Yang Ikut

Friday, 5 November 2010

Menulis pun ada bahayanya!

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Semalam aku bertanya - mengapa orang menulis blog.

Ada yang berkata blog boleh dibukukan. Mungkin boleh dibukukan, walaupun mungkin tidak laku. Dengan ribuan buku baru yang diterbitkan, dan minat pembaca bahan bercetak yang semakin merosot, aku tidak mungkin bakal menjadi penulis buku. Suratkhabar juga kini mengalami kemerosotan yang teruk - berdepan dengan media alternatif yang terbit secara online - banyaknya percuma, apa sahaja yang perlu dibayar mungkin berdepan dengan kesukaran.

Melainkan kalau aku ini seorang yang ternama.

Menulis jurnal mungkin sesuai dengan minat aku. Tetapi, menulis jurnal tidak semudah yang dijangka. Ia antara bentuk penerbitan yang paling sukar, walaupun patah perkataannya sekitar 7,000 ke 10,000 sahaja.

Ia sukar bukan kerana patah ayat bahasa Inggerisnya. Ia sukar kerana ia mengambil kira semua hal - metodologi, konseptual, statistik dan banyak lagi. Ia mengambil masa yang panjang.

Kalau begitu, adalah lebih baik aku menulis blog sahaja.

Menulis blog sebenarnya bukan hanya membolehkan kita berkongsi idea dan cerita, menulis blog juga membolehkan kita 'bertemu' dengan banyak orang. Orang ini seperti kita juga, tidak perlu untuk kita kenal di antara satu sama lain. Ia tidak menjadi hal yang penting. Kita bertemu dalam konteks sebagai penulis dan pembaca, atau sebagai pengunjung dan pencerita.

Mungkin itu antara kepuasan menulis blog.

Adakalanya, apa yang ditulis itu juga mungkin bakal mengubah cerita kita.

Dua belas tahun dulu, ketika Saudara Harleem menemuduga aku untuk satu pekerjaan menulis, kami telah bertemu di kedai kopi. Aku masih serabut dan tidak berstokin pagi itu. Itu perwatakan yang susah untuk aku ubah. Tetapi ada hal yang kemungkinannya beliau tidak boleh menolak aku pada pagi itu ialah kerana aku ada beberapa keping sajak untuk menceritakan bahawa aku boleh menulis.

Kini - beliau tidak lagi menjadi ketua aku. Tetapi kerana beberapa keping sajak itulah, aku berkesempatan bertemu dengan beliau. Kini, beliau seolah-olahnya sebahagian dari keluarga dalam hidup aku. Kami terus berhubung sehingga kini, walaupun banyak hal yang dibualkan itu ialah idea baru yang bakal ditulisnya.

Menulis juga ada bahayanya.

Ibu mertua aku pernah membaca surat-surat cinta yang aku tulis kepada bakal isteri (sekarang isteri) aku, yang isteri aku simpan di dalam album. Dia memuji surat cinta aku. Katanya sedap dibaca.

Walaupun dia memuji - hingga kini aku berasa malu!

Bayangkan pula kalau dia berkata, 'anak menantu aku ini, ayatnya sahaja yang lebih!'.

Thursday, 4 November 2010

'Kasyaf' dalam psikologi

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Anda tentu telah membaca berita bagaimana seorang bekas pemimpin masyarakat yang tidak mahu bersalam dengan Datuk Nik Aziz Nik Mat kerana kononnya dia melihat itu ialah tangan syaitan. Kononnya, ia melihat ini bersandarkan kepada kasyaf yang dia miliki. Kita tidak perlu mengulas hal kasyaf ini, kerana ia melibatkan hal agama. Dr Asri sudah mengulasnya di Malaysiakini.

Dalam psikologi - ada hal yang mirip dengan konsep kasyaf dalam Islam, tetapi ia tidaklah serupa. Ia dikenali intuisi. Dalam bahasa mudah, ia adalah gerak hati. Dalam bahasa psikologinya - 'The heart has its reasons which reason does not know'. Dalam bahasa yang kian sulit 'We know more than we know we know'. Atau kita rasa seperti kita tahu, tetapi kita tidak tahu bagaimana untuk memberitahunya.

Pernahkah anda berhadapan dengan situasi intuisi ini?

Adakalanya apabila barang kita hilang, gerak hati kita sepertinya memberitahu bahawa barang itu akan ditemui semula. Kita juga adakalanya terasa seperti peperiksaan yang bakal kita hadapi besok pagi boleh dijawab. Adakalanya ibu kita terasa seperti ada anak-anaknya yang tinggal berjauhan sedang sakit atau ditimpa musibah. Ada perasaan tertentu yang memberikan kita isyarat ini.

Kita tahu, tetapi tidak tahu apa alasan untuk kita berkata begitu. Itulah yang dikatakan intuisi. Bagaimana pun, ingat - ini bukan kasyaf. Ini hanya gerak hati.


Para penemuduga boleh menerima atau menolak seseorang bukan kerana jawapan yang diberikan oleh calon. Adakalanya ia hanya berdasarkan intuisi.

Lebih sepuluh tahun dulu, di Ladang Laka Temin, Bukit Kayu Hitam - seorang polis bantuan telah meminta isterinya membelikan beras dan bahan makanan untuk dibuat kenduri kerana katanya dia akan mati besok hari. Kebesokan harinya dia benar-benar mati. Ini juga mungkin berdasarkan konsep intuisi ini.

Orang yang biasa mencari ikan di musim kemarau - adakalanya ada kemahiran ini. Mereka seolahnya tahu ada ikan haruan di tempat tertentu. Ia berdasarkan 'petanda' tertentu. Tidak semua orang boleh tahu hal ini. Bagaimana pun, kalau ditanya bagaimana mereka tahu, mereka juga tidak tahu.

Para pemain catur, seolahnya tahu kalau mereka menggerakkan buah catur tertentu, lawan mereka akan menggerakkan buah catur tertentu yang menyebabkan mereka bakal kalah. Ini mungkin contoh paling mudah. Konsep intuisi ini dikatakan sebagai pembeza di antara pemain pakar dan novis.

Adakah gerak hati kita selalu betul?

Mungkin ya dan mungkin tidak.

Ada beberapa kajian dalam hal intuisi ini.

Pesakit prosopagnosia - atau mereka yang mengalami kerosakan otak yang tidak dapat dalam membezakan wajah manusia (penyakit buta wajah) , apabila ditunjukkan gambar orang tertentu, degupan jantung mereka didapati meningkat menunjukkan bahawa gerak hati mereka tahu orang yang ditunjukkan. Begitu juga dengan mereka yang mengalami buta blindsight - apabila ditunjukkan bilah kayu, mereka mengatakan mereka tidak nampak apa-apa. Bagaimana pun, apabila diminta meneka sama ada bilah kayu itu menegak atau baring - mereka boleh menjawabnya dengan tepat.

Semua ini menunjukkan gerak hati adakalanya benar. Bagaimana pun, dalam banyak keadaan tidaklah bermakna bahawa intuisi ini boleh selalu digunakan. Ia mungkin hanya berguna untuk diri sendiri, tetapi tidak wajar dimaklumkan kepada orang lain. Apatah lagi, dalam hal yang mungkin menyebabkan kerosakan kepada pihak yang satu lagi.

Ia mungkin hanya untuk diri kita sendiri. Simpan dan diam telahan hati kita itu di dalam hati. Kalau salah pun tidak mengapa.

Mengapa anda menulis blog

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ini adalah tahun ketiga aku menulis blog FakirFikir. Jumlah pembaca mungkin hanya beberapa orang. Walaupun kelihatannya seperti ada 72 orang follower, tetapi aku tidak percaya akan ada 72 orang pembaca. Mungkin beberapa kerat sahaja.

Tetapi - aku tidak pernah kisah sama ada akan ada yang membaca atau tidak apa yang ditulis. Aku juga tidak akan cuba melompat dari satu blog ke satu blog lain mempromosikan blog ini. Bagi aku - penulis blog kecil seperti kita - sekadar menulis untuk meluahkan apa yang dirasa. Kita belum sampai ke tahap penulis besar seperti Kadir Jasin, atau akan mampu menjadi penulis blog yang setiap tulisan menjadi kata seperti Tun Mahathir. Blogger seperti Dr Asri juga terkenal kerana dia telah ada nama sebagai bekas mufti, dan apa yang ditulisnya juga wajar dan bermanfaat.

Apa yang menyebabkan orang membaca apa yang kita tulis?

Bagi aku - setiap penulis perlu ada identitinya dan tidak perlu bersifat hipokrit. Blog seperti
SwingingBowl - dengan bahasa yang 'outspoken' dibaca kerana itulah identitinya. Dia menulis hal yang benar tanpa segan silu. Itu caranya. Tetapi, aku percaya itu antara blog yang baik - ia mengekalkan identitinya menegur dengan caranya. Itu juga mungkin blog yang memaparkan pandangan manusia awam terhadap sesuatu perkara.

Krenmaut dibaca setiap hari kerana tidak banyak yang mampu menganalisis muzik heavy metal sepertinya. Itulah keunikannya. Itulah kekuatannya. Berselang seli pula dengan hal agama - sedikit sebanyak mencetuskan idea dakwah di celah berita muzik semasa. Dia juga orang yang berilmu dan tahu bidangnya.

Di antara kelompok karkun - blog
Ziarah76, Cillah-Mind Art dan Ismadi adalah antara blog yang selalu aku ikuti. Cara mereka menulis memaparkan peribadi mereka walaupun aku tidak tahu siapa mereka. Mereka menulis dengan cara yang beradab, sesuai dengan strategi mereka berdakwah. Tulisan seperti itulah yang diperlukan kalau ingin berdakwah. Anda tidak boleh menulis dengan cara yang kasar, sedangkan pada masa yang sama anda mengaku anda sebagai seorang pendakwah pula.

Blog anak muda seperti
Azyanazilah atau Ainishamsi mungkin tidak menulis hal yang besar. Mereka sekadar menceritakan hal diri mereka sahaja. Sungguhpun begitu, ia memaparkan jiwa anak muda. Mungkin itulah pemikiran anak muda. Di kalangan mereka, mungkin Laxamana menulis hal yang sedikit tinggi. Sesuai dengan minatnya dengan hal begitu.

Semua blog ini ada identitinya. Mereka menulis apa yang mereka rasa.

Blogger kecil seperti kita - sebenarnya bukanlah sesiapa. Kita menulis apa yang kita rasa. Kita mungkin menyumbang untuk kebaikan. Kita juga mungkin ada menyumbang untuk keburukan. Bagaimana pun - identiti itulah yang perlu dikekalkan. Kalau tidak, blog kita hanya bakal menjadi bahan ketawa.


Kalau juga anda ingin menjadi manusia terkenal dengan menulis blog, lupakanlah. Manusia tidak terkenal kerana menulis blog. Manusia terkenal kerana identitinya.

Wednesday, 3 November 2010

Kalau tidak saintifik - mengapa ada?

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kalau tidak rasional, tidak juga saintifik - mengapa berlaku juga?

Sering terdengar orang berkata jangan makan di kedai di sekitar Pantai Remis, nanti akan kena santau angin. Juga beberapa tempat lain di Bidor. Ketika Langkawi mula meningkat naik belasan tahun dulu, hal yang sama muncul. Peliknya, amaran seumpama ini hanya untuk mereka yang ingin makan di kedai Melayu sahaja. Tidak pula untuk kedai Cina atau kedai mamak. Tidak juga untuk Kentucky Fried Chicken atau McDonald.

Kakitangan awam yang ingin berkerja di Sabah dan Sarawak selalu diingatkan agar berhati-hati. Jangan buat hal di sana. Nanti buruk padahnya. Hendak dikatakan tidak saintifik, ada orang yang terkena.

Mengapa berlaku hal yang tidak saintifik dan tidak rasional ini?

Jawapan bagi semua soalan ini mudah.


Inilah pekerjaan syaitan menyesatkan manusia. Apabila seseorang terkena sihir, bukan hanya seorang yang tergoyah imannya. Beberapa orang akan tumpang tersesat. Pesakit yang tidak berhati-hati mungkin tersesat. Tukang menyihir pasti sudah lama disesatkan.

Orang yang meminta pakar menyihir juga sesat.

Siapa lagi yang tumpang tergoyah iman? Dalam keadaan sakit, pastilah tidak ada pilihan selain mencari pakar terbaik, tidak kiralah sama ada bomoh itu ada di Malaysia, Indonesia atau di Siam. Tidak kiralah sama ada bomoh itu seorang yang alim agama atau seorang sami. Yang penting sakit mesti diubati.


Yang melihat, yang mendengar juga bercakap-cakap mengenai kesakitan orang yang sakit. Bercakap juga dengan kehebatan orang yang menghantar. Bercakap pula dengan kehebatan orang yang mengubat. Semuanya tumpang terpedaya.

Kehebatan siapa sebenarnya? Akhirnya orang terlupa dengan Tuhan.

Dalam pada itu - kebimbangan terhadap sihir ini dicakapkan pula di mana-mana. Seolah-olah itulah kuasa yang tiada tolok bandingnya. Orang takutkan anu tiba-tiba muncul di atas kepala, atau perut membusung tinggi. Orang mula menjaga tata susila, jangan membuat sesuatu yang tidak orang suka, bukan lagi kerana Tuhan. Tetapi kerana takut disihir atau disyaitan orang.

Hakikatnya orang mati terkena sihir mungkin hanya beberapa orang sahaja dalam setahun. Itupun kalau ada. Banyak yang mati di jalanraya kerana kemalangan setiap hari. Tidak pula orang takut memandu laju. Banyak yang mati kerana dadah. Jumlah penagih terus meningkat banyak.

Tetapi, orang lebih banyak bercakap kematian kerana sihir. Orang lebih teruja dengan keunggulan ilmu hitam. Kerana ini adalah hal yang berkait dengan pemikiran. Ia melibatkan pemikiran masyarakat membangun. Ilmu sihir ada di banyak negara mundur dan tradisi masyarakat yang kuno. Di China, racun ular digunapakai. Di tempat kita, rambut, habuk kaca dan miang buluh digunakan. Semuanya bagi membolehkan ada orang yang mati dibunuh atau menderita.

Syaitan dan jin mungkin sedang tersenyum dengan begitu banyaknya orang percaya dengan semua ini. Mentera yang digunapakai di Thailand mungkin tidak sama dengan mentera yang dibaca di China. Tetapi hal yang pelik ini tetap berlaku. Sebenarnya syaitan dan iblis tidak memerlukan pun sama ada mentera itu dibaca dalam bahasa apa pun, kerana tujuannya hanyalah menyesatkan manusia.

Bagaimana kita harus mengakhiri semua ini?

Kita jangan melayan atau bercakap mengenainya. Jangan percayakannya. Jangan mengambil berat mengenainya. Lama kelamaan, orang tidak ambil pusing lagi mahu belajar ilmu sihir. Orang tidak terlintas mengupah dukun dari Thailand kalau ada dendam. Bomoh sihir juga lama-lama kelamaan pupus dan tidak lagi mendapat permintaan. Semua orang tidak mahu lagi ambil tahu dan mewarisi ilmu hitam, sebaliknya sibuk dengan facebook dan twitter.

Dulu - orang membela hantu raya kononnya menjaga rumah dan harta. Kini, episod hantu raya sudah menjadi bahan sejarah. Tidak ada siapa yang percaya, dan tidak ada siapa ambil tahu. Dulu, orang takut dengan toyol mencuri wang - terutamanya di Selama dan Taiping. Lama kelamaan orang tidak kisah lagi, kerana nampaknya lebih banyak wang yang habis kerana membayar tol berbanding dicuri toyol.

Kalau kita semua tidak mempercayainya, tidak bercakap dan mengambil pusing dengan banyak hal aneh, tidak saintifik dan tidak rasional - lama kelamaan ia akan hilang ditelan zaman. Sampai masanya kita perlu bergerak sesuai dengan alam yang beredar.

Monday, 1 November 2010

Rasional tidak semestinya saintifik

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sesuatu yang rasional itu tidak memerlukan penghujahan saintifik. Cukup sekadar dengan akal yang sedikit cerdas.

Ketika aku di Indonesia beberapa tahun dulu, dari jalan arah ke Melawai Raya ke Joglo, akan kelihatan sebuah kedai membaiki kenderaan yang tertulis 'Ketuk Magic'. Sebenarnya ada banyak lagi bengkel yang bersifat ketuk magic di Jakarta. Apa yang membezakan di antara kedai ini dengan kedai yang lain? Kononnya dikatakan jin yang berkerja membaiki kereta. Ia lebih cepat. Bagaimana pun, tidak sesiapa pun yang tahu apa yang berlaku dan siapa yang memperbaiki kereta kerana pelanggan tidak dibenarkan masuk ke dalam. Samalah seperti tidak ada sesiapa yang boleh menjawab apakah yang dikatakan semangat padi itu.

Luar dari kota Jakarta, aku pernah ke Sukabumi - di satu daerah pedalaman. Di sana terdapat seorang dukun yang dikatakan sangat hebat mengubati pelbagai penyakit. Ketika kami sampai ke rumahnya, orang sedang beratur panjang. Seperti keadaannya di klinik awam kita di kampung-kampung. Dukun ini kononnya boleh membedah pesakit tanpa bius. Di belakang rumahnya, terdapat sebuah kolam peliharaan ikan. Organ-organ tertentu yang dibedah atau dipotong akan dibuang ke dalam kolam ini.

Satu malam di kaca televisyen, seorang kiyai yang terkenal - berperawatakan seperti seorang alim menawarkan proses pengubatan langsung secara batin dari kaca televisyen. Katanya dia akan cuba menyembuhkan penyakit kepada orang ramai sebanyak mungkin. Apa yang perlu dilakukan, penonton hanya perlu menekapkan tapak tangan ke tapak tangan kiyai tadi yang disiarkan di skrin televisyen. Pada waktu itu dia akan membacakan doa, dan penonton pula perlu meniatkan hajat yang diinginkan.

Dalam keadaan ini, kita tidak memerlukan sebarang penghujahan saintifik. Cukup sekadar penjelasan rasional sahaja. Sekalipun katakan kereta itu boleh diperbaiki dengan bantuan 'mistik', atau pembedahan boleh dilakukan tanpa bius, atau doa termakbul melalui skrin televisyen, siapakah yang dapat menerangkan kepada kita apa yang sebenarnya berlaku?

Beranikah kita memandu kereta yang diperbaiki oleh pekerja yang tidak kita ketahui sama ada manusia atau makhlus halus? Bagaimana kalau ada skru yang tidak dipasang? Bagaimana kalau pembedahan tanpa bius tadi tiba-tiba menyebabkan kita sakit, dan darah keluar tanpa berhenti. Sanggupkah kita menggadai nyawa dalam situasi seperti itu? Sejauh mana benarnya keupayaan kiyai tadi mengubat penyakit melalui skrin televisyen. Mengapa tidak sahaja berdoa tanpa perlu menekapkan tangan ke skrin televisyen?

Semua ini tidak memerlukan pembuktian saintifik. Ia hanya memerlukan sedikit pemikiran yang rasional. Dalam banyak hal, kita terpukau dengan teknik luar biasa hingga melupakan realiti kejadian. Kita juga mungkin terpesona dengan watak tokoh-tokoh ini yang berkopiah atau berserban menjadikan kita menyangka bahawa mereka ini tidak mungkin akan memanipulasi kita. Kita terlupa, kopiah, serban atau pakaian cantik itu ada terjual di mana-mana dan sesiapa sahaja boleh memakainya.

Dari satu sudut yang lain - mengapa kehebatan mistik ini hanya muncul di kalangan masyarakat yang dikategorikan sebagai mundur sahaja?

Seperti halnya gejala santau atau 'black magic'. Ia banyak berlaku di Asia atau Afrika, atau muncul dalam masyarakat pribumi yang tinggal di pedalaman. Ia tidak wujud dalam masyarakat maju.

Anehnya di banyak negara yang ada keupayaan luarbiasa ini - rata-ratanya tertewas dalam perang dengan orang Barat. Logiknya dengan keupayaan luarbiasa ini - ia mampu menangkis peluru atau menghalang bom dari meletup. Tetapi nampaknya tidak. Indonesia tertewas dengan kuasa Belanda. Kita pula beberapa kali terjajah. Hampir semua negara Afrika juga dijajah oleh Barat. Semua negara ini mempunyai keupayaan ilmu batin yang menakjubkan.

Nanti kita sambung.

Sunday, 31 October 2010

Cerita aneh masyarakat kita

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
I

Ramai pembaca blog ini mungkin masih belum lahir untuk melihat perkara yang aneh dalam masyarakat Melayu. Ketika aku masih bersekolah rendah, pasti di setiap musim menanam padi - kita akan terserempak dengan darah ayam yang dimasukkan ke dalam tempurung, dan seikat pohon padi yang digumpal bersama seketul selut di bahagian akarnya. Ada juga beberapa benih padi di situ. Ia diletakkan di batas sawah. Kononnya, dengan cara itu semangat padi akan menjaga dan memakmurkan penghasilan padi. Sampai sekarang, kalau ditanya - apakah sifatnya 'semangat' itu, tidak ada sesiapa boleh menjawabnya. Ia tidak saintifik dan tidak rasional.

Ada ketika-ketikanya, orang kampung akan mengadakan 'kenduri tolak bala' di hujung kampung bagi memulakan sesi menanam padi. Kami kanak-kanak begitu suka dengan acara itu, kerana ia membolehkan kami makan percuma. Ada juga gula-gula yang ditabur untuk kami berebut.

Ada musim-musim tertentu, kutu beruang menyerang juga.

Pada waktu yang lain - akan dilihat perut ayam, sebatang lilin dan sebiji telur ayam - entah sudah direbus atau tidak yang diletakkan di atas anyaman raga yang dibuat dari buluh. Ada juga secebis kain putih di atas raga tadi. Ia diletakkan di hujung kampung, atau di tepi sungai. Kononnya ia bagi menjamu 'nenek moyang' yang sedang marah kepada pesakit. Jadi itulah ubatnya. Kalau ditanya, nenek moyang itu siapa, dan apa bentuknya, tidak juga sesiapa akan mampu menjawabnya. Ia tidak saintifik, juga tidak rasional.

Kenduri pulut kuning dengan gulai ayam kampung adalah kegemaran aku. Malangnya, bila aku kian besar, aku tahu bawah ia adalah acara menjamu roh 'nenek moyang' agar tidak mengganggu kehidupan manusia.

Semua ini adalah perlakuan aneh lagi pelik. Ia bukan rawatan tradisional, tetapi inilah perlakuan Melayu yang dibawa dari unsur animism, Hindu dan Buddha, yang bercampur baur pula dengan tradisi Islam. Ia bercampur sekaligus menjadikan kita tidak tahu yang mana betul yang mana salah. Hendak dikatakan salah, ada doa di dalamnya. Hendak dikatakan betul, ada darah ayam pula.

Maka bercampurlah jampi serapah yang bercambur dengan nilai Islam yang tidak kita tahu yang mana boleh dipakai, yang mana tidak. Tatkala ada jampi -'Om ku pat peduk pedeng, tcap tua hai dai..." (untuk menghilangkan bisa ikan keli), yang kemudiannya bercampur pula dengan Dahulu Allah, Kemudian Muhammad. Untuk nota - Om - ialah nama tuhan Hindu, yang selalu ada jampi serapah tradisional Melayu. Inilah yang menjadikan hal jampi yang bagi tujuan baik - bercampur pula dengan ayat mistik - menjadikan banyak perkara tidak lagi relevan. Lebih baik dimakan sahaja ubat penahan sakit.

Kerana tujuannya adalah baik - menjadikan ada hal-hal yang tidak saintifik dan tidak rasional masih wujud dalam kehidupan kita. Ia banyak berlegar dalam pemikiran orang Melayu.

Baik sedikit, kini banyak hal yang tidak saintifik, tidak rasional yang sudah ditinggalkan. Sayangnya, ada sisa-sisa yang masih dikekalkan.


II
Satu hari yang lain - ini beberapa tahun dulu, seorang penduduk kampung aku yang sudah lumpuh beberapa tahun. Sebelum ajalnya, dia kelihatan seperti agak getir. Emak aku sebagai orang tua - memegang bahagian bawah pinggang pesakit tadi. Kita tahu ajal seseorang akan sampai dengan ada tanda-tanda fizikal tertentu. Ini bukan tidak rasional.

Emak aku memberitahu agar anak-anak pesakit tadi memanggil ahli keluarga yang lain. Nampaknya tidak juga. Mereka berkata emaknya sedang 'dimakan' oleh jin. Mereka akan memanggil bomoh. Kalau mereka berkata bahawa emak mereka dimakan jin, tetapi memanggil ustaz membacakan surah Yaasin, atau membawa ke hospital - ia boleh diterima. Kepercayaan karut itulah yang menghalang pemikiran berfikir secara rasional.

Satu waktu yang lain - ada seorang pemuda lelaki. Ia sering tidur untuk beberapa hari dan berkurung di dalam bilik. Kadang-kadang tidak keluar langsung. Heboh emaknya bahawa anaknya itu sedang diganggu jin. Merata tempat mencari orang yang boleh mengubati anaknya itu. Lama setelah itu - baru mereka tahu bahawa anaknya tidak diganggu jin. Tetapi anaknya sedang ketagihan pil 'ice'. Ia lebih bahaya dari jin yang jahat. Yang patut diketahui oleh masyarakat kita ialah simptom ketagihan dadah, dan bukannya penghuraian bersandarkan faktor luaran - faktor jin dan makhluk halus.

Seorang pemuda lelaki yang lain - di Kajang sakit secara tiba-tiba dan tidak boleh bercakap. Mulutnya terkunci. Bagaimana pun, tatkala malam menjelang, di dalam biliknya seorang diri - dia berpantun pula. Dia juga melukiskan penuh lukisan orang lidi di dinding biliknya, bahkan sampai ke silingnya juga. Dicarilah bomoh dari merata tempat. Seorang bomoh berkata bahawa dia sedang diganggu jin dan disantau orang. Diketuknya sebiji telur ayam, maka keluarlah sebilah jarum. Pemuda tadi tetap begitu, tidak juga sembuh. Dicari lagi bomoh yang lain. Dia memintakan beberapa barang untuk mengubat. Antaranya ialah benda-benda yang tersangkut di sarang labah-labah di batang pokok. Tetapi bahan ini perlu diambil dengan mulut, dan bukan tangan. Seorang lagi bomoh yang lain - yang di rumahnya penuh dengan gambar wali songo - berkata bahawa dia boleh mengubat pemuda tadi, tetapi dengan syarat perlu dibayar dahulu beberapa ratus ringgit.

III
Semua ini cerita aneh yang masih berlegar dalam kehidupan kita. Sesiapa pun juga- orang yang sakit, keluarga pesakit tidak ada pilihan. Mereka akan tetap berusaha memulihkan kesakitan. Hinggakan kadang-kadang ia boleh menggugat iman. Kadang-kadang ia menjadi pula mangsa bomoh mencari untung. Semuanya kerana ingin mengeluarkan jin yang sedang menganggu. Kalaulah dalam usaha itu, ada pertimbangan rasional, tentu kita boleh menghindar banyak hal negatif.

Benar - banyak orang berkata bahawa tidak semua perkara boleh dibuktikan dengan sains. Aku setuju, tidak dapat dibuktikan dengan sains tidaklah bermakna tidak rasional. Roh manusia tidak dapat dibuktikan dengan sains, tetapi ia rasional. Jin ujud dalam kehidupan manusia, walaupun tidak dapat dibuktikan dengan alat saintifik. Ia masih lagi rasional.

Begitupun, kerana tidak semua perkara dapat dibuktikan secara saintifik - tidak pula memberi lesen untuk kita mempercayai banyak hal karut lagi menyongsangkan. Kita perlu berfikir secara rasional. Rasional ini terlebih utama dari method rawatan, baik bersifat saintifik atau tidak.

Yang tidak rasionalnya ialah apabila kita percaya banyak sebab kesakitan didatangkan oleh jin. Yang tidak rasionalnya ialah apabila jin dijadikan sebagai punca segala kesakitan yang ditanggung manusia.

Akhirnya, manusia lebih percaya kepada jin berbanding kekuatan diri sendiri.

Nanti sambung.

Friday, 29 October 2010

Mengapa remaja itu hilang?

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sebelum ini, aku telah menulis hal betapa masyarakat kita kian lama kian tidak senonoh. Kisah bagaimana orang Melayu begitu cepat percaya dengan hal aneh dan tidak masuk akal. Seorang anak gadis yang sakit - yang selalu hilang - telah dikatakan dilarikan oleh jin. Akhirnya, para bomoh yang hebat telah datang menolong menangkap jin yang jahat tadi.

Jin sudah tertangkap - tapi anak gadis tadi hilang lagi. Setelah bertahan selama 15 hari, kini anak gadis tadi dikatakan telah
dibawa lari jin ke Gunung Jerai. Penemuan anak gadis yang hilang itu di Negeri Sembilan menutup cerita jin tadi. Ia tidak dilarikan jin ke Gunung Jerai di Kedah, dia pergi dengan sendirinya ke Negeri Sembilan.

Sebenarnya itu sebahagian masalah orang kita - orang Melayu. Tatkala orang lain sudah lama ke bulan, kita masih berfikir dengan cara songsang. Tentu itu bukan kes tunggal anak remaja mengalami sakit kejiwaan. Mungkin ribuan lagi. Sayangnya, kita tidak pernah menganggap ia sebagai 'penyakit'. Sebaliknya, ia menjadi mangsa jin dan orang bunian yang jahat.

Bagi aku - anak gadis itu sebenarnya sakit. Pada hemat aku, dia sedang mengalami depression atau kemurungan.
Baca untuk tahu simptomnya. Puncanya mungkin pelbagai. Sebab itulah dia patut dibawa berjumpa dengan doktor, dan bukannya bomoh. Doktor akan menyelidik latarbelakangnya. Dia mungkin ada konflik dengan keluarga, atau ada hal yang berat yang tidak boleh diceritakan. Kita tidak tahu apa yang sudah berlaku dalam hidupnya. Mungkin juga ada trait personaliti tertentu - misalnya neuroticisme.

Semua ini akan hanya diketahui kalau dibawa berjumpa dengan pakar. Sayangnya, dalam masyarakat kita - kita ambil mudah banyak perkara tidak mudah. Kita tidak merawat apa yang patut diubat. Kita membuat kesimpulan dengan cara yang aneh - mungkin itulah cara paling mudah yang dapat kita lakukan. Kita juga takut bertemu dengan doktor, kerana nanti akan dilabelkan sebagai 'tidak betul'.

Mungkin juga - ada ahli keluarga atau sahabat anda yang mengalami simptom psikologi tertentu. Jangan cepat percaya dengan alasan karut yang selalu diberikan. Ingat, dalam dunia ini, setiap hari orang dilanda sakit psikologi - mungkin sama banyaknya dengan sakit fizikal.

Memang benar, kedatangan pakar tradisional telah menyebabkan anak gadis tadi tidak hilang selama 15 hari. Tetapi itu mungkin bukanlah kerana jin tadi sedang meronta di dalam botol. Anak gadis mungkin telah pulih semangatnya buat seketika apabila ada orang memberikan perhatian terhadapnya. Dia juga mungkin percaya bahawa rawatan itu kembali menguatkannya.

Tidak semestinya rawatan itu yang memulihkan semangatnya. Kepercayaannya itulah yang menyebabkan dia ceria buat seketika. Tetapi masalah utamanya belum selesai. Masalah utamanya ada dalam fikirannya. 'Masalah' utama itulah yang telah menghilangkan keceriaannya - yang menyebabkan dia selalu ingin mengasingkan diri dari orang ramai.

Apa masalahnya? Mungkin dia seorang yang tahu. Mungkin keluarga dan sahabat karibnya juga tahu. Kita tidak akan pernah tahu.

Anak gadis itu mesti diubati secara rasional.

Menangkap 1,000 ekor jin lagi pun belum menjamin dia tidak akan hilang lagi kalau lain yang sakit, lain yang diubat.

Thursday, 28 October 2010

Siri Mengenal Diri - Part 2

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Secara umumnya, manusia mempunyai sifat yang hampir sama dalam banyak hal. Ia adalah sesuatu yang bersifat sejagat. Senyum, ketawa, gembira, sedih dan sebagainya adalah milik semua manusia. Dalam setiap budaya, cara orang dewasa berinteraksi dengan kanak-kanak kecil sama sahaja. Jarang orang menunjuk wajah ngeri apabila berinteraksi dengan anak-anak kecil.

Jadi, apakah hal yang menjadikan kita ini berbeza. Kita gembira, orang lain juga ketawa. Kita bersedih, orang lain juga bersedih.


Yang membezakan kita dengan orang lain ialah - kita mempunyai 'teras' - core - sifat tertentu, dan orang lain mempunyai teras sifat yang lain. Ada orang yang cepat marah hanya kerana perkara yang kecil, ada orang yang tidak kisah pun sekalipun dicerca orang. Orang seperti Mbah Maridjan tidak juga berpindah sekalipun tahu gunung berapi akan meletus. Mbah Maridjan mungkin ketawa seperti kita. Juga mungkin bersedih seperti kita. Tetapi keberaniannya, atau mungkin juga tekal dengan pandangannya sendiri adalah personaliti yang menjadi teras miliknya. Itulah yang membezakan satu manusia dengan manusia lain. Ada sifat yang dimiliki semua orang, ada yang tidak.

Apakah 'core' personaliti anda? Anda mungkin tahu, tidak tahu bagaimana menghuraikannya. Tetapi, itulah diri anda. Orang lain mungkin tidak sebijak anda bagi menghuraikan siapa diri anda.

Siapakah pula yang dikatakan manusia? Ada dua pandangan utama dalam hal ini. Ada yang menyatakan bahawa manusia itu ialah makhluk yang rasional. Setiap tindakan dan perlakuan kita diasaskan kepada pertimbangan tertentu. Dalam kata lain - ada timbang tara yang menjadikan tidak semua perlakuan atau sifat yang kita zahirkan. Kita mungkin berasa ingin marah. Tetapi dalam keadaan tertentu, kita terpaksa melupakannya.

Pandangan yang lain - menyatakan manusia ini mempunyai naluri seperti binatang. Tindakannya sama seperti binatang - yakni untuk survival. Kita mungkin kurang bersetuju. Bagaimana pun, cuba kita perhatikan mengapa orang telah membunuh begitu banyak manusia dalam peperangan. Kalau orang bersifat rasional, orang tidak membunuh orang lain. Banyak juga para peragut yang sanggup membunuh pejalan kaki hanya untuk mendapatkan beberapa ringgit sahaja. Kes pembunuhan korporat wanita di ladang kelapa sawit - adalah antara berita terbaru membuktikan bahawa pandangan ini betul.

Tetapi apakah yang mendorong perlakuan kita. Adakah kerana faktor luaran, atau kerana apa yang sedia ada dalam diri kita? Adakah orang merompak kerana wang, atau orang yang menyamun itu mempunyai personaliti tertentu. Tidakkah personaliti boleh diubah?

Kita sambung.

Wednesday, 27 October 2010

Siri mengenal diri - Part 1

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Kita kembali dengan siri kuliah psikologi. Kali ini kita bincang berkaitan personaliti manusia.

Setiap hari kita melihat diri sendiri. Kita juga melihat orang lain. Begitu juga dengan orang lain. Mereka melihat diri mereka. Mereka juga memerhatikan gerak geri kita. Kita selalu bertanya, mengapa kita berbeza? Bukan sahaja kita dengan orang lain, di kalangan adik beradik kita pun, ibu atau ayah kita selalu berkata bahawa anak-anaknya itu berbeza. Setiap orang ada perbezaan tersendiri.

Ayat yang selalu digunapakai dalam psikologi - yang selalu anda dengar juga - nature vs., nurture. Adakah personaliti manusia ini terbentuk secara semulajadi atau disebabkan faktor persekitaran? Kalau begitu - siapakah yang patut kita persalahkan kalau ada personaliti kita yang tidak betul? Mungkin kedua-dua ibu bapa kita. Merekalah yang mewariskan genetik kepada personaliti kita itu. Mereka jugalah yang menyediakan persekitaran dalam kehidupan kita.

Dikatakan manusia berbeza dalam hal tertentu kerana fungsi otak (untuk pembaca yang ada asas fisiologi: baca frontal cortex dan limbic system) yang diwariskan melalui genetik. Sebab itu, ada orang yang mempunyai sifat takut, ada yang tidak. Begitu juga dengan sifat malu.

Persekitaran pula menyumbangkan sama ada meneguhkan atau mengurangkan hal ketakutan ini. Anak-anak yang diasuh di tadika misalnya, yang terdedah dengan banyak kanak-kanak lain didapati semakin berkurang rasa malunya, dibandingkan dengan anak yang diasuh di rumah. Ini cuba menunjukkan bahawa persekitaran juga menyediakan asas penting dalam pembinaan personaliti manusia.

Sebab itu - apabila anda mengasuh anak - jangan takutkan mereka dengan hantu puchong kalau mereka tidak mahu tidur malam. Carilah alasan lain yang lebih wajar. Sebab itu banyak cerita hantu lebih banyak muncul di kampung-kampung. Itulah modal yang selalu digunapakai bagi menidurkan anak. Apabila anak ini besar, cerita hantu ini terus dibawa dalam hidup sekalipun mereka hanya melihat plastik putih yang terbang dibawa angin di waktu malam. Di Australia ini - jarang orang bercakap fasal hantu. Di mana pun kita berjalan, kita tidak pernah membayangkan akan ada hantu muncul di depan kita.


Jangan juga malukan mereka. Misalnya kalau ada budak lelaki berkawan dengan budak perempuan - dan kita berkata: "oo..nak kahwin ya". Ini membuatkan mereka menjadi pemalu. Kita tidak tahu apa personaliti yang ada dalam genetik mereka. Cara kita mendidik mungkin akan memperteguhkan sifat yang tidak elok.

Bagaimana pun, dalam beberapa tahun terakhir ini - ada pandangan baru. Pandangan ini menyatakan kedua-dua fator genetik dan persekitaran saling bergantungan. Pengalaman yang kita lalui mengaktifkan mekanisme genetik yang sedia ada dalam diri.

Itulah yang membentuk diri kita.

Tuesday, 26 October 2010

Rekod apa lagi?

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Dalam sebulan terakhir ini - ada 3 rekod baru Malaysian Book of Records. Dua daripadanya dihasilkan di universiti tempatan, dan satunya oleh orang awam. Aku tidak tahu sejak bila orang Malaysia begitu berahi untuk mencipta rekod baru ini. Aku juga selalu sangsi dengan hal mencipta rekod ini, yang adakalanya membuatkan orang luar ketawa. Rekod orang awam itu - memandu kereta secara mengundur sepanjang lebih 500 kilometer - sepatutnya tidak dibenarkan. Ia adalah satu kesalahan jalanraya. Ia juga membahayakan orang awam. Mengapa kita boleh berbangga dengan rekod seumpama itu.

Sebenarnya rekod seumpama itu boleh diciptakan oleh sesiapa sahaja. Di Australia, beberapa tahun dulu ada juga individu ingin mencipta rekod seumpama itu. Akhirnya ditahan polis kerana ia perlakuan yang membahayakan. Tidak ada sesiapa akan bertepuk tangan bangga dengan rekod aneh seumpama itu.

Di kampus universiti - tatkala banyak orang bercakap mengenai kebebasan mahasiswa dan merudum jatuh ranking universiti - ada pula rekod baru dihasilkan. Terbaru rekod membaca sajak 24 jam tanpa henti. Keduanya mencipta logo 1Malaysia dari ribuan biji gula-gula.

Apakah hebatnya rekod seumpama ini. Bukanlah tugas universiti menghasilkan rekod yang tidak mencerminkan nilai cendekia ini. Tugas universiti menghasilkan kajian bermutu tinggi. Melahirkan mahasiswa yang hebat. Menulis makalah yang boleh menyumbang kepada kebaikan sejagat. Semua orang - baik yang berada di dalam universiti, atau di luar, tahu fungsi universiti.

Aku meminati sajak. Tetapi, aku tidak pernah merasa gembira kalau ada orang mencipta rekod membaca sajak 24 jam tanpa henti, kerana aku tahu - besok lusa orang lain boleh membaca sajak 25 jam tanpa henti juga. Ia bukan hal yang susah. Apatah lagi membuat logo 1Malaysia dengan gula-gula. Besok lusa, akan ada orang boleh menyusun kasut bola untuk membuat logo. Juga boleh menghimpunkan beberapa guni beras untuk menghasilkan logo apa juga pun.

Dalam dunia ini - kalau orang lain mahu - rekod seumpama itu sudah lama dibuat orang. Tetapi orang tidak mahu kerana ia bukan hal yang menjadikan ia satu kebanggaan. Sebaliknya, orang akan melihat dengan penuh sinis. Tidak ada kerja lainkah orang Malaysia, mencipta rekod dunia setiap hari. Tetapi rekod itu tidak memberikan manfaat apa jua pun.

Kalaulah universiti mahu - ciptalah rekod yang sesuai dengan fungsinya. Menghasilkan 300 tulisan jurnal dalam masa sebulan oleh seorang pensyarah. Itu terlalu banyak. Cukuplah kalau 30 tulisan jurnal dalam setahun. Tidak ramai orang boleh menghasilkannya. Kalau rekod seperti itu mampu dicipta, orang luar akan bertepuk tangan penuh bangga. Kita juga tumpang gembira.

Wednesday, 20 October 2010

Tatkala kau singgah

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tatkala kau singgah, dan aku tidak ada di rumah, itu tandanya aku tidak sebahagia dulu. Setiap kali kau singgah, aku masih juga tidak menulis apa-apa, itu tandanya batinku sedang berperang. Tatkala kau datang dan tidak ada yang baru untuk dibaca, janganlah kau merasa hampa. Bacalah cerita-cerita lama - atau beralihlah ke dunia yang lain.

Hidup ini seperti air laut - ada pasang surut. Hidup ini seperti cuaca, ada hari yang terang, ada yang gelap.

Tatkala kau singgah ke sini, kalau kau mampu membuka jendela hatiku, pasti kau menemui betapa setiap manusia ada ceritanya. Hidup bukanlah padang lapang. Hidup adalah padang perburuan yang menakutkan. Sebaik sahaja bangun dari tidur di waktu pagi - kita berfikir untuk terus memburu sesuatu. Ada masanya kita gembira, ada ketikanya kita kecewa.

Takutkan masa depan? Kata seorang pelakon Indonesia yang tidak aku ketahui namanya dalam satu cerita yang tersiar di kaca televisyen semalam - Jangan kau takut dengan masa depan. Itu kan belum pasti. Tetapi, bimbanglah dengan masa silammu.

Wednesday, 13 October 2010

Akhirnya lamaran ku diterima!

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Setelah kian lama menunggu, malam tadi supervisor aku sms, memberitahu manuskrip jurnal aku telah diterima. Aku pun membuka email.

"We read the revised manuscript as well as your response to our previous comments and were satisfied with your revisions. However, some minor points/textual changes remained that could be improved. These are highlighted in the scanned manuscript.
As we consider these changes as minor, we are pleased to inform you that we accept your manuscript pending minor revision".

Alhamdullillah. Setelah sekian lama, sejak bulan November tahun lalu lagi, aku mula menghantar manuskrip ini. Aku melalui dua kali pembetulan. Nampaknya setahun juga aku menunggu.

Tapi manuskrip ini agak istimewa sedikit, sebab ia diterbitkan dalam jurnal bagi "Special Issues". Aku harap ia boleh menjadikan alasan untuk aku memohon perlanjutan pengajian sehingga cukup 4 tahun.

Aku berhenti dulu, aku masih sibuk dengan data entry. Ada lagi tiga paper untuk ditulis. Ada lagi kutipan data bulan Januari nanti. Harapnya untuk yang terakhir bagi proses menyudahkan pengajian aku.

Tuesday, 12 October 2010

Update PhD - 2010

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sejak kebelakangan ini - aku tidak aktif lagi menulis blog. Kadang-kadang terasa seperti tidak ada apa yang harus ditulis.

Bagaimana pun, aku merasakan yang 2 bulan ini aku agak produktif. Aku sudah siap menulis 3 kertas jurnal. Dua daripadanya sudah dihantar. Satunya, mungkin beberapa hari lagi. Aku harap, dengan adanya data baru yang akan sampai minggu ini, akan ada satu artikel lagi dapat disiapkan sebelum berakhirnya bulan November ini.

Bagusnya, menulis jurnal antarabangsa - kita tidak tertakluk dengan cara lama untuk menulis tajuk artikel. Tidak ada lagi tajuk yang sangat formal dan membosankan, seperti yang selalu ditekankan oleh pensyarah kita di Malaysia. Tidak ada lagi tajuk seperti "Hubungan di antara trait personaliti, tingkahlaku dan kepuasan kerja'. Tajuk seperti ini sudah menjadi aliran 'wajib' di Malaysia. Cara lama menulis tajuk ini tidak berlaku lagi dalam penulisan akademik moden di Barat. Kaedah menulis tajuk cara lama ini yang berlaku dalam penulisan sains sosial mungkin dipinjam dari sains tulen.

Kini, anda boleh menulis tajuk yang sedikit catchy. Aku telah menghasilkan tiga artikel - 1)Job characteristics: What can we learn from the East?, 2. Job demands, job resources and work engagement: Malaysian experience, dan 3. Psychosocial safety climate, work conditions and emotions in the workplace. Daripada ketiga-tiga artikel itu, aku kalau boleh akan ada yang sangkut. Kalau tidak, tidak tahulah bila pula aku akan dapat PhD ni.

Ada sesiapa yang nak sambung belajar dalam bidang Work Psychology atau Industrial & Organisational Psychology. Bolehlah emel aku.

Sunday, 10 October 2010

Dunia kian tidak senonoh

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sejak beberapa hari ini aku tidak begitu merasa untuk menulis.

Bagaimana pun, membaca berita suratkhabar hari ini, yang antara lain melaporkan satu berita pelik di Jertih.

Rumah gadis yang mengalami gangguan misteri yang menyebabkannya sering ghaib di Kampung Gong Nangka, Apal, dekat sini, diserbu ratusan penduduk selepas dua lelaki datang menawarkan diri merawat gadis itu mendakwa berjaya menangkap sembilan makhluk halus malam kelmarin.

Berita ini mendorong aku menulis. Bagi aku ini satu kejayaan besar.

Kejayaan menangkap 'makhluk halus' ini yang tidak kita ketahui sama ada ia ialah jin atau iblis, sesuatu yang jarang dilaporkan dalam buku akademik. Kejayaan luarbiasa ini hanya berlaku di Malaysia. Jarang saintis Barat yang terkenal dengan kehebatan mencipta peluru nuklear, atau kejayaan menerokai bulan, mampu menangkap makhluk halus.

Memang banyak dilaporkan tentang kewujudan hidupan lain, termasuk juga penemuan planet baru yang hampir mirip dengan bumi. Bagaimana pun, ia tidaklah begitu halus, kerana ada gambar-gambar yang ditunjukkan.

Kisah kejayaan bomoh ini menyebabkan cerita penyakit sebenar yang dialami gadis tadi dilupai begitu sahaja. Gadis tadi - yang seringkali hilang ketika senja dan dinihari tentu mengalami gangguan psikologikal. Inilah yang patut diselami. Menangkap 99 makhluk halus belum tentu menyelesaikan masalah.

Menjadi kerja wartawan pula, bukanlah melaporkan berita seperti ini. Ini alaf 21. Kalau ingin dilaporkan juga berita yang tidak membangun daya fikir ini, ada baiknya juga dilaporkan pandangan pakar apakah nama penyakit hilang di waktu senja dan dinihari ini. Sekurang-kurangnya masyarakat tidak disuapkan dengan berita aneh yang tidak ada hujung pangkalnya.

Mengapa gadis itu hilang pada waktu itu? Inilah waktunya manusia merasa sunyi akibat perubahan waktu. Kesunyian itu telah menikam jiwanya yang sakit. Sakitnya itulah yang patut diubati. Ada banyak doktor jiwa yang boleh menganalisis simptom seperti ini.

Kejayaan bomoh menangkap 9 makhluk halus bukan jawapannya. Kalau semua penyakit psikologikal ada kaitannya dengan 'makhluk halus' yang tidak kita tahu bentuk dan rupanya, bayangkan berapa banyak lagi makhluk halus yang harus ditangkap. Di seluruh dunia, ada beribu macam penyakit seperti ini. Bayangkan, makhluk halus yang hebat itu, yang tidak dapat dilihat dengan mata - yang mampu melarikan anak gadis di waktu senja dan dinihari - dengan begitu mudahnya dikurung di dalam bekas plastik.

Banyak cerita di negara kita semakin tidak senonoh. Dulu cerita sejadah sembahyang. Ada juga cerita pelepah pinang berwajah manusia. Sebab itu gamaknya, jangankan mencipta roket untuk ke bulan, mencipta enjin kereta pun kita tidak boleh.

Saturday, 9 October 2010

Rakaman sebuah perjalanan

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Rakaman Sebuah Perjalanan

I
Sahabat kami,
Tentu payah cerita hidupmu,
Menongkah ombak resah di bumi asing,
Dari satu musim ke satu musim,
Menyusur jalan yang penuh liku,
Tidak seperti yang kita jangkakan.

Sahabat kami,
Tetapi itulah coretan pengalaman,
Setiap orang ada ceritanya,
Kalau hidup ini selalu indah,
Tentu kita berada di syurga,
Kalau tidak ada air mata yang tumpah,
Tentu kita bukan manusia.

Sabahat kami,
Sepertinya baru semalam kita bertemu,
Hari ini kalian melangkah pulang.

II
Terima kasih kerana singgah,
Dalam diari perjalanan kami,
Sesekali kita ketawa,
Ada masanya kita berduka,
Kerana engkau adalah sahabat,
Kita harungi semuanya bersama,
Dalam ikatan sebuah keluarga.

Musim-musim yang bakal mendatang,
Tiada lagi gambarmu di kebun epal,
Bersama memerhati daun yang luruh,
Menghidu wangi bunga di perbukitan.
Mengisi jalan cerita sebuah persahabatan.

Tetapi kenangan bersama kalian,
Telah kami simpan di hati kami,
Ia lebih indah dari sejuta potret,
Yang kita warnakan di lensa kamera,
Adalah lukisan tak tergambarkan,
dengan sejuta kata-kata.

III
Jangan diucap selamat jalan,
Pasti kita bertemu lagi,
Jangan hilangkan kami dalam ceritamu,
Sahabat setia yang tiada galang ganti,
Seperti kami semua juga,
Di dalam mimpi pun,
kamulah teman.

IV
Bila kita bertemu lagi,
Jangan lupa menyapa kami,
“How are you mate!”,
pasti kita akan ketawa lagi,
Dalam gema cerita Garage Sales dan Corelle,
Gepp Cross dan Brighton,
Menjaring ketam di Grange,
Menyusur Great Ocean Road hingga ke Melbourne,
Strawberry picking di Handorf,
Musim bercuti di Moonta Bays,
Sibuknya berniaga di Malaysia Carnival,

Oh, jangan juga engkau terlupa,
Rumah usang di 12 A Rose Street itu,
Tempat segala ibu menceritakan,
Ragam suami yang berjuta cerita.
Ada yang lucu, ada yang menyakitkan.

V
Sajak ini mungkin terlalu pendek,
Untuk kami merakam segala cerita,
Cukuplah kami hanya berkata,
Terima kasih teman atas segala,
Kalau ada sumur di ladang,
Boleh kami menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.

VI
Sahabat kami,
Tiada apa yang dapat kami persembahkan,
Membekal jalan untukmu pulang,
Kami cuma dapat mendoakan,
Moga Allah permudahkan jalan,
Atas setiap yang kalian impikan.
Moga cahaya terang menunjuk jalan,
Lorong depan sebuah kebahagiaan,

Tuesday, 5 October 2010

Jangan merasa diri bagus

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sudah seminggu tidak menulis. Entahkan sibuk, entahkan tidak.

Sebahagian besar data kajian aku sudah dianalisis. Anda ingin tahu sesuatu.

Kajian ini melibatkan sampel pekerja Melayu, Cina dan India, serta bangsa lain yang berkerja sama ada di sektor awam atau swasta. Setakat ini, ada kira-kira 29 buah organisasi sudah dianalisis. Ada yang mempunyai ijazah, ada yang setakat sekolah menengah. Ada yang berkerja di syarikat besar, ada yang hanya syarikat kecil. Termasuk syarikat gergasi sehinggalah ke bengkel memperbaiki kenderaan.

Sebahagian dari topik kajian ini - pekerja diminta menilai prestasi kerjanya sendiri, sama ada sangat baik sehinggalah sangat buruk. Pada masa yang sama, ketua juga menilai pekerja terbabit.

Apa hasilnya?

Dari segi statistiknya - didapati orang yang menilai dirinya sangat baik - sebenarnya dinilai sebagai tidak berprestasi memuaskan oleh ketuanya. Sebaliknya, orang yang menilai dirinya biasa-biasa sahaja, sebenarnya dinilai sebagai sangat baik oleh ketuanya.

Apa implikasinya?

Sebenarnya, dalam hidup kita ini - kita mungkin selalu merasa diri kita bagus. Hakikatnya, orang lain yang menilai kita mungkin tidak begitu. Kita merasa diri bagus, sebenarnya belum tentu bagus. Sebab itulah gamaknya - kita selalu berasa tidak puas hati - mengapa kita tidak dinaikkan pangkat, sedangkan kita merasakan telah melakukan yang terbaik. Baik bagi kita, belum tentu baik bagi orang lain.

Keduanya - mungkin kita tidak faham apa yang dikatakan 'prestasi'. Kita mungkin merasakan kita sudah kuat berkerja. Tetapi, apa yang kita lakukan itu mungkin bukanlah apa yang diharapkan oleh majikan kita. Ada hal lain lagi. Jadi, ada baiknya, kita tanya balik majikan kita, apa yang mereka harapkan dari kita.

Tetapi - hakikat hidup ini begitulah. Kalau kita merasa diri sangat bagus, itu maknanya kita tidaklah bagus. Kita hanya terlebih 'perasan' sahaja.

Wednesday, 29 September 2010

Budi Bahasa Budaya Kita

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tertarik membaca tulisan anak muda, Teja berkaitan mutu perkhidmatan awam kita, walaupun apa yang diceritakannya itu bukanlah sesuatu yang menarik. Beliau yang baru sahaja lulus universiti di luar negara, di tempat yang semua kakitangan awam telah melayannya dengan begitu baik - tentulah terkejut dengan apa yang ditemukannya di dalam negara yang menggunakan slogan 'Budi Bahasa Budaya Kita'.

Slogan itu tidak akan ditemukannya walaupun dia berjalan dari Kutub Utara sehingga ke Kutub Selatan.


Sebenarnya - itulah persembahan budaya perkhidmatan kita. Aku sebenarnya tidak sedikit pun terkejut dengan proses 'birokrasi' yang diciptakan sendiri oleh segelintir kecil manusia yang berasa dirinya sebagai tuan. Dan orang yang berurusan dengan mereka tidak akan lebih pandai daripada mereka.

Mereka merasakan mereka majikan, sedangkan mereka terlupa rakyat yang menjadi pelanggan itulah yang membayar gaji mereka. Kesombongan ini berakar umbi betapa mereka tidak akan boleh dibuang pekerjaan dengan mudah, dan mereka akan selalu betul.
Budaya menjadi 'tuan' segelintir manusia ini menyebabkan sistem perkhidmatan awam kita hilang budinya, rosak bahasanya.

Pernah sekali aku ke pejabat pos di Changlun untuk memperbaharui lesen. Aku biasanya akan memperbaharui lesen untuk tempoh dua atau tiga tahun. Jadi aku tidak perlu beratur panjang untuk urusan yang tidak produktif itu.

Satu hari, aku pergi ke pejabat pos. Duduk di kaunter khidmat pelanggan itu ialah seorang wanita. Aku pun bertanya: "
berapa bayaran untuk setahun". Dia tidak menjawab soalan yang ditanya, sebaliknya dengan garang bertanya aku semula: "Itu pun tak tahu ka?". Aku jadi pelik. Sepatutnya dia hanya perlu menjawab berapa jumlah wangnya sahaja, bukan menengking pelanggan tidak tahu fasal.

Tidak tahu jumlah bayaran bukanlah satu kesalahan di negara yang menggunakan slogan
"Budi Bahasa Budaya Kita". Yang menjadi salahnya ialah apabila tidak membayar lesen.

Tetapi begitulah yang terjadi.

Aku belum pernah menjadi penjawat awam. Cuma beberapa tahun terakhir ini, aku mula belajar memahami sistem perkhidmatan kita yang 'menarik' lagi berbudi bahasa itu. Aku sudah tidak kecewa lagi kalau aku menghantar emel kepada jabatan kerajaan bertanyakan hal yang penting, dan tidak seorang pun akan menjawabnya. Malah, pernah aku mengirimkan emel kepada seorang timbalan menteri juga tidak dijawab. Aku berasa begitu bahagia apabila timbalan menteri yang baru dilantik itu hanya kekal tidak sampai sepenggal.

Malah, aku juga tidak akan berasa kecewa juga kalau setiap kali telefon, talian kita itu diarahkan kepada pegawai tertentu sebagai kononnya urusan kita itu di tangan pihak berkenaan. Kemudiannya, apabila kita menelefon kakitangan terbabit, mereka pula menjawabnya itu bukan urusan mereka. Sebaliknya urusan orang yang kita telefon sebentar tadi. Apabila kita menelefon semula, pegawai tadi menjawabnya, '
Oh ya ke. Nanti saya semak".

Ini bukanlah hal yang lama terjadi. Baru seminggu yang lalu aku mengalaminya.

Begitulah peliknya tatacara birokrasi yang tentulah tidak ada dalam 'standard operation procedure (SOP)' ISO siri apa pun. Di tempat kerja aku dulu, aku salah seorang yang merangka SOP ini. Ketika berkerja di kilang, aku juga sudah terbiasa dengan SOP ini.

Cuma aku berasa hairan mengapa di tempat kita, semua organisasi begitu ghairah untuk mengaplikasikan ISO kalau akhirnya hasil yang serupa juga yang pelanggan dapatkan. Di negara Barat, jarang kita melihat ada logo sistem kualiti ini. Tetapi kualiti mereka begitu baik. Ia tidak bergantung kepada sistem, tetapi manusianya.


Di negara luar, kita tidak perlu telefon atau bersemuka bagi hal tertentu. Emel sudah cukup bagi menerangkan masalah kita, dan jangan bimbang tidak lebih 24 jam emel kita akan dijawab. Kalau tidak dijawab pun, ada respon automatik menunjukkan mereka bercuti atau berada di luar pejabat. Borang hanyalah bagi tujuan rasmi setelah semua perbincangan kita melalui emel berlaku.

Lain pula caranya di tempat kita. Kita perlu mengisi borang dahulu. Emel ialah bagi tujuan follow-up. Itu pun kalau ada yang menjawabnya. Kalau tidak, kita perlu berulangkali bertanya melalui telefon. Itu pun kalau ada yang ingin membantu.

Tidak pastilah sama ada kakitangan awam kita semakin sibuk dengan pekerjaan, atau semakin terbeban dengan ISO sehingga mereka tidak mampu melayan kerenah pelanggan. Kita juga, sebagai pelanggan - tidak selalu mampu melayan kerenah penjawat awam yang bersifat 'tuan' ini.

Jadi - ada baiknya kita jangan marahkan sesiapa, kerana itulah Budi Bahasa Budaya Kita!

Semua anak muda yang baru lulus universiti dan kini berkerja dalam sistem perkhidmatan awam, patut mengubah hal ini. Kita tidak perlu menukar sistem, tetapi tukarlah manusianya.

Tuesday, 28 September 2010

Lebah mula gembira

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Bunga telah mekar di mana-mana. Lebah kembali riang. Cuma aku yang tak mampu ketawa.

Semenjak bulan puasa sehingga sekarang, aku sudah berjaya menyiapkan 3 kertas dengan tajuk yang berbeza. Satunya sudah dihantar ke jurnal. Satunya sudah seratus peratus siap, tunggu dihantar beberapa hari lagi. Satu lagi baru siap ditulis. Nampaknya, ini musim yang agak produktif.

Kajian aku yang sedang berjalan di Malaysia juga nampaknya sudah hampir ke penghujungnya. Tiga puluh organisasi yang terlibat sudah memulangkan soal selidik. Terima kasih kepada semua kawan-kawan yang terlibat. Sepanjang aku belajar PhD ini, sudah 6 kali aku membuat kutipan data. Kalau aku masih ada masa, 3 bulan lagi aku akan membuat satu lagi kajian yang terakhir. Aku tidak begitu tahu lagi banyak wang yang sudah habis.

Mengapa banyak sangat? Aku pun tidak ada jawapan. Aku sakit gamaknya.

Beberapa hari dulu, ketika di Sydney - salah seorang panel bertanya apakah aku akan siap PhD dalam 6 bulan lagi? Aku menjawab - aku tidak pasti. Berkali-kali aku terangkan yang aku perlukan masa lagi setahun. Tidak pastilah doa aku akan dimakbulkan atau tidak.

Mereka bertanya lagi - apakah justifikasi yang paling kuat untuk aku menggenapkan masa pengajian selama 4 tahun. Mereka berkata - kalau aku mampu menerbitkan 1 atau 2 tulisan dalam jurnal, aku mungkin ada alasan yang kukuh untuk menyambung lagi selama 6 bulan. bagi mencukupkan pengajian selama 4 tahun.

Aku kata - aku hanya boleh mencuba.

Aku hanya akan mencuba. Kalau aku menghantar 4 kertas, dan hanya salah satu sahaja yang diterima - aku patut boleh bergembira. Tetapi nampaknya hidup ini kadang-kadang tidak begitu menceriakan lagi.

Musim bunga mula melata. Kembang tumbuh di mana-mana. Lebah bersukaria. Aku sahaja yang belum.

Saturday, 25 September 2010

Catatan sesudah 3 tahun

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Beberapa hari lagi, genaplah 3 tahun aku berada di Australia. Beberapa tahun dulu, aku juga pernah berada di Indonesia selama 3 tahun. Tahun yang mendatang, semua ini akan tersimpan dalam ingatan sahaja. Masa berubah dan usia semakin tua. Hidup berlalu begitu sahaja.

Di blog ini aku juga telah menulis banyak perkara. Ada hal yang berguna, ada hal yang tidak bermanfaat. Aku berkongsi pengalaman, aku mengkritik persekitaran. Aku juga menegur orang. Semuanya aku tulis. Walaupun aku tahu, aku juga tidaklah selalu betul.

Orang bertanya - kenapa aku menulis semua itu? Kalau aku tidak menulis, belum tentu ada orang lain akan menulis.

Bila aku menulis hal kegiatan pelajar di luar negara, tentulah ia sebenarnya ada rentetannya dari pengalaman yang aku lalui juga. Setahun lalu, seorang teman telah menelefon aku memberitahu yang dia akan berjumpa dengan seorang ahli politik, tentulah orang terkenal. Cuma dia tidak tahu bagaimana hendak memulakan perbualan agar ia menjadi lebih mesra. Aku beritahunya bercakaplah tentang Tsun Tzu - kerana ahli politik yang ingin ditemuinya itu seorang yang bijak, lulusan universiti ternama luar negara. Dengan bercakap hal seperti itu - kita tidak dilihat terlalu bodoh.

Teman aku bertanya pula. Siapakah Tsun Tzu?

Sebab itulah aku merasakan banyak kegiatan persatuan perlu ditambah dengan nilai ilmiah. Anda tidak tahu apa yang akan berlaku dalam hidup anda di masa hadapan. Seperti mana kita juga tidak tahu dengan kumpulan mana kita akan meneruskan cerita hidup kita. Jadi, pendedahan hal ilmiah inilah yang akan memberikan sedikit nafas untuk kita memulakan hidup.

Aku juga bercakap hal putar belit politik yang tidak sudah, dan hal bangsa Melayu yang gelojaknya tak pernah diam. Ini tentulah juga berakar dari pengalaman aku juga. Aku bernasib baik (atau juga tidak baik!) sempat bertemu dan berkawan dengan beberapa manusia yang hidup mereka ini adalah 'haiwan politik'.

Juga pernah aku bertemu dengan beberapa orang yang ada jawatan. Memanglah mereka tidak kenal aku - tetapi pengalaman bertemu mereka membuka mata - betapa hidup ini sangat luar biasa. Kuasa boleh menukar apa sahaja.


Semua ini aku tulis dari hati aku. Aku menulis kerana aku tahu - itulah sahaja cara yang aku ada. Aku tidak mampu berpidato untuk mengubah dunia.

Friday, 24 September 2010

Mengimbau dunia sastera

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Petang kelmarin, di kedai tunggal anak Melayu di Adelaide - Swinging Bowl, yang aliran penulisannya tidak pernah akan sama dengan aku, kami beberapa orang anak muda Adelaide berdikusi dengan Prof A. Wahab Ali. Terima kasih kepada Gabungan Anak Muda Adelaide - a.k.a Anak Muda Tanpa Persatuan kerana menjemput dan merancang program ini.

Di sudut tepi dalam ruang kedai itu, kami memulakan perbincangan berkaitan bahasa, sastera dan bangsa. A. Wahab Ali adalah antara generasi seniman yang sebaris dengan A. Samad Said, Usman Awang, Arena Wati yang sebahagian besarnya mungkin tidak lagi dikenali oleh generasi hari ini.

Beliau adalah mantan profesor dari Universiti Malaya, tetapi gelar profesor yang kekal di hadapan namanya yang tetap boleh digunakan walaupun sudah bersara adalah anugerah dari Universiti Leiden, di Belanda. Ia univeristi tersohor dalam bidang kesusasteraan. Beliau seorang yang sederhana sahaja, lebih senang disapa dengan Pak Wahab sahaja.

Katanya, di satu sudut kedai kopi sebuah hotel di kota Bangkok, ada tertulis senarai nama penerima anugerah besar SEA Write Award . Jadi, bagi beliau pertemuan di kedai kopi ini hal yang biasa sahaja, bukan hal yang pelik. Mungkin begini jugalah cara seniman besar berdiskusi. Beliau memulakan ceritanya bagaimana beliau mula penjadi penulis. Sejak zaman remajanya lagi. Orang yang boleh menulis di era sebelum merdeka tentulah bukan orang sebarangan. Hanya manusia yang ada citra cendekia dan tuntas pemikirannya sahaja boleh sampai ke tahap itu. Apatah lagi, A Wahab Ali kemudiannya dari satu tapak ke satu tapak memasuki universiti. Beliau mendapat PhD di Australian National University, lewat tahun 1970-an ketika aku hanya baru merengek masuk ke darjah satu.

Perbincangan beliau itu mengingatkan aku semula dengan nama-nama penulis yang telah aku lupakan. Anis Sabirin, Kemala, Othman Puteh, Warma Wijaya, Malungun, Dino SS dan beberapa orang lain lagi yang hanya aku ikuti pergerakan mereka ketika aku berusia belasan tahun. Kemudiannya aku tidak lagi mengambil pusing lewat dunia sastera dan penulisan. Sempat juga aku bertanya dengan beliau mengenai Pramoedya Ananta Toer - penulis hebat dari Indonesia yang banyak aku membaca karyanya ketika aku bujang dahulu. Rupanya penulis itu ialah teman baiknya juga. Ketika berjalan pulang dengannya, ada juga aku bertanya mengenai Albert Camus dengan karya hebat The Stranger. Ini penulis Peranchis aliran athies, yang aku mula berjumpa dengan karyanya ketika aku di bangku universiti.

Selain hal penulisan, beliau juga banyak bercakap hal politik dan bangsa. Katanya, anda semua anak muda perlu sebijak Usman Awang. Dia ahli strategis yang hebat, bijak menyusup dan licik. Tetapi semuanya kerana kecintaannya kepada bangsanya.

Mungkin - satu hari nanti aku juga bakal menjadi seperti mereka. Aku perlu menulis karya sastera aku sendiri - Yang Terindah Ialah Yang Tertinggal. Mungkin aku perlu pulang dan membelek kembali karya sastera aliran lama ini.

Tuesday, 21 September 2010

Jemputan ke program anak muda

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Jangan lupa, sekiranya anda tidak tahu apa hendak dibuat, dijemput datang ke program anak muda Khamis ini. Tidak kisahlah anda lelaki bujang, atau gadis cantik, anda semua boleh hadir. Termasuk juga orang tua yang sudah berkahwin dan hutangnya bertimbun. Tidak ada halangan. Boleh juga datang menjamu mata melihat mat salleh lalu lalang di sekitar Rundle Mall.

Program: Sembang Petang Bersama Seniman: Prof A Wahab Ali
Tempat: Swinging Bowl
Masa: 4.00 - 5.30 petang
Tarikh: 23/09/2010/Khamis
Anjuran: Gabungan Anak Muda Adelaide aka 'anak muda tanpa persatuan'

Program ini lebih berkisar kepada perkongsian cerita oleh seniman kepada anak muda. Bukan hal politik. Bukan hal agama. Ia hal kesusasteraan, penulisan dan bangsa. Anda boleh bertanya dan mendengar seniman menceritakan pengalaman mereka sebagai penulis, penyajak dan pemerhati tamadun bangsa. Siapa A Wahab Ali? Beliau mungkin tidak sepopular banyak artis Malaysia. Tetapi beliau lebih ternama dari banyak manusia terbilang. Anda perlu datang untuk tahu siapa beliau.

Dari Adelaide ke Sydney

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Aku sedang berada di Sydney sekarang ini. Cuacanya agak panas. Berlainan sekali dengan cuaca di Adelaide. Jam 4 pagi tadi aku bertolak dari rumah. Seperti biasa, aku hanya mampu menggunakan pesawat Tiger yang murah itu. Cuma AUD 100 pergi balik.

Aku tidak tahu bagaimana ceritanya bandar Sydney. Ia bandar yang besar. Aku hanya sampai di pinggirnya sahaja. Aku ada temuduga bersama panel dari universiti aku yang datang dari tanah air. Semuanya berlaku di Malaysia Hall. Mereka mahu melihat progres kami sebagai pelajar. Semua yang dihantar ke Australia diminta bertemu dengan panel ini. Ia hal yang wajib, bukan sunat muakkad lagi.

Tidak mengapalah. Mereka dengan kerja mereka. Aku dengan kerja aku. Aku bentangkan apa yang sudah aku tulis sepanjang 3 tahun ini. Aku juga ceritakan hal aku dengan kutipan data yang sedang aku lakukan. Tidaklah aku pasti mereka faham atau tidak.

Petang ini, jam 7 aku akan berangkat ke Adelaide. Tiada gambar kota ini. Aku terlupa membawa handphone isteri aku. Hanphone aku sangat klasik lagi buruk. Hanya mampu sms dan telefon. Itu pun kadang-kadang jelas, kadang-kadang tidak.

Apa lagi. Oh tadi, aku singgah makan tengahari di kedai Siam. Aku makan tomyam. Kata orang di sini ia sangat terkenal.

Pastilah, kalau kedai itu dibuka di Malaysia, ia sudah lama ditutup.

Monday, 20 September 2010

Ingin belajar di luar negeri - II

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Baru-baru ini, salah satu persatuan pelajar Malaysia telah menganjurkan Malaysian Carnival. Aku anggap ia satu penganjuran bagi satu program yang besar bagi badan pelajar - yang rata-ratanya dikendalikan anak muda. Tentulah sedikit sebanyak ia mendedahkan nama Malaysia untuk orang luar. Tahniah aku ucapkan kepada kumpulan anak muda MASCA selain kejayaan yang sama bagi penganjuran sebelumnya, tahun 2008 yang lalu.

Bagaimana pun, sepanjang 3 tahun aku di Adelaide - aku terkesan satu perkara. Aku merasakan pelajar-pelajar kita di sini tidak begitu mendapat peluang yang banyak dalam hal berpersatuan dibandingkan dengan teman mereka di Malaysia. Salah satunya kerana kumpulan pelajar kita hanya sekelompok kecil sahaja manusia dibandingkan dengan pelajar tempatan.

Di Adelaide ini, aku tidak begitu tahu berapa banyak badan pelajar yang ada. Yang selalu aku dengar ialah Kelab UMNO dan MASCA. Aku mungkin naif dalam hal ini kerana bukan lagi anak muda.

Bagaimana pun, aku selalu melihat banyak aktiviti persatuan pelajar di sini lebih kepada sesuatu yang bersifat BBQ - yakni makan-makan. Ada sesekali terdengar mereka mengundang penceramah dari luar dalam forum tertentu. Tetapi tentulah tidak begitu banyak dibandingkan dengan kegiatan bersifat BBQ.

Bagi aku - badan-badan pelajar perlu diperkemaskan lagi agar ia mampu mendedahkan anak-anak muda ini dengan kegiatan yang bersifat dunia nyata. Kelab UMNO misalnya, perlu menjemput panel terkenal bagi membincangkan hal politik atau hala tuju negara. Menjemput ahli politik dari aliran yang berbeza tentulah sukar dengan riak politik kita. Sesuai pula ia menjadi entiti kepada parti politik. Bagaimana pun, tidak mustahil mereka menjemput Ketua Pemuda UMNO Malaysia - bercakap tentang gagasannya mengenai gaji minima, atau masa depan politik Melayu pasca 2008. Semua ini pasti akan menjadi topik yang menarik.

Sebenarnya tidaklah susah sangat menjemput orang politik. Mereka sebenarnya sentiasa mencari penyokong. Ada yang sanggup datang dengan wang tambang sendiri. Acara menjemput tokoh terkenal ini patut menjadi acara tahunan.

Debat bagi kegiatan ilmiah juga patut dimulakan. Sekarang ini, aku jarang mendengar adanya aktiviti seumpama ini. Sekiranya sukar menjemput ahli politik, atas 'kekangan' tertentu yang selalu membebankan pelajar, tidak salah menjemput tokoh akademik.

Wang tentu sahaja halangan utama. Aku perlu bersetuju dengan hal ini. Bagaimana pun, inilah masanya mereka menganjurkan aktiviti yang lain bagi mendapatkan wang persatuan. Anjurkan Malaysian Food Festival pula. Acara ini bukanlah sasaran utama. Sasaran utama ialah wang bagi mengendalikan kegiatan yang lain.

Begitu juga dengan persatuan pelajar yang lain. Sesekali mereka perlu merancang untuk mengadakan aktiviti seperti "Persediaan Alam Kerja" bagi mereka yang berada di tahun akhir. Ia juga perlu dijalankan sebagai aktiviti tahunan. Banyak hal yang patut didedahkan. Bagaimana menulis resume. Bagaimana menghadapi temuduga. Jangan anggap ini hal yang mudah. Sekiranya anda menggunakan email yang pelik,
kakibotol@yahoo.com bagi mengirimkan email kepada jabatan sumber manusia misalnya, email anda akan dipadamkan begitu sahaja. Jadi banyak hal yang tersembunyi yang patut didedahkan.

Bagaimana pula untuk mengendalikan mesyuarat. Memang setiap hari kita bermesyuarat. Tetapi adakah kita menggunakan format yang betul. Adakah rahsia lain bagi mengendalikan mesyuarat dengan berkesan.

Program-program pembangunan insan seperti ini patut diperbanyakkan. Jangan hanya bercakap soal hati. Hidup bukan sekadar hal hati. Hal lain juga.

Sebab itu - persatuan anak muda ini perlu ada penasihat di kalangan orang dewasa. Di Malaysia, biasanya pensyarah yang akan menjadi penasihat. Di sini pun, kebanyakan pelajar pasca-siswazah ialah pensyarah. Mereka ini patut didekati bagi mendedahkan pengalaman mereka. Lantik mereka sebagai penasihat. Tetapi ingat, jangan biarkan mereka mengawal aktiviti anda. Mereka hanya sebagai pembimbing. Itu sahaja.

Sekarang ini, kalau ada orang bertanya aku - apa aktiviti pelajar kita, aku tidak tahu.
Yang aku selalu dengar ialah BBQ. Sebab itulah mungkin banyak persatuan pelajar sedang 'dimakan' oleh badan dari luar.

Bagaimana pun, ada hal yang sangat terpuji untuk anak muda ini. Mereka lebih berdikari dibandingkan dengan teman-teman mereka di dalam negara. Ini hal yang mungkin tidak didapatkan kalau anda tidak ke luar negara.

Ini hanya pandangan aku. Aku mungkin tersalah dengar dan terlepas pandang.

Sunday, 19 September 2010

Ingin belajar di luar negara?

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Beberapa hari dulu, aku terserempak dengan satu keluarga Melayu di kampus universiti. Mereka datang untuk melihat universiti sebelum mahu mendaftarkan seorang ahli keluarga mereka untuk belajar ijazah sarjana muda di sini. Khabarnya, pelajar itu akan dibiayai oleh ahli keluarga.

Tidak kisahlah aku hal itu.

Bagaimana pun, kalau orang bertanya aku - aku akan cadangkan agar pelajar kita hanya membuat ijazah sarjana muda di dalam negara sahaja, melainkan kalau pengajian itu adalah ditaja atau bagi bidang kritikal, atau ingin melanjutkan pengajian ijazah tinggi.


Bagi ijazah pertama, sebenarnya tidak ada apa yang lebihnya belajar di luar negara dibandingkan dengan apa yang ditawarkan di dalam negara. Ijazah pertama hanyalah pengajian bersifat asas. Ia tidak menjurus kepada sesuatu yang bersifat spesifik. Jadi, daripada digunakan wang yang besar untuk belajar di luar negara, adalah lebih baik belajar di dalam negara sahaja. Wang yang ada itu boleh disimpan bagi mengikuti pengajian ijazah lanjutan yang tempohnya lebih pendek.

Di sini - sesekali aku juga masuk ke kelas mengajar. Melihat kepada anak muda barat yang duduk di dalam bilik kuliah, aku tidak melihat bahawa mereka akan lebih pandai dibandingkan anak muda kita. Sama sahaja perangainya. Mereka mendengar dan mengambil nota. Mereka juga tidak berani bertanya. Mereka juga sama tidak fahamnya seperti anak-anak muda kita di bangku universiti.

Semua ini kerana apa yang mereka dengar itu ialah hal yang baru. Hal yang asas.

Ijazah pertama hanyalah kelas pendedahan sahaja. Ia sekadar zaman peralihan dari sekolah menengah ke satu bidang lain yang banyak dipandukan oleh konsep dan teori. Lebih sedikit hanyalah kerana mereka menggunakan bahasa Inggeris. Atau cara layanan pensyarah dan anak murid yang agak berbeza. Itu sahaja.

Selebihnya - budaya plagiat juga cerita biasa. Mencari sumber akademik dari sumber yang tidak dibenarkan, seperti dari wikipedia juga adalah hal yang sama seperti kita. Budaya malas ke kelas juga hal yang biasa. Jadi untuk dikatakan belajar di luar negara sebagai sesuatu yang istimewa sebenarnya tidaklah selalu betul.

Yang menjadikan belajar di luar negara seperti istimewa hanyalah kerana 'glamour' sahaja. Ia dilihat hebat kerana memang kita selalu mengagungkan sesuatu dari luar. Pelajar luar negara dipandang tinggi kerana mereka berupaya berbahasa Inggeris dengan baik - walaupun aku tidak pernah percaya bahawa keupayaan bahasa Inggeris mengukur darjah intelektual seseorang. Malangnya, itulah cara kita berfikir sejak sekian lama. Yang luar tetap dipandang tinggi.

Bagi bidang kritikal seperti sains, kejuruteraan atau perubatan, mungkin ada wajarnya belajar di luar negara kerana banyak teknologi baru boleh dipelajari.

Begitu juga bagi ijazah lanjutan. Ada banyak pakar yang boleh kita mendapatkan ilmu baru.


Tetapi bagi bidang sains sosial seperti media, psikologi atau sosiologi - tidaklah perlu pergi terlalu jauh hingga ke luar negara. Anda akan berjumpa dengan ilmu yang sama juga, kerana ia hal yang asas sahaja. Anda akan diajar dengan perkara yang sama juga.

Melainkan kalau ada pihak lain yang menawarkan penajaan. Itu hal yang lain.


Selain itu - pendedahan hidup di luar negara pada usia yang terlalu muda adakalanya tidaklah begitu 'menyihatkan' bagi sesetengah orang. Mereka ini, apabila pulang nanti, ada yang gagal berkomunikasi dalam masyarakat. Ada yang tidak mampu mengadaptasi dalam persekitaran yang baru - yang lebih mencabar dan ganas. Masa setahun dua diperlukan bagi belajar memahami sistem dan norma di negara kita.

Semua ini perlu difikirkan juga.

Siri berikutnya: aku akan cuba ulas pengamatan aku tentang aktiviti persatuan pelajar luar negara.

Thursday, 16 September 2010

Serial Killer- Part 2: waras atau tidak?

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Selama ini, kita menyangka bahawa pembunuhan bersiri hanya berlaku dalam filem. Bagaimana pun, melihat kepada pelbagai kejadian pembunuhan kejam yang berlaku dalam budaya kita - ada baiknya kita juga perlu sedikit sebanyak mengetahui apakah sebenarnya yang dikatakan pembunuh bersiri.

Melihat kepada beberapa kes terbaru, pelbagai teori muncul. Teori semata-mata tanpa sedikit asas pengetahuan tidak berguna.

Terdapat beberapa jenis kategori pembunuhan bersiri yang patut anda tahu.

Visionary type - pembunuh melakukan siri pembunuhan kerana dorongan halusinasi atau bisikan halus. Ia sama ada menyifatkan pembunuhan itu sebagai sesuatu yang diyakininya sebagai betul, atau menganggap mangsa sebagai manusia jahat yang patut dibunuh.

Mission-Oriented type - menggunakan kelopok sasaran tertentu. Jack the Ripper hanya menumpukan kepada manusia pelacur. Bagi pembunuh seperti ini, mereka menganggap mangsanya sebagai manusia durjana. Sabai pula hanya menyasarkan wanita tua berusia 70 tahun ke atas.

Hedonistic type - pembunuh membunuh mangsa untuk mendapatkan keseronokan, sama ada yang bersifat lust killer, atau thrill killer. Lust killer membunuh untuk mendapatkan keseronokan seks, walaupun tidak semestinya hubungan seks berlaku. Sebagai orang awam, lust killer ini dapat difahami dengan menonton filem Draculla atau
Cannibal Holocaust. Ini adalah bentuk keseronokan.

Thrill killer pula lebih kepada pembunuh yang suka melihat mangsa menderita sebelum mati. Mereka akan menyiksa dahulu mangsa. Sebaik sahaja mangsa terbunuh, keseronokan tadi berakhir. Mangsa baru perlu dicari.

Dalam kebanyakan kes pembunuhan bersiri, kebanyakan pembunuh adalah manusia yang sakit jiwa. Mereka walaupun melakukan kejahatan, tetapi sebenarnya mental mereka tidak betul lagi.

Bagaimana dengan kes pembunuhan yang sekarang hangat diperbualkan? Adakah pelakunya waras. Menurut pakar psikitiari seperti yang dilaporkan di
akhbar, pelakunya adalah manusia waras. Aku sependapat dengan pakar tersebut. Ia bukan dorongan halusinasi, atau seperti kecenderungan oleh Sabai dalam siri sebelumnya.

Kalau begitu, apakah kategori yang sesuai dengan kes tadi. Mungkin tidak ada satu pun kategori yang sesuai. Bagaimana pun, ahli psikologi mengkelaskan beberapa kategori lain. Antaranya ialah crime spree killer - membunuh untuk keseronokan dan manfaat kewangan.

Nanti kita sambung dengan profil pembunuh bersiri. Itu pun kalau ada masa.

Semoga anda boleh tahu siapa mereka.

Wednesday, 15 September 2010

Serial killer - Part 1

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
“I am down on whores and shan’t quit ripping them",
(Jack the Ripper, dalam suratnya kepada media).


Sejak beberapa tahun ini, kita mendengar begitu banyak kes pembunuhan tragis di Malaysia. Terbaru ialah pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawija dan 3 orang yang lain. Pembunuhan ini dikatakan dilakukan oleh suspek yang dikaitkan dengan beberapa siri pembunuhan lain. Aku tidak berminat mengulas hal ini.

Kita ulas hal lain. Kita ulas personaliti pembunuh bersiri.

Salah satu kes besar pembunuhan bersiri berlaku di Itali pada tahun 1995-1997 oleh Ben Mohammed Ezzedine Sabai, seorang pendatang Tunisia. Dia dikatakan telah membunuh 15 wanita, kesemuanya berusia 70 tahun ke atas. Kecuali tiga mangsa, kebanyakan mangsa ditikam di bahagian leher, terutamanya pada bahagian kiri.

Mengapa membunuh wanita tua yang tidak ada hubungan dengannya?

Sabai dikatakan mempunyai kecelaruan anti sosial, dan sexual sadisme. Atau dalam kata lain, ia mempunyai rangsangan seks yang pelik iaitu ingin melihat mangsa meronta-ronta. Kebanyakan perogol dikatakan mempunyai personaliti ini - mereka suka melihat mangsa meminta simpati mereka. Inilah yang dikatakan sadisme. Begitu juga dengan pembunuh.

Mengapa dia menikam leher pada bahagian kiri? Ini bermaksud pembunuh mungkin menggunakan tangan kanannya.

Sekitar lewat tahun 1950-an, Garvey Glatman, dikatakan sebagai pembunuh bersiri pertama yang suka mengambil gambar mangsanya. Ini juga satu pengalaman yang pelik bagi manusia normal seperti kita.

Walaupun banyak sebab yang boleh menyebabkan terjadinya pembunuhan bersiri ini - termasuk faktor mendapatkan wang - bagaimana pun kajian psikologi mendapati bahawa kepuasan utama bagi pembunuh bersiri ini bukanlah ganjaran luaran.

Sebaliknya ia didorong oleh kepuasan dalaman yang ada dalam minda manusia itu sendiri. Mereka merasa lega dengan membunuh manusia. Motif utama bukanlah wang, sebaliknya bagi memuaskan kehendak psikologinya. Kalau wang adalah motifnya, orang yang sudah kaya tidak akan membunuh. Penjenayah mungkin perlu merompak sahaja. Mereka juga tidak akan membunuh berkali-kali.

Pembunuhan bersiri juga didapati mempunyai modus operandi yang sama oleh pelaku yang sama. Ini bermaksud ia berlaku secara terancang. Jarang pembunuhan bersiri ini berlaku secara tidak sengaja.

Bagaimana dengan kes yang sedang hangat di Malaysia sekarang ini? Kita tidak tahu.

Kita sambung. Ini baru pengenalan. Kita akan sambung dengan tajuk kategori atau jenis pembunuhan bersiri. Kalau sempat, kita juga perlu tahu siapa Jack the Ripper.

Monday, 13 September 2010

Iklan untuk warga Adelaide

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Salam to all,
Prof A Wahab Ali sedang berada di Adelaide. Aku tidak pasti sama ada pelajar-pelajar undergrads terbiasa mendengar nama ini, memahami khalayak sastera kita juga sebenarnya tidaklah begitu besar dibandingkan dunia maju yang lain.

A Wahab Ali merupakan seniman besar negara, terkenal sebagai penyajak hebat. Juga merupakan salah seorang pemenang SEA Award, satu pengiktirafan besar dalam dunia penulisan. Beliau juga adalah panel bagi kebanyakan anugerah sastera di negara kita. Beliau juga adalah bekas profesor di Universiti Malaya dan juga pernah berkhidmat di Leiden University, Belanda. Terakhir sekali berkhidmat sebagai Penulis Tamu di Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM.


Jadi aku merancang ada baiknya untuk menjemput beliau memberikan diskusi - misalnya bagaimana untuk menjadi penulis, atau apa-apa sahaja yang berkisar dengan kesusasteraan dan kesenian. Mungkin juga boleh berkisar tentang pengalaman sebagai penulis.

Sebenarnya tidak mudah untuk mendapat peluang bertemu dengan penulis besar seperti ini. Tentulah juga, pelajar-pelajar undergrads (postgrads juga!) diberikan lebih banyak peluang untuk mendapatkan tunjuk ajar dan pendedahan bersemuka dengan tokoh seperti ini.


Tentu - ia juga sesuai untuk semua para blogger kecil dan besar di Adelaide ini - kerana bloggers juga adalah penulis rasa, perakam pengalaman. Peminat dan pembaca blog juga sebenarnya adalah sebahagian khalayak yang patut bertemu dengan tokoh hebat ini.

Sesiapa ada cadangan bagaimana boleh kita kendalikan program dengan seniman besar ini? Contact aku di fakirfikir@gmail.com

Tiada apa kali ini

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tiada berita hari ini.

Aku terasa ingin mengulas kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik bersama 3 orang yang lain. Mengapa orang sanggup membunuh. Mengapa orang tidak ada perasaan.

Orang baik tidak akan membunuh kucing, apatah lagi membunuh manusia. Aku akan ulas dari sudut psikologi. Tunggu, aku perlu membuat sedikit pembacaan. Ini hal yang melibatkan personaliti, naluri dan sejarah panjang tamadun manusia.

Ia bermula sejak zaman Qabil dan Habil lagi.

Mengapa pula orang yang sedang marah atau melakukan keganasan akan semakin buas apabila mangsanya meronta-ronta, atau merayu.

Mengapa begitu?

Saturday, 11 September 2010

Edisi raya tahun ini

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Hari Raya sudah berlalu.

Semalam, aku memulakan pagi dengan bersama bersembahyang sunat di Masjid Al-Khalil. Seperti biasa anda akan melihat pakaian raya yang bersifat global. Semua bangsa dengan pakaian tradisionalnya, atau sekurang-kurangnya dengan gayanya tersendiri. Tidak kurang gadis dan wanita berpakaian seksi - seperti gamaknya orang mahu ke disko. Tidak mengapalah, hari raya bukan selalu. Semoga tahun depan dia menutup aurat.

Selesai sembahyang - bergambar bersama teman-teman sealiran. Bergambar juga bersama blogger Swinging Bowl. Tahun lepas kami bertiga - bersama Bentara Krenmaut. Tahun ini dia tentu sudah pening kepala membahagi duit raya kepada budak-budak di kampung.

Tahun depan, aku harap aku juga sudah balik. Biar Swinging Bowl bergambar seorang diri berlatar belakang batu nesan kubur di tepi masjid.

Kami memulakan raya bersama beberapa teman lain di Bonython Park. Dalam 30-40 orang termasuk budak-budak. Kebanyakannya pelajar pasca siswazah. Ada juga beberapa pelajar sarjana muda.

Cuaca yang indah menjadikan suasana raya ini bertambah seri. Aku ingatkan aku tidaklah beraya sangat tahun ini. Nampaknya tidak. Jam 11 malam baru aku sampai ke rumah. Beraya di beberapa buah rumah. Ada juga yang sepertinya beraya di tanahair, dengan lemang dan segala macam kuih raya. Ada pula yang sekadar air kopi. Sebenarnya, bagi kami - itu tidaklah penting sangat.

Hari ini aku beraya di rumah. Ada manuskrip untuk dihantar ke jurnal. 100% sudah siap. Cuma menunggu sedikit komen dan suntikan bahasa tinggi dari guru bahasa universiti - Monica Behrend. Dia ini selalu tolong aku. Itupun kalau aku sempat menghantar untuk semakannya.

Raya di luar negara. Ada yang indah, ada yang tidak.

Thursday, 9 September 2010

Beberapa minit sebelum Syawal

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sekarang jam 5.45 petang waktu Adelaide. Lima belas minit lagi akan masuk waktu berbuka. Menutup cerita Ramdahan luar negara tahun ini. Membuka cerita beraya di luar negara pula. Semoga ia menjadi Ramadhan dan Syawal terakhir untuk aku di bumi Adelaide yang sepi ini.
(Ini gambar kenangan bersama budak-budak Lingkaran Sahabat Sastera setahun yang lalu yang datang untuk makan-makan di rumah aku. Gambar aku tidak pernah ada. Keterangannya baca di SINI, Berita Harian)

Lima belas minit lagi - kita akan menyambut malam raya.


Jalanraya penuh sesak. Ibu ayah menunggu di depan pintu. Anak-anak pulang dengan kereta baru. Yang kurang sedikit, mungkin dengan motosikal. Ada pula yang hanya menaiki bas. Ia mengimbau cerita aku 20 tahun dulu. Kadang-kadang membeli tiket bas sebulan lebih awal. Pada malam untuk menaiki bas, kaunter bas ditutup. Syarikat bas tiada lagi. Membeli pula tiket bas tambahan. Bas buruk, harga mahal.

Musim raya memang musim indah. Indah dapat berjumpa teman lama yang hilang. Dapat berkumpul dan berborak. Melihat budak-budak berlari dan bermain mercun. 20 tahun dulu, kitalah budak-budak itu. 20 tahun dulu kitalah kemeriahan itu. 20 tahun mendatang, raya pasti bukan milik kita lagi. Raya sudah menjadi milik orang lain.

Sekarang ini - hari raya sudah menjadi musim yang lain. Musim para peniaga membuat untung. Inilah waktunya harga tiba-tiba menjadi mahal. Inilah masanya tiba-tiba muncul bermacam kuih yang rasanya sama sahaja. Mungkin produksi dari kilang di China. Tiba-tiba ada baju Melayu yang bermacam fesyennya. Pengutip beras zakat juga tiba-tiba banyak di tengah bandar.

Raya di Adelaide - tiada apa. Kalau ada lemang pun, lemang tanpa buluh. Ketupat daun palas pasti sampai kiamat pun tak akan bertemu lagi. Kuih raya hanya beberapa jenis sahaja. Banyak yang membeli kek dari pasaraya. Takbirnya juga tidak bernada syahdu seperti di negara kita. Tidak ada kunjung mengunjung. Boleh berkunjung dengan syarat dijemput dulu. Tidak boleh sekadar singgah ke rumah orang di hari raya. Mungkin tidak ada sesiapa pun di rumah.

Di mana kami beraya tahun ini. Mungkin di padang.

Alangkah tidak indahnya.

Tapi pastinya, satu saat nanti inilah masa paling indah untuk diimbau. Yang terindah ialah yang tertinggal.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI - untuk semua yang ada waktu untuk beraya, dan juga untuk mereka yang tidak ada peluang untuk beraya. Pesanku - jangan menangis di pagi raya. Tidak ada sesiapa pun akan bersimpati dengan anda. Semua orang sedang sibuk berpesta.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails