Yang Ikut

Monday, 18 January 2010

Bila aku yang stres

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sudah beberapa hari aku tidak melakukan sebarang update.

Aku mungkin sedang sibuk. Tidak. Sebenarnya aku sedang dilanda stres. Aku dilanda stres dengan dua perkara - pertamanya berkaitan pengajian aku. Keduanya, aku juga sedang ditekan dengan waktu yang kian pendek. Cuma ada 9 bulan lagi dalam tempoh yang dibenarkan untuk aku berada di bumi kangaroo ini.

Sebenarnya stres tidak membantu menyelesaikan masalah. Stres hanya akan menggangu fikiran kita. Kita menggunakan banyak tenaga untuk berfikir hal masalah, bukan menyelesaikan masalah. Fikiran kita hanya memfokuskan mengenai kekacauan yang tak kunjung padam. Kita jadi takut, bimbang dan resah. Ia datang menujah fikiran 24 jam. Hasilnya, tidak ada satu perkara pun yang kita lakukan. Hari-hari dihabiskan berfikir dengan hal yang sama. Setiap jam digunakan untuk berfikir apa akan berlaku.

Itulah kesan stres. Ia tidak memberikan manfaat. Aku tahu benar hal ini. Ini topik aku. Tapi aku sendiri gagal mengelak.

Kalau ada orang yang dilanda stres datang berjumpa aku, aku akan minta mereka bukakan sepuluh jari. Kemudian minta mereka tutup satu jari. Aku akan berkata, mengapa harus difokuskan dengan hanya satu jari. Sedangkan ada 9 perkara lain lagi yang harus kita usahakan juga. Mengapa membiarkan 1 masalah merosakkan diri, sedangkan banyak perkara lain harus difikirkan juga.

Itulah. Apabila orang lain ditimpa masalah, kita tahu memberikan caranya. Bila diri sendiri terkena, apa pun tak boleh dilakukan.

Sepanjang aku di sini - banyak orang yang telah aku temui. Ada kawan-kawan aku yang tidak lalu lagi hisap rokok kerana stres. Dan ada yang ingin lari balik Malaysia. Jadi aku dengan beberapa orang kawan lain - cuba menolong. Kami bercakap hal positif. Kami bercakap mengenai peluang dan harapan. Kami cuba menunjukkan jalan terbaik.

Ketika di Malaysia dulu, ada beberapa rakan aku di Malaysia - ditimpa masalah perkahwinan. Aku kadang-kadang bercakap dengan mereka. Aku bercerita hal baju buruk. Aku bercerita idea mengharmonikan rumahtangga.

Hakikatnya, cakap memang mudah! Itulah kerja ahli psikologi.

Wednesday, 13 January 2010

Mari berbicang hal pendidikan

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Aku ikut nasihat Zarzh untuk tulis sesuatu. Tapi aku bukan pakar dalam hal ini. Ini pandangan aku yang mungkin ada yang setuju, ada yang tidak.

Jadi kali ini aku tulis hal pendidikan.

******************************************

Anda masuklah ke kampung mana sekalipun - anda lihat akan ada anak-anak remaja kita duduk bersantai dan melepak di tembok atau di kedai runcit sampai jam 2 atau 3 pagi. Ini bukanlah bermakna itu hal yang salah. Bagi aku, itu normal. Ia kehidupan alam remaja - seperti aku juga belasan tahun dahulu.

Cuma kita berasa sedih - kerana anak-anak muda ini sebenarnya sangat mengharapkan kehidupan itu. Itulah matlamat kehidupan mereka. Kehidupan hedonisme. Mereka tidak mahu belajar sebaik mungkin - kerana inginkan kebebasan itu. Mereka ingin cepat habis sekolah. Tamat tingkatan 5 - bagi mereka - itulah mulanya alam dewasa. Kalau boleh tamat lebih awal, lebih baik.

Bagi aku - ini bukan salah mereka sepenuhnya juga. Mereka sedang hidup dalam cabaran generasi sekarang. Ia zaman keseronokan filem Avatar dan kemanisan hidup ice. Seperti kita dahulu yang diseronokkan kehidupan La Bamba dan asap ganja. Sama sahaja spesis cabarannya, cuma alamnya lain.

Tetapi, ada hal yang orang dewasa seperti kita juga salah. Salah anggota masyarakat. Ada ibu bapa yang tidak ambil tahu pun sama ada anak lulus atau tidak. Ada keluarga yang juga mengharapkan anak-anak tamat sekolah dengan cepat.Kalau anak perempuan, lagi cepat kahwin lagi bagus. Habislah segala cerita. Kerana kononnya ia akan mengurangkan beban kewangan mereka.

Mereka terlupa - mereka mungkin menggunakan wang yang banyak untuk melanggan tv Astro, atau membeli mesin DVD baru. Cakera VCD tercapak berselerak di ruang tamu. Mereka membelanjakan wang yang banyak untuk perabut baru, kerusi baru dan motosikal baru. Ada perkara yang dibeli itu - tidak berguna pun.

Dalam istilah accounting - semua barang ini dipanggil sebagai blood clod. Darah beku. Maknanya barang-barang yang menjadikan tunai kita membeku - dan tidak produktif.

Cuba anda hitung berapa banyak barang yang ada dalam rumah anda - yang sepatutnya tidak dibeli pun. Inilah darah beku dalam pusingan tunai kita. Ia harta yang tidak produktif. Kalau kita jual semuanya, kita mungkin kaya semula. Wang ini mungkin boleh menampung setahun perbelanjaan sekolah anak-anak.

Anak-anak kita - akan melihat memek muka ibu bapa yang tidak mempesonakan setiap kali meminta wang ke sekolah - menjadikan mereka juga bosan. Inilah yang pernah dihadapi kawan baik aku, Bento puluhan dahulu. Menjadikan dia keluar rumah pintu depan, menyalin pakaian sekolah di belakang semak pohon getah beberapa jam kemudian. Mereka tidak melihat ada sokongan ibu bapa dalam hal persekolahan. Setiap kali ada guru meminta dibelikan buku lagi - akan ada nada sinis - wang lagi. Banyak sangatkah wang digunakan untuk membeli buku? Banyak lagi tentunya darah beku dalam rumah.

Aku bernasib baik, kerana arwah abang aku tidak begitu. Dia akan mendapatkan buku terbaru setiap tahun bagi setiap matapelajaran. Dia bukan lulusan universiti. Tetapi, dia cendekiawan dalam zamannya. Dia bukan orang kaya. Tidak pernah seumur hayatnya ada 4 keping kad kredit seperti aku.

Bagaimana kita ingin mengatasinya? Bagaimana ingin menyedarkan masyarakat. Bagaimana ingin memastikan anak-anak kita berminat untuk belajar? Bagaimana kita boleh bantu mereka untuk mendapat keputusan yang baik?

Ini sepatutnya pekerjaan ahli politik. Mereka harus masuk kampung berceramah tentang hal seperti ini. Jangan anggap ia hal remeh. Bercakaplah dengan ibu bapa tentang perlunya pendidikan tinggi. Buatlah bengkel kesedaran ibu bapa. Bukalah pusat tuisyen percuma. Kalau tidak pun, buat satu tabung bagi membiayai anak-anak kita belajar tuisyen di bandar berdekatan.

Itu terlebih baik. Kita banyak membantu orang di serata dunia setiap kali ditimpa bencana. Apa kata, kita juga membantu anak bangsa kita yang sedang dimamah derita.

Jangan hanya sekadar memberi beras dan memancing undi. Jangan hanya sekadar bercakap soal projek Kelas F dan projek mega. Kita bercakaplah projek pembangunan minda orang Melayu.

Tanpa jalan tar, anak-anak kita masih boleh hidup. Tanpa pendidikan - mereka akan terlanggar dan mati terkambus di atas jalan tar. Mereka merempit. Mereka membawa bohsia. Mereka menelan pil kuda. Ingat, mereka juga ada kondom di dalam poket!

Semuanya kerana mereka mungkin tidak disibukkan dengan pendidikan, tetapi disibukkan dengan banyak hal lain. Ini semua sedang merosakkan anak bangsa kita.

Tetapi - kalau tidak ada sesiapa pun yang mahu melakukan sesuatu, maka lebih baik kita diam dan jangan marah kepada sesiapa pun. Kita anggap ini takdir yang sudah tertulis.

Bagaimana pun - ia tidak akan menyelesaikan kemelut bangsa kita. Lebih baik kita buat sesuatu. Sebab itu - bila aku balik kampung - aku terasa ingin sangat buat sesuatu. Aku kendalikan bengkel menghafal bukan kerana aku pandai sangat menghafal. Tetapi, aku rasa itulah yang aku mampu buat untuk membantu anak-anak muda kita.

Kita semua - setiap pembaca blog ini - ada kelebihan tersendiri. Ada keupayaan masing-masing dalam bidang tertentu. Bagaimana kalau kita lakukan sesuatu? Kalau tidak boleh merentas satu negeri pun - mungkin kita boleh buat sesuatu di kampung atau di taman perumahan kita.

Pada masa depan - aku sedang merancang untuk mengumpul balik rakan-rakan baik aku - kami semua mungkin boleh berpadu tenaga memberikan sesuatu untuk anak bangsa kita.

Nanti aku sambung apa lagi yang patut kita lakukan.

Apa lagi yang hendak ditulis?

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sejak beberapa hari ini aku tidak menulis. Ada dua sebab sahaja. Sebab pertama, aku sibuk dengan bengkel menulis yang dikendalikan oleh universiti. Ia bermula jam 9.30 pagi dan tamat jam 4.00 petang - setiap hari. Keduanya, aku memang tidak ada ilham untuk menulis.

Aku tidak tahu apa lagi yang hendak ditulis. Hendak ditulis baki 9 bulan yang aku ada, dan satu lagi survey yang belum dibuat, dan hubungannya dengan rasa stres, aku rasa itu tidak patut. Sebagai orang yang mengkaji stres, aku tidak boleh menceritakan stres diri sendiri.

Hendak ditulis hal psikologi - hal cinta, hal burnout, hal self-fulfilling prophecy, personaliti manusia dan sebagainya, aku juga sudah tulis beberapa kali sepanjang 2 tahun lalu.

Hal masyarakat, hal bangsa - itu hal yang selalu aku ulang-ulang. Sekarang ini aku terasa hendak tulis hal agama pula. Tetapi, aku rasa aku patut tangguhkan dulu sehingga aku masuk pondok dulu.

Jadi, aku tidak tahu apa yang patut aku tulis lagi?

Aku tidak rasa aku patut ulas tentang prestasi buruk yang sedang dihadapi Juventus, kelab bola yang aku ikuti sejak zaman muda lagi - kerana aku tak pandai menulis hal bola. Aku hanya sekadar membaca berita sukan setiap hari - sejak lebih 10 tahun dulu. Itu sahaja yang aku tahu.

Jadi, apa lagi yang patut aku tulis? Tolong beritahu aku.

Friday, 8 January 2010

Akal dan internet

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Akal kita memang banyak gunanya. Ia digunakan untuk berfikir. Tapi ingat, akal kita tidak selalunya betul dalam menafsir semua perkara, terutamanya dalam hal berkaitan hukum hakam dan perkara agama. Dalam hal wahyu, akal semata-mata akan membawa kita sesat. Ada hal yang akal tidak mampu menjawabnya.

Sekarang ini - dengan kecanggihan teknologi - terdapat satu trend baru. Trend mempelajari agama dari internet. Semua orang cuba menunjukkan kepandaian berhujah dengan mendapatkan sumber dari internet.

Bagi aku - ini hal tidak betul. Mendapatkan sumber dari internet, walaupun sejauh mana kesahihan sekalipun - ia tidak begitu membantu, kalau kita tidak beguru. Internet hanya alat untuk menyokong pengetahuan. Tetapi, sumber ilmu itu seharusnya datang dengan berguru.

Tetapi - itulah trend masakini. Apa yang boleh kita buat?

Di sebelah kampung aku masih banyak guru yang hebat. Tetapi seperti orang lain juga, aku pun tidak sempat menjenguk mereka.

Thursday, 7 January 2010

Bahasa, bangsa dan agama

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Rantau kita ini telah didatangi 3 kelompok kuasa besar - Inggeris di Tanah Melayu (termasuk di Borneo), Belanda di Indonesia dan Sepanyol di Filipina. Mereka datang berkisar dengan 3 perkara utama - God, Gold and Glory. Istilah God (bukan Allah) merujuk kepada usaha mereka mendakwah dan mengubah manusia mengikut agama mereka. Gold - usaha mereka mencari kekayaan. Glory - menerokai tanah jajahan baru dan menunjukkan kekuatan.

Kuasa Barat ini - seperti juga Islam, mereka juga membawakan agenda tabligh dalam kehidupan mereka. Cuma dalam konteks penyebaran agama, mereka agak terlewat. Rantau ini didatangi terlebih dahulu pedagang dari Arab atau India - antara kurun ke 10 hingga ke 14 Masehi, sedangkan usaha pengembangan Kristian hanya berlaku sekitar kurun ke 16.

Sebenarnya - suntikan elemen 'tabligh' dalam penjajahan Barat hanya datang setelah mereka menyedari perlunya bersaing dengan pedagang Islam - yang masyur yang merantau ke seluruh dunia.

Sungguhpun mereka berjaya dalam dua agenda utama - Gold dan Glory, di Tanah Melayu, mereka gagal dalam usaha mendakwah manusia. Banyak sebab. Salah satu sebab utamanya - mereka gagal menguasai psyche Melayu. Mereka tidak menguasai bahasa Melayu. Kerana mereka datang dalam bentuk yang elit - mereka juga gagal melebarkan penggunaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat. Hanya sebahagian kecil sahaja yang menguasai bahasa Inggeris.

Ini tidak berlaku di Filipina. Mulai pertengahan kedua kurun ke enam belas - penjajahan Sepanyol telah sampai ke Filipina. Penjajah mampu mengubah bahasa ibunda rakyat dengan bahasa Sepanyol. Maka, dengan cara itu - agenda dakwah mereka berhasil. Cuma di Filipina Selatan - bangsa Moro terus berani mempertahankan jiwa agama mereka selama berabad-abad.

Dalam konteks bangsa Melayu - bahasa dianggap jatidiri kita. Ia seiring dengan semangat keagamaan. Sebab itu - pada zaman dahulu - kita sering didengarkan betapa orang kampung lebih rela tidak menghantar anak ke sekolah Inggeris, malah lebih baik kalau mereka duduk di rumah. Kerana - dalam falsafah keagamaan orang terdahulu - bahasa Inggeris itu membawakan roh Kristianisasi. Jadi lebih baik dihantarkan anak-anak dengan aliran pondok - atau belajar secara informal di rumah sahaja. Sekalipun ini tidak akan menjanjikan mereka dengan pekerjaan atau peningkatan taraf hidup.

Dalam hal ini - kita perlu memberikan tunduk hormat kepada orang terdahulu. Walaupun belajar Inggeris di sekolah tidak semestinya seseorang itu bakal menukar agama, tetapi orang-orang tua kita terdahulu telah melihat ia sebagai langkah berhati-hati. Mereka sanggup terus menjadi miskin, tetapi dalam hal menjaga agama - mereka sanggup melakukan segala-galanya. Ini pengorbanan besar yang tidak ada tandingannya.

Kerana di negara kita - bahasa dan agama itu saling berkaitan - maka sebab itulah Melayu dikatakan Islam, dan Islam itu dikatakan Melayu. Ini bukanlah bermakna kita bersikap assobiyah atau perkauman. Kata orang, Islam itu bersifat global. Tetapi dalam konteks Melayu - ia ada keunikan yang tersendiri. Bahasa Melayu menjadi teras penyebaran agama, dan Islam itu menjadi tunggak roh kepercayaan bangsa.

Ulamak silam - merantau ke seluruh alam - kebanyakannya ke tanah Arab. Mereka mendapatkan ilmu terbaik dari ulamak tersohor. Bagi memastikan agama itu sampai - mereka kemudiannya menuliskan kitab dalam bahasa Melayu - dengan huruf jawi - yang kini dikenali juga sebagai kitab kuning. Banyak ulamak tersohor seperti Syeikh Abdul Samad Falembani, Syeikh Daud Fathani, Tok Kenali dan banyak lagi yang menuliskan kitab-kitab dalam bahasa Melayu.

Di zaman moden ini - ada orang yang beranggapan bahawa kitab kuning ini tidak 'standard' kerana tidak ditulis dengan bahasa Arab. Mereka terlupa sesuatu. Mereka terlupa tujuan ulamak kita ini menulis kitab dalam bahasa Melayu. Inilah satu sebab kita terus faham dan menguasai Islam sepanjang zaman dengan baik. Inilah juga antara senjata yang mempertahankan kita dari diserang oleh penjajahan Barat. Walaupun kita mungkin kehilangan tanah dan hasil bumi, tetapi kita tidak menjadi manusia kafir.

Bayangkan kalau kebanyakan kitab itu dituliskan dalam bahasa Arab - berapa ramai di kalangan kita mampu menguasai Islam dengan baik?

Sebaliknya - mubaligh dan penjajah Barat masih tetap menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium dakwah Kristian. Mesej mereka tidak sampai kepada orang Melayu. Mereka mendirikan sekolah Inggeris - tetapi tidak banyak orang Melayu mengikutinya. Inilah kegagalan penjajah dalam usaha agama. Ini juga kejayaan kita dalam menjaga agama.

Puncanya - bahasa.

Apabila sentimen kalimah Allah tiba-tiba muncul dalam perdebatan masyarakat moden kita, yang ada pihak ingin menggunakannya dalam bahasa Melayu - tidak kita terfikir sesuatu? Setelah sekian lama, tidakkah kita berfikir penggunaan kalimah Allah menggantikan "God' sebagai sesuatu yang patut kita renungkan juga. Adakah mereka telah belajar sesuatu dalam kegagalan falsafah God, Gold and Glory gelombang pertama dahulu.

Ingat, sekarang ini kita sedang juga ditujah dengan gelombang yang satu lagi - yang didatangkan dalam konteks moden, lebih halus dan lebih sukar difahami - yang kita namakannya sebagai globalisasi.

Jadi sesiapa pun anda - di pihak mana pun anda, berhati-hatilah. Dengan fatwa apa pun kita berpegang, kita sesekali harus kembali membuka buku sejarah. Kita harus menafsir sesuatu yang tersembunyi di sebalik tabir kejadian.

Itu terlebih baik untuk kita, terlebih baik untuk masa depan anak-anak kita.

Definisi nasionalisme untuk kami

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tahun baru 2010 - akan kelihatan lagi orang-orang baru datang ke Adelaide untuk menyambung pengajian mereka. Orang-orang lama pula akan kelihatan begitu sibuk untuk pulang. Datang dan pergi - itulah istilah kehidupan untuk kami di perantauan ini.

PhD ini banyak ceritanya. Ada yang muda dan remaja yang mungkin belasan tahun lebih muda dari aku. Ada yang sebaya dengan aku, dan ada yang lebih tua. Kami juga dihadapkan dengan cerita hidup yang berbeza. Yang berkeluarga - akan dihadapkan dengan kesibukan persekolahan anak-anak, rutin hidup yang berbeza atau ada juga yang mungkin ditimpa masalah kesesakan wang. Yang bujang mungkin lain ceritanya. Mereka juga ada masalahnya juga.

Begitulah PhD. Ia kombinasi umur dan pengalaman. Ia kombinasi kegelisahan dari jalan cerita yang berbeza. Bagaimana pun - pada akhirnya matlamat kami tetap sama. Kami perlu pulang dengan sekeping PhD. Kami perlu melakukan dengan jalan paling baik. Kalau akhirnya gagal, itu cerita lain. Tetapi, kami perlu berusaha sebaik mungkin.

Sebab utama mudah sahaja - kami membelanjakan wang rakyat. Kami dipilih oleh majikan masing-masing untuk menguasai bidang kami. Kami perlu pulang untuk memindahkan pula pengetahuan kami kepada orang lain.

Jadi - itulah jawapan terbaik mengapa kami tidak patut untuk memohon PR di sini. Bidang-bidang kritikal seperti perubatan dan kejuruteraan misalnya, memudahkan seseorang untuk memohon pekerjaan di sini. Bidang psikologi juga memungkinkan aku jadi orang kaya di sini. Gaji yang diterima pastinya jauh lebih besar dari apa yang kita dapatkan di Malaysia.

Bagaimana pun, pada akhirnya ada hal lain yang perlu difikirkan juga. Wang bukan segala-galanya. Fikirkan siapa yang menghantar kami ke sini - dan apa yang patut kami lakukan untuk melunaskan semua itu.

Jawapan yang paling mudah - kami dihantar dengan wang rakyat, dan kami perlu pulang untuk berkhidmat kepada rakyat.

Ini mungkin definisi nasionalisme untuk orang seperti kami. Terima kasih rakyat Malaysia.

Tuesday, 5 January 2010

Angkara Si Kitul

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Seperti yang dipetik dari blog Ziarah76, Ustaz Haron Din mungkin antara orang yang layak memperkatakan hal penggunaan kalimah Allah. Kenyataan beliau juga boleh dibaca di sini. YB Zulkifli Nordin dari PKR mungkin antara orang yang lantang dalam membincangkan ini. Walaupun PAS agak terbuka dalam hal ini, tetapi salah satu rencana yang disiarkan dalam media onlinenya mungkin menceritakan hal sebaliknya. Tun Mahathir, dalam reaksinya terhadap hal ini sedikit sebanyak mungkin boleh membuka ruang untuk kita berfikir.

Kerana semua orang sudah memberikan pandangannya dalam hal ini, apa kata kita bincang hal lain. Kita berbincang hal kita sendiri. Hal kita yang semakin lama semakin tidak ada apa-apa lagi. Hal kita yang semakin hilang banyak perkara.

Apakah puncanya semua ini?

Runtuhnya Kerajaan Melayu Melaka dengan Portugis tahun 1511 sering diulang-ulang sebagai manifestasi lemahnya Melayu dalam menangani isu dalaman dan politik. Kalahnya Kerajaan Melayu Melaka - bukan kerana ia kerajaan yang kecil, atau tanpa perlengkapan. Kalau ia kecil, mustahil ia digelar empayar kelautan yang menguasai dunia. Kalau ia kecil, tentulah ia tidak tercatat dalam mana-mana naskah sejarah silam.

Melaka - kerajaan besar. Sayang, jiwa politik kita kecil. Jiwa nasionalisme kita kerdil. Kita bercakaran sesama kita. Kita berselisih sesama sendiri dalam banyak isu yang tak akan ada titik pertemuannya.

Watak Si Kitul yang diungkapkan dalam Sejarah Melayu - ialah watak manusia yang pentingkan diri sendiri. Ia sanggup mengadu domba - tidak jujur - pembelit demi mencapai cita-citanya. Inilah watak Si Kitul yang dikisahkan dalam sejarah - yang sebab kejahatannya itu telah menjadi topik cerita pembunuhan empat beranak. Sebab kejahatannya juga kerajaan menjadi caca merba.

Aku tidak boleh bercerita panjang hal Si Kitul ini - anda perlu membelek buku sejarah.

Bagaimana pun - watak Si Kitul ini selalu ada. Ia ada sepanjang zaman. Watak sebenar Si Kitul dalam masyarakat silam ialah pengadu domba. Tetapi, ia juga ada di zaman moden. Ia mewakili watak manusia pentingkan diri - tamak - haloba - tidak jujur - dan paling buruk tidak pernah melihat kesan perlakuannya terhadap bangsa - menjadikan dunia hidup kita hari ini huru hara. Yang paling utama - ialah apakah yang boleh dia dapatkan.

Si Kitul tidak kisah apa yang berlaku dengan masyarakatnya. Sebab itu - kita lihat dalam percaturan politik kedua-dua belah pihak - ia ibarat medan perang. Si Kitul ini ada dalam kedua-dua posisi. Ia ada dalam parti A, ada juga dalam parti B. Ia tidak kisah. Malang lagi, orang yang berkesanggupan untuk menjadi Si Kitul ini banyak.

Sebab itu - dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan kita, ada hal-hal yang tidak boleh dipersetujui bersama. Kerana Si Kitul inilah yang akan melihat sangat jauh - apa yang dia boleh dapatkan. Dalam isu bahasa - ada Si Kitul. Dalam isu agama - ada Si Kitul. Dalam isu ketuanan Melayu - ada Si Kitul. Apatah lagi dalam urusan politik dan ekonomi - dua kuasa yang menjadi tunggak kekuatan sesiapa yang memilikinya, Si Kitul akan bersarang dan beranak pinak di situ.

Si Kitul inilah yang akan menyuarakan apa yang boleh dan apa yang tidak patut. Tatakala ada yang bersuara perlunya ekonomi Melayu diperkasakan - Si Kitul yang takut kehilangan peluang politiknya mensyarahkan hal persamaan hak. Tatkala kita bercakap hal bahasa - Si Kitul dari blok yang lain pula akan menentangnya. Tatkala ada orang bimbang dengan penggunaan kalimah Allah - ada Si Kitul yang mengeluarkan kenyataan akhbar menyatakan betapa tidak ada masalah. Tatkala kita bercakap soal murtad - ada Si Kitul yang cuba menyembunyikan berita. Tatkala kita bercakap hal rasuah - Si Kitul rasa perlu menjaga imej diri.

Semua ini adalah fenomena Si Kitul yang perlu menjaga periuk nasi masing-masing - baik periuk politik, wang, kuasa atau pengaruh. Kerana kehadiran Si Kitul - orang lain tidak pedulikan kita lagi. Mereka tidak berasa perlu hormat dan segan dengan kita. Sebab itu - sekarang ini banyak hal aneh boleh berlaku.

Jadi - akhirnya kita semakin lemah. Kita semakin tidak tahu apa yang patut kita lakukan. Tangan kita sedang di rantai oleh bisikan Si Kitul yang hanya bersuara untuk kepentingan dirinya.

Sepatutnya dalam hal yang memberikan kebaikan kita bersama - kita boleh berrsatu. Tidak mengapalah kalau kita perlu berlakon sekalipun - bergaduh di belakang, baik di depan.

Sebab itu - apabila ada orang berkata begitu, ada yang berkata begini - kita perlu berkata - Ini Si Kitul mana pula punya angkara?

Kalaupun kita tidak memiliki semuanya, moga-moga kita tidak hilang kesemuanya. Kita mungkin tidak mampu melawan Si Kitul - tetapi moga-moga kita tidak menjadi Si Kitul.

Update 5.30 pagi

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Update jam 5.30 pagi.

Baru aku perasan, aku belum tidur. Sekarang ini musim panas. Siang panjang, malam pendek.Masalah sikit dalam urusan pengendalian waktu tidur. Jam 8.40 malam baru maghrib, 4.20 pagi sudah subuh. 6.00 pagi - matahari mula terbit.

Nak lawan tidur dengan anak aku, rasa macam tak berapa sesuai lagi.

Dunia sibuk aku dah perlahan-lahan berlalu. Artikel aku sudah 60% siap. Cuma ada beberapa isu statistik lagi yang aku tak jumpa puncanya. Tetapi, sibuk lain pula akan muncul. Seminggu dua lagi, survey terakhir akan dibuat. Ia akan menyibukkan aku dengan urusan duit pula.

Melihat Bentara sudah mula bersiap-siap nak balik kampung, aku jadi cuak juga.

Aku harap, bulan 10 nanti - aku boleh balik juga. Itu angan-angan semua orang yang buat PhD. Tetapi, biasanya tak menjadi. Ia biasanya cuma angan-angan Mat Jenin.

Sunday, 3 January 2010

Bila harga gula naik

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ia berita tidak manis bagi kebanyakan orang.

Mungkin penjual teh tarik boleh tersenyum manis. Manis juga senyuman untuk pembuat kuih, malah penjual roti canai. Para pengilang susu pun mungkin boleh juga menunjukkan muka manis - mencari pelekat harga baru.

Pengilang kopi juga tumpang gembira semanis gula. Kerana dalam kopi ada gula.

Tidak pasti sama ada orang yang sakit kencing manis - juga berasa gembira dengan berita ini. Pastinya yang akan tergelak paling manis - ialah tauke kilang gula dan ladang tebu.

Ia akan lebih manis dari air tebu yang dijual di Cuping dan Padang Sanai.

Kalau orang tanya aku - aku setuju atau tidak dengan kenaikan harga gula.

Aku akan menjawabnya secara jujur, tanpa ragu-ragu. Kalau aku masih lagi jadi pemancuh teh tarik seperti dulu, aku akan sangat bersetuju. Aku boleh guna itu sebagai alasan untuk menaikkan harga teh tarik dari secawan 80 sen kepada RM 1.20, walaupun aku tak akan menambah jumlah sudu gula.

Aku juga boleh berkata - harga susu juga naik. Para pengilang tidak ada pilihan. Mereka akan kehilangan untung jutaan ringgit. Mereka tidak boleh menampung rugi - kerana motif syarikat ialah untung, bukan menampung rugi. Tidak percaya? Bukalah mana-mana buku teks sekalipun.

Aku juga akan tumpang menaikkan harga kuih muih di warung - kerana aku akan beritahu pembuat kuih juga terpaksa menaikkan harga kuih. Kalau tidak, mereka terpaksa mengurangkan belanja sekolah anak-anak mereka. Ini mustahil. Ini akan menyebabkan anak-anak kelaparan di sekolah.

Aku juga boleh bercerita tentang risiko kalau memakai terlalu banyak gula. Darah tinggi, kencing manis semuanya ada. Mengurangkan gula, mengurangkan bilangan pengidap kencing manis. Berkurangnya pengidap kencing manis, bermakna pelanggan kedai aku akan terus stabil.

Aku juga tanpa segan silu membandingkan harga gula yang dijual di Thailand. Kalau orang masih tidak percaya harga gula di Thailand tinggi, aku boleh mengambil contoh dari Australia. Biar semua orang tahu - benda yang manis perlu mahal harganya. Ini bukan jambu batu yang boleh dipetik percuma. Ini gula terbaik negara.

Jadi - aku akan bersetuju dengan kenaikan harga gula. Apalah sangat dengan nilai 20 sen itu.

Cuma kalau orang bertanya mengapa tidak boleh dipecahkan monopoli gula - itu aku tak boleh jawab. Aku hanya pembancuh teh tarik di warung bapa mertua aku di Sungai Kerang, Pantai Remis.

Aku tak tahu hal korporat dan dunia orang kaya.

Saturday, 2 January 2010

Aku tidak berebut nama Tuhan

5 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Anda tentu telah mengetahui sedikit sebanyak mengenai keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan permohonan Gereja Khatolik menggunakan nama Allah dalam terbitan akhbar Herald-The Catolic Weekly. Aku tidak mahu membincangkan hal keputusan itu. Itu hal perundangan. Itu hal mereka yang berkaitan.

Aku cuma ingin mengulas apabila ada laman blog tertentu yang memberikan ulasan betapa tidak apa-apa yang harus direbutkan nama Allah. Bagi mereka apa ada pada nama. Bagi mereka nama tidak penting. Yang penting ialah kebaikan. Yang utama ialah kebajikan. Itulah yang lebih penting.

Mereka juga mengulas betapa terdapat banyak lagi nama Tuhan lain - antaranya Yahwe, Zues, Krisna dan sebagainya. Maka berbondong-bondonglah orang Melayu kita bersetuju dengannya. Mencelah-celahlah mereka memberikan komen menyetujuinya. Bergembiralah mereka dengan pandangan bahawa jangan direbutkan nama Allah. Yang penting ialah kebaikan.

Malang lagi - kata mereka yang memberikan komen - dengan menggunakan nama Allah, maka semakin mudahlah usaha dakwah. Terdapat pula mereka yang ada jawatan dalam politik memberikan hujah mereka.

Untuk anda, sesiapa pun mereka yang memberikan pandangan, jangan bermain-main dengan hal ini. Jangan ada sesiapa yang cuba menyatakan tidak ada bezanya nama Allah yang kita gunakan dengan apa yang diungkapkan agama lain.

Jangan katakan bahawa kita tidak patut berebut nama Allah. Jangan menjadi bertambah jahil dengan menyatakan bahawa semua Tuhan itu sama sahaja. Ingat, yang lain itu bukan Tuhan. Yang lain itu hanya nama sahaja. Itulah makna tauhid untuk kita yang beragama Islam.

Sebab itu, lebih baik diam tidak berkata, daripada anda berkata sesuatu kalau ia menggelincirkan anda. Itu terlebih baik. Jangan sesekali anda tumpang semangkuk memberikan komen anda di laman blog berkenaan melainkan anda arif dengannya.

Ini bukan soal berebut nama Tuhan. Ini hal akidah. Kepercayaan kita kepada Allah bersangkutan dengan hal rukun iman. Hal tauhid. Jangan berkata bahawa dengan itu akan memudahkan usaha dakwah. Dengan pengasingan pemahaman berkaitan nama Allah sekarang ini pun, banyak anak-anak kita yang telah jadi murtad - sama ada secara sedar, atau tidak. Inikan pula tanpa pemisahan itu.

Nanti - akan datanglah para mubaligh itu mengajak anak-anak kita, "Tuhan kita sama, yakni Allah". Waktu itu - mereka yang terkeliru - akan lebih mudah dipesongkan, lebih mudah diperdayakan.

Lebih banyak buruknya apabila nama Allah digunakan pula oleh agama lain. Melainkan kalau semua daripada kita, semua anak-anak kita - alim dan arif dalam hal agama. Hal tauhid. Hal akidah. Kalau tidak, lebih baik jangan.

Aku tidak boleh mengulas panjang hal ini. Ini bukan bidang aku. Tapi aku akan selalu marah kalau orang berkata bahawa nama Allah tidak penting untuk diperjuangkan. Aku akan menjadi bimbang kalau ada orang berkata - nama Tuhan itu boleh berbagai-bagai. Aku jadi sangat kecewa kalau ada yang berkata ada apa pada nama.

Kerana bagi aku - bagi kita - Tuhan seluruh alam ini hanya Allah. Tidak ada lain yang sama dan menyerupainya. Tidak ada lain yang patut kita sembah dan beriman dengannya.

Aku selalu percaya - sebagai manusia yang hidup di sebuah negara yang Islam adalah agama rasminya, kita sepatutnya diberikan sedikit kelebihan untuk mempertahankan apa yang menjadi hak untuk kita.

Mimpi aku setiap tahun

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tahun baru - azam baru - semangat baru.

Semua orang sibuk membeli diari dan mencari kalendar baru.

Aku tidak pernah cuba memiliki diari dalam hidup.

Seingat aku, cuma sekali aku ada diari. Itu pun diari Telekom yang diberi oleh seorang kawan. Itu pada tahun 2000. Tapi aku cuma sempat menulis beberapa kali. Bila aku ditimpa sakit mental bulan Februari tahun itu - aku tidak mahu menulisnya lagi. Aku tidak mahu mengingatnya lagi. Aku tidak mahu mengingat apa yang telah berlaku dalam hidup aku pada waktu itu.

Begitulah beratnya sakit itu. Ia subjektif. Ia mungkin biasa bagi sesetengah orang. Tetapi bagi aku, itu kejadian paling teruk dalam hidup. Setahun selepas itu pun masih belum pulih sepenuhnya.

Tidak mengapalah. Itu sebahagian daripada sejarah hidup aku. Walaupun aku tidak mencatatnya dalam diari, tetapi dalam ingatan aku ia tetap ada. Ia tercatat di mana-mana. Cuma ia tidak lagi menyerang aku.

Apa azam baru aku tahun ini?

Aku ada satu azam dunia. Aku mahu cepat habis belajar. Aku mahu menulis 2 atau 3 lagi kertas jurnal. Sekarang ini, aku sedang menulis. Aku harap sebelum habis bulan ini, ia sudah siap. Harapnya begitulah. Tetapi biasanya, tidak menjadi!

Banyak sebab aku perlu habiskan pengajian secepatnya. Salah satunya, ia menjadi satu kriteria baru majikan aku. Keduanya, aku sendiri pun tidak lagi suka dengan kehidupan di sini. Aku mahu menghabiskan banyak hidup aku di Malaysia. Di sini tiada teh tarik, tiada masyarakat. Memang ada banyak rakan-rakan di sini, tetapi cara kami menghidupinya lain. Jalan ceritanya berbeza.

Kalau aku tamat PhD dengan cepat pun, aku ada masalah juga. Aku perlu berkerja di Kuala Lumpur. Aku sebenarnya sudah bosan dengan kehidupan yang sibuk. Aku sudah tidak berahi melihat bangunan, kereta dan sibuknya manusia kota. Aku sudah alami sibuk hidup kota Jakarta. Aku juga sudah puas dengan habuk Kuala Lumpur. Adelaide bandar yang bagus. Tetapi, budaya hidup mereka pula berbeza.

Baik Jakarta, baik Kuala Lumpur atau Adelaide, ia bukan alam untuk aku.

Aku kalau boleh hanya ingin duduk di kampung sahaja. Duduk bersembang-sembang dengan orang kampung di kedai kopi. Petangnya masuk hutan memancing atau mencari rebung. Kalau rasa bosan, sesekali boleh pergi menjerat burung mandi. Malamnya, kalau rajin pergi mengaji kitab dan sebagainya.

Jadi kehidupan lebih tenang. Tidak ada banyak tipudaya dan caca merba.

Itulah sebenarnya azam aku setiap tahun. Itulah azam aku yang sering diulang-ulang. Aku selalu bercita-cita ingin balik dan tinggal di kampung. Aku akan buat satu rumah di tanah pusaka mak aku di tepi sungai. Di depannya ada bendang.

Tetapi nampaknya sampai sekarang cita-cita aku tidak tercapai. Azam aku selalu gagal. Itulah mimpi aku yang tak pernah tercapai.

Friday, 1 January 2010

Nasihat 2010

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Langit baru 2010 sudah memayungi hidup kita. Kita mungkin sedang merasa sinar bahagianya. Kita juga mungkin sedang merasa bahang deritanya. Kita mungkin tidak tahu apa-apa.

Lihatlah sekeliling kita. Lihat dengan mata hati yang waras. Lihat ekonomi kita. Lihat anak-anak kita. Lihat siapa yang menjual, siapa yang membeli di KLCC. Lihat pendidikan kita. Lihat deretan kedai. Lihat signboard dan signage bangunan. Lihat iklan di suratkhabar. Lihat trend pengangguran. Lihat siapa yang sedang menyanyi di kaca tv. Lihat siapa pula menguasai syarikat rakaman. Lihat kesemuanya. Lihat dan lihat.

Kita masih jauh ketinggalan. Mungkin tidak ada dalam landasan pun. Kita masih merangkak mencari harapan baru. Kita masih terlolong meminta dibantu.

Kita masih bergelut dengan penagihan dadah. Kita masih bergelut dengan rempit, bohsia dan lepak. Anak-anak kita yang baru besar hanya mahu jadi penyanyi dan pelakon, sedang anak orang lain ingin jadi usahawan.

Lihat juga - kitalah yang menguasai laut, sungai dan padang. Kita ada padi, ikan dan ketam. Tapi bukan kita yang menjualnya. Kita hanya penangkap ikan. Kita hanya pembuat bendang. Bot, enjin, pukat dan segala macam kita perlu dapatkan dari orang lain. Mesin padi, mesin bajak, baja, racun dan segala macam kita beli dari orang lain.

Lihat dan lihat. Kita memang bijak bermain politik. Kita banyak menguasai kerusi. Tapi kita tidak tahu bagaimana caranya bermain politik dengan berpecah tetapi bersatu. Sebaliknya kita bersatu untuk berpecah.

Tahun 2010 - moga-moga kita bertambah bijak. Moga-moga kita tidak sekadar orang menumpang di tanahair ini.

Thursday, 31 December 2009

Selamat tahun baru anak muda!

4 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tidak sampai 24 jam, tahun baru 2010 akan datang lagi. Tidak ada apa-apa yang istimewa menyambut tahun baru. Ia hanya menyambut kedatangan umur baru. Menyambut ajal yang kian mendekat.

Di setiap bandar besar di seluruh dunia, anak muda akan berpesta bunga api. Menyambut datangnya tahun baru. Kuala Lumpur mungkin antara tempat yang paling riuh pestanya, pasti lebih meriah dari Adelaide. Pesta dan temasya ini seolah-olahnya meraikan kejayaan besar. Seolah-olahnya kita ini bangsa yang paling berjaya dalam dunia.

Tidak mengapalah. Dunia pesta tahun baru adalah dunia anak muda. Sampai waktunya, mereka akan berhenti. Sampai detiknya, mereka juga seperti aku. Termanggu diam di dalam bilik takutkan pertambahan usia.

Di masa muda - awal tahun 1990-an, aku mula menjejak kaki ke Kuala Lumpur. Ketika itu aku menunggu keputusan STPM. Aku berkerja kilang di Selayang Baru.

Masih ingat lagi - waktu itu Dataran Merdeka adalah tempat paling 'hot' untuk malam tahun baru. Aku bersama dengan Bento ke sana. Tetapi kami cuma duduk saja di atas tembok di belakang Bangunan Sultan Abdul Samad memerhatikan gelagat manusia.

Anak-anak muda berbaju hitam memenuhi ruang padang dan lorong sekitar Dataran Merdeka dan Jalan Tunku Abdul Rahman. Kami menantikan konsert artis tempatan. Menantikan tembakan bunga api. Walaupun tidak ada apa-apa sangat pun, tetapi kami tetap gembira. Entah apa yang digembirakan. Mungkin sebab itulah, usia anak muda adalah usia yang indah.

Walaupun ramai manusia muda waktu itu memakai baju yang berlogokan 'peace', aku tidak pasti mereka faham atau tidak maknanya. Aku juga tidak faham maknanya.

Habis konsert, habis hiburan aku berjalan-jalan sekitar Chow Kit Road - memerhatikan kumpulan pondan dan penjual ubat. Bila sudah lewat, naik bas mini nombor 10 balik rumah.

Bagi aku - waktu itu kami sudah meraikan kejayaan baru. Kejayaan menjadi anak muda.

Setahun kemudiannya, tahun 1993 - bila aku masuk universiti - sekali lagi aku ke Dataran Merdeka menantikan sambutan tahun baru. Kali ini dengan seorang kawan, pelajar ekonomi dari Terengganu. Seperti biasa kami merayau ke merata tempat sejak petang lagi. Aku rasa, waktu itu Pertama Complex, Campbell dan The Mall yang paling masyur. Sogo mungkin belum ada lagi. Maidin pasti tidak wujud lagi.

Kami juga merayau ke rumah urut dari satu bilik ke satu bilik. Bukan mencari wanita urut bagi tujuan biasa kaum lelaki kebanyakannya. Kami hanya ingin melihat apa itu wanita urut sahaja. Seperti orang berjalan-jalan dalam supermarket tanpa motif. Hanya sekadar ingin berjalan-jalan.

Sampai ke satu tempat, seorang bapa ayam - lelaki Cina buncit - bertanya kami. "Hey lu apa bikin sini? Kawan aku cakap "saja, jalan-jalan". "Lu keluar. Lu ingat ini supermarket ke!" Kami pun blah dari situ. Sampai sekarang aku tak faham apa motif sebenar aku dengan kawan aku keluar masuk ke rumah urut itu.

Tetapi itulah anak muda. Kita melakukan apa sahaja yang kita suka. Betul atau tidak, itu hal lain.

Malamnya - kami ke Dataran Merdeka pula. Acara biasa. Acara sambutan tahun baru.

Menjelang lewat malam - bila semua orang sudah balik, kami pun mula merayau pula mencari tempat untuk tidur. Sebenarnya kami sudah menyiapkan diri dengan sabun dan berus gigi, dan segala macam pakaian. Kami sudah merancang untuk tidur di Kuala Lumpur malam tahun baru itu, cuma tempatnya sahaja kami tidak pasti lagi. Kami tahu tidak ada bas lagi untuk balik ke Kajang tengah malam sebegini.

Setelah puas merayau, akhirnya kami terserempak dengan satu pondok pengawal yang masih dalam pembinaan di belakang panggung wayang Coliseum, berdepan dengan Kompleks Pertama dan Campbell. Waktu itu jam mungkin sudah 2 atau 3 pagi. Kami ambil beberapa kotak dan melapikkan badan kami. Pintu bilik itu kami tutup. Lalu tidurlah di situ - bermimpikan malam tahun baru di tengah kota.

Subuhnya kami ke Masjid Jamek untuk mandi dan bersembahyang. Selesai semuanya, kami ambil bas dan balik ke Kajang.

Ya - itulah pesta tahun baru untuk anak muda seperti kami. Ia keindahan hidup yang tak mungkin akan dapat diulang lagi. Ia keasyikan hidup yang tidak boleh diterjemahkan.

Sekarang bila sudah berumur, baru aku tahu betapa patut umur kita perlu meningkat. Agar kita tahu berfikir apa yang patut, apa yang tidak. Agar kita kita lebih senonoh dalam hidup. Agar kita tahu yang indah itu mungkin tidak indah. Seperti buah nangka, elok di luar, busuk di dalam.

Untuk segala anak muda - lakukan sesuatu dengan jalan yang waras. Jangan rosakkan tahun baru anda!

Selamat tahun baru 2010 untuk semua yang masih muda, pernah muda dan tidak akan kembali muda!

Wednesday, 30 December 2009

Cerita maman tidak menjadi

7 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Mendapat ilham dari cerita Ziarah76.

Ini cerita rekaan mengenai pekerjaan Allah dan pekerjaan manusia. Seorang kawan aku menceritakan hal ini.

*************************
Nota
Pokok maman ini dalam bahasa Kedah. Aku tidak tahu bahasa betulnya dalam bahasa Malaysia, sebab aku bercakap dalam bahasa Siam. Pokok ini yang perlu diperam dahulu sebelum boleh dimakan. Berupa seperti pokok bayam.

Update
Kawan aku kata pokok maman. Ya, aku rasa itu yang tepat. Jadi aku ubah jadi pokok maman.

*************************

Satu hari, seorang petani yang susah sedang dilanda kesempitan wang. Tidak ada lagi wang dalam poketnya, tidak juga di akaun bank. Dia sangat susah hati. Tiba-tiba, ia mendapat surat dari anaknya memintakan wang poket untuk perbelanjaannya di universiti. Hatinya bertambah kacau. Ia tidak tahu apa yang boleh dilakukannya untuk mendapatkan wang.

Hartanya yang ada hanyalah beberapa genggam daun maman. Itu pun hanya beberapa hari diperam. Ia belum masam lagi. Kalau dijual pun belum tentu laku. Siapa yang mahu makan pohon maman yang belum masam.

Dalam kerunsingannya, dia tertidur. Lalu bermimpilah dia didatangi seorang tua yang memintanya pergi membawakan daun maman yang masih belum menjadi itu (belum masam) untuk dijual.

Lelaki tadi terjaga. Ia jadi pelik. Siapa yang mahu membeli daun maman yang tidak menjadi. Ia tidak dimakan orang.

Tetapi kerana tiada pilihan, pergilah lelaki tadi ke pasar malam untuk dijualnya daun maman tadi. Seorang pelanggan datang bertanya, "Apa itu pakcik?". Dia menjawab, "Daun maman, tapi tak menjadi lagi". Pelanggan tadi pun berlalu. Seorang demi seorang datang, tetapi tidak ada siapa pun yang mahu membeli daun maman tadi. Mana ada orang mahu makan daun maman yang belum matang diperam.

Jam 10 malam, pasar malam hampir ditutup. Semua peniaga sedang berkemas untuk pulang. Tidak ada lagi orang lalu lalang. Lelaki tua tadi terus berdiri di hadapan daun maman peramannya yang belum masam itu. Ia hanya mampu berdoa. Siapa yang mahu membelinya.

Tiba-tiba, ada seorang wanita kaya tergesa-gesa berlari datang kepadanya. "Apa itu pakcik?". "Daun maman", jawab lelaki tadi dengan perlahan. "Dah menjadi ke belum". "Maaflah nak, ia belum menjadi lagi".

"Hah, ini yang saya cari. Sudah merata tempat saya mencari maman tidak menjadi. Sebab saya mahu hantarkan kepada suami saya di Dubai. Saya akan berangkat besok malam. Kalau saya beli yang sudah menjadi, nanti bila sampai di sana tentu sudah rosak. Jadi, saya perlu cari yang belum menjadi. Agar bila sampai di Dubai nanti, ia baru sahaja masak. Inilah yang saya mahu"

Lalu maman tidak menjadi pun dijual. Dapatlah petani tadi hasilnya.

Moral cerita - manusia hanya melakukan usahanya. Jangan mengatur pekerjaan Tuhan. Soal rezeki, ia bukan pekerjaan manusia. Kita hanya melakukan apa yang patut dilakukan.

Tuesday, 29 December 2009

Tahun berubah, adakah manusia berubah?

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tahun 2010 bakal mendatang. Umur anda akan bertambah. Umur kita semua akan berubah. Adakah kita akan berubah? Ini bukan persoalan sama ada anda akan berubah menjadi kaya, atau bertambah miskin. Juga bukan pertanyaan sama ada anda akan bertambah alim, atau bertambah jahil.

Kali ini kita berbincang hal psikologi personaliti. Kita mulakan soalan sama ada personaliti manusia akan berubah dengan perubahan umur?

Banyak pandangan mengenai hal ini. Ada yang berkata bahawa personaliti manusia kekal tidak berubah. Ada yang berkata bahawa dengan perubahan umur, personaliti manusia akan mengalami perubahan.

Salah satu pandangan yang masyur dalam personaliti manusia ialah Big Five Personality. Anda boleh menggogle kalau anda berminat dengannya. Dikatakan bahawa manusia itu dilahirkan dengan beberapa type personaliti. Kita akan dominan dengan salah satu daripadanya:

i) Neuroticism (N)- Orang yang tinggi dengan personaliti jenis ini biasanya mempunyai emosi yang tidak stabil, bimbang, rasa tidak selamat, celaru dan seumpamanya. Orang yang rendah personaliti ini pula lebih tenang, rasa selamat dan relaks.

ii) Extraversion (E) - Orang yang suka bersosial, suka bercakap, mementingkan manusia, optimis dan sebagainya. Sebaliknya, mereka yang rendah type ini lebih menyendiri, pendiam dan mementingkan tugas.

iii) Openess (O) - suka meneroka, kreatif, berimaginasi, minat yang pelbagai dan tidak tertutup. Sifat terbalik untuk personaliti ini ialah tertutup, konvensional, kurang analitikal, tidak mempunyai pandangan luas dan sebagainya.

iv) Agreeableness (A)- Orang jenis ini lebih berhati lembut, suka memaafkan, menolong, lebih dipercayai dan berterus terang. Ia berbeza dengan sifat yang terbalik dengannya, lebih sinikal, ragu-ragu (suspicious), tidak dapat memberikan kerjasama, suka memanipulasi dan sebagainya.

v) Conscientiousness (C) - manusia yang berorganisasi, kuat berkerja, disiplin diri yang kuatbercita-cita tinggi dan sebagainya. Sifat yang bertentangan dengannya ialah tiada matlamat hidup, malas, lalai, suka berfoya-foya dan sebagainya.

Apa sifat anda? Anda sendiri yang tahu mengenai diri anda. Anda mungkin memiliki beberapa personaliti ini. Bagaimana pun, ia akan bergantung kepada sama ada anda tinggi atau rendah bagi personaliti tertentu. Itu sahaja.

Walaupun sering dikatakan "the child is father of the man" - atau dalam erti kata lain, manusia dilahirkan dengan personaliti tertentu - yang dibawakan langsung oleh biologi, tetapi kelihatannya personaliti manusia berubah juga.

Mungkin ada trait tertentu yang dibawa sepanjang hayat, tetapi kajian menunjukkan bahawa personaliti manusia hanya kekal dalam jeda masa yang pendek, tetapi dalam tempoh yang panjang ia boleh mengalami perubahan.

Personaliti juga kelihatannya lebih stabil apabila kita semakin meningkat usia, berbanding ketika kita remaja. Kajian-kajian misalnya mendapati manusia berusia muda lebih cepat pemarah berbanding dengan orang yang berumur, yang lebih cool dan relaks. Remaja belasan tahun dan awal 20-an misalnya dikatakan lebih beremosi, memberontak dan sebagainya. Tetapi, dengan peningkatan umur, personaliti manusia kelihatannya beransur berubah.

Satu kajian ke atas kumpulan wanita telah dilakukan pada tahun 1960 di California, dan ia diulang lagi ke atas kumpulan yang sama pada tahun 2000. Didapati bahawa kumpulan ini mengalami perubahan pada personaliti A dan C. Ini membuktikan bahawa sifat manusia berubah dengan pertambahan umur.

Adakah anda sudah berubah? Adakah rakan-rakan anda juga sudah berubah?

Sebab itu, kadang-kadang apabila berjumpa dengan teman-teman lama, kita cuba menegur mereka dengan membuat lawak bodoh seperti zaman kita masih bersekolah. Malang sekali, mereka memandang kita dengan cara yang aneh sekali, menjadikan kita kelihatan sangat bodoh. Kita sangka mereka masih orang yang sama. Nampaknya tidak.

Ada pula yang sejak kita kenal mereka dari sekolah rendah, sampai kita dewasa dan beranak-pinak, cara mereka melayan kita masih seperti dulu. Masih menunjukkan sikap brutal dan tanpa skema. Kita anggap ini manusia hebat apabila masih boleh menyepak punggung mereka sekali dua walaupun mereka sudah menaiki BMW dan berbini cantik. Ini sahabat sepanjang zaman yang mungkin tidak banyak yang kita miliki lagi.

Ada pula sahabat kita yang tidak mengalami perubahan. Masih cool dan blues. Tetapi kita pula yang berubah menjadi sombong, berasa besar diri dan hebat sangat. Walaupun gaji bulanan yang kita perolehi hanya RM 1400 - tidak cukup pun untuk membeli seekor kerbau jantan.

Jadi jangan marahkan sahabat anda, atau diri anda - tetapi itu mungkin sebab perubahan personaliti. Kita harus bersangka baik.

Jadi kita tunggu tahun 2010. Adakah kita akan berubah. Adakah orang sekeliling kita juga berubah.

Aku? Aku tetap semacam ini.

Monday, 28 December 2009

Tangguhkan azam tahun baru anda

7 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Adelaide di hujung tahun tidak ada apa-apa yang mempesonakan. Semua kedai masih ditutup. Jalanraya masih lengang. Beberapa orang aborigin berjalan-jalan sambil memegang botol wiski. Universiti dibuka - hanya makmal komputernya sahaja. Pejabat aku tiada manusia. Hanya aku seorang sahaja pagi ini. Mungkin untuk beberapa hari lagi. Lengang. Seperti sedang ditimpa garuda.

Hujung tahun seperti ini - setiap bandar di Malaysia tentu sedang sangat sibuk. Dari pekan Kaki Bukit di Perlis hinggalah ke Kuala Sedili di Johor, semua orang sedang gelisah membeli pakaian baru sekolah anak-anak. Tahun baru semua mesti baru. Kalau boleh ada kereta baru dan rumah baru. Ada langsir baru dan perabut baru. Isteri sahaja tidak boleh bertukar baru - kerana ia akan menjadikan tahun baru haru biru.

Di sini, sekolah mula dibuka hujung bulan Januari. Jadi, tidak ada apa-apa peristiwa yang menjadikan bandar Adelaide sibuk. Rata-rata orang kulit putih ini pula bercuti panjang. Mereka mungkin pergi melancong ke dunia lain. Dahulu aku jadi hairan, banyak sangatkah duit orang putih ini hingga boleh berjalan keliling dunia. Cukupkah diberi makan keluarga kalau asyik berjalan sahaja.

Sebenarnya pergi melancong adalah budaya mereka. Mereka sanggup menyimpan wang untuk melancong. Seorang guru bahasa Inggeris aku - dia ada kereta buruk. Dia pernah berkata, dia boleh membeli kereta baru kalau mahu. Tetapi, baginya lebih baik ia terus memakai kereta buruk itu - dan wang yang ada digunakan untuk pergi melancong.

Semalam aku pergi dinner di rumah guru lukisan aku. Wanita yang umurnya mungkin sebaya dengan emak aku. Rumahnya besar. Ada kolam renang. Ada laman yang luas. Suaminya seorang jurutera. Tetapi keretanya buruk sahaja. Baik sedikit dari kereta Barina aku.

Ia terbalik dengan budaya kita. Kita tidak pergi melancong. Kita perlu ada kereta besar dan cantik, kalau tidak ditertawakan orang. Kita perlu ada rumah yang boleh menampakkan status kita - biarpun status sebenar kita sudah lebih teruk dari orang papa kedana. Dapat gaji bayar hutang.

Orang putih juga mampu berjalan keliling dunia kerana gaji mereka besar. Mereka juga tidak ada keluarga yang besar. Hanya seorang dua anak sahaja. Kebanyakan pembiayaan pendidikan dan kesihatan pula percuma. Setidak-tidaknya ada insuran yang menanggung hidup mereka. Kalau ditakdirkan mereka jatuh sakit, ada jabatan yang akan membayar kos hidup mereka. Kalau dibuang kerja, ada CentreLink yang akan menanggung perbelanjaan bulanan mereka. Jadi, hidup mereka tidak banyak risiko. Kerajaan akan menjadi talian hayat mereka.

Kita tidak boleh begitu. Kita tidak ada siapa yang menjaga kalau apa-apa yang terjadi. Setakat bantuan sekampit beras ia akan habis dalam masa seminggu sahaja. Jadi kita tidak boleh senang lenang pergi melancong berbulan-bulan. Gaji kita pun bukan besar sangat. Dengan gaji sebulan kerja, kita tidak mungkin boleh membeli kereta, apatah lagi membeli harta. Di sini, gaji sebulan sudah boleh beli kereta terpakai yang baru.

Sebab itu - kalau ada yang berangan-angan hendak bercuti panjang di hujung tahun ini, tangguhkan dulu. Ingat - hidup anda masih panjang. Ingat, anak-anak anda masih belum besar panjang. Kalau terasa ingin berjalan juga, tunggu selepas anda tua dan mendapat wang pencen. Itu pun kalau umur masih panjang.

Sunday, 27 December 2009

Tahun 2010 - impian kita semua

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tahun 2009 - meninggalkan kita banyak kenangan. Kehilangan Michael Jackson walaupun menjadi berita besar dunia, ia mungkin tidak ada apa-apa untuk kita.

Kita mungkin lebih mengingat betapa pelik dan kusutnya politik di Perak.

Aku, sebagai orang biasa pernah mengulas hal politik Perak di sini, dan juga satu lagi di sini. Apa pun cerita sebenar di sebalik krisis politik Perak, ia sebenarnya menceritakan budaya tidak menyanjung prinsip demokrasi. Wakil rakyat sanggup mengabaikan pengikut dan pengundinya demi permainan politik. Ia bukan budaya mana-mana parti - ia budaya individu dalam politik. Politik - seni yang membimbangkan. Ia kecelaruan sikap dan budaya hidup.

Dalam senario politik negara pun, banyak hal mencalarkan imej kita. Kita sering menonton gambar Hindustan. Dahulu kita sering berkata betapa teruknya budaya masyarakat India. Nampaknya apa yang berlaku dalam politik dan cara kita mentadbir pun - kadangkala menjadikan kita berasa lucu juga. Banyak hal terselindung dan pelik yang penuh tandatanya, sepatutnya tidak berlaku di negara kita.

Terkini - yang sedang hangat diperbualkan ialah kehilangan enjin kapalterbang. Membuka tandatanya sejauh mana keselamatan negara. Kehilangan enjin pesawat bukan lagi cerita jenayah mencuri, sebagaimana orang mencuri kabel telefon atau mencuri sekerap.

Ia menduga akal kita adakah ini berkait dengan simptom rasuah? Bagaimana barang yang dianggap sebagai hak negara, mempunyai status keselamatan yang tinggi dan harganya yang sangat mahal, boleh dibawa keluar dari kem, dan kemudiannya terus dibawa keluar ke negara lain. Tidak ada siapakah yang memantaunya. Tidakkah perlu kebenaran dan sebagainya. Jadi, apa tandanya ini semua? Siapakah yang melakukannya?

Sekali lagi - ia bukan isu siapa yang terlibat. Ia berkait dengan sistem dan cara kita. Ia berkait dengan nilai teras dan integriti kita sebagai manusia.

Rasuah - sepatutnya tidak lagi wujud dalam kamus hidup kita. Tetapi, rasuah kini ada di mana-mana. Ia menjadi 'pekerjaan' dan punca pendapatan baru setiap orang. Orang yang ingin mendapatkan projek, perlu berbincang dahulu hal komisyen. Orang yang ditahan pihak berkuasa, berbincang-bincang tentang bagaimana 'boleh berkira'?

Setiap kali pilihanraya, kita dirasuah dengan beras, kain pelikat dan jalanraya. Sepatutnya ia diberi setiap masa kepada setiap orang yang layak. Ia bukan hal pilihanraya. Ia hal membantu orang susah dan masyarakat memerlukan. Ia bukan kaedah terbaik mendapatkan undi.

Setiap kali pemilihan parti, akan kedengaran istilah baru - politik wang. Mengapa disebut politik wang, dan bukan rasuah?

Kerana itu, rasuah kini tidak boleh diselindungkan lagi. Ia dilakukan atau cenderung dilakukan hampir semua orang. Kini, bukan hanya barang yang diseludup masuk dan keluar, tetapi orang kini mula memperdagangkan orang. Busuk dan hanyirnya akhlak kita.

Begitulah kroniknya cerita masyarakat kita. Rasuah telah menjadi sistem baru. Ia bersangkut paut dengan keazaman politik. Ia bersangkut paut dengan sistem nilai bangsa. Ada orang berkata, kerana ada orang tidak takut dengan api neraka, maka mereka berani melakukannya. Ia mungkin betul. Tetapi banyak orang kita, yang diajar dengan hal dosa pahala sejak kecil lagi. Kita tahu semuanya.

Orang Barat, yang tidak percayakan Tuhan pula sebaliknya tidak berani melakukan rasuah. Mereka berpegang kepada prinsip integriti dan jujur. Mereka tidak perlukan ada kempen atau menampal poster untuknya. Pengucap politik tidak menuturkan hal ini.

Tahun 2010 - moga membuka lembaran baru negara kita. Tanpa rasuah, kita semua akan bahagia. Dengan nilai baik, sikap terpuji dan cintakan bangsa, kita tidak sanggup untuk mencemarkan imej negara dengan apa cara sekalipun.

Friday, 25 December 2009

2009 - yang indah, yang buruk

7 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Lima hari lagi - tahun 2009 akan ditutup. Apa yang indah sepanjang tahun ini? Aku pun tidak berapa pasti apa yang dikategorikan sebagai indah. Mungkin pengalaman aku mengendalikan bengkel di sekolah lama dan di sini, berinteraksi dengan anak-anak kampung sesuatu pengalaman yang baik.

Tahun 2009 ini juga aku berpeluang bersama beberapa anak muda di Adelaide mengendalikan bengkel lain. Satu tulisan aku juga diterima untuk satu jurnal. Aku juga menyelesaikan kajian aku yang yang ke empat dengan bantuan beberapa orang teman. Aku juga sempat pulang ke kampung untuk melihat keluarga aku. Sempat kembali bernolstalgia di sungai, bendang dan hutan. Ia berita indah.

Semua ini berita baik tahun 2009.

Apa yang tidak baik?

Cerita kepulangan abang aku ke Rahmatullah tidak boleh dikategorikan sebagai berita tidak baik, sebab ia sudah menjadi ketentuan Allah.

Ia cuma berita sedih. Ia berita paling sedih tahun ini. Tapi tak mengapalah, satu hari nanti pun aku akan pulang juga - seperti semua daripada kita ini. Kita cuma singgah sahaja di sini.

Berita paling cemas pula apabila semuanya tidak menjadi beberapa bulan lalu.

Aku juga adakala dilanda simptom tidak betul juga. Sampai aku merasa patut ditutup blog. Sebenarnya, semua orang sakit. Orang yang belajar psikologi juga sakit.

Bagi aku - tidak ada apa yang sangat indah dan sangat buruk sepanjang tahun ini.

Kita merasa sesuatu sebagai sangat indah hanya beberapa saat sahaja. Ketika kita dikurniakan sesuatu, kita merasa sangat teruja dan paling bahagia. Apabila dicuba dengan musibah dan ujian berat, kita merasa sangat derita. Takut dan membimbangkan. Seolah-olahnya kitalah manusia paling malang dalam alam ini.

Masa berlalu. Lama kelamaan yang kita rasakan indah itu tidak lagi indah. Yang dirasakan pahit tidak lagi pahit. Ia menjadi cerita sahaja. Ia menjadi kenangan sahaja. Dan, kita diuji lagi dengan cerita baru, yang baik dan yang buruk. Yang manis dan yang pahit.

Begitulah hidup. Ia datang dan pergi. Menipu dan mengkhayalkan kita.

Selamat datang 2010. Semoga ia membahagiakan semua pembaca.

Thursday, 24 December 2009

Aku cuma layak untuk ini sahaja

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Tahniah kepada semua anak saudara aku yang mendapat keputusan PMR hari ini. Ada yang dapat 8A, ada yang dapat 5A, ada yang dapat 6B. Dalam ketiga-tiga orang itu - mereka sudah mewakili 3 watak manusia berbeza. 8A mungkin dianggap manusia cemerlang, 5A mungkin mewakili kategori pelajar baik - 6B pula sekadar cukup makan.

Ingat - ia hanya angka sahaja. Aku walaupun akan selalu ambil tahu hal ehwal pelajaran semua anak saudara mara aku, tetapi aku tidak akan marah kalau mereka tidak berjaya dengan keputusan cemerlang. Apa yang mereka dapat itulah yang mewakili kelok normal hidup manusia. Selagi mereka tidak menjebakkan diri dalam hal membinasakan, keputusan peperiksaan tidak akan mengganggu hidup sebenar mereka.

Tetapi mereka tidak boleh terlalu bahagia atau derita dengan keputusan itu. Yang mendapat 8A tidak boleh menyangka mereka manusia hebat. Hidup mereka masih panjang. Jadi, mereka perlu lebih berjuang untuk tidak menyebabkan mereka terjatuh pada masa hadapan. Yang tercorot, mereka tidak boleh terlalu merasa derita. Mereka juga perlu bangkit dari tidur. Tidak selamanya kita terlena.

Di masa muda aku - aku mungkin bukan yang terbaik. Aku mendapat 4A dalam Penilaian Darjah 5 (UPSR sekarang ini), dan hanya 14 agregat dalam SRP (sekarang ini PMR). Di Tingkatan 5, aku cuma mendapat pangkat 3 - kelulusan terbaik yang aku boleh hadiahkan untuk keluarga aku. Cuma dalam STPM sahaja aku lulus dengan baik. Itu pun setelah aku insaf dan bertaubat dengan salah silap aku sebelumnya.

Aku rasa - jatuh bangun pelajar juga bergantung dengan bakat dan minat kita. Aku di aliran sains ketika SPM. Bidang yang aku tidak faham sama sekali. Aku jadi confius mengapa karbon oksida harus dirumuskan Co2. Aku juga jadi pelik mengapa kalsium dan magnesium perlu dihafal dahulu berbanding logam lain. Itu belum aku ditujahkan dengan formula rumus dan kalkulus matematik tambahan. Semua ini pelik lagi memeningkan.

Aku tahu - sekalipun aku menghabiskan 100 jam sehari mengulangkaji buku matematik tambahan dan fizik, aku tidak akan faham juga. Sebab aku tidak faham apa sebab angka-angka itu dihitung dengan cara-cara tertentu. Sampai sekarang pun aku masih terasa pelik.

Di Tingkatan 6 - aku masuk aliran sastera. Aku belajar subjek sejarah, pengajian am, geografi, sastera dan bahasa. Aku rasa itu hal mudah sahaja. Orang merasa takut dengan pengajian am. Tetapi aku rasa itu bidang yang paling senang. Aku juga boleh menghafal peristiwa sejarah dengan baiknya. Aku cuma mengambil masa sehari untuk menghafal novel Keluarga Gerilya walaupun ia diajar selama 2 tahun.

Sebab itu - aku tidak merasa pelik kalau ada yang gagal dan ada yang lulus. Sistem kita tidak begitu memberikan pilihan untuk pelajar. Kita dipaksa oleh ibubapa untuk pergi sekolah dan lulus. Ibu bapa tidak pernah bertanya kita faham atau tidak. Kita dipaksa untuk masuk jurusan tertentu. Guru-guru juga tidak pernah bertanya kita minat atau tidak. Mereka juga seperti kita - tidak ada banyak pilihan yang boleh mereka berikan.

Jadi - apa yang boleh mereka buat? Mereka paksa kita belajar sampai pandai. Kalau kita tidak pandai, kita akan digelar bodoh. Aku yakin - banyak kawan-kawan aku yang pandai - kalau dipaksa masuk ke aliran yang tidak secocok dengan mereka, tidak akan juga menjadi pandai. Takdir telah memilih mereka menerokai bidang yang sesuai dengan karektor, otak kiri dan orak kanan mereka.

Jika sekali lagi aku ditakdirkan kembali ke sekolah pun, aku tidak akan menjadi ahli sains. Aku juga tidak akan menjadi jurutera atau doktor perubatan. Aku mungkin layak membaca sajak di tepi jalan sahaja.

Untuk semua anak saudaraku - terimalah seadanya dengan apa yang ada. Kita cuba lagi. Kita cuba lagi. 30 tahun lagi kita tahu inilah sebahagian daripada cerita kita.

Jom bercuti

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Musim cuti sudah bermula. Ia datang bersama haba panas musim panas. Universiti akan mula ditutup. Aku pula sudah 2 hari duduk di rumah. Tidak bercuti.

Ada rancangan hendak berjalan-jalan. Tapi poket sudah lama kempis. Duit banyak lagi hendak dipakai untuk survey baru bulan Januari nanti.

Beberapa hari ini - aku terasa hendak pergi ke satu tempat. Aku cuba menggogle car relocation web site setiap hari. Ini konsep sewa kereta yang mana kita dibayar minyak, dan diberikan mileage perjalanan. Tugas kita ialah menghantarkan semula kereta ke bandar lain. Ada due date yang ditetapkan. Harga sewanya bergantung hari dan keperluan. Ada yang semurah AUD1/hari.

Jadi - kelebihan untuk penyewa, kita mendapat harga murah. Keuntungan untuk syarikat, mereka tidak perlu mengupah pekerja.

Mahu mencuba. Klik sini

Krenmaut yang mahu pulang tidak akan sempat merasa kereta sewa ini.

Wednesday, 23 December 2009

Ahli politik, pelakon dan penghibur

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Apa bezanya ahli politik, pelakon dan penghibur?

Ahli politik sering melakonkan watak dengan berkesan. Mereka melakonkan watak sebagai pejuang atau pemimpin. Mereka hebat berpidato. Mereka adalah insan mulia. Mereka mesra dan baik dengan orang bawah. Mereka bercakap soal moral. Mengajak manusia berbuat kebaikan dan kebajikan. Sebaliknya, mereka adakalanya menjadi manusia curang. Merekalah yang terlebih dahulu melakukan apa yang tidak patut dilakukan. Mereka mendapatkan apa yang sepatutnya didapatkan orang bawah. Jika ada habuan, mereka boleh melompat ke sana sini. Tetapi, itulah hakikat lakonan.

Ahli politik yang gagal melakonkan watak sesuai dengan persekitarannya, tidak akan kekal lama. Mereka akan jatuh dan tidak bangun lagi.

Pelakon - mereka bukan ahli politik. Tetapi mereka juga boleh melakonkan semua watak. Mereka boleh melakonkan watak ahli politik, pemimpin yang hebat, isteri yang taat, orang alim yang warak, atau apa sahaja. Mereka juga boleh menjadi ustaz dan berceramah di kaca tv. Itu tugas mereka sebagai pelakon. Kalau gagal melakonkan watak, mereka akan diketawakan dan hilang mata pencarian. Mereka akan dilupakan.

Apa yang menjadikan ahli politik dan pelakon sama? Kedua-dua mereka bermain wayang. Cuma pentasnya berbeza. Kedua-duanya sangat menghiburkan.

Monday, 21 December 2009

Bila tirai 2009 mula dilabuhkan

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Jendela tahun 2009 perlahan-lahan hampir ditutup. Sepanjang tahun ini kita mungkin ada kejayaan atau kegagalan. Kita kehilangan seseorang, dan mungkin menemui orang lain pula. Ada bermacam cerita manusia sepanjang tempoh setahun ini. Ada beragam cerita kita juga di dalamnya.

Sebenarnya, perubahan tahun dari tahun sangat cepat. Tahun 1979 - aku masuk darjah satu. Tahun 1989 - aku di Tingkatan 5. Tahun 1999 - aku melangkah ke alam perkahwinan. Tahun 2009 - aku di sini. Sepanjang tempoh lebih 30 tahun itu banyak cerita dan pengalaman yang sempat dirakamkan. Ada yang menjadi kenangan. Ada yang menjadi pengajaran. Ada yang menjadi sempadan. Ada yang diulang lagi walaupun kita tahu ia tidak memberikan sebarang kebaikan.

Hakikatnya, 30 tahun adalah mimpi sahaja. Ia berlalu seperti biasa sahaja - seperti tidak ada apa-apa. Dulu, tahun 1999 aku mendapat temuduga untuk jawatan pensyarah di sebuah universiti utara tanahair. Aku gagal temuduga. Banyak sebab. Salah satunya aku tidak boleh menjawab - "Apa buku terakhir yang aku baca". Dua tahun kemudiannya aku menghadiri temuduga lagi di universiti yang lain pula. Mereka bertanya - "Apa pengalaman mengajar yang awak ada?". Aku gagal lagi. Aku tidak ada pengalaman mengajar.

Aku gagal kedua-duanya kerana pengalaman dan masa. Aku masih muda tahun 1999. Jarang aku membaca buku. Sejak itu baru aku menjejak kedai buku. Banyak juga buku yang aku beli waktu itu. Aku juga kemudiannya mengajar sambilan di dua universiti lain. Sebenarnya aku tidaklah mengharapkan untuk berkerja sebagai pensyarah lagi selepas itu. Aku hanya sekadar suka-suka sahaja. Lagi pun umur sudah tua.

Cuma bila pada tahun 2007 - tanpa memohon - aku ditelefon seseorang sama ada berminat dengan kerja mensyarah, maka aku mula dekatkan diri dengan iklim akademik. Kadang-kadang itulah rezeki. Ketika kita memohon, kita gagal. Ketika kita tidak mengimpikan pula, tiba-tiba ia datang. Dalam temuduga tahun 2007 itu - aku beritahu kedua-dua sebab kegagalan temuduga aku - buku dan pengalaman mengajar. Aku rasa aku boleh menjawab dengan penuh yakin kerana umur aku pun bukan lagi muda. Aku juga ada banyak pengalaman lain. Kalau mereka tidak mahu aku pun, tidak mengapalah. Kalau mereka tidak menghantar aku untuk buat PhD ke luar negara pun, waktu itu aku sedang juga buat PhD di dalam negara dengan duit sendiri.

Sebab itu - kadang-kadang aku rasa - hidup kita ini ibarat mimpi. Ia cepat berlalu. Ia pergi begitu sahaja. Kita tidak tahu apa yang bakal terjadi besok hari. Kita hanya sekadar merakamkan pengalaman lalu. Cerita suka, duka dan pahit manis kehidupan.

Pada akhirnya, umur hanya sekadar pertambahan angka. Itu sahaja.

Saturday, 19 December 2009

Globalisasi - Tuhan baru manusia moden

1 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Globalisasi - istilah yang asing untuk orang kampung. Mereka tidak tahu apa-apa maknanya sekalipun mereka tidak boleh mengelak dari membeli sebotol Coca-Cola apabila ada anak-anak merengek, atau membeli ais krim Cornetto untuk menghentikan tangis budak-budak. Istilah ini cukup asing walaupun mereka sanggup berjaga jam 3 pagi untuk menonton Manchester United bertarung dalam Liga UEFA. Globalisasi mungkin tidak ada apa-apa maknanya untuk mereka sekalipun mereka tidak sabar untuk menunggu tayangan perdana filem Avatar.

Lihatlah - bagaimana dunia berubah dengan cepatnya. Ia mengubah hidup kita. Kita boleh tahu apa yang berlaku di dunia luar lebih baik berbanding dengan pengetahuan kita mengenai jiran sekampung. Inilah sebenarnya globalisasi. Dunia semakin mengecil. Dunia menggunakan standard yang sama. Dunia mula memakai sistem yang sama. Kalau tidak, kita akan tersisih. Kita ketinggalan dan kalah persaingan.

Organisasi moden kini - baik yang dibangunkan di celah sibuk kota New York atau yang dibangunkan di celah hutan di Baling, Kedah semuanya perlu ada standard yang sama. Semua orang ingin menjadi yang terbaik. Yang paling maju dan terkehadapan. Semuanya ingin menang persaingan.

Sebab itulah - 50 tahun dahulu kita tidak pernah mendengar apa itu ISO. Kita tidak tahu apa itu KPI. Semua orang hanya pergi kerja pagi, pulang petang. Hujung bulan ambil gaji. Tidak perlu risau dan bimbang. Tidak ada istilah prestasi.

Sekarang ini - kalau anda sekadar pergi pagi dan pulang petang berkerja, anda akan dibuang hujung bulan. Anda perlu mengekalkan prestasi. Ia bukan hanya terpakai untuk mereka yang menjadi buruh kolar putih yang lulus dari universiti, tetapi juga untuk lulusan darjah 6 yang berkerja sebagai operator kilang di Prai. Ia bukan hanya terguna pakai untuk Ketua Pegawai Eksekutif bank terkaya dunia, tetapi juga untuk pemotong rumput tepi jalan. Syarikat besar mungkin menetapkan jualan jutaan ringgit setiap bulan untuk para eksekutifnya, tetapi pemotong rumput juga diberikan tetapan matlamat memotong rumput puluhan kilometer setiap bulan.

Semua ini adalah asakan globalisasi. Semua orang perlu menjadi terbaik, tidak kira siapa anda. Kalau tidak, anda kalah persaingan.

Memang kita masih menggunakan wang ringgit. Kita mempunyai matawang kita. Itu hanyalah angka. Ia dongeng. Semua orang sebenarnya bersandarkan dolar. Untung naik saham, berjaya atau tidak organisasi - dibandingkan dengan dolar Amerika. Maksudnya, kita akan berjaya kalau kita ada sejumlah nilai dolar pada setiap kiraan untung rugi syarikat.

Penoreh getah di kampung hanya tahu pergi pagi dan pulang tengahari. Mereka mahir dan bijak dalam hal cuka getah dan waktu terbaik menoreh bagi menghasilkan susu getah yang banyak. Tetapi, turun naik harga getah bukan ditentukan oleh para pekebun yang bijak ini. Harganya bukan ditentukan mereka yang menanam pokok getah, tetapi harganya ditentukan bursa saham di Amerika atau Jepun. Harganya bergantung kepada turun naik petrol dunia. Harganya ditentukan sejauh mana ekonomi dunia mengembang di China atau Amerika yang mungkin penduduknya tidak pernah pun melihat pucuk getah.

Sebab itu - kini semua orang sedang dilanda tekanan. Orang dipaksa memenuhi keperluan masyarakat dunia. Orang diminta menunaikan nafsu para kapitalis dan pemodal antarabangsa. Semua ini sedang mewabak kepada setiap orang - bukan hanya tauke besar kilang, tetapi makcik peneroka pun perlu berkerja kuat tanpa sempat peluh berhenti.

Universiti perlu berada dalam ranking terbaik dunia. Sekolah perlu menghasilkan pelajar cemerlang dan boleh pergi ke serata dunia. Kalau sistem pendidikan kita buruk, nanti orang akan memilih universiti atau sekolah lain di luar negara. Kilang perlu menghasilkan produk yang bukan hanya laku di pasar malam Changlun, tetapi boleh di jual di Coles, Australia. Kalau kita tidak mampu, nanti ada negara lain menghasilkan barang lebih baik, lebih murah. Ini akan menghancurkan produk kita.

Sekarang ini - lambakan produk China telah banyak melenyapkan produk kita. Orang lebih sanggup pergi ke Shanghai atau Guang Zhou untuk membeli barang, berbanding membeli barang buatan tempatan. Sebab barang dari China lebih murah. Orang sanggup mendapatkan perabut jati dari Indonesia berbanding mengupah tukang kayu kita menghasilkannya. Satu hari nanti kita mungkin perlu membeli belacan yang dibuat di UK atau mendapatkan keropok lekor dari negara Scandivania.

Banyak keperluan dapur kita hari ini - yang dahulunya dihasilkan oleh industri kecil di belakang rumah, kini mula dihancurkan dengan pelbagai macam hypermarket yang lebih besar, lebih menyeronokkan untuk dikunjung. Tauke besarnya mungkin berada di Sweden, tetapi mengambil untung kerana kita membeli belacan di kedainya.

Inilah globalisasi.

Sebab itu - jangan terkejut kalaupun anda masih dibayar gaji murah sebagai orang tempatan, tetapi anda dipaksa berkerja lebih keras sesuai dengan standard orang luar. Anda dihadapkan dengan begitu banyak sistem prestasi. Anda perlu memulai sistem kerja dengan pelbagai macam dokumen untuk memenuhi standard ISO, dan kemudiannya berkerja lebih pantas untuk memenuhi hasrat KPI, dan menghasilkan produk dengan sistem JIT.

Rutin hidup anda sebagai manusia juga berubah. Bermula dari menaiki LRT di Setiawangsa, anda perlu berebut untuk sampai kerja lebih cepat. Sebaik sahaja duduk di tempat kerja, anda ditanya berapa banyak untung yang boleh anda hasilkan dan berapa kos yang boleh anda kurangkan. Mereka tidak begitu ambil tahu lagi siapa menjaga anak anda di rumah, atau sudah berapa kali notis menghalau anda keluar dari rumah sewa yang anda terima. Hidup anda bukan untuk keluarga lagi. Anda hidup untuk organisasi. Anda bernafas dengan ehsan pemodal. Anda bernyawa dan dicabut nyawa dengan roh persaingan global.

Sampai waktunya, anda akan ditanya bila anda akan berhenti kerana ada orang lain yang sanggup menggantikan kerja anda dengan gaji yang lebih murah dan pantas. Anda mungkin ada ijazah kelas pertama, tetapi ingat - mereka boleh menggantikan anda dengan buruh dari Myanmar dan Bangladesh yang ada lulusan PhD - dan mereka sanggup berkerja 24 jam sehari, 7 hari seminggu. Jadi - jangan berasa anda cukup hebat.

Anda tidak perlu mogok atau menangis, kerana mungkin wajah anda yang muram itu akan ditonton oleh manusia di serata dunia melalui saluran CNN.

Aku kini kembali

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Beberapa hari ini aku menghilangkan diri. Tidak ada sesiapa yang dapat mengunjungi blog ini. Bukan sekadar orang lain, aku juga tidak menjengahnya. Aku jangkakan akan berehat lebih lama dari biasa. Aku sangka, aku telah menutup blog ini buat selama-lamanya.

Pagi tadi, Sdr Ben menelefon aku bertanya khabar. Seorang kawan baik aku pula mengirimkan e-mel bertanya apa sudah jadi dengan blog ini. Beberapa teman blog sebelumnya, baik dengan reverse psychology atau tidak - meminta aku mengekalkan blog ini. Nampaknya kehidupan penulis blog kecil juga tidak lagi bebas. Jadi - akhirnya aku terpaksa membuka semula blog. FakirFikir kembali lagi.

Aku tidak membuka laluan untuk akses ke blog ini dengan harapan aku dapat menghilangkan diri buat selama-lamanya dari dunia blog. Sebagaimana orang lain tidak tahu apa yang aku sedang lakukan, aku juga tidak tahu kegiatan orang lain. Jadi, aku akan dapat menyibukkan diri dalam dunia aku sendiri.

Sebenarnya, banyak hal yang orang awam mungkin tidak tahu mengenai manusia akademik seperti kami. Sesama kami juga, mungkin kami tidak tahu tekanan masing-masing - kerana kami datang dari universiti berbeza, jadi kami juga mengalami tekanan yang berbeza. Seperti pemain bolasepak juga. Bermain dengan Inter Milan atau Juventus tentu tidak sama dengan bermain untuk kelab Brescia. Bermain dengan Manchester United tentu berbeza iklim kerjanya dengan Chelsea.

Pengajian aku di sini ditaja oleh universiti yang menjadi tatapan semua pembesar negara. Turun naik ranking universiti menjadi berita hangat di parlimen. Ia menjadi tajuk utama akhbar. Dalam erti kata yang lain, aku berada dalam kelompok universiti panas persada negara. Tekanan yang kami terima sebetulnya mungkin lebih besar dari orang lain. Aku agak la.

Setiap pelajar PhD diperlukan untuk menghasilkan sekurang-kurangnya 3 buah jurnal antarabangsa sepanjang tempoh pengajian. Sekiranya tidak tercapai, masa setahun lagi diberikan selepas selesai PhD bagi memenuhi syarat ini. Jika tidak, tiada sebarang kenaikan dan pengesahan jawatan sekalipun sudah bergelar 'doktor', dan tetap kekal dengan gaji lama. Orang seperti aku mungkin hanya kekal dengan status fellowship.

Sebenarnya inilah yang hal sedang didebatkan dalam topik pengajian tekanan kerja. Inilah yang sedang dibawakan oleh globalisasi. Semua orang ingin berada di hadapan. Semua orang perlu menjadi terbaik. Ia bukan hanya berlaku ke atas universiti, tetapi juga berlaku ke atas semua sektor lain. Bagaimana sistem prestasi baru telah menyebabkan manusia kian tertekan. Manusia tidak hanya tertekan dengan kerja sedia ada, tetapi matlamat prestasi yang drastik diubah dari satu hari ke hari yang lain. Jangan terkejut, kalau anda bangun besok pagi, hidup anda sudah berubah dengan teruknya.

Aku tidaklah resah dengan syarat itu. Kalau aku menjadi pembesar universiti pun, aku akan wujudkan hal yang sama. Mana boleh pensyarah tidak menulis jurnal atau buku yang bagus. Menulis jurnal ibarat memiliki pisau bagi tukang sembelih kambing. Jangan hanya pandai mensyarah, tetapi tidak ada hasil tulisan akademik. Ia akan menjadikan kita kangkong yang menjalar naik tanpa hala tuju.

Aku tidak pernah complain hal ini. Aku jangkakan dalam tempoh 10 bulan mendatang, aku masih boleh menghasilkan 2 atau 3 lagi kertas jurnal. Terima atau tidak aku tidak tahu lagi.

Jadi - dalam kes aku - aku akan cuba mencapainya. Tetapi untuk mencapainya aku perlukan lebih banyak masa. Aku tidak kisah dengan standard prestasi yang diletakkan. Dulu ketika berkerja di sektor swasta, aku menghadapi hal yang sama, mungkin lebih teruk lagi.

Cuma kali ini, aku perlukan masa untuk mencapainya. Menulis jurnal tidak sama dengan menulis surat cinta, atau kerja mencangkul. Ia perlukan pembacaan, penganalisaan dan pemikiran. Sebab itu, aku perlu menjadi manusia asing dan pelik seperti dalam buku The Stranger - karya Albert Camus yang terkenal itu.

Sebab itu - aku minta maaf kalau ada yang tidak dapat mengunjungi blog ini. Aku memang pada asalnya berhasrat meninggalkan dunia blog. Aku mahu mengejar sistem prestasi baru. Aku mahu menjadi manusia pelek, janggal lagi membosankan. Kalau anda menjadi aku, tentu engkau tahu siapa aku. Pagi tadi, aku tidur jam 7 dan cuma terbangun ketika Sdr Ben menelefon jam 10.30 pagi ketika dia sedang membawa keluarganya melawat Zoo Adelaide!

Jangan bimbang, selepas ini aku akan tetap kekal menulis.

Selepas ini aku akan tulis siri Globalisasi - Tuhan Baru Manusia Moden.

Sunday, 13 December 2009

Ini isyarat awal - II

6 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Apabila aku memberikan isyarat awal, sebenarnya bukanlah tujuan aku untuk menguji pasaran saham seperti yang diungkapkan oleh Ihsan, atau seperti yang disuratkan oleh Ben. Sebenarnya itulah yang aku fikirkan lama sebelum ini. Aku serius. Sebenarnya aku merasa cukup sibuk untuk beberapa waktu terakhir ini. Ini menjadikan aku merasa tidak berapa cukup tenaga untuk menulis blog ini.

Sebenarnya, tidak cukup tenaga dalam erti kata menulis sesuatu yang bermanfaat. Menulis dengan melakukan sedikit penyelidikan. Menulis hal-hal yang boleh dikongsi bersama dengan pembaca. Jadi, untuk menulis semua ini, aku perlu menyelak kembali buku psikologi, atau sesekali akal aku perlu menggelintar memproses maklumat. Ini kita namakan heuristik. Semua inilah yang memenatkan.

Menulis hal-hal muzik Iron Maiden atau Metallica seperti yang dilakukan Bentara juga antara hal yang memenatkan. Ia kelihatan hanya menulis perkara berkaitan lagu dan muzik sahaja. Hakikatnya tidak. Ia menulis sesuatu yang bermaklumat. Ia perlukan penyelidikan, kalau tidak pun seberat menulis tesis. Ben menulis hal itu secara serius. Penulisan seumpama inilah yang aku maksudkan aku tidak begitu cukup tenaga.

Tidak ada apa-apa pun yang meletihkan kalau aku sekadar menulis hal-hal biasa. Menulis hal memetik buah strawberry atau kisah memancing ikan bream di West Lake. Atau menulis ke mana aku pergi dan berapa kali aku mandi. Ia tidak menggangu pun masa yang aku ada.

Tetapi - tentulah selamanya aku tidak wajar menulis hal seumpama itu. Aku perlu juga menulis hal lain yang lebih bermakna. Itulah sebenarnya yang aku rasa tidak berapa mampu ditulis dalam celah sibuk yang kian menjadi-jadi ini. Sebab itulah, bila aku berfikir kalau begitulah - lebih baik aku tutup sahaja blog ini.

Dalam hal aku - aku rasa tidak banyak blog yang menulis hal berkaitan psikologi, khususnya dalam bahasa Melayu. Aku cuba menulisnya agar ada hal yang boleh dikongsi bersama. Tetapi, kerana sibuk, aku jadi begitu penat untuk menulis hal seperti ini. Dalam istilah kami - kami namakan exhausted. Maksudnya penat berfikir, letih menggelintar.

Sebab itulah - idea untuk menutup blog tiba-tiba muncul. Ia timbul kerana aku merasa aku penat dan tidak mampu.

Bagaimana pun, ada seorang kawan aku mengirimkan e-mel agar mengekalkan blog ini kerana dia juga sekali sekala boleh membacanya. Jadi aku berfikir, kalau tidak dia, tentu ada orang lain yang juga boleh membacanya. Antara penziarah awal blog ini seperti Zarzh juga tentu boleh membacanya.

Jadi - aku harap aku masih ada waktu yang cukup untuk menulis. Khususnya hal-hal psikologi manusia. Aku juga selalu berharap agar mampu memberikan sesuatu yang baik untuk dibaca.

Saturday, 12 December 2009

Ini isyarat awal

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Mengenangkan aku kian sibuk, dan masa pula terbatas - maka aku fikir untuk berehat dari berblog. Aku tidak begitu pasti jangkamasanya.

Dalam seminggu kebelakangan ini pun aku tidak sempat untuk menulis.

Dulu - ketika aku mula membuka blog ini - kehidupan aku tidak begitu sibuk. Pagi ke universiti, malam memancing. Aku juga sempat berjalan-jalan dengan isteri. Banyak tempat yang aku pergi. Beberapa kali ke Moonta Bay untuk memancing. Juga berjalan-jalan ke Victor Harbour. Dua kali ke Melbourne.

Kalau tidak, aku akan menaiki Barina buruk aku itu ke rumah kawan-kawan berdekatan. Lepak dan makan-makan.

Tetapi itu sepanjang 2 tahun dulu. Sekarang ini aku sudah berada di tahun akhir. Kehidupan aku masih stabil, cuma kian sibuk. Ada beberapa kertas lagi yang perlu ditulis.

Data sebanyak 650 telah aku siapkan data entrynya dalam masa 6 hari. Supervisor aku terkejut besar. Dia sangka aku mengambil masa lebih lama. Aku berkerja dari pagi sampai ke lewat malam. Ketika Ben terjaga 2.30 pagi, aku belum tidur. Biasanya jam 4 atau 5 pagi aku tidur bagi kerja-kerja data entry.

Sekarang - aku perlu gunakan masa untuk analisis. Mungkin dalam tempoh seminggu juga untuk memastikan semua hal bersesuaian dengan teori dan model. Kemudian 10 hari digunakan untuk menyiapkan kertas. Sebenarnya akulah yang menetapkan jangka masa untuk semua kerja-kerja ini. Jadi aku kemudian mengejarnya. Jadi akulah yang membebankan hidup aku sebenarnya. Itu cara aku berkerja.

Bulan Januari nanti, aku perlu laksanakan kutipan data lagi. Ia perlu dimasukkan datanya ke komputer lagi. Kemudian analisis. Kemudian menulis. Dan aku sepatutnya dihalau balik ke Malaysia bulan Oktober 2010. Jadi cuma ada 10 bulan, tidak sampai setahun lagi aku di bumi kangaroo ini.

Sebab itu - setelah berfikir-fikir, aku mungkin akan mengurangkan waktu untuk menulis blog. Aku juga berkira-kira untuk menutup blog ini. Tengoklah yang mana sesuai.

Sekiranya tiba-tiba anda tidak lagi dapat masuk ke blog ini setelah ini, ini tandanya ini post yang terakhir!

Selamat berjumpa lagi.

Wednesday, 9 December 2009

Mengimbau masa muda

3 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Berehat seketika dari data entry.

Lupakan sejenak waktu ini. Sekadar mengimbau masa silam.

Ketika di sekolah menengah dahulu, ada seorang jaga yang sangat terkenal di sekolah kami. Dia berbadan pendek dan gemuk. Walaupun tugasnya sangat mulia, tetapi kebanyakan dari kami mungkin tidak menyukainya. Dia selalu menangkap pelajar yang melompat pagar di waktu malam, atau merokok di belakang bangunan.

Kerana bentuk tubuhnya itu, semua orang menggelarkannya sebagai Luncai. Entah siapa yang mula memberikan beliau gelar tersebut aku tidak berapa pasti. Sejak aku masuk ke asrama tahun 1985, gelaran itu sudah melekat keras pada tubuhnya. Tugasnya yang bertentangan dengan jiwa muda para pelajar, menjadikan dia tidaklah merupakan manusia paling popular pada waktu itu.

Aku juga beberapa kali melalui pengalaman tidak menarik dengan beliau. Pernah kami bermain padam lampu dengannya di sebuah bangunan sekolah. Tatkala dia menyalakan lampu dengan suis di hujung bangunan, kami memadamkan lampu di hujung bangunan yang satu lagi.

Aku mungkin tidak menggemarinya kerana sebab lain. Pada tahun 1989 - ketika sedang sedang dalam kelas ulangkaji malam, dia bersama dengan seorang guru asrama telah masuk ke kelas kami. Tiba-tiba beberapa nama telah dipanggil. Salah seorangnya ialah aku. Nama lain yang dipanggil ialah Farid dan Li Hai. Dua orang lagi aku tidak pasti siapa. Hasni dan Najmi mungkin tahu.

Kami telah dikatakan sebagai kononnya melakukan vandalisme di asrama dengan mengoyakkan tilam dan membuat semak. Entah apa rakusnya warden asrama pada malam itu - tanpa soal siasat, dia telah menampar kami dengan penuh kesungguhan. Kerana aku berada pada baris paling hadapan, aku ditampar dahulu. Aku masih ingat lagi hayunan guru asrama yang juga pemain badminton itu - bermula dari pipi kiri, kanan dan kiri semula. Kemudiannya Farid. Li Hai terselamat malam itu kerana dia melompat pagar. Seorang lagi balik ke asrama. Jadi, malam itu kami menjadi mangsa atas kejadian yang tidak kami lakukan. Pak Cik Luncai melihat sahaja kami ditampar dengan penuh kemarahan.

Aku pasti itu bukan penampar nasihat. Kerana selepas semua orang telah ditampar, guru itu meluru lagi kepada aku. Dia mengambil belahan papan meja yang pecah, dan sepertinya ingin menghentakkan ke belakang aku. Nasib baik tidak jadi. Akhirnya sekali dua lagi penampar singgah.

Tapi - sebab semua orang dalam kelas itu lelaki, jadi kami tidaklah kisah sangat. Mungkin hanya sakit, tetapi tidak malu. Daripada malu, aku pilih sakit!

Kebesokan harinya, semua waris telah dipanggil untuk memberitahu kononnya sebagai kelakukan buruk kami. Aku terselamat kerana ayah aku sudah lama tiada. Ketika warden asrama cuba mendapatkan nama penjaga aku, aku beritahu nama abang aku. Dia meminta nombor telefon. Aku bernasib baik kerana pada waktu itu abang aku masih di Fokuouka, Jepun. Jadi, tidak ada sesiapa yang boleh mereka hubungi.

Jadi - bermula dari kisah itu - Pak Cik Luncai mungkin mula tersalah tafsir akan diri aku juga. Aku merasakannya kerana setiap kali aku keluar pada hari Sabtu - kalau aku tidak menulis nama di buku keluar masuk pun, dia tidak ambil 'port'. Hari biasa juga kami boleh keluar dengan ada surat kebenaran dari guru kelas. Aku selalu keluar juga tanpa membawa apa-apa surat. Kerana aku tahu Pak Cik Luncai juga tidak akan ambil port. Jadi aku hanya lalu di depan pondok pengawal tanpa ambil tahu hal itu.

Tetapi - aku termalu besar tahun 1992. Waktu itu aku sudah di universiti. Kawan baik aku - 5 atau 6 tahun lebih tua dari aku mengajak aku menemaninya ke rumah kakak angkatnya. Aku pun seperti biasa, menemaninya. Sesampai di muka pintu, aku rasa seperti hendak pitam apabila yang membuka pintu rumah ialah Pak Cik Luncai. Dia rupanya bapa kepada kakak angkat kawan aku itu.

Sepanjang dalam rumah itu - aku dan Pak Cik Luncai tidak berbual walaupun sepatah. Kononnya kami tidak saling mengenali dan tidak tahu apa-apa. Bahkan dia tidak menjeling pun ke muka aku. Aku pun tidak pernah cuba mengeluarkan sepatah ayat melainkan merasakan bila kawan aku akan balik. Aku rasa, pada waktu itu pun - Pak Cik Luncai masih tersalah tafsir dengan aku lagi. Dia tentu sangka aku bukan orang baik.

Kalau diberi peluang untuk kembali muda, apakah perkara yang anda ingin ulang semula? Ini soalan yang hanya mampu boleh dijawab, tetapi hal mustahil untuk berpatah balik.

Kalau peluang itu kembali wujud - aku akan beritahu betapa bukan kami berlima yang mengoyakkan tilam-tilam asrama itu. Ia dibuat oleh kumpulan lain. Aku juga mungkin memberitahunya bahawa warden asrama telah membuat kesalahan besar kerana percaya dengan laporan yang dibuat oleh seorang pengawas yang baru sahaja mendaftar di sekolah kami. Pengawas ini memanglah seorang yang skema.

Sebenarnya - tragedi itulah yang menyebabkan aku tidak lagi duduk di asrama ketika aku naik Tingkatan 6 tahun 1990-1991. Aku tidak sanggup untuk melihat muka guru asrama itu lagi. Tetapi - apa yang boleh aku buat. Guru itu mengajar aku pula untuk satu subjek. Sepanjang yang aku ingat, aku tidak pernah mempunyai nota pun untuk subjek itu. Itulah dendam waktu muda yang aku simpan waktu itu. Guru itu juga tidaklah juga berbual-bual dengan aku sepanjang masa di Tingkatan 6 itu. Aku tidak pernah berharap untuk lulus pun subjek itu. Tetapi, nampaknya telahan aku silap. Tatkala banyak orang tidak pun lulus, aku lulus juga.

Mungkin itu rahmat kerana aku telah disalah tampar 2 tahun sebelumnya.

Tidak mengapalah. Sebenarnya, aku pernah juga terkena tamparan lain sebelum ini. Itu tahun 1986. Ia berlaku di bilik guru. Halnya kecil sahaja. Cuma memakai stokin belang. Pernah juga sekali dirotan oleh Penolong Kanan di dalam biliknya tahun 1989.

Kalau aku menjadi guru - aku pasti aku tidak akan melayan pelajar aku dengan cara yang keras itu. Aku tidak mahu orang mengingatiku dengan tragedi yang keras lagi menyeramkan.

Selepas tamat SPM, dan masing-masing daripada kami ingin mengucapkan salam perpisahan - barulah kami melakukan vandalisme itu. Kami menulis dengan cat warna merah pada bucu atas dinding bilik dengan "I WAS HERE". Itulah tinggalan kami untuk dirakamkan untuk generasi seterusnya. Tetapi aku pasti - ia sudah dipadam tidak sampai seminggu pun sesudah kami meninggalkan bilik itu.

Tuesday, 8 December 2009

Bila musim bertukar

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Musim bertukar lagi. Musim bunga sudah berlalu. Musim panas sedang mengintai. Ia datang bersama angin sejuk, hujan dan angin deras. Ia datang bersama mendung dan malap cuaca.

Musim bertukar setiap hari. Masa berubah setiap detik. Umur meningkat, usia semakin pendek. Ada orang baru tiba, orang lama bakal pulang. Orang seperti aku tiba-tiba kesuntukan masa. Harapnya angin deras akan mempercepatkan semua kerja-kerja ini.

Masa berubah. Tapi kehidupan di Adelaide ini telah mengurangi pengalaman hidup keras dunia luar. Di sini kita akan bergaul dengan banyak manusia cerdik, berkaca mata dan skema. Kita akan bergaul dengan banyak orang yang banyak bercakap hal-hal akademik. Jarang boleh mendengar keluhan sekerap dicuri orang atau padi tidak menjadi. Jarang mendengar kisah cerai berai. Sukar mendapat khabar bagaimana majikan tidak membayar gaji.

Masa meninggalkan kita. Kita bertemu dengan wajah baru. Ada yang sangat bagus. Menggantikan keluarga sendiri. Anda tidak perlu bercakap, riak wajah anda pun dia tahu gulana hati. Ada pula yang anda perlu berhati-hati. Sebelum dia menelan kita. Ada yang hanya menjadikan kita sahabat di saat perlunya. Ini ada di mana-mana.

Masa berubah. Musim bertukar. Bumi semakin tua. Ajal semakin dekat. Amal kita mungkin belum ke mana.

Monday, 7 December 2009

Update celah sibuk

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Beberapa hari ini, dan beberapa hari ke depan juga - aku mungkin tidak akan berkesempatan untuk update blog ini dan juga menjenguk blog rakan-rakan lain. Sehingga sekarang, termasuk Sabtu dan Ahad, aku tetap membuat kerja-kerja data entry. Kerja ini bersifat kerja-kerja perkeranian. Tetapi perlu dibuat juga.

Aku cuba menetapkan target 200 data entry sehari, tetapi nampaknya ia mustahil. Ada 190 soalan sebenarnya. Sehingga sekarang, setelah 4 hari aku baru menyelesaikan 350 orang sahaja. Ada lagi lebih kurang 300 orang lagi.

Kerja ini mengingatkan aku dengan cara operator berkerja kilang. Ada target yang perlu dicapai. Bagaimana pun, pada masa yang sama, perlu pula berhati-hati dengan kualiti dan proses kerja. Tidak boleh ada kesilapan. Ini menjadikan pekerjaan data entry ini juga memberikan tekanan juga. Setelah beberapa hari hanya duduk mengadap komputer, hari ini aku sudah diserang back pain.

Bagusnya membuat data entry ini, kita boleh melihat ragam manusia yang menjawab soalan. Ada pelbagai jenis karektor dan pekerjaan. Ada pemain bola sepak, pensyarah, penebar roti canai, pekerja ladang kelapa sawit, operator kilang dan banyak lagi. Ada juga ditemui pekerja sektor informal, tanpa tauke dan caruman KWSP - seperti pemanjat pokok kelapa dan pesawah padi. Semua ini mengaitkan mereka dengan pelbagai bentuk simptom psikologi yang tersendiri.

Kita juga boleh melihat kecenderungan bangsa yang menjawab soalan. Seperti biasa, orang Melayu dan India agak friendly untuk meluangkan masa mereka menjawab soal selidik yang panjang. Begitu juga dengan mereka yang tinggal di luar bandar. Ini bukan sekadar mencerminkan sikap, tetapi juga menunjukkan budaya kolektif.

Bagaimana pun, simptom kemurungan dan marah hanya melanda orang-orang tertentu sahaja.

Friday, 4 December 2009

Ini bukan update

2 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ini minggu yang paling sibuk. Tapi bukan stress. Kerja-kerja data entry. Soalan yang banyak. Borang pun banyak.

Kerja ini sama konsepnya dengan orang yang duduk dalam makmal. Perlukan konsentrasi. Tidak boleh hilang fokus. Nanti tersalah masuk data. Kerja ini letih. Bosan. Membinaukan mata dan fikiran. Sudah 2 hari aku buat kerja ini. Baru 165 orang sahaja yang boleh dimasukkan. Itu sudah dikira masa optimum yang aku guna. Kurang merokok. Tidak buka email. Tidak google internet. Datang 8 pagi, pulang 9.30 malam.

Sebab itu - dalam seminggu ini mungkin aku tidak ada berita untuk diupdate. Yang ada cuma berita derita aku.

Selamat malam Adelaide.

Thursday, 3 December 2009

Terima kasih semua

0 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Sejak bulan April - survey populasi aku telah dilakukan. Ia bermula dengan masalah demi masalah. Waktu itu aku balik ke Malaysia. Aku mencari beberapa orang pembantu. Masalah timbul, apabila kami mendapat respons yang tidak cukup. Cuma 135 orang sahaja. Ditambah lagi dengan masalah mengisi sendiri borang oleh pembantu penyelidik. Semua ini mengharukan.

Bulan September lalu, aku mulakan lagi survey. Masalah lain pula timbul. Jabatan Statistik tidak sempat menghitung dan membuat persampelan. Akhirnya mereka menyediakan aku peta secara berperingkat. Mereka ini memang bagus dari segi perkhidmatan. Mudah berurusan dengan mereka.

Kajian baru dimulakan dengan bantuan beberapa orang. Aku pula mula meneroka sumber kewangan dari satu jabatan ke satu jabatan. Tidak ada yang mahu membantu. Akhirnya, aku guna wang poket yang ada. Itu sahaja wang yang ada.

Beberapa orang rakan lain membantu mengambil peta di Putrajaya. Maizatul membantu menguruskan urusan survey dengan para pembantu penyelidik. Beberapa rakan lain pula membantu menguruskan pemindahan wang ke akaun di Malaysia.

Wang upah perlu dibayar kepada pembantu penyelidik. Mereka bertarung dengan masa. Mereka juga perlu mendengar suara aku setiap hari untuk mengemaskini survey. Mereka kehilangan Sabtu dan Ahad. Ini tentu akan menyebabkan mereka tidak boleh menonton wayang atau makan kenduri. Mereka juga perlu berdating pada hari lain.

Hari ini - semua borang soal selidik yang berjumlah lebih kurang 650 telah sampai ke depan pintu rumah aku di Adelaide. Satu kotak seberat 25 kilogram. Berat juga. Tetapi berat lagi untuk dianalisis. Untuk sebulan ini aku ada sesuatu untuk menjadikan aku sibuk.

Terima kasih kepada semua yang telah membantu.

Wednesday, 2 December 2009

Pesan untuk orang lama

7 Mereka telah Komen, Kutuk, Kritik
Ketika aku masih budak-budak, aku selalu membayangkan yang tinggal dan hidup di luar negara tentulah indah. Ketika habis ijazah pertama, aku selalu mengangankan untuk belajar di luar negara. Bagi aku, hidup di negara orang tentu sangat menarik. Ia seolah-olah menjadikan kita manusia hebat, pandai dan bijak.

Realtinya, ada yang indah, dan ada yang tidak indah. Untuk berkata berkata belajar di luar negara akan menjadikan kita lebih bijak tentu tidak juga. Kebijaksanaan berkait dengan kematangan, pengalaman dan pergaulan. Kebijaksanaan bukan sekadar pandai menulis tesis atau bijak berseminar. Itu hanya kulitnya sahaja.

Beberapa bulan lalu, aku menulis hal orang kampung aku akan ketawa besar. Itu sebahagian daripada budaya tidak cerdik di kalangan orang yang masuk universiti. Banyak orang yang belajar di universiti - terus mendaki dari satu bangunan ke satu bangunan. Mereka lulus periksa demi periksa. Mereka dapat markah yang sangat bagus. Itulah hebatnya orang yang belajar di universiti. Apatah lagi yang dipilih menjadi pensyarah. Tentu mereka ini orang cerdik - kalau tidak dari mata sebahagian orang - sekurang-kurangnya dari mata orang kampung aku.

Untuk orang yang baru sampai, aku sudah berpesan hal ini lama dahulu. Tetapi, ada juga pesan lain untuk mereka. Mereka jangan mengharapkan agar dilayan dengan baik walaupun pada mata kasar mereka - mereka sudah menghubungi orang yang cerdik. Ingat - definisi awal aku - cerdik bukan semestinya ada ijazah bersusun. Cerdik ialah pengetahuan bergaul dengan manusia. Cerdik ialah keupayaan memahami masalah orang lain. Cerdik ialah keupayaan untuk menjadi manusia dewasa. Itulah cerdik.

Sebab itu - aku tidak sedikit pun terkejut - kalau ada orang yang baru sampai - yang masih tidak tahu apa-apa, tidak tahu letak duduk jalan raya - tiba-tiba diberi isyarat untuk tidak menumpang lama-lama. Aku tidak berasa terkejut juga - kalau mereka yang sedang terpinga-pinga - tiba-tiba diberitahu agar cepat mencari rumah sewa. Mereka juga mungkin akan didesak dengan banyak hal lain yang menjadikan mereka bertambah bingung - misalnya membeli kereta dan buku peta.

Semua ini memang hal yang wajib untuk orang baru.

Cuma - untuk orang lama, anda juga perlu belajar satu hal lain. Anda juga pernah menjadi manusia baru sebelum anda menjadi manusia lama. Anda tentu faham perasaan orang baru. Mereka bukan sekadar terkejut cuaca, tetapi juga budaya. Mereka perlu dilatih dahulu sehari dua mengenai bas dan tiket. Mereka patut difahamkan akan hal halal haram makanan. Mereka patut diberitahu mengenai telefon bimbit. Dalam erti kata yang lain - orang lama patut memahamkan mereka mengenai selok belok hidup di tempat baru, dunia baru dan budaya baru.

Itulah sebenarnya kerja syarahan anda yang paling besar. Itulah kerja mengajar anda yang paling diminta. Bukannya hanya mensyarah dalam bilik kuliah berhawa dingin.

Tugas anda juga ialah memberitahu orang lain dengan kehadiran orang baru. Ia bertambah mustahak kalau anda rasa anda tidak mampu menguruskannya - misalnya sibuk dengan tesis atau hal lain. Mungkin orang lain ada cara lain yang boleh mempermudahkan hidup mereka. Kalau anda tidak boleh, tentu ada orang lain boleh.

Kalau kita diminta naik bas dan turun di pekan Changlun pun boleh terpinga-pinga, apatah lagi kalau menaiki pesawat Boeing 747 dan turun di Adelaide. Tentu lebih membingungkan.

Jadi - belajarlah sesuatu. Itu tugas besar semua daripada kita. Ijazah bergulung-gulung tidak akan ada maknanya kalau kita tidak tahu hal seperti ini! Sebab itulah kecerdikan itu tidak semestinya belajar tinggi-tinggi, kerana hal ini tidak ada disebut dalam apa jua buku.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails