Yang Ikut

Monday, 20 September 2010

Ingin belajar di luar negeri - II

Reactions: 
Baru-baru ini, salah satu persatuan pelajar Malaysia telah menganjurkan Malaysian Carnival. Aku anggap ia satu penganjuran bagi satu program yang besar bagi badan pelajar - yang rata-ratanya dikendalikan anak muda. Tentulah sedikit sebanyak ia mendedahkan nama Malaysia untuk orang luar. Tahniah aku ucapkan kepada kumpulan anak muda MASCA selain kejayaan yang sama bagi penganjuran sebelumnya, tahun 2008 yang lalu.

Bagaimana pun, sepanjang 3 tahun aku di Adelaide - aku terkesan satu perkara. Aku merasakan pelajar-pelajar kita di sini tidak begitu mendapat peluang yang banyak dalam hal berpersatuan dibandingkan dengan teman mereka di Malaysia. Salah satunya kerana kumpulan pelajar kita hanya sekelompok kecil sahaja manusia dibandingkan dengan pelajar tempatan.

Di Adelaide ini, aku tidak begitu tahu berapa banyak badan pelajar yang ada. Yang selalu aku dengar ialah Kelab UMNO dan MASCA. Aku mungkin naif dalam hal ini kerana bukan lagi anak muda.

Bagaimana pun, aku selalu melihat banyak aktiviti persatuan pelajar di sini lebih kepada sesuatu yang bersifat BBQ - yakni makan-makan. Ada sesekali terdengar mereka mengundang penceramah dari luar dalam forum tertentu. Tetapi tentulah tidak begitu banyak dibandingkan dengan kegiatan bersifat BBQ.

Bagi aku - badan-badan pelajar perlu diperkemaskan lagi agar ia mampu mendedahkan anak-anak muda ini dengan kegiatan yang bersifat dunia nyata. Kelab UMNO misalnya, perlu menjemput panel terkenal bagi membincangkan hal politik atau hala tuju negara. Menjemput ahli politik dari aliran yang berbeza tentulah sukar dengan riak politik kita. Sesuai pula ia menjadi entiti kepada parti politik. Bagaimana pun, tidak mustahil mereka menjemput Ketua Pemuda UMNO Malaysia - bercakap tentang gagasannya mengenai gaji minima, atau masa depan politik Melayu pasca 2008. Semua ini pasti akan menjadi topik yang menarik.

Sebenarnya tidaklah susah sangat menjemput orang politik. Mereka sebenarnya sentiasa mencari penyokong. Ada yang sanggup datang dengan wang tambang sendiri. Acara menjemput tokoh terkenal ini patut menjadi acara tahunan.

Debat bagi kegiatan ilmiah juga patut dimulakan. Sekarang ini, aku jarang mendengar adanya aktiviti seumpama ini. Sekiranya sukar menjemput ahli politik, atas 'kekangan' tertentu yang selalu membebankan pelajar, tidak salah menjemput tokoh akademik.

Wang tentu sahaja halangan utama. Aku perlu bersetuju dengan hal ini. Bagaimana pun, inilah masanya mereka menganjurkan aktiviti yang lain bagi mendapatkan wang persatuan. Anjurkan Malaysian Food Festival pula. Acara ini bukanlah sasaran utama. Sasaran utama ialah wang bagi mengendalikan kegiatan yang lain.

Begitu juga dengan persatuan pelajar yang lain. Sesekali mereka perlu merancang untuk mengadakan aktiviti seperti "Persediaan Alam Kerja" bagi mereka yang berada di tahun akhir. Ia juga perlu dijalankan sebagai aktiviti tahunan. Banyak hal yang patut didedahkan. Bagaimana menulis resume. Bagaimana menghadapi temuduga. Jangan anggap ini hal yang mudah. Sekiranya anda menggunakan email yang pelik,
kakibotol@yahoo.com bagi mengirimkan email kepada jabatan sumber manusia misalnya, email anda akan dipadamkan begitu sahaja. Jadi banyak hal yang tersembunyi yang patut didedahkan.

Bagaimana pula untuk mengendalikan mesyuarat. Memang setiap hari kita bermesyuarat. Tetapi adakah kita menggunakan format yang betul. Adakah rahsia lain bagi mengendalikan mesyuarat dengan berkesan.

Program-program pembangunan insan seperti ini patut diperbanyakkan. Jangan hanya bercakap soal hati. Hidup bukan sekadar hal hati. Hal lain juga.

Sebab itu - persatuan anak muda ini perlu ada penasihat di kalangan orang dewasa. Di Malaysia, biasanya pensyarah yang akan menjadi penasihat. Di sini pun, kebanyakan pelajar pasca-siswazah ialah pensyarah. Mereka ini patut didekati bagi mendedahkan pengalaman mereka. Lantik mereka sebagai penasihat. Tetapi ingat, jangan biarkan mereka mengawal aktiviti anda. Mereka hanya sebagai pembimbing. Itu sahaja.

Sekarang ini, kalau ada orang bertanya aku - apa aktiviti pelajar kita, aku tidak tahu.
Yang aku selalu dengar ialah BBQ. Sebab itulah mungkin banyak persatuan pelajar sedang 'dimakan' oleh badan dari luar.

Bagaimana pun, ada hal yang sangat terpuji untuk anak muda ini. Mereka lebih berdikari dibandingkan dengan teman-teman mereka di dalam negara. Ini hal yang mungkin tidak didapatkan kalau anda tidak ke luar negara.

Ini hanya pandangan aku. Aku mungkin tersalah dengar dan terlepas pandang.

3 comments:

Capik! said...

salam,

saya suka cara menegur macam ni, senang hati untuk kami terima :)
kami sedang berusaha untuk melebihkan perkara2 begini tapi setakat ni tak seberapa yang kami dapat hasilnya.
setakat ni yang mampu kami lakukan ialah membawa program 'Graduan' ke adelaide dan program 'resume' dengan NCIA, kami juga ada program 'discushion' yg diadakan dgn pertolongan postgrad untuk perbincangan berilmiah tapi 'turn up' untuk event sedimikian sangat kurang dan kami sedang cuba sedaya upaya untuk menghebahkan lagi dan menarik lagi student.

student biasalah, ade makan free datanglah, bile kene bincang bende serious die cabut haha! mungkin dikalangan postgrad yang lebih berpengalaman boleh tolong future generation MASCA and UMNO SA dan juga group lain dalam hal ini :)

Terima kasih atas cara teguran yang diberi, sangat senang diterima :)

extraordinaryme said...

Salam,

Terima kasih atas nasihat ini abang Awang. Sejujurnya dalam tahun pertama menganggotai MASCA saya dapat lihat kelemahan ini dalam organisasi kami.InsyaAllah jika dikembalikan dalam jawatankuasa tahun depan saya bercadang untuk mengangkat isu ini. Semoga dalam masa yang masih ada ini Abang Awang boleh bantu jugak.

Ahmad Ridhuan Alauddin

FakirFikir said...

Salam, boleh. Nanti kita minum2 kopi, dan kita bincang how to operate persatuan better. Maybe kita boleh sama-sama membantu apa yang kurang, dan apa yang lebih. Blh email saya. Mungkin juga perlu ada perbincangan dalam merancang program tahunan persatuan, cash-flow management, dan sedikit sebanyak konsep marketing AIDA untuk mempromosikan aktiviti. Juga perlu difikirkan, if ada new students datang, apa yang patut kita berikan kursus pendedahan budaya kepada mereka.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails