Yang Ikut

Tuesday, 17 March 2009

Kalau belum, baik jangan (2)

Reactions: 
SIRI KEMPEN ANTI DADAH

Kita sudah baca kisah cerita sebelum ini. Sekarang kita baca lagi cerita lain. Cerita yang berkisar dengan kisah pertama juga. Kali ini cerita berkaitan Brader "U". Dia kawan baik aku juga. Tapi tidaklah seakrab Bento. Kami sebenarnya membesar bersama-sama. Aku lebih tua setahun berbanding Bento, tetapi muda setahun dari Brader "U".

Semasa baru belajar merokok dahulu, sekitar tahun 1986 kami bertiga biasanya akan pergi ke hujung bendang. Ada satu hutan belukar di situ. Di situlah kami sama-sama belajar merokok. Sebenarnya bukan belajar, tetapi untuk melarikan diri dari pengetahuan ibu bapa kami. Masa itu rokok yang murah ialah Kingsway dan More. Kadang-kadang kami hisap rokok Dunhil 7 batang. Itu kalau duit lebih. Tetapi harga sebatang rokok waktu itu cuma 15 sen. Jadi harga bukan masalah.

Aku tidaklah selalu bertemu dengan Brader U ni. Sebabnya aku banyak tinggal di asrama. Berbanding dengan Bento, Brader U ini kadang-kadang aku jumpa. Itu pun kalau dia datang rumah aku, atau aku singgah di rumah dia. Atau kadang-kadang keluar minum kopi. Tetapi seingat aku, tidaklah pula aku keluar dengan dia di waktu malam.

Semasa di sekolah menengah, kadang-kadang bila waktu cuti, sesekali juga kami belajar kitab agama. Biasanya waktu malam. Kitab yang kami rajin pergi dengar ialah Munyatul-Musholli dan Sobian. Tapi aku jarang-jaranglah. Brader U selalulah pergi. Bento pun jarang juga. Cuma sejak akhir-akhir ini sahaja Bento pergi dengar orang baca kitab balik.

Aku ingat, Brader U mula hisap ganja sama tahunnya dengan Bento. Sebab mereka ini selalunya bersama. Brader U ini rajin kerja. Macam-macam dia kerja. Tahun 1990 semasa cuti sekolah, aku bersama dia kerja mengecat di Sungai Petani. Dia dah lama dah tak bersekolah. Tamat SPM di Sekolah Menengah Changlun, dia dah mula memburuh. Aku sempat kongsi rumah sewa dengan dia di Taman Keladi. Masa tu dia sudah 'stim' ganja. Sambil kadang-kadang menggoyang kepala dengar lagu Rainbow - "Temple of The King".

Lepas aku masuk universiti, aku juga berjumpa dengan dia kadang-kadang. Waktu itu dia tinggal di Balakong. Dia kerja 'boring tanah". Kerja orang geologi hendak tengok kekuatan tanah sebelum satu-satu bangunan boleh dibangunkan. Waktu itu pun dia masih hisap ganja lagi. Sebenarnya bukan dia seorang yang hisap ganja di rumah itu. Banyak lagi. Cuma adalah beberapa orang budak kampung aku yang bersih.

Tahun 1994 - dia pindah ke Taman Connought, Cheras. Tinggal di satu apartment. Dia tak kerja boring lagi. Dia buat kerja 'chemical'. Kerja-kerja sapu bahan kimia untuk tampal bangunan retak. Waktu inilah dia mula hisap heroin. Sebabnya mudah sahaja. Sebab dia bawa abang dia tinggal satu rumah. Abang dia ini memang sudah lama hisap heroin. Seingat aku, semasa aku sekolah menengah lagi, nama abang dia dah terkenal. Jadi, bila mereka join sekali - Brader U sudah tak hisap ganja lagi.

Aku tahu, Brader U ini baik orangnya. Walaupun dia stim, tetapi emak dan ayah dia selalu puji dia. Sebab tiap-tiap bulan dia hantar balik duit. Tetapi, sayangnya dia tidak jadi orang. Gaya dia menghisap ini lebih teruk dari Bento. Sebab dia bukan jenis control. Gaya dia memang seperti penghisap dadah tulen. Bercakap pun dalam kerongkong seperti yang dilakonkan Sani Sudin. Cuma dengan aku dia agak respect juga. Cakap pun macam biasa. Mungkin sebab aku budak universiti.

Tahun 1994 itu, semasa naik motorsikal di Kajang, aku kena saman polis sebab memandu tak ada lesen. Jadi masa cuti semester - aku pergi jumpa dia, kalau-kalau aku boleh kerja. Aku nak cari duit bayar saman. Dia kata okay. Nanti dia jumpa tauke dia, bagitau aku datang dari kampung nak cari kerja. Akhirnya aku dapat kerja. Duduk satu rumah dengan dia. Tapi aku tak duduk satu bilik dengan dia. Sebab bilik dia dah jadi port hisap. Busuk. Bau hapak. Lepas habis cuti, aku belah. Aku cuma nak cari duit bayar saman.

Pernah sekali dia jumpa aku di kampung. Dia tanya aku, boleh bagi dia pinjam duit RM10. Dia bagitau, dia nak beli 'ubat'. Ubat ini ialah gelaran untuk heroin. Kadang-kadang dia panggil 'rose merah". Ikut sedap mereka. Kalau ganja mereka panggil 'hussin". Orang Dewan Bahasa dan Pustaka kena buat kamus baru - Bahasa Orang Dadah.

Setahun kemudian, aku dah lupa dah. Dia datang rumah aku. Dia kata, "nah ambik balik duit hang RM10 yang aku pinjam dulu". Ini bukti yang sebenarnya masih ada kebaikan dalam hidup para penagih ini. Cuma kadang-kadang bila kita tidak berkawan, kita tidak tahu.

Cuma sekitar tahun 1999 dia dah mula masuk dan keluar pusat serenti. Gaya hidup dia pun kacau bilau. Selalu pakai spek mata hitam. Dia banyak hidup di kampung. Naik motor sana sini cari ubat. Aku tak pasti dia dibuang kerja atau tidak. Aku pun dah sibuk dengan kerja dan jarang balik kampung.

Tahun 2003 - sebelum aku pindah ke Jakarta, ada saudara dia call aku. Dia kata nak ke Pusat Tahanan di Simpang Renggam. Ini tempat orang 'hardcore'. Ambil balik Brader U yang meninggal dalam tahanan. Abangnya juga mati dalam tahanan di Kelantan setahun sebelum itu.

Kasihan Brader U. Dia tak sempat kembali jadi manusia. Moga-moga, amalan baik dia akan diterima. Moga-moga juga dia dianggap orang yang sakit.

Tapi - bila ingat balik apa Bento kata - sebab apa kita mati, aku terkesan juga. Bento kata, sekarang dia sudah faham kenapa dia tidak kena AIDS dan tak juga mati - sedangkan banyak kawan-kawan dia yang lain sudah mati. Aku tanya kenapa?

Dia jawab: "Itu semua kerja Allah. Mungkin Allah panjangkan umur aku untuk bertaubat". Aku setuju.

Jadi - berakhirlah cerita. Kalau ada budak-budak universiti (atau budak-budak lain juga, saran Sdr Ben Krenmaut) hendak buat program anti dadah, dan nak dengar cerita sebenar, nanti aku minta Bento ceramahkan. Tapi jangan program besar-besar. Kalau group discussion kecil-kecil mungkin dia mahu. Dia bukan pensyarah, dia cuma bekas penagih!

5 comments:

Abang Ben said...

Kenapa nak buat dengan budak Uni? Tak masuk la bro. Better buat dengan budak2 kilang tu, mereka lebih memerlukan.

Dah la group usrah pun target budak Uni aje. Elitist sangat le.

Masalah umat bukan pada budak Uni je bro.

FakirFikir said...

Hah betul. Budak kilang pun boleh juga. Budak apa-apa pun bolehlah. Bento selalu bagitau, dia nak ubat dosa silam dia dengan bagitau pengalaman dia.

muhriz rahmat said...

Memang terbukti untuk berubah selepas ketagihan dadah amat payah. Jadi bila siapa yang mampu melakukannya memang betul-betul kental. Pada pandangan saya elok juga dibuat kursus motivasi terus untuk mereka yang dalam kes-kes kecik seperti patah semangat, tak lulus periksa dll. Mungkin ada kesan yang kepada mereka bila jumpa motivator yang 'otai' dalam menahan keperitan untuk berubah.

FakirFikir said...

Mukriz --> Masalahnya sudah jadi tradisi kita, orang yang hebat dan berjaya akan jadi motivator. Orang yang gagal pula mustahil akan tampil ke depan kerana trauma silam. Jadi akhirnya, kita terus dihadapkan dengan cerita motivasi yang sama.

muhriz rahmat said...

Ya betul. Bila orang hebat bercakap, dia tetap hebat (malah setiap ucapan bergaji). Manakala pendengar belum tentu dapat realisasikan apa yang diucap. Sebab pendengar memandang terlalu hebat orang yang bercakap sampai tidak mampu untuk diikuti.
Berbanding dengan orang yang tidak berapa bagus pada pandangan masyarakat, namun dapat tunjukkan contoh, pendengar lebih mudah untuk memahami. sebab yang berceramah itu lebih rendah darinya.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails