Yang Ikut

Sunday, 24 January 2010

Ini psikologi marah

Reactions: 
Berapa kali dalam setahun anda marahkan seseorang? Atau dalam sehari, berapa kali anda marahkan orang lain. Atau anda tidak pernah marah, kerana tidak ada pinggan mangkuk yang pecah.

Hari ini, kita belajar ilmu psikologi baru. Psikologi orang marah.

Marah - ada tiga jenis. Marah perasaan (feeling), marah fizikal (physical) dan marah verbal.

Orang Melayu mungkin banyak ditandai dengan marah perasaan. Maksudnya, perasaannya sangat marah, tetapi kemarahan itu ditahan juga. Tidak menumbuk meja atau memecah cawan. Tidak juga memaki orang lain. Orang barat, mungkin tidak menahan perasaan marahnya (feeling). Mereka mungkin menghamburkan kata nista dan sumpah seranah (verbal) pada waktu kemarahan sedang memuncak.

Kalau sampai peringkat bertumbuk, atau memecahkan barang, itu termasuk kategori marah fizikal.

Sebab itu, dalam budaya Melayu ada budaya amok. Kita mengamuk kerana kemarahan perasaan itu sudah disimpan lama. Semakin lama disimpan, lama kelamaan tidak dapat ditahan lagi. Ia meledak seperti Gunung Krakatau yang memuntahkan lanar api. Inilah bahayanya budaya kita. Kita cuba kawal marah, tetapi lama-lama kelamaan terhambur juga. Kita tidak mahu menyumpah seranah kerana itu bukan budaya kita, atau kerana ingin menjaga imej.

Marah perasaan ini banyak berlaku di tempat kerja. Tidak percaya? Semak diri anda sendiri.

Orang yang marah pula adakalanya kerana memang personaliti mereka begitu. Orang yang cepat marah ini mungkin termasuk dalam kumpulan manusia yang ada 'trait anger'. Sebab itu, ada manusia yang 'cool' sahaja, tetapi ada orang yang kerana hal yang kecil sahaja marahnya boleh menjadi kes jenayah. Mereka cepat melenting walaupun kadangkala orang hanya berjenaka. Hal kecil boleh jadi besar. Ini bahaya. Apa personaliti anda?

Kebanyakan orang lain - mungkin marahnya kerana sebab tertentu, tetapi bukanlah kerana memiliki personaliti cepat marah. Ini kita kategorikan dalam 'state anger'. Ini boleh jadi kita semua.

Kalau tiba-tiba ada pelanggan datang ke meja anda, marahkan anda bersebab atau tidak, apa yang patut anda buat? Jangan bertekak dengan dia, kalau anda tidak cukup kuat bertumbuk, atau kawan-kawan di sebelah anda bukan kaki pukul. Jangan juga lari sembunyi bawah meja. Nanti dia akan bertambah rasa hebatnya.

Biarkan dia selesaikan marah dia dulu dalam masa 4 atau 5 minit. Setelah dia berhenti bercakap, anda tanyalah "Siapa nama anda tadi?". Orang yang sedang marah biasanya tidak sanggup marah lagi kalau orang sudah tahu nama. Mana boleh kita marahkan orang lain, kalau orang sudah kenal identiti kita. Kerana nama itu adalah diri manusia.

Boleh jadi juga dia rasa terhina kerana ketika dia marah tadi, dia berasa sangat hebat. Dia berasa sangat kuat. Tapi, nampaknya nama pun orang tidak kenal. Jadi berasa kerdil dan perasaan marahnya mungkin merosot.

Ini mungkin boleh membantu menurunkan darjah kemarahan.

Itu kalau orang yang tidak kita kenal. Bagaimana pula kalau orang yang anda kenal? Isteri anda atau kawan-kawan anda.

Itu sedang aku fikir. Mari kita sama-sama berfikir.

4 comments:

Anonymous said...

orang yang marah sebenarnya dia marahkan diri sendiri. kesalahan datang dari diri sendiri.

ada lima step bila berdepan dengan orang yang sedang marah. itu lah yang aku amalkan - agen insurans selalu kena marah

ajaq said...

atau anda sememangnya sedang marah!

Muhammad Teja said...

kena marah, senyum aja.

zarzh said...

Terima-kasih kerana berkongsi ilmu fakirfikir. Benar, kerana terlalu marah, kadang-kadang hilang kawalan...bila sudah reda baru rasa malu atau menyesal, tapi itulah, nak belajar sabar bukannya mudah.

Syaidina Ali pun ada berkata, sesungguhnya amalan yang paling sulit adalah 4 macam; memberi maaf pada waktu marah, suka memberi (sedekah, bantuan dll)pada waktu susah, menjauhi yang haram pada waktu sunyi dan menyatakan yang hak kepada orang yang ditakuti (atau kepada orang yang diharapkan sesuatu darinya).

Namun perkara-perkara sulit ni, seperti memberi maaf pada waktu marah, bila dilakukan, meninggikan lagi darjat seorang insan.

Doa untuk saya, saya pun masih lagi dan lagi belajar bab sabar ni.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails