Yang Ikut

Friday, 22 January 2010

Ini cerita gajah jatuh

Reactions: 
Changlun - nama pelik bagi kebanyakan orang asing. Ia bukan kota New York atau London. Ia tidak sebesar Melbourne, atau seriuh Kuala Lumpur.

Tiga puluh tahun dulu, ia pekan asing yang sepi. Namanya yang pelik itu terbina dari dua suku kata dari bahasa Siam - Chang (sebutannya 'shang') yang bermaksud gajah. Lun (sebutannya 'len') pula membawa makna jatuh. Jadi, Changlun itu ialah gajah jatuh. Anda perlu ingat nama ini, kerana inilah pintu masuk untuk meneroka segala dunia keseronokan di Thailand - menjangkaui Dannork, Sadao, Chennak sebelum anda melangkah lebih jauh lagi ke Haadyai atau Bangkok.

Tiga puluh satu tahun dahulu, aku masih darjah satu. Changlun adalah pekan usang. Masih banyak bangunan kayu. Untuk keluar dari kampung aku ke Changlun - kami masih menggunakan jalan tanah merah, yang becak di waktu hujan. Belum ada elektrik di kampung aku. Menaiki basikal melalui hutan belukar, sawah dan ladang getah dalam keadaan gelap menjadikan jalan untuk ke Changlun sangat menakutkan.

Tetapi kami tidak ada pilihan lain. Waktu itu - aku merasa bahawa Changlun adalah bandar terbesar untuk hidup kami. Changlun adalah kota kegembiraan kami semua. Biarlah orang tidak tahu di mana letaknya Changlun, tetapi itulah pintu kejayaan kami. Sekalipun ada orang terpinga-pinga apabila disebutkan nama Changlun - tetapi aku lebih berbangga untuk menyebutnya beribu-ribu kali.

Kerana hanya di Changlun kami mula belajar membaca. Di situlah kami mula mengenal angka dan huruf. Kami juga tahu apa itu yang dikatakan doktor atau jururawat, kerana hanya di Changlun - kami boleh ke klinik mendapatkan ubat. Hanya di Changlun kami boleh menggunting rambut dan membeli keperluan hidup. Mungkin, kalau kami tidak ke Changlun, kami tidak tahu apa itu yang dimaksudkan 'kereta' atau 'lori'. Begitulah dhaifnya hidup kami.

Itu cerita 30 tahun dahulu.

Sekarang, Changlun telah berubah. Ia sudah menjadi bandar baru. Ada beberapa buah bank di situ. Ada juga 3 buah kedai mamak 24 jam. Belum termasuk 7 Eleven dan seumpamanya. Ada juga sebuah komplek perniagaan besar. Anda boleh bermain video game di sana, atau merasa hawa dingin pasaraya. Taman-taman perumahan yang mengelilingi pekan Changlun - menjadikan kebun getah atau sawah padi yang menyeramkan 30 tahun dahulu, tidak ada lagi. Setelah terbangunnya Universiti Utara Malaysia - Changlun menjadi kian sibuk dengan kehadiran orang baru.

Setiap hari, akan ada pembangunan baru di kota kecil kami. Maka berbanggalah warga masyarakatnya melihat kemajuan sambil bercerita panjang tentang kisah silam.

Setelah dewasa, baru aku tahu bahawa kegelapan hidup 30 tahun dahulu bukanlah satu keseraman, ia hanya kesuraman. Terang dan silau lampu yang terpancar dari bangunan-bangunan baru itulah yang menyeramkan.

Satu demi satu bangunan yang naik, itu tandanya satu demi satu juga tanah kita diambil orang. Ia menghilangkan tanah kebun dan sawah padi pusaka moyang kita. Ia tidak akan bertukar tangan lagi, buat selama-selamanya. Anak-anak muda kita yang paling bertuah pun hanya bekerja sebagai pelayan kedai, atau penjaga kaunter untung para pemodal. Di atas tanah sawah itu kini berdiri rumah banglo mewah - juga bukan orang kita yang menguasainya lagi.

Sayang sekali.

Mengapa tidak ada sesiapa yang berusaha untuk menjadikan Changlun - sebagai bandar Melayu misalnya. Selama 30 tahun, sejak aku mula tahu membaca, tidak pernah sekalipun Changlun tidak diwakili wakil rakyat Melayu. Ia sentiasa diwakili oleh parti Melayu terbesar negara. Selama 30 tahun itu juga, aku tidak melihat bahawa Melayu di situ adalah kumpulan minoriti. Tidak adakah sesiapa yang melihat perlu dilakukan sesuatu.

Sekarang ini - tidak ada lagi gajah di Changlun. Tetapi semakin banyak anak mudanya yang mati. Mereka mati dimamah ice dan heroin. Banyak juga yang mati terlanggar ketika merempit di tengah jalan. Mereka mati terjatuh kerana tidak mampu menahan gelodak zaman.

Changlun kian membesar dan maju. Tetapi, kami sedang mati terhimpit di dalamnya. Terhimpit dengan kos hidup, terhimpit dengan budaya kemajuan. Tanah bendang kian lama kian mengecil. Setiap saat disodok pembangunan. Tidak ada apa-apa lagi yang dapat diwariskan untuk generasi mendatang.

Changlun kian membangun, cuma kami yang terjatuh. Kalau ada yang bertanya, bagaimana nama Changlun itu bermula - itulah kami, gajah yang jatuh itu.

3 comments:

Ahmad Al-Hadi said...

Salam Bro Fakir,

Sudah lama sy x komen.... entri yang syahdu....

Tapi kita mungkin x sedar kita hilang sesuatu selagi kita x sedar kita memiliki nya....

Tahap kesedaran tuan amat tinggi... Terimakasih kerana mengingatkan kita...

ihsan_huhu said...

govt nyer compensation utk tanah2 sawah mmg sikit gila.

Lawyer yang sepatutnya backup public pon makan rasuah tak buat kerja

mangkuk statik said...

Power sungguh.
Tak layak untuk aku tambah point sebab dah cun dah tuh.
Kalau kau letak utube lagu industan kat tengah2 tuh, dah kompirm mengalir air mata aku tadi.
Hantar suratkhabar wei.....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails