Yang Ikut

Sunday, 22 November 2009

Cerita aku - part V

Reactions: 
Sambungan Part IV

Tamat kerja aku di Indonesia, aku balik ke ibu pejabat di Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur, aku merasa pekerjaan yang ada tidak lagi mencabar. Tidak ada lagi tugas-tugas baru yang boleh menguji minda.

Puas juga aku cuba memotivasi diri agar terus bersemangat. Jadi, mereka mencipta kerja baru untuk aku. Merangka kerja dalam bidang latihan pekerja. Tetapi, memandangkan aku pun tidak lagi bersemangat kerja - dan aku sudah bekerja sejak tahun 1998 lagi, jadi bulan Februari 2005 - aku buat keputusan berhenti kerja. Habis cerita.

Beberapa hari kemudian - aku kerja di tempat lain. Pejabatnya tidak sampai 500 meter dari tempat lama aku. Selepas 2 minggu, aku dipindahkan ke Indonesia. Di Cijantung, Jakarta Timur. Kawasan yang agak luar sedikit dari kesibukan kota. Tetapi, di Indonesia - setiap tempat sama sahaja. Ramai manusia.

Kerja aku ialah menjaga kepentingan perniagaan tauke besar aku di Kuala Lumpur. Cuma kali ini aku banyak berurusan dengan beberapa orang partner dari Indonesia - hampir kesemuanya ialah bekas jeneral tentera. Pejabat aku juga tidak jauh dari kem tentera pasukan elit - Kopassus atau Komando Pasukan Khusus.

Tetapi kali ini aku cuma berseorangan. Isteri aku tidak lagi bersama. Walaupun gaji yang ditawarkan sekali ganda dari gaji lama aku, tetapi 6 bulan kemudiannya aku berhenti kerja. Aku tidak sanggup dan tergamak untuk terus berurusan dengan cara pentadbiran Kuala Lumpur - yang begitu susah untuk memasukkan wang dari Malaysia kepada rakan kongsinya di Indonesia bagi tujuan operasi perniagaan. Aku tidak tahu bagaimana lagi bermain dengan taktik 'buy the time' dengan orang-orang besar di Indonesia itu.

Sebenarnya - bukan salah Kuala Lumpur juga. Sebenarnya, aku pun ragu-ragu juga untuk melabur di Indonesia. Banyak hal yang perlu kita fikirkan. Ia bukan wang seratus dua ratus ringgit. Jadi - aku berikan banyak alasan. Alasan pendaftaran syarikat, akaun bank dan sebagainya bagi membeli masa sepanjang perundingan itu. Tetapi - tentu tidak lama aku boleh berbuat begitu. Cijantung bukan Changlun. Ia tempat orang. Kalau apa-apa terjadi kepada aku, siapa yang akan membantu?

Akhirnya aku berhenti kerja notis 24 jam. Habis cerita.

**************************************************************

Selepas berhenti - aku berkerja dalam bidang pengiklanan dan latihan dengan seorang kawan lama. Dia baru balik dari UK waktu itu. Dia juga adalah bekas bos lama aku - orang yang pertama menemuduga aku kerja pada tahun 1998. Waktu itu syarikat belum ada lagi. Orang pun belum ada.

Selepas melakukan pendaftaran syarikat, membuka akaun dan sebagainya - syarikat mula beroperasi. Ada beberapa proposal perniagaan yang kami lakukan. Projek pertama kami ialah membuat beberapa kit marketing untuk sebuah agensi. Sebab kerja yang perlu dibuat agak banyak - jadi aku ajak Din Rawang join aku. Dalam syarikat baru ini hanya ada 5 orang sahaja.

Jadi kerja kami banyak bergerak ke sana sini menawarkan apa yang boleh kami buat. Ada juga beberapa VVIP yang aku jumpa waktu itu. Ada juga beberapa projek kecil yang masuk. Sekadar cukup membayar gaji dan bil elektrik. Kerja aku selain menjaga content, aku juga membuat modul latihan. Din Rawang meneruskan kerja grafiknya. Beberapa kali juga kami membentangkan proposal kami kepada sebuah agensi kerajaan. Kelihatannya sangat positif. Mereka memuji kami. Proposal itu sepertinya sudah berjaya.

Akhirnya - pada mesyuarat terakhir dengan agensi berkaitan - mereka mencadangkan kami agar mengemukakan proposal baru kerana apa yang kami cadangkan itu sudah dibuat oleh syarikat lain. Kami sangat kecewa.

Lama setelah itu - baru kami tahu - apa yang kami cadangkan itulah yang dibuat oleh syarikat lain itu! Ah, dunia perniagaan sungguh keras.

Cukup setahun syarikat beroperasi - kami semua bermesyuarat. Ambil keputusan bubar perniagaan. Setiap orang dibayar gaji terakhir. Setiap orang juga boleh mengangkut komputer dan printer masing-masing, termasuk meja dan kerusi tempat duduk kami. Begitulah berakhirnya kerjaya aku di situ, dan menamatkan riwayat aku sebagai hamba organisasi.

Sungguhpun begitu - aku masih saling menghubungi mereka. Masih sering minum kopi dan melepak dengan Din Rawang di Setiawangsa sampai jam 2 pagi. Kadang-kadang turun ke Bangi berjumpa dengan bos lama aku makan nasi lemak. Dari segi hubungan, kami tidak ada masalah. Cuma kami perlu membawa haluan masing-masing untuk terus hidup dalam keras kotaraya Kuala Lumpur.

Din Rawang tidak lagi menggunakan tangannya untuk menjadi pelukis grafik, tetapi menjadi driver lori. Aku pula mengajar part time di UKM dan UniKL. Bos aku menjadi penulis novel, kerana itu memang cita-citanya. Dia juga terus bergerak secara solo dalam bidang perniagaan.

Hidup kami waktu itu bukan lagi mencabar, tetapi seolah-olah tsunami. Aku dan Din Rawang telah menjadi rakan baru gadis pengutip hutang bank. Pagi dan petang mereka menelefon.

Untuk survival, aku dan Din terus mencari projek kecil-kecilan. Ada satu projek - kami berjaya menyiapkannya dalam hanya 24 jam tanpa tidur. Kami bersekang mata sepanjang malam dan menghabiskan rokok berbatang-batang. Din mendesign, aku menulis. Setelah dia siap design, aku bangun menulis - dan dia pula berehat.

Selain mengajar - aku juga menjual tilam dan bantal. Sebenarnya ia projek isteri aku. Melihat keadaan hidup aku yang tidak menentu, dia yang tidak berkerja perlu juga melakukan sesuatu. Kalau aku tidak ke Adelaide ini, dia sudah hampir membuka sebuah kedai dan menjalankan perniagaannya. Kelulusan dan bantuan MARA sudah didapatkan. Begitulah.

Kini - setelah beberapa tahun - semua daripada kami kembali menjadi diri masing-masing. Aku di Adelaide dalam dunia akademik. Semua hutang bank sudah aku langsaikan. Hutang orang belum lagi. Bos aku kini telah kembali berjaya dan ada pejabat baru dan memfokus dalam bidang multimedia dan animasi. Din Rawang pula - berkerja dengan sebuah syarikat grafik di Selayang. Aku masih menghubungi kedua-dua mereka dan masih tetap akrab seperti biasa. Bahkan, ada sesekali aku masih juga membantu bos aku merangka modul latihan.

Jangan terkejut - kalau satu hari - kami akan bersatu lagi.

Jadi begitulah berakhirnya cerita aku - dan bagaimana aku boleh tercampak ke Adelaide ini. Begitulah jatuh bangun cerita aku. Aku ceritakan semua ini kerana aku ingin berkongsi satu pengetahuan yang bukan lagi baru - itulah hidup.

Hidup - ada masanya membahagiakan. Kadang-kadang sangat tidak bertimbangrasa. Kadang-kadang mengasak orang lain. Sampai waktunya ia akan menujah diri kita. Pada saat sulitnya hidup itulah kita tahu siapa yang digelar kawan, dan siapa yang menjadi teman.

Terima kasih kepada semua teman-teman lama yang memberikan bantuan kewangan pada saat itu.

3 comments:

ihsan_huhu said...

fuih.. kl wat movie leh lawa nur kasih nih

ainishamsi said...

ahaha. takleh blah ihsan

FakirFikir said...

ihsan -- hang jadi hero, aini jadi heroin...ha ha

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails