Yang Ikut

Friday, 5 December 2008

Pesan untuk yang mahu sampai

Reactions: 

Disember 2008 datang lagi. Ia datang bersama angin panas musim baru. Dan apabila tiba Januari nanti, kita juga akan melihat wajah-wajah baru dari bumi Malaysia untuk mengikuti pengajian mereka di 3 buah universiti utama di Adelaide ini. 

Seperti biasa - menghadapi kehidupan di tempat baru adalah sesuatu yang tidak menyenangkan. Lainlah kalau kehidupannya di Malaysia saban hari dikejar ceti dan along - jadi lebih baik hidup di bumi orang. Bagi yang belum pernah menetap di luar negara - melangkah masuk ke dalam bangunan KLIA dan meninggalkan orang yang tersayang sudah cukup menyedihkan. 

Bagaimana pun, sekiranya anda telah ditakdirkan ke Australia ini - ada beberapa hal yang perlu anda ketahui. Ejen anda mungkin telah memberikan nasihat yang sewajarnya bagi hal ini.

1. Perlu mendapatkan kediaman - ejen anda mungkin tidak memberitahu adanya laman RealEstate untuk anda melihat bentuk, lokasi dan senarai harga rumah yang bersesuaian. Bukan rumah yang sesuai dengan citarasa mata anda, tetapi citarasa poket anda. Harga rumah di bawah AUD 250 mungkin sudah relevan bagi yang berkeluarga.

2. Anda juga perlu terlebih dahulu tiba di Adelaide sebelum boleh mencari rumah sewa. Banyak sebabnya. Ada pemilik/ejen rumah yang memerlukan financial afidavit, akaun bank, passport dan sebagainya sebelum anda boleh mengisi borang mendapatkan rumah. Anda juga perlu mengisi borang bon penyewaan rumah.

3. Ada rumah yang dilengkapi dengan perabot, ada yang tidak. Bagi yang tidak, anda boleh membelinya di kedai-kedai. Itu kalau mampu. Kalau tidak mampu, anda boleh pergi membeli di Garage Sale yang ada setiap Sabtu dan Ahad (bergantung nasib). Anda juga boleh membelinya di jualan amal Lion di Newton setiap Sabtu pertama. Ada juga jualan amal tidak jauh dari Harbour Town setiap Rabu/Sabtu/Ahad ke 2. Harganya murah dan berbaloi.

4. Ketika dalam pesawat, anda diminta mengisi borang ketibaan. Anda perlu tahu alamat yang hendak anda tuju. Sebaik-baiknya anda dapatkan contact sesiapa sahaja yang boleh anda pinjamkan alamat untuk dituju sebelum naik pesawat. Ingat - di atas pesawat telefon bimbit anda tidak boleh dihidupkan!

5. Anda perlu membayar bagi persekolahan anak-anak anda di SA. Ia berbeza bagi Victoria. Di sana khabarnya percuma. Sekiranya anda mempunyai 5 anak yang bersekolah, ia mungkin sesuatu yang perlu anda fikirkan sebelum memilih ke Adelaide!

6. Walaupun di kampung anda mungkin mempunyai banyak durian atau rambutan, jangan bawa ke sini. Ia memang dilarang. Anda boleh membawa masuk tempoyak, tetapi sama ada berjaya atau tidak tergantung nasib anda pada hari anda sampai. Jangan juga cuba-cuba tipu semasa isi declaration form. Lainlah kalau anda memang berhasrat untuk duduk di penjara!

7. Jangan juga cuba berfoya-foya dengan wang biasiswa KPT untuk membeli baju sejuk di Malaysia. Pakai baju yang tebal dan ala kadar sahaja. Datang sini kita beli baru di Salvos dengan harga dalam lingkungan AUD10-30. 

8. Jangan sesekali anda terasa nak tidur di hotel semasa sampai. Cukuplah sekadar menumpang dulu di rumah sesiapa yang anda tahu. Sebab itu anda perlu contact mereka sebelum sampai. 

9. Ini pesan tambahan yang tidak kurang penting. Anda mungkin tidak merokok. Tetapi ada baiknya anda dan pasangan anda membeli seorang sekartun rokok Dunhill atau Marlboro untuk disedekahkan kepada teman-teman baru anda. Sekurang-kurangnya anda sudah ada modal untuk mula bersahabat. Jangan lupa, mereka inilah nanti yang akan membantu anda mencari rumah, membuka akaun bank dan menunjukkan kedai halal untuk membeli daging. Nota: seorang boleh membawa masuk tidak lebih 210 batang rokok. 1 kartun = 200 batang.

10. Cukup dulu. Terima kasih kepada cik Intan dan Aini yang menumpangkan aku, isteri dan anak semasa sampai dahulu. Cik yang pertama dah balik Malaysia, yang kedua tu sudah hilang.

4 comments:

K.A.M.K said...

salam tuan rumah...duk baca post yg lepas...la.. ingatkan tuan dah berenti merokok sebab rosak telinga... hahaha.. btw good advice.. thanks for sharing.. sangat relevent dan boleh juga diguna pakai untuk pejar baru di UK

FakirFikir said...

Ha ha. Kita cakap bagi pihak orang lain :)

emmyrahim said...

tuan, reason untuk "Jangan sesekali anda terasa nak tidur di hotel semasa sampai. Cukuplah sekadar menumpang dulu di rumah sesiapa yang anda tahu. Sebab itu anda perlu contact mereka sebelum sampai. "?

FakirFikir said...

Mahal. Duit blh diguna utk tujuan lain. kecuali kalau melancong.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails