Yang Ikut

Saturday, 28 November 2009

Laporan Aidil-Adha

Reactions: 
Tiada apa-apa yang istimewa sambutan hari raya Aidil-Adha di luar negara. Mungkin kerana suasana balik kampung dan berebut-rebut dalam sesak jalan raya tidak dirasakan. Atau mungkin juga ia bukan hari cuti rasmi seperti di tanah air.

Pagi tadi - aku bersembahyang di Masjid Al-Khalil. Tetapi, tidak seperti sambutan Aidilfitri, masjid tidaklah sesak. Mencari tempat parkir juga tidaklah terasa sangat. Tidak ramai orang yang datang. Mungkin kerana sambutan raya jatuh pada hari berkerja, maka semua orang jadi sibuk.

Selesai sembahyang - aku singgah di rumah seorang kawan. Tidaklah ada jamuan yang istimewa. Makan ala kadar sahaja bersama beberapa teman Malaysia lain. Jam 11 pagi - aku menaiki bas ke universiti. Banyak urusan hari ini. Ada jurnal perlu dihantar. Jadi aku teruskan kerja aku seperti hari biasa juga. Cuma tidak begitu kelihatan kelibat manusia Melayu dalam kawasan universiti hari ini. Tidak juga ramai pelajar Islam lain.

Jam satu menuju ke surau universiti untuk solat Jumaat. Bilangannya juga tidak begitu ramai. Cuma ada 4 atau 5 orang Melayu yang ada di surau universiti hari ini. Selebihnya warga Arab dan Indonesia. Selain hari raya, mungkin juga kerana ramai yang sudah bercuti.

Selesai Jumaat - kembali masuk pejabat. Menyambung kerja edit makalah. Biasalah, kerja last minute sudah menjadi tradisi kita. Aku di universiti sehingga 7.45 petang. Baru selesai semuanya dan menghantar makalah melalui online system. Sekarang ini Maghrib pukul 8 malam lebih. Jadi, walaupun jam sudah lewat, hari sebenarnya masih terang. Jadi - tidak terasa pun masa berlalu.

Begitulah serba ringkas cerita hari raya haji di perantauan. Tiada yang istimewa. Tiada yang mempesonakan. Ia mungkin indah 10 tahun lagi - apabila pengalaman ini dikenang semula. Waktu itu, umur aku sudah 47 tahun. Sudah begitu tua.

1 comment:

ihsan_huhu said...

xramai solat jumaat sbb rmai dah solat raye so xwajib solat jumaat

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails