Yang Ikut

Sunday, 15 March 2009

Bersedia dengan berita buruk

Reactions: 
Keputusan peperiksaan telah diumum. Banyak yang berjaya, tentu ada juga yang gagal. Ada ibu bapa yang gembira, tidak kurang yang kecewa. Untuk yang berjaya, tahniah. Untuk yang gagal, jangan kecewa. Tidak ada apa yang perlu dibimbangkan.

Mana-mana ibu bapa, akan mengharapkan anaknya berjaya dengan cemerlang. Itu adat manusia. Malang sekali, ada yang tidak sanggup menerima hakikat kegagalan anaknya. Mereka cuma ingin mendengar A dari anak-anaknya. Tentu ini satu harapan yang tidak adil juga.

Sebagai orang dewasa, berapa kali kita mendapat A dalam hidup? Berapa kali kita berjaya dalam penilaian prestasi di tempat kerja? Berapa kali kita berjaya menghasilkan sawah bendang, kebun getah atau berniaga dengan baik. Kadang-kadang kita dihadapkan dengan kegagalan juga apabila hasil pertanian tidak menjadi atau perniagaan merosot. Itu juga kegagalan.

Tetapi, kita hanya menghitungkan kejayaan anak-anak. Kita tidak begitu gemar untuk menilai diri sendiri. Kita menjadikan anak-anak bahan ujikaji untuk kejayaan kita. Hinggakan ada anak-anak yang bersekolah rendah sekalipun, sudah dihadapkan dengan kelas tuisyen dari petang sampai ke malam. Sibuknya lebih dari orang dewasa berkerja. Adilkah begitu.

Harapan yang tinggi untuk anak-anak memanglah perlu. Tetapi pada akhirnya, apa yang mereka perolehi, adalah anugerah Tuhan. Dalam hidup sebenar, kejayaan tidak hanya bergantung dengan angka A. Mereka mungkin gagal dalam pelajaran. Tetapi mereka berjaya dalam bidang yang lain. Mereka mungkin berjaya di sekolah, tetapi mereka mungkin gagal di tempat yang lain.

Jadi, sebagai orang dewasa - kita sewajarnya lebih matang. Kita sewajarnya lebih bersedia untuk mendengar apa sahaja. Siang malam kita bersyarah dengan Qadha dan Qhadar, tetapi pada akhirnya kita juga tidak begitu tahu makna yang tersirat.

Teringat satu hari ibuku berkata: "Lihat, hampa (awak) semua yang berjaya dalam pelajaran, pergi kerja ke sana sini. Tidak pernah hidup di kampung. Dari kecil duduk di asrama. Akhirnya yang tengok (menjaga) mak, Din juga (merujuk kepada sepupuku yang hidup di kampung)".

Jadi siapakah sebenarnya yang berjaya.

1 comment:

muhriz rahmat said...

Memang ramai yang kabur bila merujuk semula erti hakikat kejayaan. Lihat sahaja 'Kak' Sofea yang popular sebagai pelajar genius suatu masa dahulu. Namun hari ini Orang mula menyangkal kejayaan yang dia pernah miliki. Hari 'dulu', kejayaan mungkin miliknya, hari 'ini', kejayaan telah tertinggal dibelakang.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails