Yang Ikut

Showing posts with label kangaaru. Show all posts
Showing posts with label kangaaru. Show all posts

Sunday, 28 December 2008

Trip ke Victor Harbor - Part I

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kali ini trip ke Victor Harbor. Pulau granit di kira-kira 85km di selatan Adelaide. Ada seorang pengunjung blog ini dari sana. Mungkin dia tinggal di sana. Pulau ini boleh kita sampai dengan menaiki kereta melewati freeway dan kemudiannya masuk ke jalan country. Dalam satu jam boleh sampai ke sana. Pulau ini mengadap laut Kutub Selatan. Jadi lebih dingin.
Sebelum sampai ke sana kami singgah di Mt Compass. Singgah dahulu di sebuah ladang blue berry. Ini gambar ketika kami singgah di tepi jalan sambil menunggu rakan-rakan yang lain. Ia di sebelah ladang lembu. Cantik kawasan ini.
Ini pula gambar bunga kuning pohon liar. Kawasan lapang itu juga ladang. Ada lembu dan kambing di hujung sana. Kamera aku tak mampu nak teropong jauh dari itu. Jadi lihat gambar bunga dah la!
Di bawah itu gambar blue berry. Buah ini biasanya dibuat jem atau perasa ais krim. Seperti buah senduduk di Malaysia, melihat rupa batang, daun dan buahnya. Cuma pohon senduduk agar kasar, tetapi bentuknya sama. Rasa buahnya juga tidak berbeza. Eh, korang tahu ke buah senduduk ni?
Masuk ke ladang ini percuma. Cuma apabila memetik buahnya, ia akan ditimbang. Sekilo dalam AUD 16.00. Aku tidak berapa pasti sangat. Aku cuma masuk ambil gambar untuk tunjukkan gambar kepada orang yang tidak tahu. Gambar bawah itu ialah cara yang betul memetik buah berry.
Bawah ini pohon buah cherry. Ada sepohon dalam ladang ini. Mungkin tumbuh secara tak sengajIa sama seperti buah keriang di Malaysia yang banyak tumbuh di kawasan bendang. Rasanya pun begitu. Cuma buah keriang agak kecil.
Ini pula ketika kami singgah di 'mini zoo'. Banyak kanggaroo, burung, buaya dan kaola.
Bagus tempat ini. Sesuai untuk budak sekolah. Juga sesuai untuk bawa perwakilan UMNO bagi melobi mereka. Sebabnya kangaroo di sini mesra. Aku dah dua kali sampai ke tempat ini. Lihat cara kangaroo menjelir lidah tu. Nanti petang, kalau ada masa aku sambung cerita pasal Victor Harbor. Kalau tak sempat, esok aku sambung. Sebab belum sampai lagi ke Victor Harbor pun banyak tempat kami singgah.

Friday, 5 December 2008

Pesan untuk yang mahu sampai

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik

Disember 2008 datang lagi. Ia datang bersama angin panas musim baru. Dan apabila tiba Januari nanti, kita juga akan melihat wajah-wajah baru dari bumi Malaysia untuk mengikuti pengajian mereka di 3 buah universiti utama di Adelaide ini. 

Seperti biasa - menghadapi kehidupan di tempat baru adalah sesuatu yang tidak menyenangkan. Lainlah kalau kehidupannya di Malaysia saban hari dikejar ceti dan along - jadi lebih baik hidup di bumi orang. Bagi yang belum pernah menetap di luar negara - melangkah masuk ke dalam bangunan KLIA dan meninggalkan orang yang tersayang sudah cukup menyedihkan. 

Bagaimana pun, sekiranya anda telah ditakdirkan ke Australia ini - ada beberapa hal yang perlu anda ketahui. Ejen anda mungkin telah memberikan nasihat yang sewajarnya bagi hal ini.

1. Perlu mendapatkan kediaman - ejen anda mungkin tidak memberitahu adanya laman RealEstate untuk anda melihat bentuk, lokasi dan senarai harga rumah yang bersesuaian. Bukan rumah yang sesuai dengan citarasa mata anda, tetapi citarasa poket anda. Harga rumah di bawah AUD 250 mungkin sudah relevan bagi yang berkeluarga.

2. Anda juga perlu terlebih dahulu tiba di Adelaide sebelum boleh mencari rumah sewa. Banyak sebabnya. Ada pemilik/ejen rumah yang memerlukan financial afidavit, akaun bank, passport dan sebagainya sebelum anda boleh mengisi borang mendapatkan rumah. Anda juga perlu mengisi borang bon penyewaan rumah.

3. Ada rumah yang dilengkapi dengan perabot, ada yang tidak. Bagi yang tidak, anda boleh membelinya di kedai-kedai. Itu kalau mampu. Kalau tidak mampu, anda boleh pergi membeli di Garage Sale yang ada setiap Sabtu dan Ahad (bergantung nasib). Anda juga boleh membelinya di jualan amal Lion di Newton setiap Sabtu pertama. Ada juga jualan amal tidak jauh dari Harbour Town setiap Rabu/Sabtu/Ahad ke 2. Harganya murah dan berbaloi.

4. Ketika dalam pesawat, anda diminta mengisi borang ketibaan. Anda perlu tahu alamat yang hendak anda tuju. Sebaik-baiknya anda dapatkan contact sesiapa sahaja yang boleh anda pinjamkan alamat untuk dituju sebelum naik pesawat. Ingat - di atas pesawat telefon bimbit anda tidak boleh dihidupkan!

5. Anda perlu membayar bagi persekolahan anak-anak anda di SA. Ia berbeza bagi Victoria. Di sana khabarnya percuma. Sekiranya anda mempunyai 5 anak yang bersekolah, ia mungkin sesuatu yang perlu anda fikirkan sebelum memilih ke Adelaide!

6. Walaupun di kampung anda mungkin mempunyai banyak durian atau rambutan, jangan bawa ke sini. Ia memang dilarang. Anda boleh membawa masuk tempoyak, tetapi sama ada berjaya atau tidak tergantung nasib anda pada hari anda sampai. Jangan juga cuba-cuba tipu semasa isi declaration form. Lainlah kalau anda memang berhasrat untuk duduk di penjara!

7. Jangan juga cuba berfoya-foya dengan wang biasiswa KPT untuk membeli baju sejuk di Malaysia. Pakai baju yang tebal dan ala kadar sahaja. Datang sini kita beli baru di Salvos dengan harga dalam lingkungan AUD10-30. 

8. Jangan sesekali anda terasa nak tidur di hotel semasa sampai. Cukuplah sekadar menumpang dulu di rumah sesiapa yang anda tahu. Sebab itu anda perlu contact mereka sebelum sampai. 

9. Ini pesan tambahan yang tidak kurang penting. Anda mungkin tidak merokok. Tetapi ada baiknya anda dan pasangan anda membeli seorang sekartun rokok Dunhill atau Marlboro untuk disedekahkan kepada teman-teman baru anda. Sekurang-kurangnya anda sudah ada modal untuk mula bersahabat. Jangan lupa, mereka inilah nanti yang akan membantu anda mencari rumah, membuka akaun bank dan menunjukkan kedai halal untuk membeli daging. Nota: seorang boleh membawa masuk tidak lebih 210 batang rokok. 1 kartun = 200 batang.

10. Cukup dulu. Terima kasih kepada cik Intan dan Aini yang menumpangkan aku, isteri dan anak semasa sampai dahulu. Cik yang pertama dah balik Malaysia, yang kedua tu sudah hilang.

Friday, 1 February 2008

Selamat datang ke bumi kangaru

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Selamat datang ke bumi kangaru. Entah bagaimana agaknya kangaru ini boleh sampai ke bumi Australia ini. 

Sebenarnya makhluk yang menyembunyikan dua kaki depannya ini bukan hanya menetap di Australia, sebetulnya kangaru juga ada di Papua New Guinea. Aku pernah melihatnya di Taman Safari Indonesia lama dahulu. Saiznya kecil sedikit, sebesar seekor kucing. Tapi fizikalnya memang menunjukkan ia adalah kangaru.

Sekarang sudah menjangkau bulan Februari. Biasanya, bulan seperti ini semester baru akan dibuka. Maka ramailah pelajar-pelajar baru dari Malaysia yang akan berkelana ke bumi abrogine ini. Akan mengadaplah mereka dengan perubahan cuaca dan budaya. 

Berhadapan juga tentunya dengan masalah penginapan. Biasanya, kalau ada pelajar dari Malaysia yang bakal datang ke Adelaide ini, kami sudah dimaklumkan melalui sms. Itupun kalau pelajar tadi ada menghubungi sesiapa di bumi Adelaide ini, sama ada secara sengaja atau tidak. Seperti biasa, kami akan cuba membahagi-bahagikan rumah kami untuk ditumpang sementara. 

Bagaimanapun, bukanlah bermaksud 'kami' dalam konteks ini semuanya akan cuba menolong pelajar yang baru sampai ini. Ada juga yang banyak sok sek. Bukan salah juga mereka berbuat begitu, kerana hakikatnya kita ini manusia. Aku bernasib baik ketika sampai dahulu kerana sempat menumpang sekejap di rumah 4 anak dara sebelum kemudiannya menumpang di rumah pelajar yang lain. 

Namun untuk membayangkan bandar Adelaide ini semudah pekan Trong untuk mendapatkan rumah samalah seperti membayangkan menggunakan tangga kayu memanjat bangunan KLCC. Sekarang ini, bandar Adelaide tidak hanya merupakan tempat untuk warga tua Australia, tetapi juga dipenuhi manusia Greek, Itali, China, India, Vietnam dan segala macam. Menjadi Melayu di sini seperti sebutir permata di tengah gurun pasir yang luas.
Harga rumah sewanya juga tidaklah semurah bandar Arau yang cukup di antara RM180-250 sebulan. Rumah di sini rata-rata di antara AUD 250-350 seminggu bagi rumah bersaiz biasa, atau minima RM 750-800 seminggu. Jadi, kalau kita terasa ingin 'convert' sewanya dengan nilai ringgit Malaysia, maka memilihlah kita untuk menginap di bawah terowong di Jalan Pantai Henley selama sebulan. Tidak ada pilihan lain. Atau boleh jadi juga menginap bersama kangaru di Zoo Adelaide!


Selain hal-hal berkaitan tempat tinggal, soal halal haram makanan juga sangat penting. Memang di sini orangnya bersih. Tapi babi dijual di mana-mana. Banyak juga orang Arab yang berjanggut panjang. Tapi bukan semuanya Islam. Mungkin ada yang Yahudi, atau juga berfahaman Syiah. Jadi, sedikit sebanyak hal-hal berkaitan pengetahuan mengenai soal makan minum ini diambil kira. 

Ada pelajar kita di sini yang sudah membuat fatwa makan di Hungry Jack halal. Perlu ambil maklum, halal bukan sekadar tidak makan khinzir atau kura-kura, halal juga berkait dengan soal penyembelihan. Soal siapa yang memaklumkan yang makanan itu halal juga perlu diambil kira. Tidak semua orang layak menjadi saksi. 

Kepada mereka yang berhasrat datang ke sini, selain soal paspot dan tiket kapalterbang, ada baiknya bawa juga sebiji dua buku agama. Banyak hukum hakam yang tak perlu kita fikirkan di Malaysia perlu diambil kira di sini. Eh, makan kangaru boleh ke? Tanya seorang kawan. Aku pun terasa ingin makan, tetapi melihat perangai kangaru yang suka menyembunyikan anaknya dan kedua kaki depannya, terasa meloya pula. Tapi, untuk mereka yang ingin menjadi ibu yang baik, belajarlah dari kangaru. Dia menjaga anaknya dengan cara yang luarbiasa.

Kangaru. Inilah penduduk asal bumi Australia. Maka ada baiknya kita menghormatinya. Selamat datang ke bumi kangaru!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails