Yang Ikut

Showing posts with label Moontabay. Show all posts
Showing posts with label Moontabay. Show all posts

Monday, 22 December 2008

Moonta Bay - part 2

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Selepas siap berkemas-kemas, kami meninggalkan Moonta Bay. Mengikut jalan ke arah Wallaroo. Ia pekan pinggir laut yang cantik, bersih dan kemas. Sebenarnya tidak ada tempat di sini yang tidak bersih. Mungkin sebab manusia kurang, atau juga sebab tamadunnya yang maju. Sepanjang jalan ke sana, kita akan melewati ladang gandum seluas mata memandang.


Pekan ini kecil sahaja. Sebesar pekan Kodiang. Tidak banyak yang ada. Ada sebuah muzium maritim, bank dan beberapa kedai kecil lain. Di kelilingi taman perumahan. Ada juga satu kuarter untuk kelasi yang bersara. Selain pelancongan dan aktiviti perikanan, pekan ini hidup dari aktiviti gandum. Ia boleh digambarkan oleh kilang besar itu. Anda boleh juga menggoogle "AusBulk' untuk melihat apa aktiviti syarikat atau kilang ini.


Ada sebuah jeti panjang di sini. Tidak seperti jeti lain, jeti ini merupakan tempat penyaluran gandum yang disimpan di sebuah kilang besar di sini. Aku tidak pasti sama ada gandum itu disalurkan dari kilang itu ke kapal di laut, atau ia disalurkan dari arah laut ke kilang itu. Mungkin kedua-duanya. Anda boleh melihat gambar saluran seperti paip itu di dalam gambar.


Selepas sesi bergambar, kami meneruskan perjalanan ke Adelaide. Pulang untuk melupakan kegagalan trip memancing kami. Tunggu trip yang lain - di tempat yang lain.


*Nota: Itu bukan gambar aku.

Sunday, 21 December 2008

Welcome to Moonta

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Monta Bay - bandar kecil dan sunyi yang berada 180 km di sebelah utara Adelaide. Dikelilingi pantai dan teluk - menjadikan ia kawasan pelancongan yang agak popular. Mungkin yang tinggal menetap di sini hanya sebilangan kecil sahaja. Kebanyakan yang datang ialah pelancong dari luar. Ini merupakan kali ke 3 aku ke Moonta Bay - mencukupkan misi kegagalan memancing di masa lalu. Di bandar ini ada sebuah kedai Foodland, Salvos dan sebuah stesen minyak. Kedai-kedai lain mungkin hanya menjual barangan untuk penduduk setempat.

Sepanjang perjalanan kita dapat melihat ladang gandum yang sedang matang - menguning seperti padi di kawasan sawah di lebuhraya Gurun-Alor Setar. Aku bernasib baik - ketika perjalanan pulang sempat melihat gambar pohon gandum ini sedang dituai oleh jentera. Seperti juga mesin padi di negara kita. Yang mungkin menjadikan pertanian mereka berbeza ialah kerana mereka mempunyai kelengkapan teknologi lengkap bagi semua pekerjaan. Sesekali kita juga terserempak dengan ladang pohon zaitun dan anggur.

Di Moonta Bay ini, kami menginap di sebuah motel 3 bilik. Dari motel ini anda boleh melihat begitu banyak - mungkin ratusan - tiang pemancar antena tv yang tinggi. Mungkin menggambarkan gangguan gelombang tv di kawasan teluk ini. Atau melambangkan ia bandar yang jauh dari Adelaide. Uniknya, tiang pemancar ini dibuat dengan begitu baik. Tidak seperti kita yang lebih kerap menggunakan pancang buluh untuk meninggikan antena. Mungkin inilah yang membezakan antara kita dengan mereka.

Misi memancing kami bermula jam 5 petang. Seperti biasa - kami gagal. Aku cuma mendapat 2 ekor ikan Tommy Ruff. Itu sahaja. Walaupun malamnya kami mendapat lebih 40 ekor ketam - tapi itu tidak memadai. Tidak seperti masa lalu, kali ini tidak ramai pemancing, 'penyotong' dan 'pengetam' di atas jeti. Mungkin kerana sekarang musim Krismas. Mereka bercuti di tempat lain. Bandar Moonta Bay tidak ada apa-apa yang menyeronokkan. Walaupun tidak ramai pesaing, kami gagal juga!

Jam 12 tengahari tadi - kami bertolak balik. Sempat singgah di Wallaroo. Ia pekan kecil pinggir laut- tidak jauh dari Moonta Bay. Mengikut sejarah - ia merupakan bandar pelabuhan di masa silam. Khabarnya - ada seorang kelasi Melayu yang mati di pekan ini. Ia mati ketika kapalnya berlabuh dan dikebumikan di kubur orang Kristian. (Bersambung esok)

Monday, 4 February 2008

Trip ke Moontabay

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Sabtu, 2 Feb: Selamat Datang ke Moontabay. Bertolak dalam jam 10.30 pagi dari Adelaide, kali ini kami cuba singgah di Moontabay, kira-kira 200 kilometer dari Adelaide. Dengan ketua perancang, Sdr Fahmi mengaturkan urusan mem'buking' tempat menginap, dianggotai juga oleh Abang Zul, Sdr Nizam, Jabar, Aku dan seluruh ahli keluarga yang lain. Menggunakan 4 buah kereta, baru dan lama, buruk dan elok, kami sampai di sana kira-kira jam 1.30 petang setelah melewati cerun, ladang dan bukit-bukit bukau.


Moontabay merupakan pekan kecil yang berada di hujung teluk. Tidak ada apa-apa di sini, melainkan tempat untuk berehat dan mereka yang gemarkan aktiviti memancing atau kehidupan laut. Ia ibarat sebuah pekan laut seperti Dungun, Terengganu. Kecil dan mungkin tidak ada apa-apa aktiviti di sini. Ada beberapa buah bar, supermarket Foodland, serta kedai "Salvation Army" yang terkenal itu. Kami menyewa sebuah rumah di sana dengan harga AUD 150 semalam. Rumah tiga bilik itu lengkap dengan kemudahan asas.

Di sana, kami memulakan aktiviti memancing sejak jam 3 petang sampai ke jam 6 pagi besoknya. Selain memancing, ada juga yang memancing sotong selain seperti biasa mengetam.Umpan ayam untuk mengetam telah kami bawa dari Adelaide. Malangnya, kami terlupa membeli umpan untuk memancing. Bernasib baik, ke rana di hujung jeti itu ada sebuah kedai menjual umpan anak ikan tamban dan juga coacles. Itu sahajalah umpan yang boleh kami dapatkan. tapi harganya luar biasa mahal.

Jeti di Moontabay ini panjangnya kira-kira 600 meter dari daratan dan menganjur ke tengah laut. Agak penat juga berjalan dari hujung ke hujung. Petang itu, sepanjang jeti itu telah dipenuhi dengan manusia. Tidak pula kelihatan orang asing seperti Cina atau India seperti yang sering kami lihat di jeti Henley Beach atau Grange. Cuma, kami terserempak dengan segerombolan pelajar Melayu bujang di sini. Kedudukan Moontabay agak pendalaman dan jauh dari kebisingan kota, maka ia sangat sesuai untuk peminat ketam dan sotong. Ia destinasi yang popular untuk aktiviti memancing dengan menggunakan bot. Mungkin lain kali kami akan mencuba memancing dari atas bot pula. Bukan sekarang tentunya.Jalan untuk sampai ke sana baik walaupun tidaklah ada R&R seperti di Malaysia. Di sepanjang jalannya, boleh kita lihat beberapa buah tasik yang sedang mengering, selain ladang-ladang yang menjadi nadi hidup Australia. Kita akan juga menempuh beberapa buah pekan kecil sebelum sampai ke sana. Pekan-pekan ini mungkin sebesar pekan Napo, di Changlun Kedah. Hanya menyediakan stesen minyak atau beberapa kedai kecil lain. Berdasarkan pemerhatian, ladang-ladang ini mungkin digunakan untuk menternak kambing, lembu atau pusat tanaman anggur dan zairun. Kelajuannya juga berubah-rubah, adakalanya kita boleh memecut selaju 110km/j, adakalanya cuma 50km/j menjadikan jarak Moontabay semakin jauh dari Adelaide. Moontabay hanya hidup di hari cuti atau hujung minggu seperti ini. Kebanyakan pemilik rumah di sini tinggal atau berkerja di tempat lain.
Tangkapan pertama kami ialah seekor sotong yang berjaya diangkat naik oleh Fahmi. Sotong ini agak besar juga. Menjelang ke Maghrib, Fahmi hanya berjaya mengangkat naik 4 ekor sotong, selebihnya bagi pemancing ikan kami tidak berjaya membawa pulang apa-apa. Yang boleh kami dapatkan, hanyalah sekadar kemarahan untuk memancing lagi!
Sekadar catatan, Abang Zul hampir-hampir berjaya membawa naik ikan yu Jackson (seperti dalam gambar), tetapi memandangkan terlalu berat, maka seperti biasa dengan kualiti tali yang tidak baik, ikan itu terputus ditimpa ladung ke dalam air. Sungguhpun begitu, ikan ini biasanya tidak jarang dimakan orang. Seperti ikan bandaraya sifatnya. Petang itu, cuma beberapa ekor ketam yang dapat ditangkap pada petang itu.

Menjelang malam, kami mengubah strategi berpindah ke sebuah jeti yang lain yang letaknya kira-kira 2 kilometer dari jeti yang pertama ini. Kali ini nampaknya sangat lumayan. Aku berjaya membawa naik seekor ikan sembilang dan seekor ikan salmon bluefish, setelah 2 ekor salmon yang cuba dibawa naik terputus dalam cubaan sebelum ini. Selain ikan, malam ini kami mendapat ketam dengan jumlah yang agak banyak. Mungkin lebih dari 70 ekor. Menjadikan aku jadi muak hendak makan ketam yang dibeli di Asian Grocery!

Kaum wanita, seperti biasanya pula sesekali datang menjenguk kami di jeti pada malam itu. Mereka membawa pulang ketam-ketam yang kami tangkap untuk disembunyikan di rumah. Banyak alasan untuk berbuat begitu. Pertamanya ketam yang ditangkap ada yang tidak mencukupi saiz. Kami membelasah semuanya mengikut peraturan di Malaysia! Keduanya, semua jenis ikan sembilang laut adalah salah untuk ditangkap. Kami juga menafsirkan tangkapan kami berdasarkan peraturan laut Sungai Kerang, dan terpaksa membawa pulang ikan tersebut.


Luqman, seperti biasa menghabiskan masanya dengan membuas dan memukul teman-teman kanak-kanak yang lain. Kadang-kadang dia menembak Adam, Balqis dan Alisha dengan jari kanannya - Bang! Bang!.


Selain aktiviti memancing, trip kali ini juga memfokuskan kepada konsep makan dan kenyang. Ini tentulah diketuai oleh kaum hawa. Kak Ros, Fadilah, Zaharah, Liza dan bini aku sendiri menghabiskan percutian Sabtu dan Ahad ini memasak di Moontabay. Sebenarnya percutian kami ini sungguhlah memenatkan kerana selain sepanjang malam tidak tidur, tengahhari Ahad itu kami terpaksa pula pulang ke Adelaide dan menempuh jarak yang panjang lagi.
Atas semangat Malaysia Boleh!, kami sudah bersoksek-soksek untuk datang lagi. Mungkin pada masa hadapan boleh aku terbangkan Din dan Hairi dari Malaysia untuk memancing di sini. Itupun kalau aku dah berjaya dapat PhD dan dilantik menjadi Timbalan Naib Canselor!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails