Yang Ikut

Showing posts with label Salam AidilAdha. Show all posts
Showing posts with label Salam AidilAdha. Show all posts

Monday, 15 November 2010

Selamat hari raya korban

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Semua pembaca yang budiman,

Selamat hari raya korban diucapkan. Pandu cermat dan berhati-hati. Ini hari raya korban, bukan hari korban jalanraya!


Besok - warga Adelaide akan menyambut hari raya. Seperti tahun yang lain, hari raya di sini tidak pernah meriah tanpa ketupat daun palas, dan gulai ayam kampung. Juga tidak ada penyembelihan kerbau. Juga tidak ada emak, ayah dan adik beradik. Tidak ada duit raya.

Yang ada hanya mereka yang senasib dengan aku.

Selamat hari raya.Maaf zahir dan batin.

Saturday, 28 November 2009

Laporan Aidil-Adha

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tiada apa-apa yang istimewa sambutan hari raya Aidil-Adha di luar negara. Mungkin kerana suasana balik kampung dan berebut-rebut dalam sesak jalan raya tidak dirasakan. Atau mungkin juga ia bukan hari cuti rasmi seperti di tanah air.

Pagi tadi - aku bersembahyang di Masjid Al-Khalil. Tetapi, tidak seperti sambutan Aidilfitri, masjid tidaklah sesak. Mencari tempat parkir juga tidaklah terasa sangat. Tidak ramai orang yang datang. Mungkin kerana sambutan raya jatuh pada hari berkerja, maka semua orang jadi sibuk.

Selesai sembahyang - aku singgah di rumah seorang kawan. Tidaklah ada jamuan yang istimewa. Makan ala kadar sahaja bersama beberapa teman Malaysia lain. Jam 11 pagi - aku menaiki bas ke universiti. Banyak urusan hari ini. Ada jurnal perlu dihantar. Jadi aku teruskan kerja aku seperti hari biasa juga. Cuma tidak begitu kelihatan kelibat manusia Melayu dalam kawasan universiti hari ini. Tidak juga ramai pelajar Islam lain.

Jam satu menuju ke surau universiti untuk solat Jumaat. Bilangannya juga tidak begitu ramai. Cuma ada 4 atau 5 orang Melayu yang ada di surau universiti hari ini. Selebihnya warga Arab dan Indonesia. Selain hari raya, mungkin juga kerana ramai yang sudah bercuti.

Selesai Jumaat - kembali masuk pejabat. Menyambung kerja edit makalah. Biasalah, kerja last minute sudah menjadi tradisi kita. Aku di universiti sehingga 7.45 petang. Baru selesai semuanya dan menghantar makalah melalui online system. Sekarang ini Maghrib pukul 8 malam lebih. Jadi, walaupun jam sudah lewat, hari sebenarnya masih terang. Jadi - tidak terasa pun masa berlalu.

Begitulah serba ringkas cerita hari raya haji di perantauan. Tiada yang istimewa. Tiada yang mempesonakan. Ia mungkin indah 10 tahun lagi - apabila pengalaman ini dikenang semula. Waktu itu, umur aku sudah 47 tahun. Sudah begitu tua.

Thursday, 26 November 2009

Nolstalgia raya

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Apa persiapan raya korban kali ini?

Kalau di kampung - ketika aku masih budak-budak, raya apa pun sebenarnya sama sahaja. Ia merupakan hari paling bahagia. Inilah hari yang ditunggu. Sekitar 80-an, kami akan merayau seluruh ceruk kampung - memberi salam - dan mengumpul wang raya. Waktu itu - mendapat 10 atau 20 sen sudah dianggap besar. Ada juga beberapa rumah yang memberi kami RM 1.00. Jumlah yang cukup aneh. Kalau kami tidak berkesempatan ke rumah berkenaan, ia dianggap kekalahan moral dan kesilapan teknikal yang cukup besar.

Beberapa tahun kemudian - apabila ada polis dari Bukit Aman datang mengangkut beberapa orang yang kaya itu dan disimpan di Pulau Jerjak beberapa tahun, baru aku tahu patutlah mereka banyak wang. Mereka rupanya pengedar dadah yang berjaya di kampung aku. Waktu itu, hukuman mati belum lagi dilaksanakan. Ia masih di peringkat pengenalan. Jadi, terselamatlah mereka.

Apabila remaja sedikit - raya menjadi tidaklah begitu membahagiakan sangat. Kalau dapat membeli sekotak rokok Dunhill 20 batang, dan menghisapnya sepanjang hari - itu dikira satu kejayaan berhari raya. Sebenarnya aku tidak begitu banyak berjalan-jalan raya di kampung aku. Cuma beberapa buah rumah saudara mara.

Mungkin sebab banyak kehidupan aku di asrama, maka aku kadangkala tidak cukup pandai bersosial sangat. Tetapi sungguh pun begitu, sebagai pelajar asrama - kumpulan kami besar. Kami mungkin tidak beraya di kampung sendiri - tetapi berkunjung meneroka satu daerah. Banyak kawan aku waktu itu. Biasanya kami akan menaiki motosikal dan berkunjung dari satu rumah ke satu rumah.

Banyak dari kawan-kawan itu sekarang sudah bergelar macam-macam. Mi Wajab sudah jadi Mejar pasukan komando, Kamal - kontraktor, Zam - entah apa yang dia buat, Khairul - kini berbini dua, Jefri - dulunya kerja kilang, Hasni - jurutera minyak, Pak Man - ahli politik sepenuh masa, Rizal - berniaga agaknya, Najmi - orang besar kastam, Mat Jun - orang kecil kastam, Helmi - di BTN dan banyak lagi. Aku pun tidak tahu ke mana kebanyakan mereka ini pergi. Kecuali beberapa orang, banyak dari mereka aku tidak melihat kelibatnya lagi. Cuma sesekali menelefon mereka.

Kini setelah berkeluarga dan usia semakin tua - banyak dari pengalaman itu menjadi nolstalgia sahaja. Bagaimana pun, aku terasa kami dari kumpulan pelajar asrama ini masih akrtab sampai sekarang. Maksudnya, masih boleh oi oi dalam telefon walaupun lama tidak melihat muka.

Besok - hari raya tiba lagi. Apa yang bakal meriangkan di hari raya ini?

Besok - aku perlu menghantar artikel ke satu jurnal. Itulah jamuan untuk besok hari.

Selamat hari raya untuk semua kawan-kawan lama.

Tuesday, 9 December 2008

Catatan Raya Haji

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Aku pun tidak berapa pasti ini kali ke berapa aku berhari raya Aidil Adha bukan di kampung. Seingat aku, beberapa kali juga aku hanya beraya di rumah di Kuala Lumpur. Pernah juga berhari raya di Jakarta. Tapi nampaknya dalam masyarakat kita hari raya kurban tidak lagi istimewa. Mungkin kerana kurang bunyi letupan mercun, cuti yang pendek dan kita juga tidak merasakan apa-apa. Jika raya puasa, mungkin kita merayakannya kerana itulah saat membolehkan kita makan dan minum semula.

Sebagai masyarakat minoriti di sini, kami tidak mempunyai sebarang rumah terbuka. Yang ada hanyalah berpakat-pakat berkongsi wang untuk membeli pelbagai keperluan dan dirayakan di satu tempat sahaja. Kaum hawa berpakat memasak dan menyediakan hidangan, manakala kaum lelakinya membantu untuk pakat-pakat makan. Bagaimana pun, memandangkan acara makan-makan sudah menjadi tradisi di sini, maka pertemuan hari raya itu pun tidaklah dirasakan lagi.

Ada juga sebahagian kecil Melayu di sini yang membuat kurban dan dagingnya diagihkan dari rumah ke rumah.

Seperti biasa - kami memulakan tradisi bersembahyang sunat di 3 buah masjid utama di sini. Nampaknya kali ini aku tak berkesempatan kerana mengikuti bengkel sejak jam 9.00 pagi lagi. Mungkin tahun depan.

Seingat aku, selain pelajar terdapat juga beberapa orang Melayu lain yang menjadi penduduk tetap di sini. Kebanyakannya doktor yang mendapat pendidikan di Australia. Selebihnya mungkin berkerja di bidang yang lain. Sungguh pun begitu, memandangkan kumpulan Melayu di sini kecil - maka bolehlah kami mengenali setiap orang. Termasuk juga Melayu dari Pulau Singapura yang sesekali hadir dalam majlis kami.

Itu sahaja cerita edisi Raya Kurban ini.

Salam Hari raya dari aku dan keluarga kepada semua teman-teman lama di Eden Capital Kuala Lumpur dan Jakarta, teman-teman di UKM, bekas pelajar SMJ 1985-1991, mereka yang jauh dan dekat. Juga untuk teman-teman kopi - kedua-dua sahabat yang bernama Din, Cipoi, Mat Jun, Hasni di Brunei, serta sesiapa sahaja yang mengenal aku. Termasuk juga anda yang sedang membaca blog ini. Maaf Zahir Batin.

Monday, 8 December 2008

Salam Aidil Adha

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Selamat Hari Raya Aidil Adha

Aku mengambil kesempatan ini mengucapkan Salam Aidil Adha untuk semua pembaca dan pengunjung blog ini yang secara sengaja atau tidak, yang selalu singgah atau tersesat jalan. Maafkan jika ada tulisan yang tak menyenangkan sama ada memang ditulis dengan sengajanya, atau secara tidak sengaja.

Juga buat semua rakan-rakan yang kenal dan tidak, benci atau suka.

Juga semua teman-teman blog yang di'list' dan menge'list' blog ini.

Selamat berhari raya - maaf zahir batin.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails