Yang Ikut

Thursday, 19 November 2009

Bahayanya ilmu

Reactions: 
Ilmu memang merupakan sesuatu yang diperlukan. Dengan ilmu, ia dapat membezakan di antara yang baik dengan yang buruk. Ilmu juga mampu meningkatkan darjat manusia.

Tetapi ilmu juga adakalanya membahayakan. Ia membahayakan apabila disalahguna. Orang menciptakan senjata memusnah kehidupan manusia. Orang memanipulasi sitem untuk keuntungan sendiri.

Tetapi ada satu hal lagi - yang menjadikan ilmu lebih merosakkan. Ini terjadi dalam hal ilmu itu menjadikan manusia itu terlupa asal usulnya, menjadi riak dan bongkak. Adakalanya ia juga menjadikan manusia syirik dengan Tuhannya.

Pernah aku mendengar cerita ini. Tetapi aku terlupa keterangannya. Harap ada orang lain yang tahu cerita ini dapat membantu. Cerita akan hal orang alim yang didatangi syaitan dalam bentuk warna warni yang mempesonakan. Begitu indah. Syaitan itu berkata, "Akulah Tuhanmu". Orang alim yang bijak itu tahu bahawa Tuhan tidak menyerupai sesuatu. Dia lalu menjawab: "Tidak, engkau adalah syaitan. Tuhan tidak menyerupai sesuatu'. Syaitan juga bijak. Lantas dia mencuba lagi agar dapat menyesatkan orang alim tadi: "Ilmumu telah menyelamatkanmu". Tetapi orang alim itu tahu bahawa itu juga bentuk godaan. Lalu dia menjawab: "Tidak, yang menyelamatkan aku ialah Rahmat Tuhan". Terselamatlah orang alim tadi dari menjadi syirik dengan ilmunya dan godaan syaitan.

Dalam dunia kini, banyak sangat orang yang mendakwa mereka bijaksana. Semakin tinggi belajarnya, semakin besarlah bangganya. Orang yang ada ijazah sarjana muda, akan berkira-kira mereka akan lebih pandai dari orang yang tidak masuk universiti. Orang yang ada PhD lagilah besar egonya. Mereka menyangka mereka tahu segala dan pakar serba serbi. Menjadikan orang lain dipandang rendah dan kecil sahaja.

Menjadi lebih bahaya kalau kepakaran itu dalam hal agama. Ketinggian ilmu agama sewajarnya menjadikan seseorang itu semakin rendah diri dan dekat dengan Tuhan. Tetapi apabila berlaku sebaliknya, ilmu yang dikuasai itu tidak memberikan manfaat lagi. Membandingkan ketinggian ilmu kita yang belajar di universiti dengan guru-guru agama silam yang mungkin hanya belajar di atas rumah tidak akan menjadikan kita lebih pandai. Kita mungkin tahu, tetapi bukan tahu semua.

Orang yang belajar PhD juga hanya tahu batas ilmunya sahaja. Itu pun sedikit sangat. Ilmu ibarat air laut, yang kita tahu mungkin tak sampai setitik embun pun.

Jadi - berhati-hatilah dengan ilmu. Jangan biarkan ilmu menjadikan kita manusia yang lupa akar diri dan hilang pedoman. Mendapat gelar daripada bentuk apa pun dalam pengajian moden kini, hanyalah sekadar untuk membezakan kita dengan mereka yang tidak. Tetapi bukanlah bermakna kita akan lebih pandai dan tahu berbanding orang lain.

3 comments:

ziarah76 said...

ilmu mmg boleh merosakkan manusia jika tidak dipandu dgn hidayah daripada Allah

Abang Ben said...

Ilmu sekarang diniagakan. Semua nak mengaku berilmu sebab duit masuk woooo...!!!

FakirFikir said...

Ziarah76 & Ben - betul tu. Nak dapat ilmu, kena bayar. Dah dapat ilmu, ada hutang tak berbayar. Mau tak guna ilmu untuk buat duit. Itu belum termasuk cara dapat ilmu pakai duit tak betul lagi, bayar interest, yang mengajar pula - curi tulang - sebab tu ramai ilmuwan yang terhasil kini dah semacam halimunan.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails