Yang Ikut

Saturday, 2 January 2010

Mimpi aku setiap tahun

Reactions: 
Tahun baru - azam baru - semangat baru.

Semua orang sibuk membeli diari dan mencari kalendar baru.

Aku tidak pernah cuba memiliki diari dalam hidup.

Seingat aku, cuma sekali aku ada diari. Itu pun diari Telekom yang diberi oleh seorang kawan. Itu pada tahun 2000. Tapi aku cuma sempat menulis beberapa kali. Bila aku ditimpa sakit mental bulan Februari tahun itu - aku tidak mahu menulisnya lagi. Aku tidak mahu mengingatnya lagi. Aku tidak mahu mengingat apa yang telah berlaku dalam hidup aku pada waktu itu.

Begitulah beratnya sakit itu. Ia subjektif. Ia mungkin biasa bagi sesetengah orang. Tetapi bagi aku, itu kejadian paling teruk dalam hidup. Setahun selepas itu pun masih belum pulih sepenuhnya.

Tidak mengapalah. Itu sebahagian daripada sejarah hidup aku. Walaupun aku tidak mencatatnya dalam diari, tetapi dalam ingatan aku ia tetap ada. Ia tercatat di mana-mana. Cuma ia tidak lagi menyerang aku.

Apa azam baru aku tahun ini?

Aku ada satu azam dunia. Aku mahu cepat habis belajar. Aku mahu menulis 2 atau 3 lagi kertas jurnal. Sekarang ini, aku sedang menulis. Aku harap sebelum habis bulan ini, ia sudah siap. Harapnya begitulah. Tetapi biasanya, tidak menjadi!

Banyak sebab aku perlu habiskan pengajian secepatnya. Salah satunya, ia menjadi satu kriteria baru majikan aku. Keduanya, aku sendiri pun tidak lagi suka dengan kehidupan di sini. Aku mahu menghabiskan banyak hidup aku di Malaysia. Di sini tiada teh tarik, tiada masyarakat. Memang ada banyak rakan-rakan di sini, tetapi cara kami menghidupinya lain. Jalan ceritanya berbeza.

Kalau aku tamat PhD dengan cepat pun, aku ada masalah juga. Aku perlu berkerja di Kuala Lumpur. Aku sebenarnya sudah bosan dengan kehidupan yang sibuk. Aku sudah tidak berahi melihat bangunan, kereta dan sibuknya manusia kota. Aku sudah alami sibuk hidup kota Jakarta. Aku juga sudah puas dengan habuk Kuala Lumpur. Adelaide bandar yang bagus. Tetapi, budaya hidup mereka pula berbeza.

Baik Jakarta, baik Kuala Lumpur atau Adelaide, ia bukan alam untuk aku.

Aku kalau boleh hanya ingin duduk di kampung sahaja. Duduk bersembang-sembang dengan orang kampung di kedai kopi. Petangnya masuk hutan memancing atau mencari rebung. Kalau rasa bosan, sesekali boleh pergi menjerat burung mandi. Malamnya, kalau rajin pergi mengaji kitab dan sebagainya.

Jadi kehidupan lebih tenang. Tidak ada banyak tipudaya dan caca merba.

Itulah sebenarnya azam aku setiap tahun. Itulah azam aku yang sering diulang-ulang. Aku selalu bercita-cita ingin balik dan tinggal di kampung. Aku akan buat satu rumah di tanah pusaka mak aku di tepi sungai. Di depannya ada bendang.

Tetapi nampaknya sampai sekarang cita-cita aku tidak tercapai. Azam aku selalu gagal. Itulah mimpi aku yang tak pernah tercapai.

4 comments:

ihsan_huhu said...

macam sama tp prioriti lain2

Ahmad Al-Hadi said...

Nike kata, "Just do it"

Adidas, "Impossible is nothing"

Tapi ada orang kata, "Kita hidup untuk bekerja, kita rehat dlm kubur aje"....

Jadi beruntungla kalau kita dapat bekerja untuk agama.....

Relax bro.....tapi keresahan anda memang dikongsi bersama....hahahaha

Masa saya belajar di UK 1982-1987...setiap kali balik dan kapalterbang mendarat di subang masa itu ucapan pilot "kepada semua warga malaysia, kami ucapkan selamat pulang" memang sentiasa mengundang syahdu....

Yard said...

salam..
jgn lah abis di adelaide awal sgt
insyaALLAH bln 5 nh saya exam..then bln 7 kalau ada rezeki smbg blajar di aussie.. msh xtau U mne lg..
he2..
kalau ada tuan di saya.. usaha insyaALLAH ebat!

FakirFikir said...

Ihsan - sama, tapi tak serupa.
Ahmad-al Hadi - nanti kita beli kasut Nike dulu, and do it.
Yard - jangan bimbang. Jarang menjadi! Nanti jumpa.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails