang lelaki berulang alik ke Thailand sahaja.

Bagi lelaki pula, sekiranya teman wanita mereka menjalinkan hubungan seks dengan orang lain, bermakna mereka telah kehilangan kepercayaan dan kuasanya. Mereka jadi cemburu apabila teman wanita mereka 'digunakan' oleh orang lain.

Kajian ini mungkin bersifat psikologi. Ia mungkin tidak tepat. Akhirnya kajian ini diulang lagi dengan menggunakan kaedah fisiologi dengan peralatan seperti electrodermal (EDA),face-electromyogfraphic (EMG) dan tekanan nadi. Hasilnya nampaknya sama juga. Wanita cemburu kalau pasangan lelakinya ada hubungan kasih dengan orang lain, tetapi bagi lelaki mereka sangat kecewa kalau pasangan wanitanya ada hubungan kelamin dengan orang lain.

Jadi - siapa lebih cemburu?

Kajian yang dinyatakan di atas boleh dirujuk di Buss, D.M; Larsen, R.J;Westen, D & Semmelroth, J, sex differences in jealousy: evaluation, physiology and psychology.

Friday, 13 November 2009

Poligami - Part III - Asal usul perbezaan jantina

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Poligami Part I
Poligami Part II

(Nota: tujuan tulisan ini ialah bagi mendedahkan kita dengan fikrah lelaki dan wanita, tanpa mempunyai sebarang pandangan untuk menggalakkan atau menidakkan poligami)

Sejak dijadikan, manusia sudah dikurniakan dengan peranan dan fungsi berbeza. Fungsi dan peranan ini ditentukan dengan kelainan alat kelamin dan juga fungsi dalam pembiakan.

Alat kelamin dan fungsi pembiakan - inilah kunci utama yang membezakan personaliti di antara lelaki dan wanita. Inilah juga yang menjadikan lelaki dan wanita terus membawakan sikap, emosi dan tingkahlaku yang berbeza. Perbezaan fungsi alat kelamin dan pembiakan ini jugalah menjadikan lelaki dan wanita ada kelebihan dan kekurangannya.

Ini diperteguhkan lagi dengan perbezaan kerangka tubuh di antara lelaki dan wanita. Lelaki dikurniakan dengan bentuk tubuh yang lebih gagah dan kuat, sebaliknya wanita dengan perwatakan lembut - sesuai dengan peranannya melahir, membesar dan memelihara anak. Hal ini terus dibawa sejak manusia dijadikan - dan kemudiannya diperteguhkan dengan peranan budaya masyarakat. Masyarakat tetap akan terus melihat lelaki sebagai penaung wanita, manakala wanita pula sebagai kilang penerus zuriat.

Sepanjang usia wanita juga - mereka ada keterbatasannya dalam memainkan peranannya sebagai penerus zuriat manusia. Selain dari faktor membesarkan anak, dan faktor jumlah waktu tertentu untuk mengandungkan zuriat - jadi wanita dilihat sebagai elemen yang sentiasa diperlukan oleh lelaki. Ia dilihat sebagai satu sumber yang sentiasa berada dalam ketidakcukupan. Mereka menjadi organ yang sentiasa menjadi rebutan.

Dalam keadaan wanita yang sangat 'terbatas' (tempoh waktu bagi menghasilkan anak, lama masa mengandung) menjadikan wanita sentiasa melihat diri mereka kekurangan. Lelaki pula, tetap ada kekurangannya. Mereka hanya mampu mengharapkan kelahiran zuriat, tetapi tidak mampu melahirkannya. Jadi, kedua-dua lelaki dan wanita saling memerlukan di antara satu sama lain.

Lelaki juga sentiasa perlu bersaing dengan lelaki lain dalam usaha mendapatkan wanita. Kerana wanita dibebankan dengan peranan sebagai penerus zuriat manusia - beban yang sangat besar - maka mereka juga mempunyai kuasa memilih lelaki. Mereka memilih lelaki yang memiliki kekuatan ekonomi - atau ada kesanggupan untuk menjaga anak-anak yang dilahirkan. Sebagai imbalan kepada apa yang telah wanita sumbangkan untuk lelaki.

Lelaki pula pada setiap saat - melihat sumbangan wanita yang tidak boleh dijangkakan ini. Mereka tidak dapat memastikan sejauh mana dan selama mana wanita akan boleh menghasilkan zuriat untuk mereka. Kerana itulah, secara semulajadinya lelaki akan terus bersifat mengawal dan memiliki wanita. Mereka tidak sanggup pasangan wanitanya dimiliki orang lain.

Wanita pula sebaliknya, kerana berada dalam keadaan yang 'tidak pasti' itu - wanita akan terus mengharapkan ehsan lelaki untuk menjaga mereka. Inilah yang sebenarnya membina perasaan cemburu dalam diri manusia.

Persaingan di antara lelaki dalam mendapatkan wanita itu jugalah - menjadikan hanya lelaki yang kuat mampu bertahan, dalam erti kata lain mendapatkan wanita serba sempurna. Sebab itu juga - secara fisiologinya, lelaki terangsang untuk lebih ganas, sentiasa bersaing dan sanggup mengambil risiko. Wanita pula - akan lebih cenderung mendapatkan lelaki yang mampu menjaga mereka dalam tempoh jangka panjang.

Inilah yang membentuk fikrah lelaki dan wanita. Ia diwariskan dari satu generasi kepada generasi lain. Bahkan, sejak lahir lagi, tabie lelaki dan wanita itu sudah berbeza (kita akan bincang dalam siri selanjutnya).

Inilah antara hujah yang dikembangkan oleh ahli psikologi evlousi. Di zaman silam, lelaki yang sempurna ialah mereka yang mampu berburu, kuat dan memberi makan keluarganya. Wanita yang sempurna pula ialah mereka yang mempunyai bakat menjaga keluarga.

Di zaman moden ini pun - lelaki mungkin tidak perlu memburu. Tetapi peranannya sebagai 'pencari makan' terus diwariskan. Begitu juga wanita. Mereka terus dianggap sebagai 'penjaga rumah'. Ia dianggap sebagai citra yang diwariskan dalam pembetukan sifat lelaki dan wanita.

Jadi kenapa lelaki terus memiliki perasaan ingin mempunyai wanita lain?

Salah satunya kerana mereka terus ditanamkan teras pemikiran - wanita akan menjadi penerus zuriat mereka. Bagi lelaki, tugas wanita ialah di rumah dan menjaga anak-anak. Bagi lelaki, wanita adalah sifatnya melahirkan anak. Jadi wanita menjadi objek yang sentiasa menjadi rebutan lelaki. Wanita terus menjadi subjek yang ingin dikuasai. (Pandangan bahawa wanita akan menjadi penerus zuriat tidak semestinya lelaki ingin memiliki anak. Ia hanya sifat tabie lelaki yang melihat wanita dalam keadaan serba terbatas, dan wanita sebagai pelahir zuriat manusia).

Wanita pula, terus dilanda perasaan cemburu - kerana bagi mereka lelaki ialah penaung kehidupan mereka untuk jangka panjang. Lelaki perlu mempunyai sumber yang cukup bagi menaungi dan membesarkan anak-anak. Tatkala ada wanita lain yang datang menjadi pesaing, ia tentu bakal menghilangkan sebahagian dari sumber yang ada. Sebab itu, bagi wanita - pasangannya tidak boleh sesekali mempunyai orang ketiga.

Penafsiran sumber ini tidak semestinya dalam bentuk fizikal seperti wang ringgit atau harta benda. Sumber ini boleh ditafsirkan sebagai rasa kasih sayang lelaki kepada wanita.

Kita sambung lagi untuk siri seterusnya.

Tulisan ini banyak berasaskan kepada teori evolusi atau origin theory. Diadaptasi dari tulisan Eagly, A.H & Wood, W, 1999. the origins of sex differences in human behavior, American Psychologist dan Buss, D.M, 1989. sex differences in human mate prefferences; evalutionary hypotheses tested in 37 culture, Behavioral and Brain Sciences. Ia hanya sekadar salah satu pandangan psikologi yang mungkin tidak kesemuanya relevan dengan kita.

Poligami - Part II - Mukadimah

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Di Malaysia - poligami menjadi isu yang hangat. Ia seolah-olah satu benda yang salah. Benda yang pelik. Sampaikan apabila suami berpoligami, ada isteri yang sanggup menuangkan cuka ke muka. Ada juga sanggup memotongkan 'anu' suami. Suami yang berpoligami pula terpaksa menyorokkan muka dan bersembunyi di balik tabir kesibukan hidup.

Mengapa jadi begitu. Mengapa pihak lelaki begitu terangsang untuk berpoligami, dan wanita pula tidak sama sekali membiarkan diri mereka dikongsi kasih. Ia bukan budaya orang Melayu sahaja. Dalam psikologi ada satu topik membincangkan hal 'jealousy' atau cemburu. Kajian ini dilakukan dengan melihat aspek psikologi dan fisiologi. Nampaknya ternyata benar ujudnya simptom ini dalam diri manusia. Kita akan bincang hal ini kemudian.

Dalam bidang psikologi juga ada dibincangkan bagaimana kemunculan sifat lelaki dan wanita. Ia banyak dilakukan oleh ahli psikologi aliran evolusionary - yang melihat bagaimana lelaki dan wanita saling bersaing untuk mendapatkan pasangan, dan mengawalnya. Kita juga akan bincangkan hal ini. Tetapi bukan hari ini.

Hari ini kita cuma memulakan mukadimah berkaitan poligami sahaja. Poligami bukan hanya ada di Malaysia. Ia juga diamalkan di kebanyakan negara Afrika - Algeria, Chad, Ghana, Benin, Congo, Gabon, Togo dan Tanzania. Juga di Arab Saudi dan Israel. Poligami juga bukan hanya diamalkan oleh orang Islam. Poligami juga dilakukan oleh orang Kristian Khatolik dan Protestan. Jadi - poligami ini bukan hal yang pelik.

Ia hal yang biasa sahaja. Ia melibatkan perkahwinan lelaki dan wanita.

Tetapi - ada hal yang sebenarnya lebih pelik. Kita mungkin jarang mendegarnya. Polyandry - wanita yang berkahwin dengan dua atau lebih lelaki pada satu masa. Ada juga - polygynandry - dua atau lebih isteri berkahwin dengan dua atau lebih lelaki pada masa yang sama. Ini sepatutnya hal yang pelik.

Cukup dulu pengenalan hari ini. Esok atau lusa kita bincang bagaimana lelaki dan wanita yang berbeza jantina itu mempunyai perasaan yang tidak sama.

(Nota - fakta yang disebutkan di dalam tulisan ini dipetik dari Elbedour, S, Onwuegbuzie, A.J, Caridine, C & Abu-Saad, H. 2002, the effect of polygamous marital structure on behavioral, emotional, and academic adjustment in children; a comprehensive review of the literature, Clinical Child and Family Psychology Review).

Thursday, 12 November 2009

Poligami - Part 1

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kali ini kita akan cuba tulis tajuk yang lain sikit. Sebenarnya ada kawan lain yang minta aku bincangkan hal ini. Kawan ini minta nama dia dirahsiakan. Bukan kerana dia ada cita-cita berpoligami, tetapi dia takut menjadi sasaran kumpulan Islam liberal dan segala persatuan wanita. Bagaimana pun, aku tidak bercadang menulisnya dari sudut agama. Aku cuma akan menulisnya dari sudut psikologi sahaja.

Kenapa orang lelaki selalu bercita-cita memiliki banyak isteri, dan kaum wanita pula seboleh-bolehnya tidak mahu dimadukan. Mengapa orang lelaki di Sahara Afrika yang mengahwini banyak isteri dianggap sebagai simbol kekuasaan dan kehebatan, tetapi lelaki di Malaysia pula terpaksa malu-malu kahwin ikut pintu sempadan?

Mengapa lelaki bersifat menguasai dan memiliki, dan wanita pula merasa sangat cemburu dan tidak mahu berkongsi?

Ini baru topik pengenalan. Belum mula lagi pun. Aku nak kena baca buku dulu! Permintaan kawan aku ini sudah menyebabkan artikel ke-3 aku terbantut lagi.

Untuk lelaki yang ingin bermadu, dan wanita yang tidak ingin dikongsi, tunggulah kemunculan debat perdana ini! Ekslusif dari FakirFikir.

Wednesday, 11 November 2009

Adakah kita lebih baik dari orang lain?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kali ini kita bincangkan hal-hal bias balik diri.

Dalam hidup ini kita cenderung untuk melihat kita lebih baik dari kebanyakan orang. Apabila kita dipuji majikan, atau dinaikkan pangkat kerana prestasi yang baik - kita percaya bahawa penilaian yang dibuat majikan itu betul. Sebaliknya, kalau kita dinilai buruk - kita percaya bahawa majikan melakukan hal yang silap.

Banyak pemain bolasepak terkenal dunia pun ada kecenderungan bias balik diri. Apabila mereka menjaringkan gol walaupun dalam keadaan off-side, tetapi dipersetujui oleh pengadil, mereka yakin bahawa pengadil membuat keputusan yang betul. Kita seolah-olah percaya bahawa kita memang selalu betul, dan apabila orang lain mengesahkannya ia menjadikan kita semakin yakin.

Begitu juga dengan pelajar. Apabila mereka lulus cemerlang, mereka tidak ada merasa ada cacat celanya dengan soalan peperiksaan. Mereka cenderung menerima keputusan itu. Sebaliknya, jika gagal mereka akan mengkritik peperiksaan. Inilah bias balik diri.

Adakah anda selalu bias balik diri - atau dalam kata yang mudah, selalu berperasaan sebagai manusia yang baik berbanding dengan kebanyakan orang lain

Kajian mendapati:
1. Majoriti usahawan merasakan mereka melakukan urusniaga mengikut etika yang betul. Hakikatnya belum tentu.
2. Di Australia, 86% pekerja menilai prestasi mereka lebih baik dari kebanyakan orang. Hanya 1 % sahaja menilai diri sebagai bawah purata.
3. Di Belanda, kebanyakan pelajar sekolah tinggi menilai diri mereka sebagai lebih jujur, amanah, mesra dan boleh dipercayai berbanding dengan purata pelajar lain.
4. Kebanyakan pemandu - bahkan mereka yang sedang berada di hospital kerana kemalangan jalanraya - merasakan diri mereka lebih cekap dan selamat berbanding dengan purata pemandu lain.
5. Banyak orang percaya - bahawa diri mereka lebih cerdik, kurang prejudis, dan merasakan diri mereka menarik berbanding purata ahli masyarakat lain.

Adakah apa yang sedang dirasai oleh manusia ini betul. Hakikatnya ia hanya ilusi. Ia hanya perasaan. Semua ilusi ini sedang kita alami setiap hari. Ini menjadikan kita berasa kitalah manusia paling hebat dalam dunia ini - hatta dalam keadaan kita mungkin sedang duduk dalam penjara sekalipun.

Bagaimana pula anda sebagai blogger?

Nanti kita bincang Ilusi kekebalan.

Beza lelaki dan wanita

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ihsan bertanya: Apsal la pompuan nih biasenye lambat gle pikap esp bile kite buat lawak ke perli2 ke. Walaupon diorg nih berfikiran puitis tahap tinggi n suka sajak2? Adakah lelaki lebih hebat dlm bab2 puitis2 nih tp xsuke express? (ayat asal tanpa diedit tatabahasa)

**********************************************************************************
Aku tidak bercadang untuk menjawab soalan Ihsan. Aku cuma sekadar berkongsi pengetahuan.

Adakah lelaki dan wanita berbeza? Itu soalan yang selalu timbul dalam buku psikologi sosial dan personaliti. Jawapan yang dominan - ya.

Sejak dilahirkan lelaki dan wanita sudah berbeza biologinya. Maka berkatalah Douglas Kenrick, seorang ahli psikologi evolusi - 'we cannot change the evolutionary of our species, and some of the differences between us are undoubtedly a function of history'. Sebenarnya itulah hakikat kejadian manusia. Lelaki secara relatifnya lebih gagah dibanding wanita, sebaliknya wanita akan lebih lemah lembut. Semua ini ada hikmahnya. Lelaki menjaga keluarga, wanita melahir dan membesarkan anak. Cuba bayangkan wanita bertubuh sasa melahirkan anak, dan lelaki lemah lembut pula menjadi suami. Tentu sukar dibayangkan.

Adakah hal ini sama sahaja di seluruh dunia. Kajian ke atas 37 budaya manusia, merentas hampir seluruh dunia - dengan sampel 10,000 manusia - mendapati lelaki akan tertarik dengan wanita yang cantik dan berwajah muda. Wanita pula cenderung untuk lelaki yang gagah, dan mampu menyediakan sumber bagi menjaga wanita.

Bagaimana pun - ada hal yang sama - lelaki dan wanita tetap mengimpikan cinta, kasih sayang dan hubungan mesra. Ini tidak ada bezanya dalam apa budaya sekalipun.

Lelaki juga cemburu kalau pasangan wanitanya bermain kayu tiga dengan lelaki lain. Wanita pula tidak suka kalau pasangan lelakinya ada hubungan bersifat emosi dengan wanita lain. Semua ini berasaskan kepada sejarah evolusi manusia yang membentuk lelaki sebagai penjaga keluarga, dan wanita pula akan bergantung kepada apa yang boleh diberikan oleh lelaki.

Apa lagi beza antara lelaki dan wanita? Lelaki dalam apa budaya pun akan cenderung mengahwini wanita yang lebih muda. Semakin tua lelaki itu, semakin mereka mengimpikan wanita yang lebih muda dengan beza umur yang besar. (Jadi, tidaklah boleh dikatakan lelaki tua yang mengahwini gadis muda sebagai 'miang keladi', kerana ia nampaknya trend seluruh dunia dan semua budaya!). Wanita pula - hanya mengharapkan lelaki yang umurnya tidak begitu ketara dengan mereka, walaupun mereka juga mengharapkan lelaki yang lebih tua berbanding mereka. Bagaimana pun, wanita kurang tertarik dengan lelaki muda.

Hal ini kemudiannya diwariskan dari satu generasi kepada satu generasi - dalam garis budaya. Budaya inilah yang memperteguhkan perbezaan di antara lelaki dan wanita.

Wanita dalam kebanyakan hal mungkin tidak pernah akan sama sifatnya dengan lelaki. Lelaki dikatakan akan cenderung untuk bersifat individu dan berdikari. Sebaliknya wanita pula lebih 'collective' dan 'connected'. Kajian-kajian makmal mendapati lelaki cenderung untuk yakin kepada diri sendiri berbanding dengan wanita. Wanita pula didapati lebih mudah mengingat perkataan atau manusia yang ada hubungannya dengan kehidupan mereka. Semua ini dibincangkan dalam konteks 'self-schemas'. Anda boleh menggoogle untuk melihat apa yang dimaksudkan dengan konsep ini.

Menjawab soalan Ihsan - sama ada lelaki dan wanita akan selalu berbeza. Bagaimana pun untuk dikatakan wanita lebih puitis, mungkin juga tidak. Wanita mungkin lebih emosinya - menjadikan mereka kelihatan lebih puitis. Lelaki pula tidak boleh dikatakan tidak pandai meluahkan hal-hal bersifat seni - kerana banyak pemenang Nobel Kesusasteraan juga adalah lelaki. Di Malaysia - banyak sasterawan negara adalah lelaki.

Tuesday, 10 November 2009

Apa itu writer's block

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sudah 2 hari aku cuma di rumah. Adelaide sedang dilanda suhu panas. Aku juga sedang kepanasan. Perlu menulis dan memperbaiki artikel. Jadi, seperti kebiasaannya, aku perlu menulis di rumah. Sebabnya aku tidak boleh menulis di atas meja.

Ketika menulis, adakalanya kita dilanda writer's block. Kita terhalang untuk menulis. Kita tidak tahu dari mana hendak bermula. Kadaang-kadang kita menulis satu halaman, tetapi kita berasa seperti ada yang tidak kena. Kita padam kesemuanya. Kadang-kadang kita bersemangat menulis. Berhenti sekejap untuk minum kopi. Tiba-tiba, tidak dapat menulis lagi. Bukan sejam atau dua jam, bahkan berhari-hari atau berminggu-minggu. Ini penyakit biasa bagi kebanyakan orang.

Bagaimana mengatasinya. Paksa diri untuk menulis. Kalau tidak boleh 100 patah perkataan, paksa untuk menulis 10 patah. Kalau tidak juga boleh menulis, tulis juga apa yang boleh. Boleh tulis di mana-mana sahaja. Di atas kertas kosong, di atas kertas recycle. Janji tulis. Jangan bosan dan kecewa.

Satu lagi cara lain - buat temujanji dengan supervisor anda. Katakan anda akan menghantar artikel anda pada satu-satu tarikh. Anda mungkin belum menulis apa pun lagi. Dengan cara itu, anda perlu menulis juga kerana anda yang sengaja membuat janji. Jadi, sekurang-kurangnya ada sesuatu juga untuk ditulis.

Apa lagi? Kalau tidak tahu juga untuk tulis apa-apa, tulis blog. Habis cerita. Semacam aku sekarang ini. Kita bunuh writers block dengan tulis blog!

Monday, 9 November 2009

Aku pun stres juga!

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Bila ada orang tanya aku macam mana nak kawal perasaan kalau eksperimen tak jadi, atau jurnal kena tolak, rasa seperti aku tidak stres. Tidak, aku pun stres seperti orang lain juga. Mau lebih teruk ada kot!

Sekarang ini aku stres dengan data collection di Malaysia. Masih tak dapat target lagi. Baru dapat 300 orang lebih. Itu pun berkat pertolongan banyak orang. Kecuali beberapa orang, banyak yang tidak aku kenal. Yang aku kenal cuma N seorang. Kalau ada sesiapa yang nak buat survey di Malaysia, boleh upah N. Dia bagus. Dia ada banyak kroni dalam hal data collection.

Aku mungkin stres sedikit mencari wang upah mereka. Tetapi sebenarnya ia lebih untung berbanding kalau aku sendiri yang buat. Jadi aku boleh siapkan dua kerja pada satu masa. Aku boleh menulis paper di sini, dan di Malaysia ada orang sedang collect data. Ini bezanya orang sains sosial dengan orang sains. Orang sains tidak boleh upah orang lain tidur di makmal.

Jadi - aku sudah pindahkan stres data collection kepada orang lain. Aku pula cuma stres duduk dalam rumah yang cuacanya seperti duduk dalam ban tembakau.

Sunday, 8 November 2009

Selamat menempuh alam perkahwinan Bento!

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Selamat menempuh alam perkahwinan buat kawan baik aku - yang namanya aku samarkan sebagai Bento dalam blog ini. Kawan-kawan baik aku Chah, Hasni dan Din Rawang tentu tahu siapa kawan aku ini (Chah, nanti minta Mat Yee call dia - marah dia sikit!).

Ketika aku menulis ini, Bento dan rombongannya sedang menuju ke Patani, Thailand untuk melangsungkan majlis pernikahannya. Bukan sebab orang yang dikahwininya itu ialah orang Patani. Juga bukan kerana ada hal buruk sedang dilakukannya, atau cuba melarikan anak gadis orang. Semua itu tidak berkaitan.

Sebenarnya, dia cuba mengelak dari banyak prosedur perkahwinan di negara kita. Dia juga cuba mengelak untuk berkursus. Jadi - dengan cara itu urusan perkahwinannya akan menjadi lebih mudah. Walaupun pernikahan itu berlaku di luar negara, dan jaraknya pula lebih dari 2 marhalah, dia sudah boleh menggunakan wali hakim. Tetapi tidak dalam kes pernikahan kawan baik aku ini. Dia membawa bersama walinya.

Mungkin kerana umur sudah 36 tahun, bujang dan hanya baru ingin berkahwin - jadi dia tidak boleh tangguh lagi! Aku tak tahu hal itu. Itu kena tanya dia.

Selama ini - dia takut untuk mendekati wanita kerana banyak sebab. Salah satunya ialah kebimbangannya sebagai bekas penagih - yang memungkinkan dia membawa virus HIV. Dia berasa bimbang kalau perkahwinannya itu akan merosakkan orang lain.

Beberapa minggu lalu - dia sms aku, 'Aku dah check. Negatif". Itulah berita kegembiraannya. Aku juga tumpang gembira. Kerana dia tidak sepatutnya berada dalam kategori manusia tidak berguna pun. Dia orang baik. Lebih baik dari kebanyakan orang. Dia juga tahu selok belok agama. Lebih tahu dari kebanyakan orang. Cuma takdirnya dia terjerumus. Tuhan menguji imannya. Tuhan juga sedang menguji kita. Sejauh mana kita menerima mereka, dan sejauh mana kita memahami hakikat takdir.

Beberapa minggu yang lalu juga - kami saling menelefon di antara satu sama lain. Kami berbincang tentang banyak hal. Aku orang pertama yang tahu hal perkahwinannya. Dia tidak mahu memberitahu sesiapa sehinggalah pada saat perkara itu akan berlaku. Dia bimbang akan tidak berlaku. Jadi hanya kami berdua tahu perancangannya pada saat itu. Sehinggalah kemudiannya dia membincangkannya dengan ahli keluarganya dan ahli keluarga aku.

Untuk kawan baik aku - sahabat sejati - aku ucapkan selamat menempuh dunia perkahwinan. Aku tidak perlu menasihatkan dia apa-apa. Dia sudah melalui hampir semua perkara buruk sepanjang usianya. Jadi perkahwinan ini adalah berita gembira untuknya. Aku percaya, dia boleh menguruskannya.

Aku harap - kami akan masih mempunyai waktu untuk terus menikmati teh tarik sehingga lewat pagi selepas ini.

Update jam 10.07 pm: Patani sedang dilanda banjir, pernikahan itu telah diubah ke Chenak, satu wilayah di Siam, tidak jauh dari Changlun.

Saturday, 7 November 2009

Menjawab soalan 1 - menangani stres

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Lanjutan daripada Membuka Soalan.

Inah bertanya:
1. I tend to compare myself dengan student lain yang sudah menyiapkan penulisan bab tesis and selalu rasa diri ketinggalan. Bagaimana mengendalikannya? And I have a problem too when I always tend to compete with myself .

2. How to handle stress bila eksperimen tak jadi atau paper rejected??

Ada dua soalan yang dikemukakan oleh Inah. Kedua-dua soalan ini saling berkaitan. Ia melibatkan kognitif manusia. Maksudnya tafsiran kita terhadap sesuatu perkara. Ia mungkin bukan kesan sebenar yang sedang menimpa kita, tetapi lebih kepada tafsiran semata-mata.

Membandingkan orang lain yang lebih dahulu menyiapkan tugasan menjadikan kita berasa ketinggalan. Itu benar dari pandangan sekali imbas. Perbandingan ini sebenarnya hal yang positif, sekurang-kurangnya akan menjadikan kita lebih kuat berusaha.Tetapi kita juga perlu melihat bentuk bidang pengajian yang mereka lakukan, dan sejak bila mereka mereka memulakan pengajian.

Kita juga harus adil dengan diri kita. Kita tidak boleh membandingkan dua perkara yang tidak sama. Seperti seorang operator pengeluaran membandingkan gajinya dengan pengurus. Sampai bila-bila pun tidak akan berlaku keseimbangan.

Perbandingan yang patut dibuat seharusnya dengan orang yang sama bidang dengan kita, kalau pun tidak dapat mencari orang yang melakukan kajian yang sama sifatnya. Kalau kita ketinggalan kerana itu, mungkin boleh kita selidiki kelemahan kita.

Cuba sesekali kita bertanya dengan orang lain. Masalah mereka mungkin lebih menakutkan. Apa yang kita lihat hanya seorang dua yang lebih baik dari kita. Itu pun, kita tidak tahu pun masalah besar mereka yang lain. Mereka juga mungkin bimbang juga dengan keupayaan kita. Itu kita tidak tahu kerana kita hanya melihat sisi positif mereka.

Sebenarnya, tidak ada masalah pun kalau kita ingin mengejar dan mendahului mereka. Misalnya, ada teman-teman yang telah mendahului kita. Mereka mungkin lebih bijak dalam hal-hal tertentu, misalnya menulis dengan cepat, atau menganalisa satu-satu perkara dengan lebih pantas. Mereka mungkin menyiapkan penulisan 10,000 patah perkataan dalam masa 5 hari. Kita mungkin tidak mampu melakukannya. Kita mungkin mengambil masa 10 hari. Dalam hal begini, jika kita terasa ingin memintas mereka, kita perlu menambah jumlah masa menulis. Misalnya dari 4 jam sehari kepada 6 jam sehari. Itu pun kalau mampu dilakukannya.

Tetapi sebenarnya, yang menjadikan kita lambat menulis atau menyiapkan satu-satu perkara ialah kerana stres. Kita menggunakan begitu banyak masa dan tenaga untuk menangani stres, dan bukannya perkara yang patut kita tangani. Kita berfikir dengan perkara yang tidak berkaitan dengan masalah. Kita berfikir kenapa orang lain lebih cepat, dan bukannya apa yang harus kita lakukan untuk lebih cepat. Kerana stres adalah perkara yang berkaitan dengan pemikiran, maka banyak masa yang telah kita habiskan untuk berfikir dengan perkara lain yang mungkin tidak ada kena mengena. Kita berfikir hal A, sedangkan masalah sebenar kita mungkin B. Inilah yang menjadikan otak kita begitu letih dan tidak mampu berfikir dengan lebih baik. Hasilnya, kita benar-benar ketinggalan.

Soalan kedua beliau - menangani ekperimen gagal atau kertas ditolak.

Sebenarnya ia hal yang dialami semua orang, termasuklah penyelia kita yang bergelar profesor. Kita tidak akan menjadi manusia sempurna. Ini masalah semua penyelidik. Experimen gagal, jumlah respons tidak mencukupi bagi soal selidik, penilai tidak berasa gembira dengan kertas laporan dan sebagainya adalah sebahagian daripada perkara lazim bagi ahli akademik. Dalam kata lain, ia adalah makanan harian kita. Kita tidak boleh menjangkakan semua perkara akan berlaku dengan sempurna. Apatah lagi kita hanya pelajar, bukan ahli akademik besar.

Bagi menangani hal ini - ada baiknya setiap kali kita memulakan kajian atau menulis, kita juga bersiap-sedia dengan pola yang satu lagi - yakni gagal. Sebab dalam hidup hanya ada dua pola sahaja, baik dan buruk, lulus dan gagal atau kalah dan menang. Peluang untuk lulus sama banyak dengan gagal. Jadi, dengan persediaan ini, kita sudah mencipta mekanisme bela diri di dalam minda kita.

Sebab itu - bagi orang biasa menghantar kertas artikel, mereka tidak kecewa sekalipun ditolak. Mereka sudah membina hueristik di dalam minda mereka. Mereka terlebih dahulu bersedia dengan hal itu. Orang yang mengalami kemalangan untuk kali kedua misalnya, tidak begitu trauma dibandingkan dengan orang yang pertama kali mengalaminya. Maksudnya, minda kita sudah tahu apa yang patut dilakukan bagi menangani hal yang tidak pasti itu.

Bagaimana pun, tidak bermakna kita hanya bersedia untuk gagal atau ditolak semata-mata. Dengan andaian bahawa kemungkinan kertas kita ditolak misalnya, kita perlu menyiapkan kertas itu lebih awal. Ini bagi membolehkan kita menghantar kepada penerbit yang lain, atau bersedia dengan pembetulan tertentu. Misalnya, target asal menyiapkan kertas ialah Januari, jadi kita anjakkan lebih cepat kepada Disember. Sekurang-kurangnya kita ada buffer zone untuk bersiap dengan segala kemungkinan.

Sekiranya kertas kita diterima, atau experimen menjadi, anggaplah ia sebagai satu bonus. Itu terlebih baik dari terlalu mengharap.

Yang boleh kita lakukan ialah melakukan yang terbaik. Selebihnya kita serahkan kepada Tuhan.

Nota: Ia hanya pandangan. Tidak semestinya berkaitan. Harap dapat membantu.

Berjaya juga hang jadi adik ipar

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ini cerita lama. Cerita silam. Cerita yang dekat 20 tahun dulu.

Dulu aku ada seorang kawan. Seorang gadis. Kami juga baik di antara satu sama lain. Tapi aku tidak pasti sama ada kami ini suka di antara satu sama lain atau tidak. Sebab kami berkawan baik, maka kami tidak dapat meluahkan perasaan kami. Atau hanya aku yang sukakan dia, tetapi tidak pun dia. Itu juga aku tidak tahu kerana kami tidak pernah bercakap hal itu.

Sebenarnya dia tinggal sekampung dengan aku. Adik lelakinya pula kawan baik aku. Jadi, kami semua membesar bersama, bermain bersama dan bersekolah bersama. Kecuali di sekolah menengah, kerana aku tinggal di asrama. Cuma di tingkatan 6, dia satu sekolah dengan aku.

Ketika tamat tingkatan 6, dia ada memberikan aku wang untuk membeli borang kemasukan ke universiti. Dia memang baik. Mungkin dia tahu aku tak ada wang. Ketika masuk universiti, dia ada hadiahkan aku sehelai baju.

Kemudiannya, aku ke universiti dan dia berkerja kilang.

Dia juga beberapa kali menghantarkan aku surat ketika di universiti. Aku menerima dan membacanya. Tetapi aku tidak membalasnya. Walaupun aku boleh menulis, tetapi aku tidak berminat menulis surat. Kerana ia akan menyebabkan banyak lagi proses lain. Kena ada sampul surat dan beratur panjang membeli stem. Semua ini membantutkan minat aku menghantar surat.

Hidup aku di universiti pun bukanlah teratur sangat. Macam cerita Aku Hidup Dalam Blues karya Aie itu. Selekeh dan tak tersusun.

Aku pun masih tak pasti sama ada dia suka aku, atau aku suka dia. Apa pun kami tetap kawan baik.

Aku cuma tersedak - pada tahun 1994 atau 1995 - aku mendapat kad jemputan kahwin. Dia tulis ringkas sahaja. Walaupun aku berkahwin, kita masih berkawan. Waktu itu sepatutnya cuti semester. Tetapi aku beri alasan peperiksaan untuk tidak pulang. Aku tidak begitu tergamak hendak makan kenduri waktu itu.

Setelah aku berkahwin - isteri aku ke rumahnya. Isteri aku ceritakan rahsia 'hubungan tidak pasti' kami kepada emaknya. Emaknya cuma berkata, 'patutlah'. Aku pun tak begitu tahu apa yang dimaksudkan dengan patutlah itu. Habis malu muka aku.

Enam atau tujuh tahun dulu, adik lelakinya yang juga kawan baik aku, sibuk mencari isteri. Merata tempat dicari, tak bertemu juga. Isteri aku minta tolong adiknya yang jadi jururawat untuk mencari isteri untuk kawan aku itu. Adik ipar aku jadi broker. Cari sana sini. Tetapi dia tak mahu juga dengan calon yang ditunjukkan. Gagal juga. Akhirnya, dia pula yang kahwin dengan adik isteri aku yang sepatutnya jadi broker cari jodoh. Jadilah dia adik ipar aku. Itulah jodoh.

Pada hari perkahwinan mereka - orang kampung aku berkata kepada adik lelaki kawan aku itu - 'berjaya juga hang jadi adik ipar!". Tetapi menjadi adik ipar dalam latar yang lain. Sebenarnya bukan adik ipar, dia menjadi biras.

Itu cuma cerita lama. Cerita ketika kita masih muda.

Mengapa aku memilih psikologi?

34 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sebenarnya tidak ramai yang tahu mengapa seseorang itu menjadi psychologist, clinical psychologist atau kaunselor. Ketiga-tiga bidang ini sepertinya mirip, tetapi berbeza. Jadi aku ceritakan bagaimana semuanya bermula.

Aku tidak pernah berangan-angan untuk menjurus dalam bidang ini. Tamat tingkatan 5, aku sepatutnya memasuki politeknik. Tetapi waktu itu, kehidupan aku sangat susah. Memang susah. Hasni tahu hal itu. Aku sepatutnya memasuki bidang kejuruteraan awam di Poleknik Sultan Abdul Halim. Tetapi, kerana aku sangat pening untuk mencari wang RM 500 membayar yuran pendaftaran, aku tidak jadi mendaftar.

Aku teruskan memakai baju putih dan seluar hijau, memasuki Tingkatan 6. Sebenarnya tidak. Aku sebenarnya ingin berhenti sekolah waktu itu kerana ada seorang kawan cuba menggoda aku untuk kerja di Kuala Lumpur. Aku beritahu hasrat untuk berhenti. Emak aku tidak setuju. Jadi aku sambung juga Tingkatan 6 tanpa minat. Setiap Rabu, aku tidak pergi sekolah. Aku ingat sangat hari itu - kerana hari itu ada pasar malam di Changlun.

Aku malas banyak sebab. Satunya kerana wang tidak banyak. Masa itu pun aku sudah tegar hisap rokok. Sudah dapat lesen. Jadi susah juga kalau aku bersekolah lagi. Usia aku waktu itu pun bukanlah muda sangat. Tentu tak sesuai minta duit lagi dari orang tua. Nasib baik Bento ada kerja dan bantu aku. Banyak duit dia aku pakai (nanti aku update berita terkini Bento).

Habis tingkatan 6, aku masuk universiti. Aku pun tak sangka akan lulus. Itu memang rahmat Tuhan. Aku ditawarkan bidang Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan di UKM. Kami diberi 3 bidang pada tahun pertama. Aku belajar sejarah, sains politik dan psikologi. Sebab aku diberi bidang psikologi ialah kerana aku dari aliran sains ketika tingkatan 4 dan 5 dahulu. Aku juga diberikan bidang sejarah dan sains politik mungkin kerana ketika tingkatan 6, aku dapat A dalam sejarah, dan B dalam pengajian am.

Bagi mereka yang bukan dari aliran sains pada peringkat SPM, mereka tidak diberikan peluang untuk mengambil bidang psikologi. Waktu itu bidang psikologi masih lagi berteraskan aliran tingkahlaku. Masih bermain-main dengan tikus. Juga perlu membedah tikus sebagai asas fisiologi. Dalam bidang psikologi juga, terlalu banyak kertas statistik perlu diambil. 4 atau 5 kertas, aku sudah lupa. Mungkin kerana itu, universiti lebih cenderung dengan pelajar dari aliran sains.

Selama 4 tahun di universiti, kami belajar pelbagai subjek psikologi. Ada yang aku pandai, ada yang tidak. Aku mungkin agak bagus dalam psikologi sosial dan personaliti. Tetapi, aku tidak pernah sekalipun mengambil subjek kaunseling. Aku tidak berminat. Entah mengapa. Kelihatan agak wanita agaknya.

Pada tahun akhir, UKM sedang baru menawarkan bidang sarjana Psikologi Klinikal. Sesiapa yang memohon waktu itu, tentu akan ditawarkan - kerana jumlah pemohon masih kecil. Aku tidak tahu mengapa aku tidak memohon. Mungkin sebab aku sibuk dengan kerja teh tarik di Kajang, atau sibuk dengan kerja di Sony.

Tetapi, kemudiannya aku memohon bidang sarjana psikologi sosial. Aku memohon kerana minat. Aku tidak kisah pun sama ada bidang itu mempunyai permintaan kerja atau tidak. Aku tidak pernah belajar kerana untuk kerja.

Rupa-rupanya, aku ditawarkan bidang lain. Bidang psikologi industri dan organisasi (IO). Ada juga panggil Psikologi Pekerjaan. Sebab, yang memohon bidang psikologi sosial cuma beberapa orang sahaja. Aku tidak tahu siapa orang lain itu. Aku sebenarnya tidak berminat sangat dengan bidang IO ini kerana ia agak teknikal, bukan terlalu psikologi. Ia berkisar dengan latihan, temuduga, penilaian prestasi dan banyak berkaitan dengan sumber manusia. Bagaimana pun, beberapa subjek teras psikologi masih ada. Tetapi, sebab tidak ada pilihan lain, aku terima juga.

Adakah bidang-bidang ini berbeza? Sebenarnya banyak lagi bidang psikologi lain. Ada yang hanya mengkhusus dengan perkembangan manusia, ada pula yang menjurus dengan aspek klinikal. Ada juga psikologi pendidikan atau psikologi kognitif. Walaupun asasnya sama, tetapi jurusan itulah yang membezakan kami semua. Psikologi klinikal mungkin lebih mirip kepada bidang psikitiari, walaupun berbeza. Bidang IO mungkin bertindih sedikit di antara psikologi sosial dan sumber manusia, tetapi dari pendekatan berbeza.

Sebab itulah - sekarang ini aku di sini. Kerana aku dari aliran sains sekolah menengah, dan kemudiannya ada sarjana IO, maka aku perlu melakukan kajian stres di tempat kerja. Bidang aku sekarang sebenarnya lebih kepada psikologi kesihatan dan psikologi organisasi.

Di Barat - banyak lagi bidang psikologi lain yang tidak ada di Malaysia. Antaranya psikologi forensik dan psikologi politik. Apa pun, kalau aku ada pilihan, aku mungkin bergelar social psychologist, atau setidak-tidaknya mendalami bidang psikologi personaliti. Aku pernah mengajar sekejap di Fakulti Sains Kesihatan, UKM dalam bidang psikologi personaliti beberapa tahun dahulu.

Semua ini bermula hanya kerana emak aku tidak setuju kalau aku berhenti sekolah di Tingkatan 6. Benar kata orang, orang tua akan lebih jauh pandangannya dari mata kita yang muda. Terima kasih mak.

Thursday, 5 November 2009

Membuka soalan

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Memandangkan tidak ada perkara lagi untuk ditulis, kali ini aku buka peluang untuk para pembaca bertanyakan soalan. Jadi aku akan cuba menulis berdasarkan soalan yang dikemukakan. Bagaimana pun, sekiranya ada soalan-soalan yang tidak boleh aku jawab, maka akan aku jawab - tidak tahu, atau tidak relevan. Ia mudah, tidak menyebabkan ada sesiapa menunggu jawapan.

Soalan boleh berkisar dengan isu psikologi sahaja. Bagaimana pun, aku akan memberikan jawapan umum sahaja - sekadar pandangan aku. Mungkin tidak sesuai diterapkan untuk semua manusia.

Bidang pengajian aku sekarang banyak berkisar dengan psikologi pekerjaan. Aku juga mungkin boleh memberikan pandangan berdasarkan pengalaman aku selama 12 tahun dalam dunia pekerjaan di beberapa tempat.

Aku juga mungkin boleh membantu dalam bidang psikologi sosial yang merupakan minat utama aku sebenarnya. Hal-hal yang berkaitan dengan psikologi sosial seperti kelompok, kepemimpinan, hubungan manusia, persahabatan - dan apa sahaja yang anda rasa sesuai dengan istilah manusia sebagai makhluk sosial.

Para pelajar mungkin boleh mengajukan soalan berkaitan metodologi penyelidikan, penyediaan proposal atau yang berkaitan dengan hal ehwal belajar.

Soalan yang berkisar dengan psikologi umum juga boleh diajukan.

Peluang bertanya soalan hanya dibuka selama 5 hari (5-10 September) sahaja. Sekiranya soalan berbentuk dengan hal yang sangat pribadi, ada baiknya anda menggunakan anynomous, dan bukannya nama blog anda.

Harap maklum dan selamat bertanya soalan.

Wednesday, 4 November 2009

Nasihat untuk seorang kawan

8 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
**Untuk seorang sahabat, yang hanya dia yang tahu. Sahabat ini, yang aku pun tak tahu siapa dia**


Dalam hidup - kita selalu berangan-angan untuk mendapatkan apa yang tidak kita miliki. Kita selalu membandingkan diri kita dengan orang lain. Kita selalu melihat sisi baik teman-teman lain. Ini menjadikan kita merasa sangat tertekan. Kita berasa kerdil kerana kita tidak menikmati kehidupan yang indah seperti mereka. Kita berasa putus asa. Berasa sepi dan sesekali begitu hampa.

Hakikatnya, kita hanya melihat sisi indah orang lain. Kita tidak tahu sisi buruk mereka. Kita tidak tahu keperitan yang dialami orang lain. Kerana, orang jarang bercerita hal yang buruk. Menceritakan hal buruk akan memadamkan reputasi mereka. Jadi mereka terus bercerita sisi indah sahaja.

Kita juga jarang melihat kelebihan diri kita, dibandingkan orang lain. Tatkala orang lain mungkin hanya lulus PMR, kita pula sedang berada pada tahap paling tinggi dunia akademik. Tatkala orang lain sedang berhempas pulas mendapatkan pekerjaan, kita sudah mempunyai kerjaya yang baik. Kita juga mempunyai ramai teman-teman yang baik, yang sanggup berkongsi cerita kita. Orang lain mungkin hanya mempunyai teman-teman yang sedang cuba memanipulasi diri mereka.

Kita juga mungkin tidak pernah berfikir pun, yang ada juga orang lain yang sedang memerhatikan kita. Mereka menjadikan kita idola. Mereka melihat kehidupan orang seperti kita sebagai sangat mengagumkan. Belajar di luar negara, setiap hari berbincang tentang hal keilmuan, menjadikan mereka merasakan kita sebagai manusia yang patut dicontohi. Orang yang sedang memerhatikan kita ini merasakan mereka tidak akan menikmati pengalaman seindah kita, bahkan mungkin hingga ke akhir usianya.

Sebab itu - apabila kita pulang ke kampung, ada orang yang sanggup mendengar cerita kita berjam-jam lamanya. Bagi mereka hidup di luar negara satu keajaiban, sedangkan mereka tidak pernah menaiki pesawat pun, apatah memijak bumi asing. Semua ini adalah kelebihan diri kita yang tidak semua manusia mampu mencapainya.

Mendengar cerita teman aku itu - yang merasa begitu gelisah, kerana kononnya masih hidup membujang, sebenarnya tidaklah merupakan satu petaka pun. Yang dia tidak tahu, dalam dunia ini, jutaan orang sebenarnya sedang mengharapkan agar sesekali mereka akan kembali menikmati zaman bujang. Mereka berasa gembira kalau ada pasangan yang balik kampung, kerana inilah antara waktunya mereka cuba menghirup kembali usia bujang untuk beberapa detik. Melupakan resah dan gusar rumahtangga yang banyak ceritanya.

Itulah hakikat hidup. Ketika bujang, kita merasa sangat derita tanpa pasangan. Ketika berkahwin, kita merasa sangat bahagia menjadi orang bujang. Kerana hidup ini - makna kebahagiaan - itu hanyalah penafsiran minda kita semata-mata.

Seperti mana ketika anak-anak kita mengimpikan alam dewasa, bila dewasa kita berasa alangkah baiknya untuk kembali ke alam kita bermain layang-layang.

Realitnya, bila sampai waktunya, bila sampai saatnya - sama ada kita mengimpikan atau tidak - waktu itu akan datang juga. Hidup ini bukan hanya sekadar usaha manusia. Hidup ini hakikatnya adalah pekerjaan Tuhan. Dia yang tahu proses kehidupan sejak sebelum kita hadir ke dunia ini lagi.

Jadi untuk sahabat aku - lupakanlah keresahan itu. Sampai waktunya, mimpi itu akan datang jua. Ia adalah proses cerita manusia. Cepat atau lambat, bukanlah pekerjaan kita. Cepat atau lambat, tentu ada rahmat di sebaliknya. Ia adalah rahsia Tuhan yang tidak ada siapa pun mampu menekanya.

Usah dibimbangkan pertanyaan orang. Ia tidak akan ada akhirnya. Ketika bujang, mereka akan bertanya bila akan berumahtangga. Bila berumahtangga, mereka akan bertanya bila akan mempunyai anak. Setelah anak kita dewasa, mereka bertanya bila akan mendapat cucu. Kemudian soalan yang sama akan ditanya lagi kepada anak-anak kita. Soalan yang sama, puluhan tahun kemudiannya akan ditanya pula kepada cucu kita.

Ini - adalah kitar hidup manusia. Manusia akan terus bertanya. Mereka terus bertanya dengan soalan yang kita tidak mampu menjawabnya.

Untuk dia - teruskanlah dengan apa yang ditakdirkan. Teruskanlah meneroka dunia akademiknya. Lupakanlah kegelisahan yang tidak sewajarnya itu. Bukan pekerjaan kita untuk merancang ketentuan Tuhan. Kita hanya perlu berdoa. Itu sahaja.

Kalaulah kita boleh menentukan takdir hidup, semua orang pastinya akan memilih untuk menjadi putera raja!

Bila kita bertekak dan berparang

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Umat Islam berpecah sepanjang zaman.

Selepas wafatnya Rasulullah, kita mula kembali seperti asal. Walaupun kita tahu bahawa hanya ada satu Tuhan untuk disembah, dan hanya satu agama untuk dianut, tetapi kemudiannya kita membahagikan diri kita sendiri kepada pelbagai puak.

Sebenarnya perbezaan pandangan itu bukanlah sesuatu yang salah. Tetapi perpecahan itulah yang perlu kita elakkan. Kita tidak menafikan perbezaan pandangan adalah sebahagian sifat manusia. Tetapi itu bukanlah bermakna kita patut memecah belahkan diri kita, yang sebenarnya dalam keadaan yang sangat lemah.

Lebih buruk - hal yang ditelingkahkan itu lebih kepada soal cabang. Kita bertekak dan berparang dengan berapa bilangan sebenar solat tarawih. Kita bertekak dan berparang sama ada Qunut itu bidaah atau tidak. Kita bertekak dan berparang sama ada doa kita untuk orang yang sudah mati sampai atau tidak. Kita bertekak dan berparang dengan hal yang boleh kita bincangkan dengan tenang.

Kita boleh bermusyawarah. Kita boleh bermuzakarah. Kita boleh berbincang-bincang sambil minum kopi sahaja.

Menjadi masalah - apabila semua orang anggap dirinya pandai. Mungkin pandai kerana ada PhD. Mungkin pandai kerana popular. Mungkin pandai kerana sudah belajar beratus-ratus kitab. Mungkin pandai - kerana kita anggap orang lain tidak pandai.

Malangnya - kita tidak pula bertekak dan berparang dengan Amerika ketika Iraq dan Afghanistan dibom. Kita tidak bertekak dan berparang dengan Israel yang menjadikan Palestin padang uji peluru. Kita tidak bertekak dan berparang melihat Bill Gates memonopoli sistem komputer. Kita tidak bertekak dan berparang melihat orang lain yang mengawal turun naik harga minyak yang dikeluarkan dari bumi Islam. Kita tidak bertekak dan berparang melihat teknologi dikuasai dunia Barat. Kita tidak betekak dan berparang untuk menghaspuskan kemiskinan umat Islam di serata dunia.

Menjadi masalah lain - orang awam terseret sama dalam mendebatkan hal-hal yang mereka kurang arif. Orang awam yang jahil pun tumpang semangkuk, seperti yang sudah dibincangkan Abang Ben. Orang awam pulau memulau. Bermasam muka. Semua ini merimaskan. Semua ini meresahkan.

Adalah lebih elok - kalau semua orang diwajibkan untuk belajar mendalam hal-hal agama. Hafal semua kitab kuning dan kitab Arab. Belajar kitab Sobian, Munyatul Musolli, Faridatul Faraid atau Minhajul Abidin. Boleh juga sesekali belajar Ihya Ulumuddin. Biar mereka arif dan bijak. Agar dengan kebijaksanaan itu, mereka akan lebih berlapang dada. Moga-moga, dengan kebijaksanaan itu mereka tahu bahawa dengan cara ini, mereka akan berdebat dengan cara yang waras.

Tidak-tidak pun, kalau tidak mahu jadi alim, jadi alim dalam ilmu dunia. Kita cipta kapalterbang, kita bangunkan teknologi, kita kuasai ekonomi dunia. Kita kuat dan gagah.

Jangan - tatkala kita sangat lemah, kita bertekak dan berparang lagi. Nanti orang lain akan tergelak girang.

Tuesday, 3 November 2009

Kaum tua vs. kaum muda

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sejak dua tiga hari ini, banyak berita dan maklumat baru muncul. Dalam suratkhabar, dalam blog dan dalam portal. Orang pun banyak borak-borak hal ini. Wahhabi, ahlul sunnah wal-jamaah, kaum tua, kaum muda, mazhab yang empat, ajaran sesat, bidaah, doa qunut, talkin di kubur, kenduri arwah dan macam-macam lagi.

Budak-budak sekolah tentu naik confius. Apa benda ni. Dulu tak pernah dengar pun. Ayah Pin tahulah. Yang buat Kerajaan Langit tu. Rasul Melayu pun baru terdengar hari itu. Itu pun sebab 'rasul'nya ditangkap dan masuk penjara. Ini apa pula ni? Tanya budak-budak.

Emak dan ayah di rumah tak pernah cakap pun hal ini. Yang emak selalu cakap, kena rajin sembahyang, kena rajin puasa. Kalau tidak masuk neraka. Yang ayah selalu cakap, nak sembahyang kena ambil wuduk. Kalau puasa tak boleh makan. Nanti tak boleh raya.

Eh, sekarang ini muncul perdebatan di antara Kaum Tua vs. Kaum Muda. Apa benda tu ayah? Kaum Tua itu sebab umur dia tua atau yang sakit tulang bawa tongkat tu. Atau orang yang dah pencen? Kaum Muda ini apa pula. Orang muda ka? Yang selalu bawa amoi dan rempit kat jalanraya tu?

Dulu masa sekolah, tak ada ustaz sebut pun. Ustaz cuma mengajar macam mana nak bayar zakat. Ajar baca hadis fasal menuntut ilmu atau pahala kalau tanaman dimakan binatang ja. Lepas itu, ada ajar sikit-sikit - fasal buat haji. Bayar dam. Apa yang boleh dan tak boleh.

Tak pernah dengar pun fasal apa yang sedang hangat sekarang. Apa ini mak? Apa ini ayah?

Maaf nak. Ayah hanya ingat nak hantar kau kat tuisyen ja. Mak hanya ingat agar kau dapat 19 A dalam pelajaran. Besar nanti jadi doktor. Jadi orang besar sojar.

Baru sekarang baru mak dan ayah teringat, kami terlupa nak hantar kau mengaji agama. Eh..sebenarnya ayah pun tak berapa retilah apa yang orang sedang bincangkan tu. Sebenarnya emak pun tak berapa pandailah bab-bab agama ni. Ah, biarkan dia oranglah. Biarlah hal tu untuk tok imam dan tok siak. Mereka tahulah. Itu kerja mereka.

Kau pergi siap, jom nak ke tuisyen pulak ni. Jangan dok tanya macam-macam. Jangan tanya apa itu kaum muda. Apa itu kaum tua. Yang mak tau, ayah kau tu dah tua, cuma perangai je macam orang muda.

Ambil beg tangan mak tu sekali. Nanti nak singgah kedai beli bawang!

Nota: pergilah mengaji untuk lebih reti.

Monday, 2 November 2009

Ada jin di Handorf?

8 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kalau Abang Ben berjalan ke Thorndon Park, aku, isteri dan anak juga berjalan-jalan luar sedikit dari bandar Adelaide. Cuaca sehari dua ini panas sedikit. Jadi, tengah hari semalam aku ke bandar Handorf. Bukan sekali, tetapi dua kali. Begitulah hebatnya bandar kecil itu.

Bandar Handorf merupakan peninggalan pendatang Jerman dahulu kala. Ia bandar yang cantik. Ada ladang, berbukit-bukit dan kebanyakan orang singgah di bandar itu ialah pelancong. Aku tidak tahulah sama ada pelancong dari Australia atau dari negara luar, sebab aku nampak kulit orang putih ini sama sahaja. Banyak juga motel di situ. Jadi memang lokasi sesuai untuk bercuti.

Jaraknya kira-kira 27 kilometer dari rumah aku. Melewati lebuhraya yang berbukit, seperti lebuhraya sekitar Changkat Jering- Kuala Kangsar. Aku rasa, suasana jalannya memang sama, dan ada juga terowong di situ. Cuma tidak ada tol.

Ada beberapa sebab aku ke situ. Pertamanya kerana aku tidak pernah merasa pengalaman memetik buah strawberry di sini. Kalau di Malaysia, aku pernah merasa pengalaman itu di Cameron Highland. Buah strawberry di sini memang besar. Manis pula tu. Tak sama langsung dengan di Cameron Highland. Banyak gambar aku ambil. Tapi aku tak boleh upload. Nanti aku story.

Keduanya itulah kali pertama aku ke Handorf. Orang selalu bercakap mengenai tempat itu. Tetapi aku tak pernah sampai pun.

Ketiganya - aku ingin pandu uji kereta Barina buruk aku yang dah reput tu. Semenjak aku beli kereta ini 2 tahun lalu, yang harganya cuma AUD 200, kereta itu memang tidak pernah rosak. Jadi, aku ingin lihat kemampuannya mendaki jalan berbukit. Memang sah. Kereta buruk tahun 1989 itu memang bagus. Ia boleh sampai ke sana tanpa ragu-ragu. Boleh lagi mencecah 100km/jam.

Sampai ke Handorf, terus singgah ladang strawberry. Bayar wang, masuk ke dalam ladang. Ambil gambar sana sini. Petik buah. Makan-makan. Dalam setengah jam, aku pun keluar. Sempat ambil gambar depan pejabat ladang itu. Ada juga taman bunga ros. Siap semua, masuk kereta. Start enjin.

Kamera yang tersangkut dengan talipinggang keledar buat aku rimas. Ambil kamera, letak sebelah. Sampai di bandar, ada garage sale pula. Berhenti. Aku tunggu dalam kereta, isteri aku singgah. Bila dia dah siap beli barang, aku keluar buka bonet belakang. Masuk kereta, terus balik.

Bila sampai Adelaide, baru aku tahu kamera aku hilang. Aku cari merata-rata tempat dalam kereta. Tak juga jumpa. Kalau jatuh, mustahil sebab dalam kereta. Kalau jatuh waktu aku buka bonet juga mustahil, sebab kamera tu siap dengan tali dan beg. Tentu aku perasan. Lagi pula, aku sudah buka kamera tadi sewaktu tersangkut dengan talipinggang kaledar. Sungguh ajaib.

Aku start enjin, sekali lagi ke bandar Handorf. Jaraknya 27 kilometer lagi. Pergi ke ladang. Tanya orang di kaunter. Pergi ke rumah garage sale. Tidak ada juga.

Sekarang baru aku tahu - bandar Handorf ada banyak jin! Sebab itu jugalah aku tak dapat upload gambar.

Sunday, 1 November 2009

Warna kulit apa lagi II

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Aku bukan ahli politik. Aku tidak ada cita-cita dalam politik. Tetapi, aku ada banyak kawan-kawan dalam politik. Banyak dari mereka yang ada jawatan dalam politik. Baik orang UMNO, baik orang PAS. Tetapi, aku melihat situasi politik orang Melayu pasca pilihanraya 2008 agak kucar kacir.

Dalam Pakatan Rakyat, seolah-olah ada usaha untuk melahirkan satu masyarakat yang sama rata. Tiada lagi hal ketuanan bangsa Melayu. Semua orang sama sahaja. Sekali pandang, ia bagus. Ia mungkin meleburkan isu rasuah, kronisme dan monopoli.

Dalam Barisan Nasional - setiap hari ada desakan untuk melihat semula persoalan ketuanan bangsa Melayu. Ada yang cakap secara terbuka, ada yang cakap secara bisik-bisik. Bergantung kepada siapa yang bercakap, dan dengan khalayak mana mereka mengucap. Rasional hal ini mudah. Semua ini bagi membolehkan mereka menyaingi Pakatan Rakyat yang sedang sibuk dengan isu ketuanan rakyat.

Aku lihat ini masalah besar. Sebab aku orang Melayu yang susah. Sebab aku anak kampung.

Kita diminta untuk memberikan tumpuan berdasarkan prestasi. PRESTASI. Ingat ayat ini.

Cuma aku selalu membayangkan begini. Anda sedang menaiki kereta Ferrari. Aku pula sedang menaiki kereta Kancil. Itu pun kereta yang dipinjam. Kemudian, tiba-tiba orang meminta agar penilaian kejayaan perlumbaan 100 kilometer hendaklah dilakukan dengan melihat siapa yang sampai dahulu. Ini mustahil. Sampai kiamat pun aku kalah. Aku cuma memandu kereta Kancil.

Aku setuju dengan persoalan ketuanan rakyat atau persamaan hak. Semua orang diberikan peluang sama rata. Tidak ada yang tertindas. Tidak ada yang menindas. Tiada yang kecil, tiada yang besar.

Tetapi, kalau begitu aku minta kita berpatah balik dari mula. Dari kosong. Semua kekayaan dibahagi sama rata. Semua orang ada kuasa beli yang sama rata. Populasi masyarakat yang hidup di bandar dan desa sama banyak bagi setiap bangsa. Pemilikan ekuiti perniagaan dan ekonomi juga sama banyak. Semua orang diminta memasuki satu sistem pendidikan yang sama. Jadi, setiap orang ada keupayaan, kekayaan dan kemahiran yang sama. Semua orang bertanding di padang yang sama rata.

Dalam kata lain, kalau kita ingin menilai perlumbaan, semua orang diberi kereta sama jenis, sama kuasa kudanya, petrol jenis yang sama dan bertarung di litar yang sama. Jadi, dengan cara ini mudah untuk kita lihat siapa yang berprestasi atau tidak. Jadi, tidak ada lagi perlumbaan di antara kereta Kancil dengan Ferrari. Sekarang ini, yang berlaku mungkin teruk lagi. Mungkin antara pejalan kaki dengan pesawat Concorde.

Untuk melaksanakan ini, semua orang sanggup berkorban. Yang kaya sanggup memulangkan hartanya kepada negara untuk diagih-agihkan agar semua orang menikmati taraf hidup yang sama. Untuk melaksanakan ini, setiap orang perlu sanggup merasakan penderitaan yang dihadapi oleh orang lain.

Setuju?

Tentu tidak. Ia mustahil. Kalau begitu jangan hanya bercakap isu sama rata, kalau kita juga tidak sanggup untuk menjadi sama rata. Kalau begitu, apa salahnya kita memberikan sedikit keistimewaan untuk bangsa yang bersawo matang itu yang sebenarnya telah berkorban lebih awal lagi - sejak sebelum merdeka lagi.

Warna kulit apa lagi?

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ketua Wanita Gerakan dipetik menyarankan agar gagasan 1Malaysia adalah berdasarkan kelayakan, dan bukan warna kulit. Ini boleh dibaca di Malaysiakini. Jika tidak, besar kemungkinan Barisan Nasional akan kalah lagi pilihanraya akan datang.

Kalau orang tanya aku, aku tidak pernah akan setuju dengan pandangan ini. Aku bias bangsa. Aku tidak pernah akan setuju dengan pandangan mengaitkan meritokrasi. Aku tidak kisah kalau kalah pilihanraya, tetapi bangsa Melayu tetap mempunyai keistimewaan di buminya sendiri. Aku tidak kisah dengan pilihanraya, kerana aku yang penting ialah perjuangan untuk bangsa dan agama, bukan untuk pilihanraya. Itulah asas pandangan aku yang selalu bias, rasis dan anti klimaks.

Tidak guna menang besar dalam pilihanraya, kalau kita hilang semuanya. Biar kalah pilihanraya, tetapi kita menang semuanya.

Gerakan sendiri sebenarnya tidak layak untuk memberikan pandangannya dalam hal ini. Ia kalah besar dalam pilihanraya lalu. Tidak perlulah ingin menjadi juara dalam keadaan ia sendiri gagal untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Aku lihat inilah masalah besar di negara kita. Orang Melayu yang sering diminta berkorban itu dan ini. Orang Melayu diminta beri itu dan ini, sebagai kononnya itulah landasan sebenar kemakmuran Malaysia.

Kalau begitu, anda di pihak lain juga mesti sanggup berkorban. Jangan mengawal ekuiti negara. Jangan kawal industri simen dan besi. Jangan kawal industri beras. Jangan kawal industri percetakan. Jangan kawal industri pembekalan. Jangan kawal industri peruncitan. Jangan kawal semua. Berkorbanlah sedikit. Jangan kawal Fakulti Perubatan.

Tidak ada pula suara begitu. Asyik-asyik orang Melayu diminta berkorban.

Sebenarnya orang Melayu tidak ada apa pun yang dikawalnya. Yang dapat projek pun, hanya atas kertas sahaja. Semua barang beli dari orang lain. Kuli tukang bancuh simen dan ikat besi sahaja orang Melayu.

Dalam pentadbiran awam pun, memang sepertinya banyak orang Melayu. Tetapi segala jenis pembekal bukan orang Melayu pun.

Jadi - apa lagi hendak dikorbankan. Warna kulit siapa yang harus kita minta samakan?

Kawan-kawan aku yang jadi exco dalam UMNO dan juga PAS, harap berhati-hati dalam isu ini. Jangan dalam Barisan Nasional kerana 1Malaysia, kita nak kesamarataan hak, dalam Pakatan - kita nak kesamarataan bangsa - maka orang Melayu ada apa lagi?

Saturday, 31 October 2009

Rumah belakang perdu pisang

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Teja menulis sesuatu di laman blognya. Tentulah itu bukan terakhir oleh beliau, kerana beliau akan menyambung lagi tulisannya itu dalam memperkatakan Melayu dan Islam, khususnya dalam hal berkaitan dengan proses menimba ilmu agama.

Sebenarnya aku pun tidak mempunyai autoriti bagi mengulas hal-hal keagamaan. Kerana aku tidak terdidik dalam bidang itu. Jadi aku hanya sekadar berkongsi pengalaman sahaja. Selepas tamat darjah 6, aku ditawarkan ke Sekolah Menengah Allawiyah, di Kangar. Sekolah agama. Pada masa yang sama, aku juga ditawarkan ke Sekolah Menengah Jitra. Kedua-duanya sekolah yang baik, dan kedua-duanya perlu tinggal di asrama.

Kerana pada waktu itu bapa aku sudah tiada, jadi abang aku memberi peluang membuat keputusan sendiri. Tahun 1985 itu - pengaruh rock kapak sudah mula berkembang. Walaupun masih budak lagi, tetapi aku sudah terpengaruh. Aku jangkakan, kalau aku ke sekolah agama, maka tidak ada harapanlah aku tersongsang dengan budaya rock kapak itu. Jadi, aku pilih Sekolah Menengah Jitra. Aku tidak tahu itu keputusan yang betul atau salah.

Tetapi aku bernasib baik. Sekitar Changlun waktu itu masih ada beberapa orang guru agama besar. Mereka mungkin tidak dikenali kerana jarang masuk TV dan tidak ada gelar PhD. Mereka pula cuma kerja menoreh atau menanam padi. Jadi, tidak popular seperti banyak ulama moden. Hidup mereka pula simple sahaja.

Jadi - aku berkesempatan sekali sekala singgah untuk belajar dengan mereka kerana abang aku aktif dalam hal itu, khususnya ketika cuti hujung minggu atau cuti sekolah. Antara yang terkenal ialah Lebai Pa dan Tok Haji Hassan (yang kemudiannya menjadi bapa mertua abang aku). Waktu itu masih budak-budak lagi aku kalau dibandingkan dengan kawan abangku yang lain.

Walaupun ilmu nahu mereka ini tinggi dan keupayaan bahasa Arab yang mengagumkan, mereka ini biasa sahaja rentaknya. Tidaklah mereka ini mempunyai pengikut atau sebagainya. Yang ada hanya orang yang datang belajar, dan kemudiannya pulang. Kalau rajin, besok sambung belajar lagi. Begitulah.

Di kalangan yang mengajar ini, yang paling tersohor dan dihormati di kalangan kebanyakan orang berguru aliran pondok dan 'kitab tadah' ini ialah Tuan Guru Haji Chik. Beliau ialah anak murid Tok Kenali di Kelantan. Beliau juga menulis kita fekahnya sendiri, selain mengajar beberapa kitab yang lain. Pernah berguru dan mengajar di Mekah. Ulama fekah di Mekah pada masa lalu kenal dan tahu akan ilmu Tuan Guru Haji Chik. Pada masa sekarang pun, kebanyakan pelajar aliran pondok sepatutnya tahu akan beliau. Beliau telah pulang ke Rahmatullah sekitar tahun 2002 atau 2003 lalu ketika di umur 103 tahun (kalau tidak silap).

Tetapi hidup mereka ini biasa-biasa sahaja. Cuma dalam hidup dalam beragama mereka luarbiasa. Mereka tegas dalam memperkatakan sesuatu.

Selain, Tuan Guru Haji Chik - ialah Haji Umar. Beliau beberapa tahun lalu pulang ke Rahmatullah sekitar umur 70-an. Walaupun beliau juga alim, tetapi beliau tidak mengajar. Beliau juga masih terus berulang alik ke rumah Haji Chik untuk belajar. Beliau juga belajar dan mendengar bacaan kitab di rumah teman-teman sebayanya yang lain. Cuma setelah hampir kesemua orang alim meninggal dunia, barulah dia membuka kitabnya dan menyambung tradisi mengajar.

Kita mungkin sering menganggap orang alim ini tidak tahu teknologi IT atau tidak belajar di universiti, maka mereka mungkin tidak setanding dengan graduan universiti. Realitinya tidak. Mereka tahu semuanya. Mereka boleh bersyarah hal Jamaluddin Al-Afghan, boleh memberitahu kita siapa Ibn Khaldun. Apatah lagi untuk berbahas tentang siapa Ibn Timmiyah atau Muhammad bin Abdul Wahab. Bahkan, apabila sampai kepada topik berkaitan muamalat misalnya, mereka boleh bersyarah sejarah penubuhan bank di Malaysia.

Beza aliran pengajian ini dengan pendidikan moden sangatlah banyak. Salah satunya ialah menceritakan salasilah guru. Itulah yang akan dimulai bagi setiap pengajian kitab apa pun. Aku belajar dari guru ini, dan guru ini belajar dari guru ini, dan guru ini pula belajar dari guru ini. Apa perlunya semua ini?

Inilah yang bakal mengelakkan manusia dari kesesatan. Tanpa sanad guru, kita tidak tahu dari mana sumber ilmu itu diambil. Tanpa sanad guru, kita tidak tahu apa aliran yang kita pegang dalam membahaskan fatwa agama. Maka kerana itu, janganlah hairan kalau sekarang ini kita dengar macam-macam. Kita tidak tahu sama ada ia disebabkan pekongsian maklumat, atau ketidaktahuan asas aliran yang mereka pegang.

Dalam hal yang lain - guru-guru ini tidak akan menjawab kalau mereka tidak tahu. Mereka akan berkata, tangguh dulu. Maksudnya, mereka akan cuba bertanya dengan tokoh lain yang tahu, atau merujuk kepada sumber dalam kitab yang muktabar.

Mereka mungkin tidak ada Ijazah dari Al-Azhar. Tetapi mereka belajar lebih dalam. Setiap kali membuka kitab, yang dimulai dengan Bismillah - mereka mungkin mengambil masa 2 jam untuk bersyarah akan ayat itu sahaja.

Sebenarnya itulah bezanya di antara maklumat dan ilmu. Maklumat kita boleh cetak dari internet, dan kemudiannya sebarkan. Tetapi keupayaan menafsir itu memerlukan ilmu. Keupayaan memperkatakan sesuatu perlu bersandarkan sesuatu. Misalnya, dikatakan orang yang membunuh diri akan jadi kafir. Itu maklumat yang kita perolehi. Tanpa ilmu, kita menghukum begitu. Dengan ada ilmu kita mungkin akan memberikan pertimbangan kepada faktor lain juga. Biasanya tidak semua orang mudah membunuh diri jika tidak hilang akal. Orang yang hilang akal tidak tertakluk hukum ke atasnya. Itulah yang membezakan di antara pentafsiran berdasarkan maklumat dan penafsiran berdasarkan ilmu.

Walaupun mereka ini mengajar dan juga belajar, tetapi mereka ini ikhlas dalam hal pengajaran mereka. Ini hal yang bagus. Pernah satu pelajar cuba memberikan wang selesai sahaja majlis pengajian. Maka salah seorang guru yang aku nyatakan di atas berkata - jangan buat begitu lagi. Ambil balik wang ini. Jangan kerana wang ini yang mengajar tidak mendapat pahala, yang diajar juga tidak mendapat apa-apa.

Sayangnya, mereka ini tidak ada lagi. Sekarang ini aliran pengajian ini masih diteruskan. Ia diteruskan oleh anak-anak murid mereka yang lain. Tentunya usia mereka tidaklah terlalu tua seperti mereka. Tetapi mereka tetap tegas dalam memperkatakan sesuatu. Sumber mereka juga sama. Mereka juga akan menceritakan sanad guru mereka setiap kali memulakan satu-satu kitab.

Kalau satu hari nanti anda mempunyai peluang, mungkin boleh mendalami sesuatu. Aku tahu, seperti aku juga - kita kini semuanya sibuk. Walaupun kita tahu hidup kita tidak lama, dan jahil dalam banyak perkara. Moga-moga kita diberikan pertolongan Allah bagi memudahkan kita terus menimba ilmu.

Kita mungkin sedang berada di menara gading atau ada lulusan besar. Ingat, universiti bukan segala-galanya. Universiti mungkin tidak menjawab semuanya. Mungkin jawapannya ada di rumah di belakang perdu pisang di kampung kita. Waktu itu, terasa sangat kerdilnya diri kita.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails