Yang Ikut

Showing posts with label fakirfikir. Show all posts
Showing posts with label fakirfikir. Show all posts

Tuesday, 14 August 2012

Aku Bantah 114A

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Ini bukan hal politik. Ini kes suka makan, tetapi tidak pandai masak.

Ini hal berkaitan undang-undang.

Sebagai penulis blog, aku juga perlu bersama-sama komuniti Internet lain membantah undang-undang ini.

Bayangkan, sekarang ini pun ada beberapa individu yang menggunakan nama FakirFikir. Kebanyakannya muncul selepas aku menggunakan nama ini. Begitu juga dengan nama username anda. Ini dunia demokrasi. Sesiapa sahaja boleh menggunakan sebarang username yang sesuai untuk mereka.

Bagaimana kalau mereka melakukan sesuatu di luar batas undang-undang, dan anda perlu membuktikan bahawa itu bukan diri anda?

Anda mungkin ada sedikit peluang kalau anda bijak IT dengan membuktikannya dengan menggunakan IP Address dan sebagainya. Bagaimana pun, banyak dari pengguna Internet ialah manusia jahil yang tidak tahu apa-apa. Yang mereka tahu hanyalah menaip semata-mata.

Dunia ini yang penuh dengan manusia jahat, peluang anda dianiaya juga tinggi sekiranya anda aktif dalam dunia siber, tetapi tidak tahu apa-apa mengenai pengetahuan IT.

Kebanyakan blogger kecil dan pengguna Facebook biasanya dalam kategori ini. Ibaratnya, suka makan tetapi tidak tahu masak.

Sebab itu, sebagai penulis blog kecil, yang tidak tahu apa-apa, aku merasa menjadi hak sebagai warganegara untuk aku membantah undang-undang ini. Beban terletak di bahu pesalah biasanya dalam kes-kes jenayah besar, seperti pengedaran dadah.

Undang-undang dadah mungkin bersifat fizikal, tetapi dalam dunia siber, bayangkan kalau anda dimanipulasi?

Bayangkan, dokumen Rumah Putih pun boleh dibocorkan, apatah pula manusia kecil seperti anda?

Pihak berwajib perlu meneliti semula akta ini.

Kita tidak boleh berkata, jangan ditakutkan kalau anda tidak bersalah.

Hakikatnya, adalah lebih baik membina akta yang saksama untuk semua manusia. Beban pembuktian harus diletakkan pada pihak pendakwa, dan bukannya pihak yang didakwa.

Sunday, 20 February 2011

Bila blogger mula menggoncang dunia

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Blogger mungkin manusia biasa, tetapi sejak akhir-akhir ini para blogger sudah menjadi manusia yang ditakuti. Tulisan mereka boleh menggoncang dunia. Apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir - adalah hasil dari tulisan bermacam bentuk para manusia bernama blogger.

Kini, tulisan para blogger itu juga sedang menggoncang banyak dunia Arab yang lain. Protes masyarakat terhadap politikus dan kepimpinan, sedang merebak di Bahrain, Yamen, Iran dan Libya. Tidaklah diketahui sama ada negara itu sebenarnya sedang dalam kekalutan ekonomi dan politik, atau ia hanya dicetuskan oleh idealisme para blogger yang ingin mencari sebuah kehidupan yang sempurna.

Suara blogger adalah suara anak muda. Ia menakutkan. Ia membimbangkan.

Seperti apa yang sedang dihadapi seorang anak gadis, Tal al-Mallohi, 19 tahun dari Syria. Beliau seorang blogger remaja yang banyak menulis mengenai keadilan sosial, khususnya perjuangan untuk warga Palestin. Pada penghujung tahun 2009, beliau tiba-tiba hilang. Tidak ada sesiapa yang tahu, termasuk ahli keluarganya ke mana dia menghilang atau dibawa pergi.

Setelah angin revolusi mula merebak di dunia Arab, akhirnya dunia mula tahu bahawa beliau telah ditahan oleh pihak berkuasa Syria kerana dikatakan menjadi pengintip kepada CIA. Beritanya kini mula dilaporkan di banyak akhbar dan internet. Berita penangkapannya itu hanya diketahui sejak beberapa bulan terakhir ini.

Bagaimana pun, banyak pihak meragui dakwaan gadis semuda itu menjadi agen CIA. Mungkinkah gadis itu mampu mendapatkan maklumat sulit kerajaan lalu diserahkan kepada Amerika. Kalau benar gadis muda itu menyampaikan maklumat sulit, apakah pula maklumat itu. Gadis itu juga tidak terlibat dengan mana-mana fraksi politik. Itulah yang menjadi persoalan misteri mengapa beliau ditangkap.

Yang hanya diketahui, apa yang pernah dilakukan gadis itu ialah mengucapkan tahniah kepada Barrack Obama melalui website Rumah Putih. Blognya juga hanya banyak berkisar mengenai puisi dan Palestin.

Tetapi - kerana tangan blogger sentiasa mampu menggoncang dunia, pihak yang bimbang perlu melakukan sesuatu. Mangsanya boleh jadi sesiapa sahaja, termasuk gadis berusia 19 tahun.

Thursday, 27 January 2011

Jangan lesenkan blog saya!

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ketika saya menulis blog ini tahun 2008 dulu, saya tidak tahu pun yang akan ada orang membacanya. Tidaklah pula saya mengharapkan orang membacanya juga.

Tetapi, kini sudah tahun 2011. Sudah 3 tahun saya menulis di blog ini - tanpa sekatan, dan tanpa tapisan. Saya sendiri yang menapisnya, saya sendiri jugalah yang menentukan apa yang harus saya tulis.

Tengahari tadi, ada seorang wartawan media tempatan mengirimkan email kepada saya untuk menemuduga saya berkaitan beberapa simptom psikologi yang berlaku di Malaysia terakhir kini. Beliau menemui blog saya apabila mencari sesuatu yang sedang hangat diperkatakan orang di Malaysia sekarang ini. Saya menjawabnya - berdasarkan apa yang saya tahu, dan apa yang saya fahami. Ia hanya pandangan saya, dari perspektif bidang saya.

Sebenarnya, dari blog saya juga telah 'bertemu' dengan banyak orang. Semuanya saya tidak kenal, dan tidak pernah juga saya bertemu mereka secara fizikal. Ada yang mengirimkan emel bertanya hal statistik, ada pula yang bertanya hal menulis jurnal. Ada yang bertanya bagaimana menulis kertas kerja. Juga ada yang memintakan saya menulis hal psikologi tertentu. Kebanyakan mereka ini ialah pelajar universiti.

Harapan saya, walaupun selalu terbengkalai - ialah mahu menulis banyak hal psikologi yang memberikan manfaat kepada manusia. Sama ada orang memilih membacanya, atau tidak itu bukan hal saya. Saya bukan penyanyi yang mesti ada pembeli album untuk meneruskan survival saya. Saya menulis apa yang perlu bagi pandangan saya.

Boleh sahaja saya menulis banyak simptom atau perbincangan psikologi. Tetapi, ia tidaklah pula semudah yang dijangka. Bagi hal tertentu, saya perlu membuka semula buku, atau melakukan kajian ilmiah dari kajian terbaru, agar apa yang saya tulis tidak menyesatkan pembaca dengan hal yang tidak betul. Memang, saya ada merancang untuk menulis kuliah asas psikologi. Tetapi, sejak lebih dari sebulan ini, saya tidak ke universiti. Saya banyak di rumah. Saya tidak dapat membelek beberapa buku teks bagi memastikan apa yang saya tulis tidak tersasar. Banyak buku yang ada di rumah saya sudah dimasukkan ke dalam kotak - ia akan dihantar balik ke Malaysia.

Hampir 20 tahun dulu, ketika saya di tahun pertama universiti, belum ada internet waktu itu. Kami perlu mencari buku atau jurnal yang ditempatkan di rak universiti. Itu pun, adakalanya kita tidak akan menemuinya kerana ia tidak diletakkan di rak yang betul. Biasanya dilakukan oleh pelajar bagi mengelakkan orang lain mengambilnya, khususnya bagi buku penting yang menjadi rujukan kuliah.

Sekarang ini, orang tidak lagi belajar dari perpustakaan. Internet menjadi sumber baru. Buku tidak lagi dibaca, tetapi orang memilih membakarnya. Orang yang rajin ke perpustakaan, mungkin bukan lagi kerana ingin mencari buku. Ia menjadi tempat yang baik untuk 'berdating'. Semakin perpustakaan sunyi, semakin baik lagi.

Sejak beberapa hari ini, ada terdapat kebisingan bahawa akan diperkenalkan undang-undang baru bagi menyekat aktiviti manusia melalui online. Tidaklah tahu ia benar atau tidak.

Saya harap ia tidak benar. Saya harap ia tidak berlaku.

Satu hari nanti, jangan-jangan untuk berbual pun semuanya akan dilesenkan.

Wednesday, 18 November 2009

Sekadar cerita biasa

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ini adalah entri aku yang ke-290. Sejak aku mula menulis di blog ini, aku tidak tahu siapa yang telah membacanya. Asalnya aku hanya sekadar suka-suka menulis bagi mengemaskini kehidupan aku di Adelaide - dengan harapan saudara mara dan kawan-kawan lama aku membacanya. Tetapi aku pasti - mereka semua tidak ada masa untuk membacanya. Juga tidak semua kawan-kawan aku yang tahu hal-hal berkaitan internet.

Aku kadang-kadang cuba menulis hal separa-akademik, kadang-kadang isu yang mungkin tidak ada maknanya. Akhirnya, aku berfikir lebih baik aku menulis hal-hal yang bermanfaat sedikit, untuk berkongsi pengetahuan dengan orang lain. Aku sebenarnya bukanlah orang pandai, bukan juga ahli akademik sebenarnya. Aku seperti orang kebanyakan yang lain juga. Cuma takdir Tuhan menyebabkan aku terlantar di sini - mengunyah kehidupan bersama para ahli akademik lain.

Dulu - ketika menunggu keputusan SRP, aku kerja menebas kebun Felda tidak jauh dari kampung aku. Ketika menunggu keputusan SPM, aku kerja di ladang tembakau di Bukit Kayu Hitam. Aku juga pernah kerja kontrak ketika menunggu keputusan STPM, dan kemudiannya kerja menanam rumput di UUM sebelum kemudiannya aku kerja kilang di Selayang Baru. Sepanjang cuti panjang semester universiti, aku banyak berkerja sebagai pembancuh simen. Pernah di Melaka, pernah juga di tempat lain. Dulu-dulu aku masih kuat untuk mengangkat sekampit simen. Kerja sebagai pembancuh teh telah aku ceritakan sebelum ini.

Habis universiti aku kerja swasta.

Jadi - aku sebenarnya bukanlah orang yang bersifat akademik. Cuma takdir aku baik sedikit dari kebanyakan orang lain. Itulah pekerjaan Tuhan. Di sekolah dulu pun, aku tidak ingat cikgu yang mengajar mengharapkan aku masuk universiti. Keputusan di universiti pun bukanlah baik sangat, baik sedikit dari kebanyakan orang lain. Itu sahaja. Tidak pernah pun aku mendapat Anugerah Dekan atau apa-apa sijil kebanggaan lain. Persatuan pun aku tak masuk. Aku juga tidak pernah mengundi di kampus. Jadi, aku bukan kategori manusia belia sangat.

Cuma ada hal-hal yang aku rasa aku bagus. Aku boleh mengingat dan menghafal. Dalam hal-hal psikologi, aku boleh tahu siapa yang menulis sesuatu perkara. Jadi, aku boleh terus membuka buku kalau timbul satu-satu isu. Itu kelebihan yang Tuhan beri.

Bila aku buat tinjauan siapa yang membaca blog ini, dan apa yang mereka harapkan aku tulis, tujuan aku sebenarnya ingin menulis sesuatu yang sesuai dengan khalayak pembaca. 57% pembaca blog ini ialah pelajar universiti, dan 83% mengharapkan aku menulis apa sahaja seperti sekarang.

Tentu juga ada pembaca lain. Mereka mungkin merupakan pembaca Krenmaut atau SwingingBowl yang kontroversi itu. Dari blog ini juga, aku berjumpa dengan teman-teman baru yang aku tak kenal pun mereka. Mereka juga tentunya tidak kenal aku pun. Seperti Zarzh, Ziarah76, CucuHipnie dan beberapa lagi.

Aku harap akan dapat terus menulis dan menyumbangkan sesuatu.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails