Yang Ikut

Tuesday, 9 December 2008

Catatan Raya Haji

Reactions: 

Aku pun tidak berapa pasti ini kali ke berapa aku berhari raya Aidil Adha bukan di kampung. Seingat aku, beberapa kali juga aku hanya beraya di rumah di Kuala Lumpur. Pernah juga berhari raya di Jakarta. Tapi nampaknya dalam masyarakat kita hari raya kurban tidak lagi istimewa. Mungkin kerana kurang bunyi letupan mercun, cuti yang pendek dan kita juga tidak merasakan apa-apa. Jika raya puasa, mungkin kita merayakannya kerana itulah saat membolehkan kita makan dan minum semula.

Sebagai masyarakat minoriti di sini, kami tidak mempunyai sebarang rumah terbuka. Yang ada hanyalah berpakat-pakat berkongsi wang untuk membeli pelbagai keperluan dan dirayakan di satu tempat sahaja. Kaum hawa berpakat memasak dan menyediakan hidangan, manakala kaum lelakinya membantu untuk pakat-pakat makan. Bagaimana pun, memandangkan acara makan-makan sudah menjadi tradisi di sini, maka pertemuan hari raya itu pun tidaklah dirasakan lagi.

Ada juga sebahagian kecil Melayu di sini yang membuat kurban dan dagingnya diagihkan dari rumah ke rumah.

Seperti biasa - kami memulakan tradisi bersembahyang sunat di 3 buah masjid utama di sini. Nampaknya kali ini aku tak berkesempatan kerana mengikuti bengkel sejak jam 9.00 pagi lagi. Mungkin tahun depan.

Seingat aku, selain pelajar terdapat juga beberapa orang Melayu lain yang menjadi penduduk tetap di sini. Kebanyakannya doktor yang mendapat pendidikan di Australia. Selebihnya mungkin berkerja di bidang yang lain. Sungguh pun begitu, memandangkan kumpulan Melayu di sini kecil - maka bolehlah kami mengenali setiap orang. Termasuk juga Melayu dari Pulau Singapura yang sesekali hadir dalam majlis kami.

Itu sahaja cerita edisi Raya Kurban ini.

Salam Hari raya dari aku dan keluarga kepada semua teman-teman lama di Eden Capital Kuala Lumpur dan Jakarta, teman-teman di UKM, bekas pelajar SMJ 1985-1991, mereka yang jauh dan dekat. Juga untuk teman-teman kopi - kedua-dua sahabat yang bernama Din, Cipoi, Mat Jun, Hasni di Brunei, serta sesiapa sahaja yang mengenal aku. Termasuk juga anda yang sedang membaca blog ini. Maaf Zahir Batin.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails