Yang Ikut

Sunday, 21 December 2008

Welcome to Moonta

Reactions: 
Monta Bay - bandar kecil dan sunyi yang berada 180 km di sebelah utara Adelaide. Dikelilingi pantai dan teluk - menjadikan ia kawasan pelancongan yang agak popular. Mungkin yang tinggal menetap di sini hanya sebilangan kecil sahaja. Kebanyakan yang datang ialah pelancong dari luar. Ini merupakan kali ke 3 aku ke Moonta Bay - mencukupkan misi kegagalan memancing di masa lalu. Di bandar ini ada sebuah kedai Foodland, Salvos dan sebuah stesen minyak. Kedai-kedai lain mungkin hanya menjual barangan untuk penduduk setempat.

Sepanjang perjalanan kita dapat melihat ladang gandum yang sedang matang - menguning seperti padi di kawasan sawah di lebuhraya Gurun-Alor Setar. Aku bernasib baik - ketika perjalanan pulang sempat melihat gambar pohon gandum ini sedang dituai oleh jentera. Seperti juga mesin padi di negara kita. Yang mungkin menjadikan pertanian mereka berbeza ialah kerana mereka mempunyai kelengkapan teknologi lengkap bagi semua pekerjaan. Sesekali kita juga terserempak dengan ladang pohon zaitun dan anggur.

Di Moonta Bay ini, kami menginap di sebuah motel 3 bilik. Dari motel ini anda boleh melihat begitu banyak - mungkin ratusan - tiang pemancar antena tv yang tinggi. Mungkin menggambarkan gangguan gelombang tv di kawasan teluk ini. Atau melambangkan ia bandar yang jauh dari Adelaide. Uniknya, tiang pemancar ini dibuat dengan begitu baik. Tidak seperti kita yang lebih kerap menggunakan pancang buluh untuk meninggikan antena. Mungkin inilah yang membezakan antara kita dengan mereka.

Misi memancing kami bermula jam 5 petang. Seperti biasa - kami gagal. Aku cuma mendapat 2 ekor ikan Tommy Ruff. Itu sahaja. Walaupun malamnya kami mendapat lebih 40 ekor ketam - tapi itu tidak memadai. Tidak seperti masa lalu, kali ini tidak ramai pemancing, 'penyotong' dan 'pengetam' di atas jeti. Mungkin kerana sekarang musim Krismas. Mereka bercuti di tempat lain. Bandar Moonta Bay tidak ada apa-apa yang menyeronokkan. Walaupun tidak ramai pesaing, kami gagal juga!

Jam 12 tengahari tadi - kami bertolak balik. Sempat singgah di Wallaroo. Ia pekan kecil pinggir laut- tidak jauh dari Moonta Bay. Mengikut sejarah - ia merupakan bandar pelabuhan di masa silam. Khabarnya - ada seorang kelasi Melayu yang mati di pekan ini. Ia mati ketika kapalnya berlabuh dan dikebumikan di kubur orang Kristian. (Bersambung esok)

2 comments:

butterflytwinlove said...

teringin melawati dan menikmati..+)

FakirFikir said...

Datanglah. Air Asia murah. Turun di Melbourne. Naik lagi kapal terbang murah Jet Star. Turun di Adelaide.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails