Yang Ikut

Wednesday, 11 March 2009

Kursus kepimpinan orang muda: siri 1

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sebelum baca, klik IKLAN dahulu.

Banyak yang baca blog ini ialah orang muda. Yang aku tahu ialah Intan, Aini, Butterflywinlove Imanina, Ihsan dan beberapa orang lagi. Kategori veteran seperti Bentara, Zainol dan Azam tidak termasuk dalam kategori orang muda. Yang lain aku tidak kenal. Mungkin ada yang sedang menggelepar sibuk di universiti, dan ada juga terkejut dengan gaji bulan pertama.

Sebahagian daripada mereka telah menghadiri bermacam-macam kursus dan bengkel. Tujuannya untuk membolehkan mereka jadi pengurus atau pemimpin yang baik (nota: seorang pemimpin tidak semestinya pengurus, yang jadi pengurus kadang-kadang tidak bersifat pemimpin). Banyak juga yang bertujuan memenuhkan koleksi sijil yang entah siapa mahu melihatnya.

Jadi hari ini, aku terasa ingin memberikan kursus kepimpinan secara online. Ia tidak diajar di bilik kuliah atau dalam teks. Tidak juga mungkin ditemui dalam mana-mana kursus sebelum ini.

*************
Situasi 1
*************
Anda baru dilantik sebagai seorang pengurus di tempat yang penuh bermasalah. Kakitangannya tidak bersatu, berkonflik dan tidak percaya di antara satu sama lain. Pihak syarikat merasakan perlu diadakan sesuatu dengan melantik anda sebagai pengurus. Sebagai pengurus, bagaimana anda menanganinya?

Step 1: Hari pertama anda masuk pejabat. Anda jangan lakukan apa-apa. Jangan sesekali tunjukkan taring pengurus anda. Biarkan pekerja anda dengan hal masing-masing. Perhatikan gelagat mereka. Ingat, secara psikologinya mereka juga memerhatikan anda. Tetapi jangan pula berbual-bual atau menunjuk baik dengan mereka pada tahap ini.

Step 2: Hari ke 4 atau 5, panggil satu mesyuarat. Inilah waktunya anda menunjukkan taring anda. Ingat, ini bukan mesyuarat seperti biasanya. Tidak perlu ada minit. Tidak perlu ada nota. Anda perlu berwaspada dengan tempat duduk anda. Anda perlu duduk pada kerusi yang paling besar, duduk di sudut tengah lebar meja dan mesti sentiasa lain dari yang lain (Nota: pemimpin secara prinsipnya berbeza dengan orang bawah).

Jadi anda mulakan mesyuarat pertama anda bukan memperkenalkan siapa anda, sebaliknya meminta setiap pekerja memperkenalkan diri mereka, jawatan, kelebihan dan kekurangan. Minta mereka bercerita dengan jujur apa yang boleh mereka lakukan untuk kejayaan organisasi. Anda adalah orang yang paling akhir memperkenalkan diri (secara psikologinya, mesyuarat anda sudah terbalik dari kebiasaannya).

Mulakan dari kiri ke kanan, atau dari kanan ke kiri.

Apabila tiba giliran anda, anda ceritakan pula diri anda. Tetapi pada bahagian kelebihan dan kekurangan diri, anda bermain dengan ayat psikologi: "Saya tidak mempunyai kelebihan atau kekurangan. Kelebihan dan kekurangan saya ada pada anda semua. Kalau anda semua kuat, saya pun kuat. Kalau anda semua lemah, saya pun lemah. Hadirnya saya di sini ialah kerana adanya anda semua".

Mesyuarat bersurai. Jangan berbincang apa-apa agenda lagi. Itu perlu dilakukan setelah anda menyelesaikan beberapa step lagi. Peringkat ini ialah untuk mengembalikan moral pekerja, bukan bercakap hal agenda.

Sekiranya anda dilantik sebagai pengerusi kelab di universiti misalnya, anda boleh terus memulakan cara ini sebagai satu cara memulakan mesyuarat. Kemudiannya terus membincangkan agenda. Begitu juga kalau anda hanya dilantik sebagai ketua di satu jabatan yang tiada masalah.

Bagaimana pun, dalam konteks tempat kerja yang lebih kompleks dan bermasalah, mesyuarat sepatutnya bersurai selepas sesi ini. Anda boleh menyambung mesyuarat pada waktu yang lain. Ini bagi membolehkan pekerja anda akan bercakap-cakap mengenai anda, dan mula meneka apa akan berlaku selanjutnya (Ini juga sebahagian permainan psikologi).

Bersambung untuk kes 2: Group Cohesiveness

Nota: Anda juga patut rajin-rajin membelek buku apa yang dikatakan pemimpin. Boleh baca buku Gary Yukl atau K.H Blanchard. Yang pertamanya lebih conceptual, keduanya lebih praktik. Training provider yang bersifat komersil juga tidak digalakkan menceduk kaedah ini tanpa pemberitahuan terlebih dahulu.

Tuesday, 10 March 2009

Iklan! Iklan! Pembantu Penyelidik

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
IKLAN! IKLAN!

Pada pertengahan May 2009 nanti, kajian berkaitan stress pekerjaan di kalangan penduduk negeri Selangor akan diadakan. Sebanyak 530 peserta kajian akan terlibat di setiap daerah yang merangkumi kumpulan berpendapatan tinggi dan rendah, bandar dan luar bandar.

Rumah-rumah kediaman bagi kumpulan sasaran ini telah ditetapkan (berdasarkan cabutan peta Jabatan Perangkaan Malaysia).

Sehubungan itu, pihak kami bercadang untuk mendapatkan pembantu penyelidik bagi mengedar soal selidik, dan mengutipnya semula selepas dua atau tiga hari dengan andaian borang berkenaan telah diisi oleh peserta kajian. Bayaran akan dibuat berpandukan jumlah borang selidik yang diisi dan dikutip semula. Buat masa ini, bayaran yang dicadangkan ialah RM 10 per soal selidik (Jumlahnya mungkin dinaikkan sedikit setelah saya melihat kawasan kajian dan cabaran yang ditempuh).

Sekiranya anda seorang pelajar universiti di kawasan Lembah Klang, atau graduan menganggur dari 3 universiti sekitar Adelaide anda digalakkan untuk memohon. Jumlah soal selidik yang ingin anda edar dan kutip semula bergantung kepada kemampuan masing-masing. Misalnya anda hanya merancang untuk mendapatkan RM100, maka anda boleh mengedar/kutip 10 soal selidik sahaja.

Kriteria lain:
1. Seorang yang jujur - jangan ada yang berangan-angan untuk mengisi sendiri borang tersebut. Follow-up dengan peserta kajian akan dibuat bagi memastikan kesahihan.
2. Berminat dengan kerja-kerja penyelidikan.
3. Berani, stamina tinggi dan kuat iman - kadang-kadang anda mungkin berhadapan dengan tuan rumah garang, anjing yang ganas, atau memanjat rumah flat tanpa 'lift'.
4. Tidak mudah patah semangat - mungkin ada tuan rumah yang melengah-lengahkan mengisi borang. Ini membuatkan anda berasa fed-up, marah dan stress.

Kelebihan lain
1. Anda mungkin dijemput minum free oleh tuan rumah. Bagaimana pun, ia tidak digalakkan.
2. Anda mungkin akan dapat pengetahuan berjalan kaki, naik motor dan sesat di dalam taman perumahan atau kampung. Semakin jauh anda sesat, semakin banyak anda belajar.

Berminat, hubungi aku.

Monday, 9 March 2009

Anda mahu dengar berita ini?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Nota: Ini bukan perbincangan politik.

Setiap hari kita akan cuba membaca suratkhabar. Sekarang mari kita teliti senarai tajuk di bawah:

1. Penanaman pokok, tugu kemuncak penderhakaan: Zambry (Berita Harian)
2. Sasaran pembangkang: Menangi ketiga p'raya kecil (Malaysiakini)
3.GMP nafi didalangi pihak tertentu - PPSMI (Utusan Malaysia)

Tentu ada di antara kita yang suka dengan tajuk-tajuk atau komen-komen tertentu yang dikemukakan oleh tokoh terbabit. Tentu juga ada yang tidak suka dengan kenyataan yang dikemukakan. Mengapa jadi begitu?

Sebabnya mudah sahaja. Sudah menjadi naluri manusia, kita ingin mendengar apa yang ingin kita dengar. Topik ini ada diajar dalam psikologi sosial. Sebab itu, sebagai pelajar, kita sering ingin mendengar berita yang baik atau berpihak kepada kita. Kita ingin mendengar berita yang kita lulus periksa. Pekerja pula ingin mendengar pujian majikan atau kenaikan gaji. Jarang kita mahu mendengar sesuatu yang tidak kita mahu dengar. Misalnya celaan orang terhadap prestasi kita, atau komen-komen yang tidak berpihak kepada pegangan kita.

Jadi sebelum mendengar sesuatu, kita sebenarnya sudah menjangka apa yang ingin kita dengar. Seseorang yang berada di dalam mahkamah ingin mendengar keputusan hakim yang berpihak kepada dirinya. Jarang, ada yang ingin mendengar sesuatu yang merugikan - misalnya dijatuhi hukuman bunuh.

Sebab itu, anda jangan terkejut kalau dalam ceramah-ceramah politik, kalau ada yang memuji pemimpin tertentu sebagai kononnya berceramah dengan hebat. Mereka jadi hebat mungkin bukan kerana hujahnya. Mereka jadi hebat kerana mereka memperkatakan sesuatu isu yang ingin kita dengar. Kalaupun ada 100,000 penonton yang bertepuk tangan, mereka mungkin bertepuk kerana pemimpin tadi bercakap hal yang ingin mereka dengar. Tidak penting sama ada isu itu bernas atau tidak. Yang penting, pandangan pemimpin tadi sama dengan apa yang diharapkan.

Setiap pemidato yang hebat biasanya sudah terlebih dahulu mengkaji kelompok pendengar di satu-satu kawasan. Mereka sudah tahu apa yang bakal diucapkan, dan apa yang tidak patut mereka syarahkan. Mereka bercakap dengan nada yang berbeza dalam kelompok yang berbeza.

Dalam krisis politik Perak misalnya, banyak yang marah-marah keputusan pihak istana kerana melantik Menteri Besar yang baru. Mereka marah kerana keputusan yang dibuat tidak sealiran dengan apa yang ingin mereka dengar. Sekarang ini mereka mula memperkatakan tentang batasan kuasa Raja dan pihak eksekutif.

Golongan yang satu lagi pula akan menyatakan pihak yang tidak bersetuju dengan tindakan istana sebagai penderhaka.

Perlu diingat, selepas pilihanraya 2008 dahulu misalnya, di Terengganu juga berlaku krisis yang hampir sama. Pihak istana tidak mahu melantik semula seorang bekas Menteri Besar. Waktu itu, kumpulan yang sama, yang sekarang ini marah-marah, menyokong penuh dengan keputusan yang dibuat. Mereka tidak pula mempertikaikan keputusan dan batasan kuasa istana.

Kumpulan yang satu lagi pula telah dianggap sebagai puak yang menderhaka.

Mengapa jadi begini? Sebabnya manusia ingin mendengar sesuatu yang ingin mereka dengar. Kita terlebih dahulu membina konsep tentang apa yang kita mahu, dan apa yang tidak kita mahu. Inilah kelemahan manusia. Kita tidak bersikap adil. Kita sentiasa bersikap double standard terhadap sesuatu isu.

Sebab itu, sebagai orang awam, adakalanya kita jangan terlalu emosi apabila membaca berita politik negara. Anda mungkin membuat penilaian berdasarkan bias yang tidak anda sedari.

Jadi, jangan marahkan sesiapa kalau anda tidak sukakan satu-satu berita. Ia bukan salah pemberitaan. Ia bukan salah wartawan. Ia salah diri kita kerana tidak mahu mendengar yang tidak kita inginkan, dan hanya ingin dengar apa yang kita inginkan. Jangan hairan, kalau ada orang mahu memboikot Utusan Malaysia. Seperti juga jangan jadi kelabu mata kalau ada orang yang tidak sukakan Harakah.

Sebab itulah ada orang yang marah-marah kalau ada berita yang tidak baik mengenai Mawi dan Ikin, seperti juga ada orang yang sangat riang mendengar sesuatu yang buruk mengenai mereka berdua.

Sebagai manusia - kita hanya ingin mendengar satu berita. Berita yang menguntungkan dan memuaskan selera kita!

Blog ini juga dikunjungi oleh pembaca yang ingin membaca apa yang ingin mereka baca. Yang lain hanya singgah dan kemudiannya melupakannya.

Sunday, 8 March 2009

Anda pernah berbohong

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Anda pernah berbohong? Jangan katakan tidak. Anda mungkin sedang berbohong.

Dalam psikologi, ada satu kenyataan yang selalu diulang-ulang. "Ayat pertama adalah sikap". Ini bermaksud, ayat atau kata-kata pertama yang diucapkan oleh manusia itu biasanya adalah pernyataan yang paling jujur dan betul. Melainkan kalau ia dirancang lebih awal untuk mengucapkan sesuatu dengan maksud berbohong.

Ayat-ayat atau kata-kata selepasnya mungkin tidak selalu betul. Sebab ia sudah boleh dirancang. Atau dengan kata lain, ia dinyatakan dengan maksud sesuatu yang sama ada berselindung atau tidak. Atau dia sudah dimanipulasi melalui perbualan demi perbualan yang menyebabkan kenyataan selepas ayat pertama tadi tidak lagi benar.

Bolehkah kita tahu jika seseorang berbohong? Sebenarnya kita boleh lihat pada mata hitamnya. Walaupun mulut mungkin berkata lain, tetapi hanya otak sahaja yang tahu. Otak tidak berbohong, malangnya ia tidak boleh bercakap.

Orang yang berbohong mata hitamnya akan sedikit mengecil. Ini berlaku kerana tidak terdapat keserasian di antara otak dan biji mata. Pegawai yang menyiasat sesuatu kes biasanya akan merenung tajam mata seseorang yang ditanya. Tujuannya untuk memastikan seseorang itu berbohong atau tidak, dengan melihat mata hitamnya.

Ada juga alat bagi mengesan bohong. Ia dinamakan poligraf. Fungsinya juga untuk melihat mata hitam selain beberapa perubahan yang lain pada fizikal manusia.

Jadi, kepada kaum lelaki (i.e Azam) yang berangan-angan untuk berpoligami, ia perlu merancang dari sekarang dengan berbohong. Kaum lelaki kumpulan ini perlu memberitahu isteri masing-masing, bahawa kalau mereka berbohong mata hitam akan membesar. Jadi, pada satu saat nanti - apabila mereka perlu berbohong, isteri masing-masing akan merenung biji mata hitam mereka. Mereka akan melihat biji mata hitam suami kian mengecil. Jadi mereka ingat suami tadi bercakap benar!

Untuk gadis-gadis yang ingin berkahwin pula, ada baiknya anda meminta dibelikan alat poligraf sebagai hantaran. Ia akan berguna selepas beberapa tahun anda berkahwin. Anda tidak tahu bila waktunya anda perlu menggunakannya. Ia lebih baik dari sebentuk cincin yang lambat laun tidak lagi sesuai dengan jari anda yang kian menggemuk.

Saturday, 7 March 2009

Ingat tarikh 7 Mac 2009

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hari ini 7 Mac 2009. Hari Sabtu. Kita semua perlu ingat tarikh ini. Ingat tarikh ini bukan kerana ia hari jadi sesiapa, hari ulangtahun perkahwinan, atau hari pertama jatuh cinta. Ingat tarikh ini kerana inilah harinya orang Malaysia beramai-ramai memohon untuk kembali menggunakan bahasa Melayu dalam pengajaran sains dan matematik.

Kita perlu ingat tarikh ini sebab nampaknya bahasa Melayu sudah menjadi bahasa yang kurang nilai komersil di negara sendiri. Orang Russia, Itali, Korea, Jepun, Sepanyol, Peranchis, Jerman, Arab, Thai dan Indonesia tidak pernah peduli kalau mereka tidak pandai berbahasa Inggeris. Mereka hanya ambil tahu bahasa Inggeris bagi tujuan komunikasi dengan orang lain yang tidak tahu bahasa mereka.

Bayangkan seorang lelaki Thai cuba mengorat seorang gadis Thai cantik dengan menggunakan bahasa Inggeris. Sampai kiamat pun belum tentu dia dapat memiliki gadis tadi. Tapi, dia ada sedikit harapan kalau dia menyebutnya, "Nong Saw, khun tja pai nai leh khraph. Khun ni suai cing-cing. Phom phut ching" (terjemahan: Adik manis, awak mahu ke mana? Awak ini sungguh cantik, cantik sungguh. Saya bercakap benar).

Begitu juga kalau gadis Sunda di kota Jakarta mahu menggoda teman lelaki sekuliahnya. Dia akan berkata: 'Wah. Aku bingung sih. Dari kemarin aku ngak bisa tidur nih. Aku kangen bangat sih sama kamu. Bisa ngak kalau aku dapatkan nomor hp kamu?".

Begitulah kuasa bahasa. Ia bukan sahaja meluntur-luluhkan hati. Ia juga menjadi medium untuk umat manusia memulakan percintaan. Kalau mereka bercakap bahasa yang tidak difahami oleh majoriti bangsanya, maka ia sepertilah itik jantan cuba menggoda ayam betina.

Kalaulah bahasa itu difahami, sudah lama kita akan melihat ayam betina berenang di tengah tasik kerana tergodakan kelunakan bahasa itik jantan. Tetapi ini tidak berlaku.

Tetapi malang, di negara kita - kita tidaklah begitu sayangkan bahasa kita. Kita cintakan bahasa Inggeris. Walaupun kita sendiri tidak begitu pasti bahasa Inggeris sebutan kita itu berasal dari Wales, Ireland, Amerika Syarikat, atau dari mana. Atau bahasa Inggeris kita itu hanya ciptaan kita sendiri.

Kita begitu sibuk dengan bahasa orang lain sehinggakan terlupa bahasa kita tidak pun tertera di belakang kotak televisyen atau manual mesin basuh buatan Negeri China.

Ada yang teruja berbahasa Inggeris sebagai kononnya dengan bahasa itu sahaja kita akan maju. Ini pemikiran yang tidak betul.

Maju atau tidak bukan ada pada bahasa. Maju ada di dalam minda. Bercakap baik dalam bahasa Inggeris belum tentu seseorang itu maju. Tidak percaya? Lihatlah banyak orang Aborigin yang fasih dan petah berbahasa Inggeris. Tetapi merekalah yang banyak mabuk di tengah jalan. Menyusur ke hulu dicerca, mudik ke hilir diumpat kerana kemalasan.

Orang Barat maju bukan kerana bahasa Inggeris. Mereka maju kerana minda. Mereka maju kerana jujur. Mereka maju kerana sikap yang betul. Mereka maju kerana kurang rasuah. Kita pun akan maju kalau semua masalah ini dapat kita atasi. Ingat, yang maju bukan hanya di kalangan orang yang fasih berbahasa Inggeris seperti majoriti penduduk UK dan Amerika. Orang Jerman dan Peranchis yang tidak tahu sepatah pun bahasa Inggeris juga maju kerana minda mereka.

Di Malaysia, ada falasi yang betul membingungkan. Kalau anda bijak berbahasa Inggeris, anda akan mudah diterima berkerja. Betulkah pandangan ini. Tanyalah Cikgu Intan yang fasih berbahasa Inggeris. Berapa banyakkah surat dan resume yang telah dia hantar.

Peluang pekerjaan bukan tergantung kepada penguasaan bahasa Inggeris. Ia bergantung kepada kecerahan ekonomi. Semakin cerah ekonomi, semakin cerahlah peluang pekerjaan. Penguasaan bahasa lain akan memberikan sedikit harapan. Itu sahaja. Tidak lebih dari itu.

Ada juga yang percaya, dengan mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, maka akan lebih bijaklah anak-anak kita. Kita bimbang, mereka bukan sahaja tidak bijak berbahasa Inggeris, tetapi tidak juga bijak dalam matematik dan sains. Itu yang paling menakutkan.

Cuba kita bertanya balik. Siapa yang mengajar matematik dan sains tadi. Gurunya mungkin orang Melayu, Cina atau India yang di rumahnya bertutur dalam bahasa ibunda. Mereka juga belum tentu bersedia mengajar dalam bahasa Inggeris. Hasilnya, apabila mengajar dalam bahasa Inggeris - mereka yang asalnya tadi bijak bidang yang diajar - jadi sukar mengajar. Mereka menyampaikan pengajaran dalam medium yang tidak mereka kuasai.

Jadi apa hasilnya? Hasilnya mereka akan pulang kebingungan seperti pemuda Thai yang gagal mengorat gadis cantik sebangsa dengannya kerana ingin menunjuk pandai berbahasa Inggeris.

Kita tidak menafikan keperluan bahasa Inggeris. Tentu ada jalan lain bagaimana untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar kita. Tetapi bukan dengan cara mengorbankan bahasa Melayu. Kita juga bimbang kita mengorbankan 3 perkara serentak. Kita melemahkan penguasaan bahasa Melayu, membingungkan sains dan menyulitkan matematik. Bukankah lebih baik kita ajarkan sahaja anak-anak kita dengan satera Inggeris. Biar mereka kenal siapa William Shakespeare dengan Hamlet dan Macbeth.

Jadi ingat tarikh 7 Mac 2009. Inilah tarikhnya kita memperjuangkan ketuanan kita. Inilah ketuanan Melayu yang lebih utama.

Monday, 2 March 2009

Falasi! Falasi!

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Anda pernah dilanda simptom falasi? Apakah pula perkara ini. Kalau simptom tiada 'fulus' tentu banyak orang pernah kena.

Falasi ini juga masalah pemikiran manusia. Ia bukan penyakit. Anda tidak akan dirawat di hospital dengan simptom ini. Melainkan kalau falasi anda teruk sangat. Apa itu falasi?

Falasi - dalam bahasa Melayu mungkin 'kesilapan'. Aku tidak begitu pasti istilah psikologi kerana mereka menyebutnya falasi juga. Tapi aku tidak mahu membincangkan beberapa jenis falasi secara mendalam. Itu kena buka buku.

Misalnya begini, jika A, tentu akan B.
'Kalau abang balik lambat, tentu abang ada perempuan lain di luar': kata isteri. Ini adalah bentuk-bentuk falasi. Orang akan akan cuba menghubungkan satu-satu kejadian dengan kejadian yang lain. Kadang-kadang ia ada kaitan, tetapi dalam banyak hal ia adalah dua perkara berlainan.

'Dia pandai berucap, tentu ia seorang pemimpin yang bijak": kata penyokong parti Ayam. Ini juga bentuk falasi yang biasa berlaku. Kita mengaitkan sesuatu perkara dengan perkara yang tidak relevan. Pandai berucap tidak semestinya seseorang itu bijak. Ia hal yang tidak ada kena mengena. Dia mungkin pandai berucap sebab banyak berlatih, atau itulah sahaja kebijaksanaan yang dia ada. Sebab itu jangan tergoda dengan ucapan-ucapan hebat. Yang pandai berucap mungkin juga orang yang paling bodoh. Siapa tahu?

Sebab itu, apabila kita menelefon seseorang yang tidak pernah ditemui (misalnya perempuan operator telefon khidmat pengguna), apabila mendengar suaranya yang merdu, kita mula berfikir orang itu tentu cantik dan belum berkahwin. Ia belum tentu. Banyak penyanyi wanita Malaysia yang tidaklah cantik sangat, tetapi suara mereka juga merdu.

Ada pula yang berfalasi begini, jika A, tentu akan B. Kalau bukan A, tentu bukan B.
'Dia peramah, dia tentu seorang yang baik'. "Dia pendiam, tentu dia sombong'. Ini hal yang kerap berlaku apabila kita pertama kali berjumpa dengan seseorang. Kita mungkin terlupa, 'buaya darat' juga peramah. Tetapi mereka bukan orang baik. Merekalah yang banyak mengekspot gadis-gadis tempatan ke Singapura, Hong Kong dan Thailand.

Seperti juga 'dia masuk universiti, tentu dia tahu semua'. Ini juga falasi lazim. Siapa kata yang belajar di universiti tahu semua? Banyak orang yang masuk universiti mungkin tahu sedikit sahaja. Itu pun bidang yang dia belajar. Tetapi menjadi masalah, graduan universiti dalam bidang Kimia misalnya akan ditanya juga hal-hal ekonomi, matematik dan banyak perkara lain. Dia mungkin tahu, tetapi jangan anggap dia tahu semua. Itu falasi.

Inilah antara falasi yang kerap menyelingkar dalam hidup kita sehari-harian. Falasi ini boleh terbina hasil pergaulan, pembacaan atau apa sahaja yang menjadi 'guru' kita. Jadi jangan terkejut, sekalipun kita orang Islam, kita juga sesekali tergoda dengan bisikan 'yang berjanggut panjang, berserban adalah terrorist'. Ini adalah hasil permainan media. Siapa kata hanya berjanggut sahaja boleh jadi terrorist. Gerila pemisah Ireland Utara misalnya tidak pun mempunyai janggut. Gerila Harimau Tamil di Sri Lanka tidak pun memakai serban.

Falasi-falasi inilah yang banyak menyebabkan berfikir secara songsang.

Nanti kita bincang lagi. Ini hanya pengenalan.

Sunday, 1 March 2009

Menujum kegagalan orang lain

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kita mulakan kembali perbincangan psikologi. Kali ini kita berbincang hal yang sering berlaku di sekeliling kita sahaja. Kita bercerita mengenai 'self fulfilling prophecy'. Dalam bahasa Melayu ia dikenal juga sebagai nujuman penyempurnaan kendiri.

Pernahkah anda berhadapan dengan situasi sebegini:
a) Anda menganggap matematik subjek yang sukar.
b)Anda menganggap jiran anda sebagai sombong.
c)Anda beranggapan pelajar yang berpakaian selekeh dan nakal sebagai bodoh.
d) Anda beranggapan orang Melayu tidak tahu berniaga.

Semua situasi di atas hanyalah sesuatu yang berlegar dalam kognitif minda sahaja. Ia mungkin tidak betul pun. Tetapi semua ini adalah bentuk-bentuk nujuman yang berlaku dalam diri kita setiap hari.

NUJUMAN:Apabila menganggap matematik sebagai sukar, maka kita tidak memberikan perhatian untuknya. Kita mengurangkan ulangkaji. Kita tidak memfokuskan usaha belajar. Kerana kita tahu, usaha yang besar sekalipun akan menyebabkan kita tetap gagal.
PENYEMPURNAAN KENDIRI: Akhirnya, kerana kurang usaha, maka kita akhirnya gagal matematik. Maka ia menyempurnakan nujuman kita tadi.

NUJUMAN: Menganggap jiran sebagai sombong. Maka setiap kali melihatnya, kita tidak menyapa. Kita juga tidak menghulurkan wajah yang mesra.
PENYEMPURNAAN KENDIRI: Kerana kita tidak menyapanya, dia juga tidak memberikan perhatian kepada kita. Akhirnya sempurnalah kesombongan kedua-duanya.

NUJUMAN: Kita beranggapan pelajar selekeh dan nakal sebagai bodoh. Mereka ini biasanya duduk di barisan belakang dalam bilik darjah. Guru tidak memberikan perhatian kepada mereka kerana tahu ia akan membuang masa. Usaha mereka tidak diberikan perhatian.
PENYEMPURNAAN KENDIRI: Guru tidak memeriksa tugas mereka dengan baik. Maklumbalas juga tidak diberikan. Pelajar tadi, kerana tidak diberikan perhatian - akhirnya benar-benar jadi bodoh.

NUJUMAN: Orang Melayu tidak bijak berniaga. Apabila berurusan dengan kakitangan awam untuk mendapatkan bantuan, mereka dipandang sebelah mata. Mereka tidak dilayan secara sepatutnya berbanding bangsa yang dianggap pandai berniaga. Permohonan pinjaman bank pula, kadang-kadang dirumitkan dengan birokrasi kerana bimbang peniaga Melayu ini tidak mampu membayar balik pinjaman. Orang Melayu juga tidak dipanggil 'tauke' walaupun berniaga besar. Orang lain yang hanya menjual kacang goreng di tepi jalan dipanggil dengan panggilan 'tauke'. Gelar yang memotivasikan.
PENYEMPURNAAN KENDIRI: Akhirnya kerana susah untuk mendapatkan bantuan, orang Melayu tidak mampu berniaga. Mereka tidak berani mencuba. Cabaran paling besar mereka berniaga bukan survival berniaga itu sendiri, tetapi umpat orang yang memperlekehkan mereka. Akhirnya mereka jadi hilang motivasi. Perniagaan mereka gagal. Sempurnalah apa yang dinujumkan tadi.

Lihatlah, betapa apa yang berlegar dalam kognitif kita kadang-kadang merosakkan orang lain. Kita mungkin tidak melakukan apa-apa pun. Tetapi 'tidak melakukan apa-apa' itulah yang telah kita lakukan. Ia hasil pemikiran kita yang tidak betul. Semua orang mengalami situasi ini. Kita tidak menyedarinya.

Guru muda seperti Isuzu Aizu tentu pernah melihat semua ini di sekelilingnya bagaimana guru bersembang mengenai seseorang pelajar di bilik guru, dan melayan pelajar di dalam kelas. Peniaga seperti Azam Swinging Bowl juga tentu menghadapi kesulitan untuk berurusan dengan kerenah birokrasi kerana masalah 'nujuman penyempurnaan kendiri' yang ada di ruang minda mereka yang ingin memberi pinjam.

Jadi, untuk kita - jangan gagalkan orang lain. Jangan menujum yang bukan-bukan.

Kalau ada masa, nanti kita bincang topik falasi.

Friday, 27 February 2009

Update tanpa berita

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Lama tidak menulis. Sejak kebelakangan ini begitu sibuk. Sibuk menulis. Tapi bukan menulis blog. Cuma malam ini terasa lapang sedikit. Artikel kedua sudah siap. Tetapi untuk beberapa hari nanti, sibuk itu akan datang lagi.

Antara sebabnya ialah pertengahan May nanti aku akan pulang ke Malaysia untuk memulakan kajian besar berkaitan stress penduduk negeri Selangor. Kira-kira 530 penduduk di setiap daerah akan dikunjungi. Kalau ada pelajar universiti sekitar Selangor yang berminat untuk menjadi pembantu penyelidik, bolehlah hubungi fakirfikir@hotmail.com. Berikan nama dan universiti. Tentulah ada pembayaran untuk kerja-kerja sebegitu.

Sibuk itu juga kadang-kadang menyebabkan stress. Kadang-kadang sampai jam 3 pagi masih belum tidur. Sebab otak masih berfikir, tetapi buku tidak dibuka juga. Menulis pun tidak. Itulah stress. Siapa kata orang yang kaji stress tidak stress. Hah. Mungkin itu sebahagian dari kehidupan. Tetapi stress belajar tidak sama dengan stress berkerja. Stress kerja lebih teruk. Pengalaman kerja di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Indonesia sama sahaja. Tidak lebih baik. Semuanya stress. Paling teruk ketika di Cijantung, Jakarta Timur. Kadang-kadang pergi kerja hanya untuk balik rumah.

Tetapi untuk beberapa hari ini aku terjumpa sesuatu di YouTube. Ia muncul ketika aku sesekali cuba menghilangkan stress. Aku mencari lagu rock kapak di zaman aku membesar. Terjumpa penyanyi Melissa yang dahulunya popular dengan Cinta Untuk Nabila kini dah jadi pendakwah. Itu hijrah yang sangat besar. Keluar dari dunia hiburan, masuk ke dunia yang lain. Aku tahu hal penyanyi itu terlibat dengan hal keagamaan sudah agak lama. Tapi tidaklah pula aku melihatnya memakai serban yang besar sebegitu. Tahniah untuk dia.

Mungkin, untuk menghilangkan stress ini kita juga perlu berhijrah. Itu cara yang paling baik.

Selamat berjumpa lagi. Moga aku tidak sibuk dan boleh terus mengupdate blog!

Monday, 16 February 2009

Yes! Pilihanraya lagi

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Yes! Pilihanraya datang lagi.

Dua pilihanraya kecil di Perak dan Kedah akan berlangsung tidak lama lagi. Semua orang kini sedang memasang mata dan telinga untuk melihat siapakah yang bakal dicalonkan mengisi kerusi parti masing-masing. Yang aktif dalam politik pula setiap hari berdoa agar nama dicalonkan. Pengikutnya pula akan buat statement mengenai kebaikan ketua mereka - dengan harapan nanti pihak atasan akan tergoda dengan kenyataan manis mereka.

Tapi ada sisi lain yang kita tidak tahu. Kita tidak tahu bahawa pilihanraya ini sebenarnya telaga kegembiraan bagi segelintir orang. Mereka ini bukan orang politik, tetapi inilah orang yang bijak berpolitik. Siapa mereka ini?

1. Tukang cetak baju, poster, payung, sticker dan bendera. Mereka ini akan mencetak untuk kedua-dua parti. Mereka ini tidak kisah. Mereka bijak berpolitik.

2. Tukang mesin rumput dan tebas semak jalan. Mereka ini mungkin bukan orang kuat parti politik. Kerja mereka cuma ambil upah bersihkan semak samun. Upah ini pula boleh sahaja datang dari kedua-dua bakal calon untuk menunjukkan mereka mesra rakyat.

3. Tukang cari batang buluh. Mereka ini hanya berkerja setahun beberapa kali. Setiap kali hari raya, mereka akan gembira kerana buluh mereka laku. Pilihanraya merupakan hari raya bonus untuk mereka.

4. Tukang panjat pokok dan tiang. Mereka ini mungkin bukan orang kuat politik. Tetapi mereka berada pada kedudukan paling tinggi dalam politik setiap kali pilihanraya. Mereka sampai kiamat pun tidak mungkin akan menjadi calon. Mereka gembira mendapat upah dengan kerja berisiko tinggi sebegitu. Risiko mereka untuk jatuh mati terhempap lebih tinggi dari ahli politik sebenar yang hanya jatuh terduduk.

5. Tukang sewa khemah dan speaker. Khidmat mereka diperlukan untuk mengisi pentas ceramah politik. Ahli politik sehebat Obama pun tidak akan berjaya kalau bercakap tanpa microphone dan speaker. Jadi, mereka inilah sebenarnya 'think tank' yang paling berkesan.

6. Tukang kipas. Golongan ini mungkin betul-betul kerja mengipas penceramah politik agar tidak begitu kepanasan. Tetapi ada pula yang kipas betul-betul dengan mengangguk dan bersetuju dengan semua yang dicakapkan oleh orang politik. Mereka tidak mengharapkan habuan yang banyak. Sekadar dibelanja makan nasi kandar di pekan Kulim atau Taiping pun sudah cukup baik.

7. Tukang hasut. Kerja mereka ini ialah bercakap berkaitan polisi dan agenda parti masing-masing. Adakalanya cara mereka berhujah lebih baik dari pakar ekonomi negara atau penganalisis politik ternama. Pakar ini biasa akan duduk di kedai kopi berjam-jam untuk menceritakan kebaikan pihak yang disokong, dan keburukan pihak yang ditentang. Mereka juga tahu hal-hal peribadi ahli politik lebih hebat daripada pengetahuan mengenai peribadinya sendiri. Ingat. Mereka ini mungkin tidak pun mendaftar untuk mengundi.

8. Tukang masak lauk. Banyak jamuan dan kenduri akan diadakan. Mereka tidak cukup tangan menerima tempahan. Kumpulan ini akan lebih gembira kalau tempahan itu dilakukan oleh tokoh utama parti. Mungkin sebulan pun tidak habis bercerita.

9. Sebenarnya banyak lagi tukang lain yang berada di balik tabir politik negara. Tukang karut, tukang lobi, tukang kempen, tukang bodek, tukang bawa barang, tukang jemput dan bermacam-macam tukang lagi.

Tugas yang sesuai untuk orang semacam kita ialah tukang tengok. Yes! Selamat bergembira dengan pilihanraya kecil. Ingat, belanjanya tidak kecil.

Kita perlu menjadi manusia lemah

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Lama tidak menulis. Sibuk dengan kerja-kerja belajar. Beberapa hari lalu sibuk menulis untuk jurnal. Akhirnya siap dan berjaya dihantar. Masuk atau tidak ke dalam jurnal, itu hal lain. Sekurang-kurangnya kita sudah mencuba.

Namun ada beberapa pengetahuan baru yang dipelajari sepanjang 7 hari suntuk kesibukan ini. Ada kawan-kawan bertanya, bagaimana aku boleh tulis dengan cepat (cepat tidak semestinya baik).

Ada beberapa petua yang aku jumpa:

1. Kekuatan orang lemah ialah kelemahannya.
Macam mana? Misalnya begini. Aku tahu bahasa Inggeris aku kelas ayam. Tatabahasa tunggang langgang. Jadi kerana kelemahan itulah kita perlu siapkan kerja dengan lebih cepat. Hanya dengan cara itu sahaja kita boleh meminta bantuan orang lain untuk membaca, menyemak dan memperbaiki kelemahan tulisan kita. Setakat ini sahaja, selain beberapa orang Melayu yang membantu, serta penyelia, beberapa guru bahasa Inggeris seperti Jacquie Mollar, Monica Behrand dan juga editor Phil Thomas yang jadi kawan baik. Kalau tidak tahu kelemahan itu, mungkin kita tidak pun berbaik-baik dengan orang berkenaan.

2. Kelemahan orang bijak ialah kebijaksanaannya.
Orang bijak mungkin melihat banyak perkara sebagai senang dan mudah. Mereka yakin dapat mengatasi sesuatu dengan cepat. Sebaliknya itulah kelemahannya. Itulah yang menyebabkan adakalanya kerja-kerja yang perlu disiapkan dengan lebih cepat tertangguh beberapa kali.

Jadi, adakalanya perlu kita menjadi orang yang lemah. Kerana kelemahan itulah sumber kekuatan. Aku akan menulis lagi kalau ada masa. Sekarang ini sibuk untuk beberapa makalah lagi.

Saturday, 7 February 2009

Groupthink - penutup cerita politik Perak

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ini perbincangan psikologi. Tidak ada kena mengena dengan hal politik walaupun bercerita isu politik. Anda juga digalakkan membaca 3 post sebelum ini bagi memahami jalan cerita.

Groupthink.
Pernah dengar konsep ini? Dalam bahasa Melayu ia didefinisikan sebagai 'pemikiran kelompok', - simptom yang berlaku di sekeliling kita setiap hari. Ia simptom yang menjadikan kita berasa kebal, tidak tergugat apabila berada dalam kumpulan dan akhirnya mengabaikan penilaian logik dalam membuat keputusan.

Untuk konsep, baca sini. (Nota ada pelayar yang menggunakan istilah 'fikir kumpulan' bagi menggantikan istilah 'groupthink'. Ada juga buku berbahasa Melayu memberikan terjemahan demikian. Istilah tersebut tidak begitu tepat dalam konteks psikologi. Istilah yang sesuai ialah 'pemikiran kelompok". Fikir kumpulan bermaksud kita berfikir mengenai kumpulan, dan ia tidak menggambarkan fenomena psikologi)

Sebagai contoh. Apabila berjalan kaki seorang diri di Lorong Haji Taib misalnya, kita berasa sedikit curiga. Takut-takut ada 'mat dadah', pondan atau pemuda Afrika menggangu kita. Sebaliknya kalau kita berjalan dalam kumpulan. Lagi besar lagi bagus. Misalnya 10 orang. Rasa bimbang sudah tidak ada. Sebab kita yakin kumpulan kita kuat.

Sebenarnya ia hanya mengubah perasaan kita sahaja. Ia hanya mengabaikan penilaian logik. Apalah sangat kekuatannya 10 orang itu. Kita mungkin terlupa ada 100 penagih dadah yang berkeliaran dengan senjata, 300 pondan di belakang bangunan, dan 5 orang pemuda Afrika mungkin lebih kuat dari 10 orang kumpulan kita.

Contoh lain - pelajar di asrama penuh sentiasa yakin akan lulus cemerlang dan mustahil gagal. Kerana dikelilingi pelajar pandai, mereka mungkin terlupa, hakikatnya ada juga kes pelajar yang gagal.

Itu contoh mudah. Dalam sejarah ada beberapa tragedi besar dikaitkan dengan simptom ini. Tragedi yang menyebabkan tenggelamnya kapal Titanic pada 1912 adalah kerana groupthink. Kapal ini dianggap paling hebat dalam zamannya. Ia paling canggih. Tidak mungkin pecah, tak mungkin karam.

Ketika dalam pelayaran, kapal ini sudah diingatkan adanya iceberg di hadapan oleh sebuah kapal lain. Sebanyak 6 ingatan diberikan. Kapal diminta untuk beralih arah dan kurangkan kelajuan. Tapi kerana yakin kapal itu kebal, semua orang tidak hiraukan amaran. Kapten Smith tidak percaya. Orang lain juga tidak percaya. Semua orang tidak mahu mendegar berita negatif, kerana ia sesuatu yang tidak mungkin. Yang selalu mereka dengar ialah kehebatan Titanic. Itu sahaja yang mereka dengar. Itu juga yang mereka mahu dengar.

Akhirnya kapal itu betul-betul berlanggar dengan ketulan besar 300 kaki iceberg.

Selepas berlanggar pun orang tidak percaya lagi. Orang tak berasa cemas pun. Tak ada usaha untuk menyelamatkan diri. Masa 1 jam diambil untuk mencari punca kerosakan. Kerana bagi mereka yang terpecah ialah iceberg, bukan kapal. Itu kapal paling hebat. Jangan ragu, jangan bimbang.

Bahkan apabila pasukan penyelamat tiba, penumpang menolak untuk turun ke bot penyelamat, kerana ia dianggap kecil dan tidak selamat berbanding Titanic.

Akhirnya Titanic karam, yang terselamat hanya beberapa.

Sebenarnya banyak lagi contoh lain soal groupthink ini. US kalah perang di Vietnam juga kerana hal ini. Mereka tersalah menilai kekuatan musuh. Mereka sangka tentera US memang kuat. Mana boleh tewas dengan Vietnam. Yang mereka baca hanya strategi dan senjata mereka, mereka tidak ambil tahu strategi Vietnam.

Contoh klasik lain ialah serangan tentera US ke atas Bay of Pigs di Cuba tahun 1961. Presiden Amerika hanya mendengar maklumat positif sahaja dari penasihatnya. Kononnya orang Cuba akan menyokong serangan mereka. Apabila berlaku serangan, tentera Amerika kalah. Mereka tersalah nilai kekuatan musuh.

Anda juga boleh membaca di google bagaimana groupthink menyebabkan roket Challenger meletup.

Apa yang hendak diceritakan ini.

Yang selalu kita dengar ialah kekuatan Pakatan Rakyat (PR). Yang selalu kita dengar akan ada wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN) yang akan melompat ke PR. Itulah yang selalu dijadikan bahan bualan kedai kopi. Media massa pun bercakap hal yang sama. Itu juga yang diucapkan dalam retorik pemimpin PR dengan nada penuh yakin. Pemimpin BN pula bercakap hal yang sama dengan nada penuh bimbang. Hingga ada yang mencadangkan diadakan undang-undang anti lompat parti.

Kepercayaan itu semakin teguh apabila ada seorang Adun di Perak masuk Pakatan. Kepercayaan itu semakin kuat apabila 2 orang ahli parlimen di Sarawak keluar parti. Kepercayaan itu semakin kental apabila PR menang dalam dua pilihanraya kecil di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.

Hakikat - yang tidak kita dengar ialah akan ada orang PR yang menyeberang ke arah lain! Yang tidak kita dengar ialah orang PKR dan DAP yang menyongsang arah. Yang tidak kita dengar ialah strategi BN.

Mungkinkah simptom pemikiran kelompok itu telah menyebabkan pemimpin Pakatan hanya lebih menumpukan usaha untuk menarik orang lain ke parti mereka, tetapi terlupa untuk menjaga wakil rakyat sedia ada? Nanti kita tanya mereka!

Maka kita tutup isu kemelut politik Perak. Nanti kita bincang simptom psikologi yang lain pula.

Friday, 6 February 2009

Politik Perak : wisel sudah berbunyi

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Permainan sudah tamat. Pengadil sudah tiup wisel. Apa pun tafsiran anda, permainan sudah tamat. Ada orang mungkin berkata, perlawanan mesti dalam padang. Kalah menang mesti ditentukan dengan cara yang betul. Kalau politik seperti bolasepak, jadi kalah menang mesti dalam padang.

Hah. Jangan anggap kalah menang hanya kerana bermain dalam padang. Juventus hilang takhta liga untuk tahun 2004 dan 2005 kepada Inter Milan bukan kerana jaringan gol di padang. Mereka hilang kejuaraan liga di mahkamah. Bukan hanya hilang piala, mereka disingkirkan ke Serie B tahun 2006 juga oleh mahkamah.

Begitu halnya dengan hilangnya kerusi pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.

Ada orang berkata politik itu kotor. Itu ayat pertama kita dengar kalau masuk kuliah sains politik. Kotor atau tidak, ia hanya persepsi. Tetapi begitulah caranya politik dimainkan. Seperti permainan ragbi. Kalau tidak kasar, itu bukan ragbi. Kalau tidak kasar mungkin itu bowling padang.

Jadi - jangan berasa susah hati jika anda berada di pihak yang kalah. Jangan juga cepat teruja kalau anda di pihak yang menang. Permainan memang sudah tamat. Tetapi permainan baru tentu akan bermula! Strategi baru juga tentu sedang diatur.

Nanti kita bincang pasal 'groupthink'. Simptom yang menyebabkan banyak orang jatuh merudum.

Wednesday, 4 February 2009

Politik Perak 2: Checkmate!

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sila baca post sebelum ini dahulu untuk faham konsep, sebelum baca yang ini.

Ini baru checkmate! 3 orang wakil rakyat Pakatan Rakyat masuk BN. Seorang lagi yang dahulunya masuk PKR kembali ke BN. Akhirnya Pakatan Rakyat hilang majoriti untuk tubuh kerajaan.

Inilah dikatakan checkmate. Siapa yang simpan strategi penting dan mampu kawal setiap 'tingkap' Joharinya dengan baik. Jangan biar ada orang curi masuk!

Sehingga blog ini ditulis, masih belum ada ulasan dari Menteri Besar Perak sama ada akan berlaku pembubaran dewan. Belum juga dipastikan sama ada BN akan membentuk kerajaan baru.

Politik ibarat bolasepak. Pilihanraya itu perlawanannya. Padang itu negerinya.

Ada pengurus, jurulatih dan pemain. Ada juga master mind. Ada penyokong fanatik. Ada yang hanya pandai kritik, tengok bola pun tak pernah.

Eh, siapa yang jadi bolanya? Siapa pula yang bayar tiket perlawanan?

Hah. Jangan beritahu apa yang kita tahu. Nanti tingkap Johari kita terbuka.

Apa pun, kita orang awam jangan masuk campur. Kita hanya boleh lihat, dengar dan rasa. Pada akhirnya, seperti dikata oleh buku; 'politik seni serba mungkin'. Atau bahasa mudahnya, politik adalah seni permainan. Tak lebih dari itu.

Sunday, 1 February 2009

Kemelut politik Perak: checkmate?

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Nota: Artikel ini bukan artikel politik. Ia perbincangan psikologi.

Senario politik di Perak semakin panas. Dengan kemenangan tipis Pakatan Rakyat(PR) berbanding Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya Mac 2008 (31 kerusi berbanding 27), bermakna kedua-dua pihak saling memasang strategi untuk menjatuhkan di antara satu sama lain. Ia bukan hal salah atau tidak, ini hal 'tipu helah' politik.

Kejutan berlaku beberapa hari lalu apabila Adun Bota yang mewakili BN tiba-tiba mengumumkan keluar parti dan menyertai PR.

Namun, kejutan itu tiba-tiba beralih arah apabila dua Adun Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiba-tiba 'hilang' beberapa hari. Spekulasi mereka akan keluar parti terus bertebaran di laman web dan akhbar perdana. Beberapa jam tadi tersiar berita di laman web The Star yang mereka telah pun meletakkan jawatan sebagai ahli dewan. Berita terbaru pula lain ceritanya. Lihat sini.

Sebagai orang awam, jangan terkejut dengan berita-berita ini. Berita ini lebih kepada 'aku tahu kamu, kamu tak tahu aku', atau 'kamu tak tahu aku, tetapi aku tahu kamu'. Ini adalah strategi pintar kedua-dua pihak - BN dan PR.

Dalam psikologi, ada satu permainan kognitif yang biasanya dikenali sebagai Johari window. Anda boleh baca di sini. Anda juga boleh baca hal ini di sini.

Teori ini antara lain mengemukakan betapa manusia mempunyai beberapa kotak yang dikenalinya sebagai Arena/Open (terbuka), Facade (kelabu), Blind Spot (titik buta) dan unknown tidak diketahui.

1. Dalam laman terbuka (open), kita tahu dan orang lain tahu mengenai diri kita. Misalnya nama kita. Orang lain tahu, kita pun tahu.

2. Pada titik buta, kita tidak tahu mengenai diri kita, tetapi orang lain tahu mengenai diri kita. Misalnya perangai kita yang mungkin disukai/tidak disukai orang lain. Sebab itulah jangan terkejut kalau ada orang yang tergila-gilakan anda, walaupun anda tidak tahu mengapa. Mungkin ada hal yang dia tahu, tetapi kita sendiri tidak tahu. Pemain gitar yang baik mungkin tahu dia boleh bermain gitar. Sejauh mana sedapnya petikan gitar selalunya yang menilai ialah orang lain.

3. Pada titik kelabu, kita tahu mengenai diri kita, tetapi orang lain tidak tahu mengenai diri kita. Misalnya kita mempunyai tahi lalat di punggung (kecualilah kalau ada orang lain tahu?). Atau nombor pin akaun bank. Atau kita mempunyai perangai tertentu yang dirahsiakan daripada pengetahuan umum termasuk ahli keluarga sendiri. Ini adalah wilayah kekuasaan kita.

Sebab itu biasanya sebelum bertemu dengan seseorang dalam temujanji atau temuduga, kita akan cuba ambil tahu mengenai hal orang atau organisasi yang berkaitan. Ini bagi membolehkan kita mengurangkan titik kelabu pihak berkenaan.

4. Pada titik tidak diketahui (unknown), kedua-dua pihak tidak tahu mengenai diri kita. Kita pun tidak tahu, orang pun tidak tahu. Apa ya? Penjelasan umum mungkin susah. Penjelasan psikologi membawa maksud trait terpendam. Misalnya sakit jiwa. Kita tidak tahu yang pada masa hadapan kita akan sakit jiwa kerana ada saraf dalam otak yang sudah tidak berfungsi, dan orang lain pun tidak tahu hal ini. Dalam permainan bolasepak, biasanya kedua-dua pasukan tidak dapat menjangka keputusan perlawanan sehinggalah tamat permainan.

Apa kaitannya teori ini dengan politik di Perak?

Sejak PR menwar-warkan akan berlakunya crossover atau lompat parti, sebenarnya mereka telah bertindak membuka titik kelabu (no 3) menjadi lebih besar. Ini bermakna orang semakin tahu apa strategi politik PR. Hal ini sepatutnya menjadi rahsia politik. Akhirnya hal ini telah sampai menjadi laman terbuka (no 1). Strategi politik mereka telah diketahui orang lain - bukan sekadar musuh politik, bahkan orang umum.

Sedangkan yang PR tidak tahu ialah apakah yang orang lain tahu mengenai diri mereka di titik buta (no 2). Sepatutnya ruang ini dikecilkan lagi. Sekurang-kurangnya mereka boleh jangkakan apa yang orang lain tahu mengenai diri mereka.

Jadi, apabila berlakunya crossover seorang Adun BN ke PR, sebenarnya pihak BN tentu telah ada strateginya juga. Inilah politik. Politik adalah dunia penuh strategi. Kalau tiada strategi, itu bukan politik.

Siapa yang akan checmate dulu? Kita tunggu dan lihat. Ia bergantung kepada siapa yang ada lebih banyak maklumat dan menyimpan strategi penting.

Implikasi untuk kita

Untuk menjadi orang hebat, kita sepatutnya memastikan titik kelabu kita sentiasa besar. Maksudnya rahsia strategi kita disimpan baik. Jangan biarkan orang lain tahu kekuatan kita. Misalnya ilmu kita. Jangan terlalu mendedahkan kepada orang lain. Biarlah nampak sedikit bodoh.

Kalau tidak, nanti orang tahu bagaimana untuk menjatuhkan kita. Sebab itu dalam kaedah perang Tsun-Tzu, yang ditunjuk ialah pedang panjangnya. Pedang pendek sentiasa tersembunyi. Pedang panjang hanya umpan, pedang pendek itulah yang bakal menikam.

Nota untuk Azam Swinging Bowl- ini bukan nasihat, hanya contoh.

Peniaga seperti Azam banyak merahsiakan hal perniagaannya seperti berapa kos sewanya, untungnya dan siapa rakan perniagaannya. Dia juga tidak memberitahu apakah resipi masakannya kerana semua itu adalah titik kelabu yang perlu ditebalkan. Yang perlu Azam lakukan ialah mengecilkan titik buta. Ini bermakna dia berusaha untuk tahu apa yang orang lain tahu mengenai kedai Swinging Bowl. Dengan cara ini dia sudah tahu apa langkah selanjutnya yang patut dia lakukan.

Apa yang susah bila menulis

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Apa yang paling susah ketika anda menulis?

Soalan ini dituju bukan hanya untuk mereka yang buat PhD, soalan ini mungkin juga sesuai untuk yang menulis surat cinta.

Menulis seperti juga bercakap. Yang berbeza di antara keduanya ialah menulis menyusun ayat di atas kertas, bercakap pula menyusun ayat di hujung lidah. Jadi apa yang susah?

Susahnya menulis ialah kerana kita perlu berfikir. Tidak boleh menulis tanpa berfikir. Berfikir pula tidak boleh sembarangan. Kita bukan manusia hebat seperti Albert Enstein. Berfikir perlukan otak menggelintar maklumat. Maklumat tidak boleh didapatkan tanpa pemerhatian, perbualan atau pembacaan. Sebab itu berfikir adakalanya lebih susah dari menulis.

Menulis pula tidak sama seperti bercakap. Kita perlukan sampaikan mesej dengan sempurna. Kalau tidak orang akan bingung dan tertanya-tanya. Menulis juga perlukan penggunaan bahasa yang baik. Kalau tidak orang akan menyangka buruk dengan diri kita.

Bercakap walaupun perlu baik, tetapi orang tidak hanya menilai melalui kata-kata. Orang menilai juga berdasarkan memek muka dan bahasa tubuh. Sebab itu kadang-kadang kita boleh faham orang bercakap sesuatu walaupun dia tidak lagi habis bercakap. Kita juga boleh menilai apa yang seseorang maksudkan melihat bahasa tubuhnya.

Menulis tidak ada 'clue' yang lain. Sebab itu, kita tidak digalakkan menghantar SMS atau e-mel dengan menulis dalam tulisan besar. Tujuan kita mungkin baik, tetapi orang akan menafsirkan perkara lain.

Di kalangan penyelidik yang sedang melakukan PhD sekarang, aku rasa kami berhadapan dengan hal ini. Kita bukan hanya kebingungan berfikir, tetapi adakalanya apa yang kita tulis tidak sampai maksudnya. Ini bukan bermakna kerana kita terpaksa menulis dalam bahasa Inggeris, maka maksud kita tidak sampai. Menulis dalam bahasa Melayu pun belum tentu lagi.

Ada seorang pelajar wanita Australia, lahir di Australia dan bercakap 100% peratus dalam bahasa Inggeris, tetapi ketika menghadiri bengkel menulis, yang mengkritik tulisannya bukan hanya guru bahasa Inggeris, tetapi juga pelajar antarabangsa. Ini bukti halangan menulis bukan hanya kerana masalah bahasa. Ia sebenarnya masalah pemikiran.

Bagaimana mengatasinya. Nanti aku ulas dalam entri selanjutnya. Kita bercerita tentang peta minda.

Wednesday, 28 January 2009

Masih lagi cerita panas

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Masih lagi cerita panas.

Suhu di Adelaide siang tadi sudah mencecah 45 darjah celcius. Malam ini sahaja, jam 10.43 petunjuk dari komputer menunjukkan suhu 38 darjah celicius. Ini baru betul-betul panas. Orang Adelaide sudah jadi semacam cacing kepanasan. Di mana-mana orang bercakap hal suhu panas. Laporan rasmi ada di sini. Seorang kawan pun cerita pasal panas.

Ada mat salleh yang bawa kereta tanpa baju di Jalan Henly Beach. Di depan Hospital Royal Adelaide ada orang lelaki yang berjalan tanpa baju di tengah perangkap haba panas.

Cuma beberapa hari dulu, ternampak seorang remaja perempuan berjalan dengan hanya memakai seluar dalam di Rose Street. Hah. Ini barulah panas!

Biasanya tengahari aku akan melepak di bawah tangga untuk menghisap beberapa batang rokok Marlboro. Sekarang ini tidak boleh lagi. Jangan juga cuba-cuba tunjuk pandai pakai mentera panggil angin. Angin yang datang bukan angin sejuk, tetapi haba panas.

Tengahari tadi ingat hendak balik dari kampus Mawson Lake untuk kembali ke City. Tetapi nampaknya hasrat tidak boleh ditunaikan. Tidak ada orang yang berani tunggu bas. Di luar bangunan pun tidak ada orang yang berani tunjuk samseng berjalan kaki. Petang, setelah beberapa jam tidur di surau baru balik ke rumah. Naik bas yang berhawa dingin. Tetapi masih panas juga.

Beberapa tahun dahulu, teman aku lulusan dari pondok tradisional memberitahu aku yang matahari bukanlah panas. Yang panas ialah sifat bumi itu sendiri. Dia berhujah mudah. Semakin kita berada di tempat tinggi, kita akan berasa dingin. Sepatutnya semakin tinggi kita akan berasa panas sebab lebih dekat dengan matahari. Aku tak tahulah betul atau tidak hipotesisnya itu.

Tetapi sejak merasa dua kali musim panas di Adelaide ini aku mula menyangka baik dengan hipotesis tadi. Kadang-kadang matahari terik, tetapi kita berasa sejuk. Sekarang sudah malam dan matahari sudah pun bergerak ke dunia sebelah Barat, mungkin di India atau Afrika, tetapi suhu tetap panas. Duduk di luar rumah pun panas juga. Jadi yang panas bukan sebab matahari, tetapi sebab sifat bumi.

Apa pun ingat, ingat satu perkara. Ini baru panas di dunia. Belum lagi panas di neraka.

Tuesday, 27 January 2009

Berita paling panas dari Adelaide

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Jam sudah jam 11.17 malam. Tak boleh tidur. Panas sangat.

Panas di Australia tak sama dengan panas di Malaysia. Di Malaysia sekarang yang sedang panas ialah ahli politik PKR lompat parti. Tak tahulah apa tujuannya. Panas juga dengan berita seorang tahanan mati dalam lokap polis. Semua itu berita panas.

Tetapi panas di sini lain. Ini panas cuaca. Suhu tengah malam sekarang pun masih 35 darjah celcius. Siang tadi sudah mencecah 41 darjah celcius.

Di Malaysia pun kita panas juga. Terutama di negeri utara bila tiba musim kemarau. Tetapi panas kita masih boleh tahan. Ia panas lembap. Tetapi di Australia ini panas kering. Berpeluh tidak. Seperti duduk dalam rumah salai (ban) tembakau. Siapa yang biasa berkerja di rumah salai tembakau tentu tahu. Aku pernah kerja di ban tembakau tahun 1989 dahulu ketika tunggu Sijil Pelajaran Malaysia.

Kalau di Malaysia, biasanya musim panas ialah bila kemarau. Antara bulan Januari ke April. Ketika aku masih budak-budak, di musim kemarau biasanya ia musim yang sangat seronok. Inilah waktunya untuk kami mengelau ikan di sungai. Ini juga waktunya ikan haruan, puyu, selar dan lampam sedang berpesta makan kalau kita memancing. Biasanya kita akan pakai umpan kelkatu (Katu, kata orang Kedah) yang keluar dari busut sebelum Maghrib.

Petangnya kita akan main wau bulan di bendang yang baru dituai. Untuk budak-budak seperti kami, kami hanya tahu main wau lepek. Semua itu kita buat sendiri. Cuma ada kertas dan tulangnya dibuat dari kulit batang rumbia yang kering. Gam untuk tampal wau ambil dari batang daun rumbia yang masih hijau. Mudah sungguh. Tetapi sekarang lebih mudah, beli dari kedai.

Kadang-kadang kami main pondok-pondok (dangau) yang dibuat daripada jerami. Batang jerami itu juga boleh buat serunai. Zaman dahulu belum ada playstation atau komputer. Jadi semua benda boleh main. Sekarang dah jadi nolstalgia. Orang tak turun bendang lagi. Semuanya upah tauke mesin padi.

Malamnya kita duduk di beranda atau bersantai di bawah pokok. Ia sejuk dan nyaman. Sambil-sambil kita membalut rokok daun nipah dan tembakau original. Buatan orang kampung. Entah mengapa tembakau tradisional kita tak boleh dijual di negara lain.

Sebab rokok daun kita unik. Rasanya juga macam-macam. Ada tembakau cap tangan, ada yang cap naga. Ada yang tidak ada cap, tetapi dijual ikut tahil. Di Tunjang, Kedah ada sebuah kedai yang hanya menjual rokok daun dan tembakau. Boleh tanya orang di sana kedai Misai Bin Siang. Ini nama orang Cina. Bukan orang Melayu.

Musim kemarau juga orang kampung akan mula mencari telaga yang airnya tidak kering. Biasanya musim ini air telaga kering. Hanya ada beberapa buah telaga yang mata airnya baik dan tidak kering. Inilah masanya orang kampung beratur panjang untuk mendapatkan air. Itu dulu, sekarang semua pakai air paip.

Tetapi panas di sini, tidak boleh buat apa-apa. Dalam rumah panas, luar pun panas. Rasa dan mengeluh sahaja. Esok dan lusa ramalan cuaca kata akan lebih panas. Di sini ramalan cuaca boleh percaya. Walaupun kadang-kadang tak betul juga. Tetapi, di negara kita ramalan cuaca memang betul-betul meramal. Tak ramai pun ambil tahu pasal cuaca. Sebabnya mungkin tak betul sangat pun.

Kalau ada orang Malaysia yang berkira-kira nak datang Australia sekarang untuk bercuti, baik jangan dulu. Lebih baik baca berita panas di sana daripada menghirup udara panas di Adelaide.

Monday, 26 January 2009

Psikologi betis dan paha

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hari ini kita bincang psikologi betis dan paha. Ia psikologi yang selalu dimainkan oleh peniaga 'gores dan menang'.

Dalam psikologi sosial ada istilah 'psikologi makan budi'. Ada juga konsep 'meminta paha, mahukan betis'. Aku sudah lupa istilah asalnya dalam bahasa Inggeris.

Bagaimana caranya.

Katakan sekiranya anda ingin meminta wang RM1 dari seseorang. Anda jangan terus meminta RM1. Itu pendekatan salah. Jadi, anda mintalah RM 10 dahulu. Mereka mungkin akan memberinya, atau tidak. Sekiranya seseorang itu telah memberikan anda RM10, ini bermakna anda boleh memulakan permintaan lain yang lebih kecil selanjutnya. Jadi mintalah pula RM1. Pasti dia akan memberikan anda RM1 tadi.

Sebabnya mudah. Orang tadi telah merasakan kehilangan RM10. Ia jumlah yang besar. Jadi apalah sangat dengan seringgit - jumlah yang lebih kecil. Sekiranya dia tidak mahu memberikan anda RM10 sekalipun, dia pasti tidak sukar memberikan RM1. Sebab dia merasa tidak begitu banyak kehilangan. Walaupun dalam kedua-dua kes, orang yang memberikan wang akan rugi juga.

Pendekatan ini selalu dimainkan oleh pemberi pinjaman wang. Mereka hanya mengenakan bunga dengan jumlah yang sedikit. Apalah sangat untuk membayar wang bunga RM3.50 kalau anda sudah membayar tunggakan RM 500.

Begitu juga ketika anda membeli barang. Misalnya telefon bimbit yang berharga RM1,000. Pasti nanti akan ada pujukan lain untuk anda membeli barang yang tidak berapa perlu misalnya casing, bateri ganti, atau aksesori lain yang lebih murah harganya. Ketika itu kita tidak begitu berfikir panjang lagi.

Ini juga kaedah yang selalu digunapakai kalau anda ingin menjadi 'negotiator'. Boleh juga kalau digunapakai untuk membeli barang. Tawar dengan jumlah angka yang 'tidak masuk akal' dahulu. Ia cuma angka bagi mengumpan jumlah sebenar yang anda inginkan. Jadi, orang merasa daripada memberikan jumlah yang besar, lebih baik memberikan jumlah yang sedikit.

Jadi apa kaitannya dengan gores dan menang?

Biasanya orang yang terlibat dengan gores dan menang akan datang ke rumah anda. Mereka biasanya akan meminta diri ke bilik air. Mungkin ada yang meminta secawan air sejuk untuk melepas dahaga. Ada juga yang meminta untuk ke dapur. Tidak kurang yang ingin menumpang solat di bilik tidur anda.

Semua ini adalah trick bagi membuka pemberian anda. Sekali anda mula memberi, anda akan terus memberi lagi.

Sekiranya anda membenarkan mereka masuk ke rumah dan kemudiannya membenarkan pula mereka ke 3 tempat yang dianggap sulit tadi, bermakna anda akan tewas dalam perundingan seterusnya.

Apa tidaknya. Anda telah membuka ruang kepada mereka untuk menggunakan sesuatu hak yang dianggap sulit dan strategik di rumah anda. Anda sudah kehilangan banyak hal yang besar.

Jadi, apalah sangat kalau kemudiannya mereka ini meminta anda untuk melakukan 'gores dan menang'. Ia hal yang kecil sahaja dibandingkan dengan yang tadi. Jadi tidak dapat tidak, anda tidak kisah membuka ruang untuk mereka menipu anda.

Jarang orang mahu memukul orang lain kalau tadinya sudah membuat kebaikan.

Bagaimana untuk mengelaknya.

Paling mudah - jangan biarkan orang tak dikenali memasuki walaupun seinci kawasan rumah anda. Apatah lagi ruang strategik lain. Dalam kata yang lain - jangan biarkan mereka mendapatkan jari anda, pasti paha pun mereka tidak dapat.

Kalau mereka sudah mendapat paha, pasti dia kemudiannya meminta betis pula!

Pesan ini juga sesuai untuk anak dara yang sedang dilamun cinta!

Sunday, 25 January 2009

Australian Day

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Australian Day jatuh pada Isnin, 26 Januari. Ini bermakna kami bercuti 3 hari, Sabtu sampai Isnin. Aku cuba menjeling-jeling kalau-kalau ada orang yang menggantungkan bendera Australia.

Nampaknya tidak seperti Malaysia. Adalah beberapa buah kereta meletakkan bendera kecil. Tetapi itu pun dalam 1,000 kereta mungkin terjumpa satu. Di rumah dan di bangunan tidak pula terpacak apa-apa bendera menunjukkan mereka sedang menyambut Australian Day.

Tidak patriotikkah mereka? Hah, patriotik bukan hanya letak pada bendera seperti yang orang kita bangga sangat. Menggantung bendera yang banyak pun mungkin tidak patriotik kalau bendera itu banyak dimport dari China.

Patriotik juga letaknya pada perkara lain. Kita patriotik kalau tidak rasuah. Kita patriotik kalau bercakap benar walaupun pahit mengenai hal-hal yang tidak patut. Kita patriotik kalau melaksanakan pekerjaan dengan jujur. Kita patriotik kalau berjuang demi bangsa dan agama. Kita patriotik kalau marah dengan orang yang memandang remeh bahasa kebangsaan. Kita patriotik kalau tangkap orang luar yang masuk negara tanpa ikut jalan betul. Kita patriotik kalau bising-bising ada orang curi balak.

Hah banyak. Tapi nampaknya patriotik kita mudah sangat. Pacak bendera biar tinggi-tingi. Kalau boleh setinggi pohon kelapa. Kereta pula berselimutkan bendera. Sudah jadi trend masakini. Tak faham makna merdeka tak mengapa, asal kita ikut trend. Yang untungnya orang jual bendera!

Ini bukanlah pula bermakna kita tidak patut mengibarkan Jalur Gemilang bila menyambut Hari Kebangsaan. Tetapi kita kena faham makna sebenar nasionalisme dan patriotik. Tidak guna hanya sibuk dengan bendera di depan dan belakang motosikal, tetapi malamnya merempit pula. Tidak guna hanya sibuk membeli bendera, kalau makna warna bendera pun kita tak tahu.

Patriotik itu ada di dalam diri. Jangan hanya pandai sebut sahaja. Dah berapa tahun merdeka pun mungkin kita dah lupa.

Wednesday, 21 January 2009

Janji untuk pilihanraya 2011

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Pilihanraya kecil Kuala Terengganu sudah tutup buku. Agenda politik pembangunan dan wang sudah tidak relevan lagi. Dalam konteks politik moden kini, sewajarnya agenda lain yang diketengahkan. Bukan lagi sekadar mewar-warkan projek gajah putih.

Apatah lagi apabila projek pembangunan itu sendiri menjadi satu trauma untuk rakyat. Mereka melihatnya sebagai tawaran projek kepada para kroni, walaupun tanggapan ini tak semestinya betul. Tetapi dalam politik, bukan betul atau tidak. Yang utama ialah persepsi.

Bagaimana kalau pada masa depan ahli politik tidak lagi bermain dengan isu lapuk seperti hudud, kalau undi parti X negara akan miskin, tiada pembangunan dan sebagainya. Mari kita fokuskan isu lain. Isu penyampaian (delivery) pula. Ia relevan dengan masyarakat hari ini. Antara perkara yang boleh diketengahkan:

1. Sediakan lorong pejalan kaki, basikal dan motosikal di jalanraya. Ia membantu mengurangkan kemalangan juga.

2. Sediakan kemudahan untuk orang cacat misalnya tangga untuk menaiki bas dan stesen LRT. Sekarang ini susah sangat mereka ini.

3. Skim konsesi tambang bas dan perkhidmatan lain untuk golongan pesara, orang kurang upaya, warga tua, pesara tentera dan para pelajar.

4. Perbanyakkan kemudahan awam seperti perpustakaan dan taman permainan di setiap mukim. Ia mesti menjadi dasar yang diwajibkan. Kemudahan ini pula mesti disediakan oleh pihak berkuasa tempatan, dan bukannya pemaju perumahan.

5. Sediakan bas percuma untuk orang yang ingin pergi dan pulang bersembahyang Jumaat.

6. Ahli parlimen dan dewan undangan negeri berfungsi sebagai penyalur masalah rakyat, dan bukannya golongan elit yang hidup mewah dan melupakan tanggungjawab.

7. Kebersihan diutamakan. Setiap rumah disediakan tong sampah dan akan dikutip seminggu sekali oleh pihak berkuasa tempatan.

8. Banyakkan lebuhraya - tetapi jangan pula dikenakan tol. Ia alternatif kepada lebuhraya berbayar sekarang.

9. Setiap pembangunan yang akan diadakan perlu mendapat maklumbalas dengan masyarakat. Pandangan mereka diambil kira. Adakan sesi temuduga, mesyuarat dan sebagainya. Jangan diulang lagi kesilapan membangunkan kolam udang di Kerpan, Kedah.

10. Perbaiki sistem layanan di kaunter. Jangan jadi seperti Pejabat Pos sekarang. Beratur setengah jam hanya untuk membeli stem 30 sen. Kadang-kadang pengguna diherdik dengan soalan yang bodoh.

11. Jangan terlalu mengharapkan pihak swasta dalam penentuan satu-satu projek. Cadangan mestilah dikemukakan oleh masyarakat setempat, dan bukannya pelobi projek.

12. Berita yang berimbang di media massa. Berilah peluang untuk rakyat berfikir, dan bukannya memaksa mereka dengan maklumat. Jangan dianggap mereka tidak bijak dan tidak tahu.

13. Maklumat belanjawan kerajaan Pusat dan negeri mestilah dilaporkan di media massa. Jadi tiada lagi tuduhan salahlaku dan sebagainya.

14. Persekitaran awam yang lebih selamat dari jenayah. Adakan kempen atau papan tanda bagi mengingatkan masyarakat tentang hal ini. Pihak berkuasa pula sekiranya hendak mengadakan satu-satu operasi, mestilah dalam berkumpulan. Bukan seorang dua anggota yang bersembunyi di lorong gelap. Ini tidak baik bagi tanggapan masyarakat. Membuka pula peluang untuk rasuah dan sebagainya.

15. Agensi kerajaan menjadi institusi bebas politik. Mereka hanya menjalankan kerja-kerja birokrasi dan pentadbiran.

Cukup dulu.

Friday, 16 January 2009

Maksud stress dan burnout

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Esok, 17 Januari 2007 kajian aku berkaitan manusia yang stress di tempat kerja akan berlangsung lagi. Ia adalah kajian kali ke-2. Kajian kali pertama dilakukan bulan September 2008 lalu. Ada dua kali lagi kajian yang akan menyusul selepas ini. Ia kajian yang lebih besar.

Kajian yang besar itu akan berjalan dari satu rumah ke satu rumah. Jumlah semua peserta kajian nanti ialah 536 orang setiap kali kajian. Kalau anda orang Selangor, mungkin anda akan terlibat. Ia dipilih secara rambang. Mungkin bulan April atau May 2009 nanti. Jangan terkejut kalau tiba-tiba ada orang mengetuk pintu rumah anda dan bertanya: Encik, stress tak?

Terima kasih juga di atas respons yang diberikan pengunjung terhadap iklan dalam posting sebelum ini. Ada yang terpilih, ada yang tidak. Bagaimana pun terima kasih di atas minat yang diberikan. Memandangkan kajian ini perlu mengambil kira pelbagai faktor - khususnya jenis pekerjaan, jadi tidak semua orang dapat dirangkumkan bersama.

Mengapa stress. Penting sangat ke topik ini? Stress sepertinya hal biasa sahaja di negara kita. Ia juga hal biasa di negara sedang membangun yang lain. Tak ada orang ambil tahu pun. Bukan sekadar stress, kalau sakit fizikal pun majikan tak layan sangat. Silap haribulan, kita akan dibuang kerja. Orang putih lain. Stress pun boleh claim Work Cover. Boleh dapat cuti dan bergaji penuh.

Sebenarnya banyak orang yang mati sebab stress. Stress menyebabkan sakit jantung, darah tinggi, dan pelbagai penyakit kronik lain. Stress juga sebabkan rumahtangga kacau bilau. Tapi sebab kita tak begitu ambil peduli sangat, banyak yang tiba-tiba mati mengejut. Kita cuma berkata: Oh, si anu itu dah mati. Sakit jantung kata orang. Malangnya punca sakit jantung itu tak diambil peduli, maka kita tak layan sangat sama ada stress atau tidak. Stress belum menjadi sebahagian daripada perkara yang dianggap penyakit dalam budaya kita. Kita cuma salahkan rokok sebagai sebab sakit jantung. Belum tentu lagi hanya sebab rokok.

Stress yang sedikit memang diperlukan. Tapi jangan simpan stress lama sangat. Ia membawa kerosakan diri dan tubuh badan. Ibarat pegang botol air mineral 2 liter dengan dua jari. Seminit dua memang boleh pegang. Memang ringan. Cubalah pegang selama satu atau dua jam. Boleh pegang atau tidak? Itulah stress. Semasa botor air mineral itu jatuh, dan air di dalamnya tumpah - itu kita panggil burnout - simptom yang lebih bahaya lagi.

Budak-budak yang pernah mengaji dengan aku di UniKL tentu tahu hal ini. Aku bawa dua botol air mineral untuk mengajar!

Wednesday, 14 January 2009

Jakarta - Satu cerita ketabahan manusia

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sekitar tahun 2003-2005 aku tinggal di Jakarta. Penduduknya lebih 20 juta pada waktu siang - kehidupannya sangat berat. Separuh daripada penduduknya berkurangan di waktu malam. Mencabar. Mereka bukan hanya sekadar bersaing dengan pelbagai keperluan ekonomi, tetapi untuk mendapatkan rumah tempat tinggal pun tidak begitu mudah.

Banyak yang hidup di bawah kolong. Malah, ada sekolah untuk mengajar anak-anak orang susah di bawah kolong. Yang ada hanya beberapa kerusi, meja dan papan hitam. Bumbungnya ialah jambatan jalanraya. Di bawah kolong itulah anak-anak itu tinggal siang dan malam. Tetapi mereka hidup juga.

Jauh di hadapan apartment yang kami diami di Pos Pengumben, terdapat satu padang lapang tempat pembuangan sampah. Dari tingkat tujuh itulah, kita akan melihat berpuluh-puluh lori akan singgah untuk membuang sampah.

Sampah bukan hanya lebihan nafsu manusia. Sampah juga nadi kehidupan. Berpuluh-puluh orang susah yang hidupnya bergantung kepada sampah itu. Mereka berjalan kaki di atas lendir busuk dan memungut buangan yang masih boleh digunapakai dan dijualnya kembali - barangkali untuk orang yang lebih susah.

Ketika anda masuk ke Bandara Soekarno Hatta, jangan terkejut kalau anda diminta 'uang kopi'. Ia bukan wang untuk membeli secawan atau sebungkus kopi. Ia wang bagi memudahkan pekerja imigresen mengecop paspot antarabangsa anda. Sekiranya anda sudah biasa, anda boleh terus memasukkan wang kopi sebanyak Rp50,000 ke dalam paspot anda. Pasti akan memudahkan urusan dan anda tidak akan ditanya lagi.

Di Muara Angke - lokasi untuk kami mendapatkan bot sebelum berlayar ke tengah laut di Kepulauan Seribu untuk memancing - kita akan melihat begitu banyak pondok-pondok kecil didirikan di atas jeti.

Ia bukan hanya tempat penginapan untuk manusia, tetapi juga digunakan sebagai 'port' untuk tidur dengan pelacur. Jangan terkejut, jam 4 pagi ketika masih belum Subuh, banyak pasangan anak muda sudah berpeleseran di atas jeti dengan pasangan segera itu. Begitulah kerasnya hidup.

Pak Rudi - pengemudi bot memancing kami akan sentiasa ada di atas bot itu. Di situlah rumahnya. Bot itu jugalah yang memberikan dia sumber ekonomi untuk hidup.

Di kawasan lain yang jauh dari Jakarta, ada satu tempat yang dinamakan Subang. Di kawasan ini anda boleh berkahwin dengan wanita untuk beberapa minggu, atau beberapa bulan. Wanita ini memerlukan suami bukan untuk berumahtangga.

Tetapi mereka perlukan suami untuk terus hidup. Mereka akan mencari pasangan lain setelah pasangan lelakinya meninggalkan mereka. Anak yang dikandung boleh jadi anak sesiapa sahaja. Itu tidak penting. Tidak ada istilah 'edah' dalam hal ini. Yang utama ialah survival hidup.

Hari hujan akan membimbangkan orang Jakarta. Ia akan menyebabkan jalanraya sesak. Adakalanya banjir. Ia melumpuhkan kota.

Tetapi, bagi orang yang lain, hujan sangat ditunggu. Akan ada orang yang membawa payung dan membantu anda berteduh ketika melintas jalan atau ke kedai. Mereka sendiri akan kebasahan. Ia bukanlah percuma. Anda perlu membayar Rp 1,000 atau 30 sen di atas khidmat segera itu. Para pembajai (motor 3 roda) pula akan mendapat manfaat apabila banjir dan lumpuhnya pengangkutan. Begitulah hidup.

Pak Hamim - pekerja pencuci di pejabat kami hanya diupah gaji Rp500,000 sebulan. Ia menyamai RM250 sahaja. Ia berbasikal sejauh 10km setiap hari ke tempat kerja. Itu bukan masalah untuknya. Dia tetap tabah menghadapi hidup. Dia tetap terus gagah bertarung dalam peritnya hidup kota Jakarta bersama isteri dan anak-anaknya.

Pak Warto - seorang satpam (pengawal keselamatan) di pejabat kami gajinya juga tidaklah seberapa. Untuk menampung hidupnya, dia sanggup berbuat apa sahaja. Mereka rajin bekerja. Cuma pertarungan ekonomi di kota Jakarta sangat keras.

Untuk mendapat wang tambahan, kita boleh mengupahnya Rp 2,000 untuk mendapatkan teksi yang lalu lalang. Jadi dia akan berjalan kaki jauh ke hadapan untuk memotong giliran manusia yang beratur panjang untuk mendapatkan teksi.

Kebanyakan teman-teman kerjaku lulusan universiti. Mereka pintar dan hebat. Tetapi walaupun lulusan universiti gaji mereka cuma sekitar Rp1.5 juta. Atau RM700. Tetapi begitulah hakikat hidup. Mereka terus bergerak dan menelusuri kota Jakarta yang rakus itu dengan tabah. Gaji mereka kecil. Kos hidup kota yang tinggi dan mahal itu tidak sedikit pun melunturkan semangat mereka.

Bayangkan kalau kita sebagai lulusan universiti - hidup di kota sebesar itu dengan hanya gaji RM700. Mampukah kita terus hidup. Sewa rumah apartmen di Jakarta dalam lingkungan RM 1500-RM2000 sebulan. Ia dibayar sekaligus untuk tempoh setahun. Pusat membeli belahnya lebih besar dari apa yang ada di Kuala Lumpur. Ini bermakna godaan membeli akan lebih besar dari yang kita jangkakan.

Jadi jangan salahkan mereka kalau ada yang terpaksa dibunuh, ditipu atau diperdayakan. Anda mungkin akan dilarikan pemandu teksi yang segak ke tempat yang jauh. Anda juga mungkin akan diperas setiap kali berurusan dengan kantor pemerintah. Jangan juga terlupa memberikan tip anda ketika makan di restoran atau menaiki teksi. Itu hal biasa.

Tetapi - pada akhirnya mampu atau tidak menghadapi survival hidup - bergantung kepada persepsi kita sendiri. Kitalah yang menentukannya.

Sunday, 11 January 2009

Sajak Palestin

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sajak yang anda cari sudah dipindahkan ke blog lain.

Sila klik www.poemfakirfikir.blogspot.com

Harap maklum.

Bahasa dan politik?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ada dua perkara yang sedang menjadi perhatian di negara kita, satunya isu bantahan GAPENA terhadap penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik. Keduanya pilihanaraya kecil di Kuala Terengganu.

Dari satu sisi, kedua-dua perkara itu tidak berhubungkait. Dari sisi lain, ia dua perkara yang saling memerlukan di antara satu sama lain. Isu bahasa tidak boleh lari dari politik. Politik adalah keazaman untuk mempertahankan satu-satu bahasa, atau meruntuhkannya. Itu tidak boleh dinafikan, Di Thailand dan Indonesia, kekuatan politik yang mempertahankan bahasanya.

Namun, kita harus adil dalam hal ini. Kita memang memerlukan bahasa Melayu sebagai medium nasionalisme dan perpaduan bangsa. Bahasa Melayu juga harus menjadi kebanggaan kita bersama tidak kira kita ini seorang Cina, India, Siam, Kadazan atau apa bangsa sekalipun.

Bagaimana pun, bantahan GAPENA terhadap penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik ada asasnya. Kini pelajar berhadapan dengan kecelaruan bahasa untuk memahamkan simbol sains dan matematik. Mereka mungkin bijak dalam matematik dan sains, tetapi kelemahan bahasa akan melemahkan mereka dengan subjek berkaitan.

Universiti Kebangsaan Malaysia berjaya melahirkan ribuan doktor, bahkan HUKM antara yang hospital yang terkenal. Doktornya adalah produk dari pendidikan dalam bahasa Melayu. Jadi, kita tidak boleh menyatakan yang bahasa Melayu tidak boleh menjadi medium pengajaran sains dan matematik.

Apabila kita memaksakan penggunaan bahasa Inggeris - tanpa menyedari kelemahan aspek yang lain, ia juga tidak memungkinkan terhasilnya pelajar cemerlang. Ketika mengajar di sebuah universiti swasta milik kerajaan - yang Inggeris menjadi mediumnya - terdapat kecenderungan pelajar Melayu untuk melakukan plagiat bagi menyiapkan tugasan mereka. Mereka hanya melakukan 'cut and paste' dari artikel yang boleh didapati dari internet.

Ada dua sebab mereka berbuat begini; pertamanya kerana mereka tidak tahu untuk menulis dalam bahasa Inggeris, jadi cara paling mudah apabila dipaksakan menggunakan bahasa itu - mereka tidak lagi menjadi manusia beretika. Keduanya mereka berasal dari sekolah aliran Melayu yang tiba-tiba sahaja dipaksa untuk memasuki alam bahasa yang lain. Ini tentu menyukarkan mereka.

Andaikata tugasan itu dilakukan dalam bahasa Melayu - tentunya hasilnya lebih baik. Mereka berfikir dalam bahasa Melayu. Atau, sekurang-kuranya mereka dapat memperbaiki kemahiran menterjemah dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu apabila tugasan itu diperlukan dalam bahasa Melayu. Ini lebih baik daripada mereka tidak berbuat apa-apa.

Tapi ada juga hal lain yang memerlukan kita memikirkan semula perlunya penggunaan bahasa Inggeris. Kita tidak boleh begitu membisingkan keutamaan bahasa Melayu jika kelak ia merosakkan masa depan graduan atau lulusan sekolah kita. Bayangkan begini. Di sekolah mereka bertutur bahasa Melayu. Di rumah mereka juga berbual dan menjadi pengguna aktif bahasa Melayu.

Namun, apabila tiba masanya memohon pekerjaan, semua majikan perlukan orang berbahasa Inggeris. Mereka gagal diterima bukan kerana tidak ada kemahiran pekerjaan, tetapi kerana kurangnya kecekapan berbahasa Inggeris. Tatakala pada satu saat lain kita menyatakan perlunya bahasa Melayu, di saat yang lain pasaran pekerjaan menyatakan sebaliknya. Ia adalah kelemahan yang kita timbulkan dari kelemahan polisi bahasa kita juga.

Jadi inilah perkara yang perlu diteliti oleh parti politik, khususnya yang mewakili sebahagian besar orang Melayu baik dari UMNO atau PAS. Bagaimana boleh kita pertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris tanpa merosakkan status bahasa Melayu?

Adakah sesuai jika kita kurangkan sukatan pelajaran kita, dan memberikan lebih banyak masa untuk subjek berbahasa Inggeris. Atau kita perlu ada latihan khusus dalam aspek perbualan, penulisan dan pendengaran dalam bahasa Inggeris untuk pelajar kita. Gurunya mungkin boleh diambil dari luar.

Apa pandangan orang politik?

Isu bahasa ini ibarat menarik rambut di dalam tepung. Tanpa sebarang keazaman politik, isu bahasa akan terus mencetuskan perdebatan. Ia juga akhirnya akan menjadi kuda tunggangan untuk pihak-pihak tertentu mendapat manfaatnya. Seperti yang kelihatannya sedang timbul sekarang.

Friday, 9 January 2009

Mengimbau 30 tahun lalu

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sekarang sudah masuk tahun 2009. Cepat sungguh masa berlari. Zaman banyak berubah. Yang belum hanya diri kita. Mengimbau semula beberapa peristiwa 30 tahun yang lalu.

1979
Tahun aku mula bersekolah di SK Dato' Wan Kemara, Changlun. Masa itu Changlun masih pekan kecil. Bangunan kayu. Masih lagi tersenarai dalam kawasan hitam. Rumah aku masih pakai pelita minyak tanah.

Untuk masuk ke pekan Changlun, kami terpaksa menunggu sehingga pintu pagar dibuka jam 6.30 pagi. Ayah aku menghantar ke sekolah yang jauhnya 3 batu naik basikal mengikut jalan tanah merah becak. Melalui hutan, bendang dan kebun getah. Harimau pun masih ada agaknya. Sekarang semua itu dah tak ujud. Dah jadi taman perumahan. Jalan tanah merah sudah jadi highway.

Tahun berikutnya ayah aku meninggal dunia. Aku jadi anak yatim.

1989
Aku mula mengambil Sijil Pelajaran Malaysia di Sekolah Menengah Jitra. Terpengaruh dengan Rock N Roll. Seluar sekolah pun ada poket depan belakang macam seluar jean. Style 'bell bottom'. Rambut pun serabai.

Baju sekolah pun ada dua poket macam baju koboi. Rosak hidup waktu itu. Pernah kena tampar dengan warden asrama 5 kali tampar sekaligus. Bukan aku seorang yang kena. Ada dua orang lagi yang kena. Bukan salah kami. Pengawas asrama yang belia itu salah beri information. Tak mengapalah. Anggap itu sedekah menghapus dosa.

Guard asrama yang gemuk itu selalu kejar kami. Kawan-kawan baik masa itu - Hasni, Mat Jun, Najmi, Mie Wajab, Man Koboi, Anuar Go dan beberapa orang lagi. Kebanyakan sekarang dah jadi orang besar. Ada yang dah jadi mejar komando, ada yang jadi orang besar kastam. Harap mereka tidak rasuah.

Tahun itu aku dapat Pangkat 3 SPM. Cuma BM dan Agama dapat A1. Yang lain semua kantoi. Hanya aku, Mat Jun dan Anuar Go masuk tingkatan 6. Yang lain semua masuk universiti awal. Tahun terakhir aku duduk asrama.

1999
Masa itu zaman reformasi sedang membiak. Pertelagahan politik antara Tun Mahathir dan DS Anwar Ibrahim merancakkan gelombang. Sesekali ke Jalan Tunku Abdul Rahman untuk tengok reformasi. Aku bukan orang reformasi - cuma nak tengok orang berlari. Masjid India dan Masjid Jamek dah jadi port orang marah.

Tahun itu juga aku pertama kali naik kapalterbang dan ada pasport. Ke Bangladesh 5 hari. Di depan hotel, para pengemis beratur panjang. Istimewanya banyak orang Bangla boleh bertutur bahasa Melayu.

Tahun itu aku berkahwin dengan isteri aku sekarang. Masih teringat ketika ke rumah pengantin, aku terlupa berstokin dan berbutang baju Melayu. Pinjam dari pengapit. Semasa balik ke rumah aku - stering kereta pula tercabut.

Tahun itu juga aku lulus Master dalam Psikologi.

2009
Masih dalam proses. Kalau ada umur panjang, 10 tahun lagi boleh kita cerita.

Thursday, 8 January 2009

Membuat emas di Sovereign Hill

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sekiranya anda sampai ke Ballarat, salah satu tempat yang biasanya menjadi daya tarikan ialah di Sovereign Hill, kota perlombongan emas. Menurut sejarahnya, ia dibuka sejak 1850-an lagi. Di dalam kawasan ini, ia masih mengekalkan bangunan-bangunan koboi lama seperti imej asalnya.

Aku tidak begitu pasti sama ada ia benar-benar perkampungan asal, atau hanya dongeng pemasaran. Seperti juga kononnya masih ada emas seperti yang sedang didulang oleh pengunjung. Kalau benar ada emas, pasti tidak dibuka kepada orang ramai. Itu logiknya. Yang pasti, pihak yang mengendalikan perkampungan itu pasti akan membuat emas! Apa tidaknya, setiap pengunjung perlu membayar AUD 35 sebelum boleh masuk ke dalamnya.

Tuesday, 6 January 2009

Gendang pilihanraya sudah bermula

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Di Kuala Terengganu orang mula berpesta. Pesta pilihanraya. Seperti biasa, akan ada keji mengeji, puji memuji dan janji menjanji. Itu hal biasa politik Malaysia. Banyak orang kampung yang akan dilawati oleh orang-orang yang tak dikenali. Pengayuh beca di Pasar Payang juga akan ditanya khabar oleh orang besar. Cuma kita berharap - setelah sekian lama berpilihanraya, kali ini kita mulakan dengan janji-janji yang mudah sahaja:-

1. Berjanjilah kita akan menjaga Pantai Rantau Abang dengan baik agar penyu akan kembali singgah. Tidak ada orang boleh menyentuh telur penyu, apatah lagi memakannya. Sesiapa yang berani, akan dihukum berat.
2. Pantai Batu Buruk akan menjadi destinasi bersih sampah. Tidak ada penjual yang boleh sewenang-wenangnya berjaja di situ agar kebersihan terpelihara.
3. Pasar Payang akan termasuk dalam ikon pelancongan negara.
4. Akan diadakan banyak jeti untuk memudahkan para pemancing singgah. Jangan lupa juga untuk menyediakan kemudahan seperti tandas, parkir percuma, dan tempat duduk untuk berehat.
5. Setiap rumah di Kuala Terengganu akan disediakan 3 jenis tong sampah - kuning, hijau dan merah untuk memudahkan masyarakat mencintai kebersihan bandar. Sesiapa yang membuang sampah di bandar Kuala Terengganu akan didenda berat.
6. Akan dibina tempat singgah atau 'spot' untuk pencinta foto dan pelancong mengambil gambar. Misalnya di atas jambatan bagi memudahkan mereka mengambil gambar masjid kristal.
7. Papantanda billboard tidak lagi bercakap hanya soal Islam Hadhari - tetapi banyak memfokuskan kepada kebersihan, kemalangan jalanraya, dan penagihan dadah.
8. Keropok lekor Losong akan menjadi produk yang mampu diekspot ke dunia luar.
9. Bandar Terengganu akan menjadi bandar pelancongan pertama negara yang mengikut citra dunia moden.

Hanya itulah janji-janji yang kita harapkan dari wakil rakyat kita. Hah, siapa yang akan bercakap hal ini. Ia tidak pernah ada dalam agenda kita. Kalau begitu, teruslah bercakap apa sahaja.

Berita baik untuk orang Kedah

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kedah mungkin tidaklah sepopular Pulau Pinang di kalangan orang Barat. Tetapi, apa yang aku temui di Phillip Island, sesuatu yang menakjubkan. Ada satu jalan yang dinamai sebagai Kedah Road. Bukan kebetulan ejaannya sama dengan Kedah, kerana ada juga Malay Road dan Perlis Avenue di pulau kecil ini. Aku tidak pasti bagaimana nama ini boleh ujud di pulau ini. Aku cuba menggoogle di internet. Tapi tidak pula ada keterangan bagaimana nama ini bermula. Mungkinkah ada kelasi dari Kedah yang berlayar ke sini?


Phillip Island ini tidaklah secantik Pulau Langkawi atau Pulau Pinang. Ia dihuni oleh 4,000 penduduk sahaja. Tidak ada hotel mewah yang dibina. Yang ada hanyalah chalet, cottage, atau rumah tumpangan. Jadi ia tidak merosakkan ekologinya. Pantainya juga tidak begitu berpasir. Sebaliknya dipenuhi dengan batu kerikil dan lumut. Jadi ia bukanlah pantai yang sesuai untuk berjemur. Cerunnya juga curam. Jadi yang boleh dilakukan hanyalah melihat pemandangannya sahaja.

Tapi ada satu hal yang menjadikan Phillip Island ini terkenal. Ia juga merupakan pulau untuk kumpulan penguin kecil singgah dan bertelur. Sesebenarnya penyu kita lebih masyur. Bukan semua tempat akan menjadi destinasi persinggahan penyu.

Sayang, kita rakus memakan telurnya. Habitatnya kita rosakkan. Kita tidak begitu pandai dalam hal-hal pemuliharaan seperti ini. Kerana menjaga habitatnya, walaupun sempat melihat lebih ratusan penguin naik dari laut ke lubang sarangnya di pulau ini, tidak ada sesiapa pun yang boleh mengambil gambarnya. "Flash' kamera dibimbangkan akan menakutkan penguin ini. Begitulah hebatnya mereka menjaga penguin. Kawasan persinggahan penguin ini juga digazetkan sebagai zon larangan. Tidak ada sesiapa yang boleh masuk selepas senja. Bila kita akan buat begitu untuk penyu kita di Terengganu dan Sabah?

Thursday, 1 January 2009

Catatan Mt Gambier - Part II

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kipas apa ini? Bukan kipas di rumah anda tentunya. Ikuti laporan berikutnya.
Perjalanan hari ini mengambil jarak lebih kurang 500 kilometer pergi balik dari Mt Gambier ke beberapa tempat lain sekitarnya. Kami juga telah melangkah ke negeri Victoria. Banyak ladang dilalui. Cantik pemandangan di sini.

Cuma yang sedikit mengganggu ialah suhu antara 11-17 darjah celcius hari ini. Seperti berada di hari winter di musim panas! Antara tempat yang kami tuju hari ini ialah Port McDonald, Cape Bridge Water, Port Fairy dan Warrnamboll. Ia mengambil masa 10 jam keseluruhannya.Lihat gambar lembu di atas tu. Ada di mana-mana pemandangan ini. Gambar bawah pula ialah longgokan jerami gandum. Pemandangan ini juga ada di mana-mana. Ia digunakan untuk makanan lembu dan kambing. Selebihnya aku tak berapa pasti. Mengapa kita tidak lakukan sesuatu untuk mengkomersilkan jerami padi kita?Gambar bawah ialah pemandangan tidak indah di Port Mc Donald. Ia pekan kecil sahaja. Digunakan untuk bot-bot nelayan berlabuh. Terkenal sebagai lubuk lobster atau udang kara. Kami membeli seekor lobster seberat 1.5 kilogram. Besar sungguh. Lain kali aku tunjukkan gambarnya.Gambar bawah ialah kipas yang digunakan bagi menjana elektrik. Ia menggunakan kuasa angin. Ada beratus-ratus kipas ini. Anda boleh melihatnya sekiranya melalui Princes Highway dari Mt Gambier ke Melbourne. Tetapi ia agak jauh.

Jadi untuk gambaran dekat, anda perlu ke Cave BridgeWater. Berada di bawahnya seperti anda berada di bawah kapalterbang. Begitulah bunyinya. Bingit dan bising. Banyak lagi spot lain yang menarik di sini termasuk yang terkenal ialah Cape Bridge Water Blow Hole. Jika berpeluang, anda patut datang ke sini.


Di Port Fairy, kami tidak menemui pari-pari pun. Yang aku lihat cuma kereta kuda. Mengimbau zaman silam orang Inggeris seperti yang selalu kita lihat di kaca tv. Ia bukan kenderaan rasmi. Hanya digunakan oleh pelancong. Seperti beca di Melaka. Ada pelancong lokal yang menaiki kereta kuda itu.Gambar ini pula letaknya di Warrnamboll. Seperti kubu lama di zaman silam. Bandar pinggir laut yang cantik. Ada banyak tempat yang boleh dilawati. Tapi aku tak sempat ambil gambar tempat lain. Cuaca sejuk dan angin kuat melemahkan motivasi untuk keluar dari kereta.

Esok - kami akan berangkat ke Melbourne - sejauh lebih kurang 500 km dari tempat kami menginap di Mt Gambier sekarang. Jumpa lagi.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails