Yang Ikut

Sunday, 22 March 2009

Apa kena dengan budak ini?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Pernah dengan konsep ini - self esteem atau dalam bahasa ibunda kita - 'penghargaan kendiri'. Mak dan ayah kita di kampung seumur hidupnya tidak pernah sebut perkataan ini di rumah. Mereka mungkin pernah sebut hargailah diri nak. Untuk bacaan, klik sini.

Walaupun dalam buku disebut macam-macam, tetapi penghargaan kendiri secara mudahnya ialah 'diri kita'. Itulah aku. Aku tak mahu kalau ia bukan aku.

Misalnya, anda seorang yang baik - dimasukkan ke dalam lokap polis beberapa hari. Kita jadi bingung. Betulkah ini aku? Aku bukan 'orang' ini, sebab aku sepatutnya baik, bukan orang jahat. Tak pernah sekalipun aku buat jahat, hatta mencuri buat rambutan jiran walaupun sebiji. Tanya kita dalam kepala.

Atau anda seorang yang jahat lagi bodoh, tiba-tiba mendapat tawaran memasuki universiti, anda tentu bingung. "Eh betulkah aku ini. SPM hari itu aku dapat 18F. Bukan 18A. Ini bukan aku. Macam mana ni?".

Tahanan-tahanan dalam ISA di kebanyakan negara, atau apa yang dibuat oleh Amerika Syarikat terhadap tahanan pengganas ialah untuk mengubah penghargaan kendiri. Sebab itu mereka dikurung. Mereka hilang kebebasan sebagai manusia. Kadang-kadang tidak melihat cahaya. Kaki dirantai. Tak boleh berjumpa dan berbual dengan orang. Mungkin ada yang ditelanjang dan disoal siasat bertubi-tubi.

Dia pun jadi hairan. Jadi hilang self esteem. Dulu di luar, dia seorang yang ganas. Semua orang takut. Ada pengikut ribuan orang. Dia cakap sepatah, semua orang setuju. Tak takut sesiapa pun. Sekarang ini, sudah jadi lain. Dulu sangat ganas, sekarang jadi budak belasahan. Dulu rasa diri besar, sekarang dah jadi kecil sangat. Dulu dada biar bercalar, misai jangan bagi kena tanah. Sekarang bukan sekadar dada, misai pun orang berani cabut.

Semuanya untuk menghilangkan 'aku yang sebenar'. Sebab itu selepas keluar dari tahanan, ada yang akan membuat kenyataan akhbar atau pengakuan yang bertentangan dengan apa yang kita kenal mengenai diri mereka sebelumnya.

Tetapi ada juga yang ditahan berkali-kali masih tetap tidak berubah. Orang seumpama ini mempunyai self esteem yang teguh. Buatlah apa yang orang lain inginkan, mereka tetap dengan prinsip. Orang seperti ini memiliki self esteem yang tinggi.

Bagaimana penghargaan kendiri anda?

Ada orang yang asalnya membesar di Changlun, tiba-tiba berkerja kilang di Seberang Prai. Bila pulang ke kampung, orang jadi hairan dengan cara dia bertutur dan lagak lakunya. Orang jadi bingung melihat warna rambutnya yang kekuningan. Orang mula bertanya - Seberang Prai ini pun hebat sangat ke. Sampai boleh ubah budak ni?

Saturday, 21 March 2009

Bila sampai masanya (2)

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Di kampung, seorang jiran aku. Ahmad nama dia. Nama betul. Cerita pun betul. Cerita tahun 1996. Umur dia mungkin sekitar 40-an masa tu. Aku ingat tahun sebab masa itu aku kerja kilang. Dia demam teruk masa tu. Sebab apa dia demam?

Ceritanya begini. Satu malam dia bermimpi. Details dan thrill dia mimpi aku tak dapat nak rasalah, itu dia sahaja yang tahu. Apa yang aku tulis ini mengikut cerita beliau sahaja.

Tapi dia mimpi dia dicabut nyawa. Mati. Selepas mati seperti biasa, ada proses pengkebumian. Ada mandi mayat. Dia nampak keluarga dan orang ramai melawat jenazah dia. Senario macam mana kita melawat jenazah.

Bila semua urusan selesai, dia dikebumikan. Di alam barzakh, dia disoal jawab malaikat. Dia dipalu dan dipukul. Menurut cerita beliau, part yang paling teruk semasa dia di padang masyar. Dia terasa penat sangat berlari ke sana sini bawah terik matahari. Apabila dia pergi kepada kumpulan orang Islam, mereka kata: "awak bukan dari kumpulan kami. Awak patut ke sana, bersama orang-orang Siam. Sebab di dunia awak tak buat amalan kami.". Dia berlari pula kepada kumpulan orang Siam. Kumpulan itu beritahu: "Mat, awak bukan kumpulan kami. Awak orang Islam. Pergi ke sana". Proses berlari ulang alik itu buat dia jadi sangat penat.

Tapi part yang paling dia seram ialah ketika meniti titian Sirat. Dia terjatuh. Akhirnya dia dipanggang dengan pengapit daging. Dibawahnya kawah api. Panasnya hanya dia yang tahu. Dia menjerit. Akhirnya terjaga. Badan dia berpeluh-peluh. Hah, nasib baik hidup lagi.

Pagi itu juga dia ke masjid. Dalam pukul 2 atau 3 pagi. Dia azan di masjid. Ada seorang imam kampung dengar azan tu. Dia tahu ada sesuatu. Lalu dia ke masjid bertemu dengan Abang Mat. Selepas itu, dalam 4 atau 5 hari dia demam. Tetapi dia terus jadi baik. Jadi soleh. Rajin ke surau.

Tahun 2006, 10 tahun selepas bermimpi - dia betul-betul pulang berjumpa Ilahi. Semoga rohnya bersama orang-orang yang soleh. Amin.

Friday, 20 March 2009

Bila sampai masanya

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Dalam 24 jam sehari, berapa kali agaknya kita menghitung soal kematian kita? Ini bukan soalan untuk orang lain, tetapi juga untuk diri aku. Bukan juga untuk bersyarah agama, aku tak pandai hal itu.

Aku cuma hendak ceritakan beberapa orang yang menjadi idola aku yang telah pulang terlebih dahulu. Mereka ini telah menjadi sebahagian dari hidup aku.

1. Orang pertama yang kematiannya mengejutkan aku ialah bapa aku sendiri. Sebab kami berbahasa Siam, maka kami tak panggil ayah. Kami panggil Pak. Ayah aku meninggal tahun 1980. Aku baru darjah dua waktu itu. Kecil lagi. Sebelum kematiannya, pagi itu dia pergi kerja. Kerja kampung. Biasanya dia akan makan terlebih dahulu. Entah mengapa, kata emak, dia tak mahu makan hari itu. Dia beritahu emak, "simpankan makanan itu untuk anak-anak". Dalam pukul 11 pagi, abang aku yang sulung tiba-tiba beritahu emak aku. "Mak jangan terkejut ni. Pak dah tak dak". Aku ingat lagi ayat itu. Sampai sekarang aku ingat.

Kenangan aku dengan bapa tidaklah banyak. Cuma yang aku ingat dia selalu kayuh basikal hantar aku ke Sekolah Dato' Wan Kemara. Sebab aku sekolah petang, jadi selalunya kami singgah kedai kopi dulu. Kenangan lain yang mungkin tak dapat aku lupa, dialah yang mula-mula ajar aku kenal huruf rumi, jawi dan baca Muqaddam. Dia garang. Ada bulu landak di tangannya. Kalau tak dapat hafal, biasanya dia akan mengacah-ngacah tikam mata kita dengan bulu landak itu. Itu cara orang dulu. Tapi itu sudah tidaklah garang lagi. Pada zaman abang aku, khabarnya dia pakai rantai basikal. Hah. Terima kasih ayah.

2. Haji Omar - ini ahli fekah terkenal juga di Changlun. Hidupnya simple sahaja. Beliau cuma kerja menoreh. Di rumahnya tak ada tv, radio aku tak pasti. Kalau aku dan isteri pergi, biasanya beliau akan minta isteri aku ke belakang. Duduk di dapur. Aku kenal dengan beliau semasa aku sakit tahun 2000. Masa itu banyak sangat soalan agama berlegar. Macam-macam sampai dah jadi sasau. Sampaikan banyak ustaz tak mahu jawab. Kata abang aku, arwah bapa mertua dia beritahu dulu, nanti kalau satu saat ada soalan yang tak boleh dijawab, pergi tanya Haji Omar. Dia tahu. Jadi bila aku jumpa beliau, baru dia jawab.

Kadang-kadang aku ke rumah beliau bukan untuk mengaji kitab, cuma sekadar santai bawah pokok manggis di tepi sungai di belakang rumah. Kadang-kadang beliau bawa aku ke rumah Haji Chik yang masa tu dah berumur 100 tahun lebih. Sampai sekarang aku masih ingat Haji Omar sebab beliau yang bawa aku 'pulang'. Masa mula-mula jumpa aku malam tu, dia beritahu kat abang aku, "Usup teruk budak ni. Kena berubat ni". Soalan yang pasti akan beliau tanya setiap kali aku jumpa dia baik semasa aku kerja di Kuala Lumpur atau Jakarta, "hang mengaji apa dah. Apa depa kata?". Perbualan dengan beliau pasti akan menjurus soal-soal agama. Tidak ada tajuk lain. Cuma sebulan sebelum dia mati, beliau ada beritahu, "saya mungkin tak mengajar agama lagi. Tak larat dah", kata dia. Aku tak faham lagi masa tu. Bila pada malam Jumaat tahun 2006 dia sudah tak ada, baru aku tahu. Tetapi dia tetap hidup dalam ingatan aku. Insyaallah.

3. Dr Aminuddin Mohd Yusof. Ini idola psikologi aku. Gambar beliau ada di sini. Aku kenal beliau lama dah. Sejak mula masuk UKM tahun 1992. Aku baik dengan beliau sebab kami punya ideologi psikologi yang mirip. Untuk tesis sarjana muda, beliau jadi supervisor aku. Untuk master pun dia juga. Untuk PhD pun sebenarnya dengan beliau juga. Tapi cuma sekerat jalan. Sebab aku dapat offer ke Australia pula. Setiap kali berjumpa, biasanya bukan di bilik beliau. Kami selalu lepak di cafe di Pusaneka. Sembang hal-hal psikologi. Hal-hal bahasa Melayu. Hal tesis tak dibincang juga. Tahun 2008 dia kembali. Ingat lagi aku, aku sempat e-mel beliau bertanya khabar dan bincang hal psikologi. Masa itu aku sedang sibuk buat proposal. Beliau ada jawab. Dia nasihat aku untuk belajar rajin-rajin. Aku balas balik. Tak jawab-jawab. Tiba-tiba ada kawan sms, "Dr Aminuddin sudah kembali ke Rahmatullah". E-mel beliau aku simpan sampai sekarang. Buat kenang-kenangan.

Begitulah. Sampai saatnya kita juga akan kembali seperti mereka. Mungkin ada yang akan ingat kita, dan ada yang tidak.

Wednesday, 18 March 2009

Siri Akhir: Kalau belum, baik jangan:

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
SIRI KEMPEN ANTI DADAH

Apa kesimpulan yang kita belajar dari cerita 1 dan cerita 2. Kedua-duanya cerita benar. Yang tidak benar cuma nama watak-watak sahaja.

Kesimpulan: mengapa orang mula terjebak dengan tabiat menghisap dadah:

1. Jangan mulakan aktiviti menghisap rokok sebelum usia yang sesuai. Banyak risikonya. Pertamanya apabila anda mula tidak berasa 'puas' lagi dengan menghisap rokok, anda akan mencari bahan baru untuk memuaskan nafsu anda. Bahan-bahan baru ini biasanya dengan sesuatu yang ringan sahaja. Misalnya ganja, atau daun 'biak'. Bahan-bahan ini tidaklah begitu buruk di mata masyarakat. Tapi, apabila masyarakat merestuinya, anda akan bergerak ke tahap yang lebih tinggi dengan menggunakan bahan-bahan lain pula (misalnya heroin, pil kuda, ubat batuk).

2. Kawal anak anda sebelum umur 25 tahun. Perhatikan mereka. Jarang orang yang berumur pertengahan 20-an, akan memulakan sesuatu yang tidak mereka mulai ketika remaja. Biasanya penagih dadah bermula dengan umur awal remaja. Ini tahap paling kritikal. Tahap ini mereka sedang mencari 'identiti diri'. Mereka akan cari sesuatu yang akan menjadikan mereka lain, atau unik. Sekiranya mereka memilih untuk bermain gitar, itu bagus. Jangan biarkan mereka memilih sesuatu yang merosakkan masa depan (Untuk peminat psikologi, sila baca tahap perkembangan manusia J Piaget dan KA Ericsson).

3. Dadah adalah penyakit. Penagih ialah pesakit. Ia akan merebak sepertimana wabak. Kalau di tempat anda sudah ada yang mula menagih, pastikan anak-anak remaja anda tidak terjebak. Lihat juga kawan-kawan anda. Sebab, lambat laun daripada seorang, pasti akan terlahir seorang lagi penagih dadah baru. Ia berkembang dengan cepat. Jadi, sama ada anda menghapuskan punca penyakit (misalnya ubati penagih dadah pemula) atau membawa anak-anak anda keluar dari kawasan terbabit.

4. Sekiranya anda mempunyai teman-teman atau saudara mara yang menagih, jangan sisihkan mereka. Penyisihan akan membuatkan mereka lebih jauh. Mereka akan mencari teman-teman yang mahu bersahabat dengan mereka (biasanya penagih juga). Jadi, bersahabatlah dengan mereka. Kalau pun anda tidak mungkin mampu merawat mereka dengan mudah, sekurang-kurangnya satu hari nanti mereka akan pulang mencari anda. Atau sekurang-kurangnya anda dapat membantu agar mereka tidak terlibat dengan jenayah.

5. Paling akhir, tetapi paling utama - sediakan bekal agama untuk anak-anak kita. Untuk kita juga. Memang, sejahat mana pun manusia, kalau ia mempunyai asas agama, inilah yang akan menjadi 'tali' yang akan menarik dan merenggang apabila seseorang terjebak dengan dadah. Pada masa dia sedang 'high' mungkin dia terlupa agama, tetapi pada waktu lain ia akan berfikir akan keburukan tabiaatnya. Proses tarik tolak ini akan berlangsung dalam tempoh lama. Tapi sekurang-kurangnya dia ada sesuatu.

Iklan, kalau ada di tempat anda ingin bercerita fasal dadah, Bento sedia membantu. Aku dah bercakap-cakap dengan dia semalam.

Tuesday, 17 March 2009

Kalau belum, baik jangan (2)

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
SIRI KEMPEN ANTI DADAH

Kita sudah baca kisah cerita sebelum ini. Sekarang kita baca lagi cerita lain. Cerita yang berkisar dengan kisah pertama juga. Kali ini cerita berkaitan Brader "U". Dia kawan baik aku juga. Tapi tidaklah seakrab Bento. Kami sebenarnya membesar bersama-sama. Aku lebih tua setahun berbanding Bento, tetapi muda setahun dari Brader "U".

Semasa baru belajar merokok dahulu, sekitar tahun 1986 kami bertiga biasanya akan pergi ke hujung bendang. Ada satu hutan belukar di situ. Di situlah kami sama-sama belajar merokok. Sebenarnya bukan belajar, tetapi untuk melarikan diri dari pengetahuan ibu bapa kami. Masa itu rokok yang murah ialah Kingsway dan More. Kadang-kadang kami hisap rokok Dunhil 7 batang. Itu kalau duit lebih. Tetapi harga sebatang rokok waktu itu cuma 15 sen. Jadi harga bukan masalah.

Aku tidaklah selalu bertemu dengan Brader U ni. Sebabnya aku banyak tinggal di asrama. Berbanding dengan Bento, Brader U ini kadang-kadang aku jumpa. Itu pun kalau dia datang rumah aku, atau aku singgah di rumah dia. Atau kadang-kadang keluar minum kopi. Tetapi seingat aku, tidaklah pula aku keluar dengan dia di waktu malam.

Semasa di sekolah menengah, kadang-kadang bila waktu cuti, sesekali juga kami belajar kitab agama. Biasanya waktu malam. Kitab yang kami rajin pergi dengar ialah Munyatul-Musholli dan Sobian. Tapi aku jarang-jaranglah. Brader U selalulah pergi. Bento pun jarang juga. Cuma sejak akhir-akhir ini sahaja Bento pergi dengar orang baca kitab balik.

Aku ingat, Brader U mula hisap ganja sama tahunnya dengan Bento. Sebab mereka ini selalunya bersama. Brader U ini rajin kerja. Macam-macam dia kerja. Tahun 1990 semasa cuti sekolah, aku bersama dia kerja mengecat di Sungai Petani. Dia dah lama dah tak bersekolah. Tamat SPM di Sekolah Menengah Changlun, dia dah mula memburuh. Aku sempat kongsi rumah sewa dengan dia di Taman Keladi. Masa tu dia sudah 'stim' ganja. Sambil kadang-kadang menggoyang kepala dengar lagu Rainbow - "Temple of The King".

Lepas aku masuk universiti, aku juga berjumpa dengan dia kadang-kadang. Waktu itu dia tinggal di Balakong. Dia kerja 'boring tanah". Kerja orang geologi hendak tengok kekuatan tanah sebelum satu-satu bangunan boleh dibangunkan. Waktu itu pun dia masih hisap ganja lagi. Sebenarnya bukan dia seorang yang hisap ganja di rumah itu. Banyak lagi. Cuma adalah beberapa orang budak kampung aku yang bersih.

Tahun 1994 - dia pindah ke Taman Connought, Cheras. Tinggal di satu apartment. Dia tak kerja boring lagi. Dia buat kerja 'chemical'. Kerja-kerja sapu bahan kimia untuk tampal bangunan retak. Waktu inilah dia mula hisap heroin. Sebabnya mudah sahaja. Sebab dia bawa abang dia tinggal satu rumah. Abang dia ini memang sudah lama hisap heroin. Seingat aku, semasa aku sekolah menengah lagi, nama abang dia dah terkenal. Jadi, bila mereka join sekali - Brader U sudah tak hisap ganja lagi.

Aku tahu, Brader U ini baik orangnya. Walaupun dia stim, tetapi emak dan ayah dia selalu puji dia. Sebab tiap-tiap bulan dia hantar balik duit. Tetapi, sayangnya dia tidak jadi orang. Gaya dia menghisap ini lebih teruk dari Bento. Sebab dia bukan jenis control. Gaya dia memang seperti penghisap dadah tulen. Bercakap pun dalam kerongkong seperti yang dilakonkan Sani Sudin. Cuma dengan aku dia agak respect juga. Cakap pun macam biasa. Mungkin sebab aku budak universiti.

Tahun 1994 itu, semasa naik motorsikal di Kajang, aku kena saman polis sebab memandu tak ada lesen. Jadi masa cuti semester - aku pergi jumpa dia, kalau-kalau aku boleh kerja. Aku nak cari duit bayar saman. Dia kata okay. Nanti dia jumpa tauke dia, bagitau aku datang dari kampung nak cari kerja. Akhirnya aku dapat kerja. Duduk satu rumah dengan dia. Tapi aku tak duduk satu bilik dengan dia. Sebab bilik dia dah jadi port hisap. Busuk. Bau hapak. Lepas habis cuti, aku belah. Aku cuma nak cari duit bayar saman.

Pernah sekali dia jumpa aku di kampung. Dia tanya aku, boleh bagi dia pinjam duit RM10. Dia bagitau, dia nak beli 'ubat'. Ubat ini ialah gelaran untuk heroin. Kadang-kadang dia panggil 'rose merah". Ikut sedap mereka. Kalau ganja mereka panggil 'hussin". Orang Dewan Bahasa dan Pustaka kena buat kamus baru - Bahasa Orang Dadah.

Setahun kemudian, aku dah lupa dah. Dia datang rumah aku. Dia kata, "nah ambik balik duit hang RM10 yang aku pinjam dulu". Ini bukti yang sebenarnya masih ada kebaikan dalam hidup para penagih ini. Cuma kadang-kadang bila kita tidak berkawan, kita tidak tahu.

Cuma sekitar tahun 1999 dia dah mula masuk dan keluar pusat serenti. Gaya hidup dia pun kacau bilau. Selalu pakai spek mata hitam. Dia banyak hidup di kampung. Naik motor sana sini cari ubat. Aku tak pasti dia dibuang kerja atau tidak. Aku pun dah sibuk dengan kerja dan jarang balik kampung.

Tahun 2003 - sebelum aku pindah ke Jakarta, ada saudara dia call aku. Dia kata nak ke Pusat Tahanan di Simpang Renggam. Ini tempat orang 'hardcore'. Ambil balik Brader U yang meninggal dalam tahanan. Abangnya juga mati dalam tahanan di Kelantan setahun sebelum itu.

Kasihan Brader U. Dia tak sempat kembali jadi manusia. Moga-moga, amalan baik dia akan diterima. Moga-moga juga dia dianggap orang yang sakit.

Tapi - bila ingat balik apa Bento kata - sebab apa kita mati, aku terkesan juga. Bento kata, sekarang dia sudah faham kenapa dia tidak kena AIDS dan tak juga mati - sedangkan banyak kawan-kawan dia yang lain sudah mati. Aku tanya kenapa?

Dia jawab: "Itu semua kerja Allah. Mungkin Allah panjangkan umur aku untuk bertaubat". Aku setuju.

Jadi - berakhirlah cerita. Kalau ada budak-budak universiti (atau budak-budak lain juga, saran Sdr Ben Krenmaut) hendak buat program anti dadah, dan nak dengar cerita sebenar, nanti aku minta Bento ceramahkan. Tapi jangan program besar-besar. Kalau group discussion kecil-kecil mungkin dia mahu. Dia bukan pensyarah, dia cuma bekas penagih!

Monday, 16 March 2009

Kalau belum, baik jangan

13 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
SIRI KEMPEN ANTI DADAH

Aku dilahir dan dibesar di Changlun - kira-kira 8 km dari sempadan Thailand. Jadi, jangan hairan kalau banyak budak-budak muda senang sangat nak dapat dadah. Mungkin untuk dapatkan dadah lebih mudah daripada nak beli gula.

Aku nak cerita satu cerita betul. Cerita ini bukan cerita aku, tetapi cerita kawan baik aku. Aku namakan dia dalam cerita ini Bento sahaja (bukan nama sebenar). Kami berkawan dari sejak mula kenal bahasa. Bermain sekali, berlari pun sekali. Cuma kami hidup dalam dua alam yang berlainan. Aku masuk universiti, dia bawa haluan lain. Dia jadi penagih, aku jadi orang. Tetapi, kemana-mana pun kami tetap juga bersama. Sampai sekarang kami tetap menghirup teh tarik kedai mamak sampai pagi.

Selepas Sijil Rendah Pelajaran tahun 1988, dia tak mahu sambung belajar. Dia mula kerja macam-macam. Dari situlah dia mula berjinak-jinak dengan ganja. Aku duduk di asrama, dia duduk di kampung. Sebab dia kerja awal, jadi belanja sekolah kadang-kadang aku minta dari dia. Itu tak ada hal.

Selepas aku tamat STPM tahun 1991, kami berdua memulakan langkah pertama kami ke Kuala Lumpur. Kami berdua kerja di Selayang Baru, kilang sebelah menyebelah. Tapi kami tinggal di rumah yang berlainan. Dari situ dia mula mengembangkan bakat menagih apabila banyak berjumpa dengan rakan-rakan baru di kawasan rumah setinggan.

Tahun 1992 aku masuk universiti. Dia pula mula berpindah randah kerja sekitar Kuala Lumpur. Dari situ dia berkenalan pula dengan rakan-rakan baru. Seingat aku, tahun 1994 dia mula hisap heroin pula. Aku ingat - sebab waktu itu ada Piala Dunia. Setiap hujung minggu, dia datang ke rumah aku di Kajang.

Satu hari aku terserempak dia sedang menghisap dalam bilik aku. Dia kata 'ini bukan apa-apa, ini cuma rose'. Aku pula jahil, aku ingat apalah benda 'rose' yang dia cakapkan itu. Jadi aku buat tak tahu sahaja. Tapi bila setiap kali datang rumah aku dia bawa rose dalam poket, aku mula curiga. Waktu itu dia cuma chest sahaja. Maksudnya disalurkan api di bawah sudu, kemudian hidu asapnya. Lama-lama baru aku tahu. Rose itu heroin juga. Tetapi warnanya merah mawar.

Tetapi aku dengan dia tetaplah berkawan baik sekalipun hidup dalam dunia masing-masing. Dia pun tidaklah berperwatakan seperti penagih. Dia cool sahaja. Kawan-kawan serumah aku tak tahu pun yang dia ini penagih. Setiap hujung bulan bila dapat gaji, dia akan bagi aku sebahagian duit gajinya. Dia kata, dia tak boleh simpan duit. Daripada habis dia belikan dadah, lebih baik bagi aku belajar. Aku okay bab-bab orang bagi duit ini!

Sejak bila dia mula guna jarum aku tidak berapa pasti. Mungkin sekitar tahun 1996. Bila aku jumpa dia, dia selalu cuba tutup lengan dia. Pernah dia cuba tipu aku, lengan dia luka sebab terjatuh lori. Tapi aku tahu dia tipu. Sebab tangan dia ada bintik dan calar. Itu bukan luka. Kadang-kadang aku buka beg dia, aku nampak alat-alat menghisap. Pernah sekali aku ambil dan buang dalam sungai. Aku buat tak tahu. Dia pun tak berani tanya.

Cuma tahun 2001 - dia ada perubahan besar. Dia di Ipoh waktu itu. Dia datang rumah aku di Kuala Lumpur. Masa itu aku dah berkahwin dah. Dia kata nak tinggal rumah aku sebulan dua sebab nak berhenti hisap. Dia kata, tak guna dia kerja. Semakin banyak dia dapat duit, semakin lagi dia banyak hisap. Jadi lebih baik dia berhenti kerja, jadi dia boleh stop. Aku setuju. Isteri aku pun setuju. Jadi semua duit dia aku simpan. Dia cuma diberikan RM5 sehari apabila aku dan isteri keluar ke tempat kerja. Sebenarnya itu cadangan dia juga. Dia kata, kalau dia ada RM10, dia boleh beli dadah.

Dalam minggu pertama itu, rumah aku dah jadi semacam tempat detox macam di pusat serenti. Kadang-kadang dia cirit birit, hingus-meleleh dan tak tentu arah. Muntah hijau pun pernah (memang warna hijau muda). Selama ini aku cuma belajar fasal dadah dalam kelas. Sekarang ini baru real. Pernah waktu itu kami berjumpa doktor. Kami tanya apa lagi yang boleh buat. Doktor itu cakap, tak ada ubat. Tapi dia boleh buat surat untuk masuk pusat serenti. Hah. Itu yang kawan aku tak mahu. Sebab di sana lebih banyak para penagih.

Tiga bulan tinggal di rumah aku dia berhenti. Kerjanya cuma ke surau dan bagi ikan dalam akuarium aku makan. Aku balik kampung pun, dia tak balik. Rumah aku dah jadi pusat waktu itu.

Jadi, bila dia dah sembuh, dia keluar dari rumah aku dan kerja lagi. Dalam tempoh itu, kadang-kadang dia kembali hisap, kadang-kadang berhenti. Cuma bagusnya dia, dia tak berkawan dengan budak-budak dadah. Dia berkawan dengan orang yang tak menagih. Dia juga tidak bersikap positif dengan dadah. Dia tahu menghisap dadah ini kerja yang tak berguna. Pernah sekali dia beritahu aku: "Hang ingat senang ka? Hang hisap rokok pun susah nak tinggal". Cuma dia tak boleh nak berhenti senang-senang sebab bila berhenti mendadak, dia akan 'gian'. Gian itu sakit. Hidung meleleh dengan hingus. Ciri birit. Berpeluh.

Pernah satu hari - di tempat kerjanya ada satu budak muda. Baru sahaja berjinak-jinak dengan heroin. Kawan aku ini tahu yang budak itu sudah mula hisap dadah. Tapi budak itu yang tak tahu yang kawan aku ini dah jadi 'otai".
Jadi, satu hari kawan aku tanya: "Hang hisap apa, aku tengok macam best ja?"
Budak itu jawab: "Hang tau, aku bukan hisap ganja. Aku hisap benda ini (sambil tunjukkan straw beriisi heroin). Best hang tau'.
Kawan aku sekadar menduga: "Dah lama ka hang hisap?".
Budak itu jawab: "Taklah, baru sebulan ini".
Kawan aku tanya balik: "Hang dah beli apa dah kat mak hang?"
Budak itu jawab: "Aku dah beli tv, Honda EX-5 sebiji..."
Kawan aku jawab: "Hang tengok aku. Aku cuma ada baju t-shirt ni ja. Hang baru hisap sebulan. Aku dah 10 tahun dah (sambil tunjukkan heroin dia yang ada dalam botol kapur). Kalau hang nak terus hisap, nanti apa satu pun hang tak beli. Jadi kalau nak berhenti, berhentilah sekarang".
Budak itu diam.

Satu lagi - ada bisikan psikologi yang lebih kuat lagi. Misalnya dia pernah menghisap di bawah perdu kelapa sawit. Jadi, apabila melihat pohon kelapa sawit - keiinginan hendak menghisap datang semula. Ini kita namakan association. Macam orang gagal bercinta. Bila nampak bumbung rumah bekas kekasih, sudah mula terasa sebak.

Sekarang ini - setelah beberapa kali melawan - gagal dan berjaya - dia berhenti terus. Sudah 3 tahun lebih.

Sunday, 15 March 2009

Ice and speed can kill you!

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kalau anda berpeluang memandu di satu jalan berliku dari Melbourne ke Mount Buller, destinasi bermain salji, anda akan melihat papantanda yang tertulis ingatan itu. Ia mengingatkan kita betapa jalan yang licin dan kelajuan akan membunuh.

Sebenarnya tidak. Ia bukan ingatan untuk anda memperlahankan kenderaan. Ia adalah ingatan mengenai bahaya dadah.

Ice dan speed mungkin istilah asing untuk kebanyakan kita yang tidak pernah menagih. Ia mungkin tidak diketahui pakcik dan makcik di Felda Trolak Tiga atau di Seberang Takir bahawa kedua-duanya adalah dadah sintetik baru kegilaan umat manusia.

Apabila ada anak remaja berbual-bual mengenai kedua-duanya, kita mungkin membayangkan bahawa perbualan itu lebih menjurus perbualan biasa - misalnya makan ais kacang atau merancang berlumba motor di waktu malam. Sedangkan tidak. Mereka ada agenda yang lebih besar.

Kejahilan itu jugalah membuatkan kita tidak mampu untuk berperang dengan gejala penagihan dadah. Bagaimana pun, untuk menyalahkan pakcik dan makcik di kampung ini juga tidak betul. Teknologi dadah berkembang lebih cepat dari pengetahuan kita. Bukanlah tugas orang kampung ini untuk menyelidikinya. Ia tugas pihak yang berkaitan dengannya - memberikan ceramah di kampung-kampung.

Banyak daripada kita mungkin selalu membayangkan penagih dadah mestilah berpakaian selekeh, tidak terurus, kurus dan bersembunyi di belakang bangunan. Itu mungkin betul bagi kategori penagih dadah 'otai' heroin di lorong belakang Chow Kit Road.

Penagih dadah 'moden' berpakaian lebih kemas. Penagih dadah ectasy misalnya boleh menggunakan dadah sambil membonceng motosikal sahaja. Ia tidak memerlukan kelengkapan seperti jarum, lilin, lighter atau benang. Tidak juga perlu membawa tembakau dan batang rokok. Ia sama mudahnya seperti menelan pil panadol sahaja.

Jangan disangka anak remaja yang berkurung di dalam bilik sebagai sedang belajar. Apabila mereka tidak keluar dari bilik dalam tempoh yang lama, jangan disangka yang mereka kuat belajar. Walaupun kita perlu bersangka baik, sesekali kita juga patut bersangka buruk. Jangan kerana mereka tidak merokok atau berkumpul di belakang semak, "tidak ada apa-apa' yang sedang berlaku ke atas mereka.

Nanti kita kongsi cerita bagaimana ada orang boleh berhenti.

Untuk pengetahuan dadah berkaitan, boleh baca di sini

Bersedia dengan berita buruk

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Keputusan peperiksaan telah diumum. Banyak yang berjaya, tentu ada juga yang gagal. Ada ibu bapa yang gembira, tidak kurang yang kecewa. Untuk yang berjaya, tahniah. Untuk yang gagal, jangan kecewa. Tidak ada apa yang perlu dibimbangkan.

Mana-mana ibu bapa, akan mengharapkan anaknya berjaya dengan cemerlang. Itu adat manusia. Malang sekali, ada yang tidak sanggup menerima hakikat kegagalan anaknya. Mereka cuma ingin mendengar A dari anak-anaknya. Tentu ini satu harapan yang tidak adil juga.

Sebagai orang dewasa, berapa kali kita mendapat A dalam hidup? Berapa kali kita berjaya dalam penilaian prestasi di tempat kerja? Berapa kali kita berjaya menghasilkan sawah bendang, kebun getah atau berniaga dengan baik. Kadang-kadang kita dihadapkan dengan kegagalan juga apabila hasil pertanian tidak menjadi atau perniagaan merosot. Itu juga kegagalan.

Tetapi, kita hanya menghitungkan kejayaan anak-anak. Kita tidak begitu gemar untuk menilai diri sendiri. Kita menjadikan anak-anak bahan ujikaji untuk kejayaan kita. Hinggakan ada anak-anak yang bersekolah rendah sekalipun, sudah dihadapkan dengan kelas tuisyen dari petang sampai ke malam. Sibuknya lebih dari orang dewasa berkerja. Adilkah begitu.

Harapan yang tinggi untuk anak-anak memanglah perlu. Tetapi pada akhirnya, apa yang mereka perolehi, adalah anugerah Tuhan. Dalam hidup sebenar, kejayaan tidak hanya bergantung dengan angka A. Mereka mungkin gagal dalam pelajaran. Tetapi mereka berjaya dalam bidang yang lain. Mereka mungkin berjaya di sekolah, tetapi mereka mungkin gagal di tempat yang lain.

Jadi, sebagai orang dewasa - kita sewajarnya lebih matang. Kita sewajarnya lebih bersedia untuk mendengar apa sahaja. Siang malam kita bersyarah dengan Qadha dan Qhadar, tetapi pada akhirnya kita juga tidak begitu tahu makna yang tersirat.

Teringat satu hari ibuku berkata: "Lihat, hampa (awak) semua yang berjaya dalam pelajaran, pergi kerja ke sana sini. Tidak pernah hidup di kampung. Dari kecil duduk di asrama. Akhirnya yang tengok (menjaga) mak, Din juga (merujuk kepada sepupuku yang hidup di kampung)".

Jadi siapakah sebenarnya yang berjaya.

Saturday, 14 March 2009

Promosi blog baru

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sudah lama aku merancang. Kini baru menjadi.

Aku buka satu blog baru hanya untuk menulis puisi. Tidaklah begitu penting sama ada puisi ini baik atau tidak.

Mungkin selepas ini Sdr Ben akan nyanyikan pula lagu puisi untuk album terbarunya, sekalipun aku tahu Ebiet G Ade, Iwan Falls atau Kopratasa tidak akan menyanyikan puisi aku ini.

Anda boleh sesekali singgah di http://poemfakirfikir.blogspot.com/

Friday, 13 March 2009

Apa khabar orang muda

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Beberapa hari ini sudah tulis yang berat-berat. Kali ini ingat nak cerita hal yang ringan-ringan sahaja. Lagi pun, sekarang ini fikiran kita pun sudah berserabut dengan macam-macam cerita. Kalau kita baca tajuk depan surtakhabar Malaysia, rasanya sudah tidak ada berita yang menyeronokkan. Saman, politik lompat, bongkar-membongkar, tangkap-menangkap dan rasuah merasuah.

Kebanyakannya melibatkan orang kita juga. Mungkinkah inilah juga sebabnya tentera Portugis dengan jumlah tidak sampai 50 orang mudah sangat menawan Melaka.

Cuma lega sikit ada berita ada anak Melayu yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia. Tahniah. Nanti bila sudah ke luar negara, jangan lupa ibu ayah. Jangan lupa orang kampung. Jangan lupa guru. Jangan lupa rakan-rakan yang membesar dan berkongsi duka. Semua itu adalah penyumbang kejayaan besar. Tanpa mereka semua, mungkin kita tidak ke mana pun.

Semalam, ketika merayau-rayau dalam dunia siber, terjumpa satu artikel lama. Artikel itu aku tulis sekitar tahun 2000-2001 dahulu. Waktu itu umur masih muda. Belum masuk 30 tahun lagi. Waktu itu aku kerja penulis di sebuah syarikat portal pendidikan, Sekolah.Com. Mungkin itulah satu-satunya artikel aku yang masih ujud. Yang lain dah banyak terpadam dengan berkuburnya portal tersebut. Kakitangannya pun merayau ke merata tempat. Tak pernah berjumpa lagi. Yang terakhir berjumpa, Hisham. Dahulu di Jerman, sekarang tidak tahu.

Hari ini, kalau kita melihat anak-anak sekolah di tepi jalan, kita kadang-kadang berasa semacam juga. Ada yang menghisap rokok, ada yang merempit dan ada juga yang sudah pandai pasang teman lelaki atau wanita masing-masing. Kita berasa seperti ada sesuatu yang tidak kena.

Tetapi, bila diingat balik, yang berubah hanyalah persepsi kita sahaja. Penafsiran baik dan buruk bergantung kepada usia dan pengalaman. Ketika kita masih muda, kita pun sama juga. Kita juga sembunyi-sembunyi merokok di belakang tandas, atau sesekali keluar asrama di waktu malam menonton konsert Search atau Lefthanded. Waktu itu kita ingat tidak ada apa yang salah pun. Bagi kita, itu hal biasa sahaja. Yang melihat ia sebagai tidak betul ialah guru, ibu bapa atau orang yang lebih dewasa daripada kita.

Sekarang, apabila kita berumur - kita juga melihat orang yang lebih muda dengan perspektif yang lain. Kita menggunakan kayu ukur berbeza. Kita menggunakan tahap umur kita untuk menilai mereka yang berada pada tahap yang lain. Kita selalu berkata kita 'makan garam terlebih dahulu' - falasi yang biasa. Apa kaitan makan garam dengan pengetahuan?

Sebenarnya, bagi aku - kita dan mereka yang lebih muda sebenarnya sama sahaja. Kita pernah melakukan kesalahan di masa muda. Sekarang pun, kita masih melakukan kesalahan juga sesuai dengan umur kita. Anak-anak muda ini pula - akan sampai saatnya nanti akan melihat generasi lain yang lebih muda - sama seperti apa yang kita lihat.

Jadi - apa penyelesaiannya? Kita perlu berkongsi cerita. Kita perlu bersahabat dengan mereka. Itu sahaja. Sebab itu, sekitar Jun nanti aku akan kembali ke sekolah lama aku. Aku hendak bercerita sesuatu dengan mereka.

Kalau ada masa, nanti kita berbincang cerita benar seorang teman yang terjebak dengan dadah.

Thursday, 12 March 2009

Ini bangsa apa bahasanya?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Masih lagi soal bahasa.

Isu bahasa Melayu sepatutnya menjadi tunjang kepada perjuangan ketuanan Melayu. Setiap bangsa ada ciri uniknya. Salah satunya ialah bahasanya. Tidak menguasai bahasa tidak mengapa. Yang penting mencintainya. Kita tidak perlu terlalu bijak menguasai tatabahasa, atau bunga bahasa. Itu biar ahli bahasa yang uruskan. Tetapi kita perlu cintai bahasa kita sendiri.

Tidak pedulilah siapa anda sekalipun. Anda mungkin bertutur bahasa Inggeris di dalam mimpi sekalipun. Kerana anda bersekolah Inggeris, menyelesaikan A level di negara Inggeris, berguru dengan pengajar dari Scotland ketika sarjana muda, berkerja dengan syarikat antarabangsa yang berpusat di New York dan menghitung wang poket dalam nilai dolar. Tetapi anda perlu mencintai bahasa Melayu.

Tidak pandai tidak mengapalah.

Aku dilahirkan dalam budaya Melayu, tetapi kami berbahasa Thai. Aku kenal bahasa Thai lebih awal dari bahasa Melayu. Malah, dalam banyak korpus bahasa, aku lebih arif dalam bahasa Thai berbanding bahasa Melayu. Misalnya nama pokok dan haiwan - kerana itulah antara bahasa yang kita kenal ketika kanak-kanak. Tetapi aku lebih sayangkan bahasa Melayu lebih dari bahasa lain. Sebabnya aku orang Melayu.

Ingat lagi, zaman sekolah dahulu sekitar pertengahan 80-an. Aku mencuri baca karangan seorang senior aku yang bernama Peter Tan. Dia ini orang Cina. Tapi dia adalah pelajar paling pintar di Sekolah Menengah Jitra waktu itu. Buku-bukunya disimpan di bilik bacaan. Jadi, apabila tidak ada aktiviti, aku sesekali mencuri belek nota latihannya. Karangan Melayunya sangat bagus. Lebih baik dari banyak orang Melayu. Mungkin itulah antara 'guru' bahasa yang paling baik aku miliki - guru yang tidak mengajar di bilik kelas.

Mungkin bukan hanya Peter Tan seorang sahaja orang bukan Melayu yang hebat berbahasa Melayu. Di Universiti Kebangsaan Malaysia, seorang rakan baik. Dia lelaki India. Dia fasih berbahasa Tamil, Inggeris dan Melayu. Tetapi dia cukup pantang kalau ada kesalahan bahasa Melayu dalam tugasan pelajar. Dia tidak akan melayan kalau ada tugasan yang dilakukan pelajar dalam bahasa Inggeris. Baginya, setiap orang Malaysia perlu tahu bahasa Melayu. Titik.

Itu orang bukan Melayu. Mereka ini bukanlah ahli bahasa yang hebat seperti Lim Swee Tin. Tetapi mereka cintakan bahasa Melayu. Kita orang Melayu, sewajarnya mencintai bahasa kita. Tidak pandai tidak mengapalah.

Kini orang Melayu sedang dihadapkan dengan dilema. Bahasa ibundakah atau bahasa Inggeris?

Tak mengapalah. Kita pilihlah sendiri. Kita mungkin perlu bahasa Inggeris kerana manual VCD buatan negeri China tidak tertulis dalam bahasa Melayu. Kita juga perlu bahasa Inggeris kerana takut nanti kita tersesat di dalam 'presint' di Putrajaya, atau nanti kita jadi kekok untuk menyebut dengan betul ejaan "Cyberjaya".

Kita juga perlu bahasa Inggeris kerana takut nanti kita tersalah baca arahan makan ubat Panadol. Anak-anak kita nanti juga mungkin akan dicela seumur hayatnya kerana tidak tahu berbahasa Inggeris. Baguslah.

Cuma kalau kita tidak memiliki bahasa, apa lagi yang kita ada? Kita sudah lama ketinggalan dalam ekonomi, tidak juga begitu hebat dalam teknologi. Dalam hal politik pun, sekarang orang sedang mentertawakan kita.

Kalau kita sendiri pun tidak begitu kagum dengan bahasa sendiri, adakah pula kilang pengeluar VCD di Negeri China sanggup untuk mencetak manual dalam bahasa Melayu?

Tidak pandai tidak mengapalah. Tetapi cintailah ia. Tidak mahu mengembangkan bahasa pun tidak mengapalah. Tetapi jangan kita meruntuhkannya.

sajak ada di laman PoemFakirFikir

Kursus kepimpinan orang muda: siri 3

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sila baca Siri 1 dan 2 dahulu sebelum baca bahagian ini.

Situasi 3: Group Cohesiveness

Melihat kepada kedudukan pekerja sekarang, anda melihat betapa perlunya kejelekitan kumpulan (group cohesiveness) perlu diperkuatkan. Syarikat tidak akan mampu menyempurnakan misi sekiranya setiap ahli kumpulan bergerak sendirian. Sebagai pengurus baru, apa yang perlu anda lakukan. Bagaimana boleh anda buktikan kepada para pekerja menunjukkan betapa kejelekitan kumpulan itu sangat utama?

Step 1: Anda memanggil satu lagi mesyuarat. Mesyuarat ini akan membincangkan beberapa agenda dan polisi. Bagaimana pun sebelum memulakan mesyuarat, anda seperti biasa akan berperanan sebagai pemimpin psikologi yang cuba mengubah minda pekerja.

Step 2: Di dalam bilik mesyuarat, anda bertanya kepada pekerja anda* "Bolehkah kita mengangkat seorang daripada anda dengan hanya satu jari?". Para pekerja akan menggeleng-gelengkan kepala. Mustahil boleh mengangkat seorang individu dengan satu jari sahaja.

Step 3: Anda mintalah seorang daripada ahli mesyuarat tidur terlentang. Anda kemudiannya meminta semua ahli mesyuarat (misalnya 12 orang) untuk meletakkan jari telunjuk mereka di bawah badan ahli yang tidur tadi. Kemudiannya minta mereka angkat. Ia pasti boleh diangkat kerana walaupun dengan satu jari, tetapi disebabkan tenaga 12 orang berhimpun, ia tidak seberat mana lagi.

Kesimpulannya:
Dengan hanya kerja secara berkumpulan, semua masalah dapat diselesaikan. Yang berat menjadi ringan.

*Kaedah ini diambil dari satu siri latihan di Port Dickson sekitar 1999. Tetapi kaedah ini banyak digunapakai oleh kebanyakan pengendali latihan lain juga.

TAMAT KURSUS

NOTA: KAEDAH MENGHAFAL
Sekitar Jun 2009, aku akan ada di Malaysia. Sekiranya anda merupakan guru sejarah atau geografi atau subjek-subjek yang memerlukan daya hafalan, aku bercadang untuk mengadakan bengkel menghafal secara percuma (sekadar memenuhi masa lapang) kepada pelajar sekolah kategori SPM.

Bagaimana pun jumlah pelajar haruslah tidak begitu ramai, maksimum dalam 30 orang. Keutamaan hanya kepada sekolah luar bandar sekitar Changlun, Jitra, Taiping, sekitar Perlis dan jarak perjalanan di antara keduanya. Ini kerana itu jalannya aku selalu berulang alik nanti. Ia dilakukan secara informal sahaja. Sekiranya dirasakan perlu, hubungi fakirfikir@hotmail.com. Bagaimana pun mungkin tak banyak tempatlah boleh pergi. Bergantung kepada masa.

Wednesday, 11 March 2009

Kursus kepimpinan orang muda: siri 2

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sebelum baca bahagian ini, rujuk dahulu perbincangan sebelumnya di sini
Jangan juga lupa klik IKLAN ini kalau ini kali pertama anda mengunjungi blog ini.

Situasi 2:
Syarikat tempat anda berkerja masih lagi kucar-kacir. Setelah tamat mesyuarat, pekerja masih bising-bising. Ketika dalam perjalanan dari bilik mesyuarat, anda melihat ada seorang pekerja yang sedang tidur sambil berdengkur. Dia sepatutnya berjaga, kerana jawatan hakikinya ialah jaga. Sebelum ini, beberapa kali surat amaran diberikan. Tetapi dia tidak layan pun. Sebagai pengurus, anda perlu berfikir apa yang harus dilakukan. Mustahil anda perlu memecatnya, sedangkan anda baru sahaja ditugaskan sebagai pengurus. Lagi pula, jaga itu mempunyai 7 anak dan 2 isteri. Anda perlu menjadi manusia juga, bukan sekadar sebagai pengurus.

Step 1: Anda jangan menegur jaga yang sedang tidur tadi. Itu bukan kerja seorang pengurus untuk berfikir. Sebaliknya, anda harus memanggil seorang eksekutif sumber manusia yang bertanggungjawab dalam hal-hal disiplin pekerja. Anda menyuruh pegawai tadi menjenguk perilaku jaga tadi. Jangan minta dia kejutkan jaga. Nanti terganggu pula mimpinya.

Step 2: Apabila pegawai tadi menemui semula anda, tanyalah dia apa yang harus dia lakukan. Dia akan memberikan beberapa cadangan yang bernas. Sebenarnya dia hanya berlakon di depan anda untuk menunjukkan ketegasan sahaja. Setelah dia selesai memberi cadangan, anda berikan cadangan anda pula. Cadangan anda itu akan diterima kerana anda ialah seorang pengurus. Kalau tidak diterima, anda bukan pengurus!

Step 3: Cadangan anda ialah berikan cuti rehat 2 hari bergaji penuh tanpa menolak jumlah cuti sedia ada kepada jaga tadi. Minta pegawai tadi memberitahu bahawa anda yang mengurniakan cuti tadi kerana anda memang seorang yang baik hati.

Step 4: Setelah jaga tadi masuk semula bekerja, minta pegawai sumber manusia tadi memanggil jaga tadi mengadapnya. Minta pegawai tadi tanyakan soalan-soalan ini: a) Bagaimana cuti rehat anda? b)Adakah sekarang keletihan anda sudah hilang? c)Bagaimana pula dengan syarikat ini. Tidakkah anda melihat bahawa ia masih beroperasi seperti biasa tanpa anda? Lihatlah, tanpa kehadiran saudara sekalipun, syarikat masih beroperasi. Ini bermaksud, bahawa sekiranya syarikat membuang saudara sekalipun, kami akan tetap beroperasi. Sekiranya anda ingin terus berkerja, anda dipersilakan. Sekiranya tidak, ia tidak menghilang apa-apa pun kepada kami.

Soalan-soalan a) dan b) hanyalah pembuka bicara. Soalan c) itulah yang akan menghukum jaga tadi. Jaga tadi terasa terpukul kerana dia sudah terlebih dahulu menerima anugerah cuti. Dia tentu menyangka cuti yang diberikan tadi ialah kerana kebaikan. Tetapi rupanya cuti tersebut ialah satu hukuman. Dia tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Dia sudah termakan budi dengan cuti tadi. Apatah pula, sebelum ini pada soalan a) dan b) dia tentu akan memberikan jawapan yang baik-baik belaka.

Implikasi
Kaedah ini boleh digunakan kepada mana-mana sahaja kakitangan yang bermasalah. Ia akan menyebabkan pekerja bermasalah ini 'malu muka' setiap kali bertemu dengan anda. Dia tidak marahkan anda, sebab bukan anda yang berkomunikasi dengan pekerja bermasalah tadi. Dia juga tidak marahkan pegawai sumber manusia, kerana dia tahu pegawai tadi hanya menerima arahan. Ia juga boleh dilakukan kepada anak-anak. Misalnya memberikan hadiah kalau mereka gagal. Semua ini adalah hukuman bersifat psikologi.

Nanti kita sambung.

Kursus kepimpinan orang muda: siri 1

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sebelum baca, klik IKLAN dahulu.

Banyak yang baca blog ini ialah orang muda. Yang aku tahu ialah Intan, Aini, Butterflywinlove Imanina, Ihsan dan beberapa orang lagi. Kategori veteran seperti Bentara, Zainol dan Azam tidak termasuk dalam kategori orang muda. Yang lain aku tidak kenal. Mungkin ada yang sedang menggelepar sibuk di universiti, dan ada juga terkejut dengan gaji bulan pertama.

Sebahagian daripada mereka telah menghadiri bermacam-macam kursus dan bengkel. Tujuannya untuk membolehkan mereka jadi pengurus atau pemimpin yang baik (nota: seorang pemimpin tidak semestinya pengurus, yang jadi pengurus kadang-kadang tidak bersifat pemimpin). Banyak juga yang bertujuan memenuhkan koleksi sijil yang entah siapa mahu melihatnya.

Jadi hari ini, aku terasa ingin memberikan kursus kepimpinan secara online. Ia tidak diajar di bilik kuliah atau dalam teks. Tidak juga mungkin ditemui dalam mana-mana kursus sebelum ini.

*************
Situasi 1
*************
Anda baru dilantik sebagai seorang pengurus di tempat yang penuh bermasalah. Kakitangannya tidak bersatu, berkonflik dan tidak percaya di antara satu sama lain. Pihak syarikat merasakan perlu diadakan sesuatu dengan melantik anda sebagai pengurus. Sebagai pengurus, bagaimana anda menanganinya?

Step 1: Hari pertama anda masuk pejabat. Anda jangan lakukan apa-apa. Jangan sesekali tunjukkan taring pengurus anda. Biarkan pekerja anda dengan hal masing-masing. Perhatikan gelagat mereka. Ingat, secara psikologinya mereka juga memerhatikan anda. Tetapi jangan pula berbual-bual atau menunjuk baik dengan mereka pada tahap ini.

Step 2: Hari ke 4 atau 5, panggil satu mesyuarat. Inilah waktunya anda menunjukkan taring anda. Ingat, ini bukan mesyuarat seperti biasanya. Tidak perlu ada minit. Tidak perlu ada nota. Anda perlu berwaspada dengan tempat duduk anda. Anda perlu duduk pada kerusi yang paling besar, duduk di sudut tengah lebar meja dan mesti sentiasa lain dari yang lain (Nota: pemimpin secara prinsipnya berbeza dengan orang bawah).

Jadi anda mulakan mesyuarat pertama anda bukan memperkenalkan siapa anda, sebaliknya meminta setiap pekerja memperkenalkan diri mereka, jawatan, kelebihan dan kekurangan. Minta mereka bercerita dengan jujur apa yang boleh mereka lakukan untuk kejayaan organisasi. Anda adalah orang yang paling akhir memperkenalkan diri (secara psikologinya, mesyuarat anda sudah terbalik dari kebiasaannya).

Mulakan dari kiri ke kanan, atau dari kanan ke kiri.

Apabila tiba giliran anda, anda ceritakan pula diri anda. Tetapi pada bahagian kelebihan dan kekurangan diri, anda bermain dengan ayat psikologi: "Saya tidak mempunyai kelebihan atau kekurangan. Kelebihan dan kekurangan saya ada pada anda semua. Kalau anda semua kuat, saya pun kuat. Kalau anda semua lemah, saya pun lemah. Hadirnya saya di sini ialah kerana adanya anda semua".

Mesyuarat bersurai. Jangan berbincang apa-apa agenda lagi. Itu perlu dilakukan setelah anda menyelesaikan beberapa step lagi. Peringkat ini ialah untuk mengembalikan moral pekerja, bukan bercakap hal agenda.

Sekiranya anda dilantik sebagai pengerusi kelab di universiti misalnya, anda boleh terus memulakan cara ini sebagai satu cara memulakan mesyuarat. Kemudiannya terus membincangkan agenda. Begitu juga kalau anda hanya dilantik sebagai ketua di satu jabatan yang tiada masalah.

Bagaimana pun, dalam konteks tempat kerja yang lebih kompleks dan bermasalah, mesyuarat sepatutnya bersurai selepas sesi ini. Anda boleh menyambung mesyuarat pada waktu yang lain. Ini bagi membolehkan pekerja anda akan bercakap-cakap mengenai anda, dan mula meneka apa akan berlaku selanjutnya (Ini juga sebahagian permainan psikologi).

Bersambung untuk kes 2: Group Cohesiveness

Nota: Anda juga patut rajin-rajin membelek buku apa yang dikatakan pemimpin. Boleh baca buku Gary Yukl atau K.H Blanchard. Yang pertamanya lebih conceptual, keduanya lebih praktik. Training provider yang bersifat komersil juga tidak digalakkan menceduk kaedah ini tanpa pemberitahuan terlebih dahulu.

Tuesday, 10 March 2009

Iklan! Iklan! Pembantu Penyelidik

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
IKLAN! IKLAN!

Pada pertengahan May 2009 nanti, kajian berkaitan stress pekerjaan di kalangan penduduk negeri Selangor akan diadakan. Sebanyak 530 peserta kajian akan terlibat di setiap daerah yang merangkumi kumpulan berpendapatan tinggi dan rendah, bandar dan luar bandar.

Rumah-rumah kediaman bagi kumpulan sasaran ini telah ditetapkan (berdasarkan cabutan peta Jabatan Perangkaan Malaysia).

Sehubungan itu, pihak kami bercadang untuk mendapatkan pembantu penyelidik bagi mengedar soal selidik, dan mengutipnya semula selepas dua atau tiga hari dengan andaian borang berkenaan telah diisi oleh peserta kajian. Bayaran akan dibuat berpandukan jumlah borang selidik yang diisi dan dikutip semula. Buat masa ini, bayaran yang dicadangkan ialah RM 10 per soal selidik (Jumlahnya mungkin dinaikkan sedikit setelah saya melihat kawasan kajian dan cabaran yang ditempuh).

Sekiranya anda seorang pelajar universiti di kawasan Lembah Klang, atau graduan menganggur dari 3 universiti sekitar Adelaide anda digalakkan untuk memohon. Jumlah soal selidik yang ingin anda edar dan kutip semula bergantung kepada kemampuan masing-masing. Misalnya anda hanya merancang untuk mendapatkan RM100, maka anda boleh mengedar/kutip 10 soal selidik sahaja.

Kriteria lain:
1. Seorang yang jujur - jangan ada yang berangan-angan untuk mengisi sendiri borang tersebut. Follow-up dengan peserta kajian akan dibuat bagi memastikan kesahihan.
2. Berminat dengan kerja-kerja penyelidikan.
3. Berani, stamina tinggi dan kuat iman - kadang-kadang anda mungkin berhadapan dengan tuan rumah garang, anjing yang ganas, atau memanjat rumah flat tanpa 'lift'.
4. Tidak mudah patah semangat - mungkin ada tuan rumah yang melengah-lengahkan mengisi borang. Ini membuatkan anda berasa fed-up, marah dan stress.

Kelebihan lain
1. Anda mungkin dijemput minum free oleh tuan rumah. Bagaimana pun, ia tidak digalakkan.
2. Anda mungkin akan dapat pengetahuan berjalan kaki, naik motor dan sesat di dalam taman perumahan atau kampung. Semakin jauh anda sesat, semakin banyak anda belajar.

Berminat, hubungi aku.

Monday, 9 March 2009

Anda mahu dengar berita ini?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Nota: Ini bukan perbincangan politik.

Setiap hari kita akan cuba membaca suratkhabar. Sekarang mari kita teliti senarai tajuk di bawah:

1. Penanaman pokok, tugu kemuncak penderhakaan: Zambry (Berita Harian)
2. Sasaran pembangkang: Menangi ketiga p'raya kecil (Malaysiakini)
3.GMP nafi didalangi pihak tertentu - PPSMI (Utusan Malaysia)

Tentu ada di antara kita yang suka dengan tajuk-tajuk atau komen-komen tertentu yang dikemukakan oleh tokoh terbabit. Tentu juga ada yang tidak suka dengan kenyataan yang dikemukakan. Mengapa jadi begitu?

Sebabnya mudah sahaja. Sudah menjadi naluri manusia, kita ingin mendengar apa yang ingin kita dengar. Topik ini ada diajar dalam psikologi sosial. Sebab itu, sebagai pelajar, kita sering ingin mendengar berita yang baik atau berpihak kepada kita. Kita ingin mendengar berita yang kita lulus periksa. Pekerja pula ingin mendengar pujian majikan atau kenaikan gaji. Jarang kita mahu mendengar sesuatu yang tidak kita mahu dengar. Misalnya celaan orang terhadap prestasi kita, atau komen-komen yang tidak berpihak kepada pegangan kita.

Jadi sebelum mendengar sesuatu, kita sebenarnya sudah menjangka apa yang ingin kita dengar. Seseorang yang berada di dalam mahkamah ingin mendengar keputusan hakim yang berpihak kepada dirinya. Jarang, ada yang ingin mendengar sesuatu yang merugikan - misalnya dijatuhi hukuman bunuh.

Sebab itu, anda jangan terkejut kalau dalam ceramah-ceramah politik, kalau ada yang memuji pemimpin tertentu sebagai kononnya berceramah dengan hebat. Mereka jadi hebat mungkin bukan kerana hujahnya. Mereka jadi hebat kerana mereka memperkatakan sesuatu isu yang ingin kita dengar. Kalaupun ada 100,000 penonton yang bertepuk tangan, mereka mungkin bertepuk kerana pemimpin tadi bercakap hal yang ingin mereka dengar. Tidak penting sama ada isu itu bernas atau tidak. Yang penting, pandangan pemimpin tadi sama dengan apa yang diharapkan.

Setiap pemidato yang hebat biasanya sudah terlebih dahulu mengkaji kelompok pendengar di satu-satu kawasan. Mereka sudah tahu apa yang bakal diucapkan, dan apa yang tidak patut mereka syarahkan. Mereka bercakap dengan nada yang berbeza dalam kelompok yang berbeza.

Dalam krisis politik Perak misalnya, banyak yang marah-marah keputusan pihak istana kerana melantik Menteri Besar yang baru. Mereka marah kerana keputusan yang dibuat tidak sealiran dengan apa yang ingin mereka dengar. Sekarang ini mereka mula memperkatakan tentang batasan kuasa Raja dan pihak eksekutif.

Golongan yang satu lagi pula akan menyatakan pihak yang tidak bersetuju dengan tindakan istana sebagai penderhaka.

Perlu diingat, selepas pilihanraya 2008 dahulu misalnya, di Terengganu juga berlaku krisis yang hampir sama. Pihak istana tidak mahu melantik semula seorang bekas Menteri Besar. Waktu itu, kumpulan yang sama, yang sekarang ini marah-marah, menyokong penuh dengan keputusan yang dibuat. Mereka tidak pula mempertikaikan keputusan dan batasan kuasa istana.

Kumpulan yang satu lagi pula telah dianggap sebagai puak yang menderhaka.

Mengapa jadi begini? Sebabnya manusia ingin mendengar sesuatu yang ingin mereka dengar. Kita terlebih dahulu membina konsep tentang apa yang kita mahu, dan apa yang tidak kita mahu. Inilah kelemahan manusia. Kita tidak bersikap adil. Kita sentiasa bersikap double standard terhadap sesuatu isu.

Sebab itu, sebagai orang awam, adakalanya kita jangan terlalu emosi apabila membaca berita politik negara. Anda mungkin membuat penilaian berdasarkan bias yang tidak anda sedari.

Jadi, jangan marahkan sesiapa kalau anda tidak sukakan satu-satu berita. Ia bukan salah pemberitaan. Ia bukan salah wartawan. Ia salah diri kita kerana tidak mahu mendengar yang tidak kita inginkan, dan hanya ingin dengar apa yang kita inginkan. Jangan hairan, kalau ada orang mahu memboikot Utusan Malaysia. Seperti juga jangan jadi kelabu mata kalau ada orang yang tidak sukakan Harakah.

Sebab itulah ada orang yang marah-marah kalau ada berita yang tidak baik mengenai Mawi dan Ikin, seperti juga ada orang yang sangat riang mendengar sesuatu yang buruk mengenai mereka berdua.

Sebagai manusia - kita hanya ingin mendengar satu berita. Berita yang menguntungkan dan memuaskan selera kita!

Blog ini juga dikunjungi oleh pembaca yang ingin membaca apa yang ingin mereka baca. Yang lain hanya singgah dan kemudiannya melupakannya.

Sunday, 8 March 2009

Anda pernah berbohong

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Anda pernah berbohong? Jangan katakan tidak. Anda mungkin sedang berbohong.

Dalam psikologi, ada satu kenyataan yang selalu diulang-ulang. "Ayat pertama adalah sikap". Ini bermaksud, ayat atau kata-kata pertama yang diucapkan oleh manusia itu biasanya adalah pernyataan yang paling jujur dan betul. Melainkan kalau ia dirancang lebih awal untuk mengucapkan sesuatu dengan maksud berbohong.

Ayat-ayat atau kata-kata selepasnya mungkin tidak selalu betul. Sebab ia sudah boleh dirancang. Atau dengan kata lain, ia dinyatakan dengan maksud sesuatu yang sama ada berselindung atau tidak. Atau dia sudah dimanipulasi melalui perbualan demi perbualan yang menyebabkan kenyataan selepas ayat pertama tadi tidak lagi benar.

Bolehkah kita tahu jika seseorang berbohong? Sebenarnya kita boleh lihat pada mata hitamnya. Walaupun mulut mungkin berkata lain, tetapi hanya otak sahaja yang tahu. Otak tidak berbohong, malangnya ia tidak boleh bercakap.

Orang yang berbohong mata hitamnya akan sedikit mengecil. Ini berlaku kerana tidak terdapat keserasian di antara otak dan biji mata. Pegawai yang menyiasat sesuatu kes biasanya akan merenung tajam mata seseorang yang ditanya. Tujuannya untuk memastikan seseorang itu berbohong atau tidak, dengan melihat mata hitamnya.

Ada juga alat bagi mengesan bohong. Ia dinamakan poligraf. Fungsinya juga untuk melihat mata hitam selain beberapa perubahan yang lain pada fizikal manusia.

Jadi, kepada kaum lelaki (i.e Azam) yang berangan-angan untuk berpoligami, ia perlu merancang dari sekarang dengan berbohong. Kaum lelaki kumpulan ini perlu memberitahu isteri masing-masing, bahawa kalau mereka berbohong mata hitam akan membesar. Jadi, pada satu saat nanti - apabila mereka perlu berbohong, isteri masing-masing akan merenung biji mata hitam mereka. Mereka akan melihat biji mata hitam suami kian mengecil. Jadi mereka ingat suami tadi bercakap benar!

Untuk gadis-gadis yang ingin berkahwin pula, ada baiknya anda meminta dibelikan alat poligraf sebagai hantaran. Ia akan berguna selepas beberapa tahun anda berkahwin. Anda tidak tahu bila waktunya anda perlu menggunakannya. Ia lebih baik dari sebentuk cincin yang lambat laun tidak lagi sesuai dengan jari anda yang kian menggemuk.

Saturday, 7 March 2009

Ingat tarikh 7 Mac 2009

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hari ini 7 Mac 2009. Hari Sabtu. Kita semua perlu ingat tarikh ini. Ingat tarikh ini bukan kerana ia hari jadi sesiapa, hari ulangtahun perkahwinan, atau hari pertama jatuh cinta. Ingat tarikh ini kerana inilah harinya orang Malaysia beramai-ramai memohon untuk kembali menggunakan bahasa Melayu dalam pengajaran sains dan matematik.

Kita perlu ingat tarikh ini sebab nampaknya bahasa Melayu sudah menjadi bahasa yang kurang nilai komersil di negara sendiri. Orang Russia, Itali, Korea, Jepun, Sepanyol, Peranchis, Jerman, Arab, Thai dan Indonesia tidak pernah peduli kalau mereka tidak pandai berbahasa Inggeris. Mereka hanya ambil tahu bahasa Inggeris bagi tujuan komunikasi dengan orang lain yang tidak tahu bahasa mereka.

Bayangkan seorang lelaki Thai cuba mengorat seorang gadis Thai cantik dengan menggunakan bahasa Inggeris. Sampai kiamat pun belum tentu dia dapat memiliki gadis tadi. Tapi, dia ada sedikit harapan kalau dia menyebutnya, "Nong Saw, khun tja pai nai leh khraph. Khun ni suai cing-cing. Phom phut ching" (terjemahan: Adik manis, awak mahu ke mana? Awak ini sungguh cantik, cantik sungguh. Saya bercakap benar).

Begitu juga kalau gadis Sunda di kota Jakarta mahu menggoda teman lelaki sekuliahnya. Dia akan berkata: 'Wah. Aku bingung sih. Dari kemarin aku ngak bisa tidur nih. Aku kangen bangat sih sama kamu. Bisa ngak kalau aku dapatkan nomor hp kamu?".

Begitulah kuasa bahasa. Ia bukan sahaja meluntur-luluhkan hati. Ia juga menjadi medium untuk umat manusia memulakan percintaan. Kalau mereka bercakap bahasa yang tidak difahami oleh majoriti bangsanya, maka ia sepertilah itik jantan cuba menggoda ayam betina.

Kalaulah bahasa itu difahami, sudah lama kita akan melihat ayam betina berenang di tengah tasik kerana tergodakan kelunakan bahasa itik jantan. Tetapi ini tidak berlaku.

Tetapi malang, di negara kita - kita tidaklah begitu sayangkan bahasa kita. Kita cintakan bahasa Inggeris. Walaupun kita sendiri tidak begitu pasti bahasa Inggeris sebutan kita itu berasal dari Wales, Ireland, Amerika Syarikat, atau dari mana. Atau bahasa Inggeris kita itu hanya ciptaan kita sendiri.

Kita begitu sibuk dengan bahasa orang lain sehinggakan terlupa bahasa kita tidak pun tertera di belakang kotak televisyen atau manual mesin basuh buatan Negeri China.

Ada yang teruja berbahasa Inggeris sebagai kononnya dengan bahasa itu sahaja kita akan maju. Ini pemikiran yang tidak betul.

Maju atau tidak bukan ada pada bahasa. Maju ada di dalam minda. Bercakap baik dalam bahasa Inggeris belum tentu seseorang itu maju. Tidak percaya? Lihatlah banyak orang Aborigin yang fasih dan petah berbahasa Inggeris. Tetapi merekalah yang banyak mabuk di tengah jalan. Menyusur ke hulu dicerca, mudik ke hilir diumpat kerana kemalasan.

Orang Barat maju bukan kerana bahasa Inggeris. Mereka maju kerana minda. Mereka maju kerana jujur. Mereka maju kerana sikap yang betul. Mereka maju kerana kurang rasuah. Kita pun akan maju kalau semua masalah ini dapat kita atasi. Ingat, yang maju bukan hanya di kalangan orang yang fasih berbahasa Inggeris seperti majoriti penduduk UK dan Amerika. Orang Jerman dan Peranchis yang tidak tahu sepatah pun bahasa Inggeris juga maju kerana minda mereka.

Di Malaysia, ada falasi yang betul membingungkan. Kalau anda bijak berbahasa Inggeris, anda akan mudah diterima berkerja. Betulkah pandangan ini. Tanyalah Cikgu Intan yang fasih berbahasa Inggeris. Berapa banyakkah surat dan resume yang telah dia hantar.

Peluang pekerjaan bukan tergantung kepada penguasaan bahasa Inggeris. Ia bergantung kepada kecerahan ekonomi. Semakin cerah ekonomi, semakin cerahlah peluang pekerjaan. Penguasaan bahasa lain akan memberikan sedikit harapan. Itu sahaja. Tidak lebih dari itu.

Ada juga yang percaya, dengan mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, maka akan lebih bijaklah anak-anak kita. Kita bimbang, mereka bukan sahaja tidak bijak berbahasa Inggeris, tetapi tidak juga bijak dalam matematik dan sains. Itu yang paling menakutkan.

Cuba kita bertanya balik. Siapa yang mengajar matematik dan sains tadi. Gurunya mungkin orang Melayu, Cina atau India yang di rumahnya bertutur dalam bahasa ibunda. Mereka juga belum tentu bersedia mengajar dalam bahasa Inggeris. Hasilnya, apabila mengajar dalam bahasa Inggeris - mereka yang asalnya tadi bijak bidang yang diajar - jadi sukar mengajar. Mereka menyampaikan pengajaran dalam medium yang tidak mereka kuasai.

Jadi apa hasilnya? Hasilnya mereka akan pulang kebingungan seperti pemuda Thai yang gagal mengorat gadis cantik sebangsa dengannya kerana ingin menunjuk pandai berbahasa Inggeris.

Kita tidak menafikan keperluan bahasa Inggeris. Tentu ada jalan lain bagaimana untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar kita. Tetapi bukan dengan cara mengorbankan bahasa Melayu. Kita juga bimbang kita mengorbankan 3 perkara serentak. Kita melemahkan penguasaan bahasa Melayu, membingungkan sains dan menyulitkan matematik. Bukankah lebih baik kita ajarkan sahaja anak-anak kita dengan satera Inggeris. Biar mereka kenal siapa William Shakespeare dengan Hamlet dan Macbeth.

Jadi ingat tarikh 7 Mac 2009. Inilah tarikhnya kita memperjuangkan ketuanan kita. Inilah ketuanan Melayu yang lebih utama.

Monday, 2 March 2009

Falasi! Falasi!

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Anda pernah dilanda simptom falasi? Apakah pula perkara ini. Kalau simptom tiada 'fulus' tentu banyak orang pernah kena.

Falasi ini juga masalah pemikiran manusia. Ia bukan penyakit. Anda tidak akan dirawat di hospital dengan simptom ini. Melainkan kalau falasi anda teruk sangat. Apa itu falasi?

Falasi - dalam bahasa Melayu mungkin 'kesilapan'. Aku tidak begitu pasti istilah psikologi kerana mereka menyebutnya falasi juga. Tapi aku tidak mahu membincangkan beberapa jenis falasi secara mendalam. Itu kena buka buku.

Misalnya begini, jika A, tentu akan B.
'Kalau abang balik lambat, tentu abang ada perempuan lain di luar': kata isteri. Ini adalah bentuk-bentuk falasi. Orang akan akan cuba menghubungkan satu-satu kejadian dengan kejadian yang lain. Kadang-kadang ia ada kaitan, tetapi dalam banyak hal ia adalah dua perkara berlainan.

'Dia pandai berucap, tentu ia seorang pemimpin yang bijak": kata penyokong parti Ayam. Ini juga bentuk falasi yang biasa berlaku. Kita mengaitkan sesuatu perkara dengan perkara yang tidak relevan. Pandai berucap tidak semestinya seseorang itu bijak. Ia hal yang tidak ada kena mengena. Dia mungkin pandai berucap sebab banyak berlatih, atau itulah sahaja kebijaksanaan yang dia ada. Sebab itu jangan tergoda dengan ucapan-ucapan hebat. Yang pandai berucap mungkin juga orang yang paling bodoh. Siapa tahu?

Sebab itu, apabila kita menelefon seseorang yang tidak pernah ditemui (misalnya perempuan operator telefon khidmat pengguna), apabila mendengar suaranya yang merdu, kita mula berfikir orang itu tentu cantik dan belum berkahwin. Ia belum tentu. Banyak penyanyi wanita Malaysia yang tidaklah cantik sangat, tetapi suara mereka juga merdu.

Ada pula yang berfalasi begini, jika A, tentu akan B. Kalau bukan A, tentu bukan B.
'Dia peramah, dia tentu seorang yang baik'. "Dia pendiam, tentu dia sombong'. Ini hal yang kerap berlaku apabila kita pertama kali berjumpa dengan seseorang. Kita mungkin terlupa, 'buaya darat' juga peramah. Tetapi mereka bukan orang baik. Merekalah yang banyak mengekspot gadis-gadis tempatan ke Singapura, Hong Kong dan Thailand.

Seperti juga 'dia masuk universiti, tentu dia tahu semua'. Ini juga falasi lazim. Siapa kata yang belajar di universiti tahu semua? Banyak orang yang masuk universiti mungkin tahu sedikit sahaja. Itu pun bidang yang dia belajar. Tetapi menjadi masalah, graduan universiti dalam bidang Kimia misalnya akan ditanya juga hal-hal ekonomi, matematik dan banyak perkara lain. Dia mungkin tahu, tetapi jangan anggap dia tahu semua. Itu falasi.

Inilah antara falasi yang kerap menyelingkar dalam hidup kita sehari-harian. Falasi ini boleh terbina hasil pergaulan, pembacaan atau apa sahaja yang menjadi 'guru' kita. Jadi jangan terkejut, sekalipun kita orang Islam, kita juga sesekali tergoda dengan bisikan 'yang berjanggut panjang, berserban adalah terrorist'. Ini adalah hasil permainan media. Siapa kata hanya berjanggut sahaja boleh jadi terrorist. Gerila pemisah Ireland Utara misalnya tidak pun mempunyai janggut. Gerila Harimau Tamil di Sri Lanka tidak pun memakai serban.

Falasi-falasi inilah yang banyak menyebabkan berfikir secara songsang.

Nanti kita bincang lagi. Ini hanya pengenalan.

Sunday, 1 March 2009

Menujum kegagalan orang lain

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kita mulakan kembali perbincangan psikologi. Kali ini kita berbincang hal yang sering berlaku di sekeliling kita sahaja. Kita bercerita mengenai 'self fulfilling prophecy'. Dalam bahasa Melayu ia dikenal juga sebagai nujuman penyempurnaan kendiri.

Pernahkah anda berhadapan dengan situasi sebegini:
a) Anda menganggap matematik subjek yang sukar.
b)Anda menganggap jiran anda sebagai sombong.
c)Anda beranggapan pelajar yang berpakaian selekeh dan nakal sebagai bodoh.
d) Anda beranggapan orang Melayu tidak tahu berniaga.

Semua situasi di atas hanyalah sesuatu yang berlegar dalam kognitif minda sahaja. Ia mungkin tidak betul pun. Tetapi semua ini adalah bentuk-bentuk nujuman yang berlaku dalam diri kita setiap hari.

NUJUMAN:Apabila menganggap matematik sebagai sukar, maka kita tidak memberikan perhatian untuknya. Kita mengurangkan ulangkaji. Kita tidak memfokuskan usaha belajar. Kerana kita tahu, usaha yang besar sekalipun akan menyebabkan kita tetap gagal.
PENYEMPURNAAN KENDIRI: Akhirnya, kerana kurang usaha, maka kita akhirnya gagal matematik. Maka ia menyempurnakan nujuman kita tadi.

NUJUMAN: Menganggap jiran sebagai sombong. Maka setiap kali melihatnya, kita tidak menyapa. Kita juga tidak menghulurkan wajah yang mesra.
PENYEMPURNAAN KENDIRI: Kerana kita tidak menyapanya, dia juga tidak memberikan perhatian kepada kita. Akhirnya sempurnalah kesombongan kedua-duanya.

NUJUMAN: Kita beranggapan pelajar selekeh dan nakal sebagai bodoh. Mereka ini biasanya duduk di barisan belakang dalam bilik darjah. Guru tidak memberikan perhatian kepada mereka kerana tahu ia akan membuang masa. Usaha mereka tidak diberikan perhatian.
PENYEMPURNAAN KENDIRI: Guru tidak memeriksa tugas mereka dengan baik. Maklumbalas juga tidak diberikan. Pelajar tadi, kerana tidak diberikan perhatian - akhirnya benar-benar jadi bodoh.

NUJUMAN: Orang Melayu tidak bijak berniaga. Apabila berurusan dengan kakitangan awam untuk mendapatkan bantuan, mereka dipandang sebelah mata. Mereka tidak dilayan secara sepatutnya berbanding bangsa yang dianggap pandai berniaga. Permohonan pinjaman bank pula, kadang-kadang dirumitkan dengan birokrasi kerana bimbang peniaga Melayu ini tidak mampu membayar balik pinjaman. Orang Melayu juga tidak dipanggil 'tauke' walaupun berniaga besar. Orang lain yang hanya menjual kacang goreng di tepi jalan dipanggil dengan panggilan 'tauke'. Gelar yang memotivasikan.
PENYEMPURNAAN KENDIRI: Akhirnya kerana susah untuk mendapatkan bantuan, orang Melayu tidak mampu berniaga. Mereka tidak berani mencuba. Cabaran paling besar mereka berniaga bukan survival berniaga itu sendiri, tetapi umpat orang yang memperlekehkan mereka. Akhirnya mereka jadi hilang motivasi. Perniagaan mereka gagal. Sempurnalah apa yang dinujumkan tadi.

Lihatlah, betapa apa yang berlegar dalam kognitif kita kadang-kadang merosakkan orang lain. Kita mungkin tidak melakukan apa-apa pun. Tetapi 'tidak melakukan apa-apa' itulah yang telah kita lakukan. Ia hasil pemikiran kita yang tidak betul. Semua orang mengalami situasi ini. Kita tidak menyedarinya.

Guru muda seperti Isuzu Aizu tentu pernah melihat semua ini di sekelilingnya bagaimana guru bersembang mengenai seseorang pelajar di bilik guru, dan melayan pelajar di dalam kelas. Peniaga seperti Azam Swinging Bowl juga tentu menghadapi kesulitan untuk berurusan dengan kerenah birokrasi kerana masalah 'nujuman penyempurnaan kendiri' yang ada di ruang minda mereka yang ingin memberi pinjam.

Jadi, untuk kita - jangan gagalkan orang lain. Jangan menujum yang bukan-bukan.

Kalau ada masa, nanti kita bincang topik falasi.

Friday, 27 February 2009

Update tanpa berita

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Lama tidak menulis. Sejak kebelakangan ini begitu sibuk. Sibuk menulis. Tapi bukan menulis blog. Cuma malam ini terasa lapang sedikit. Artikel kedua sudah siap. Tetapi untuk beberapa hari nanti, sibuk itu akan datang lagi.

Antara sebabnya ialah pertengahan May nanti aku akan pulang ke Malaysia untuk memulakan kajian besar berkaitan stress penduduk negeri Selangor. Kira-kira 530 penduduk di setiap daerah akan dikunjungi. Kalau ada pelajar universiti sekitar Selangor yang berminat untuk menjadi pembantu penyelidik, bolehlah hubungi fakirfikir@hotmail.com. Berikan nama dan universiti. Tentulah ada pembayaran untuk kerja-kerja sebegitu.

Sibuk itu juga kadang-kadang menyebabkan stress. Kadang-kadang sampai jam 3 pagi masih belum tidur. Sebab otak masih berfikir, tetapi buku tidak dibuka juga. Menulis pun tidak. Itulah stress. Siapa kata orang yang kaji stress tidak stress. Hah. Mungkin itu sebahagian dari kehidupan. Tetapi stress belajar tidak sama dengan stress berkerja. Stress kerja lebih teruk. Pengalaman kerja di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Indonesia sama sahaja. Tidak lebih baik. Semuanya stress. Paling teruk ketika di Cijantung, Jakarta Timur. Kadang-kadang pergi kerja hanya untuk balik rumah.

Tetapi untuk beberapa hari ini aku terjumpa sesuatu di YouTube. Ia muncul ketika aku sesekali cuba menghilangkan stress. Aku mencari lagu rock kapak di zaman aku membesar. Terjumpa penyanyi Melissa yang dahulunya popular dengan Cinta Untuk Nabila kini dah jadi pendakwah. Itu hijrah yang sangat besar. Keluar dari dunia hiburan, masuk ke dunia yang lain. Aku tahu hal penyanyi itu terlibat dengan hal keagamaan sudah agak lama. Tapi tidaklah pula aku melihatnya memakai serban yang besar sebegitu. Tahniah untuk dia.

Mungkin, untuk menghilangkan stress ini kita juga perlu berhijrah. Itu cara yang paling baik.

Selamat berjumpa lagi. Moga aku tidak sibuk dan boleh terus mengupdate blog!

Monday, 16 February 2009

Yes! Pilihanraya lagi

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Yes! Pilihanraya datang lagi.

Dua pilihanraya kecil di Perak dan Kedah akan berlangsung tidak lama lagi. Semua orang kini sedang memasang mata dan telinga untuk melihat siapakah yang bakal dicalonkan mengisi kerusi parti masing-masing. Yang aktif dalam politik pula setiap hari berdoa agar nama dicalonkan. Pengikutnya pula akan buat statement mengenai kebaikan ketua mereka - dengan harapan nanti pihak atasan akan tergoda dengan kenyataan manis mereka.

Tapi ada sisi lain yang kita tidak tahu. Kita tidak tahu bahawa pilihanraya ini sebenarnya telaga kegembiraan bagi segelintir orang. Mereka ini bukan orang politik, tetapi inilah orang yang bijak berpolitik. Siapa mereka ini?

1. Tukang cetak baju, poster, payung, sticker dan bendera. Mereka ini akan mencetak untuk kedua-dua parti. Mereka ini tidak kisah. Mereka bijak berpolitik.

2. Tukang mesin rumput dan tebas semak jalan. Mereka ini mungkin bukan orang kuat parti politik. Kerja mereka cuma ambil upah bersihkan semak samun. Upah ini pula boleh sahaja datang dari kedua-dua bakal calon untuk menunjukkan mereka mesra rakyat.

3. Tukang cari batang buluh. Mereka ini hanya berkerja setahun beberapa kali. Setiap kali hari raya, mereka akan gembira kerana buluh mereka laku. Pilihanraya merupakan hari raya bonus untuk mereka.

4. Tukang panjat pokok dan tiang. Mereka ini mungkin bukan orang kuat politik. Tetapi mereka berada pada kedudukan paling tinggi dalam politik setiap kali pilihanraya. Mereka sampai kiamat pun tidak mungkin akan menjadi calon. Mereka gembira mendapat upah dengan kerja berisiko tinggi sebegitu. Risiko mereka untuk jatuh mati terhempap lebih tinggi dari ahli politik sebenar yang hanya jatuh terduduk.

5. Tukang sewa khemah dan speaker. Khidmat mereka diperlukan untuk mengisi pentas ceramah politik. Ahli politik sehebat Obama pun tidak akan berjaya kalau bercakap tanpa microphone dan speaker. Jadi, mereka inilah sebenarnya 'think tank' yang paling berkesan.

6. Tukang kipas. Golongan ini mungkin betul-betul kerja mengipas penceramah politik agar tidak begitu kepanasan. Tetapi ada pula yang kipas betul-betul dengan mengangguk dan bersetuju dengan semua yang dicakapkan oleh orang politik. Mereka tidak mengharapkan habuan yang banyak. Sekadar dibelanja makan nasi kandar di pekan Kulim atau Taiping pun sudah cukup baik.

7. Tukang hasut. Kerja mereka ini ialah bercakap berkaitan polisi dan agenda parti masing-masing. Adakalanya cara mereka berhujah lebih baik dari pakar ekonomi negara atau penganalisis politik ternama. Pakar ini biasa akan duduk di kedai kopi berjam-jam untuk menceritakan kebaikan pihak yang disokong, dan keburukan pihak yang ditentang. Mereka juga tahu hal-hal peribadi ahli politik lebih hebat daripada pengetahuan mengenai peribadinya sendiri. Ingat. Mereka ini mungkin tidak pun mendaftar untuk mengundi.

8. Tukang masak lauk. Banyak jamuan dan kenduri akan diadakan. Mereka tidak cukup tangan menerima tempahan. Kumpulan ini akan lebih gembira kalau tempahan itu dilakukan oleh tokoh utama parti. Mungkin sebulan pun tidak habis bercerita.

9. Sebenarnya banyak lagi tukang lain yang berada di balik tabir politik negara. Tukang karut, tukang lobi, tukang kempen, tukang bodek, tukang bawa barang, tukang jemput dan bermacam-macam tukang lagi.

Tugas yang sesuai untuk orang semacam kita ialah tukang tengok. Yes! Selamat bergembira dengan pilihanraya kecil. Ingat, belanjanya tidak kecil.

Kita perlu menjadi manusia lemah

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Lama tidak menulis. Sibuk dengan kerja-kerja belajar. Beberapa hari lalu sibuk menulis untuk jurnal. Akhirnya siap dan berjaya dihantar. Masuk atau tidak ke dalam jurnal, itu hal lain. Sekurang-kurangnya kita sudah mencuba.

Namun ada beberapa pengetahuan baru yang dipelajari sepanjang 7 hari suntuk kesibukan ini. Ada kawan-kawan bertanya, bagaimana aku boleh tulis dengan cepat (cepat tidak semestinya baik).

Ada beberapa petua yang aku jumpa:

1. Kekuatan orang lemah ialah kelemahannya.
Macam mana? Misalnya begini. Aku tahu bahasa Inggeris aku kelas ayam. Tatabahasa tunggang langgang. Jadi kerana kelemahan itulah kita perlu siapkan kerja dengan lebih cepat. Hanya dengan cara itu sahaja kita boleh meminta bantuan orang lain untuk membaca, menyemak dan memperbaiki kelemahan tulisan kita. Setakat ini sahaja, selain beberapa orang Melayu yang membantu, serta penyelia, beberapa guru bahasa Inggeris seperti Jacquie Mollar, Monica Behrand dan juga editor Phil Thomas yang jadi kawan baik. Kalau tidak tahu kelemahan itu, mungkin kita tidak pun berbaik-baik dengan orang berkenaan.

2. Kelemahan orang bijak ialah kebijaksanaannya.
Orang bijak mungkin melihat banyak perkara sebagai senang dan mudah. Mereka yakin dapat mengatasi sesuatu dengan cepat. Sebaliknya itulah kelemahannya. Itulah yang menyebabkan adakalanya kerja-kerja yang perlu disiapkan dengan lebih cepat tertangguh beberapa kali.

Jadi, adakalanya perlu kita menjadi orang yang lemah. Kerana kelemahan itulah sumber kekuatan. Aku akan menulis lagi kalau ada masa. Sekarang ini sibuk untuk beberapa makalah lagi.

Saturday, 7 February 2009

Groupthink - penutup cerita politik Perak

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ini perbincangan psikologi. Tidak ada kena mengena dengan hal politik walaupun bercerita isu politik. Anda juga digalakkan membaca 3 post sebelum ini bagi memahami jalan cerita.

Groupthink.
Pernah dengar konsep ini? Dalam bahasa Melayu ia didefinisikan sebagai 'pemikiran kelompok', - simptom yang berlaku di sekeliling kita setiap hari. Ia simptom yang menjadikan kita berasa kebal, tidak tergugat apabila berada dalam kumpulan dan akhirnya mengabaikan penilaian logik dalam membuat keputusan.

Untuk konsep, baca sini. (Nota ada pelayar yang menggunakan istilah 'fikir kumpulan' bagi menggantikan istilah 'groupthink'. Ada juga buku berbahasa Melayu memberikan terjemahan demikian. Istilah tersebut tidak begitu tepat dalam konteks psikologi. Istilah yang sesuai ialah 'pemikiran kelompok". Fikir kumpulan bermaksud kita berfikir mengenai kumpulan, dan ia tidak menggambarkan fenomena psikologi)

Sebagai contoh. Apabila berjalan kaki seorang diri di Lorong Haji Taib misalnya, kita berasa sedikit curiga. Takut-takut ada 'mat dadah', pondan atau pemuda Afrika menggangu kita. Sebaliknya kalau kita berjalan dalam kumpulan. Lagi besar lagi bagus. Misalnya 10 orang. Rasa bimbang sudah tidak ada. Sebab kita yakin kumpulan kita kuat.

Sebenarnya ia hanya mengubah perasaan kita sahaja. Ia hanya mengabaikan penilaian logik. Apalah sangat kekuatannya 10 orang itu. Kita mungkin terlupa ada 100 penagih dadah yang berkeliaran dengan senjata, 300 pondan di belakang bangunan, dan 5 orang pemuda Afrika mungkin lebih kuat dari 10 orang kumpulan kita.

Contoh lain - pelajar di asrama penuh sentiasa yakin akan lulus cemerlang dan mustahil gagal. Kerana dikelilingi pelajar pandai, mereka mungkin terlupa, hakikatnya ada juga kes pelajar yang gagal.

Itu contoh mudah. Dalam sejarah ada beberapa tragedi besar dikaitkan dengan simptom ini. Tragedi yang menyebabkan tenggelamnya kapal Titanic pada 1912 adalah kerana groupthink. Kapal ini dianggap paling hebat dalam zamannya. Ia paling canggih. Tidak mungkin pecah, tak mungkin karam.

Ketika dalam pelayaran, kapal ini sudah diingatkan adanya iceberg di hadapan oleh sebuah kapal lain. Sebanyak 6 ingatan diberikan. Kapal diminta untuk beralih arah dan kurangkan kelajuan. Tapi kerana yakin kapal itu kebal, semua orang tidak hiraukan amaran. Kapten Smith tidak percaya. Orang lain juga tidak percaya. Semua orang tidak mahu mendegar berita negatif, kerana ia sesuatu yang tidak mungkin. Yang selalu mereka dengar ialah kehebatan Titanic. Itu sahaja yang mereka dengar. Itu juga yang mereka mahu dengar.

Akhirnya kapal itu betul-betul berlanggar dengan ketulan besar 300 kaki iceberg.

Selepas berlanggar pun orang tidak percaya lagi. Orang tak berasa cemas pun. Tak ada usaha untuk menyelamatkan diri. Masa 1 jam diambil untuk mencari punca kerosakan. Kerana bagi mereka yang terpecah ialah iceberg, bukan kapal. Itu kapal paling hebat. Jangan ragu, jangan bimbang.

Bahkan apabila pasukan penyelamat tiba, penumpang menolak untuk turun ke bot penyelamat, kerana ia dianggap kecil dan tidak selamat berbanding Titanic.

Akhirnya Titanic karam, yang terselamat hanya beberapa.

Sebenarnya banyak lagi contoh lain soal groupthink ini. US kalah perang di Vietnam juga kerana hal ini. Mereka tersalah menilai kekuatan musuh. Mereka sangka tentera US memang kuat. Mana boleh tewas dengan Vietnam. Yang mereka baca hanya strategi dan senjata mereka, mereka tidak ambil tahu strategi Vietnam.

Contoh klasik lain ialah serangan tentera US ke atas Bay of Pigs di Cuba tahun 1961. Presiden Amerika hanya mendengar maklumat positif sahaja dari penasihatnya. Kononnya orang Cuba akan menyokong serangan mereka. Apabila berlaku serangan, tentera Amerika kalah. Mereka tersalah nilai kekuatan musuh.

Anda juga boleh membaca di google bagaimana groupthink menyebabkan roket Challenger meletup.

Apa yang hendak diceritakan ini.

Yang selalu kita dengar ialah kekuatan Pakatan Rakyat (PR). Yang selalu kita dengar akan ada wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN) yang akan melompat ke PR. Itulah yang selalu dijadikan bahan bualan kedai kopi. Media massa pun bercakap hal yang sama. Itu juga yang diucapkan dalam retorik pemimpin PR dengan nada penuh yakin. Pemimpin BN pula bercakap hal yang sama dengan nada penuh bimbang. Hingga ada yang mencadangkan diadakan undang-undang anti lompat parti.

Kepercayaan itu semakin teguh apabila ada seorang Adun di Perak masuk Pakatan. Kepercayaan itu semakin kuat apabila 2 orang ahli parlimen di Sarawak keluar parti. Kepercayaan itu semakin kental apabila PR menang dalam dua pilihanraya kecil di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.

Hakikat - yang tidak kita dengar ialah akan ada orang PR yang menyeberang ke arah lain! Yang tidak kita dengar ialah orang PKR dan DAP yang menyongsang arah. Yang tidak kita dengar ialah strategi BN.

Mungkinkah simptom pemikiran kelompok itu telah menyebabkan pemimpin Pakatan hanya lebih menumpukan usaha untuk menarik orang lain ke parti mereka, tetapi terlupa untuk menjaga wakil rakyat sedia ada? Nanti kita tanya mereka!

Maka kita tutup isu kemelut politik Perak. Nanti kita bincang simptom psikologi yang lain pula.

Friday, 6 February 2009

Politik Perak : wisel sudah berbunyi

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Permainan sudah tamat. Pengadil sudah tiup wisel. Apa pun tafsiran anda, permainan sudah tamat. Ada orang mungkin berkata, perlawanan mesti dalam padang. Kalah menang mesti ditentukan dengan cara yang betul. Kalau politik seperti bolasepak, jadi kalah menang mesti dalam padang.

Hah. Jangan anggap kalah menang hanya kerana bermain dalam padang. Juventus hilang takhta liga untuk tahun 2004 dan 2005 kepada Inter Milan bukan kerana jaringan gol di padang. Mereka hilang kejuaraan liga di mahkamah. Bukan hanya hilang piala, mereka disingkirkan ke Serie B tahun 2006 juga oleh mahkamah.

Begitu halnya dengan hilangnya kerusi pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

Ada orang berkata politik itu kotor. Itu ayat pertama kita dengar kalau masuk kuliah sains politik. Kotor atau tidak, ia hanya persepsi. Tetapi begitulah caranya politik dimainkan. Seperti permainan ragbi. Kalau tidak kasar, itu bukan ragbi. Kalau tidak kasar mungkin itu bowling padang.

Jadi - jangan berasa susah hati jika anda berada di pihak yang kalah. Jangan juga cepat teruja kalau anda di pihak yang menang. Permainan memang sudah tamat. Tetapi permainan baru tentu akan bermula! Strategi baru juga tentu sedang diatur.

Nanti kita bincang pasal 'groupthink'. Simptom yang menyebabkan banyak orang jatuh merudum.

Wednesday, 4 February 2009

Politik Perak 2: Checkmate!

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sila baca post sebelum ini dahulu untuk faham konsep, sebelum baca yang ini.

Ini baru checkmate! 3 orang wakil rakyat Pakatan Rakyat masuk BN. Seorang lagi yang dahulunya masuk PKR kembali ke BN. Akhirnya Pakatan Rakyat hilang majoriti untuk tubuh kerajaan.

Inilah dikatakan checkmate. Siapa yang simpan strategi penting dan mampu kawal setiap 'tingkap' Joharinya dengan baik. Jangan biar ada orang curi masuk!

Sehingga blog ini ditulis, masih belum ada ulasan dari Menteri Besar Perak sama ada akan berlaku pembubaran dewan. Belum juga dipastikan sama ada BN akan membentuk kerajaan baru.

Politik ibarat bolasepak. Pilihanraya itu perlawanannya. Padang itu negerinya.

Ada pengurus, jurulatih dan pemain. Ada juga master mind. Ada penyokong fanatik. Ada yang hanya pandai kritik, tengok bola pun tak pernah.

Eh, siapa yang jadi bolanya? Siapa pula yang bayar tiket perlawanan?

Hah. Jangan beritahu apa yang kita tahu. Nanti tingkap Johari kita terbuka.

Apa pun, kita orang awam jangan masuk campur. Kita hanya boleh lihat, dengar dan rasa. Pada akhirnya, seperti dikata oleh buku; 'politik seni serba mungkin'. Atau bahasa mudahnya, politik adalah seni permainan. Tak lebih dari itu.

Sunday, 1 February 2009

Kemelut politik Perak: checkmate?

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Nota: Artikel ini bukan artikel politik. Ia perbincangan psikologi.

Senario politik di Perak semakin panas. Dengan kemenangan tipis Pakatan Rakyat(PR) berbanding Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya Mac 2008 (31 kerusi berbanding 27), bermakna kedua-dua pihak saling memasang strategi untuk menjatuhkan di antara satu sama lain. Ia bukan hal salah atau tidak, ini hal 'tipu helah' politik.

Kejutan berlaku beberapa hari lalu apabila Adun Bota yang mewakili BN tiba-tiba mengumumkan keluar parti dan menyertai PR.

Namun, kejutan itu tiba-tiba beralih arah apabila dua Adun Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiba-tiba 'hilang' beberapa hari. Spekulasi mereka akan keluar parti terus bertebaran di laman web dan akhbar perdana. Beberapa jam tadi tersiar berita di laman web The Star yang mereka telah pun meletakkan jawatan sebagai ahli dewan. Berita terbaru pula lain ceritanya. Lihat sini.

Sebagai orang awam, jangan terkejut dengan berita-berita ini. Berita ini lebih kepada 'aku tahu kamu, kamu tak tahu aku', atau 'kamu tak tahu aku, tetapi aku tahu kamu'. Ini adalah strategi pintar kedua-dua pihak - BN dan PR.

Dalam psikologi, ada satu permainan kognitif yang biasanya dikenali sebagai Johari window. Anda boleh baca di sini. Anda juga boleh baca hal ini di sini.

Teori ini antara lain mengemukakan betapa manusia mempunyai beberapa kotak yang dikenalinya sebagai Arena/Open (terbuka), Facade (kelabu), Blind Spot (titik buta) dan unknown tidak diketahui.

1. Dalam laman terbuka (open), kita tahu dan orang lain tahu mengenai diri kita. Misalnya nama kita. Orang lain tahu, kita pun tahu.

2. Pada titik buta, kita tidak tahu mengenai diri kita, tetapi orang lain tahu mengenai diri kita. Misalnya perangai kita yang mungkin disukai/tidak disukai orang lain. Sebab itulah jangan terkejut kalau ada orang yang tergila-gilakan anda, walaupun anda tidak tahu mengapa. Mungkin ada hal yang dia tahu, tetapi kita sendiri tidak tahu. Pemain gitar yang baik mungkin tahu dia boleh bermain gitar. Sejauh mana sedapnya petikan gitar selalunya yang menilai ialah orang lain.

3. Pada titik kelabu, kita tahu mengenai diri kita, tetapi orang lain tidak tahu mengenai diri kita. Misalnya kita mempunyai tahi lalat di punggung (kecualilah kalau ada orang lain tahu?). Atau nombor pin akaun bank. Atau kita mempunyai perangai tertentu yang dirahsiakan daripada pengetahuan umum termasuk ahli keluarga sendiri. Ini adalah wilayah kekuasaan kita.

Sebab itu biasanya sebelum bertemu dengan seseorang dalam temujanji atau temuduga, kita akan cuba ambil tahu mengenai hal orang atau organisasi yang berkaitan. Ini bagi membolehkan kita mengurangkan titik kelabu pihak berkenaan.

4. Pada titik tidak diketahui (unknown), kedua-dua pihak tidak tahu mengenai diri kita. Kita pun tidak tahu, orang pun tidak tahu. Apa ya? Penjelasan umum mungkin susah. Penjelasan psikologi membawa maksud trait terpendam. Misalnya sakit jiwa. Kita tidak tahu yang pada masa hadapan kita akan sakit jiwa kerana ada saraf dalam otak yang sudah tidak berfungsi, dan orang lain pun tidak tahu hal ini. Dalam permainan bolasepak, biasanya kedua-dua pasukan tidak dapat menjangka keputusan perlawanan sehinggalah tamat permainan.

Apa kaitannya teori ini dengan politik di Perak?

Sejak PR menwar-warkan akan berlakunya crossover atau lompat parti, sebenarnya mereka telah bertindak membuka titik kelabu (no 3) menjadi lebih besar. Ini bermakna orang semakin tahu apa strategi politik PR. Hal ini sepatutnya menjadi rahsia politik. Akhirnya hal ini telah sampai menjadi laman terbuka (no 1). Strategi politik mereka telah diketahui orang lain - bukan sekadar musuh politik, bahkan orang umum.

Sedangkan yang PR tidak tahu ialah apakah yang orang lain tahu mengenai diri mereka di titik buta (no 2). Sepatutnya ruang ini dikecilkan lagi. Sekurang-kurangnya mereka boleh jangkakan apa yang orang lain tahu mengenai diri mereka.

Jadi, apabila berlakunya crossover seorang Adun BN ke PR, sebenarnya pihak BN tentu telah ada strateginya juga. Inilah politik. Politik adalah dunia penuh strategi. Kalau tiada strategi, itu bukan politik.

Siapa yang akan checmate dulu? Kita tunggu dan lihat. Ia bergantung kepada siapa yang ada lebih banyak maklumat dan menyimpan strategi penting.

Implikasi untuk kita

Untuk menjadi orang hebat, kita sepatutnya memastikan titik kelabu kita sentiasa besar. Maksudnya rahsia strategi kita disimpan baik. Jangan biarkan orang lain tahu kekuatan kita. Misalnya ilmu kita. Jangan terlalu mendedahkan kepada orang lain. Biarlah nampak sedikit bodoh.

Kalau tidak, nanti orang tahu bagaimana untuk menjatuhkan kita. Sebab itu dalam kaedah perang Tsun-Tzu, yang ditunjuk ialah pedang panjangnya. Pedang pendek sentiasa tersembunyi. Pedang panjang hanya umpan, pedang pendek itulah yang bakal menikam.

Nota untuk Azam Swinging Bowl- ini bukan nasihat, hanya contoh.

Peniaga seperti Azam banyak merahsiakan hal perniagaannya seperti berapa kos sewanya, untungnya dan siapa rakan perniagaannya. Dia juga tidak memberitahu apakah resipi masakannya kerana semua itu adalah titik kelabu yang perlu ditebalkan. Yang perlu Azam lakukan ialah mengecilkan titik buta. Ini bermakna dia berusaha untuk tahu apa yang orang lain tahu mengenai kedai Swinging Bowl. Dengan cara ini dia sudah tahu apa langkah selanjutnya yang patut dia lakukan.

Apa yang susah bila menulis

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Apa yang paling susah ketika anda menulis?

Soalan ini dituju bukan hanya untuk mereka yang buat PhD, soalan ini mungkin juga sesuai untuk yang menulis surat cinta.

Menulis seperti juga bercakap. Yang berbeza di antara keduanya ialah menulis menyusun ayat di atas kertas, bercakap pula menyusun ayat di hujung lidah. Jadi apa yang susah?

Susahnya menulis ialah kerana kita perlu berfikir. Tidak boleh menulis tanpa berfikir. Berfikir pula tidak boleh sembarangan. Kita bukan manusia hebat seperti Albert Enstein. Berfikir perlukan otak menggelintar maklumat. Maklumat tidak boleh didapatkan tanpa pemerhatian, perbualan atau pembacaan. Sebab itu berfikir adakalanya lebih susah dari menulis.

Menulis pula tidak sama seperti bercakap. Kita perlukan sampaikan mesej dengan sempurna. Kalau tidak orang akan bingung dan tertanya-tanya. Menulis juga perlukan penggunaan bahasa yang baik. Kalau tidak orang akan menyangka buruk dengan diri kita.

Bercakap walaupun perlu baik, tetapi orang tidak hanya menilai melalui kata-kata. Orang menilai juga berdasarkan memek muka dan bahasa tubuh. Sebab itu kadang-kadang kita boleh faham orang bercakap sesuatu walaupun dia tidak lagi habis bercakap. Kita juga boleh menilai apa yang seseorang maksudkan melihat bahasa tubuhnya.

Menulis tidak ada 'clue' yang lain. Sebab itu, kita tidak digalakkan menghantar SMS atau e-mel dengan menulis dalam tulisan besar. Tujuan kita mungkin baik, tetapi orang akan menafsirkan perkara lain.

Di kalangan penyelidik yang sedang melakukan PhD sekarang, aku rasa kami berhadapan dengan hal ini. Kita bukan hanya kebingungan berfikir, tetapi adakalanya apa yang kita tulis tidak sampai maksudnya. Ini bukan bermakna kerana kita terpaksa menulis dalam bahasa Inggeris, maka maksud kita tidak sampai. Menulis dalam bahasa Melayu pun belum tentu lagi.

Ada seorang pelajar wanita Australia, lahir di Australia dan bercakap 100% peratus dalam bahasa Inggeris, tetapi ketika menghadiri bengkel menulis, yang mengkritik tulisannya bukan hanya guru bahasa Inggeris, tetapi juga pelajar antarabangsa. Ini bukti halangan menulis bukan hanya kerana masalah bahasa. Ia sebenarnya masalah pemikiran.

Bagaimana mengatasinya. Nanti aku ulas dalam entri selanjutnya. Kita bercerita tentang peta minda.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails